Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.04.05#150415 Bilik (40) AL-GHARIB atau AL-FARD (الفرد)

02.04.05#150415 Bilik (40) AL-GHARIB atau AL-FARD (الفرد)

210
0
Iklan

Nota 02.04.04 Kategori-kategori Perspektif Jumlah Periwayat (كثرة الرواة وقلتهم)

Susunan: BroSyarief

 

AL-GHARIB (الغريب) atau AL-FARD (الفرد)

 

Secara bahasa ia bermaksud ganjil, asing dan sendiri. Kata gandanya ialah al-Gharaib (الغرائب).

 

Adapun secara teknikal, ia merujuk kepada berSENDIRInya periwayat di mana-mana kedudukan di dalam sanad, bagi sesuatu hadits.

 

Ia terbahagi kepada kepada dua kategori:

 

01. al-Gharib al-Mutlaq (الغريب المطلق)

Iaitu apabila secara mutlak, hanya seorang sahaja perawi yang mendengarkan dari perawi di atasnya.

 

Contohnya hadits niat yang sangat terkenal itu merupakan hadits Gharib Mutlak, kerana tidak ada sahabat lain yang mendengarkan dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam kecuali Umar radhiyalLaahu ‘anhu, Jadi Umar bersendiri dalam meriwayatkan hadits niat.

 

02. al-Gharib an-Nisbi (الغريب النسبي)

Iaitu apabila bersendirinya periwayat menurut perspektif atau keadaan tertentu, bukan melalui penilaian kepada kesemua sanad-sanad bagi suatu hadits.

 

Ibn Hajar meletakkan 5 jenis bentuk bagi al-Gharib al-Nisbi:

i – Bersendirinya seseorang periwayat dari seseorang periwayat yang khusus. Walaupun hakikatnya pada tobaqat beliau masih ada orang lain yang turut meriwayatkan hadits yang sama tapi tidak bertemu langsung pada gurunya, tetapi mungkin lebih jauh di atas.

 

ii – Bersendirinya dikaitkan dengan tempat atau negeri tertentu, walaupun jumlah periwayatnya ramai. Seperti disebutkan, ‘Bersendirinya ahli Mekah meriwayatkan ini..” yang bermaksud hanya orang-orang Mekah yang meriwayatkan hadits tersebut, jadi mereka ‘bersendiri’ merujuk kepada tempat dan negeri.

 

iii – Bersendirinya dikaitkan dengan periwayatan ahli-ahli sesuatu tempat atau negeri dari seorang periwayat yang sama.

 

iv – Bersendirinya dikaitkan dengan periwayatan seorang periwayat dari ahli-ahli sesuatu tempat atau negeri (berlawanan dari poin iii).

 

v – Bersendirinya dikaitkan dengan periwayatan ahli-ahli sesuatu tempat atau negeri A, dari ahli-ahli sesuatu tempat atau negeri B.

 

Di antara penulisan-penulisan tentang Hadits Gharib ialah:

01. Gharaib Malik, karangan Imam ad-Daruquthni
02. al-Gharaib wa al-Afrad, karangan ad-Daruquthni
03. as-Sunan allati Tafarrada bikulli Sunnatin minha Ahlul Baldah, karangan Abu Dawud

 

Di antara kitab hadits popular mempunyai hadits-hadits Gharib:

01. Musnad al-Bazzar
02. al-Mu’jam al-Awshat, karangan at-Tabrani

 

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan