Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.05.04#270415 : SAHIH LIGHAYRIHI (صحيح لغيره)

02.05.04#270415 : SAHIH LIGHAYRIHI (صحيح لغيره)

165
0

Nota 02.05.04 Pembahagian Hadits al-Maqbul (المقبول)

Susunan: BroSyarief

SAHIH LIGHAYRIHI (صحيح لغيره)

Secara teknikal, istilah ini merujuk kepada hadits yang asalnya dihukum sebagai Hasan Lizaatihi, dan didapati wujudnya jalan-jalan periwayatan (ie. sanad-sana) yang lain yang sama peringkat statusnya atau lebih kuat darinya, mendokongnya untuk naik ke peringkat Sahih Lighayrihi.

Kedudukan status ini lebih rendah sedikit dari Sahih Lizaatihi, dan lebih tinggi dari Hasan Lizaatihi.

Dan hadits yang dihukum dengan status Sahih Lighayrihi dijadikan hujjah dalam bab-bab agama.

HASAN LIZAATIHI (حسن لذاته)

al-Hasan dari sudut bahasa merujuk kepada keelokan dan kebaikan.

Secara teknikal ia merujuk kepada apa-apa hadits yang memenuhi kelima-lima syarat hadits Sahih dalam keadaan syarat yang ke-3, iaitu Kredibiliti Inteleknya (yakni: hafalan dan ingatan), adalah kurang sedikit berbanding periwayat-periwayat hadits Sahih.

Kedudukan hadits berstatus Hasan Lizaatihi lebih rendah dari kedua-dua Sahih Lizaatihi dan Sahih Lighayrihi.

 

HASAN LIGHAYRIHI (حسن لغيره)

Hasan Lighayrihi adalah status yang diberikan kepada hadits yang asalnya dha’if yang ringan, namun terdapat jalan-jalan periwayatan (ie. sanad-sana) yang lain yang sama peringkat statusnya atau lebih kuat darinya, mendokongnya untuk naik ke peringkat Hasan Lighayrihi.

 

Terdapat 2 syarat yang perlu dipenuhi untuk meletakkan hukum Hasan Lighayrihi:

01. Kelemahannya ringan, seperti kerana kekurangan pada hafalan, atau terputusnya sanad yang tidak keterlaluan.
02. Sanad yang lain itu hendaklah sama peringkat kekuatan dengannya atau lebih kuat darinya, tidak boleh lebih lemah.

Perlu diingatkan, proses menaikkan status hadits hasil pencarian jalan-jalan periwayatan tambahan ini, adalah bergantung kepada ijtihad para ulama hadits dan boleh jadi ianya tidak disepakati.

Selain itu, terdapat juga penilaian yang berbeza bagi matan, sementara status sanadnya lain pula.

Boleh jadi sesuatu hadits, sanadnya dha’if dan lemah, tetapi matannya dihukum shahih kerana pelbagai sebab, antaranya kerana mesejnya mempunyai asal yang kuat di dalam agama.

Begitu juga boleh berlaku sebaliknya, di mana sanadnya sahih, tetapi matannya dihukum tidak sahih kerana terdapat pertentangan atau sebab-sebab lain yang hanya dapat dikenal pasti oleh ulama-ulama hadits yang pakar di dalam bab ‘ilal atau kecacatan yang tersembunyi.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan