Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Fitnah Kepada Wahabi dan Bantahannya

Fitnah Kepada Wahabi dan Bantahannya

3497
0
Iklan

Terlalu banyak fitnah disebarkan tentang wahabi yang di rujuk kepada pengasas fahaman ini iaitu Muhammad bin Abdul Wahab. Umat Islam perlu bersikap adil dan tidak boleh setiap hari menyambung fitnah yang disebarkan oleh golongan Syiah dan anti Wahabi untuk memecahbelahkan umat Islam. Sila baca artikel ini supaya kita boleh melihat jawapan daripada ulama dari Arab Saudi mengenai Muhammad bin Abdul Wahab :

FITNAH KEPADA WAHABI DAN BANTAHANNYA

Berikut ini di antara fitnah-fitnah yang di tuduhkan kepada Wahabi dan bantahannya.

  • SYAIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB MENOLAK BEBERAPA HADITS

Para pembenci wahabi menuduh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab di akhir hayatnya menyimpang dari jalan yang benar dengan menolak beberapa hadits yang tidak sesuai dengan akalnya.

Jawaban :

Syaikh Abdul Aziz bin Baz telah menyanggah tuduhan ini dengan perkataan, Ini termasuk tuduhan dusta kerana beliau meninggal dunia sedangkan beliau termasuk da’i besar yang menyeru kepada aqidah salaf dan manhaj yang sahih, maka tuduhan ini sangatlah dusta kerana beliau sangat menghormati sunnah, menerima dan mendakwahkannya hingga akhir hayatnya.

  • WAHABI MENGINGKARI SYAFA’AT RASULULLAH SAW

 Para pembenci wahabi menuduh bahawa Wahabi mengingkari syafa’at Rasulullah SAW

Jawaban :

Syaikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan, Tidak asing lagi bagi orang yang berakal dan mempelajari sirah perjalanan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan para pengikutnya yang harum namanya, bahawa mereka semuanya berlepas diri dari tuduhan ini. Lihatlah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab telah menetapkan syafa’at Rasul bagi umatnya dalam berbagai karya-karya beliau, seperti Kitab Tauhid dan Kasyfus Subhat, maka dari sini jelaslah bagi kita bahawa tuduhan ini bathil dan dusta. Sebenarnya yang diingkari oleh Syaikh Muhammad bin Abdil Wahhab adalah meminta syafa’at kepada orang-orang yang sudah mati. ( tawasul dengan orang yang sudah meninggal dunia).

  • WAHABI MAKSUM

Para pembenci wahabi menuduh bahawa Wahhabiyun menganggap diri mereka maksum, sehingga hanya merekalah yang benar dan tidak menerima kesalahan. Adapun selain mereka dianggap penuh kesalahan dan tidak pernah benar.

 Jawaban :

 Sungguh ini adalah tuduhan dusta. Inilah kitab-kitab ulama dan dialog mereka bersama musuh-musuh mereka. Tidak dijumpai seperti yang dituduhkan mereka. Bahkan mereka para Ulama menerangkan Al Haq dan membantah Al Bathil dengan hujah yang kuat dan penuh hikmah. Dan mereka para ulama tidak menganggap diri mereka terpelihara dari dosa ataupun menolak kebenaran yang datang dari kesalahan mereka.

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam salah satu suratnya berkata, “Dan aku berharap agar aku tidak menolak kebenaran yang datang kepadaku. Aku bersaksi kepada Allah, para Malaikat-Nya bahawa apabila datang kepadaku kebenaran, aku akan menerimanya dan aku akan lemparkan semua perkataan imamku yang menyelisihi kebenaran, selain Rasulullah, kerana ia tidak mengatakan sesuatu kecuali al haq.

  • WAHABI TIDAK MENCINTAI RASULULLAH

Para pembenci wahabi mengatakan bahawa Wahhabiyun tidak mencintai Rasulullah SAW.

Jawaban :

 Ketahuilah bahawa Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai kitab yang berjudul Mukhtashar Sirah Ar Rasul yang berisi tentang perjalanan hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini menunjukkan kecintaan beliau terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 Maka tuduhan ini merupakan kedustaan dan kebohongan yang akan dimintai pertanggung jawabannya di sisi Allah.

 Apakah cinta kepada Rasulullah itu harus dengan mengadakan maulid Nabi, selawat bid’ah, atau selainnya yang tidak pernah diajarkan Rasulullah ?

 Ataukah dengan mengagungkan sunnahnya, menghidupkannya, dan membelanya, serta memberantas lawannya (iaitu bid’ah) sampai keakar-akarnya.

 Bukankah Allah Ta’ala berfirman :

”Katakanlah, Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. (Surah Ali Imran ayat 31).

 Al Hafidz Ibnu Katsir berkata dalam tafsirnya juz 2 hal 37, Ayat ini merupakan hakim bagi setiap orang yang mengakui mencintai Allah padahal tidak mengikuti manhaj yang ditempuh oleh Rasulullah. Dia dianggap dusta dalam pengakuannya hingga dia mengikuti syari’at Rasulullah dalam segala hal, baik dalam perkataan, perbuatan mahupun keadaan.

  • WAHABI ADALAH MAZHAB KE LIMA

Mereka ahli bid’ah mengatakan bahawa dakwah Wahhabiyah merupakan mazhab kelima setelah empat mazhab lainnya (Hambali, Maliki, Syafi’i dan Hanafi).

Jawaban :

 Ini merupakan kejahilan mereka, sebab telah merupakan perkara yang masyhur dan memang nyata bahawa dakwah ini bukanlah dakwah baru. Syaikh Muhammad bin Abdil Wahhab dalam hal aqidah mengikuti mazhab Salaf. Adapun dalam masalah furuk mengikuti mazhab Imam Ahmad bin Hambal. Maka bagaimanakah mereka menyatakan bahawa Wahhabiyah merupakan dakwah baru serta dianggapnya sebagai jemaah sesat dan rosak ? Semoga Allah menghancurkan kejahilan, hawa nafsu dan taqlid.

Syaikh Muhammad Jamil Zainu juga pernah bercerita, “Aku pernah bertemu seseorang di Syria yang mengatakan tentang Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab bahawa beliau adalah pendiri mazhab kelima dari empat mazhab. Maka aku pun berkata kepadanya bahawa bagaimana anda mengatakan demikian padahal bukankah sudah masyhur kalau mazhab beliau adalah Hambali ? Sungguh ini adalah kedustaan dan tuduhan tanpa bukti.

  • AQIDAH WAHABI ADALAH TAJSIM ?

Para pembenci wahabi mengatakan Akidah Salafi Wahabi adalah aqidah Tajsim dan tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk) yang sama seperti dengan aqidah orang-orang Yahudi.

Jawaban :

Ini adalah tuduhan dusta, sebab aqidah mereka dalam asma’ wa sifat sangat jelas beriman nama dan sifat Allah yang telah disebutkan al-Qur’an dan hadits yang sahih tanpa tahrif (pengubahan), ta’thil (pengingkaran), takyif (menanyakan hal/kaifiat), mahupun tamsil (penyerupa’an).

 (Lihat Syarh Aqidah Imam Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab hlm. 22-24, bahkan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab menegaskan dalam aqidah beliau tersebut, “Saya tidak menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat Makhluk-Nya kerana tidak ada yang serupa denganNya”).

Di antara dalil yang menunjukkan hal ini adalah firman Allah SWT :

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tidak ada yang serupa dengan Dia. Dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat.” [Surah asy-Syura ayat 11].

Inilah aqidah ulama-ulama salaf, di antaranya al-Imam asy-Syafi’i, beliau pernah berkata :

نُشْبِتُ هَذِهِ الصِّفَاتِ الَّتِي جَاءَ بِهَا الْقُرْآنُ، وَوَرَدَتْ بِهَا السُّنَّةُ، وَنَنْفِي التَّشْبِيْهَ عَنْهُ كَمَا نَفَى عَنْ نَفْسِهِ، فَقَالَ : لَيْسَ كَمِشْلِهِ شَيْئٌ

“Kita menetapkan sifat-sifat ini yang disebutkan dalam al-Qur’an dan as-Sunnah dan kita juga meniadakan penyerupaan sebagaimana Allah meniadakan penyerupaan tersebut dari diri Nya dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya.’ [Surah Asy-Syura ayat 11].

(Thobaqot Hanabilah Kar. Al-Qodhi Ibnu Abi Ya’la : 1/283-284, Siyar A’lam Nubala’ Kar. Adz-Dzahabi: 3/3293, Manaqib Aimmah Arba’ah kar. Ibnu Abdil Hadi hlm. 121, I’tiqad Imam Syafi’i kar. Al-Hakkari hlm 21).

Tidak merasa hairan dengan tuduhan tersebut, kerana demikianlah perilaku ahli ahwa’ semenjak dulu.

Al-Hafizh Ibnu Abdil Barr berkata : “Seluruh Ahlus Sunnah telah sepakat untuk menetapkan sifat-sifat yang terdapat dalam al-Qur’an dan as-Sunnah serta mengertikannya secara zahirnya. Akan tetapi, mereka tidak rnenggambarkan bagaimananya / bentuknya sifat¬sifat tersebut. Adapun Jahmiyyah, Mu’tazilah, dan Khawarij mengingkari sifat-sifat Allah dan tidak mengertikannya secara zahirnya. Hairan mereka menyangka bahawa orang yang menetapkannya termasuk Musyabbih (kaum yang menyerupakan Allah dengan makhluk).” (Mukhtashar Al-‘Uluw hal. 278-279).

Al Imam Abu Hatim ar-Rozi mengataka : “Tanda ahli bid’ah adalah mencela ahli atsar. Dan tanda Jahmiyyah adalah menggelari Ahli Sunnah dengan Musyabbihah.” (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnal Wal Jama’ah kar. Al-Lalikai 1/204, Dzammul Kalam kar. Al-Harowi: 4/390).

Ishaq bin Rohawaih mengatakan : “Tanda Jahm dan pengikutnya adalah menuduh Ahli Sunnah dengan penuh kebohongan dengan gelar Musyabbihah padahal merekalah sebenarnya Mu’aththilah (menidakan/mengingkari sifat bagi Allah).” (Syarah ushul I’tiqad kar. Al-Lalikai: 937, Syarah Aqidah Ath-Thahawiyah kar. Ibnu Abi Izzi Al-Hanafi: 1/85).

  • PEMBAHAGIAN TAUHID BID’AH ?

Para pembenci wahabi mengatakan : Pembahagian tauhid kepada tauhid Uluhiyah dan tauhid Rububiyah diciptakan oleh Ibnu Taimiyyah al-Harroni (w. 728 H) setelah 8 abad berlalu dari masa Rasulullah. Pernyataan yang seperti ini tidak pernah ada di zaman Rasulullah, para sahabat, tabi’in, tabi’i tabi’in mahupun ulama-ulama salaf terdahulu, termasuk Imam Ahmad bin Hanbal, bahkan tidak terdapat juga dalam karya murid-murid Imam Ahmad yang terkenal seperti Ibnul Jauzi dan al-Hafizh Ibnu Katsir.

Jawaban :

 Pembahagian para ulama bahawa tauhid terbagi menjadi tiga : Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma’ wa Sifat adalah berdasarkan penelitian yang saksama terhadap dalil-dalil al-Quran dan hadits Nabi.

 Pembahagian ini bukanlah perkara baru (bid’ah), Dr. Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin Al-Abbad menulis sebuah kitab berjudul Al-Qaulus Sadid fir Roddi ‘ala Man Ankaro Taqsima Tauhid (Bantahan Bagus Terhadap Para Pengingkar Pembahagian Tauhid) Dalam kitab tersebut, beliau menyebutkan dalil-dalil dan ucapan-ucapan ulama salaf yang menegaskan adanya pembahagian tauhid ini dan membantah sebahagian kalangan yang mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini termasuk perkara bid’ah.

 Pembahagian tauhid menjadi tiga berdasarkan penelitian terhadap dalil. Hal ini serupa dengan perbuatan para ulama ahli bahasa yang membahagi kalimat menjadi tiga : isim, fill, dan huruf. (Lihat At-Tahdzir min Mukhtashorot Ash-Shobuni fi Tafsir. Hlm 331 –Ar-Rudud- oleh Syaikh Bakr Abu Zaid dan Adhwaul Bayan kar. Imam Asy-Syinqithi : 3/488-493).

Banyak sekali ayat-ayat yang menggabung tiga macam tauhid ini bagi orang yang mahu cermat, seperti firman Allah :

 رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا

 “Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?” [Surah Maryam (19) ayat 65]

 Firman-Nya : “Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya” menunjukkan tauhid rububiyyah. “Maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadah kepada-Nya” menunjukkan tauhid uluhiyyah. “Apakah kamu mengetahui sesuatu yang serupa denganNya” menunjukkan tauhid asma’ wa shifat. (Al-Mawahib ar-Rabbaniyyah min al-Ayat al-Qur’aniyyah kar. Syaikh Abdurrohman as-Sa’di him. 60).

 Jika kita teliti surah pertama dalam al-Qur’an (al-Fatihah) mengandung tiga jenis tauhid ini, juga akhir surah dalam al-Qur’an (an-Nas). Seakan-akan hal itu mengisyaratkan kepada kita bahawa kandungan al-Quran adalah tiga jenis tauhid ini. (Min Kunuz al-Qur’an al-Karim kar. Syaikh Abdul Muhsin al-Abbad: 1/149).

 Syaikh Hammad al-Anshori berkata, “Allah membuka kitab-Nya dengan Surah al-Fatihah yang berisi tentang pentingnya tauhid dan menutup kitab-Nya dengan Surah an-Nas yang berisi tentang pentingnya tauhid. Hikmahnya adalah wahai sekalian manusia sebagaimana kalian hidup di atas tauhid maka wajib bagi kalian mati di atas tauhid.” (AI-Majmu’ fi Tarjamah Muhaddits Hammad al-Anshari: 2/531).

Demikian juga, banyak ucapan para ulama salaf yang menunjukkan pembahagian tauhid ini.

Dalam kitabnya al-Mukhtashorul Mufid fi’ Bayani Dalail Aqsami Tauhid, Syaikh Dr. Abdurrozzaq bin Abdul Muhsin al-Abbad menukil ucapan-ucapan ulama salaf yang menetapkan klasifikasi tauhid menjadi tiga ini, seperti al-Imam Abu Hanifah (w. 150 H), Ibnu Mandah (182 H), Ibnu Jarir (310 H), ath-Thohawi (w. 321 H), Ibnu Hibban (354 H), Ibnu Baththoh (387 H), Ibnu Khuzaimah (395 H), ath-Thurtusi (520 H), al-Qurthubi (671 H).

Lantas, adakah setelah itu kita percaya dengan ucapan orang yang mengatakan bahawa klasifikasi ini baru dimunculkan oleh Ibnu Taimiyyah pada abad kelapan Hijriah ?.

  • CELA’AN SULAIMAN BIN ABDUL WAHHAB KEPADA SYAIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB

Para pembenci wahabi mengatakan : Oleh itu keyakinan menyimpangnya itu, abangnya yang bersama Sulaiman ibnu Abdul Wahhab mengkritik fahamnya yang menyimpang dengan begitu pedas, melalui dua bukunya, ash-Shawaiq al-Ilahiyyah fi ar-Raddi ‘ala al-Wahhabiyah dan kitab Fashlu al-Khitab fi ar-Radi ‘ala Muhammad bin Abdil Wahhab. Dua bukunya itu dirasakan penting untuk di tulis, melihat adiknya yang sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam dan akidah umat secara umum.

Jawaban :

 Benar, tidak dinafikan bahawa Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahhab, abang Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab termasuk orang yang menentang dakwah beliau.

Perlu di ingat, bahawa adanya beberapa kerabat atau keluarga yang menentang dakwah tauhid bukanlah suatu alasan batilnya dakwah yang haq.

Tidakkah kita ingat bahawa para nabi, para sahabat, para ahli tauhid, dan sebagainya, ada saja sebahagian dari keluarga mereka baik bapa, anak, saudara, atau lainnya yang memusuhi dakwah mereka ?! Kisah Nabi Nuh alaihissallam dengan anak dan isterinya, Nabi Ibrahim alaihissallam dan ayahnya, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan bapa saudaranya merupakan kisah yang popular di kalangan masyarakat. Apakah semua itu menghalangi kebenaran dakwah tauhid?

Majoriti ulama mengatakan bahawa Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahhab telah bertaubat dan menerima dakwah tauhid, sebagaimana disebutkan Ibnu Ghonnam (Tarikh Nejed : 1/143), Ibnu Bisyr (Unwan Majd hlm. 65), Syaikh Dr. Muhammad bin Sa’ad as-Syuwa’ir (Dalam makalahnya “Sulaiman bin Abdul Wahhab Syaikh Muftaro ‘Alaihi” dimuat dalam Majalah Buhuts Islamiyyah, edisi 60/Tahun 1421 H), dan sebagainya.

 Apakah hal ini diketahui oleh musuh-musuh dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab ?!

Atau kah kebencian telah mengunci hati mereka ?!

Alangkah baiknya apa yang dikatakan oleh Syaikh Mas’ud an-Nadwi : “Termasuk orang yang menentang dakwah beliau (Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab) adalah saudaranya sendiri, Sulaiman bin Abdul Wahhab (wafat 1208 H) yang menjadi qadhi di Huraimila’ sebagai pengganti ayahnya. Dia menulis beberapa tulisan berisi bantahan kepada saudaranya, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, yang dipenuhi dengan kebohongan. Dan sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Ghonnam bahawa dia berbeza dgn saudaranya hanya kerana dengki dan cemburu saja. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab telah menulis bantahan terhadap tulisan-tulisannya, tetapi pada akhirnya Allah memberinya hidayah, (sehingga dia) bertaubat dan menemui saudaranya di Dar’iyyah pada tahun 1190 H yang disambut baik dan dimuliakan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Ada buku Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahhab yang tercetak dengan judul ash-Showa’iq IIahiyyah fi ar-,Roddi ‘ala Wahhabiyyah. Musuh-musuh tauhid sangat gembira dengan buku ini, namun mereka sangat malu untuk menyebut taubatnya Sulaiman.” (Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab Mushlih Mazhlum hlm. 48-50).

  • MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB GEMAR MEMBACA KITAB NABI PALSU ?

Para pembenci wahabi mengatakan : Selain itu, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab juga gemar membaca berita dan kisah-kisah mereka yang mengaku menjadi Nabu seperti Musailamah al-Kadzdzab, Sajah, Aswad al’Unsi dan Thulaihah al-Asadi.

Jawaban :

Syaikh Sulaiman bin Sahman berkata membantah tuduhan ini : “Ini juga termasuk kebohongan dan kedustaan. Yang benar, beliau gemar membaca kitab-kitab tafsir dan hadits sebagaimana beliau katakan sendiri dalam sebahagian jawabannya, ‘Dalam memahami Kitabullah, kita dibantu dengan membaca kitab-kitab tafsir popular yang banyak di pasaran yang paling baik menurut kami adalah tafsir Muhammad bin Jarir ath-Thobari dan ringkasannya karya Ibnu Katsir asy-Syafi’i, demikian pula al-Baidhowi, al-Baghowi, Al-Khozin, al-Jalalain, dan sebagainya. Adapun tentang hadits, kita dibantu dengan membaca syarah-syarah hadits seperti syarah al-Qostholani dan al-Asqolani terhadap Shahih al-Bukhori, an-Nawawi terhadap (Sohih) Muslim, al-Munawi terhadap al-jami’ ash-Shoghir, dan kitab-kitab hadits lainnya, khususnya kutub sittah (enam kitab induk hadits) berserta syarahnya, kita juga gemar menela’ah seluruh kitab dalam berbagai bidang, ushul dan kaidah, sirah, shorof, nahwu, dan semua ilmu umat’.” (Al-Asinnah Al-Haddad hlm. 12-13).

  • PEMBUNUHAN DAN PENGKAFIRAN

Para pembenci wahabi mengatakan : Bahawa Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab gemar melakukan pembunuhan dan mengkafirkan terhadap kaum muslimin, termasuk ulama.

Jawaban :

Alangkah murahnya para pembenci wahabi membuat pembohongan dan melempar tuduhan !! Tidakkah mereka sedikit takut akan azab dan mengingatkan bahawa akibat para pendusta yang akan memikul dosa ?! Tidakkah mereka menyedari bahawa dusta adalah ciri utama orang-orang yang hina ?!!

Tuduhan yang satu ini begitu laris-manis tersebar semenjak dahulu hingga kini, padahal Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri telah menepis tuduhan ini dalam banyak kesempatan. Terlalu panjang kalau di nukilkan seluruhnya.

 (Lihat Majmu’ah Muallafat Syaikh: 5/25, 48, 100, 189 dan 3/11. Lihat buku khusus masalah ini berjudul Manhaj Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab fi Takfir – kata pengantar Dr. Nashir bin Abdul Karim Al-‘Aql).

Berikut ini sebahagian bantahan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri terhadap fitnah tersebut :

1. Dalam suratnya kepada penduduk Qoshim, beliau memberikan isyarat terhadap tuduhan musuh nya yang bernama Ibnu Suhaim, dan berlepas diri dari tuduhan keji yang dilontarkan kepada beliau. Beliau berkata, “Allah mengetahui bahawa orang tersebut telah menuduhku yang bukan-bukan, bahkan tidak pernah terdetik dalam hati ku, di antaranya dia mengatakan bahawasanya aku mengatakan, ‘Manusia sejak 600 tahun silam tidak dalam keislaman, aku mengkafirkan orang yang bertawassul kepada orang-orang salih, aku mengkafirkan al-Bushiri, aku mengkafirkan orang yang bersumpah dengan selain Allah….’ Jawabanku terhadap tuduhan ini, ‘Maha Suci Engkau ya Robb kami, sesungguhnya ini kedustaan yang amat besar’”. (Majmu’ah Muallafat Syaikh : 5/11, 12).

2. Demikian juga dalam suratnya kepada Syaikh Abdurrahman as-Suwaidi salah seorang ulama Iraq mengatakan bahawa semua tuduhan tersebut adalah dari para musuh yang ingin menghalangi dakwah tauhid. Beliau berkata, “Mereka mengerahkan bala tenteranya yang berkuda dan berjalan kaki untuk memusuhi kami, di antaranya dengan menyebarkan kebohongan yang seharusnya orang berakal pun malu untuk menceritakannya, apalagi menyebarkannya, salah satunya adalah apa yang anda sebutkan, iaitu bahawa saya mengkafirkan seluruh manusia kecuali yang mengikuti saya, dan saya menganggap bahawa pernikahan mereka tidak sah. Aduhai, bagaimana boleh hal ini diterima oleh seorang yang berakal sihat ? Adakah seorang muslim, kafir, sedar mahupun gila sekalipun yang berucap seperti itu ?!”. (Majmu’ah Muallafat Syaikh. 5/36).

3. Syaikh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahhab membantah tuduhan di atas, “Adapun tuduhan yang didustakan kepada kami dengan tujuan untuk menutupi kebenaran dan menipu manusia bahawa kami mengkafirkan manusia secara umum, manusia yang semasa dengan kami dan orang-orang yang hidup setelah tahun enam ratusan kecuali yang sefahaman dengan kami. Ekoran dari itu, bahawa kami tidak menerima bai’at seorang kecuali setelah dia mengakui bahawa dirinya dahulu adalah musyrik, demikian pula kedua orang tuanya mati dalam keadaan syirik kepada Allah. Semua ini hanyalah khurafat yang jawaban kami seperti biasanya, ‘Maha Suci Engkau ya Allah, ini adalah kebohongan yang nyata. Barang siapa menceritakan dari kami seperti itu atau menisbatkan kepada kami maka dia telah berdusta dan berbohong tentang kami. Barang siapa menyaksikan keadaan kami dan menghadiri majlis ilmu kami serta bergaul dengan kami, nescaya dia akan mengetahui secara pasti bahawa semua itu adalah tuduhan palsu yang dicetuskan oleh musuh-musuh agama dan saudara-saudara syaitan untuk melarikan manusia dari ketundukan dan memurnikan tauhid hanya kepada Allah saja dengan ibadah dan meninggalkan seluruh jenis kesyirikan”. (Al-Hadiyyah As-Saniyyah hlm. 40).

4.  Syaikh Sulaiman bin Sahman berkata, “Sesungguhnya Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab meniti jalan yang ditempuh oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam para sahabat radhiyallahu anhum, dan para imam pendahulu. Beliau tidak mengkafirkan kecuali orang yang telah dikafirkan Allah dan Rasul-Nya dan disepakati kekufurannya oleh umat. Beliau mencintai seluruh orang Islam dan ulama mereka. Beliau beriman dengan setiap kandungan al-Quran dan hadits sahih. Beliau juga melarang keras dari menumpahkan darah kaum muslimin, merampas harta dan kehormatan mereka. Barang siapa menisbatkan kepada beliau hal yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jama’ah dari kalangan salaf umat ini maka dia telah dusta serta berkata tanpa dasar ilmu.” (Al-Asinnah Al-Haddad fi ar-Raddi ‘ala Alwi Al-Haddad hlm. 56-57 secara ringkas).

  • BEKERJASAMA DENGAN INGGERIS MERUNTUHKAN KEKHALIFAHAN TURKI

Para pembenci wahabi mengatakan : Wahabi bekerja sama dengan Inggeris meruntuhkan kekhalifahan Turki Utsmani.

Jawaban :

Demikianlah, mereka para pembenci wahabi tidak memiliki modal dalam dialog ilmiah kecuali hanya tuduhan dan kedustaan semata. Semoga Allah merahmati Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah tatkala mengatakan ; “Semua bentuk kesyirikan dan beragam corak kebid’ahan dibangunkan di atas kebohongan dan tuduhan dusta. Oleh kerana itu, setiap orang yang semakin jauh dari tauhid dan sunnah, maka dia akan lebih dekat kepada kesyirikan, kebid’ahan, dan kedustaan.” (Iqtidho Siroth Mustaqim : 2/281).

Alangkah benarnya ucapan al-Hafizh Ibnul Qayyim rahimahullah.

لاَتَخْشَ مِنْ كَيْدِ الْعَدُ وِّ وَمَكْرِهِمْ

فَقِتَالُهُمْ بِالزُّوْرِ وَالْبُهْتَان

Janganlah engkau takut akan tipu daya musuh. Kerana senjata mereka hanyalah kedustaan. (Al-Kafiyah Asy-Syafiyah no. 198).

Beberapa orang syaitan daripada manusia berasal daripada orang-o Eropah berfikir tentang akibat yang akan menimpa mereka jika dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab yang didukung pemerintahan Su’ud (Saud) pertama memperluas pengaruhnya. Mereka melihat bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah Su’ud akan mengancam kepentingan mereka di kawasan timur secara umum.

Oleh kerana itu, tidak ada jalan lain kecuali menghancurkan pemerintahan ini. Merekapun menempuh berbagai daya dan upaya di dalam menghancurkan dakwah salafiyyah ini.

Di antaranya adalah :

1. Menyebarkan pendapat masyarakat umum di dalam negara Islam untuk melawan dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Maka bangkitlah para penganut bid’ah dan khurafat memerangi dakwah Syaikh. Mereka adalah golongan majoriti di saat itu, yang faham memuliakan kuburan, pembuat kurafat, bid’ah, dan syirik telah menjadi darah daging di dalam hati mereka, bahkan parahnya kesultanan Ustmaniyyah generasi akhir adalah termasuk pemerintahan yang mendukung kesyirikan dan kebid’ahan ini. Ini semua terjadi setelah Inggeris dan Francis menyebarkan fatwa yang mereka ambil dari ulama su’ (jahat) yang memfatwakan bahawa apa yang didakwahkan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab adalah rosak dan sesat.

(Lihat ad-Daulah al-Utsmaniyyah kar. Dr Jamal Abdul Hadi hlm. 94 sebagaimana dalam ad-Daulah al-Utsmaniyyah Awamilin wa Asbabis Suquth kar. Dr. Ali Muhammad Ash-Sholabi (terj. Bangkit dan Runtuhnya Daulah Khalifah Utsmaniyyah).

2.  Mereka menebarkan fitnah antara gerakan Syaikh Muhammad bun Abdul Wahhab dengan pemimpin kesultanan Utsmaniyyah. Orang-orang Inggeris dan Francis menebarkan racun ke dalam fikiran Sultan Mahmud II, bahawa gerakan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab bertujuan untuk memerdekakan jazirah Arab dan memisahkan diri dari kesultanan Utsmaniyyah . Sultan pun terpengaruh dan cuba menyekat gerakan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab padahal seharusnya baginda meragukan nasihat dari kaum kafir ini, lalu meneliti dan melakukan siasatan terhadap berita ini. (Ibid. hlm. 95).

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan