Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Fiil – Pengenalan dan Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Fiil – Pengenalan dan Ayat Pertama

9476
0
Iklan
  • Maksud: Gajah
  • Surah yang ke-105 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 19 )
  • Bilangan ayat: 5
  • Kategori: Makkiyyah
  • 23 kalimat, 97 huruf

Faedah mengetahui kisah di sebalik surah ini juga amat penting, agar kita memahami faktor Abrahah datang ke Mekah untuk memusnahkan Ka’bah.

[Namun ia hanyalah ringkasan, pembaca digalakkan untuk meneliti rujukan muktabar agar dapat memahami keseluruhan gambaran kisah Abrahah].

Pada suatu masa dahulu kerajaan yang paling berkuasa adalah Kerajaan Rom yang telah menguasai Rom, Asia Barat, Turki, Mesir, Habashah dan sebahagian daripada Yaman.

Pada suatu masa, pemerintahan Yaman telah memeluk agama Yahudi. Lalu mereka telah menindas pula golongan Kristian yang terdapat di Yaman. (Ada yang mengatakan inilah kisah yang disebut dalam Surah Al-Buruj).

Melihat penindasan yang berlaku, Habashah telah menghantar tentera ke Yaman dan berjaya menaklukinya.

Kemudian seorang raja yang beragama Kristian telah dilantik untuk mentadbir wilayah tersebut. Akan tetapi telah berlaku sedikit pergolakan dan Abrahah telah merampas kuasa dari Raja tersebut.

Abrahah telah merampas kuasa dan beliau bertindak bijak dengan kembali mengadakan hubungan rapat dengan Habashah.

Beliau memberikan alasan dengan mengatakan bahawa tujuan beliau merampas kuasa adalah untuk kebaikan penduduk Yaman. Alasan itu diterima dan kedudukannya semakin stabil di sana.

Mekah pada masa itu berjaya menjadi negeri yang berkecuali, hasil dari kebijaksanaan keluarga Abdul Manaf (nenek moyang Rasulullah SAW) yang mengadakan diplomasi, dengan kelebihan :

  • Mekah laluan yang sesuai antara Syam dan Yaman;
  • Terdapat tempat suci (Ka’bah)
  • Abdul Manaf cepat mengambil peluang untuk mengajak “pelabur” yang besar ke Mekah (menyebabkan negara terbabit tidak mahu merosakkan sumber ekonomi mereka juga).

Seterusnya, Abrahah mahu menguatkan semula kedudukan Yaman di mata dunia dan mengembalikan kekuatan dan kekayaan yang mereka miliki sebelum ini.

Beliau mula membangkitkan sejarah kehebatan ekonomi Yaman yang sebelum ini “tenggelam” kerana banjir, mereka lalu telah diambil-alih oleh kaum Quraisy Mekah.

Antara usaha yang cuba dilakukan oleh Abrahah ialah membina satu bangunan hebat yang dinamakan al-Qullays (tujuan asalnya sebagai Pusat Agama Kristian yang turut berfungsi sebagai gereja).

Abrahah menyuruh ianya dibina dengan cantik dan berharap supaya ia lebih hebat berbanding Ka’bah. Kali ini cita-cita Abrahah tidak berjaya disebabkan faktor manusiawi, bukanlah mudah untuk meninggalkan pegangan agama mereka.

Abrahah berharap manusia akan meninggalkan Ka’bah dan datang melawat al-Qullays, tetapi tidak berjaya kerana manusia lebih memandang Ka’bah sebagai tempat suci.

Oleh kerana tidak berpuas hati, Abrahah telah menghantar surat ke Habashah untuk mencadangkan supaya Kaabah diruntuhkan. Bangsa Arab telah mengetahui rancangan Abrahah itu dan mereka telah pergi ke al-Qullays. Tujuan mereka bukan untuk melawat tetapi untuk menghina al-Qullays. Sehingga ada orang Mekah yang telah membuang air di al-Qullays untuk menghinanya.

Ini telah menyebabkan Abrahah sangat marah, dan memberi alasan lebih besar kepadanya untuk menyerang Ka’bah.

Dari sejarah ini kita dapat fahami bahawa tujuan utama Abrahah menyerang Ka’bah bukanlah disebabkan agama, tetapi faktor lebih besar adalah kerana :

  • ekonomi; dan
  • pengaruh.

Dia telah bertolak ke Mekah dengan tenteranya yang seramai antara 12,000 – 60,000 (tidak ada riwayat sahih dengan tepat berapakah bilangan tenteranya).

Beliau pergi dengan tentera dari Yaman dan Habashah. Di dalam tenteranya itu terdapat di antara 9 hingga 13 ekor gajah. Gajah yang paling besar pula bernama Mahmud.

Mekah sejak dahulu tempat tumpuan, termasuk lokasi perpindahan orang dari tempat lain. Maka pelbagai anutan yang ada :

  • Sembah Allah, tetapi ada perantaraan (majoriti).
  • Percaya / sembah kuasa makhluk (matahari, bulan, bintang).
  • Percaya / sembah roh atau kuasa ghaib.
  • dan lain-lain

 

Tafsir Ayat Pertama

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan mu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

 

أَلَم تَرَ

Tidakkah kamu melihat / memperhatikan?

 

Kalimah ini ditujukan kepada seorang. Oleh itu, ulama tafsir telah berbahas kemungkinan siapakah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini.

 

Pandangan pertama : Ditujukan kepada umum (bukan kepada Rasul SAW).

Kejadian serangan Tentera Bergajah ini datang sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lahir. Oleh itu Baginda tidak dapat melihat kejadian itu sendiri. Ini lah faktor kemungkinan ayat ini diberikan kepada mereka yang memang pernah melihat kejadian itu dengan mata mereka sendiri.

 

Pandangan kedua : Ditujukan kepada Rasul SAW.

Ini kerana kisah masyhur tersebut pasti telah sampai kepada Baginda. Kisah ini adalah kisah yang masyhur di kalangan bangsa Arab sampaikan mereka mengabadikannya sebagai “Tahun Gajah”.

 

Kalimah

كَيفَ

Bagaimana

 

Ia adalah kalimah takjub. Peristiwa yang terjadi itu menakjubkan mereka kerana bilangan tentera Abrahah itu amat besar malah lebih ramai lagi dari bilangan keseluruhan penduduk Mekah pada waktu itu. Bahkan tentera penyerang itu mempunyai gajah-gajah yang besar, namun tetap dimusnahkan. Mereka tidak dibunuh oleh penduduk Mekah.

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT jua yang mempertahankan keamanan di Kota Mekah itu. Allah SWT tidak perlukan sesiapa pun untuk membantu-Nya bagi menghancurkan tentera Abrahah.

 

Kalimah

رَبُّكَ

Tuhan mu

 

Kalimah ini asalnya ditujukan kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi apabila dibacakan ayat ini kepada orang lain, ia juga akan tertuju kepada mereka setiap pendengar.

Tanpa sedar sebenarnya tarbiyah dari Allah SWT, memasukkan elemen Tauhid (Allah sebagai Rob) dalam “kisah masyhur” yang menjadi buah mulut sepanjang zaman.

 

Kalimah

أَصحابِ الفيلِ

Sahabat / gerombolan / tentera gajah

الفيلِ

Bermaksud : gajah’ (dalam bentuk mufrad iaitu satu)

 

Terdapat beberapa pandangan, mengapakah Allah SWT menggunakan lafaz mufrad (satu / tunggal)

  1. Kerana tentera itu terkenal dengan seekor gajah yang paling besar iaitu yang bernama Mahmud. Boleh jadi lafaz tunggal ini merujuk kepada Mahmud.
  2. Walaupun ia di dalam bentuk mufrad, tetapi ia juga boleh merujuk kepada isim jama’ (satu perkataan merujuk kepada semua).

 

Kalimah

أَصحابِ

Digunakan untuk mengaitkan seseorang dengan satu golongan.

 

Apabila Allah SWT mengaitkan mereka dengan gajah, itu adalah isyarat Allah menghina mereka kerana mengaitkan mereka dengan binatang. Kerana sifat binatang tidak mempunyai akal dan kefahaman.

Mereka ini seperti firman Allah dalam Surah [ Al-A’raf (7): 179 ]:

لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

 

Ibrah dan kesimpulan :

 

Pertama :

Surah ini adalah ancaman dan peringatan kepada kita agar tidak menjadi insan yang sombong. Ini kerana banyak contoh terdapat kumpulan yang mempunyai sokongan yang lebih ramai dan besar telah dihancurkan oleh Allah SWT.

Maka tidaklah susah bagi Allah SWT untuk memberi kehinaan kepada individu yang kecil.

 

Kedua :

Walaupun kita melihat kehancuran Abrahah dan tentera disegerakan Allah SWT, namun ia tidaklah dapat menyaingi kemusnahan dan azab yang Allah SWT tangguhkan di hari akhirat kelak.

Oleh itu hendaklah kita berhati-hati, agar terselamat dari kemusnahan di dunia serta azab di hari akhirat.

 

Ketiga :

Janganlah kita menjadi seperti binatang yang dicucuk hidungnya (seumpama tentera Gajah). Gunakan akal untuk berfikir dan mencari jalan yang terbaik di dunia dan akhirat dengan kembali berpandukan Al-Quran dan Sunah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan