Utama Bilik (105) Qawaid Fiqh Pengajian 1 : Qawa’id Fiqh

Pengajian 1 : Qawa’id Fiqh

1115
0
Iklan

 

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله…

Pelajaran yang akan kita bincangkan ini dikenali dengan

القاعدة الفقهية @ القواعد الفقهية @ قواعد الفقه

Qa’idah (قاعدة) dari segi bahasa berasal dari (قعد) Qu’ud bermaksud duduk. Ia sebagai isyarat qaedah ini adalah suatu yang tetap, kemas seperti orang duduk. Dari segi bahasa asas atau usul sesuatu.

Dari segi istilah, ulama’ mendepankan pelbagai ta’rif.

  1. Prinsip atau ketetapan umum (كل) yang dapat diketahui dengannya hukum-hukum juz’ie / juzu’ yang terkandung dibawahnya.
  2. Ketetapan/prinsip umum yang bersesuaian dengan semua juzu’nya agar boleh diketahui hukum juzu’ itu daripada prinsip umum tersebut.

Secara ringkasnya qaedah ialah satu prinsip umum yang mana banyak juz’ie/masalah boleh berada dibawahnya dan difahami dengannya.

Tatkala digabungkan dengan fiqhiyyah (فقهية) maka ia membentuk beberapa makna. Antaranya :

  1. Ia adalah kaedah-kaedah yang mengandungi sekumpulan hukum-hukum syara’ daripada bab-bab yang pelbagai, berbeza yang diikat dengan satu sudut kefahaman yang boleh dikongsi (antara bab-bab yang berbeza itu). Dengan gabungan fiqhiyyah maka qaedah yang tidak berkait dengan syara’ atau agama tidak termasuk.
  2. Qaedah fiqh ialah asas/usul feqah secara umum/ (كل) yang mengandungi hukum-hukum syara’ yang umum daripada bab-bab yang pelbagai didalam ketetapan/prinsip yang berada dibawah perbincangan fiqh.

*Contoh jawapan berdasarkan qawa’id fiqh yang pernah saya {Abu Naielah} jawab.

Qawa’id fiqh ada 5 kaedah utama. Bawahnya keluarnya banyak kaedah-kaedah pecahan yang lebih dikenali dengan dhobit (ضبط). Dalam masalah diatas, kita boleh merujuk kepada beberapa dhobit untuk membuat keputusan.

Dhobit 1 ialah :

اليقين لا يزال بالشك

Yakin tidak boleh dihilangkan dengan syak.

Di bawahnya banyak dhobit.

الاصل براءة الذمة

Asal dalam sesuatu masalah seseorang itu terlepas dari tanggungan.

Dalam masalah ini, asal masalahnya ialah orang itu terlepas dari tanggungan bahawa dia menanggung najis yang mesti dibersihkannya. Kecuali dapat kepastian adanya najis tersebut.

Dhobith 2 ialah :

الاصل العدم

Asal adalah tiada.

Maknanya asal antara ada najis dengan tiada najis ialah tiada kecuali pasti ada (موجود).

Dhobith 3 ialah :

اذا تعارض الاصل والظاهر فللاصل عاضد قدم الاصل. ان كان للظاهر عاضد قدم الظاهر

Bila bertembung antara asal dan zohir. Lalu yang asal mempunyai penyokong maka didahulukan hukum asal. Sekiranya yang zohir mempunyai penyokong maka didahulukan hukum zohir.

Dalam kes diatas, asal hukum rumah itu bersih. Tapi zohirnya bila rumah itu ada bela anjing maka hukumnya bernajis. Maka lihat apa kesan yang ada.

Sekiranya ada kesan jilatan atau seumpamanya, maka dikira bernajis. Sekiranya tiada kesan jilatan maka ambil hukum asal yaitu tidak bernajis.

* Soalan terkumpul :

Q1: Saya sebelum ini difahamkan bahawa berselawat secara beramai-ramai seperti yang seringkali dianjurkan akhir-akhir ini adalah tidak mengikut kepada kehendak islam yang sebenar. Saya mohon pencerahan lanjut.

J1: Isu selawat. Sahabat Nabi (صلى الله عليه وسلم) bertanya kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم) bagaimana cara untuk berselawat? Hal ini kerana mereka bimbang tidak menepati cara yang dikehendaki oleh Baginda (صلى الله عليه وسلم). Maka, kita sebaiknya ambil apa yang diajar oleh Nabi (صلى الله عليه وسلم) tentang cara untuk berselawat. Selawat merupakan doa permohonan kepada Allah. Di dalam al-Quran ada arahan supaya kita berdoa dengan suara yang perlahan.

Surah al-Anfal : 55

قال الله جل وعلا : (ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ)

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Tambahan Fahmi : Dalam Tafsir Ibn Katsir, تَضَرُّعًا وَخُفْيَة adalah السر bermaksud perlahan. Berkata Ibn Juraih : تَضَرُّعًا bermaksud memperhambakan diri, penyerahan diri untuk mentaati-Nya. Dan وَخُفْيَة bermaksud dengan keadaan khusyuk pada jantung hati mereka, dan yakin dengan keEsaanNya dan keRububiyyahNya dalam apa sahaja perkara antara mereka dengan Allah Ta’ala. (والله أعلم)

Keadaan berselawat adalah bebas dalam apa jua bentuk. Yang diamalkan oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in dan ulama’-ulama’ ialah secara bersendirian. Dan dengan itu mereka sentiasa boleh melakukannya. Apa faedah sekiranya dibuat secara beramai-ramai selepas itu balik, langsung tidak melakukan secara berterusan. Itu adalah secara realiti yang berlaku. Berbeza dengan orang yang sentiasa melazimi diri dengan hadis akan sentiasa dilazimi diri dengan selawat. Ya, pasti secara beramai-ramai bukan cara yang diwarisi dari generasi awal Islam. Yang lebih baik dan tiada yang terbaik selainnya ialah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Baginda (صلى الله عليه وسلم), para sahabat (رضوان الله عليهم أجمعين) dan generasi awal Islam.

Q2 : Adakah sama dari sudut istilah kalimah ‘qaedah’ itu sendiri dalam qaedah al-fiqh dengan qaedah usul al-fiqh?

J2 : Qawa’id fiqh dan usul fiqh adalah 2 hal yang berbeza. Qaedah fiqh dengan qaedah usul fiqh adalah berbeza.nanti saya jelaskan. In sha Allah

Q3 : Dalam isu selawat beramai-ramai, qawaid fiqhiyyah yang manakah digunapakai samada dari pihak yang membolehkannya atau pihak yang tidak membolehkannya?

J3 : Biasanya bagi setengah golongan yang sentiasa melakukan penambahan dalam amalan, mereka berhujahkan dengan kaedah asal segala sesuatu adalah harus. (الأصل في الأشياء الإباحة). Namun begitu kaedah itu tidak digunapakai bagi masalah ibadat. Dalam masalah ibadat kaedah yang digunapakai ialah :

الاصل فى العبادة التوقف او التحريم

Asal dalam ibadat adalah terhenti atau diharamkan hingga terdapat dalil yang mengharuskan.

:رواه مسلم (صلى الله عليه وسلم) Ia berdasarkan hadis Nabi

من عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد

Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan urusan kami/dalam agama Kami maka ianya tertolak.

Tambahan Fahmi : Dalam riwayat al-Bukhari :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Siapa yang mereka-reka dalam urusan Kami, hal itu tidak daripadanya maka ianya tertolak.

Q4: Ustaz, kalau ada agamawan memakai kaedah hukum asal semuanya harus dan mengatakan adalah salah kaedah hukum asal ibadat itu adalah haram?

J4 : Akan jadi celaru dalam masalah ibadat dan segala ibadat tidak lagi disandarkan kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم). Bila umat Islam sudah lupa bahawa sandaran ibadat itu kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم), maka hendaklah kita merenung kepada agama-agama lain yang telah berlaku penyelewengan kepada mereka. Sekiranya mereka menyandarkan amal ibadat kepada Nabi-Nabi mereka, nescaya mereka akan berada diatas landasan yang betul dan akan ikut Nabi (صلى الله عليه وسلم).

Q5 : Pernah seorang ustaz kata (جلس) duduk dari baring. (قعد) duduk dari berdiri. Atau sebaliknya.

J5 : Abu Naielah : Antara (جلس)dengan (قعد)memang didalam hadis ada guna kalimah (جلس) bila Nabi sallallahu alaihi wasallam tengah berbaring mengiring tiba-tiba dia duduk. Kena cari betul-betul dulu baru dapat makna dia pada sudut perbezaan.

Q6: Ustaz, setiap mazhab ada qawaid fiqhiyyah yang berbeza ke? Kerana saya pernah baca karangan ulama hadith tentang kaedah fiqh untuk ahlul hadith.

J6: Qawa’id fiqh ada untuk mazhab masing-masing. Saya belajar qawa’id mazhab syafie dan hanafi. Yang ahli hadis juga ada.

Komen dan Soalan