Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 57: Al-Qamis Dan Keutamaan Ilmu Dari Ulama Wanita

Hadis 57: Al-Qamis Dan Keutamaan Ilmu Dari Ulama Wanita

242
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

57- حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ الْحَجَّاجِ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ بُدَيْلٍ يَعْنِي ابْنَ مَيْسَرَةَ الْعُقَيْلِيَّ، عَنْ شَهْرِ بْنِ حَوْشَبٍ، عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ، قَالَتْ: كَانَ كُمُّ قَمِيصِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الرُّسْغِ.

57- Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin Muhammad bin Al-Hajjaj, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Mu`az bin Hisyam, dia berkata: Telah bercerita kepada saya bapa saya, daripada Budayl iaitu bin Maysarah Al-`Uqayliy, daripada Syahr bin Hawsyab, daripada Asma’ binti Yazid, dia berkata: Lengan qamis Rasuli Llah adalah sehingga ke pergelangan tangan.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menjelaskan bahawa lengan qamis Rasuli Llah adalah sehingga ke pergelangan tangan. Secara mudah, qamis Rasuli Llah adalah berlengan panjang, sepanjang lengan baju kemeja lengan panjang, atau baju Melayu, atau jubah lengan panjang.

Lengan baju sehingga pergelangan tangan bermaksud ia dapat melindungi pemakainya daripada terik matahari atau daripada kesejukan angin. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kewajiban menjadikan lengan qamis atau pakaian sehingga ke pergelangan tangan, kerana ia mengikut kesesuaian.

Sungguh pun demikian, ini menjadi suatu saksi bahawa memakai pakaian berlengan panjang adalah salah satu daripada pakaian yang disukaï oleh Nabi. Justeru, dalam memakai pakaian moden, adalah baik jika pakaian yang memang berlengan panjang, dipakai dengan melabuhkannya ke lengan, iaitu tidak melipat lengan baju itu sehingga pendek atau ke siku.

Ini berlainan dengan pakaian yang memang berlengan pendek seperti kemeja-t, atau yang tidak berlengan langsung seperti singlet, kerana ia dijahit dengan tanpa lengan. Apabila pakaian itu sudah dijahit dengan berlengan, maka pakailah ia dengan lengannya, iaitu tidak dilipat atau disingkatkan.

Di dalam hadis ini disebutkan di bahagian isnadnya bahawa Syahr bin Hawsyab meriwayatkan daripada Asma’ binti Yazid. Syahr bin Hawsyab ialah antara (كِبَار التَّابِعِينَ)) kibari t-tabi`in, iaitu dia tidak sempat berjumpa Rasulu Llah, namun sempat berjumpa dengan sahabat.

Syahr bin Hawsyab ialah mawla sahabiyah bernama Asma’ binti Yazid. Mawla bermakna dia bukan anak kandung Asma’, tetapi dibela dan dipelihara oleh Asma’. Dalam hadis ini, Syahr bin Hawsyab meriwayatkan daripada Asma’ binti Yazid, iaitu ibu angkatnya. Selain hadis ini, ada beberapa lagi hadis yang menyebut riwayat Syahr bin Hawsyab daripada Asma’ binti Yazid.

Melihat isnad seperti ini, adalah tidak salah seseorang lelaki meriwayatkan daripada seseorang perempuan ilmu yang bermanfa`at, sama ada Al-Qur’an, riwayat hadis, bahkan ilmu dunia. Justeru, jika seseorang wanita itu dikenali kerana ilmunya dan siqahnya dalam agama, maka hendaklah masyarakat, yang lelakinya dan – yang lebih awla – yang perempuannya untuk mengambil manfa`at dengan belajar daripada guru tersebut, walaupun dia seorang perempuan.

Hal yang sama dalam dunia moden, apabila ada wanita yang mahir dalam sesuatu bidang ilmu atau kemahiran, maka masyarakat bolehlah mengambil ilmu daripadanya, dan tidak membiarkannya atau meremehkannya atas alasan bahawa dia ialah seorang perempuan.

Bagi wanita pula, tiada halangan baginya untuk menyambung pelajarannya, sehingga ke peringkat tertinggi, bahkan tiada halangan untuknya menyumbang semula kepada masyarakat dengan mengajar mereka.

Walau bagaimanapun, seseorang wanita yang hendak mengajar masyarakat, terutama lelaki yang bukan mahram, maka dia hendaklah menjaga kehormatan dirinya dan maruahnya sebagai seorang perempuan. Wanita itu hendaklah tidak berhias di hadapan lelaki yang bukan suaminya, dia hendaklah tidak memakai pewangi apabila keluar dari rumahnya, dan dia tidak boleh bertabarruj, iaitu mencantikkan dirinya.

Wanita itu juga tidak boleh melunak-lunakkan suaranya, atau menggedik-gedikkan tubuhnya, dan dia hendaklah beringat bahawa dia keluar untuk menyampaikan ilmu bagi mencari keredhaan Allah, bukan dia mahu memancing mata lelaki atau masyarakat kepada kecantikan dan keindahan dirinya.

Wanita itu hendaklah beringat bahawa dia keluar sebagai seorang hamba Allah, dan seorang ilmuwan, bukan sebagai seorang perempuan murahan, bukan juga pelacur jalanan. Justeru, wanita itu hendaklah menjaga maruah dan kehormatan dirinya sesuai dengan kemuliaan yang diberikan dalam agama.

Sebagai anak angkat Asma’ binti Yazid, Syahr bin Hawsyab ternyata mengambil peluang itu untuk meriwayatkan hadis daripada ibu angkatnya. Ramai kita pada hari ini tidak mengambil peluang belajar dan menuntut ilmu daripada ayah dan ibu, ayah dan ibu saudara, datuk dan nenek, bahkan daripada insan yang bergelar guru.

Adalah wajar seseorang itu mewarisi keilmuwan yang ada dalam keluarganya, dan kemudian menambah dan mengembangkan ilmu tersebut dengan turut belajar daripada guru-guru yang lain.

Anak seorang nelayan, dia tidak harus memandang rendah kepada ilmu perikanan yang dimiliki bapanya, bahkan hendaklah dia belajar sehingga dia menjadi mahir dengan ilmu tersebut. Kemudian, dia juga hendaklah menambah dirinya dengan ilmu moden dalam bidang perikanan, contohnya dengan mengambil kursus Sijil Perikanan yang ditawarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, atau sebarang kursus yang dapat meningkatkan keilmuan dan mengembangkan ilmu itu. Malah, dia juga boleh menyambung pelajaran dalam Diploma Perikanan, atau sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) seperti yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Terengganu.

Pendidikan hendaklah bermula di dalam dakapan ibu bapa, dan ia bermula di rumah. Ibu bapa hendaklah mengambil kesempatan untuk mengajar anak-anak mereka ketika kecil mereka, dan bukan membiarkan usia kanak-kanak itu dihabiskan dengan bermain atau sia-sia.

Sangat tidak wajar apabila ada ibu bapa yang menyerahkan bulat-bulat pendidikan anak mereka kepada pihak sekolah, atau guru, atau pun kerajaan, kerana ibu bapalah yang seharusnya merancang dan mempunyaï wawasan terhadap anak-anak mereka.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan