Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-31 dan Ke-32

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-31 dan Ke-32

531
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-31

Ini adalah penjelasan dari Lelaki Beriman itu tentang يَوْمِ الْأَحْزَابِ di dalam ayat sebelum ini.

مِثلَ دَأبِ قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم ۚ وَمَا اللَّهُ يُريدُ ظُلمًا لِلعِبادِ

“(Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut). Dan (ingatlah) Allah SWT tidak menghendaki berbuat kezaliman kepada hamba-hamba-Nya”.

مِثْلَ دَأْبِ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ

“Seperti keadaan kaum Nabi Nuh dan Aad dan Kaum Tsamud”

Perkataan دَأْبِ bermaksud berterusan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ia adalah perbuatan yang selalu dilakukan oleh seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang perbuatan yang selalu dilakukan oleh Kaum Nuh, Aad dan Tsamud.

Apakah yang biasa mereka lakukan? – Mereka menidakkan kebenaran. Disebabkan perangai mereka itu, mereka telah dikenakan azab dari Allah SWT. Jadi, Lelaki Beriman ini takut perkara yang sama juga terjadi kepada kaumnya itu seperti yang terjadi kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud.

Dalam ayat ini juga mengingatkan bahawa Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Saleh membawa perkara yang sama sahaja iaitu ajaran mereka – Ajaran Tauhid.

وَالَّذِينَ مِن بَعْدِهِمْ

“dan orang-orang yang selepas mereka“.

Bukan sahaja kaum Nuh, Aad dan Tsamud tetapi mereka yang datang selepas mereka seperti kaum Nabi Luth dan lain-lain lagi.

وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعِبَادِ

“Tidaklah Allah SWT itu ingin memberi kezaliman kepada hamba-hamba-Nya”

Ini adalah Idkhal Ilahi (Pencelahan Tuhan). Apabila disebut bagaimana kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud yang dimusnahkan, mungkin ada yang terfikir yang Allah SWT itu zalim. Maka Allah SWT mencelah dalam ayat ini dengan memberitahu yang Allah SWT tidak zalim dan tidak akan mengazab hamba yang tidak bersalah. Semua yang telah diazab itu adalah kerana mereka sendiri yang zalim. Allah SWT tidak ada keinginan untuk zalim pun.

Oleh itu, ingatlah yang orang-orang dahulu itu telah dikenakan dengan azab bukanlah kerana kezaliman Allah SWT. Mereka itu memang layak dikenakan dengan azab itu kerana mereka telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah kezaliman akidah, iaitu melakukan syirik kepada Allah SWT.

Jadi, ayat ini adalah tentang Takhwif Duniawi, iaitu menakutkan mereka tentang bala yang Allah SWT boleh kenakan kepada mereka semasa di dunia lagi.

Tafsir Ayat Ke-32

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Sebelum ini Lelaki Beriman itu memberikan tahdid (ugutan) duniawi.

وَيا قَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم يَومَ التَّنادِ

“Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan)”,

وَيَا قَوْمِ

“Wahai kaumku”,

Lihatlah bagaimana Lelaki Beriman ini ambil berat tentang kaumnya. Dia memberi nasihat kepada kaumnya kerana dia sayang kepada kaumnya. Seorang mukmin kena ada sikap begitu. Kita kena kesian kepada orang lain yang tidak mengamalkan agama Islam yang sebenar. Sebab itu kita nasihatkan mereka kerana kita hendak mereka selamat, bukannya kita hendak meninggikan diri kita.

Dan jangan kita hendak selamatkan diri kita sahaja. Apabila kita bersama-sama beriman dengan orang lain, maka kita akan semakin kuat dan banyak perkara kita boleh lakukan dalam bentuk ibadat dan dakwah. Jadi, kena ajak orang lain juga. Marilah sama-sama amalkan ajaran sunnah yang mulia ini.

Lihatlah bagaimana Lelaki Beriman ini berkata dengan lembut kepada kaumnya. Kadang-kadang kita rasa, kalau kita benar, kita boleh bercakap kasar dengan orang yang kita dakwah. Janganlah begitu, kerana kalau kita bercakap kasar dengan orang lain, walaupun apa yang kita dakwahkan itu benar, tetapi disebabkan kasar, orang pun tidak mahu dengar. Ada kemungkinan mereka akan terus tolak sebab tidak suka dengan cara kita.

Berkata-katalah dengan lembut dan baik dengan orang yang kita dakwahkan itu. Tidak rugi pun kalau kita bercakap baik dan merendah diri. Termasuk juga dalam berhujah dengan orang lain – bercakaplah dengan lemah lembut. Orang akan lebih tertarik dan lebih ingin dengar apa yang kita hendak sampaikan.

Kadang-kadang kita lihat bagaimana pendakwah agama itu bersikap kasar dan kasar, rasa diri benar sahaja dan pandang hina kepada orang lain. Kadang-kadang yang berkata sebegitu adalah ustaz pula – ini sangat memalukan. Kalau ustaz pun cakap begitu, bagaimana pula dengan anak murid? Ingatlah yang bukan kita yang beri hidayah, tetapi Allah SWT.

Alhamdulillah kita sudah dapat hidayah, orang lain belum lagi. Dahulu kita pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah, tetapi Alhamdulillah, Allah SWT buka hati kita kepada Jalan Sunnah ini. Mungkin Allah SWT belum buka hati mereka lagi, maka bersabarlah.

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ

“Sesungguhnya aku takut kepada kamu pada ‘hari panggil memanggil’”.

Lafaz يَوْمَ التَّنَادِ (Hari panggil memanggil) adalah salah satu nama dari Hari Kiamat. Ada banyak nama yang digunakan oleh Allah SWT untuk menceritakan keadaan pada hari itu. Nama itu sendiri ada cerita di sebaliknya.

Kalau manusia yang ingkar itu tidak dikenakan dengan azab semasa di dunia, mereka boleh dikenakan dengan azab di Akhirat kelak yang disebut dalam ayat ini sebagai يَوْمَ التَّنَادِ. Panggil memanggil siapa? Iaitu suami akan panggil isteri, isteri akan panggil suami; anak akan panggil ayah, anak murid panggil guru mereka; saling panggil memanggil sesama sendiri.

Kenapa mereka panggil memanggil itu? Mereka memanggil itu kerana meminta tolong. Sebab tidak tahu hendak buat apa, hendak selamatkan diri sendiri sudah tidak boleh, maka menjerit minta tolong kepada orang lainlah, entah-entah orang lain boleh tolong, tetapi bolehkah?

Malangnya tidak ada sesiapa yang akan mampu menolong sesiapa pada hari itu. Mereka yang dipanggil pula akan lari jauh-jauh. Anak akan lari dari ibu bapanya, suami akan lari dari isterinya, kawan baik akan lari dari kawannya yang paling rapat di dunia pun. Apabila nampak sahaja orang yang mereka kenal, mereka akan lari. Inilah keadaan di Mahsyar sebelum mereka duduk berlutut menunggu keputusan Allah SWT. Masa itu sudah tidak bercakap apa-apa. Cuma berbisik-bisik.

Oleh itu, buatlah sesuatu di dunia ini supaya kita tidak susah semasa di Mahsyar kelak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan