Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-83 hingga Ayat Ke-85

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-83 hingga Ayat Ke-85

840
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-83

Mengapa mereka yang telah dimusnahkan itu kena azab dari Allah semasa di dunia lagi? Apakah kesalahan mereka?

فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرِحوا بِما عِندَهُم مِنَ العِلمِ وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

“Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu.”

فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ

Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata

Mereka dulu telah didatangi dengan Rasul-rasul yang menyampaikan ajaran Tauhid kepada mereka. Rasul-rasul itu datang bukan dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan bawa berbagai hujah, dalil dan mukjizat untuk membenarkan apakah yang mereka bawa itu.

Zaman kita, Rasul sudah tiada, yang tinggal adalah penyebar-penyebar tauhid, mereka juga bawa dalil bukti iaitu Al-Quran dan Hadis yang sahih.

فَرِحُوا بِمَا عِنْدَهُمْ مِنَ الْعِلْمِ

mereka sombong/bangga diri dengan apa yang ada di sisi mereka dari ilmu.

Mereka rasa mereka telah maju. Maka, mereka bangga dengan apa yang mereka miliki. Ilmu yang mereka miliki hanya berkenaan dengan dunia sahaja. Mereka tidak kisah dengan ilmu akhirat itu. Mereka rasa dunia mereka telah mencukupi, akhirat letak tepi dahulu.

Ataupun, mereka berbangga dengan ilmu syirik yang mereka ada. Seperti zaman sekarang, pengamal syirik itu bangga dengan ilmu sesat mereka kerana dengan ilmu sesat mereka itu, mereka boleh jadi dan buat macam-macam. Mereka boleh tundukkan orang, boleh mengubat orang, boleh melihat ke alam jin dan macam-macam lagi.

Orang lain tidak ada ilmu itu, oleh itu memang mereka bangga dengan ilmu mereka. Mereka sangka itu ilmu yang baik tetapi bukan ilmu sebenarnya bahkan ilmu karut. Mahu tengok yang ‘real’, tengok apa hujah-hujah ‘Raja Bomoh’ bila dia kena tegur. Bangga sungguh dia dengan ilmu dia itu.

وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

dan mereka ditimpa dengan azab yang mereka dulu ejek-ejek.

Bila diberitahu mereka dengan kemungkinan azab yang akan mereka terima, tetapi tidak juga mahu terima. Malah, mereka mengejek-ejek pula. Mereka kata: “mana, mana dia azab yang kamu janjikan kepada kami dulu? kami buat syirik ini, tidak jadi apa-apa pun”?

Begitulah lebih kurang kata-kata ejekan mereka. Maka, Allah kenakan azab kepada mereka semasa mereka di dunia lagi.

Masalah dengan orang yang cinta dunia, mereka seolah-olah sangka mereka akan hidup selamanya. akal mereka memang tahu yang mereka akan mati, tetapi perasaan mereka rasa macam akan hidup lama sahaja maka, mereka tidak buat persediaan. Orang yang seperti ini kita kena dakwah kepada mereka dan cuba ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Quran kerana pada setiap helaian Al-Quran itu ada menceritakan tentang akhirat. Jangan jadikan alasan sibuk untuk tidak belajar Al-Quran. Semua orang sibuk, bermacam-macam hal hendak diuruskan, anak tuisyen, anak sekolah, anak sakit, anak hendak ikuti kem, anak hendak kahwin, Allah SWT sebut dalam Al-Quran [At-Takatsur: 1-2]:

أَلهاكُمُ التَّكاثُرُ

Dia kata, nantilah bila tidak sibuk. Kita tahu kah sampai bila sibuk ini?

حَتّىٰ زُرتُمُ المَقابِرَ

Sibuk itu sampai ke kubur. Tidak belajar, tahu-tahu sudah berada dalam kubur.

Tafsir Ayat Ke-84

Lalu, apakah kata-kata mereka apabila mereka benar-benar lihat azab itu nanti?

فَلَمّا رَأَوا بَأسَنا قالوا آمَنّا بِاللَّهِ وَحدَهُ وَكَفَرنا بِما كُنّا بِهِ مُشرِكينَ

“Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik”.

فَلَمَّا رَأَوْا بَأْسَنَا

Maka tatkala mereka melihat azab Kami

Ini adalah kata-kata mereka apabila azab datang kepada mereka. Iaitu mereka sudah dapat melihat azab itu dengan sungguh-sungguh di depan mata mereka.

قَالُوا آمَنَّا بِاللهِ وَحْدَهُ

mereka berkata: Kami beriman dengan Allah yang Esa.

Bila sudah nampak azab depan mata mereka yang akan kena kepada mereka, waktu itu kelam kabutlah mereka hendak beriman. Barulah mereka percaya dengan apa yang diberikan oleh penyeru Tauhid dulu.

Seperti juga mereka yang mengamalkan amalan yang salah, kalau mereka tengok ribut pun sudah cukup rasa takut. Sudah tidak ingat keris keramat lagi. Pada waktu itu mereka akan sebut ‘Allah’, ‘Allah’ lah sahaja.

وَكَفَرنا بِما كُنّا بِهِ مُشرِكينَ

Dan kami ingkar dengan apa yang kami dulu syirikkan

Waktu itu, mereka akan tekad untuk meninggalkan amalan-amalan syirik mereka, kerana waktu itu mereka telah nampak kesalahan dan kebatilan perkara yang mereka telah lakukan dahulu.

Kalau orang kita, mereka akan kata: “Kami tidak buat lagi benda-benda syirik dulu. – cincin, keris, dan sebagainya, semua kami akan tinggalkan”.

Tafsir Ayat Ke-85

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana keadaan apabila mereka melihat azab yang akan dikenakan kepada mereka, waktu itu mereka beriman dan akan mengingkari perbuatan syirik yang mereka lakukan sebelum itu. Tetapi adakah iman mereka waktu itu bermanfaat kepada mereka?

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمانُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكافِرونَ

“Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.”

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمانُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا

Maka tidaklah bermanfaat bagi mereka iman-iman mereka tatkala mereka sudah dapat lihat azab Kami

Iman yang hanya lahir apabila melihat azab yang akan menyebabkan kematian, tidak berguna, tidak laku lagi waktu itu. Waktu telah nampak azab, memang semua manusia dan jin akan beriman, walaupun mereka pengamal syirik yang paling tegar sekali pun. Oleh kerana itu tidak ada ujianlah lagi, maka tidak dikira lagi iman mereka pada waktu itu. Salah satu ujian adalah kita beriman dengan perkara ghaib (tidak nampak Allah, tidak nampak azab dan sebagainya). Bila telah nampak, memang semua akan beriman, maka tidaklah ada ujian lagi jika begitu.

Begitu juga dengan Firaun. Tatkala dia hendak mati lemas itu, dia kata dia beriman dengan Tuhan Nabi Musa. Namun, tidak diterima iman Firaun waktu itu. Sudah terlambat. Maka dijawab oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

{آلآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ}

Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah durhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. [ Yunus: 91 ]

سُنَّتَ اللهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ فِي عِبَادِهِ

Itulah ketetapan Allah SWT yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya yang terdahulu.

Begitulah ketetapan Allah SWT dari dahulu lagi – kalau beriman waktu sudah nampak azab, tidak laku iman waktu itu. Ini bertepatan dengan Hadis dari Nabi SAW:

“إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ”

Sesungguhnya Allah SWT senantiasa menerima taubat hamba-(Nya) selama dia belum sakarat.

Jika nyawa telah sampai halkum baru hendak bertaubat, baru hendak beriman, maka iman dan taubat waktu itu tidak lagi dikira.

Hanya kaum Nabi Yunus a.s sahaja yang selamat semasa mereka telah diturunkan azab kerana Nabi Yunus a.s telah meninggalkan mereka. Itu adalah kerana Nabi Yunus a.s telah lari meninggalkan mereka sebelum diberi kebenaran oleh Allah SWT. Jadi, mereka diselamatkan. Ini adalah pengecualian dan kita akan belajar kisah mereka dalam surah Yunus a.s nanti.

وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْكَافِرُونَ

maka di situlah zahirnya kerugian kepada orang-orang yang kafir

Waktu itu barulah mereka akan sedar tentang kerugian mereka atas amalan syirik mereka sebelum itu. Namun, sesalan yang tidak berguna sama sekali. Mereka tetap akan dikenakan dengan azab tersebut.

Maka janganlah kita sampai jadi begitu baru hendak beriman, baru hendak bertaubat. Semoga ahli keluarga kita pun begitu juga. Oleh yang demikian, kita kena sampaikan kepada mereka ajaran wahyu ini.

Dakwa atau perkara penting dan utama dalam surah ini adalah: dalam doa, kena doa terus kepada Allah. Jangan guna perantaraan makhluk di dalam doa.

Allahu a’lam.

 

 

Komen dan Soalan