Bismillah
Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW.
Syukur kita di atas nikmat Islam dan Iman kita. Sehingga hari ini, Allah memelihara diri kita daripada perkara kekufuran.
Hari ini kita masih berada dalam kebaikan, asbab dari sabar dan kehendak Allah untuk memberikan kebaikan-Nya kepada kita.
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat” (Fussilat 41:35)
Seterusnya, syukur di atas kesihatan, serta masa yang ada, sehingga kita berpeluang untuk meneruskan sesi pengajian Tafsir Surah Ad-Duha.
1) Masa lapang; dan
2) Kesihatan
Dua nikmat di mana Nabi Muhammad SAW berkata manusia selalu terlupa. Manakala, dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW menyebutkan, rebut lima sebelum lima iaitu:
– muda sebelum tua
– kaya sebelum miskin
– lapang sebelum sempit
– sihat sebelum sakit
– hidup sebelum mati
Tetapi dua perkara yang di atas hendaklah selalu diberi perhatian.
Kita sambung dengan tafsir Surah Ad-Duha, ayat yang ke-5:
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰٓ
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha – berpuas hati. (Ad-Duha – 5) Ruj: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
Dalam ayat yang lepas (ayat yang ke-4) kita dapati bahawa Allah mengatakan kepada kita tentang fokus kepada akhirat itu adalah perkara yang sangat bermakna sehingga mampu “menyembuhkan” luka-luka ujian di dunia ini. Maka ayat ini menyambung perbincangan kita, masih berkaitan “saranan” Allah untuk mengajar manusia apakah fokus yang patut diberikan dalam hidupnya.
Walasaufa : Huruf ل dalam وَلَسَوْفَ adalah sebagai taukid – penekanan, kepastian.
Bermaksud: Pasti Allah akan lakukan
Pada masa ayat ini diturunkan, Nabi dan para sahabat sedang menghadapi cubaan dan dugaan yang amat berat. Maka, di sini Allah ingin memberitahu kepada Nabi dan para sahabat bahawa orang Islam di masa hadapan akan mendapat kebaikan yang lebih banyak. Di dalam bahasa mudahnya, Allah hendak memberitahu bahawa orang yang beriman janganlah merasa takut, kelak kamu akan menang juga akhirnya.
Takut adalah fitrah daripada Allah (takut esok hendak makan apa, takut orang kafir apa-apakan kita, takut bagaimana nasib Islam esok lusa)
Namun, ayat ini sebenarnya adalah untuk memberi ketenteraman kepada manusia supaya terus fokus menjadi hamba Allah, dengan mengikut perintah-Nya sahaja, sebagaimana objektif kejadian kita:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada–Ku.” (Az-Zariyat 51:56)
سَوْفَ
Saufa: dari segi bahasa adalah masa hadapan yang agak jauh
Oleh itu, Allah akan memberi kemenangan atau nikmat kepada orang-orang beriman, tetapi tidaklah terlalu cepat, perlu menunggu juga. Sebelum sampai masa mendapat apa yang dijanjikan, ada jarak masa yang agak lama, maka hendaklah bersabar sepanjang waktu tersebut.
Contoh: Apabila sakit berharap/berdoa untuk cepat sembuh.
Sebenarnya ujian yang tiba kepada kita bukan sekadar sakit, tapi “bagaimana” kita melalui proses tersebut. Begitu juga selepas menghadapi ujian tersebut, kerana ramai orang selepas mendapat nikmat (sembuh), terlupa untuk mengingati Allah.
Berapa ramai hari ini yang berjaya kemudian merasa dialah hebat, sehingga terlupa bahawa kejayaan itu adalah atas izin Allah. Seperkara lagi, “si tukang pemerhati”, langsung menjadikannya idola hingga terlupa untuk kembali kepada petunjuk Allah dan Rasul.
Perkataan يُعْطِيكَ bermaksud:
– pemberian yang amat banyak
– boleh berbuat apa sahaja dengan apa yang dia peroleh.
(Jika digunakan أَتَى sahaja, mungkin ada tanggungjawab terhadapnya)
Ata: bermaksud ~ didatangkan kepadanya
Contoh, apabila Allah mengatakan Dia “datangkan” al-kitab, ada kerja yang perlu dilakukan dengan kitab tersebut, iaitu mestilah patuh, perlu disampaikan. Tapi “yu’ti” ini bermaksud ambillah, memang kamu berhak untuk berbuat apa sahaja.
Penerima pemberian itu tidak bertanggungjawab untuk melakukan apa-apa sahaja, boleh menikmati nikmat itu.
Apakah pemberian yang dimaksudkan itu? Apakah yang akan diberikan?
Antaranya ialah nikmat syurga, bilamana beroleh syurga kelak, terpulanglah hendak berbuat apa sahaja. Oleh sebab itu saya meneliti “nikmat pemberian” dalam ayat ini.
Kesimpulannya, saya memilih jawapan “Syurga”. Ia adalah fahaman sahabat seperti Ibn Mas’ud, kerana semua nikmat yang lain termasuk Al-Quran, akan dipertanggungjawabkan kepada kita kecuali syurga, ia adalah hak mutlak orang yang berjaya.
فَتَرْضَىٰ
Fatardha: kamu akan redha
Redha dengan siapa? Tentulah dengan Allah.
Sebenarnya, jika Allah tidak mahu memberi nikmat tambahan pun, Nabi telah redha dengan Allah bukan? Maka, mengapa disebut di dalam ayat ini? Maksudnya adalah, Allah akan membenarkan baginda meminta sehingga baginda berasa puas hati.
Kalimah redha berada di hujung ayat, seolah-olah memberi isyarat kepada kita bahawa pengakhiran proses dalam melalui ujian, adalah REDHA.
Saya teringat kepada sahabat-sahabat Nabi, “Allah redha terhadap mereka, dan mereka juga redha terhadap Allah”
Soalnya, pada hari ini apabila Allah telah membantu/memberi kita nikmat, adakah kita beriman kepada ayat ini atau dengan maksud lain, “Adakah kita betul-betul redha dengan apa yang Allah berikan kepada kita hari ini?” Adakah kita ikhlas/teguhkah hati kita mentauhidkan Allah apabila telah diberikan nikmat.
Kesimpulan:
1) Janji Allah sentiasa benar, iaitu nikmat kepada orang yang menjaga takwa kepada-Nya.
2) Manusia bukan hanya perlu risau terhadap ujian yang ditimpakan kepada mereka, akan tetapi soal bagaimana menghadapi ujian dan natijah sesudah ujian tersebut adalah sangat penting, agar kita terus beroleh kemenangan yang sebenar.
3) Kemenangan pasti akan tiba kepada orang yang teguh menjaga imannya. Jika bukan di dunia, di akhirat nanti pasti akan beroleh ganjaran yang setimpal.
Semoga kita semua bersama-sama masuk syurga (kejayaan yang sebenar, sehingga kita berpuas hati).
Wallahu a’lam.