Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota Kelas 7 : Surah Al-Fatihah (Ar Rahman Ar Raheem)

Nota Kelas 7 : Surah Al-Fatihah (Ar Rahman Ar Raheem)

457
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Nota Kelas 7

Kuliah Tafsir : Surah Al-Fatihah

Ar-Rahman Ar-Raheem ٰ

1. Selepas Allah memberitahu bahawa DiriNya adalah Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga alam ini, maka sekarang Allah menyebutkan dua SifatNya lagi. Allah terus memperkenalkan DiriNya.

Maksud ringkas:
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar bagaimana Allah adalah Tuhan sekelian alam. Allah amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah amat berkuasa, tapi sifat Allah itu adalah sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah tunjukkan adalah kekuasaan yang rahmah. Pemerintahan Allah didasari atas rasa kasih dan sayang.

Daripada hadis disebut tentang Sifat kasih dan sayang Allah ini:
إن لله مائة رحمة أنزل منها رحمة واحدة بين الجن والإنس والبهائم والهوام، فيها يتعاطفون، وبها يتراحمون، وبها تعطف الوحش على ولدها، وأخر الله تسعا وتسعين رحمة يرحم بها عباده يوم القيامة
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Salah satu di antaranya diturunkannya kepada kaum jin, manusia, haiwan dan tumbuhan. Dengan rahmat itulah mereka saling berbelas kasih dan menyayangi. Dengannya pula binatang liar mengasihi anaknya. Dan Allah mengakhirkan 99 rahmat untuk Dia curahkan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita telah belajar ayat yang pertama.

Nota: perhatikan kaitan antara ayat pertama dan ayat kedua. Ada kesinambungan antara keduanya. Satu ayat disambut dengan ayat yang seterusnya. Begitulah semua ayat-ayat Qur’an ada kaitan antara satu sama lain. Ada yang kita nampak secara mudah, dan ada yang kena jelaskan dalam tafsir, baru kita nampak. Semasa kita membaca ayat pertama, kita sudah takjub dan takut dengan sifat Allah, tetapi apabila kita baca ayat kedua, baru kita sedar yang Allah menguruskan alam ini dengan sifat penuh kasih sayang, rupanya..

Jadi kita lega kembali. Begitulah ayat-ayat Qur’an apabila dibaca dan kita faham, akan membangkitkan perasaan yang berbagai-bagai. Kadang-kadang takut, kadang-kadang gembira, sedih, risau, takjub, benci, dan macam macam lagi.
Soalan : kenapa kalau saya lihat sifat pada haiwan, kucing misalnya…cara ibu kucing dgn anak2nya berkasih sayang, cara anak2 kucing bermain ada menyerupai manusia juga.

Jawapan : Kerana Allah telah beri ilham kasih kepada anaknya. Itu adalah ilham dari Allah, seperti hadis yang saya naqalkan di atas tadi.

“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Salah satu di antaranya diturunkannya kepada kaum jin, manusia, haiwan dan tumbuhan. Dengan rahmat itulah mereka saling berbelas kasih dan menyayangi. Dengannya pula binatang liar mengasihi anaknya. Dan Allah mengakhirkan 99 rahmat untuk Dia curahkan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Allah telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmatNya. Sangat banyak rahmatNya yang telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita nak cuba kira pun tidak boleh, sebab banyak sangat. Maka timbullah rasa kasih kita pula kepada Allah.

Allah Ta’ala berfirman,
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. An Nahl: 18).

Nanti in sha Allah, kita akan belajar Surah Rahman (55). Bagaimana dalam surah itu nanti akan disentuh nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Dan diulang-ulang sebanyak 14 kali:
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Memang tidak dapat hendak tolak hujah yang Allah berikan itu. Memang kita sentiasa mendapat rahmat dariNya.

Sebelum ini kita telah belajar sedikit tentang dua sifat ini dalam pembelajaran basmalah. Maka kita tidak perlu ulang semula. Boleh rujuk nota berkenaan, tentang bagaimana sifat Rahman seperti umpama sifat sayang seorang bapa, ianya untuk semua makhluk; sifat raheem pula seperti kasih seorang emak, hanya untuk orang mukmin sahaja; Oleh itu, kedua sifat ini saling melengkapi.

Nota: begitulah, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat yang hampir sama selepas ini, jadi tidak perlu diulang panjang. Maka, pada awal sahaja akan banyak hendak belajar, lama-kelamaan akan laju sebab akan berjumpa benda yang sama. Kena sabar dalam mengikutinya.

Ulama tafsir membincangkan apakah maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahiim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah dan makhlukNya. Bayangkan betapa sayangnya Allah kepada kita. Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah tahu tentang kita itu, kalau emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu kawan dengan kita. Kalau majikan kita tahu, sudah lama dia pecat kita, bukan?
Tapi lihatlah, walaupun Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih lagi beri rahmat kepada kita, masih sayang kepada kita.

Walaupun Allah bersifat penuh rahmah, ada pula yang kata: “kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada kesusahan/penderitaan dalam dunia?”.

Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tapi kita mungkin tidak tahu jawap. Hujah sebegini disebut oleh orang kafir, tapi orang Islam pun ada sebut juga (kerana tidak faham).

Sebagai contoh, apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?”.

Sampai ada yang menyalahkan Allah, kata Allah tidak sayang, Allah tidak patut dan sebagainya.

Ini antara jawapan:
Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah tidak pernah zalim kepada makhlukNya. Kita kena ingat yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tapi Allah akan balas dengan kebaikan apabila dia mati kelak. Kalau seorang yang paling celaka hidupnya, bernasib paling malang dalam dunia, dan dia diberikan rahmat akhirat, dia tidak ingat langsung tentang kesusahan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang dari ingatannya. Macam tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia, tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.
Itu semua adalah ujian seperti firman Allah.

Maksudnya:
“Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya.” (Mulk: 2)

Allah berfirman dalam Fussilat:30
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.

Maksud وَلَا تَحْزَنُوا (jangan sedih) itu adalah tidak teringat tentang kesusahan semasa di dunia dahulu Semua itu hilang apabila melihat nikmat di syurga.

Semoga kita mendapat nikmat ini.. ameen ya Rabb.

Kedua, kita jangan lihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah, mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu.

Tidaklah sentiasa Allah beri nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Kalau seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ianya tidak baik untuknya. Sebagai contoh, kalau ibubapa beri segalanya kepada anaknya, itu pun tidak baik. Dia tidak akan kenal dengan kesusahan. Dia tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan jadi sombong dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat kerana dia tidak perasan bahawa Allah telah memberinya dengan kebaikan yang banyak kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja.

Kalau seorang anak itu, hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah, kenapa dia dapat makanan tidak sedap kerana dia ingat dia hanya layak dapat makanan yang sedap sahaja.

Maknanya, kena lihat musibah yang diberikan kepada kita itu dengan ‘mata hati’ juga. Hanya orang sakit sahaja yang akan kenal apakah itu nikmat kesihatan. Apabila kita sakit dan sihat, barulah kita menghargai nikmat kesihatan itu.

Ketiga, Kesakitan pun adalah rahmah dari Allah juga sebenarnya.
Kerana kalau kita tidak rasa sakit, ianya akan merosakkan kita juga. Kita pun pernah baca bagaimana ada kanak-kanak yang tiada deria sakit. Kalau luka pun, mereka tidak dapat rasa. Jadi, dia tak tahu pun tentang benda-benda bahaya. Kalau dia tidak rasa panas, dia mungkin letak tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya. Mungkin kita sahaja yang tidak nampak.

Keempat, Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ianya akan mengingatkan kita.

Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tak ikut arahan Allah. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak?

Kalau kita dah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa- apa yang kita sedang buat yang salah, supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat-amat tidak selesa. Amat terseksa kalau hidup di dalamnya. Kerana kalau kita tidak tahu, kita tidak tahu dengan apa yang akan terjadi di hari kiamat nanti.

Kelima, Musibah yang Allah berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak.
Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan. Samada kita sedar atau tidak. Dengan musibah, Allah akan hilangkan dosa itu dari kita. Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Sebab itu ada lafaz Nabi apabila bertemu orang sakit:

لاَ بَأْسَ طَهُوْرٌ إِنْ شَاءَ اللهُ
“Tidak mengapa, insya Allah (sakit ini) sebagai pembersih.” HR. al-Bukhari dari sahabat Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma.

Keenam, Tidak ada apa pun yang Allah lakukan yang boleh dikatakan sebagai ‘tidak elok’. Walaupun dengan mengadakan syaitan. Ada guna juga syaitan ini.

Bukankah kita beribadat kerana hendak melindungkan diri dari syaitan? Dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Iblis juga menjadi contoh sempadan yang jangan diikuti. Kita belajar tentang apakah kesalahan yang dia lakukan, maka kita jadikan dia sebagai sempadan. Jangan kita sombong, jangan tinggi diri, jangan itu dan ini.

Itu syaitan, makhluk yang paling terkutuk pun ada kebaikan, apatah lagi dengan yang lain?

Ketujuh, Kalau tidak ada keburukan, kita tidak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Kalau kita lihat, dalam dunia ini, mana lebih ramai? Yang sakit atau yang sihat? Tentu lebih banyak yang sihat, bukan? Kalau yang cacat itu, peratus yang cacat adalah rendah kalau dibandingkan dengan yang sihat. Bila kita lihat orang yang cacat, kita akan berkata dalam hati kita: Alhamdulillah Allah beri aku/anak aku/keluarga aku sihat wal afiat… itu maknanya kita telah menghargai nikmat apabila melihat orang yang tidak mendapat nikmat. Kalau semua orang sihat sahaja mungkin kita tidak nampak.

Untuk orang yang cacat itu, adalah kelebihan khusus utk mereka kerana mereka cacat. Itu habuan mereka.
Baik, kita sudah hampir sampai ke penghujung kelas kita. Cuma saya terlupa hendak sentuh satu perkara tadi. Iaitu ulama mengatakan yang sifat Rahman diberikan kepada semua makhluk. Tapi sifat Raheem kepada orang mukmin sahaja dan ini adalah jelas di akhirat kelak. Dalilnya:

Ahzab:43
وَكانَ بِالمُؤمِنينَ رَحيمًا
Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Lihat bagaimana kalimah ‘Raheem’ digunakan untuk orang mukmin sahaja.

Walaupun semua dapat kasih sayang dari Allah, tetapi kalau tidak kenal dosa dan pahala, mereka sanggup buat apa sahaja. Semua itu dalam kebijaksaan Allah. Kalau ada orang yang hendak buat salah, Allah benarkan.

“Pada hari kiamat didatangkan orang yang paling nikmat hidupnya sewaktu di dunia dari penghuni neraka. Lalu ia dicelupkan ke dalam neraka sejenak. Kemudian ia ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kebaikan, pernahkah kamu merasakan suatu kenikmatan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb.” Dan didatangkan orang yang paling menderita sewaktu hidup di dunia dari penghuni surga. Lalu ia dicelupkan ke dalam surga sejenak. Kemudian ditanya: ”Hai anak Adam, pernahkah kamu melihat suatu kesulitan, pernahkah kamu merasakan suatu kesengsaraan?” Maka ia menjawab: ”Tidak, demi Allah, ya Rabb. Aku tidak pernah merasakan kesulitan apapun dan aku tidak pernah melihat kesengsaraan apapun.” (HR Muslim 5018)

Allah beri nikmat tidak sama kepada semua orang – semua itu atas ujian untuk dirinya.

Wallahu’alam.

Komen dan Soalan