Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-8 dan Ke-9

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-8 dan Ke-9

36
0
KONGSI

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-8

Doa para malaikat meliputi hingga kepada kaum kerabat, pasangan, datuk nenek, zuriat sekaliannya supaya dimasukkan ke dalam Syurga Adnin.

رَبَّنا وَأَدخِلهُم جَنّاتِ عَدنٍ الَّتي وَعَدتَهُم وَمَن صَلَحَ مِن آبائِهِم وَأَزواجِهِم وَذُرِّيّاتِهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ

“Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, masukkanlah mereka semua ke dalam syurga Adnin”

Mereka bukan sahaja mendoakan untuk kebaikan dunia sahaja untuk orang-orang yang beriman seperti dalam ayat sebelum ini; tetapi dalam ayat ini, mereka juga mendoakan kebaikan akhirat untuk orang-orang yang beriman, bertaubat dan berada dalam jalan Allah SWT . Mereka berdoa kepada Allah SWT untuk memasukkan orang-orang yang beriman yang berakidah tauhid itu ke dalam syurga.

Adnin bermaksud tempat yang kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, ia digelar ‘Eden’.

Dalam ayat sebelum ini, para malaikat itu berdoa supaya diselamatkan mereka yang beriman itu dari neraka. Tidaklah selamat dari neraka sahaja, tetapi tidak masuk syurga pula, bukan? Maka, mereka tidak lupa untuk doa kepada Allah SWT untuk memasukkan orang-orang yang telah disebut sebelum ini ke dalam syurga. Itulah tempat kembali yang paling baik.

الَّتِي وَعَدتَّهُمْ

“yang Kau telah janjikan kepada mereka”

Janji untuk memasukkan mereka yang beriman ke dalam syurga adalah janji dari Allah SWT sendiri. Dan tentunya Allah SWT tidak memungkiri janji-Nya, seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

وَمَن صَلَحَ

“Dan sesiapa yang soleh”

Dan bukan sahaja memasukkan mereka yang mengamalkan tauhid sahaja, tetapi memasukkan juga ahli keluarga mereka. Namun, ahli keluarga itu kenalah mereka yang soleh sahaja.

Jadi ini adalah syarat utama. Yang masuk syurga adalah orang soleh sahaja.

مِنْ آبَائِهِمْ

“Daripada bapa-bapa mereka”

Dari bapa mereka ke atas. Iaitu termasuk datuk juga. Termasuk juga ibu dan ke atas. Iaitu mereka yang soleh.

وَأَزْوَاجِهِمْ

“Dan isteri-isteri mereka”.

Isteri yang solehah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi kena cerita tentang tauhid dan agama yang benar kepada isteri kita. Jangan kita sahaja yang faham agama, tetapi anak dan isteri tidak tahu. Adalah menjadi tanggungjawab seorang suami dan ayah untuk menyampaikan ajaran agama kepada anak dan isteri.

Tentu kita sayang kepada pasangan kita, bukan? Maka ini adalah peluang untuk bersama dengan pasangan kita walaupun telah mati nanti. Akan bertemu dalam syurga.

وَذُرِّيَّاتِهِمْ

“Dan zuriat-zuriat mereka.”

Anak-anak mereka yang mana beriman dan beramal soleh sahaja yang boleh masuk ke dalam syurga. Jadi kena jaga agama zuriat-zuriat kita. Daripada masa mengandung lagi, ibu kena sentiasa baca Al-Quran. Dan ikut semua sunnah yang benar. Jangan buat amalan-amalan mengarut yang bukan dari ajaran Islam.

Lihatlah bagaimana malaikat-malaikat itu bukan sahaja mendoakan kepada orang-orang yang beriman sahaja, tetapi mendoakan juga kepada keluarga mereka. Kerana kita bukan hanya mahukan kebaikan untuk diri kita, tetapi untuk ahli keluarga kita juga.

Kalau kita masuk syurga pun, kita hendak sangat supaya kita dimasukkan sekali dengan ahli keluarga kita. Kita rapat dengan mereka semasa di dunia, maka tentunya kita mahu bersama dengan mereka di syurga juga.

Keluarga boleh duduk bersama dalam syurga kalau mereka semuanya ahli syurga. Katakanlah seorang anak sudah dapat masuk syurga, tetapi di kedudukan yang rendah dari ayahnya. Ayahnya itu boleh minta supaya dinaikkan kedudukan anaknya itu sama dengannya supaya mereka boleh duduk bersama. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain – semua boleh duduk berkumpul di tingkatan syurga yang sama.

Inilah rahmat Allah SWT. Rahmat ini amat besar, kerana kalau di dunia, belum tentu ahli keluarga dapat duduk sekali kerana masing-masing ada keluarga masing-masing dan duduk pun jauh-jauh. Kadang-kadang hanya berjumpa masa hari raya sahaja. Jadi Allah SWT boleh kumpulkan mereka itu duduk sekali dalam syurga dalam tempat yang sama. Maka, kenalah masuk syurga dahulu. Kerana kalau keturunan mereka itu sudah masuk ke dalam neraka, tidaklah boleh hendak dikeluarkan mereka dari neraka.

Tidakkah ini menarik? Bayangkan kalau orang yang bukan Islam. Mereka juga ada anak yang mereka sayangi, bukan? Tetapi akhirnya mereka tetap akan berpisah – sama ada mereka mati dahulu atau anak mereka mati dahulu. Selepas kematian itu, mereka tidak akan dapat berjumpa anak atau ibu bapa mereka sampai bila-bila. Berlainan dengan kita orang Islam berpeluang untuk jumpa lagi anak-anak kita di akhirat kelak – iaitu apabila dimasukkan dan duduk di dalam tingkatan syurga yang sama!

Oleh itu, apabila kita berdoa, jangan hanya mendoakan untuk diri kita sahaja, tetapi doakan juga kepada ahli keluarga kita sekali. Belajarlah dari malaikat-malaikat ini, bagaimana cara doa mereka.

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Sesungguhnya Engkau Maha Gagah dan Maha Bijaksana”.

Allah Maha Berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja.

Namun, Allah Maha Bijaksana untuk menangguhkan hukuman dan tidak terus memberi azab kepada manusia, supaya mereka ada peluang untuk bertaubat.

Tafsir Ayat Ke-9:

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ ۚ وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَومَئِذٍ فَقَد رَحِمتَهُ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

“Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)”.

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ

“Dan jauhilah/jagalah mereka daripada segala kejahatan dosa”.

Malaikat berdoa semoga orang beriman itu tidak buat dosa atau tidak cenderung berbuat dosa. Jenis bukan orang yang buat dosa.

Atau, mereka mendoakan supaya mereka yang berdoa itu tidak menerima kesan yang buruk dari dosa-dosa yang mereka lakukan. Setiap dosa ada kesannya yang buruk – di dunia dan juga di akhirat.

Atau, kalau mereka buat dosa pun, mereka tidak buat dosa itu berkekalan. Minta Allah ampunkan dosa mereka. Dan minta Allah beri taufik kepada mereka untuk meminta ampun. Kadang-kadang manusia pun sudah lupa apakah dosa-dosa yang mereka lakukan sampai mereka tidak minta ampun. Tetapi jika Allah SWT beri taufik kepada mereka, mereka akan teringat untuk minta ampun. Tengah bawa kereta, teringat dosa kita, maka waktu itu teruslah minta ampun. Allah sengaja ingatkan dosa kita supaya kita terus minta ampun dan kerana Dia yang ingatkan, maksudnya Dia hendak ampunkan kerana kalau sudah diberi taufik itu meminta ampun, itu tandanya Allah sudah hendak memberi ampun. Maka, semoga dosa-dosa itu diampunkan semua sekali supaya boleh terus masuk ke dalam syurga dan tidak perlu masuk neraka dahulu.

وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ

“Dan sesiapa yang dijaga dari dosa, pada hari ini mereka telah dapat banyak rahmat”.

Mereka yang diselamatkan dari kesan buruk dosa itu adalah mereka yang mendapat rahmat yang amat besar. ‘Hari’ dalam ayat ini, boleh jadi semasa di dunia dan juga di akhirat kelak. Boleh merangkumi kedua-duanya.

وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Dan sesiapa yang dapat demikian itu, ialah mereka yang mendapat kejayaan agung”.

Kejayaan yang agung sebenarnya adalah yang selamat di Mahsyar dan di akhirat. Bukanlah kejayaan di dunia. Yang penting sekali adalah kejayaan di akhirat kelak.

Begitu sekali panjang doa para malaikat itu. Maka beruntunglah mereka yang mengamalkan tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan