Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Perbahasan 10 Surah Terakhir Al-Quran – Suatu Pengenalan

Perbahasan 10 Surah Terakhir Al-Quran – Suatu Pengenalan

4523
0
Iklan

Perbahasan 10 Surah Terakhir : Suatu Pengenalan

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kita telah memasuki perbahasan 10 surah terakhir dalam susunan Al-Quran. Surah-surah ini bersangkutan antara satu sama lain. Seperti yang pernah kita bincang sebelum ini, Surah Al-Humazah adalah surah terakhir yang memperkatakan mengenai azab di dalam neraka.

Namun lain pula 10 surah terakhir ini. Kebanyakannya berkaitan dengan perihal Rasulullah SAW. Sangat perlu surah-surah ini, diketahui asbabun nuzul-nya atau latar belakang bagi lebih memahami ayat-ayatnya. Ini kerana surah-surah ini sangat berkaitan dengan sejarah Nabi Muhammad SAW.

Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat telah ditujukan kepada kaum Quraisy, namun mereka tidak merasakan bahawa ayat-ayat itu ditujukan kepada mereka.

Maka dalam surah-surah selepas ini, banyak ayat-ayat yang berkenaan dengan mereka secara khusus berkenaan kisah mereka dan perangai mereka.

Berikut penerangan ringkas mengenai 10 surah terakhir di dalam Al-Quran, serta kaitan antara surah tersebut:

105. Surah A-Fiil : Mempunyai 5 ayat

Dalam surah ini, kita akan mengetahui kisah Tentera Bergajah ke Mekah. Boleh dikatakan, orang Arab jarang atau tidak pernah melihat gajah. Apatah lagi dalam bentuk pasukan tentera.

Oleh itu, kejadian ini adalah satu perkara yang besar untuk mereka. Ia satu peristiwa yang amat bersejarah sehingga orang Arab menamakan tahun itu dengan gelaran: Tahun Gajah.

Walaupun keamanan Mekah digugat, akan tetapi Allah SWT tetap memelihara Mekah. Ia bersempena doa Nabi Ibrahim as agar Allah SWT meneruskan keamanan Mekah.

Seperti mana dalam Surah [ Al-Baqarah (2): ayat 126 ]

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat di antara mereka”. Allah SWT berfirman:” (Permohonan mu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

Dalam ayat ini, terdapat 2 doa Nabi Ibrahim as iaitu :

1) Keamanan

2) Kemakmuran

Oleh itu, Allah SWT sendiri telah memusnahkan tentera bergajah tersebut.

Surah ini adalah sebahagian dari doa Nabi Ibrahim as mengenai “keamanan”. Manakala, doa baginda mengenai “kemakmuran” terdapat dalam surah seterusnya.

106. Surah Quraisy : Mempunyai 4 ayat

Seperti yang telah disebutkan, Nabi Ibrahim as juga telah mendoakan supaya Mekah berada dalam keadaan makmur. Maka di dalam Surah Quraisy, Allah SWT telah mengingatkan penduduk Mekah mengenai nikmat makanan dan peluang berniaga ke tempat lain dan menjadikan negeri mereka makmur hasil dari perniagaan itu.

Perjalanan perniagaan sangat penting kerana ketika itu, tidak banyak puak yang boleh berdagang dengan selamat ke tempat lain. Ini kerana mereka kerap disamun dan diserang oleh perompak.

Akan tetapi penghuni dari Mekah terselamat, kerana mereka dipandang mulia disebabkan mereka menjaga Ka’bah.

Sesungguhnya Ka’bah dipandang tinggi oleh semua masyarakat Arab. Mereka merasakan jika mereka menyerang penduduk Mekah, maka mereka akan mendapat bala.

Akan tetapi dengan nikmat yang pelbagai, mereka tidak juga percaya kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat. Perangai buruk mereka ini, akan disebutkan dalam surah seterusnya.

107. Surah Al Ma’un : Mempunyai 7 ayat

Surah ini menunjukkan mereka kufur atas segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka itu. Allah SWT telah menyebutkan mengenai perangai mereka yang buruk dalam surah ini. Iaitu, mereka tidak suka memberikan pertolongan kepada orang lain.

Sedangkan mereka itu tinggal berhampiran dengan Ka’bah, yakni tempat yang mulia. Lalu Allah SWT SWT memberi isyarat dalam ayat ini bahawa sepatutnya orang yang layak menguasai Mekah adalah hamba yang taat kepada Allah SWT, bukannya Quraisy pada waktu itu.

Oleh kerana itu dalam surah seterusnya, dinyatakan baginda telah diberikan yang lebih banyak.

108. Surah al Kawthar : Mempunyai 3 ayat

Allah SWT memberitahu bahawa Dia telah memberikan banyak kelebihan dan nikmat kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan itu, Allah SWT juga peringatkan akan dua perkara:

Pertama :

فَصَلِّ

Maka solatlah.

Kedua :

وَانحَر

Dan berkorbanlah.

Ini adalah tanda syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat. Solat dan korban adalah dua sunnah dari Nabi Ibrahim as.

Tetapi kaum Quraisy tidak mengikut apa yang Nabi Ibrahim as tinggalkan. Mereka saling berbeza pegangan, walaupun zaman itu mereka adalah kabilah yang paling kuat.

Oleh sebab itu juga, Nabi SAW diajar untuk tidak memanggil mereka dengan panggilan “kaum ku”, tetapi memanggil mereka “wahai orang-orang kafir”.

Maka ini akan kita lihat dalam surah seterusnya nanti.

109. Surah Al-Kafirun : Mempunyai 6 ayat

Apabila Nabi Muhammad SAW melafazkan kalimah :

يا أَيُّهَا الكافِرونَ

Itu adalah kenyataan pemutusan hubungan antara baginda dengan orang Quraisy. Baginda tidak akan bersama dengan mereka kerana mereka sedang kufur. Namun Allah SWT memberi berita gembira dalam surah seterusnya.

110. Surah An-Nasr : Mempunyai 3 ayat

Allah SWT memberikan berita baik dalam surah ini yang baginda akan mencapai kejayaan besar bagi Islam. Ini kerana surah ini menceritakan tentang kejayaan agama Islam atas agama kufur.

Tetapi sebelum diberikan kemenangan besar itu, Allah SWT memberikan tanda-tanda kecil dalam surah berikut sebagai isyarat pembelaan Allah SWT kepada orang yang menjaga iman.

111. Surah Lahab : Mempunyai 5 ayat

Di antara musuh besar Baginda SAW adalah Abu Lahab yang sentiasa sahaja mengganggu. Sememangnya Rasul SAW adalah hamba yang taat. Namun kadang-kadang diuji dengan musuh yang membenci, boleh jadi kita terlupa sebab permulaan beza antara musuh dengan orang beriman.

Maka dalam surah seterusnya Allah SWT mengingatkan, punca perbezaan berkaitan tauhid.

112. Surah Al-Ikhlas : Mempunyai 4 ayat

Dalam surah ini mengajar kita untuk menjaga niat kerana Allah SWT. Memohon juga hanya dari Allah SWT, serta akhirnya sedar bahawa kita tiada sebarang apa kekuatan melainkan dengan izin Allah SWT.

Oleh itu surah seterusnya serta yang terakhir, berkaitan permohonan perlindungan dari Allah SWT.

113. Surah Al-Falaq : Mempunyai 5 ayat

Allah SWT memberikan Surah Al-Falaq untuk menjaga kejahatan dari luaran.

114. Surah An-Naas : Mempunyai 6 ayat

Dan kemudian Allah SWT memberi kita Surah An-Naas untuk menjaga diri kita dari kejahatan dalaman.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Dari bermulanya perbahasan Surah Al-Fiil, kita dapat melihat betapa Allah SWT memberikan pengakhiran Al-Quran dengan kisah-kisah “rakyat, masyarakat mahupun kehidupan yang umum”.

Namun kesemuanya adalah untuk mengukuhkan pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan Al-Quran bagi panduan kita bersama.

Kedua :

Al-Quran adalah kitab petunjuk yang sangat tersusun serta mempunyai hikmah yang tidak terhitung. Ini boleh dilihat dengan susunan seolah-olah berupa “modul” yang sangat teratur.

Maha Suci Allah SWT, hanya Dia sahaja yang layak dan berkuasa melakukan perkara tersebut.

Ketiga :

Kisah-kisah kaum Quraisy pada akhir Al-Quran memberikan kita gambaran, betapa pentingnya untuk menjaga iman dalam suatu zaman kehidupan.

Ini kerana, perkara besar yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat nanti bukanlah merujuk kepada masyhurnya kita. Tetapi hanya amal dan taqwa yang akan menjadi penyelamat.

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [ Al-Hujurat: 13]

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan