Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-5 dan Ke-6

Tafsir Surah Az-Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-5 dan Ke-6

986
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zalzalah

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan :

1. Amaran dari Allah SWT serta kehancuran dunia, iaitu peristiwa ketika berlaku kiamat;

2. Sifat manusia yang lalai untuk melihat dan mengambil iktibar dari bencana atau kerosakan bumi hari ini;

3. Penjelasan Allah SWT mengenai proses kiamat.

Dalam surah ini, kita dapati bahagian awal surah adalah berkaitan dengan proses kiamat di atas dunia. Maka ayat yang seterusnya, kita membincangkan lagi “perjalanan” manusia dalam menuju Allah SWT ketika proses kiamat nanti :

Tafsir Ayat Ke-5:

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوحىٰ لَها

“Kerana sesungguhnya Tuhan mu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya”.

Kalimah أَوحىٰ selalunya diterjemahkan sebagai ‘wahyu’. Dari segi bahasa, ia dari kata dasar و ح ي .

Ada beberapa pengertian lain yang kita boleh fahami :

1) Isyarat

Oleh itu, dari segi bahasa, ia boleh digunakan dalam Al-Quran dengan beberapa maksud, tidak sekadar “wahyu” yang kita biasa fahami.

Sebagai contoh dalam Surah [ Maryam: 11 ]

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

“Maka ia (Nabi Zakaria) keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu ia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih di waktu pagi dan petang”.

Ayat ini memberitahu bagaimana Nabi Zakaria keluar dari Mihrab dan menyuruh pengikut baginda untuk bertasbih pagi dan petang.

TETAPI jika kita ketahui dari kisah sebelum ayat ini, baginda tidak boleh berkata-kata selama tiga hari tiga malam! Oleh itu, bagaimanakah baginda menyampaikan arahan itu kepada mereka?

Maka dapat kita fahami, ia adalah dari perintah menggunakan “isyarat”.

Dalam ayat ini, digunakan kalimah فَأَوحىٰ yang seperti juga digunakan dalam ayat ke-5 surah Zalzalah ini. Dalam kisah Nabi Zakaria itu, baginda memberi isyarat tangan kepada mereka. Dengan isyarat itu, mereka tahu apa yang mereka kena lakukan.

2) Ilham

Contoh di dalam Surah [ Al-Qasas: 7 ]

أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepada mu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul”.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini, Allah telah “mewahyukan” kepada ibu Nabi Musa a.s. Namun ibu baginda bukanlah seorang Nabi, maka ia tidaklah sama seperti mana cara Allah wahyukan kepada para Nabi.

Oleh itu, maksud أَوحَينا di dalam ayat ini adalah:‘Kami ilhamkan ( Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa )

3) Bisikan

Dalam Al-Quran, kita boleh dapati perkara ini berkaitan dengan usaha Syaitan menyesatkan manusia: Lihat dalam Surah [ Al-An’am: 121 ]

وَإِنَّ الشَّياطينَ لَيوحونَ إِلىٰ أَولِيائِهِم لِيُجادِلوكُم

“Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu”;

Maksud لَيوحونَ adalah syaitan itu akan membisikkan : isyarat dan memberi maklumat kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Sama-sama tahu apa yang hendak dilakukan.

Bagaimana Syaitan boleh menjadi teman kepada kita?

Ada beberapa panduan dari Al-Quran, antaranya :

1. Sentiasa waspada diri kita agar jangan jauh dari peringatan Al-Quran.

2. Pastikan “ilham” mengikuti syariat yang benar ( Quran dan Sunnah ). Maka, jika selain dari itu adalah bahaya apatah lagi jika sebaliknya ilham itu bertentangan dengan dalil.

3. Ilham yang baik mendatangkan manfaat ( pahala ), yang buruk mendatangkan keburukan.

Dengan demikian itulah kita perlu belajar Al-Quran. Berlindung dengan Allah dari Syaitan ( melalui kalam Allah ).

Tafsir Ayat Ke-6:

يَومَئِذٍ يَصدُرُ النّاسُ أَشتاتًا لِيُرَوا أَعمالَهُم

“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka”,

يَومَئِذٍ

Hari Akhirat.

Soalan : Apakah yang berlaku pada hari itu?

يَصدُرُ النّاسُ

Manusia keluar dari kuburnya’

Dalam maksud yang lain pula, kalimah يَصدُرُ berasal dari kalimah ص د ر yang bermaksud ‘dada’.

Contoh penggunaan seperti ini dalam Al-Quran iaitu Surah [ Al-Qasas: 23 ] ( kisah Nabi Musa a.s. bertemu dua orang wanita yang sedang menunggu untuk mengambil air ).

Apabila ditanya kepada mereka, kenapa mereka tidak pergi mengambil air di telaga, jawapan mereka :

قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ

Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya),

Dalam ayat ini, Allah hendak menyatakan bagaimana manusia itu juga adalah seorang صادر ( mereka akan keluar dari bumi setelah Kiamat dan mereka akan dikembalikan ke bumi untuk menerima timbangan amal mereka )

Akan tetapi dunia pada waktu itu telah menjadi tempat yang berlainan, tidak sama dengan waktu kita hidup dulu. Kerana bumi yang asal telah dihancurkan dan Allah akan buat bumi yang baru.

Kita pernah bincangkan, apakah DUA keadaan ( perumpamaan ) manusia yang bangkit dari kubur.

Sewaktu bangkit dari kubur, akan terjadi dua perihal:

  1. Seperti “Kelkatu” – Surah Al-Qariah

(Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran. [ Al-Qari’ah 101:4]

  1. Seperti “Belalang” – Al-Qamar

(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran. [ Al-Qamar: 7].

Kelkatu : gambaran betapa kelam kabut

Belalang : Manusia akan “terlompat” ke sana-sini dari Kubur, menuju ke Mahsyar

Kita akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan :

أَشتاتًا

Dari kata dasar ش ت ت yang bermaksud: Sesuatu yang pecah kepada beberapa bahagian.

Dengan pelbagai keadaan dan suasana.

Dalam surah [ Abasa: 38 – 41 ]

وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ. ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ. وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ. تَرهَقُها قَتَرَةٌ.

Banyak muka pada hari itu berseri-seri, tertawa dan bergembira ria, dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,dan ditutup lagi oleh kegelapan

لِيُرَوا أَعمالَهُم

Supaya mereka melihat amal-amal mereka

Dua kalimah yang digunakan dalam A- Quran untuk ‘perbuatan’.

Sama ada terjumpa kalimah فعل atau عمل.

Apakah beza antara keduanya:

فعل

Perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir / ia terjadi sendiri.

– Sebagai contoh, bernafas, melihat, mendengar, kelip mata dan sebagainya.

عمل

Perbuatan yang dilakukan dengan sengaja, dengan niat.

– Sebagai contoh: makan, melihat dengan sengaja, mendengar dengan sengaja, membaca dan sebagainya.

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan adalah عمل – kalimah yang digunakan adalah أَعمالَهُم (amal-amal mereka) iaitu mereka akan ditunjukkan dengan perbuatan mereka yang sengaja.

Disebabkan itulah ayat ini juga dinamakan, ayat Yaumul Hisab.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Nasihat dari ayat ini : Kita hendaklah sentiasa berwaspada sewaktu hidup di atas dunia dengan melakukan perkara yang baik. Ini kerana, kita akan berhadapan dengan sifat bumi yang “tidak sabar” untuk menzahirkan apa yang kita semua telah lakukan.

**Macam zaman sekolah, hati-hati ada “pengawas” yang terbabit bagi laporan.

2. Jika atas dunia lagi, kita cenderung memilih kumpulan yang berjaya. Maka hendaklah juga kita berusaha agar tersenarai dalam banyak kumpulan yang turut berjaya semasa melalui sesi pertemuan dengan Allah SWT.

3. Kita dituntut menjaga kualiti amalan dengan berpandukan wahyu Allah SWT, kerana DIA yang mencipta manusia dan DIA jua yang akan menjadi Hakim penentu amal perbuatan kita di atas dunia ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan