Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-47 dan Ke-48

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-47 dan Ke-48

784
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-47

Allah SWT sekarang menceritakan ahwal neraka (keadaan dalam neraka). Ini adalah interaksi antara pengikut dan ketua/guru mereka. Sebelum ini telah diceritakan tentang Firaun dan pengikutnya – kerana mereka pun termasuk dalam golongan ini juga. Dulu semasa di dunia, mereka ikut sahaja apa yang diajar dan disuruh kepada mereka tanpa soal. Begitulah kebanyakan orang kita sekarang pun. Itulah golongan mereka yang malas belajar dan hanya sangkut pada fahaman orang lain.

Itu dinamakan taqlid buta. Ini bukan ajaran Islam kerana Allah SWT telah beri Al-Quran kepada kita dan suruh kita belajar. Kita disuruh belajar kerana kita juga telah diberi akal. Tidak ada mana-mana nas yang suruh umat Islam hanya taqlid sahaja. Kalau taqlid sahaja amat bahaya kerana kita tidak dapat pastikan sama ada orang yang kita ikut itu berada di jalan yang benar atau tidak.

Ketahuilah, sebahagian besar dalam neraka adalah golongan pengikut. Kalau hendak ikut, golongan Sahabat Nabi sahaja yang boleh diikuti sebab mereka itu memang ahli syurga kerana itulah maksud ‘Jemaah’ dalam lafaz Ahli Sunnah wal Jamaah itu adalah Sahabat Nabi. Kita ikut mereka kerana mereka pun ikut Nabi. Jika mereka tidak ikut Nabi, kita pun tidak ikut mereka.

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ

“Dan semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapat kah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?”

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ

Dan semasa mereka berbantah-bantahan dalam neraka,

Ayat ini adalah kata anak-anak murid kepada guru yang telah beri ajaran salah. Mereka berbalah bantah sesama mereka dalam neraka. Dulu semasa di dunia, mereka rapat sekali sampaikan ada pengikut yang cium kaki mereka. Tetapi lain jadinya di akhirat kelak. Waktu itu yang mengikut itu menyesal kerana dulu mereka ikut tanpa usul periksa.

فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا

“iaitu orang-orang yang lemah berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur”

Orang-orang yang lemah yang dimaksudkan adalah anak murid. Mereka yang lemah dari segi kedudukan dunia dan dari segi kedudukan agama. Mereka itu juga lemah fikiran sebab mereka ikut orang lain tanpa usul periksa. Lemah dari segi pegangan agama.

Mereka berkata dalam ayat ini kepada ‘pembesar’ mereka iaitu tok guru. Mereka itu nampak ada kebesaran dan kedudukan semasa di dunia. Kalau dalam kerajaan, mereka itu adalah pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.

إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا

“Sesungguhnya kami dulu telah menjadi pengikut-pengikut kamu,

Sesungguhnya mereka dulu adalah murid-murid, atau pengikut-pengikut setia, atau rakyat kepada guru atau pemimpin itu. Apa yang dikatakan oleh pemimpin itu mereka ikut; apa yang diajar oleh guru itu mereka ikut dan mereka amal. Taat mereka dulu semasa di dunia. Kalau dulu mereka taat, sekarang mereka hendakkan sesuatu dari pemimpin dan guru mereka itu.

فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ

maka dapat kah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?”

Tidakkah kamu boleh selamatkan kami dari azab neraka ni? Jika tidak boleh semua, sebahagian pun bolehlah, janji ada kurang sikit. Mereka sedang tanya kepada ustaz-ustaz mereka, guru-guru mereka, pemimpin-pemimpin mereka. Mereka minta kalau pemimpin mereka itu boleh ganti azab yang sedang mereka hadapi itu kerana mereka kata semua itu salah pemimpin mereka dahulu yang ajar mereka, suruh mereka buat perkara-perkara yang salah itu. Kalau tidak dapat ganti pun, carilah jalan macam mana boleh kurangkan sedikit.

Tafsir Ayat Ke-48

Apakah jawapan orang-orang besar itu kepada orang bawahan mereka?

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُلٌّ فِيهَا إِنَّ اللهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ

“Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: “Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan hukuman-Nya di antara sekalian hamba-Nya ”

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا

“Berkata tok guru/orang-orang besar itu”,

Iaitu pemimpin dan tok guru yang sesat itu. Setelah orang bawahan cakap begitu kepada mereka, mereka pun jawab.

إِنَّا كُلٌّ فِيهَا

“Sesungguhnya kita semua dalam neraka ini sama-sama”

Kita telah sama-sama masuk dalam neraka. Bukan yang mengikut sahaja telah masuk, yang diikut pun masuk juga. Tidak ada yang selamat kerana masing-masing ada buat kesalahan. Jika hendak ganti ambil azab dari pengikut mereka itu, mereka pun tidak boleh sebab mereka pun waktu itu kena azab juga.

Kalau mereka duduk di luar neraka, bolehlah hendak tolong tetapi mereka pun duduk dalam neraka, bagaimana hendak tolong?

إِنَّ اللهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ

“sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan hukuman-Nya di antara sekalian hamba-Nya”

Allah SWT telah buat keputusan tetap yang kita semua ini adalah ahli neraka. Azab yang kamu dapat itu adalah kerana salah kamu dan azab yang kami dapat ini pun adalah atas kesalahan kami dahulu juga. Tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka pun sedar yang mereka tidak ada harapan lagi untuk keluar.

Mereka kata: Kami ajar dulu pun sukarela, tidak paksa kamu ikut. Syaitan pula berkata dalam ayat yang lain, mereka cuma beritahu sahaja. Tetapi orang yang mengikut itu yang sukarela hendak ikut.

إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ

“(Yaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.[Al-Baqarah: 166]

Allah SWT telah beri wahyu, diberi akal dan pancaindera. Maka nilaikan sendiri.

يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

“Allah SWT menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah SWT)”.[Al-Baqarah: 269]

Seseorang yang Abid belum tentu selamat lagi. Ibadat kena didasari dengan ilmu.

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. [Al-Isra’: 36]

Maka yang selamat adalah alim, bukan abid tetapi jika abid ada ilmu itulah yang terbaik.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan