Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Kelas 2: Bab ‘Basmalah’

Kelas 2: Bab ‘Basmalah’

3179
0
Iklan

Panel: Ustaz Azlizan Nueq

بسم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد

Assalamualaikum kita sambung kelas kita hari ini, in sha Allah.

Kelas 2: Bab ‘Basmalah’

Kelas pada hari ini adalah tentang lafaz Basmalah. Kita kupas satu persatu lafaz yang ada di dalam basmalah yang selalu kita ucapkan. Mungkin panjang sedikit perbahasan kita pada hari ini, maka harap dapat bersabar.

Kalimat basmallah ini adalah satu lafaz yang amat hebat. Tidak diberikan kepada agama-agama lain. Tidak diberikan kepada orang Yahudi dan tidak diberikan kepada agama Kristian.

Lafaz yang kita selalu ucapkan adalah ‘bismillah’. Tetapi nama ucapan itu adalah ‘basmalah’. Jadi, bila saya tulis ‘basmalah’, bukan saya salah eja, tapi ia memang begitu. Nama lain baginya adalah ‘tasmiah’.

Dengan Nama Allah; apabila kita kata ‘dengan’, sepatutnya ada ayat sebelum itu. Kerana kalau tidak, ayat ini macam tergantung. Jadi ada ulama yang kata ayat sebelum itu adalah “aku mula membaca Quran ini adalah….” disambung: ‘dengan nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim’. Ini adalah kaedah ‘taqdir’ dengan menambah kalimat yang perlu untuk menjadikannya lengkap.

Huruf بِ ‘ba’ dalam بِسْمِ itu adalah sesuatu yang menjadi perbincangan ulama. Apakah yang dimaksudkan olehnya?

Ini adalah kerana huruf ‘ب’ itu mempunyai banyak kegunaan dalam bahasa Arab. Ulama mengatakan terdapat 20 makna yang boleh diambil apabila ada penggunaan ‘ba’ itu. Kita biasa terjemahkan ‘ba’ itu dengan makna: dengan. Tapi apakah maksud ‘dengan’ dalam basmalah?

Perbincangan ulama mengatakan bahawa ‘ba’ dalam basmallah ini membawa dua maksud: ba’ musaahabah dan ba’ istiaanah.

A. Ba’ musaahabah bermaksud mendekatkan diri dengan Allah. (lihat perkataan musaahabah sama macam sahabat – untuk senang ingat) Bermaksud kita hendak mendekatkan diri ‘dengan’ Allah supaya perbuatan yang kita buat itu mendapat keberkatan dari Allah dengan kita membaca basmallah itu. Ini kerana segala usaha tidak membuahkan hasil kalau Allah tidak mengizinkan. Hanya apabila Allah izinkan, baru terjadi.

Kalau Allah tak izinkan kita makan, maka kita tidak dapat nak suap makanan dalam mulut pun. Dan kita mengharapkan keberkatan dari bacaan basmallah itu sampai kepada usaha kita itu. Dengan berkat Allah, perkara yang sedikit menjadi banyak. Sebagai contoh, kalau Allah memberi berkat kepada makanan itu, walaupun ianya sedikit sahaja, tapi kita akan kenyang dengan makanan yang sedikit itu dan ianya akan memberi tenaga yang banyak kepada kita.

B. Ba’ istiaanah (dari katadasar yang sama dalam fatihah – iyyaka nastain – untuk senang ingat) pula bermaksud kita mengharapkan pertolongan dari Allah. Semoga dengan izin dan pertolongan Allah, usaha kita itu akan berjaya. Kita sebagai manusia yang hina, memang amat mengharapkan pertolongan dari Allah. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu tanpa ada pertolongan dari Allah.

Kesimpulan: dua-dua makna itu ada persamaan dan lebih kurang sahaja. Maknanya, kita membaca basmalah mengharapkan pertolongan dari Allah untuk memudahkan perkara yang kita lakukan itu. Oleh itu, setiap kali kita baca basmalah ini, ingatlah yang kita sebenarnya sedang berdoa mengharapkan pertolongan dari Allah. Ianya bukan lafaz yang biasa sahaja.

Dari dua makna itu, kita menzahirkan dalam diri kita bahawa Allah lah sahaja sumber barakah dan pertolongan. Dari awal-awal lagi sebelum kita mulakan usaha itu pun, kita dah doa kepada Allah.

Perbincangan Nama Dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bbahawa kalimah ‘Allah’ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala macam Sifat-sifatNya yang lain.

Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah sifat Pemurah Allah sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu menyentuh tentang sifat Allah memberi rezeki sahaja. Tapi, apabila kita gunakan nama Allah – ianya merangkumi semua Sifat-sifat Allah itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain DiriNya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui dari kata apa nama itu berasal. Maka diantara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar. Ada juga ulama yang mengatakan ianya adalah dari kata al-ilah dan dipendekkan jadi ‘Allah’. Tapi ini adalah perbincangan yang agak panjang dan tidak perlu kita bahaskan sangat.

Selepas Allah menyebut Nama DzatNya, Allah terus memberitahu SifatNya.

Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal dari kata dasar – Rahmah. Apabila Allah meletakkan dua nama ini bersebelahan, bermakna ada perbezaan diantara keduanya.

ar-Rahman menyatakan Sifat Kasih Sayang Allah yang ‘bersangatan’ – extreme. Allah sangat kasih dan sayangkan semua hambaNya – walau yang kafir pun. Lihatlah bagaimana semua makhluk diberikan dengan kehidupan dan segala nikmat. Tidak kira samada hamba itu mukmin, muslim atau kufur. Walaupun hamba itu kufur, tidak percaya kepadaNya, buat syirik kepadaNya, malah ada yang menghinaNya, tapi Allah tetap beri nikmat kekayaan, nikmat kehidupan dan sebagainya.

Tetapi, walaupun ianya adalah sifat kasih yang bersangatan, tapi ianya tidak kekal. Kerana sifat itu tidak dizahirkan di akhirat kelak, kerana orang-orang kafir tidak akan dilepaskan dari dosa-dosa yang mereka telah lakukan.

Sifat ar-Rahman diibaratkan seperti kasih seorang bapa kepada anaknya. Ayah itu sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi sekolah. Ayah itu sanggup buat macam-macam untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anak dia itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah itu sanggup melihat anaknya yang nakal masuk penjara kerana hendak mendisiplinkan anak itu.

Oleh itu, Sifat Rahman Allah itu sanggup melihat hambaNya bersusah payah dalam ibadat. Contohnya, kita kena solat setiap waktu. Kita di Malaysia tidak ada masalah untuk mengerjakan solat bila-bila masa pun. Tapi bayangkan di negara-negara yang sejuk, mereka susah untuk mengambil wudu dan sebagainya. Bayangkan mereka berpuasa di kutub utara dalam kesejukan dan masa yang lagi panjang dari kita, kerana siang mereka panjang. Jadi nampak macam mereka terseksa dalam melakukan ibadat.

Dan Allah sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah dalam menyampaikan agamaNya. Sampai ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia. Tapi kepada mereka di akhirat kelak, lain keadaan mereka. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang mereka telah lakukan.

Jadi Allah dengan sifat RahmanNya, sanggup melihat hambaNya mengalami susah payah semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia. Tapi, ianya tidak percuma sahaja, dimana Allah akan balas kepayahan yang dilalui hambaNya itu dengan pahala dan syurga.

Sifat Rahman Allah ini diberikan kepada seluruh makhlukNya, walaupun yang mukmin atau tidak. Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan segala nikmatNya kepada penduduk dunia. Tidak kira samada mereka kafir atau tidak.

Sifat ar-Raheem pula adalah sifat kasih sayang juga, tapi ianya ada sedikit perbezaan dengan ar-rahman. Kalau sifat ar-Rahman menyeluruh, sifat ar-Raheem adalah lebih khusus, tidak semua makhluk akan dapat.

Kalau sifat ar-Rahman sedang berlaku sekarang, tidak semestinya sifat Raheem sedang berlaku. Sebagai contoh, katakanlah seseorang itu dikatakan seorang yang pemurah, selalu menderma. Tetapi tidaklah dia sepanjang masa menderma, ada masa dia tidur dan ada masa dia bekerja dan sebagainya.

ar-Raheem pula diibaratkan kasih seorang emak yang tak sanggup tengok anaknya dipukul. Walaupun anak dia seorang penagih dadah. Dia tak sanggup anaknya masuk penjara. Dia sanggup buat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab. Malah, kalau anak dia kena masuk penjara, mungkin mereka sanggup menjadi galang gantinya, asalkan anaknya tidak masuk penjara.

Kalau di dunia, sifat Rahman Allah sanggup melihat hambaNya kepayahan dalam menjaga agama, tapi apabila di akhirat nanti, Allah yang bersifat ar-Raheem tidak sanggup nak tengok hambaNya yang Dia sayang itu mendapat siksa.

Apabila Dia sudah ampun dosa, Dia tidak tanya lagi dah kesalahan dan dosa yang mereka telah lakukan. Kalau kita sebagai manusia, walaupun kita dah maafkan seseorang, kita masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita, bukan? Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah buat kepada kita. Tapi Allah tidak begitu.

Sifat Rahim ini dikatakan oleh ulama dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, berkemungkinan kita tidak dapat merasa nikmat Rahim Allah ini.

Kesimpulan dari sifat ar-rahman dan ar-raheem:
Allah meletakkan kedua-dua sifat ini bersama-sama dalam basmalah untuk memberitahu kesempurnaan SifatNya. Seperti kita telah sebut, ada perbezaan antara sifat ar-rahman dan ar-raheem. Tapi apabila ianya diletakkan sekali, Allah merangkum kesempurnaan yang ada dalam sifat rahmahNya itu.

Kedua-dua sifat ar-rahman dan ar-raheem itu kena ada. Kalau kita gunakan contoh sifat rahman itu dengan kasih seorang ayah dan raheem itu sebagai kasih seorang ibu, maka kedua-dua kasih ayah dan ibu itu kena ada. Kalau satu sahaja ada, anak itu tidak mendapat penjagaan yang sempurna. Bayangkan, kalau anak itu dapat kasih ayah sahaja, susah hidup dia, sebab ayah dia walaupun sayang anak, tapi dia tidak tunjukkan. Kalau anak dia kena pukul di sekolah, dia buat tak tahu sahaja kerana dia anggap benda itu adalah perkara biasa untuk melatih anaknya itu.

Dan kalau dapat kasih ibu sahaja pun susah juga, kerana anak itu jadi manja dan lemah sebab selalu ditatang sahaja.

Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh lihat bagaimana Allah memulakan penggunaan namaNya dari bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifatNya. Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah yang diberikan kepada seluruh makhluknya. Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Rahim – sifat pemurah Allah yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Basmalah ini.

Perbincangan Hukum: Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa basmalah adalah salah satu ayat dari Surah an-Naml. Tapi mereka berbeza pendapat samada basmallah itu ayat yang berdiri sendiri pada awal setiap surah atau sebahagian dari surah itu.

Ataukah ianya salah satu dari setiap surah, atau sebahagian dari surah Fatihah sahaja.

Ataukah basmalah yang ditulis di awal setiap surah itu hanya sebagai pemisah antara surah semata-mata dan bukan sebahagian dari ayat.

Diantara ulama yang mengatakan bahawa basmalah adalah ayat dari setiap surat adalah Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat bahawa basmalah itu bukan termasuk surah Fatihah dan tidak juga surat-surat lainnya.

Bagi mereka yang mengatakan bahawa basmalah bukan sebahagian dari surat Fatihah, maka mereka tidak membacanya secara jahr (kuat) di dalam solat. Tapi ada juga yang tidak membacanya di awal surah kerana ada juga hadis yang mengatakan bahawa Nabi tidak membaca basmallah di awal surah.

Tapi tidaklah terjadi perbezaan pendapat kerana semua ulama telah sepakat bahawa solat orang yang membaca basmallah dengan kuat atau dengan perlahan adalah sah.
Saya bawakan perbincangan ini kerana kalaulah kita mendengar ada imam yang tidak membaca basmalah apabila membaca Fatihah, janganlah pula kita kata dia sesat (atau dia Wahabi) tapi dia tahu ada pendapat yang mengatakan tidak perlu baca Basmalah dengan jahr dalam Fatihah.

Bacaan basmallah dianjurkan untuk dibaca dalam setiap perbuatan kita. Salah satu kehebatan basmallah adalah: ianya adalah satu perkataan yang TIDAK LENGKAP. Bagaimana pula satu perkara yang tidak lengkap adalah satu kebaikan? Apakah yang dimaksudkan ianya tidak lengkap?

Ayat yang lengkap sepatutnya ada subjek dan predikat. Sebagai contoh, apabila ayat berbunyi “saya mahu pergi…”, ianya tidak lengkap kerana timbul persoalan, pergi ke mana? Jadi susunan basmallah tidak lengkap. Apabila kita sebut “dengan nama Allah”, ianya seperti tergantung, bukan? Itu adalah supaya ianya boleh digunakan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, “dengan nama Allah, aku hendak makan”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan solat ini”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan membaca Quran ini” dan sebagainya. Itulah kehebatan basmallah. Ma Sha Allah…..

Juga, apabila kita menyebut basmallah sebelum memulakan sesuatu, ianya seperti pernyataan dari kita bahawa kita buat sesuatu itu *hanya* dengan nama Allah. Tidak ada nama tuhan yang lain. Tidak dengan nama entiti yang lain. Jadi, ada elemen ‘ikhlas’ disitu, dimana kita hanya menggunakan nama Allah sahaja. Ini supaya keluar dari syirik. Kerana kalau kita rasa perbuatan kita itu ditolong atau dibantu oleh entiti lain, itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang lain. Jangan kita katakan, sebagai contoh, “demi rakyat, kita melakukan ini dan itu”, atau kita kata, “dengan berkat tok syeikh ini dan itu, kita berjaya sampai ke sini dan sebagainya”. Itu adalah kata-kata yang salah.

Begitu juga, kalau kita faham makna basmalah ini, kita akan sedar bahawa setiap kali kita sebut basmallah dalam kita hendak memulakan sesuatu, kita sebenarnya berdoa kepada Allah. Maka, ianya adalah satu perkara ibadat. Kerana doa adalah ibadat. Dan apabila kita buat ibadat, kita akan mendapat pahala.

Tapi janganlah pula amalkan basmalah dalam bilangan tertentu, amalkan amalan bidaah seperti Bismalah lima, Bismilah Tujuh dan sebagainya. Itu tidak ada dalam sunnah.

Basmalah juga adalah juga satu bentuk zikir. Kerana kita sentiasa ingat Allah dalam kita memulakan sesuatu. Walaupun pada zahirnya, perbuatan yang kita lakukan itu bukanlah satu bentuk ibadat yang khusus. Kalau solat, memang ianya ibadah yang khusus. Tapi bagaimana dengan makan, naik kenderaan, keluar rumah dan sebagainya? Itu semua bukan ‘ibadat khusus’. Oleh itu, dengan menyebut basmallah, kita telah memasukkan elemen zikir dalam amalan kita itu. Dengan sentiasa menyebut basmallah, kita telah melakukan zikir kepada Allah. Kerana kita ingat kepada Allah waktu itu. Oleh itu, semasa kita menyebutkan basmallah, hendaklah kita lahirkan dalam hati kita pemahaman bahawa kita sedang menyebut nama Allah disitu.

Dengan sentiasa menyebut basmallah, akan timbul perasaan yang semakin sayang kepada Allah. Kerana kita sedar bahawa dengan pertolongan Allah lah segala usaha kita akan membuahkan hasil.

Alhamdulillah. Selesai. Maaf kerana panjang. Nak kena habiskan juga. Kita tutup kelas kita dgn tasbih kaffarah.

Persoalan ustaz, makanya Allah itu bukanlah tuhan kerana ia isim. Isim dan musamma berbeza ya?

Tak faham soalan ini. Boleh jelaskan?

Ambe inginkan kepastian. Maknanya kalimah Allah itu adalah isim ye ust? Musammanya adalah zat? Sebab ada yg kata Allah itu bukan tuhan, isimNya sahaja.

Kalimah ‘Allah’ adalah ismul a’dzam. Maka ianya adalah isim.

Perbincangan saya adalah sama kalimah Allah itu musytaq atau mujarrad. Ada khilaf ulama tentang perkara ini.

Ambe cuba nak ringkaskan huraian ust. Nk mudah ingat. Maaf kalau soalan nmpak pelik 😅

Kalimah jenis musytaq adalah yang boleh berubah ubah. Macam كتب boleh jadi كتاب dan sebagainya.

Maka mereka mengatakan kalimah الله itu dari kalimah katadasar ilah…tambah alif lam jadi al-illah dan dimudahkan menjadi الله

Sedangkan yang pegang ianya adalah mujarrad, mengatakan ia bukan dari kalimah asal mana-mana tapi dari kalimah الله juga. Dan bukan sahaja dalam bahasa Arab, tapi dari dulu Tuhan kita itu dikenali dengan nama الله itu.

Huhu…maaf dah masuk perbincangan bahasa pulak.

Ustaz kalo xslp sy la basmalah ni pnjg tasmiah ni yg pendek je…

Betul ke???

Sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Hajar dalam Syarh Al ‘Ubab pada bab rukun-rukun shalat, jika disebut tasmiyah, maka yang dimaksud adalah ucapan “bismillah”. Sedangkan jika disebut basmalah, maka yang dimaksud adalah ucapan “bismillahir rohmaanir rohiim”

Komen dan Soalan