Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-37 dan Ke-38

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-37 dan Ke-38

1536
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-37

Dalil Aqli Afaqi. Selepas Allah SWT mengajar kita cara-cara berdakwah, sekarang Allah SWT memberikan ayat mengajak kepada tauhid. Kerana ingat, dakwah utama kita adalah kepada tauhid.

Kalau kita dakwah manusia, tetapi bukan mengajak kepada tauhid, maka itu adalah dakwah yang tidak tepat. Maka selepas sebut tentang dakwah, Allah SWT ingatkan balik tentang tauhid.

وَمِن ءآيٰتِهِ اللَّيلُ وَالنَّهارُ وَالشَّمسُ وَالقَمَرُ ۚ لا تَسجُدوا لِلشَّمسِ وَلا لِلقَمَرِ وَاسجُدوا ِلِلهِ الَّذي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُم إِيّاهُ تَعبُدونَ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah SWT yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah SWT.

وَمِنْ ءآيٰتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Dan di antara dalil-dalil bukti Allah SWT adalah malam dan siang.

Allah SWTlah sahaja yang menjadikan malam dan siang hari. Malam dengan keadaannya yang gelap gelita dan siang yang terang benderang dan keduanya silih berganti tanpa lelah. Apabila siang, manusia bekerja; apabila malam, manusia berehat.

Allah SWT gunakan satu fenomena alam yang terjadi setiap hari untuk dijadikan sebagai dalil. Allah SWT hendak beritahu kepada kita, malam dan siang itu tidak terjadi dengan sendiri, tetapi Allah SWT yang jadikan. Mungkin kerana ia biasa terjadi setiap hari, kita sudah tidak nampak bahawa ia adalah sesuatu yang dijadikan oleh Allah SWT setiap hari. Akan datang satu masa, di mana siang akan jadi panjang kerana Allah SWT tidak benarkan siang bertukar menjadi malam seperti biasa.

Perkataan مِنْ yang digunakan menunjukkan ia hanya ‘sebahagian’ sahaja dari tanda-tanda-Nya. Ada berjuta tanda-tanda kewujudan Allah SWT, yang disebut dalam ayat ini hanya sebahagian sahaja.

وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ

Dan matahari dan bulan

Allah SWTlah yang mencipta matahari dengan cahaya dan sinarnya, bulan dengan cahaya dan keindahannya, ketentuan berputarnya dalam orbit masing-masing dan susunan putaran dan kitaran yang tidak berlanggar antara satu sama lain.

Malam, siang, matahari dan bulan bergerak mengikut arahan Allah SWT. Dengan pergerakan matahari dan bulan yang konsisten, kita dapat menggunakannya untuk mengagak waktu dalam dunia ini.

Namun yang menggerakkannya setiap hari adalah Allah SWT, mereka tidak bergerak sendiri. Setiap hari matahari akan sujud kepada Allah SWT dan tanya apakah yang perlu dilakukan pada hari itu. Nanti akan sampai satu masa di mana matahari diarahkan oleh Allah SWT untuk keluar dari arah barat pula, berlainan dari hari-hari yang biasa.

Ini diriwayatkan dari Abu Dzarr RadhiyAllahu anhu, bahawasanya pada suatu hari Nabi ShallAllahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:

أَتَدْرُونَ أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ الشَّمْسُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِنَّ هَذِهِ تَجْرِي حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ، فَتَخِرُّ سَاجِدَةً، فَلاَ تَزَالُ كَذَلِكَ، حَتَّى يُقَالُ لَهَا: ارْتَفِعِي، ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ، فَتْرجِعُ فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلَعِهَا، ثُمَّ تَجِيءُ حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ، فَتَخِرُّ سَـاجِدَةً، فَلاَ تَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّـى يُقَالُ لَهَا: اِرْتَفِعِيْ، اِرْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ، فَتَرْجِعُ، فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلَعِهَا، ثُمَّ تَجْرِيْ لاَ يَسْتَنْكِرُ النَّاسُ مِنْهَا شَيْئًا، حَتَّـى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا ذَلِكَ تَحْتَ الْعَرْشِِ، فَيُقَالُ لَهَا: اِرْتَفِعِيْ، أَصْبَحِيْ طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِكِ فَتَصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ : أَتَدْرُونَ مَتَى ذَاكُمْ؟ ذَاكَ حِيْنَ لاَ يَنْفَعُ نَفْسًا إِيْمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيْمَانِهَا خيْرًا.

“Tahukah kalian ke mana perginya matahari (saat itu)?” Para Sahabat menjawab, “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Beliau bersabda, “Sesungguhnya matahari ini berjalan hingga sampai ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, lalu dia tersungkur sujud, dan senantiasa demikian hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Kembalilah ke tempatmu pertama kali datang.’ Kemudian dia kembali datang di waktu pagi dan terbit dari tempat terbitnya, kemudian dia berjalan hingga sampai ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, lalu dia tersungkur sujud, dan sentiasa demikian hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Kembalilah ke tempatmu pertama kali datang.’ Kemudian dia kembali datang waktu pagi dan terbit dari tempat terbitnya, kemudian dia berjalan lagi sementara manusia tidak mengingkarinya sedikit pun hingga dia kembali ke tempat menetapnya di bawah ‘Arsy, hingga dikatakan kepadanya, ‘Bangunlah! Terbitlah dari tempatmu terbenam.’ Kemudian dia kembali datang di waktu pagi dan terbit dari tempat terbenamnya.’” Selanjutnya Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apakah kalian tahu bilakah itu terjadi? Hal itu terjadi ketika tidak bermanfaat lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” [ Shahiih Muslim, kitab Al-Fitan].

Semua yang disebut tadi adalah ciptaan Allah SWT yang amat hebat. Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia yang menciptakan semua itu. Kalau kita lihat ciptaan-Nya sudah hebat, apatah lagi Allah SWT, tentulah lagi hebat.

Oleh kerana Dia yang buat semua itu, maka seterusnya:

لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ

Jangan kamu sujud kepada matahari dan bulan

Kerana Allah SWT yang mencipta keduanya, maka hanya kepada Allah SWT sahaja yang kita sembah. Bukan kepada keduanya kerana keduanya itu adalah ciptaan-Nya sahaja.

Nabi Ibrahim a.s. yang mengajak kepada tauhid pernah menggunakan dakwah sebegini dalam surah yang lain. Dia mengingatkan kaumnya bahawa matahari dan bulan hanyalah ciptaan sahaja bukannya tuhan yang sepatutnya disembah. Oleh itu janganlah syirik kepada Allah SWT.

Ini disebut di sini kerana kadang-kadang manusia terkesan dengan sesuatu kelebihan yang ada pada makhluk, sampai mereka menyembah makhluk itu. Mereka tidak dapat membezakan antara Khaliq dan makhluk. Khaliq adalah ‘pencipta’, iaitu Allah SWT dan makhluk adalah semua yang dicipta-Nya. Oleh kerana jahil dan terkesan dengan matahari dan bulan, maka ada manusia yang menyembah matahari dan bulan.

Janganlah kita jadi macam orang Hindu. Apabila ada benda yang pelik sikit, mereka akan puja benda itu. Nampak busut besar, mereka sembah; lembu bagi susu, mereka juga sembah; dan macam-macam lagi. Ini adalah agama yang amat-amat bodoh sekali.

Namun, ada juga orang Islam yang bodoh macam mereka. Apabila mereka lihat ada sesuatu kelebihan kepada seseorang atau sesuatu, mereka akan puja benda itu. Sebagai contoh, ada juga suatu masa dahulu di Terengganu, sekumpulan manusia yang menjadikan Ayah Pin sebagai tuhan mereka. Ini adalah kerana Ayah Pin itu ada kelebihan-kelebihan ajaib. Mereka tengok dia boleh buat itu dan ini, mereka telah terpesong. Padahal, Ayah Pin itu juga adalah makhluk juga.

Dan begitu juga terjadi kepada guru-guru yang lain. Ada pesilat yang mengagungkan guru silat mereka kerana guru mereka itu ada kelebihan – bukan sahaja pandai silat, tetapi pandai bercakap. Maka mereka ikut sahaja apa amalan yang diajar oleh guru mereka itu walaupun itu adalah amalan sesat.

Sekali lagi Allah SWT berikan penekanan dalam ayat ini dengan menggunakan penggunaan kata لَا antara matahari dan bulan. Allah SWT boleh sahaja berfirman: لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ dan ia membawa maksud yang sama juga, tetapi Allah SWT hendak beri penekanan.

Maka kita kena sujud kepada siapa?

وَاسْجُدُوا ِللهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ

Tapi sujudlah kepada Allah SWT yang mencipta mereka

Kita hendaklah hanya sujud kepada Allah SWT sahaja. Hanya beribadat kepada Allah SWT sahaja. Tidak layak untuk kita sujud kepada selain dari Allah SWT.

Tetapi mungkin ada yang bertanya: bagaimana dengan perbuatan adik beradik Nabi Yusuf a.s yang sujud kepada Nabi Yusuf seperti yang diceritakan dalam Surah Yusuf? Jawapannya adalah: Mereka sujud kepada Nabi Yusuf kerana menghormati baginda. Dan dalam syariat sebelum Nabi Muhammad SAW, dibenarkan untuk sujud hormat kepada orang lain. Tetapi sudah tidak boleh dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

Begitu juga, kita pun tahu bagaimana Allah SWT telah memerintahkan semua malaikat termasuk Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam. Ramai yang keliru, sampai ada yang kata begitu tingginya tauhid Iblis sampai tidak mahu sujud kepada selain Allah SWT. Itu adalah kata-kata orang yang tidak berilmu.

Bagaimana hendak jawab perkara ini? Kita tanya balik, siapakah yang suruh sujud kepada Nabi Adam itu? Bukankah yang mengeluarkan arahan itu adalah Allah SWT? Kalau Allah SWT telah suruh buat, apakah ada ruang lagi untuk mana-mana makhluk untuk mengingkarinya?

Yang disebut sebelum ini adalah matahari dan bulan. Tetapi, Allah SWT gunakan perkataan خَلَقَهُنَّ (dalam bentuk jamak) yang menunjukkan bukan dirujuk kepada matahari dan bulan sahaja, tetapi semua benda kerana kalau hanya merujuk kepada matahari dan bulan sahaja, perkataan yang digunakan adalah خَلَقَهُمَا.

Oleh itu, maksud ayat ini adalah: ‘Jangan puja selain dari Allah SWT’ tidak kira apa pun. Bukan ‘jangan puja matahari dan bulan’ sahaja. Kalau baca begitu, nanti ada yang kata: yang tidak boleh puja matahari dan bulan sahaja, lain bolehlah agaknya, itu adalah jahil.

Jangan puja makhluk yang dicipta Allah SWT tetapi pujalah Allah SWT Yang Mencipta. Oleh itu jangan puja Nabi sebab Allah SWT yang cipta Nabi. Jangan puja kepada wali kerana wali bukan ilah, jangan puja kepada malaikat kerana malaikat bukan Tuhan. Jangan puja apa-apa sahaja.

Kenapa digunakan contoh ibadah ‘sujud’ dalam ayat ini? Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang tauhid dalam doa. Jadi, sujud adalah muqaddimah kepada doa. Ia adalah salah satu tempat yang molek untuk dijadikan tempat berdoa. Nabi mengajar kita untuk memperbanyakkan doa dalam sujud. Kita hanya boleh sujud kepada Allah SWT sahaja. Jadi, kalau kita hanya boleh sujud kepada Allah SWT sahaja, maka doa pun hanyalah kepada Allah SWT sahaja lah.

إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah SWT sahaja.

Orang jahiliah kata mereka bukanlah menyembah berhala-berhala itu, tetapi mereka menggunakan berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Inilah alasan yang mereka gunakan seperti yang disebut dalam surah [ Zumar: 3 ].

Begitulah juga yang dijadikan alasan oleh orang Islam yang sesat yang menyembah kubur-kubur para wali. Mereka kata mereka bukan sembah kubur-kubur itu tetapi mereka menggunakan wali-wali itu untuk ‘mendekatkan’ diri mereka dengan Allah SWT.

Maka, puak tarekat yang lawat kubur dan beribadat di kubur pun sama sahaja macam orang-orang jahiliah dulu sebenarnya. Janganlah terlibat dengan pergerakan-pergerakan sesat seperti itu. Golongan yang sebegini dinamakan Quburiyyun. Kita boleh kenal mereka ada masalah dengan akidah mereka apabila mereka rapat dengan kubur.

Allah SWT tegur mereka dalam ayat ini. Kalau betul mereka menghambakan diri hanya kepada Allah SWT, maka hanya sujud kepada Allah SWT lah sahaja. Hanya buat ibadat kepada Allah SWT lah sahaja. Dan kerana doa itu juga termasuk perkara ibadat, maka doa hanya kepada Allah SWT lah sahaja.

Tafsir Ayat Ke-38

Ini adalah salah satu dari Ayat Sajdah. Salah satu dari nama surah ini adalah ‘Hamim Sajdah’, kerana ada ayat sajdah di dalamnya. Dalam ayat sebelum ini Allah SWT telah sebut tentang sujud dan sekarang tema itu diteruskan lagi. Selepas kita baca ayat ini, disunatkan kita untuk Sujud Sajdah.

Ayat ini adalah Idkhal Ilahi (pencelahan Tuhan). Ini apabila ada perkara penting yang Allah SWT hendak sampaikan. Sebentar tadi kita disuruh untuk buat ibadah kepada-Nya. Tetapi Allah SWT mencelah kerana hendak memberitahu kita yang Dia tidak memerlukan ibadah dari kita pun. Namun, Dia mahu kita melakukannya.

فَإِنِ استَكبَروا فَالَّذينَ عِندَ رَبِّكَ يُسَبِّحونَ لَهُ بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ وَهُم لا يَسئمونَ ۩

Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar (daripada mematuhi perintah Allah SWT), maka malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhan mu tetap bertasbih kepada-Nya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.

فَإِنِ اسْتَكْبَرُوا

Dan sekiranya mereka itu sombong

Iaitu sombong untuk puja Allah SWT sahaja, doa kepada Allah SWT sahaja, sujud kepada Allah SWT sahaja. Memang manusia itu jenis tidak tahu di untung. Kita tidak punya apa-apa pun tetapi masih hendak menyombong lagi dengan tidak beribadat kepada Allah SWT. Kita ini kerdil sahaja tetapi selalu sangka kita ini besar. Maka Allah SWT bandingkan kita dengan makhluk lain.

فَالَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ

Maka yang di sisi Tuhan kamu

Ada jumlah muqaddar dalam ayat فَالَّذِينَ ini – iaitu “katakanlah”, iaitu Allah SWT suruh Nabi Muhammad SAW beritahu kepada mereka yang sombong itu.

Yang dimaksudkan di sisi Tuhan itu adalah ‘para malaikat’. Kalau kamu tidak mahu beribadat kepada Allah SWT, Allah SWT tidak perlu pun ibadah kamu kerana memang telah ada makhluk lain yang beribadat kepada-Nya sentiasa.

Ada juga yang berkata yang dimaksudkan ‘di sisi Tuhan’ itu bukan sahaja malaikat, tetapi hamba-hamba-Nya yang rapat dengan-Nya di dunia ini. Allah SWT suruh Nabi beritahu bahawa ada malaikat-malaikat (atau makhluk yang rapat dengan Allah SWT) yang sentiasa bertasbih kepada Allah SWT.

Allah SWT bandingkan kita yang kerdil ini dengan malaikat yang amat hebat itu. Mereka itu amat besar, tetapi mereka masih lagi beribadat kepada Allah SWT, tanpa soal, tanpa lelah.

Allah SWT tidak memerlukan kita sujud kepada-Nya. Kalau semua makhluk tidak sembah Allah SWT, tidak terkurang sedikit pun kemuliaan Allah SWT. Dan Allah SWT boleh sahaja menjadikan semua makhluk ciptaan-Nya menyembah-Nya sahaja, langsung tidak melawan sebagaimana Dia telah menjadikan para malaikat itu semuanya taat kepada-Nya. Bukan Allah SWT tidak mampu, cuma Allah SWT tidak mahu begitu. Siapakah kita untuk mempersoalkan keputusan Allah SWT?

يُسَبِّحُونَ لَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Yang sentiasa menyucikan-Nya malam dan siang

Para malaikat itu sentiasa bertasbih kepada Allah SWT. Tasbih maksudnya menidakkan Allah SWT dari fahaman-fahaman salah makhluk tentang-Nya. Kita katakan dalam tasbih kita bahawa Allah SWT tidak begitu. Sebagai contoh, ada manusia kata Allah SWT ada anak; maka dalam tasbih kita sebenarnya menidakkan sifat Allah SWT begitu.

Apabila dikatakan mereka bertasbih kepada Allah SWT siang dan malam, itu maksudnya mereka sentiasa melakukannya, tidak kira waktu. Ada malaikat yang dijadikan Allah SWT untuk beribadat sahaja. Sebagai contoh, ada malaikat yang Allah SWT jadikan untuk qiyam sahaja, ada yang rukuk sahaja, ada yang sujud sahaja dan macam-macam lagi. Ada malaikat yang ada tugas-tugas khusus yang diberikan kepadanya dan mereka menjalankan tugas itu dengan taat dan mereka hanya lakukan satu tugas itu sahaja.

Semua malaikat taat kepada Allah SWT. Kalau Allah SWT suruh beribadat, mereka beribadat. Kalau Allah SWT suruh mereka berkhidmat, mereka akan menjalankan tugas mereka.

وَهُمْ لَا يَسْئمُونَ

dan mereka tidak jemu

Mereka tidak jemu pun dalam memuji Tuhan. Mereka tidak jemu dan tidak ada perasaan malas. Mereka sentiasa beribadat kepada Allah SWT. Manusia sahaja yang ada rasa jemu dan malas kerana kita ada nafsu.

Kalau Allah SWT mahu, Allah SWT boleh sahaja buat makhluk yang hanya beribadat, memuja dan sujud kepada-Nya sahaja. Tetapi Allah SWT tidak jadikan begitu. Oleh itu, kita kena sedar yang Allah SWT tidak perlukan kita sujud dan beribadat kepada-Nya – Allah SWT suruh kita beribadat adalah untuk kebaikan kita sendiri.

Mari kita sujud setelah membaca ayat ini. Sujud Sajdah ini senang sahaja dilakukan, tidak perlu wuduk, malah pendapat yang rajih, tidak perlu tutup aurat dan tidak perlu ke arah kiblat pun (jika semua itu ada, lebih baik lagi). Terus sahaja sujud. Memang ada doa yang khusus, tetapi kalau tidak tahu pun tidak mengapa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan