Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-30

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-30

1576
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-30

Ayat ini adalah ayat Tabsyir (berita gembira). Ayat ini dan tujuh ayat seterusnya adalah penjelasan tentang mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Dengan melakukan dakwah, kita boleh sampai ke tahap ini.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقاموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلائِكَةُ أَلّا تَخافوا وَلا تَحزَنوا وَأَبشِروا بِالجَنَّةِ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah SWT”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka: “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا

Sesungguhnya orang-orang yang berkata

Iaitu yang berkata dengan lidah dan juga hati. Sebab kalau dengan lidah sahaja adalah munafik. Lidah dia kena berkata sepertimana hati dia yakin.

Untuk berkata ini pun kadang-kadang memang sukar, jika kita berada dalam kalangan orang yang tidak sama fikrah (fikiran) mereka dengan kita. Namun, Allah SWT telah memuji mereka yang berani berkata dalam ayat ini.

Apa yang mereka kata?

رَبُّنَا اللَّهُ

Tuhan, Pencipta, Pemelihara kami adalah Allah SWT

‘Rabb’ adalah satu perkataan yang komprehensif. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Secara ringkasnya, rabb bermaksud yang ‘mencipta, memelihara dan menjaga’.

Kita juga mengaku bahawa Allah SWT itu tuan kita dan kita adalah hamba kepada-Nya. Kita akan taat kepada-Nya sahaja. Sepertimana seorang hamba akan taat kepada tuan dia, begitulah kita dengan Allah SWT.

ثُمَّ اسْتَقَامُوا

Kemudian dia tetap dengan kepercayaan kata-katanya itu

Mengucap syahadah mudah sahaja, tetapi untuk tetap mengamalkannya, untuk tetap berdiri di atasnya, adalah susah. Ada sahaja yang menghalang. Mungkin keluarga kita, masyarakat kita, malah macam-macam lagi yang menghalang kita dari tetap atas iman. Maka, kena ada usaha yang gigih untuk terus berpegang dengannya.

Lafaz اسْتَقَامُوا dari perkataan ‘qiyam’, iaitu bermaksud ‘berdiri’. Ini adalah isyarat seorang yang telah bangun berdiri selepas lama tidur dan untuk tetap berdiri walau apa pun yang terjadi. Kita tetap akan kata Allah SWT itu adalah Tuhan kita dan tidak ada ilah-ilah yang lain.

‘Tetap’ itu bukan sahaja untuk amalkan, tetapi kena sebarkan. Dan memang akan kena ujian, namun, walau apa ujian yang sampai, dia akan tetap terus menyampaikan kepada manusia. Sampai mati, bukan sekejap-sekejap sahaja.

Walau apa pun yang terjadi, kita akan hanya sembah Allah SWT sahaja, beribadat kepada Allah SWT sahaja, seru kepada Allah SWT sahaja, tidak akan melakukan perkara syirik walaupun masyarakat sekeliling kita tidak suka, tidak setuju, pandang cemuh pendirian kita. Sebagai contoh, kita tidak akan berdoa kepada selain dari Allah SWT. Kita akan hanya terus doa kepada Allah SWT sahaja, tanpa melalui perantaraan.

Walau pun masyarakat sekeliling kita bertawassul dengan berbagai-bagai sembahan mereka. Sebagai contoh, setiap hari akan ada orang yang melakukan Majlis Tahlil.

Apa kaitan Majlis Tahlil itu dengan tawassul? Semasa memulakan majlis tahlil itu, tekong tahlil akan memulakan bacaan dengan membaca ‘ila hadratin nabiy, muhammadil mustafa, rasulullahi sollalahu alaihi wassalam, wa ala aalihi, wa ashaabihi…. dan seterusnya’.

Itulah bacaan tawassul – iaitu menggunakan Nabi, keluarga baginda, para sahabat dan sebagainya sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa supaya pahala amalan pada majlis tahlil itu diberikan kepada si mati.

Amalan tawassul ‘ila hadratin’ itu juga berleluasa dalam majlis-majlis lain, bukan setakat Majlis Tahlil sahaja. Antaranya, sebelum memulakan zikir-zikir tertentu, ramai yang memulakan zikir mereka dengan bacaan ila hadratin itu.

Kita kena istiqamah dalam menolak amalan-amalan tawassul ini dan amalan-amalan syirik yang lain. Bukanlah senang untuk tidak menghadirkan diri di Majlis Tahlil ini kerana boleh dikatakan semua orang buat. Sikit-sikit Majlis Tahlil. Lalu orang menyangka ini adalah satu ibadat pula dalam agama, sedangnya ia tidak.

Dan masalahnya, yang menghadirinya adalah orang-orang yang dianggap orang sebagai ‘orang agama’ dalam masyarakat – tok imam, tok bilal, qariah masjid, tok lebai, ustaz dan sebagainya. Padahal ia bukanlah satu anjuran dalam agama Islam. Tidak ada langsung contoh amalan ini dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Sedangkan kalau ia baik, tentu baginda dan para sahabat sudah lama melakukannya.

Oleh kerana ia telah dianggap sebagai satu majlis agama Islam, maka kita yang tidak pergi ini pula yang dianggap ‘pelik’. Mereka kata kita tidak bermasyarakat, memutuskan silaturahim dan sebagainya.

Namun, kita hendaklah istiqamah. Tetap teguh tidak menghadiri majlis-majlis bidaah dan syirik sebegini. Biarlah apa orang kata, biarlah apa yang mereka akan ejek kita. Semoga lama kelamaan masyarakat akan faham. Semoga lama kelamaan mereka akan tertanya-tanya kenapa kita tidak menghadiri majlis sebegini. Semoga mereka mencari sebabnya dan mereka bertemu punca kenapa kita tidak mahu menghadiri majlis sebegini. Dan istiqamah ini memang susah. Kerana itu pahalanya amat besar.

Kita jangan pergi supaya mereka pun berat hati untuk menganjurkan Majlis Tahlil dan kalau mereka tidak anjur pun, mereka pun tidak menghadirinya. Lama kelamaan, ‘demand’ untuk Majlis Tahlil pun tidak ada atau berkurangan. Dan semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang jadi pemangkin untuk menghapuskan satu majlis bidaah yang mungkar.

Bagaimana kita hendak buat? Kita tukar kepada majlis agama. Saya pun pernah orang ajak jadi tekong untuk majlis baca doa selamat. Saya kata, OK. Tetapi saya tukar jadi kelas tafsir Al-Quran sebab waktu itu hendak sambut Ramadhan, jadi saya tafsir ayat-ayat tentang puasa. Tetapi, lepas tu tidak ada lagi orang yang menjemput.

Jadi, kena istiqamah. Bagi mereka yang belum lagi mencapai tahap istiqamah ini, mereka akan pergi juga ke majlis ini. Sama ada mereka tahu ia salah atau tidak, kita tidak pasti. Ada kemungkinan, ada yang tidak setuju dengan majlis sebegini, sudah tahu ia bidaah dan salah, tetapi kerana takut dikata orang, takut dipandang serong oleh orang, takut kena ‘chop’ sebagai orang yang tidak bermasyarakat, sebagai pemecah belah masyarakat, mereka pergi akhirnya. Itu belum istiqamah lagi maknanya.

Jadi kalimah istiqamah ini kita mungkin biasa sudah dengar – ia bermaksud: berpegang teguh. Anjuran istiqamah ini pun ada disebut dalam hadis Nabi:

عَنْ أَبِي عَمْرو، وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

 Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah, Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiAllahuanhu dia berkata, saya berkata : Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorang pun selain mu. Beliau bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah SWT, kemudian berpegang teguhlah. (Riwayat Muslim).

Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

“Amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah amalan yang rutin dilakukan meskipun sedikit”.

(Hadith Shahih, Riwayat Bukhari dan Muslim, Lihat Shahiihul Jaami’ no. 163).

Apakah ganjaran kepada mereka yang istiqamah ini? Apakah yang Allah SWT janjikan?

تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ

Maka akan turun para malaikat ke atasnya;

Iaitu para malaikat menyambutnya semasa dia mati. Allah SWT hendak beri semangat dan sebagai tasliah (pujukan) kepada orang mukmin yang menjalankan tugas sebagai seorang muslim sejati. Ia adalah satu anugerah besar yang Allah SWT beri kepada orang beriman. Ada pendapat yang mengatakan sebanyak 500 malaikat akan sambut roh itu semasa masuk kubur. Mungkin lebih, mungkin kurang, bilangannya tidak penting.

Kepada orang beriman, Allah SWT akan berikan bantuan kepada mereka. Semasa dia hendak mati, Allah SWT akan beri dia nampak beribu-ribu malaikat kepadanya. Apa yang mereka akan kata? Mereka akan memberikan kita berita-berita gembira yang akan menenangkan kita. Semoga kita mendapat anugerah ini apabila kita mati nanti. Amin.

Ada juga yang mengatakan bahawa ayat ini juga bermaksud semasa kita hidup, malaikat akan diturunkan kepada kita untuk memberi semangat kepada kita. Kalau dalam ayat 29 surah ini dan ayat-ayat lain, ada diceritakan bagaimana ada manusia yang tidak beriman sempurna akan ditemani oleh jin dan manusia yang jahat semasa mereka di dunia. Syaitan-syaitan dari golongan jin dan manusia akan membisikkan keburukan kepada mereka – suruh mereka buat perkara yang jahat dan bidaah.

Tetapi, kepada mereka yang beriman dan istiqamah, mereka akan ditemani oleh malaikat. Malaikat itu akan membisikkan perkara yang baik-baik sahaja kepada kita dan memberi semangat kepada kita.

Pendapat ini disokong oleh hadis-hadis Nabi, antaranya:

Dari Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikan kepada anak Adam dan bagi Malaikat ada pula bisikan. Adapun bisikan syaitan ialah menjanjikan yang buruk-buruk dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikan malaikat ialah menjanjikan yang benar dan menerima kebenaran dengan jujur. Kalau pernah terdapat demikian, ketahuilah bahawa itu adalah dari Allah SWT, maka pujilah Allah SWT. Dan barang siapa yang mendapat selain itu, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan.” [Riwayat Tirmidhi dan an-Nasa’i].

أَلَّا تَخَافُوا

Kamu jangan takut;

Inilah kata-kata malaikat itu. Jangan kamu takut tentang apa yang akan kamu hadapi di hadapan nanti.

Memang kita akan takut dan kerana itulah malaikat itu akan beri pujukan dan ketenangan kerana ia telah diuruskan. Jangan takut sama ada kamu akan masuk neraka, kerana kamu akan diselamatkan; Ini penting kerana macam kita pergi ke tempat yang baru, kita akan rasa kekok. Dan sekarang pula adalah negeri akhirat, lagi menakutkan, maka kalau ada yang sambut kita, itu adalah nikmat yang amat besar.

وَلَا تَحْزَنُوا

jangan kamu bimbang

Jangan bimbang akan apa yang akan kamu tinggalkan di rumah dan di dunia. Jangan ingat tentang kereta dan apa semua harta yang ditinggalkan.

Jangan risaukan tentang keluarga kamu – semuanya akan diuruskan. Lagi pun, harta benda dan keluarga itu tidak sama nilainya sama sekali kalau dibandingkan dengan nikmat yang menunggu di alam akhirat nanti.

Jadi, ‘takut’ untuk masa hadapan dan ‘bimbang’ untuk perkara yang sudah lepas. Oleh itu, jangan takut menghadapi alam kubur/akhirat dan jangan bimbang apa yang kamu akan tinggalkan di dunia.

وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ

Dan terimalah khabar gembira

Iaitu mereka dijanjikan dengan syurga. Adakah balasan yang lebih baik dari balasan syurga? Bukan itu kah yang kita sangat-sangat kita harapkan?

Setiap hari kita minta syurga dan sekarang, malaikat janji yang kita akan masuk ke syurga.

Masa di syurga adalah tempat untuk bergembira. Hidup untuk memenuhi keinginan nafsu sahaja. Tidak ada lagi tanggungjawab ibadat yang perlu dipenuhi.

الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

yang dijanjikan kepada kamu dulu.

Dulu semasa di dunia, telah dijanjikan kepada kita semua, kalau buat baik, beriman, tidak buat syirik, maka kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Berkali-kali telah disebut, berkali-kali telah diingatkan kepada kita. Maka, pada hari itu, janji itu akan ditepati. Alangkah indahnya!! Semoga kita semua tergolong dalam golongan ini.

Memang kita tidak patut takut selain kepada Allah SWT tetapi takut di sini adakah sama seperti kita takut kepada perompak dan lain-lain yang berupa ancaman bahaya contohnya sihir? Perlu ke kita takut kepada sihir dan kesan-kesannya? Bagaimana hendak jelaskan kepada mereka yang mengatakan takut kepada Allah SWT juga takut kepada ancaman bahaya yang mereka tidak punya ilmu mengenainya?

Perasaan takut adalah normal dalam diri manusia. Jika langsung tidak ada rasa takut, itu maknanya tiada hati. Orang berani bukan tidak takut, walaupun dia takut, tetapi dia teruskan juga.

Takut kepada jin, sihir adalah perkara ghaib. Perkara-perkara ini tidak perlu takut kerana kita berlindung dengan Allah SWT. Benda kita tidak nampak, hendak takut buat apa?

Contohnya macam lembu hendak langgar kita, itu adalah sebab kita memang nampak maka, patutlah kalau kita takut, bukan?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan