Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #3 | Bilik Hadith al-Sakandary

Kelas #3 | Bilik Hadith al-Sakandary

381
0
Iklan

Minggu ke-3: Kelas Ulum Hadith Al-Sakandary

Kelas #3: 12 Mac 2015 @ 21 Jumada Awal 1436

Bismillah, alhamdulillah, wa ba’d. Pada minggu lepas saya telah jelaskan perkembangan penulisan Ulum Hadith sehingga Ibn Thahir al-Maqdisi, dan hari ini insyaAllah kita akan meneruskan pengembaraan kita menelusuri sejarah hingga ke zaman moden dan insyaAllah kita akan tamatkan pengembaraan ini hari ini, kemudian masuk ke pengembaraan yang baru.

Baik, selepas Ibn Thahir al-Maqdisi, datang pula ulama-ulama lain meneruskan penulisan dalam Ulum hadith, antaranya datang al-Hazimi menyusun “Syurut al-Aimmah al-Khamsah”. Selepas itu datang Ibn al-Solah menyusun buku magnum opusnya pula bertajuk “Ma’rifat Anwa’ ‘Ilm al-Hadith” yang terkenal dengan nama “Muqaddimah”, dalam buku ini Ibn al-Solah berusaha mencuba menghimpunkan serpihan-serpihan yang pernah ditulis dalam buku-buku Mustolah sebelumnya.

image
Gambar: Ulum al-Hadith karya Ibn al-Solah, tahqiq serta syarah oleh guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah, ia gabungan sekali beserta buku-buku lain scr bersama.

Pada zaman Ibn al-Solah penguasaan terhadap ulum hadith semakin bertambah kurang, hingga kebanyakan para ulama selepas zaman Ibn al-Solah hanya mengikuti sahaja, dan kepada buku “Ma’rifat ‘Anwa’ ‘Ilm al-Hadith” inilah para ulama Mutaakhkhirin berpijak dalam menulis karya-karya mereka selepas itu,

buku ini menjadi tiang utama serta menjadi kiblat dalam penulisan buku-buku Mustolah mereka selepas zaman Ibn al-Solah, semua buku-buku Mustolah selepas itu adalah berdasarkan buku ini, ada yang melakukan ringkasan terhadap buku ini, ada yang mencipta puisi (nizham/manzumah) berdasarkan buku ini, ada pula yang melakukan komentar-komentar (nukat) terhadapnya, serta ada juga yang melakukan huraian (syarah) terhadapnya

Antara yang melakukan ringkasan terhadap buku karya Ibn al-Solah ini ialah “Irsyad Thullab al-Haqaiq” karya al-Nawawi (yang kemudiannya beliau sendiri melakukan ringkasan terhadapnya bertajuk “al-Taqrib wa al-Taisir”, yang kemudiannya dibuat huraian oleh al-Suyuthi bertajuk “Tadrib al-Rawi”),

image
Gambar: Tadrib al-Rawi, tahqiq guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah

serta “al-Khulasoh” karya al-Thibi, serta “al-Muqni” karya Ibn al-Mulaqqin, serta “Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith” karya Ibn Kathir, serta “al-Iqtirah” karya Ibn Daqiq al-‘Eid (yang kemudiannya diringkaskan al-Zahabi dengan tajuk “al-Muqizoh”).

image
Gambar: Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith, tahqiq dan syarah guru saya al-Syaikh Maher Yasin al-Fahl
image
Gambar: Syarah Mugizoh oleh guru saya al-Syaikh Hatem al-Awni, dan saya mengkhatamkan buku ini dengan beliau. Alhamdulillah

Baik, itu contoh-contoh buku yang melakukan ringkasan terhadap buku Ibn al-Solah.

Manakala yang melakukan huraian (syarah) kepada buku Ibn al-Solah ini pula antaranya ialah “Islah Kitab Ibn al-Solah” karya Ibn al-, serta “Islah Ibn al-Solah” karya Mughulthay, serta “al-Jawahir al-Sihah” karya Ibn Jamaah. Manakala yang melakukan komentar (nukat) terhadap buku Ibn al-Solah pula antaranya ialah “al-Nukat” karya al-Zakarsyi, serta “al-Taqyid wa al-Idhah” karya al-Iraqi, serta “al-Nukat” karya Ibn Hajar.

Baik..

Manakala yang melakukan puisi (manzumah) terhadap buku Ibn al-Solah ialah antaranya “Alfiyyah”(bermaksud 1000, dan ia adalah puisi dengan 1000 rangkap) karya al-Iraqi dan inilah yang menjadi nisbah kepada guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary, al-Alfy adalah nisbah beliau yang diambil sempena nama buku Alfiyyah karya al-Iraqi kerana Alfiyyah inilah merupakan buku matan Mustolah yang pertama beliau hafaz, moga Allah memelihara Syaikhuna al-Alfy. Kemudian Alfiyyah karya al-Iraqi ini dibuat huraian oleh al-Sakhawi dengan tajuk “Fath al-Mughits”.

image
Ini buku lain, usah keliru, hanya namanya.

Antara lain yang turut melakukan puisi berdasarkan buku Ibn al-Solah ialah “Alfiyyah” karya al-Suyuthi yang kemudiannya dibuat huraian oleh beliau sendiri dengan tajuk “al-Bahr al-Lazi Zakhar”, tidak dilupakan juga antara lain yang membuat puisi berdasarkan buku Ibn al-Solah ialah al-Baiquni dengan nama “al-Manzumah al-Baiquniyyah” yang kemudiannya dibuat huraian oleh ramai ahli ilmu antaranya guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muaz Thariq Iwadullah.

image
Gambar: syarah al-manzumah al-baiquniyyah oleh guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah.

Mungkin akan ada yang bertanya kenapa tajuk buku karya al-Iraqi serta al-Suyuthi sama? Keduanya bernama “Alfiyyah”. Perlu diketahui bahawa nama buku tidak wujud baginya hak cipta, tidak menjadi kesalahan dan tidak dikira plagiat, banyak penulisan-penulisan para ulama mempunyai nama yang sama selain Alfiyyah, antara lain ialah huraian al-Jami’ al-Sahih al-Bukhari, ditulis oleh kedua Ibn Hajar al-‘Asqalani serta Ibn Rajab al-Hanbali dan kedua mereka memilih nama yang sama iaitu Fathul Bari.

Dalam kesemua buku-buku karya Mutaakhkhirin yang telah saya sebutkan tadi, yang masyhur serta yang penting antaranya ialah: “al-Kifayah” karya al-Khatib al-Baghdadi, “Muqaddimah” karya Ibn al-Solah, “al-Mugizoh” karya al-Zahabi, “al-Nukhbat al-Fikar” karya Ibn Hajar, “al-Manzumah al-Baiquniyyah” karya al-Baiquni, “Alfiyyah” karya al-Iraqi, “Fath al-Mughits” karya al-Sakhawi, “Tadrib al-Rawi” karya al-Suyuthi, “al-Nukat” karya al-Iraqi, serta “al-Nukat” karya Ibn Hajar.

Baik..

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, qawaid (kaedah-kaedah) yang dibuat serta dirumuskan dalam buku-buku Ulum Hadith serta Mustolah karya Mutaakhkhirin ini tidaklah menggambarkan manhaj kajian para ahli hadith Salaf (Mutaqaddimin) secara tepat dan menyeluruh, sebaliknya ia hanyalah sebagai ringkasan dan pendekat sahaja, kebanyakan qawaid serta dhawabith yang dirumuskan itu adalah hasil daripada kajian yang tidak sempurna (istiqra’ naqis), manakala ada pula rumusan yang dibuat berdasarkan kajian sempurna (istiqra’ taam), hal ini diakui olah ramai para pengkaji misalnya berkata al-Syaikh al-Muhaddith Dr. Basyar ‘Awwad Ma’rouf dalam pendahuluannya atas tahqiq Sunan Ibn Majah atau nama sebenarnya al-Jami’ al-Sunan disebut juga al-Sunan al-Mu’all:

“Maklum bahawa qawaid (kaedah-kaedah) yang diletak oleh para penulis buku-buku Mustolah merupakan ijtihad, ada antara ijtihad itu terhasil daripada kajian yang sempurna (istiqra’ taam), manakala ada pula yang terhasil daripada kajian yang tidak sempurna (istiqra’ naqis) dan inilah yang majoriti”

Satu perkara yang penting perlu diketahui, bermula kurun ke-5 pengaruh-pengaruh luar semisal falsafah, ilmu kalam, madrasah fuqaha’ al-ra’y mula meresapi dan memasuki ilmu hadith, terutamanya pada zaman al-Khatib al-Baghdadi serta lebih menyerlah pada zaman Ibn al-Solah. Ramai ahli hadith pada zaman kejatuhan ini terpengaruh dengan falsafah serta ilmu kalam, madrasah al-ra’y serba sedikit atau banyak, disebabkan ini ramai penulis Ulum Hadith serta Mustolah ketika itu mencampur-campur pendapat ahli hadith dengan pendapat fuqaha’, serta pendapat ahli kalam dan falsafah dalam penulisan-penulisan mereka, hingga mereka yang datang terkemudian susah atau tidak dapat membezakannya, maka mulai sinilah penulisan-penulisan Ulum Hadith dan Mustolah bercampur-baur antara manhaj ahli hadith, manhaj ilmu kalam, manhaj falsafah, serta madrasah al-ra’y. Dan insyaAllah kita akan melihat contoh-contoh dalam kelas-kelas mendatang apabila tiba babnya.

Disebabkan itu jika kita perhatikan kepada buku-buku Mustolah karya Mutaakhkhirin yang telah saya sebutkan sebelum ini, ia bercampur-campur antara pendapat ahli hadith, ilmu kalam, falsafah. Bahkan semakin jauh sesuatu zaman itu dari zaman Salaf yakni Mutaqaddimin, semakin lemah penguasaan ilmu hadith ini dan manusia hanya mengikut-ikut sahaja apa yang telah tertulis dalam buku-buku Mustolah sebelumnya, tiada lagi usaha untuk mengkaji dan menilai semula rumusan yang dibuat dalam buku-buku ini.

Hal ini lebih menyerlah selepas zaman Ibn Hajar, hingga jika kita lihat kebanyakan penulisan dalam Mustolah selepas Ibn Hajar seolah-seolah salinan karbon dari karya-karya Ibn Hajar sahaja, seperti Ibn Hajar pula yang menulisnya sendiri, kecuali al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali yang terus teguh dengan manhaj ahli hadith Salaf (Mutaqaddimin), beliau banyak melakukan tajdid semula dalam penulisan-penulisan agar mengikuti manhaj ahli hadith yang asli, berusaha tidak bercampur dengan ilmu kalam, falsafah serta ahli ra’y, membebaskan semula serta membuka semula perbincangan-perbincangan yang telah ditulis untuk dinilai semula, dikritik dan dibetulkan. Namun malangnya disebabkan penguasaan ilmu hadith semakin merudum, para ahli istilah dan para penulis buku-buku Mustolah lebih selesa mengikut saja apa yang telah ditulis dalam penulisan-penulisan sebelumnya, ini menyebabkan usaha Ibn Rajab seolah tenggelam.

Perkara ini berlarutan hingga ke zaman moden, sehinggalah muncul al-Syaikh al-Muhaddith ‘Abdurrahman al-Mua’llimi al-Yamani yang bangkit menyambung semula usaha al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali. Beliau membuka semula banyak perbincangan-perbincangan, serta membebaskan semula apa yang dianggap selama ini muktamad untuk dikritik, dinilai semula dan dibetulkan, beliau membawa tajdid agar Ulum Hadith ini kembali bersih daripada anasir-anasir luar semisal falsafah serta ilmu kalam dan mazhab fuqaha al-ra’y, antara penulisan beliau yang utama ialah al-Tankil. Jika dalam aqidah kita punya tokoh semisal al-Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab yang melakukan tajdid terhadap ilmu aqidah, maka dalam hadith kita punya al-Syaikh ‘Abdurrahman al-Mu’allimi al-Yamani yang melakukan tajdid dalam ilmu hadith.

Usaha al-Syaikh ‘Abdurrahman al-Mu’allimi al-Yamani ini mendapat sambutan serta sokongan ramai para ahli hadith moden lain, mereka meneruskan usaha tajdid yang dibawa ini, antara mereka ialah al-Syaikh al-Muhaddith ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Sa’d dari ‘Arab Saudi, serta al-Syaikh ‘Amru ‘Abdul Latiff (rahimahullah) dari Mesir, mereka berdua adalah antara yang terkehadapan dalam arus tajdid ini, juga al-Syaikh Dr. Ibrahim al-Laahim dari ‘Arab Saudi, serta guru kami al-Syaikh Dr. Hamzah al-Malibari dari Malabar, serta al-Syaikh ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim dari Mesir, serta guru kami al-Syaikh Dr. Maher Yasin al-Fahl dari Iraq, serta al-Syaikh al-Harith al-Hasani dari Samarra, Iraq, serta al-Syaikh Subhi al-Samarraie dari Samarra, Iraq, serta guru kami al-Syaikh Thariq Iwadullah Muhammad dari Mesir, serta guru kami al-Syaikh Dr. ‘Abdul Qadir Mustafa al-Muhammadi dari Iraq, serta guru kami al-Syaikh Dr. Basyar ‘Awwad Ma’rouf dari Iraq/Jordan, dan juga guru kami Syaikhul hadith al-Iskandariah al-Syaikh Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary dari Iskandariah (Mesir), serta guru kami al-Syaikh Dr. Umar al-Muqbil dari ‘Arab Saudi, serta al-Syaikh Muqbil Hadi al-Wadie, serta guru kami al-Syaikh Waleed Idris al-Meneesy dari Minnesota USA/Iskandariah,Mesir, serta guru kami al-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz al-Tharifi dari ‘Arab Saudi, al-Syaikh Dr. Ahmad Muhammad al-Khalil, al-Syaikh Nasir Hammad al-Fahd, dan ramai lagi.

Maka tidak dapat tidak bagi para penuntut ilmu hadith yang menyedari hakikat perkembangan penulisan Ulum Hadith ini, agar banyak membaca serta menela’ah karya-karya para ulama hadith yang membawa arus tajdid ini, supaya kita memahami manhaj para huffaz Salaf Mutaqaddimin, mengikuti manhaj para ahli hadith serta tidak mencampurkannya dengan manhaj fuqaha al-ra’y, falsafah serta ahli kalam. Baik, dengan ini berakhirlah pengembaraan kita menelusuri sejarah perkembangan penulisan ulum hadith. Allah Maha Mengetahui.

************************************

Boleh muat turun nota ini dalam format pdf dengan klik sini.

Komen dan Soalan