Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 61: Antara Punca Nombor Hadis Berbeza Dalam Cetakan Lain

Hadis 61: Antara Punca Nombor Hadis Berbeza Dalam Cetakan Lain

808
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

61- حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ يُونُسَ الْكُوفِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا الْقَاسِمُ بْنُ مَالِكٍ الْمُزَنِيُّ، عَنِ الْجُرَيْرِيِّ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَهُ.

61- Telah bercerita kepada kami Hisyam bin Yunus Al-Kufiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Al-Qasim bin Malik Al-Muzaniy, daripada Al-Jurayriy, daripada Abi Nadhrah, daripada Abi Sa`id Al-Khudriy, daripada Nabi sepertinya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini ialah ulangan hadis sebelumnya dengan sanad yang berbeza sedikit. Untuk bahagian matan, hanya perkataan (نَحْوَهُ) sepertinya disebut. Perkataan ini bermakna, matan hadis ini adalah sama seperti hadis sebelumnya, justeru, ia tidak diulang.

Imam At-Tirmizi mengulang hadis ini, tetapi dengan sanad yang berlainan. Dalam hadis keenam puluh:
Abi Sa`id Al-Khudriy  Abi Nadhrah  Sa`id bin Iyas Al-Jurayriy  `Abdu Llah bin Al-Mubarak  Suwayd bin Nasr

Manakala dalam hadis keenam puluh satu:
Abi Sa`id Al-Khudriy  Abi Nadhrah  Al-Jurayriy  Al-Qasim bin Malik Al-Muzaniy  Hisyam bin Yunus Al-Kufiy

Dapat dilihat bagaimana nama Sa`id bin Iyas Al-Jurayriy telah diringkaskan kepada Al-Jurayriy sahaja, kerana telah maklum daripada sanad sebelumnya bahawa nama panjangnya ialah Sa`id bin Iyas Al-Jurayriy.

Pengulangan sanad ini sebenarnya telah mendatangkan sedikit permasalahan bagi penuntut ilmu hadis, apabila mereka mendapati nombor hadis dalam sesebuah kitab terbitan penerbit A tidak sama dengan nombor hadis dalam kitab terbitan penerbit B. Hal ini dapat dijelaskan bahawa semasa penomboran hadis, terdapat dua kecenderungan yang berbeza, dan inilah yang menyebabkan nombor hadis itu berbeza.

Kecenderungan pertama ialah untuk menomborkan hadis berdasarkan sanad. Justeru, setiap sanad yang berlainan diberikan nombor yang berlainan. Seperti dalam hadis ini, didapati bahawa hadis keenam puluh satu ini dinomborkan sebagai 61- dan berbeza daripada hadis sebelumnya, walaupun hadis ini tiada matan khusus kecuali ucapan (نَحْوَهُ) sepertinya.

Kecenderungan kedua ialah untuk menomborkan hadis berdasarkan matan. Justeru, matan yang berbeza akan diberikan nombor yang berbeza. Sebagai contoh, untuk hadis keenam puluh dan enam puluh satu ini, ia akan dinomborkan dengan satu nombor sahaja, iaitu ia disekalikan. Justeru, sanad yang kedua ini akan disambung selepas matan hadis yang awal.

Disebabkan perbezaan kaedah penomboran itu, nombor hadis yang datang selepas hadis ini akan berbeza, mungkin satu atau dua hadis, dan apabila semakin ke tengah kitab, iaitu setelah kes kelainan sistem penomboran ini berulang beberapa kali, perbezaan nombor hadis akan begitu ketara sehingga menyukarkan pencarian.

Justeru, menjadi satu syarat apabila seseorang menggunakan kitab hadis, untuk dia menyebut kitab itu terbitan syarikat mana, atau mengikut penomboran oleh siapa, bagi membolehkan para pembaca merujuk kembali hadis tersebut di dalam kitab asal. Jika pembaca ingin merujuk hadis tersebut tetapi dengan menggunakan kitab terbitan syarikat yang berlainan, maka dia terpaksa mengubah suai cara carian menjadi beberapa langkah.

Langkah pertama ialah mencari pada nombor hadis yang sama, dan melihat adakah itu hadis yang dicari. Jika bukan, langkah kedua ialah melihat hadis sebelumnya, dan sebelumnya, dan sebelumnya – mungkin sehingga dua puluh hadis –. Jika masih tidak berjumpa, langkah ketiga ialah melihat hadis selepas nombor hadis tadi, dan selepasnya, dan selepasnya sehingga berjumpa – mungkin dalam dua puluh hadis –.

Jika masih tidak berjumpa, dia hendaklah membuka kitab asal dan mencari nama bab, kemudian dia mencari nama bab tersebut di dalam kitab terbitan syarikat berlainan tadi, dan mencari hadis yang diinginkan di dalam bab tersebut. Setelah dijumpaï, dia boleh melihat perbezaan nombor hadis adakah ia positif (selepas) atau negatif (sebelum). Setelah itu, jika dia perlu mencari lagi hadis dalam kitab itu, dia sudah boleh mengagak nombor hadis berdasarkan positif atau negatif.

Contohnya, dalam carian pertama, ia ialah positif enam belas (+16). Justeru, dalam carian seterusnya, dia boleh mencari hadis yang diingini dengan menambah enam belas pada nombor itu, atau jika tidak berjumpa dia mengulang langkah kedua atau langkah ketiga.

Kaedah lain penomboran – yang turut digunakan – ialah menomborkan setiap hadis mengikut bab, dan apabila datang bab baru, ia akan dimulakan semula dengan satu semula. Hal ini sama seperti penomboran ayat di dalam Al-Qur’an, iaitu setiap bab (atau surah) baru, ia akan bermula dengan hadis (atau ayat) yang pertama.

Apabila kaedah penomboran ini digunakan, seseorang akan menyebut nombor hadis dan bab, contohnya bagi hadis ini, ia akan disebut sebagai hadis kelapan, Bab Apa yang datang berkenaan pakaian Rasuli Llah. Dalam kes-kes tertentu, yang lebih memeningkan penuntut ilmu, ia akan ditulis Bab 8, Hadis ke-8.

Justeru, sebagai penuntut ilmu hadis, kaedah penomboran dan pencarian hadis di dalam kitab hadis ini adalah penting untuk diketahuï dan dikuasaï.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan