Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 56: Al-Qamis Dan Kebijaksanaan Imam Tirmizi

Hadis 56: Al-Qamis Dan Kebijaksanaan Imam Tirmizi

150
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

*******
*******
*******

56- حَدَّثَنَا زِيَادُ بْنُ أَيُّوبَ الْبَغْدَادِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو تُمَيْلَةَ، عَنْ عَبْدِ الْمُؤْمِنِ بْنِ خَالِدٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أُمِّهِ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلْبَسُهُ الْقَمِيصُ. قَالَ: هَكَذَا قَالَ زِيَادُ بْنُ أَيُّوبَ فِي حَدِيثِهِ: عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أُمِّهِ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ. وَهَكَذَا رَوَى غَيْرُ وَاحِدٍ، عَنْ أَبِي تُمَيْلَةَ مِثْلَ رِوَايَةِ زِيَادِ بْنِ أَيُّوبَ، وَأَبُو تُمَيْلَةَ يَزِيدُ فِي هَذَا الْحَدِيثِ “عَنْ أُمِّهِ” وَهُوَ أَصَحُّ.

56- Telah bercerita kepada kami Ziyad bin Ayyub Al-Baghdadiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Tumaylah, daripada `Abdi l-Mu’min bin Khalid, daripada `Abdi Llah bin Buraydah, daripada ibunya, daripada Ummi Salamah, dia berkata: Pakaian yang paling disukaï Rasulu Llah memakainya ialah al-qamis. Dia berkata: Demikian telah berkata Ziyad bin Ayyub dalam hadisnya: Daripada `Abdi Llah bin Buraydah, daripada ibunya, daripada Ummi Salamah. Dan demikian telah meriwayatkan bukan seorang daripada Abi Tumaylah seperti riwayat Ziyad bin Ayyub. Dan Abu Tumaylah menambah dalam hadis ini “daripada ibunya” dan ia lebih sahih.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menunjukkan kebijaksanaan dan ketelitian Imam At-Tirmizi dalam ilmu hadis. Jika dilihat, ketiga-tiga hadis kelima puluh empat, lima puluh lima dan lima puluh enam ini diriwayatkan oleh Ummi Salamah. Apabila dilihat rantaian rawi dalam isnad hadis-hadis tersebut, terdapat sedikit perbezaan seperti berikut:

(54) Ummi Salamah -> `Abdi Llah bin Buraydah -> `Abdi l-Mu’min bin Khalid -> Abu Tumaylah & Al-Fadhl bin Musa & Zayd bin Hubab -> Muhammad bin Humayd
(55) Ummi Salamah -> `Abdi Llah bin Buraydah -> `Abdi l-Mu’min bin Khalid -> Al-Fadhl bin Musa -> `Aliy bin Hujr
(56) Ummi Salamah -> Ummi `Abdi Llah -> `Abdi Llah bin Buraydah -> `Abdi l-Mu’min bin Khalid -> Abu Tumaylah -> Ziyad bin Ayyub

Dalam hadis kelima puluh enam ini, terdapat tambahan iaitu (عَنْ أُمِّهِ) daripada ibunya, iaitu `Abdi Llah bin Buraydah meriwayatkan daripada ibunya dan ibunya meriwayatkan daripada Ummi Salamah. Dalam dua hadis sebelum ini, diriwayatkan bahawa `Abdi Llah bin Buraydah meriwayatkan terus daripada Ummi Salamah tanpa melaluï ibunya. Justeru, yang manakah yang betul dan yang manakah yang silap? Di manakah kesilapan itu?

Apabila terdapat perbezaan rantaian rawi seperti ini, maka hafazan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ia memerlukan `aqal untuk memeriksa, mengkaji dan mentahqiq. Dan inilah yang dilakukan oleh Imam At-Tirmizi, justeru, selepas matan hadis, dia menyebut “Demikian telah berkata…”. Tambahan ini menunjukkan bahawa Imam At-Tirmizi mengetahuï bahawa terdapat perbezaan dalam lafaz hadis ini daripada riwayat yang lain (seperti dua hadis sebelumnya), dan kerana itu, dia menekankan hal ini.

Seterusnya, Imam At-Tirmizi menjelaskan bahawa terdapat riwayat lain daripada Abi Tumaylah yang sama seperti riwayat Ziyad bin Ayyub yang mempunyaï tambahan “daripada ibunya” ini, dan dia menyebut (رَوَى غَيْرُ وَاحِدٍ) telah meriwayatkan bukan seorang. Justeru, ini menunjukkan bahawa walaupun yang tertulis di sini hanya riwayat daripada gurunya Ziyad bin Ayyub Al-Baghdadiy, tetapi sebenarnya Imam At-Tirmizi memiliki guru lain yang meriwayatkan daripada Abi Tumaylah dengan tambahan tersebut, namun sayangnya riwayat tersebut tidak dituliskan di sini.

Bagi peminat ilmu hadis, mereka boleh mencari jika ada jalur isnad lain di dalam kitab-kitab hadis bagi membuktikan hal ini. Jika mereka menjumpaïnya, maka mereka boleh menambah sebagai nota mereka bahawa jalur lain diriwayatkan oleh siapa di dalam kitab apa. Jika mereka tidak menjumpaïnya, maka ketahuïlah bahawa itulah buktinya bahawa Allah mengangkat (atau menghilangkan) ilmu dengan kematian `ulama’.

Seterusnya, Imam At-Tirmizi menghukumkan bahawa isnad dengan tambahan “daripada ibunya” ini adalah lebih sahih dengan katanya (وَأَبُو تُمَيْلَةَ يَزِيدُ فِي هَذَا الْحَدِيثِ “عَنْ أُمِّهِ” وَهُوَ أَصَحُّ.) Dan Abu Tumaylah menambah dalam hadis ini “daripada ibunya” dan ia lebih sahih. Daripada kata-kata Imam At-Tirmizi ini, diketahuï bahawa sumber perbezaan isnad ini ialah daripada Abi Tumaylah, iaitu sekali dia meriwayatkan dengan tambahan, dan sekali dengan tiada tambahan. Seterusnya, Imam At-Tirmizi menghukumkan bahawa riwayat dengan tambahan adalah lebih sahih.

Hal ini sangat pelik bagi penuntut ilmu dewasa ini, kerana apabila membaca dua isnad dalam hadis sebelum ini yang sama, dan kemudian membaca satu isnad yang berbeza, kebanyakan kita akan menghukum berdasarkan sangkaan bahawa yang ramai itu lebih kuat dan terpelihara daripada yang seorang atau sedikit. Ketahuïlah bahawa dalam ilmu, ramainya orang bukan menjadi bukti kebenaran, dan sedikitnya orang bukan menjadi bukti kesalahan. Yang benar tetap benar walaupun sedikit, dan yang salah tetap salah walaupun banyak.

Inilah yang disebut oleh Allah di dalam Al-Qur’an:

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di dunia, mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Mereka tidak mengikut melainkan sangkaan, dan mereka tidak lain melainkan menyangka-nyangka [Al-An`am: 116]

Ayat ini menyebut bahawa kebanyakan manusia yang ada di dunia, mereka hanya menyangka-nyangka dan kemudian mengikuti sangkaan tersebut, tanpa mengetahuï kebenaran. Justeru, sebagai penuntut ilmu, kita hendaklah mengelakkan hal ini, dan berpegang pada yang sabit dan yang kukuh, serta menjauhi sangkaan dengan mengetahuï dalil dan bukti.

Bagi penuntut ilmu, hafazan adalah satu anugerah dan ia sangat bagus dalam memelihara dan menjaga ilmu. Namun, Tuhan tidak menzalimi orang yang kurang hafazannya, kerana di situ ada ruang untuk `aqal, iaitu menggunakan `aqal bagi memeriksa, mengkaji dan mentahqiq apa yang dipelajari, didengar, dihafaz atau dibaca. Inilah kekurangan ramai penuntut ilmu apabila mereka berpada dan berhenti pada hafazan semata-mata, kemudian membuang `aqal mereka dan menyembelihnya sehingga mereka tidak lagi mampu berfikir atau melihat sesuatu secara kritis.

Di sinilah perbezaan antara pengajian secara menghafaz, serta pengajian secara mengkaji. Alangkah indahnya jika seseorang itu dianugerahkan kemahiran dalam kedua-duanya.
*******
*******
*******

.

*******
*******
*******
Buku Syarhu d-Diyariyyah Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Edisi PDF terkini setakat ini Hadis 1-56 boleh dibaca di:
https://www.researchgate.net/publication/306056315_Syarhu_d-Diyariyyah_Li%27ahadis_Asy-Syama%27il_Al-Muhammadiyyah_Lil-Imam_Abi_Isa_Muhammad_bin_Isa_bin_Sawrah_shrh_aldyaryt_lahadyth_alshmayl_almhmdyt_llamam_aby_ysy_mhmd_bn_ysy_bn_swrt_almtwfy_snt_279_hjr?ev=prf_pub

Sebarang kritikan, ulasan atau nasihat adalah dialu-alukan.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan