Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-26 dan Ke-27

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-26 dan Ke-27

846
0

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-26

Ini Ayat Syikayah iaitu rungutan Allah tentang orang-orang musyrikin. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Quran, mereka akan berkata:

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

Dan berkata orang-orang kafir itu,

Iaitu orang-orang kafir Quraisy waktu itu. Mereka dan orang-orang yang seperti mereka. Mereka yang berkata begitu adalah jenis yang teruk sangat sampai tidak mahu terima langsung dan sanggup menentang.

Kalau zaman sekarang, mereka itu adalah orang-orang yang kafir degil. Mereka tidak mahu berpegang dengan ajaran dari Al-Quran, terutama sekali ajaran tentang tauhid.

لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ

kamu jangan dengar Al-Quran ini.

Sudahlah mereka tidak mahu beriman dan beramal dengan Al-Quran, mereka larang dan halang orang lain pula dari belajar maksud dari Al-Quran. Ini jenis ketua masyarakat yang sudah nampak banyak dari masyarakat yang sudah masuk Islam sebab dengar Al-Quran. Maka, mereka telah melakukan segala macam usaha untuk menghalang manusia dari dengar Al-Quran.

Kalau zaman sekarang pun ada juga. Ada yang kata tidak boleh belajar tafsir sebab ilmu tinggi sangat kalau tidak ada ilmu asas. Akhirnya menyebabkan ramai manusia yang rasa mereka tidak akan mampu memahami Al-Quran maka mereka tidak belajar tafsir Al-Quran dan mereka terus berada dalam kejahilan.

Antaranya mereka guna hujah, hendak belajar tafsir 15 ilmu alat. Pernah dengar kan?

Sedangkan para sahabat pun ramai yang tidak boleh baca Al-Quran. Maka tidak perlu pandai baca Al-Quran baru boleh belajar tafsir.

Mereka akan buat apa sahaja, asalkan orang lain tidak dengar ajaran Al-Quran itu. Kalau zaman dahulu, kalau ada yang membaca ayat Al-Quran, mereka akan buat bunyi bising supaya bacaan Al-Quran itu tidak kedengaran.

Kenapa mereka kata jangan dengar ‘Al-Quran’ ini? Kenapa tidak kata jangan dengar ‘Muhammad itu’? Ini adalah kerana dakwah Nabi memang menggunakan Al-Quran, iaitu baginda akan membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada manusia dalam dakwah baginda.

Maka, apabila mereka hendak halang dakwah Nabi, mereka akan kata, jangan dengar ‘Al-Quran’, kerana mereka tahu baginda menggunakan Al-Quran untuk berdakwah. Begitulah dakwah yang disampaikan oleh Al-Quran.

Malangnya, pendakwah sekarang tidak menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai ‘methode’ dakwah mereka, tetapi mereka menggunakan cara-cara lain, macam kisah lawak, cerita-cerita sejarah, lagu-lagu nasyid dan sebagainya, tetapi ayat Al-Quran tidak dibacakan, ditafsirkan. Ia cara dakwah yang salah. Niat baik tetapi caranya salah.

Itu sudah tidak mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW dalam berdakwah. Ini bermakna, keberkatan yang sepatutnya kita dapat, tidak ada kerana kita tidak ikut cara Nabi SAW.

Seolah-olah mereka rasa ayat-ayat Al-Quran itu tidak cukup mantap untuk digunakan sebagai dakwah. Atau mereka sendiri tidak tahu ayat-ayat Al-Quran? Mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Quran?

Kalaulah boleh buat nasyid tentu Nabi Muhammad SAW telah buat satu lagu untuk diberikan kepada Abu Jahal.

Zikir dan doa memang tidak boleh dilagukan. Doa dan zikir kena tawaduk, tetapi kalau telah dilagukan, sibuk hendak kisahkan lagu pula, maka tidak kena. Itu sebab orang suka lagu tetapi lagu tidak boleh. Maka, mereka ‘Islamkan’ lagu itu. Sama macam orang suka joget tetapi joget tidak boleh, maka mereka Islamkan joget maka jadikan joget cara Islam.

وَالْغَوْا فِيهِ

Kamu buatlah bising,

Salah satu cara untuk mereka halang orang dari dengar Al-Quran adalah mereka akan buat bising. Ada yang bersiul, ada yang bertepuk tangan dan sebagainya.

Mereka juga buat acara lain supaya orang tidak pergi kepada mereka yang membaca Al-Quran. Mereka buat tempat untuk orang bercerita dan penglipur lara. Supaya orang ramai datang ke tempat penglipur lara itu dan tidak pergi ke tempat bacaan Al-Quran dari Nabi Muhammad SAW. Beginilah yang mereka lakukan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka akan buat tempat lain untuk menarik perhatian manusia dari pergi ke tempat Nabi SAW mengajar Al-Quran. Dalam riwayat dikatakan mereka import penyanyi dari tempat lain.

Dan kalau mereka masuk pun dalam majlis Nabi SAW, mereka disuruh untuk buat bising dalam majlis itu supaya manusia tidak dapat belajar Al-Quran.

Orang kafir sekarang melalaikan umat Islam dari Al-Quran dengan hiburan, lagu dan rancangan televisyen. Terpaku orang kita melihatnya.

Kalau zaman sekarang, ada orang yang akan buat kacau dalam majlis orang belajar Al-Quran. Mereka minta tauliah dan sebagainya. Mereka hasut AJK masjid jangan bagi ruang kepada ustaz yang Sunnah. Mereka akan halang orang untuk pergi ke kelas yang mengajar tafsir. Kalau belajar lain, tidak mengapa, asalkan jangan belajar tafsir Al-Quran.

Kalau ada yang hendak belajar tafsir Al-Quran, mereka akan kehairanan – mereka akan tanya: “kenapa nak belajar tafsir?”. Kalau mereka datang belajar dalam kelas yang mengajar tafsir, mereka akan tanya soalan-soalan yang bodoh dan merepek untuk mengganggu pengajaran dalam kelas itu.

Ada yang melaporkan kepada pihak berkuasa dengan memberi tohmahan yang guru yang mengajar tafsir itu mengajar ajaran yang sesat, sampaikan mereka yang mengajar tafsir, ada yang ditangkap. Atau mereka akan membuat tohmahan kepada masyarakat, sampaikan masyarakat tidak mahu terima mereka yang mengajar tafsir, sampaikan mereka yang mengajar, tidak dijemput lagi untuk mengajar.

Kemudian kalau kita ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Quran, mereka akan beri bermacam alasan – mereka hendak belajar baca Al-Quran dululah, belajar bahasa Arab dululah, hendak belajar fiqah dululah, hendak belajar itu dan ini dulu. Akhirnya mereka tidak belajar pun tafsir Al-Quran.

Musyrikin Mekah suruh masyarakat mereka وَالْغَوْا iaitu buat perkara yang lagha – perkara yang tidak ada faedah. Supaya mereka terganggu sampai tidak mendengar ayat Al-Quran.

Mereka tidak beri masyarakat bercakap tentang Al-Quran. Mereka akan suruh bercakap tentang perkara-perkara lain. Mereka akan bawa tajuk-tajuk lain. Kalau bercakap tentang ayat Al-Quran, mereka rasa tidak selesa. Jadi, kalau kita pun ada masalah untuk bercakap-cakap tentang ayat-ayat Al-Quran, itu menunjukkan yang kita ada masalah yang besar.

Atau kalau bercakap tentang ayat-ayat Al-Quran, mereka akan cuba mentafsirkan ayat itu dalam maksud yang lain. Mereka akan kata: “maksud ayat ini sebenarnya begini, begitu”. Sebagai contoh, mereka akan kata, ayat-ayat Al-Quran itu ada maksud lain. Padahal, mereka tidak belajar pun tafsir Al-Quran. Ada yang tafsir dengan pemahaman sendiri pun ada. Ada yang hanya google sahaja apa yang mereka hendak. Padahal, belum tentu apa yang ada dalam google dan internet itu benar.

Ada juga yang belajar benda-benda lain sebelum lihat terjemahan Al-Quran, maka apabila mereka lihat ayat-ayat Al-Quran, mereka terjemah ayat Al-Quran itu ikut pemahaman mereka yang sudah salah itu.

Sebagai contoh, ada yang kata, Syurga dan Neraka bukannya ada, tetapi itu adalah kerana Allah SWT hendak menakut-nakutkan manusia sahaja. Kerana mereka kata, orang-orang Arab waktu itu akal mereka lemah, jadi mereka kena ditakutkan dengan benda-benda yang tidak wujud. Mereka ditakutkan supaya mereka dengar kata dan akan buat perkara-perkara yang baik. Seperti anak-anak kita, yang kita takutkan dengan hantu supaya mereka ikut cakap kita.

Masya Allah! Itu adalah pemahaman yang jauh dari agama dan amat merbahaya. Tetapi mereka kata begitu, kerana mereka telah baca tentang agama dari maklumat yang salah. Jadi, apabila mereka baca ayat-ayat Al-Quran, mereka samakan pemahaman mereka sebelum itu dengan ayat Al-Quran.

Pada hal, sepatutnya ayat Al-Quran menjadi fahaman yang utama. Sebab itu para sahabat tidak akan membenarkan anak-anak mereka belajar benda lain sebelum mereka habis belajar tafsir Al-Quran, supaya segala fahaman dan pembelajaran mereka akan berdasarkan kepada fahaman Al-Quran. Bukan sebaliknya.

Seperti sekarang, dalam majlis-majlis ilmu agama, tidak ada disebutkan tentang Al-Quran pun. Seperti Al-Quran itu tidak penting. Mereka akan berbincang dan bercakap macam-macam, tetapi mana ayat Al-Qurannya?

Kalau ada pun, mereka akan panggil seorang Qari untuk memulakan majlis itu dengan membaca beberapa potong ayat-ayat Al-Quran. Ataupun mereka akan baca ayat Al-Quran tetapi tidak dijelaskan apakah pemahaman yang boleh diambil dari ayat itu.

Begitulah jauhnya manusia dari Al-Quran. Padahal Al-Quran itu dari Allah SWT. Kenapakah mereka tidak ambil peduli dengan kata-kata dari Allah SWT sendiri?

Dan ada yang kata Al-Quran kena ditafsirkan kembali. Padahal mereka belum pun belajar apakah maksud ayat-ayat Al-Quran itu. Mereka sangka Al-Quran itu pula yang kena ikut faham mereka, bukan mereka yang kena ikut faham Al-Quran. Sudah jadi terbalik pula.

Kalau dalam masyarakat kita, yang menghalang Al-Quran itu bukanlah orang yang tidak membaca Al-Quran. Ramai yang baca ayat-ayat Al-Quran, sebab mereka suka dan tenang apabila membaca ayat-ayat Al-Quran. Mereka tahu akan dapat pahala kalau baca ayat Al-Quran. Mereka pun sayang Al-Quran.

Tetapi setakat membaca sahaja, namun tidak sampai untuk memahaminya. Menjadilah mereka seperti burung belatuk sahaja, hanya boleh cakap, tetapi tidak faham yang dicakapkan. Mereka itu tahu baca Al-Quran, tetapi tidak tahu langsung makna dari Al-Quran itu. Maka mereka baca, tetapi mereka buat perkara yang dilarang dalam Al-Quran itu.

لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

mudah-mudahan kamu berjaya mengatasi.

Mereka sangka dengan mereka buat bunyi bising, dapat mengalahkan Al-Quran. Amat salah sekali anggapan mereka. Mereka akan kalah akhirnya. Setakat mana mereka boleh halang orang dari dengar Al-Quran? Kalau mereka buka tempat penceritaan, orang pun lama-lama bosan dengar cerita yang sama. Al-Quran akan tetap menang kerana manusia tidak pernah bosan dengar Al-Quran. Anda semua telah baca surah Al-Fatihah setiap hari sudah berapa puluh tahun. Adakah bosan hendak baca?

Dari ini kita boleh faham bahawa mereka tahu bahawa ayat Al-Quran itu adalah benar, sampai mereka yang kena mengatasi ayat Al-Quran itu. Dan mereka tahu bahawa ianya sesuatu yang hebat. Sampaikan mereka hanya boleh berharap sahaja untuk mengatasinya. Lihatlah dalam ayat ini, mereka berkata ‘mudah-mudahan’ – mereka berharap sahaja.

Ini adalah kerana Al-Quran itu sendiri adalah mukjizat. Ia dapat mengubah manusia serta merta. Ia tidak sama dengan kitab-kitab yang lain kerana kalau mereka mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan, mereka difahamkan dengan apa yang mereka dengar, dan kalau mereka membuka hati mereka waktu itu, mereka boleh terus berubah kepada beriman dengan Al-Quran.

Yang berkata dalam ayat ini adalah ketua-ketua masyarakat Musyrikin Mekah. Kalau di Malaysia, yang menghalang tafsir Al-Quran dari diajar adalah orang-orang yang ada pangkat dalam agama juga. Mereka takut kalau masyarakat tahu apakah kandungan Al-Quran, mereka sudah tidak ada kelebihan lagi kerana apa yang mereka bawa sebenarnya tidak sama dengan apa yang diajar dalam Al-Quran.

Apabila masyarakat tidak tahu Al-Quran, mereka senang hendak cakap apa-apa dan masyarakat senang sahaja percaya. Tetapi tidak lagi kalau masyarakat sudah faham Al-Quran, susah mereka hendak ‘cari makan’.

Tidak perlu tahu bahasa Arab untuk mula belajar. Selepas mula belajar, boleh tambah ilmu bahasa Arab sedikit demi sedikit.

Tafsir Ayat Ke-27

Takhwif Ukhrawi. Apakah balasan bagi mereka yang mengajar ajaran wahyu dari disampaikan?

فَلَنُذيقَنَّ الَّذينَ كَفَروا عَذابًا شَديدًا وَلَنَجزِيَنَّهُم أَسوَأَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

فَلَنُذِيقَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا عَذَابًا شَدِيدًا

Pasti, tidak syak lagi, Kami akan beri orang-orang yang ingkar itu rasa azab yang pedih;

Ada penekanan yang kuat dalam ayat ini. Maknanya, mereka PASTI akan dikenakan. Iaitu mereka yang menghalang Al-Quran dari diajar kepada manusia. Sudahlah mereka tidak mahu terima dan belajar, tetapi mereka halang pula lagi. Mereka berusaha untuk tentang dan palingkan orang lain dari tafsir Al-Quran.

Mereka akan dikenakan dengan azab yang sangat keras, sangat pedih. Ada penekanan dengan perkataan شَدِيدًا ini. Oleh itu, ia bukan azab yang biasa. Di dunia lagi mereka akan merasa kesempitan fikiran. Mereka mencuba sedaya upaya hendak menghalang dakwah Islam, semakin dilawan, semakin Islam berkembang. Semakin ajaran sunnah ditentang, semakin manusia hendak tahu apakah ‘wahabi’ ini. Setelah diperiksa, bila telah dengar, baru mereka nampak ini ajaran yang benar.

وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan pasti Kami akan balas kepada mereka berdasarkan kesalahan yang paling buruk dahulu.

Mula-mula Allah SWT akan beri mereka ‘rasa’ sahaja, tetapi selepas itu mereka akan kena betul-betul. Macam makan juga, mula-mula akan rasa dahulu. Selepas itu baru makan betul-betul. Ada peningkatan dari segi penggunaan bahasa yang digunakan dalam ayat ini.

Maknanya mereka kena kesusahan dalam dunia, kemudian kena pula azab dalam kubur. Akhirnya kena azab dalam neraka. Bertingkat-tingkat azab yang dikenakan kepadanya.

Balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan buruk yang mereka amalkan. Dan kesalahan mereka itu banyak. Namun, mereka akan dibalas mengikut kadar kesalahan mereka yang paling buruk sekali dan dosa yang paling jahat sekali adalah dosa syirik.

Al-Quran ini sangat hebat sampaikan boleh difahami oleh banyak peringkat. Yang peringkat rendah faham setakat peringkat rendah dahulu. Manakala yang berilmu akan dapat menambah pemahaman itu. Namun, kenalah mulakan dari peringkat rendah dahulu bukan?

Allahu a’lam.

 

 

 

 

 

 

 

 

Komen dan Soalan