Utama Bilik (08) Riyadhus Solihin Hadis 74: Mentera, Jampi Dan Tawakkal

Hadis 74: Mentera, Jampi Dan Tawakkal

202
0
Iklan

74. Pertama: Dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dipertontonkanlah padaku berbagai ummat, maka saya melihat ada seorang Nabi dan besertanya adalah sekelompok manusia kecil – antara tiga orang sampai sepuluh, ada pula Nabi dan besertanya adalah seorang lelaki atau dua orang saja, bahkan ada pula seorang Nabi yang tidak disertai seseorang pun. Tiba-tiba diperlihatkanlah padaku suatu gerombolan manusia yang besar, lalu saya mengira bahawa mereka itulah ummatku. Lalu dikatakanlah padaku: “Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi lihatlah ke ufuk – sesuatu sudut.” Kemudian saya pun melihatnya, lalu saya lihatlah dan tiba-tiba nampaklah di situ suatu gerombolan ummat yang besar juga. Selanjutnya dikatakan pula kepadaku: “Kini lihatlah pula ke ufuk yang lain lagi itu.” Tiba-tiba di situ terdapatlah suatu kelompok yang besar pula, lalu dikatakanlah padaku: “Inilah ummatmu dan beserta mereka itu ada sejumlah tujuh puluh ribu orang yang dapat memasuki syurga tanpa dihisab dan tidak terkena siksa.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. bangun dan terus memasuki rumahnya. Orang-orang banyak sama bercakap-cakap mengenai para manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan tanpa disiksa itu. Sebahagian dari sahabat itu ada yang berkata: “Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w.” Sebahagian lagi berkata: “Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang dilahirkan di zaman sudah munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah mempersekutukan sesuatu dengan Allah.” Banyak lagi sebutan – percakapan-percakapan – mengenai itu yang mereka kemukakan.

Rasulullah s.a.w. lalu keluar menemui mereka kemudian bertanya: “Apakah yang sedang engkau semua percakapkan itu.” Para sahabat memberitahukan hal itu kepada beliau. Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda:

“Orang-orang yang memasuki syurga tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah memberi mentera-mentera tidak meminta mentera-mentera dari orang lain – kerana sangatnya bertawakkal kepada Allah, tidak pula merasa akan memperolehi bahaya kerana adanya burung-burung – atau adanya hal yang lain-lain atau ringkasnya meyakini guhon tuhon atau khurafat yang sesat – dan pula sama bertawakkal kepada Tuhannya.”

‘Ukkasyah bin Mihshan al-Asadi, kemudian berkata: “Doakanlah saya – ya Rasulullah – kepada Allah supaya Allah menjadikan saya termasuk golongan mereka itu – tanpa hisab dan siksa dapat memasuki syurga.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Engkau termasuk golongan mereka.” Selanjutnya ada pula orang lain yang berdiri lalu berkata: “Doakanlah saya kepada Allah supaya saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan mereka itu pula.” Kemudian beliau bersabda: “Permohonan seperti itu telah didahului oleh ‘Ukkasyah.” (Muttafaq ‘alaih)

«74» فالأول: عن ابن عباس رضي الله عنهما، قَالَ: قَالَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم: ((عُرِضَتْ عَلَيَّ الأُمَمُ، فَرَأيْتُ النَّبيّ ومَعَهُ الرُّهَيطُ، والنبي وَمَعَهُ الرَّجُلُ وَالرَّجُلانِ، والنبيَّ ولَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ إِذْ رُفِعَ لي سَوَادٌ عَظيمٌ فَظَنَنْتُ أَنَّهُمْ أُمَّتِي فقيلَ لِي: هَذَا مُوسَى وَقَومُهُ، ولكنِ انْظُرْ إِلَى الأُفُقِ، فَنَظَرتُ فَإِذا سَوادٌ عَظِيمٌ، فقيلَ لي: انْظُرْ إِلَى الأفُقِ الآخَرِ، فَإِذَا سَوَادٌ عَظيمٌ، فقيلَ لِي: هذِهِ أُمَّتُكَ وَمَعَهُمْ سَبْعُونَ ألفًا يَدْخُلُونَ الجَنَّةَ بِغَيرِ حِسَابٍ ولا عَذَابٍ))، ثُمَّ نَهَضَ فَدخَلَ مَنْزِلَهُ فَخَاضَ النَّاسُ في أُولئكَ الَّذِينَ يَدْخُلُونَ الجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ ولا عَذَابٍ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: فَلَعَلَّهُمْ الَّذينَ صَحِبوا رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، وَقالَ بعْضُهُمْ: فَلَعَلَّهُمْ الَّذِينَ وُلِدُوا في الإِسْلامِ فَلَمْ يُشْرِكُوا بِالله شَيئًا- وذَكَرُوا أشيَاءَ- فَخَرجَ عَلَيْهِمْ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ: ((مَا الَّذِي تَخُوضُونَ فِيهِ؟)) فَأَخْبَرُوهُ فقالَ: ((هُمُ الَّذِينَ لا يَرْقُونَ، وَلا يَسْتَرقُونَ، وَلا يَتَطَيَّرُونَ؛ وعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوكَّلُون)) فقامَ عُكَّاشَةُ بنُ محصنٍ، فَقَالَ: ادْعُ الله أنْ يَجْعَلني مِنْهُمْ، فَقَالَ: ((أنْتَ مِنْهُمْ)). ثُمَّ قَامَ رَجُلٌ آخَرُ، فَقَالَ: ادْعُ اللهَ أنْ يَجْعَلنِي مِنْهُمْ، فَقَالَ: ((سَبَقَكَ بِهَا عُكَّاشَةُ)). مُتَّفَقٌ عَلَيهِ.

Lafaz ‘Ukkasyah dengan mendhammahkan ‘ain serta mensyaddahkan kafnya, tetapi boleh pula kafnya itu diringankan, yakni tidak disyaddahkan lalu dibaca ‘Ukasyah. Namun begitu, dengan mensyaddahkan kafnya adalah lebih fasih.

Apa maksud mentera-mentera?

Jampi

 إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi,azimat dan pengasih adalah syirik.”

(Riwayat Ahmad dan ibn Majah. Sahih menurut Syaikh al-Albani)

Di dalam buku terjemahan Bidaah dan Syirik karya kompilasi Dr. Yusof Al-Qardawi dan Muhammad Al-Ghazali, disebutkan: “Kadangkala kita jumpai sebahagian orang yang menggunakan al-Quran sebagai pelindung dirinya, dengan beranggapan bahawa al-Quran tersebut dapat melindungi dari muflis, kalau dia seorang pedagang, atau dapat menolak tamparan kepala, kalau dia seorang pegawai. Ini adalah kekacauan berfikir yang sudah sangat parah. Kalau dia masih beranggapan beriman kepada Allah dan meluhurkan Al-Quran, sesungguhnya itu adalah tanggapan yang SALAH. Hubungan seorang muslim dengan al-Quran adalah mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.”
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Ar-ruqa yang diharamkan ialah yang terdapat padanya pohon pertolongan kepada yang lain dari Allah atau ianya bukan berbahasa Arab yang berkemungkinan terdapat padanya kata-kata kufur atau syirik. Adapun selain dari yang tersebut itu tidaklah mengapa untuk digunakan.”

Menurut al-Imam as-Suyuti rahimahullah: Para ulama telah ijmak (bersepakat) tentang harusnya ar-ruqa ketika wujud tiga syarat:

Hendaklah ianya terdiri dari kalam Allah (ayat al-Quran) atau nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya.Hendaklah ianya di dalam bahasa Arab dan apa difahami pengertiannya. Hendaklah mengiktiqad dan mempercayai bahawa ar-ruqa itu tidaklah memberi bekas/kesan bahkan dengan takdir Allah.

Komen dan Soalan