Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-25

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-25

2514
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-25

Ini ayat yang terpenting dalam surah ini. Inilah MAKSUD surah ini atau dipanggil DAKWA surah.

۞ وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَحَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خاسِرينَ

Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat-umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ

Kami ‘hadiahkan’ kepada mereka teman-teman rapat.

 

Oleh kerana mereka telah ada fahaman yang syirik, maka mereka telah dihadiahkan oleh Allah SWT dengan qurana’. Qurana’ adalah jamak kepada ‘qarin’.

Perkataan ‘qarin’ bermaksud yang ‘lekat bersama’. Iaitu akan ada makhluk yang akan lekat bersama kita dari kalangan jin syaitan. Setiap manusia ada seekor ‘qarin’. Termasuk juga Nabi Muhammad SAW ada juga qarin, cuma qarin baginda telah diIslamkan.

Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abdullah bin Mas’ud r.a :

روى مسلم وأحمد عن ابن مسعود قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلمما منكم من أحد إلا وقد وكل به قرينه من الجن وقرينه من الملائكة !! قالوا : وإياك يا رسول الله ؟ قال : وإياي ،، ولكن الله أعانني عليه فأسلم ، فلا يأمرني إلا بخير. 

[ رواه مسلم 2814 وأحمد 1/385 ]

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah? “ sabdanya “ Ya aku juga ada, tetapi Allah SWT telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku Islamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.”

 

‘Qarin’ dalam ayat ini adalah qarin-qarin tambahan. Ini ditambah kerana mereka ada amalan yang salah. Apabila buat amalan salah, akan ditambah lagi dengan qarin.

Syaitan-syaitan itu kenal kita, tahu apakah kegemaran kita, perangai kita dan sebagainya kerana mereka duduk rapat dengan kita, bersama dengan kita sepanjang masa. Oleh itu, mereka tahu apakah yang boleh menjatuhkan kita. Mereka akan menyuruh kita melakukan dosa dan mereka tahu bagaimana hendak memujuk kita. Mereka tahu apa hendak ‘bisikkan’ kepada kita.

Ataupun maksud yang boleh digunakan juga adalah: seorang yang biasa buat dosa, mereka akan selesa berada dengan mereka yang buat dosa yang sama dengan mereka juga. Oleh itu, ‘teman-teman rapat’ itu juga boleh jadi dari kalangan manusia iaitu yang menempek sahaja dengan mereka. Contohnya mereka yang menempek dengan pemimpin. Mereka akan memuji-muji perbuatan pemimpin itu. Ataupun kawan-kawan yang mengajak kepada melakukan keburukan.

Apa beza antara qarin dan jin?

  • Jin – bangsa
  • Qarin – sifat

Apakah yang akan dilakukan oleh quranaa’ itu?

فَزَيَّنُوا لَهُمْ

Mereka (Quranaa’ itu) akan menghiasi bagi mereka

 

‘Teman-teman rapat’ dari jin atau dari manusia itu akan membisikkan kepada kawannya itu, supaya dia memandang indah perbuatan kufur mereka. Mereka rasa molek dengan apa yang mereka buat itu. Walaupun perkara yang dibuat itu adalah perkara salah. Tetapi tidak rasa salah pun masa buat benda yang salah itu.

Contohnya, banyak sekali wirid-wirid dari tarekat yang salah atau ajaran dari guru-guru yang tidak mengamalkan sunnah. Tetapi mereka sangka betul dan nampak cantik perbuatan mereka itu. Syaitan akan buat bagi nampak molek sahaja perbuatan mereka itu. Mereka tidakkan tinggal perbuatan salah mereka itu kerana mereka rasa ia molek.

Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang yang mengamalkan tarekat, mereka amat sayang dengan amalan bidaah dan syirik mereka. Mereka akan kata, semasa mereka mengamalkan wirid mereka itu, mereka rasa amat tenang sekali. Ada yang kata, perasaan itu macam perasaan ‘jatuh cinta’. Ada yang kata, mereka tidak dapat menceritakan kesedapan yang mereka dapat dari amalan mereka itu. Oleh itu, mereka sayang hendak tinggalkan amalan salah tersebut. Ini maksudnya mereka sudah kena ‘belitan syaitan’.

Ingatlah bahawa keindahan dan kesedapan yang mereka dapat itu adalah kerana ianya telah dicantikkan oleh syaitan. Syaitan akan mengelabui mata pengamalnya.

Dan syaitan tidak kacau bila mereka buat amalan itu. Apabila sesuatu amalan itu salah, syaitan tidak kacau. Buat apa dia kacau, sebab memang amalan itu telah salah. Memang dia suka kalau manusia lakukan amalan syirik dan bidaah.

Tetapi, jika kita buat perkara yang sunnah, yang benar dalam landasan Islam, akan ada rasa berat sahaja. Rasa malas hendak buat, dan kalau telah buat, sekejap sahaja sudah rasa mengantuk sebab syaitan akan bertumpu-tumpu hendak kacau kita. Kita akan rasa berat hendak baca Quran, rasa malas hendak solat sunat dan solat malam, kerana mereka tidak suka kita buat amalan yang benar.

Dengarlah cerita bagaimana pengamal-pengamal tarekat boleh duduk berjam-jam habiskan amalan harian mereka; beribu-ribu zikir dan wirid yang mereka lakukan. Pernah dengar, kan?

Ayat ini juga bermaksud, ada juak-juak pemimpin yang menempek dengan pemimpin itu yang akan memuji sahaja apakah keputusan pemimpin itu. Mereka puji tidak tentu pasal. Semua yang dibuat pemimpin itu cantik sahaja mereka kata.

Atau ada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia yang memuji-muji amalan salah yang mereka telah buat itu. Mereka beri sokongan dan pujian kepada pengamal amalan salah itu. Mereka kata hebat sekali amalan yang telah dilakukan oleh kawannya itu.

مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

apa yang di depan dan belakang mereka.

 

‘Depan’ bermaksud ‘masa hadapan’. Mereka akan bisikkan kepada kita, kalau buat begini, akan dapat ini, dapat itu. Kalau buat ini dan itu, akan naik ‘maqam’ dan sebagainya. Mereka menjanjikan pahala-pahala dan kelebihan-kelebihan yang tidak ada dalil.

Atau, ia juga bermaksud yang mereka sedang lakukan. Mereka akan puji amalan salah yang sedang dilakukan. Syaitan akan bisik: bagus, bagus.

Dan ‘belakang’ pula, bermaksud syaitan cantikkan kepada kita apa yang telah terjadi dahulu kepada kita. Dia akan kata kita dulu tidak buat salah banyak pun, kalau dibandingkan dengan orang lain kerana kalau kita menyesal dengan perbuatan kita dahulu, kita tidak berani hendak buat salah lagi. Oleh itu, dia akan bisikkan kepada kita yang kita ni tidak banyak dosa pun, masih ok lagi. Padahal, banyak kesalahan yang kita telah buat.

Atau, dia akan kata, sudah banyak amalan yang kita telah buat. Maka, tentu telah banyak pahala yang kita dapat. Maka kita pun suka dan berbangga dengan amalan-amalan itu.

Dalam bab doa, syaitan akan bisikkan kepada pengamal doa dengan cara yang salah itu. Mereka akan bisikkan bagaimana cara-cara doa yang amalkan dengan cara tawassul itu telah ‘menjadi’. Mereka dapat apa yang kehendaki. Jadi tidak akan salah, bukan? Syaitan kata, kalau cara doa minta kepada Nabi, wali dan malaikat itu salah, tidaklah Allah SWT berikan juga apa yang mereka minta dulu?

وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ

Dan ditetapkan kepada mereka keputusan azab.

 

Allah SWT hendak beritahu yang kalau cara itu salah, ia tetap salah. Walaupun dapat apa yang dihajati. Sesuatu perkara itu terjadi, bukan ‘tanda’ yang ianya benar.

Jadi, kalau cara doa mereka itu salah, kenapa Allah SWT beri juga apa yang mereka minta? Itu adalah sebagai ujian buat mereka. Macam kita kalau curi ayam, boleh sahaja makan ayam itu, tidaklah ayam itu jadi masin.

Maka, kerana kesalahan yang mereka lakukan itu, mereka tetap akan mendapat azab yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ

bersama umat-umat yang telah lalu

 

Mereka akan dikenakan dengan azab sama seperti mereka yang berperangai sama macam mereka. Macam kaum Aad dan kaum Tsamud itu.

Begitu juga kita akan dapat balasan sama macam apa yang akan terjadi kepada tok nenek kita dahulu juga kalau kita amalkan amalan salah yang sama macam mereka kerana kita banyak ikut amalan tok nenek kita dahulu. Benda yang telah lama mereka amalkan, kita sangka kan ia betul belaka walaupun kalau diperiksa dengan amalan Nabi dan sahabat, mereka tidak buat begitu.

مِنَ الْجِنِّ

dari golongan jin.

 

Mereka akan duduk di neraka dengan syaitan dari kalangan jin yang mengajar dan menyesatkan manusia.

Juga hendak memberitahu yang ‘qarin’ itu ada yang dari kalangan bangsa jin. Jin banyak yang menyesatkan manusia. Mereka akan membisikkan ajaran-ajaran salah kepada manusia supaya manusia puja mereka. Sebab itu orang yang mengamalkan wirid-wirid sebegini senang diganggu hantu. Sekolah-sekolah agama, pelajarnya senang kena histeria. Kerana mereka diajar dengan perkara-perkara dan amalan-amalan yang salah.

وَالْإِنْسِ

dan dari golongan manusia.

 

Dan mereka akan duduk bersama dengan manusia-manusia yang mengamalkan amalan salah. Sama-sama duduk dalam neraka.

Juga hendak memberitahu, ada qarin dari kalangan manusia juga. Ini termasuk golongan guru yang mengajar ilmu salah. Kita jangan sangka yang menjauhkan kita dari jalan Allah SWT itu hanya syaitan dari golongan jin sahaja. Syaitan itu ada juga dari kalangan manusia. Kalau jin itu menjauhkan kita dari jalan Allah SWT, ia adalah syaitan dan kalau yang menjauhkan kita dari jalan Allah SWT itu adalah manusia, orang itu juga syaitan. Syaitan dari golongan manusia kerana ‘syaitan’ adalah ‘sifat’, bukannya ‘bangsa’.

إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Sesungguhnya mereka rugi sebenar-benar rugi.

 

Mereka akan rugi dunia dan di akhirat nanti mereka akan dapat azab yang lebih pedih. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mengambil peluang menjalani kehidupan yang baik semasa di dunia. Amat rugi sekali kerana mereka tidak mendengar kata-kata dari pendakwah yang mengajak mereka ke jalan tauhid dan mengamalkan amalan sunnah.

Amat rugi sekali kerana mereka mengamalkan amalan bidaah dengan susah payah tetapi tidaklah ia diterima dan diberi pahala, malah akan menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Bukan diberi pahala, tetapi dosa yang menanti.

Amalan bidaah memang amat bahaya kerana mereka yang mengamalkan bidaah itu sebenarnya menolak sunnah. Mereka sahaja tidak sedar. Dan menolak sunnah adalah kesalahan yang amat berat sekali. Jika mereka tolak itu adalah wahyu, itu adalah kufur. Sebab itu jangan main-main dengan amalan bidaah ini. Kita hendaklah meninggalkan terus amalan bidaah.

Masalahnya, kerana salah belajar, ramai dari kalangan kita tidak tahu apakah maksud ‘bidaah’ itu. Berbagai-bagai sangkaan yang salah dalam kalangan masyarakat tentang maksud bidaah. Antara yang selalu disebut-sebut adalah ‘Bidaah Hasanah’. Banyak salah faham tentang bidaah hasanah ini sampaikan manusia tidak takut hendak beramal dengan amalan bidaah kerana ada guru dan ustaz yang kata: “tidak mengapa, kerana amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’.” Ini adalah kesilapan yang merosakkan masyarakat.

Bidaah yang tidak melibatkan ibadat sebagai contoh naik kereta adalah bidaah. Namun, ia bukan melibatkan ibadat. Jadi ini bagus, lagi cepat sampai ke destinasi.

Azan dulu tidak guna ‘speaker’. Sekarang semua masjid ada ‘speaker’, lagi ramai orang akan dengar. Jadi ini bidaah hasanah.

Bidaah yang dilarang adalah dalam bentuk ibadat. Kalau dalam bentuk kehidupan, terpulanglah kepada manusia hendak buat macam mana.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan