Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur TAFSIR SURAH AD-DHUHA AYAT KE-7

TAFSIR SURAH AD-DHUHA AYAT KE-7

9160
0
Iklan

Tafsir Ad-Dhuha Ayat ke-7

وَوَجَدَكَ ضَآلًّا فَهَدَىٰ

Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)[Ad-Dhuha: 7].

wa-wajada-ka: Dan didapati-Nya engkau;

atau: Dan – TELAH didapati Ia akan engkau.

Kita telah pun berbincang mengenai perkara ini. Ringkasnya, ia berkaitan Maha Luas pengetahuan Allah atas apa yang berlaku kepada manusia/makhluk.

Dhollan: mencari-cari (jalan yang benar);

secara literalnya bermakna ‘sesat’.

Persoalan: Adakah kita boleh kata Nabi Muhammad SAW sesat sebelum menjadi Nabi?

Saya kongsi beberapa pandangan Mufassir. Akan tetapi, ia secara umum. Bermakna, tiada rujukan khusus, tetapi mungkin pelajar pernah/ akan terjumpa perkara ini:

PERTAMA: Ya, ada yang mengatakan Nabi Muhammad SAW “sesat” sebelum dapat wahyu.

KEDUA: Sesat di sini bukanlah Nabi Muhammad SAW melakukan syirik, tetapi belum ada wahyu.

Sebagai nabi dan begitu juga dengan nabi-nabi lain, mereka tidaklah pernah melakukan dosa-dosa syirik. Begitu juga Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyembah berhala walaupun masyarakat baginda bergelumang dalam penyembahan berhala dan amalan-amalan syirik yang lain.

Oleh kerana itu, terjemahan umum terutama Malaysia (yang sepakat guna Tafsir Pimpinan Ar- Rahman) gunakan maksud: Nabi tercari-cari.

Rujuk – [12: 3]

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَٰفِلِينَ

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya [Yusuf: 3].

Kesimpulan, dhollan:

Nabi tercari-cari petunjuk yang kemudian datang dengan nama wahyu/Al-Quran.

Fa-hada: lalu Ia memberikan hidayah petunjuk.

Fa: satu perkataan berbentuk jawapan terus dari Allah.

Kamu cari – Kami terus beri (petunjuk).

Syarat: Kenalah cari petunjuk tersebut melalui usaha dan jalan yang betul. Insya Allah, Allah bantu bimbing kita.

Hada: kalimah yang digunakan hanya فَهَدىٰ. Tidak ditambah dengan perkataan ‘ك’ selepasnya (فَهَدىيك).

Ini meluaskan lagi maknanya:

Jadi maknanya, hidayah itu tidak terhad kepada Nabi Muhammad SAW sahaja. Jadi ia boleh jadi Allah memberi hidayah kepada Nabi dan melalui Nabi, manusia lain pun mendapat hidayah juga daripada Allah menerusi baginda.

Adakah hidayah bagi insan-insan terpilih?

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)[Al-Qasas: 56].

Apakah kitab yang berikan petunjuk?

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa [Al-Baqarah: 2].

Dhollan: Sebelum ada Al-Quran

FaHada: Lepas ada Al-Quran

Tetapi sekarang, kita tadabbur pula kita di kategori mana.

Dhollan??

Fa-hada??

Sebab ia bukan sekadar faham makna, tetapi hendaklah semak kita di kategori mana. Kena semak status Al-Quran dalam hidup kita.

Dan caranya ialah, kena pergi cari (belajar Al-Quran). Jika tidak, jangan kita sibuk nak menjatuhkan atau tuding jari kepada ajaran sesat sana-sini (saya tidak nafikan kepentingan), kerana boleh jadi kita baru faham dan hendak perbetulkan amal dengan 7 ayat Ad-Dhuha ini namun, jangan lupa ada lebih kurang 6000 ayat yang lain kita patut telusuri dan belajar. Apa yang hendak dibangkitkan di sini, setelah memahami ayat ke-7 ini, sepatutnya boleh rasa “cemas” dan fikir:

1) Aku pun kena cari petunjuk (yakni belajar Al-Quran);

2) Benarkah jalan hidup aku selama ini? Boleh jamin ke? Serupa tidak seperti yang Al-Quran tunjukkan kepada aku atau aku syok sendiri anggap dunia ikut cara aku?

Benarkah orang jahil bukan sebab untuk tidak tahu?

قُلْ أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ تَأْمُرُوٓنِّىٓ أَعْبُدُ أَيُّهَا ٱلْجَٰهِلُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu: “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?” [Az-Zumar: 64].

Jahil – tidak mahu ikut panduan/ suruhan Allah.

سَأَصْرِفُ عَنْ ءَايَٰتِىَ ٱلَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلرُّشْدِ لَا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا وَإِن يَرَوْا۟ سَبِيلَ ٱلْغَىِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنْهَا غَٰفِلِينَ

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya [Al-A’raf: 146].

 

Kesimpulan:

1.Hanya Al-Quran kitab yang memberi petunjuk, melapangkan jalan hidup manusia untuk kembali kepada Allah.

2. Kita mesti belajar Al-Quran (baca dan faham) baru benar-benar dapat amalkan kandungannya dalam kehidupan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan