Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Surah Az-Zukhruf

236
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir ayat ke-60

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi dan jawapan bagi soalan musyrikin Mekah: Kenapa Allah SWT tidak lantik malaikat sebagai rasul untuk sampaikan wahyu kepada mereka bagi pihak Allah SWT.

Mereka kata begitu kerana pada mereka Nabi itu manusia biasa sahaja jadi tidak sesuai pada pandangan mereka menjadi Nabi. Sebelum ini ada ayat yang mengatakan Firaun tanya kenapa Nabi Musa tidak ada malaikat yang mengiringi Nabi Musa?

Adakah Firaun tahu atau tidak tentang malaikat? Mungkin dia tahu atau dia baru tahu dari apa yang diberitahu oleh Nabi Musa. Masyarakat Arab pula berhujah, kenapa malaikat tidak diturunkan kepada mereka sebagai Rasul?

Maka Allah SWT jawab dalam ayat ini.

‎وَلَو نَشاءُ لَجَعَلنا مِنكُم مَّلائِكَةً فِي الأَرضِ يَخلُفونَ

Dan kalaulah Kami kehendaki, Kami berkuasa melahirkan daripada kamu (wahai kaum lelaki): malaikat mengganti kamu (menjalankan urusan) di muka bumi.

‎وَلَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَا مِنكُم مَّلَائِكَةً فِي الْأَرْضِ

Dan kalaulah kami kehendaki, Kami tentunya melahirkan dari kalangan kamu, malaikat di muka bumi.

Selain Allah SWT menjadikan manusia, Allah SWT boleh menjadikan malaikat untuk mengganti kita di muka bumi ini. Allah SWT boleh tidak menjadikan manusia, tetapi jadikan malaikat belaka yang duduk di permukaan bumi ini kerana Allah SWT berkuasa untuk melakukannya.

Kalau Allah SWT boleh menjadikan Nabi Isa tanpa bapa, Allah SWT boleh gantikan kita semua dengan malaikat. Tiada hal bagi Allah SWT kerana Allah SWT memang mampu.

Perkataan مِنكُم juga boleh diertikan, ‘dari keturunan kamu’, Allah SWT boleh menjadikan manusia melahirkan malaikat. Maknanya, keturunan manusia melahirkan malaikat pula. Ini boleh terjadi kalau Allah SWT mahu dan Allah SWT berkuasa untuk melakukannya.

Kalau itu terjadi, bermakna keturunan manusia akan digantikan dengan keturunan malaikat pula. Sudah tiada manusia di atas muka bumi, hanya tinggal malaikat sahaja.

‎يَخْلُفُونَ

silih berganti

Allah SWT boleh menjadikan malaikat-malaikat itu bersilih ganti iaitu menjadi khalifah di bumi gantikan kita, macam kita sekarang, satu generasi mati, diganti dengan generasi yang lain. Ini bermaksud, Allah SWT boleh ganti malaikat menjadi khalifah di muka bumi ini menggantikan kita.

Sekarang memang kita adalah khalifah di muka bumi, tetapi Allah SWT boleh sahaja hendak gantikan kita dengan malaikat sebagai khalifah. Mudah sahaja bagi Allah SWT untuk melakukan begitu.

📍Kenapa ini disebut dalam ayat ini?

Ini kerana Musyrikin Mekah telah memberikan contoh Nabi Isa a.s dan juga malaikat untuk berhujah dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka memang memandang tinggi kepada malaikat kerana malaikat hidup di langit tetapi Allah SWT beritahu kepada mereka, Dia boleh sahaja menurunkan malaikat-malaikat itu untuk hidup di bumi.

Maknanya, yang hidup di langit bukanlah untuk dipuja dan disembah kerana yang hidup di langit pun makhluk Allah SWT juga. Walaupun mereka tinggal di langit, mereka tidaklah layak disembah.

Begitu juga dengan Nabi Isa a.s, ataupun Nabi-nabi lain, walaupun mereka itu memang mulia dan mempunyai kelebihan, tidaklah mereka boleh disembah kerana kononnya mereka dekat dengan Allah SWT. Mereka itu tetap makhluk Allah SWT dan tidak layak disembah.

Begitu juga dengan kita, jangan kita sembah, puja, sedekah Fatihah dan beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat hanya kerana mereka itu ‘rapat’ dengan Allah SWT. Juga anggap kononnya boleh mendekatkan kita dengan Allah SWT dan menyampaikan doa kita kepada Allah SWT.

Itu adalah perbuatan yang salah dan syirik! Ini adalah amalan tawassul yang salah dan sudah banyak kali kita bincangkan dalam kelas kita ini dari surah Ghafir lagi. Namun berapa ramai dari kalangan kita yang buat begitu?

Allah SWT boleh jadikan malaikat yang duduk di bumi, atau malaikat yang jadi rasul, tetapi Allah SWT telah takdirkan manusia juga yang jadi rasul kepada golongan manusia. Ini kerana seorang rasul itu mestilah sama dengan mereka yang didakwahkan sebab kalau tidak sama, akan ada masalah.

Kalau malaikat yang menjadi rasul, umat yang diajak kepada agama akan ada alasan untuk tidak mengikuti rasul yang lain dengan mereka. Jika malaikat yang bagi nasihat kepada mereka, mereka akan kata pula: memanglah malaikat boleh jadi taat, kerana mereka malaikat, tetapi mereka itu manusia.

Untuk menolak hujah mereka itu, maka Allah SWT telah siap jadikan rasul dari kalangan manusia juga. Sama-sama ada nafsu, sama-sama ada keperluan makan pakai dan sebagainya.

📍Maka kalau para rasul boleh taat walaupun ada nafsu dan segala keperluan lain, apa lagi alasan kamu wahai manusia?

Tafsir Ayat ke-61

Kembali kepada kisah Nabi Isa a.s. Penurunan baginda adalah tanda dekatnya Hari Kiamat.

وَإِنَّهُ لَعِلمٌ لِلسّاعَةِ فَلا تَمتَرُنَّ بِها وَاتَّبِعونِ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

Dan sesungguhnya kedatangan Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat,

Seperti yang kita tahu, Nabi Isa a.s telah diangkat ke langit dan baginda akan diturunkan kembali nanti. Ayat ini sebagai isyarat dan maklumat lebih lanjut tentang penurunan kedua Nabi Isa a.s. yang ada dalam riwayat hadis.

Penurunan baginda itu adalah sebagai tanda yang Hari Kiamat sudah hampir. Inilah satu lagi kelebihan Nabi Isa a.s iaitu sebagai maklumat yang Hari Kiamat sudah dekat. Ketika itu semua Nasara akan masuk Islam dan akan bergabung dengan orang Islam yang lain untuk menentang Yahudi yang diketuai oleh Dajjal. Ini seperti yang diberitahu dalam hadis.

Terjemahan kedua ayat ini, dhomir إِنَّهُ dalam ayat ini merujuk kepada al-Quran. Ini adalah kerana al-Quran ada ilmu tentang kiamat. Sesiapa yang mahu tahu tentang akhirat, maka silalah baca al-Quran dan tentu akan percaya adanya Hari Akhirat kerana al-Quran ada ilmu yang sempurna tentang kiamat.

فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا

maka janganlah kamu ragu-ragu tentangnya,

Janganlah kita ragu-ragu tentang datangnya Hari Kiamat itu kerana ia pasti akan datang.

وَاتَّبِعُونِ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

dan turutlah Aku; inilah jalan yang lurus.

Nabi Muhammad SAW disuruh untuk mengajak kaumnya untuk mengikuti jalan yang dibawanya itu – Jalan Tauhid. Itulah jalan yang lurus – ikut dan taat kepada Allah SWT.

Kita selalu berdoa dalam surah al-Fatihah dalam solat kita setiap hari supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Maka, inilah dia jalan yang lurus! Jalan yang lurus itu adalah dengan mengikuti jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu Jalan Tauhid.

Kita mengikut jejak langkah Nabi mentauhidkan Allah SWT. Untuk mengetahuinya, hendaklah kita belajar Tafsir al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Tafsir ayat ke-62

وَلا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيطانُ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطَانُ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu

Jangan biarkan syaitan menghalang kita daripada menurut jalan yang lurus; Juga jangan biarkan syaitan menghalangi kita dari bersedia untuk menghadapi hari kebangkitan.

Jangan biarkan syaitan menghalang kita dari Tauhid. Syaitan akan sentiasa membisikkan kita perkara-perkara yang tidak baik antaranya syaitan akan mengindahkan kehidupan dunia ini sampaikan kita lupa untuk bersedia menghadapi akhirat.

Kita sibuk menikmati kehidupan kita sampaikan kita lupa untuk beramal ibadat sebagai persediaan kita di akhirat.

Syaitan juga akan membisikkan perkara-perkara yang bidaah dan syirik supaya kita amalkan, kerana kalau buat syirik, akan kekal dalam neraka dan itulah yang mereka mahu.

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan kita. Mereka tidak mahu kita masuk syurga. Syaitan mahu kita bersama-sama mereka dalam neraka. Maka, kita kenalah berhati-hati. Kita kena ingat yang Syaitan tidak akan melupakan kita. Mereka tidak ada kerja lain lagi dari menyesatkan kita.

Mereka musuh yang nyata kerana mereka sendiri mengaku musuh kita seperti yang disebut dalam al-Quran. Selalunya kita ada musuh tetapi musuh itu tidak mengaku tetapi syaitan mengaku dengan terang.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan