Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 16 – Tafsir Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 2)

Nota 16 – Tafsir Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 2)

346
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Tafsir Al-Fatihah – Ayat ke-7 (Bahagian 2)

غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم

Bukan mereka yang dimurkai

Dalam ayat ini, Allah hanya sebut mereka itu ‘dimurkai’ sahaja tanpa menjelaskan ‘siapa’kah yang dimurkai itu. Setiap hari kita membaca ayat ini, tidakkah kita mahu tahu siapakah yang dimurkai itu?

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, kita sebenarnya berdoa kepada Allah dalam ayat ini supaya kita tidak termasuk ke dalam golongan mereka yang dimurkai itu. Jadi, kalau kita jujur, hendak doa kita itu makbul, kita kena tahu siapakah yang dimaksudkan, kerana jika kita tidak tahu, mungkin kita termasuk dalam golongan mereka pula, bagaimana?

Golongan yang dimurkai itu adalah golongan ‘Yahudi’ dan ‘Musyrikin’. Dua golongan ini amat susah untuk diperbetulkan, kerana kedegilan mereka. Mereka itu jenis kafir tetapi kafir mereka adalah jenis ‘Kafir Degil’. Mereka menolak kebenaran walaupun mereka tahu apakah kebenaran itu. Mereka tolak disebabkan kedegilan mereka, kerana kalau orang yang tidak tahu, masih boleh diajar lagi, tetapi kalau mereka itu sudah tahu kebenaran, tetapi masih menolak juga, bagaimana lagi kita boleh lakukan?

Dalil tentang yang dimurkai ini iaitu golongan Yahudi dan Musyrikin adalah sepertimana yang Allah sebut dalam Surah Al-Maidah:82

‎لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Bukan itu sahaja, memang terdapat hadis yang jelas daripada Nabi golongan yang dimurkai adalah golongan Yahudi.

Hamad bin Salamah meriwayatkan dari Adi bin Hatim, dia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW ehwal ‘bukan jalannya orang-orang yang dimurkai’. Baginda bersabda, “Yaitu kaum Yahudi.’ Dan bertanya ehwal ‘bukan pula jalannya orang-orang yang sesat’. “Baginda bersabda, ‘Kaum Nasrani adalah orang-orang yang sesat.’

Ada banyak lagi hadis-hadis lain yang menyokong pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan ‘yang dimurkai’ adalah golongan Yahudi.

Daripada bahasa Quran yang digunakan, mereka bukanlah sahaja golongan yang dimurkai. Malah, mereka itu sebagai ‘contoh utama’. Sesiapa sahaja boleh termasuk ke dalam golongan yang dimurkai itu, kalau mereka juga mempunyai sifat-sifat seperti mereka. Kerana itulah golongan musyrik juga termasuk dalam golongan ini dan sesiapa sahaja, malah kalau orang yang mengaku Islam pun ada sifat-sifat mereka, akan termasuk juga.

Mungkin ada yang marah kalau dikaitkan dengan Yahudi dan lebih melenting lagi kalau dituduh dia ada perangai Yahudi. Hanya mereka yang jahil dan tidak mahu memperbaiki diri sahaja yang berkata begitu. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan begitu. Kalau kita belajar makna-makna dalam Al-Quran dan dapati ada perangai kita yang macam Yahudi, kita hendak ubah diri kita atau hendak marah kepada Al-Quran yang cakap begitu?

Bagaimana hendak mengenal sifat demikian? Seperti yang telah disebut di awal-awal pembelajaran kita lagi, surah Al-Fatihah ini adalah ringkasan kepada keseluruhan Al-Quran. Maka, penerangan lanjut tentang dua golongan ini ada dalam surah-surah yang lain.

Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan golongan Yahudi. Banyak kita akan belajar sifat Yahudi dan periksalah nanti sama ada kita ada sifat mereka atau tidak.

Surah Al-An’am dan Al-A’raf pula adalah tentang musyrikin, iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tetapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik – melakukan amalan dan ada fahaman syirik terhadap Allah.

Kita akan belajar surah-surah itu nanti untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi. Penting untuk kita tahu sifat-sifat mereka, supaya kita boleh tahu mana sifat yang salah. Supaya kita tahu kenapa mereka mendapat kedudukan yang hina, hingga mereka dimurkai. Mereka digelar golongan ‘yang dimurkai’ dari sejak ayat ini diturunkan, sampailah ke Hari Kiamat nanti, mereka akan mendapat gelaran buruk ini.

Kita belajar untuk kita tahu manakah sifat mereka yang salah, supaya kita tidak buat apa yang mereka lakukan. Bukanlah kita belajar siapa mereka untuk kita kutuk mereka, kerana yang dimurkai adalah sifat mereka, bukan bangsa mereka. Ada sebilangan dalam kalangan orang Yahudi itu yang baik-baik, lalu bagaimana kita boleh kutuk keseluruhan kaum mereka? Antara yang terkenal adalah Abdullah bin Salam, seorang pendita Yahudi yang masuk Islam di zaman Nabi lagi. Begitu juga, sampai sekarang, ada juga orang dari Yahudi yang masuk Islam dan mereka menjadi orang yang baik, hingga ada yang menjadi ulama.

Yang dimurkai itu bukan kerana mereka jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan ada yang sudah belajar tetapi dia degil. Maklumat yang benar telah disampaikan dan dia pun telah faham tetapi dia degil untuk menerimanya. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut di dalam hadis. Mereka tahu kebenaran tetapi mereka tolak kebenaran itu. Mereka tahu apakah yang benar kerana kebenaran telah ada disebut dalam kitab Taurat mereka. Mereka banyak pendita yang pandai dalam agama, yang mengkaji Kitab Taurat. Hingga sekarang pun mereka belajar Al-Quran tetapi tujuan mereka adalah kerana hendak lawan Islam.

Begitulah juga musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Al-Quran kerana ianya dalam bahasa mereka tetapi mereka tolak juga. Sepatutnya mereka dululah yang faham Al-Quran dan terima Al-Quran kerana Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa mereka dan mereka sendiri boleh lihat kehebatan Al-Quran itu, tetapi kerana kedegilan mereka, mereka tetap menolaknya. Antaranya adalah disebabkan Nabi Muhammad SAW dari Bani Hashim dan mereka dari puak yang lain (lihat kenapa Abu Jahal tidak mahu terima Nabi Muhammad SAW).

Tidak dinafikan juga, kebanyakan dari golongan mereka itu memang mempunyai sifat yang buruk yang keinginan mereka adalah hendak menjatuhkan Islam. Dalam ayat-ayat Al-Quran kita akan belajar untuk berhati-hati dengan mereka supaya kita tidak terperangkap oleh propaganda mereka.

Satu lagi golongan yang termasuk contoh yang dimurkai adalah musyrik. Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun begitu juga. Orang Islam yang buat syirik juga dipanggil ‘musyrikin’. Yang jelas nampak syirik adalah mereka yang sembah patung dan berhala itu. Namun, walaupun orang Islam tidak sembah patung dan berhala dengan jelas, mereka juga ada mengamalkan amalan syirik dan ada amalan syirik. Maka, mereka juga musyrikin sebenarnya, iaitu ‘Musyrikin Malaysia’. Antaranya ada di kalangan mereka yang pergi jumpa bomoh, mengamalkan amalan salah dan sebagainya, mereka ada fahaman yang syirik dan juga amalan-amalan syirik.

Kita akan belajar apakah yang dimaksudkan dengan syirik nanti. Ramai yang tidak tahu kerana mereka sangka mereka tidak mengamalkan syirik, tetapi sebenarnya ada.

Oleh kerana mereka hendak mengamalkan amalan syirik mereka, mereka akan menentang jalan Sunnah. Mereka sangat susah hendak terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka. Syirik ini memang susah keluar dari manusia apabila telah masuk dalam diri. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa-doa supaya kita diselamatkan dari fahaman syirik dan dari melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita telah belajar, kita kena berdoa minta diselamatkan kerana kita tidak kebal.

Secara ringkasnya, golongan yang dimurkai dalam Surah Al-Fatihah ini adalah golongan yang tahu kebenaran, tetapi mereka tidak terima kebenaran itu. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan itu, kerana jika kita pun begitu, maka kita termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai.

Justeru, semasa kita membaca ayat ini dalam solat kita, kita sebenarnya sedang berdoa kepada Allah: Ya Allah, janganlah jadikan aku termasuk golongan yang tahu kebenaran, tetapi tidak sanggup hendak mengikutinya.

قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن كَانَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَكَفَرْتُم بِهِۦ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰءِيلَ عَلَىٰ مِثْلِهِۦ فَـَٔامَنَ وَٱسْتَكْبَرْتُمْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّلِمِينَ

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini, lalu ia percayakan (Al-Quran ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”(Al-Ahqaf – 10)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan