Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian 1)

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian 1)

982
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian 1)

Pada perbincangan yang lepas, kita telah berbicara mengenai :

1.Amaran mengenai balasan buruk kepada orang yang kufur dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT iaitu neraka Jahanam, dan kekal berada di dalamnya.

2. DUA pilihan makhluk yang kita boleh pilih. Sama ada menjadi seburuk makhluk, atau sebaik makhluk. “Tepuk dada, tanya Iman”

Telah kita ketahui bahawa, makhluk yang terbaik ialah:

 خَيرُ البَرِيَّةِ

“Iaitu sebaik-baik kejadian, sebaik-baik makhluk”.

Apakah yang akan didapati oleh خَيرُ البَرِيَّةِ itu?

Tafsir Ayat Ke-8:

جَزاؤُهُم عِندَ رَبِّهِم جَنّاتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها أَبَدًا ۖ رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ لِمَن خَشِيَ رَبَّهُ

“Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah SWT redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya”.

جَزاؤُهُم عِندَ رَبِّهِم

“Balasan bagi mereka ada di sisi Tuhan mereka”.

Beberapa pengajaran berkaitan “balasan di sisi Allah SWT”

Pertama:

Sifat mereka yang beriman, tidak cenderung balasan dunia, tetapi mereka mengharap redha Allah SWT dan keselamatan di akhirat kelak.

Inilah yang telah kita bincangkan, sesuai dengan sifat orang-orang yang ikhlas dalam beragama.

Seperti dalam ayat yang kelima:

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah SWT dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama”.

مُخلِصينَ

“Orang-orang yang ikhlas”.

Sesuailah balasan yang mereka akan peroleh, kerana kepercayaan mereka terhadap balasan akan diberikan di akhirat, walaupun mereka tidak nampak balasan itu.

Kedua:

Allah SWT hendak menunjukkan bahawa balasan kepada “Khairul Bariyyah” sangat istimewa. Sehingga Allah SWT menekankan bahawa “balasan di sisi Tuhan” mereka.

Sifat redha ialah apabila benar-benar menjadi hamba Allah SWT. Dengan ibadah, tauhid, hidup di atas dunia sesuai sebagai hamba-Nya.

Adapun yang mengungkap kata “redha” tetapi tidak buat apa-apa, itu hanya alasan. Tidaklah menjadi hamba Allah SWT yang sebenar.

Orang yang redha kepada Allah SWT, tentu akan takut juga kepada Allah SWT. Semakin seseorang tidak takut menjadi hamba Allah SWT, automatik sebenar dia dimuliakan Allah SWT.

Redha dan sabar adalah berbeza. Sabar lebih umum, boleh jadi dalam banyak perkara hatta non- muslim juga boleh “bersabar”. Manakala redha lebih khusus antara seseorang dengan Tuhan. Tidak akan ada sekali non-muslim ada kaitan redha dengan Allah SWT.

Mereka akan mendapat :

جَنّاتُ عَدنٍ

“Taman Adnin”

Apakah cir-ciri golongan yang boleh memasuki Syurga ini?

1. Orang yang bertaqwa kepada Allah SWT Taala :

Rujuk Surah[ An-Nahl: 30 – 31]

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْزِي اللَّهُ الْمُتَّقِينَ

“Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah Yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini akan mendapat balasan yang baik, dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa.

Iaitu Syurga ‘Adnin, yang mereka masuk ke dalamnya, yang mengalir padanya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki; Demikianlah ALLAH   SWT memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa”.

2. Orang-orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh

Rujuk Surah [Taha: 75 – 76]

وَمَن يَأْتِهِ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ الصَّالِحَاتِ فَأُولَٰئِكَ لَهُمُ الدَّرَجَاتُ الْعُلَىٰ

جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ مَن تَزَكَّىٰ

 “Dan barang siapa yang datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman dan bersungguh-sungguh telah beramal soleh, maka mereka itulah orang-orang yang telah memperolehi tempat tinggi lagi mulia Iaitu Syurga ‘Adnin yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan itu adalah balasan bagi orang-orang yang bersih dari kekufuran dan maksiat”.

3. Orang yang banyak berbuat kebaikan dan sangat jarang berbuat kesalahan :

Rujuk Surah [Fatir: 32 – 33]

 وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ

“… dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya ada pula orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin ALLAH   SWT. Yang demikian itu adalah kurnia yang sangat besar.

Bagi mereka adalah Syurga ‘Adnin’, yang mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka dihiasi dengan gelang-gelang emas dan mutiara; dan pakaian mereka adalah sutera”

4. Orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Allah SWT, mendirikan solat, menginfakkan harta di jalan Allah SWT dan dapat menolak segala kejahatan dengan kebaikan.

Rujuk Surah [Ar Ra’du: 22 – 23]

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ

“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan, mendirikan solat, serta menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik,

Iaitu Syurga ‘Adnin, mereka masuk bersama-sama orang-orang yang soleh, ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.”

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

“Di bawah mengalir sungai-sungai”.

“Fitrah Manusia!”

Apa kaitan syurga dengan air mengalir..?

1. Fitrah manusia yang boleh mendapat ketenangan melihat air mengalir.

2. “Isyarat” dari Allah SWT betapa orang beriman akan mendapat kerehatan setelah “penat” atas dunia.

3. Sungai sebagai gambaran nikmat yang berterusan.

4. Tempat tinggal yang sangat menarik ( kalah chalet atas dunia ).

خالِدينَ فيها أَبَدًا

“Mereka akan kekal di dalamnya ( Mereka akan kekal di dalam syurga itu sampai bila-bila )”

Dalil ini menunjukkan keadaan / jaminan kepada orang beriman.

Ada pun orang kafir, juga kekal dalam azab Allah   SWT.

Rujuk Surah [ Al Ahzab: 65]

خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

“Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong”.

Soalannya kenapa dalam Surah Bayyinah ( ayat 6 ) – tiada perkataan Abada ( selamanya )??

Mufassir berhujah yang ianya bergantung kepada surah itu. Kalau surah itu lebih banyak disebut tentang syurga, maka syurga akan dilebihkan dan ditambah dengan kalimah أَبَدًا.

Dan kalau ianya sama banyak disebut dalam surah itu, kedua-dua syurga dan neraka akan ada kalimah أَبَدًا. Oleh itu, dalam surah ini, kerana lebih banyak penerangan diberikan tentang ahli syurga, maka kalimah أَبَدًا diletakkan pada ayat yang menceritakan tentang syurga.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Balasan yang teristimewa Allah SWT nyatakan kepada golongan Khairul Bariyyah:

– di sisi Tuhan

– Syurga Adnin

– Keadaan yang sangat baik ( sungai mengalir )

2. Sesungguhnya petua dan kaedah telah kita ketahui untuk masuk ke Syurga Adnin, hanya usaha sahaja yang diperlukan untuk ke sana. Buat “kerja” sungguh-sungguh atas dunia, nanti rehatlah sepuas-puasnya dalam Syurga tersebut.

3. Tidaklah bermaksud jalan ke syurga bagi setiap umat itu semudahnya iaitu cukup dengan mendirikan sembahyang, zakat, berpuasa dan memberi pertolongan di mana mampu tetapi hati penuh dengan hasad dengki, dendam, riak, takbur, dan mulut sentiasa tidak putus-putus dari dusta, menabur fitnah, dan sikapnya sombong / ikut hawa nafsunya.

Semakin seseorang itu “takut” kepada Allah SWT ( taqwa ), maka semakin mulia seseorang itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan