Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah HUKUM BERTALFIQ

HUKUM BERTALFIQ

1069
0
Iklan

1)  Apakah hukum talfiq mazhab? Bagaimanakah cara untuk mengamalkan talfiq yang sebenar dengan tujuan mempermudahkan urusan agama dan tidak menjadi seperti  “mempermudah-mudahkan agama”.

Ada empat istilah asas Fiqh yang perlu diketahui: Ijtihad, Ittiba’, Talfiq dan Taklid. Kita jelaskan secara mudah:

a. Ijtihad bermaksud mencurahkan daya fikir secara maksima dalam mencapai ketentuan hukum syara’. Ia dicapai melalui dua atau tiga jalan:

i . Takhrij = mengeluarkan hukum daripada dalil dan nas.

ii.Tarjeeh = banding dan ambil pendapat yang terkuat.

iii. Tahqeeq = menilai dalil dan maqosyid syara’.

Para mujtahid ini wujud di sepanjang sejarah dan pada penghujung abad ke- 4 Hijrah, disyorkan pintu ijtihad ini ditutup memandangkan Khilafah Islam telah menetapkan agar madzhab-madzhab tertentu untuk diikuti dan pendapat-pendapat fiqih semuanya sudah dibukukan. Jika ijtihad terus dibuka akan menimbulkan kekacauan. Pendapat ini dibenarkan beberapa abad hingga dibuka semula oleh gagasan Syaikhul Islam Ibn Taymiyah الله‎ رحمه  

( Prof Mahmud Syaltut, Muqaranatul madzhab fi Fiqhi )

b. Ittiba’ : Pengambilan hukum dengan mengetahui dalil dan alasan-alasannya dan ia diketahui dengan jalan yang ditunjuki oleh mujtahid.

*Dua cara ini (ijtihad dan ittiba’) adalah dua cara yang paling selamat.

(Ibn Taimiyah, Majmu’   Fatawa:20/212)

c. Taklid : Menerima pendapat orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Taklid ini tidaklah ditegah cuma ia tanda dangkalnya ilmu seseorang. Seperti kata Imam Ibn Taimiyyah (ibid/212) tanda dangkalnya ilmu seseorang ialah bila agamanya dilandasi dengan taklid kepada orang lain.

d. Talfiq: Gabungan pendapat-pendapat daripada pelbagai madzhab atau mujtahid. Jika taklid selalunya hanya kepada seorang mujtahid atau madzhab, talfiq pula bila seseorang mendapatkan pendapat daripada banyak sumber.     

Rumusan: Keempat-empat cara ini berlaku di sepanjang masa.Taklid ada disebut dalam Al-Qur’an:

 ” kerana itu bertanyalah kepada orang-orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu”

[ an-Nahlu: 45. ]

Oleh itu orang yang ada kemampuan belajar dan memiliki ilmu agama, wajib menjawab bila ada yang bertanya. Wajib juga ittiba’ untuk lebih keyakinan beragama. Bagi yang tidak ada ilmu, wajib pula bertanya dan tidak ada kesalahan mencari ramai orang berilmu untuk ditanya. Ijtihad, Ittiba’, Taklid, Talfiq berlaku disepanjang masa bermula dari zaman Nabawi Khulafa’ Arrasyidin, zaman madzhab dan zaman sekarang. Yang dicela ialah malas belajar dan fanatik madzhab dan Imam sahaja. (Prof Ahmed Syurbasyi, Yas-Aluunak, Muhaddith al Bania, Fatawa Medina al-Munawarrah).

Kitab sahih fiqh sunnah karya Abu Malik Kamal Syed Salim, jurutera Mesir, murid kepada Syaikh Mustafa Adawi. Sekarang menetap di saudi arabia. Buku ni memang terbaik sebagai fiqh talfiq.

2) Bolehkah bertalfiq tanpa ada batasan selagi mana ada pendapat yang membolehkan dan selagi itu boleh diamalkan?

Perlu ada ilmu untuk buat semakan dalil-dalil yang digunakan oleh setiap imam. Dibolehkan selagi berada dalam 20 madzhab sunni. Khususnya 6 madzhab iaitu  Malik, Hanafi, Syafi’iy, Hanabilah, Daud Ibnu Hazam dan Ibn Taimmiyah. Pilih yang mudah asalkan dalilnya sahih atau hasan kerana asal agama ialah mudah.

 Orang awam bertalfiq dengan bertanya dan berbincang dalil dengan guru-guru atau ustaz-ustaz. Orang awam juga bertalfiq dengan mengambil ilmu dari laman web yang dipercayai seperti rumaisho.com. Contoh dalam isu bilangan rakaat tarawih, dia bertanya kepada 20 orang ustaz. Maka dari situ dia buat keputusan yang mana yang terbaik.

3) Dalam isu batal wuduk bersentuhan dengan isteri, ada yang mengatakan tidak boleh talfiq begitu, kerana wuduk diambil dengan kaedah Mazhab Syafi’iy, jadi syarat batal wuduk perlu ikut Mazhab Syafi’iy, sekiranya ingin ikut syarat batal wudhu’ Mazhab Hanafi, maka perlu ikut kaedah wudhu’ mereka.

Jika anda ingin praktik wudhu’ perlu belajar sifat wudhu’ Nabi. Mesti lihat dari A sampai Z. Cara berwudhu’ menurut fiqh talfiq atau fiqh sunnah. Tidak ada masalah untuk mencampurkan madzhab dalam sifat wudhu’ tersebut asalkan ia berasaskan hadith. Contohnya anda buka bab wudhu’ dalam Kitab Sahih Fiqh Sunnah atau Ahkam anNisa’ oleh Mustafa Adawi atau Dr. Abdul Kareem Zaidan al-Mufassal sebab ini kitab talfiq.

3) Mengapakah hanya 4 madzhab yang diketahui oleh orang awam?

4 mazhab ni yang menjadi mazhab rasmi di negara OIC, manakala mazhab lain tidak popular kerana kurang penajaan daripada penguasa. 4 mazhab ni popular dan kuat sebab rujukannya paling lengkap dan ia berkembang sampai hari ini. Mazhab lain yang banyak rujukan ialah Daud Zahiri dan Ibnu Hazm dari Mazhab Zahiri. Juga manhaj Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim juga banyak rujukannya, manakala mazhab lain, seperti Abu Tsaur, laith, Sufyan Thauri, Al- Bukhari, Muslim, Termidzi, perlu kena buat kajian sendiri sebab rujukannya terhad dan banyak yang masih berada dalam bentuk manuskrip dan tersimpan di Turki, Damsyiq, Cairo dan Riyadh.

Memperbetulkan niat dalam bertalfiq

Talfiq ini bergantung kepada niat seseorang. Apakah tujuan dia merentasi mazhab dan imam. Adakah dia ingin mencari pendapat yang amat lemah untuk hawa nafsunya atau dia ikhlas ingin mencari hakikat kebenaran itu hanya satu.

Contoh 1:

Ilmu pengetahuannya berkaitan meliwat isteri itu haram. Maka dia cuba mencari dalam semua mazhab, mana satu mazhab yang mengharuskan liwat isteri atau dia mencari pendapat mazhab yang membolehkan hubungan seks ketika isteri haid.  Niat dia mencari hukum tu penting. Dia mencari kebenaran atau dia mencari kerana hawa nafsunya.

Contoh 2:

Dia cenderung kepada tahlil mayat atau kenduri arwah ini sunat. Maka dia akan mencari qaul imam dan ulama’ yang mengatakan tahlil mayat ni memang sunat. Ini talfiq yang negatif. Talfiq yang positif, mencari hukum hakam yang ringan akan tetapi nasnya masih sahih atau hassan.

Contoh 3:

Selama ini dia berpegang kepada hukum menyentuh isteri itu batal wudhu’. Dia pun berfikir kenapa begitu susah sehingga menyentuh isteri sendiri boleh membatalkan wudhu’. Maka dia melakukan talfiq. Dia menjumpai fiqh Hanafi, menyentuh tanpa hawa nafsu tidak membatalkan wudhu’. Maka dia melihat hujah mazhab tersebut dan memilih Mazhab Hanafi.

Contoh 4 :

Dalam zakat fitrah, memang susah ingin membawa 2.7 kilogram beras untuk dirinya, isteri dan lima orang anak. Maka dia memilih pendapat Hanafi yang boleh menggunakan matawang kertas. Itu talfiq yang positif.

Pendapat yang mengharamkan bertalfiq

  1. Akidah Islam nusantara

Pendapat yang mengharamkan talfiq ini kerana tidak mahu kaedah usul nusantara akan berkubur seperti Akidah Asyai’rah, Fiqh Syafi’iyah, Tasawuf Al Ghazali, Tareqat Naqsyabandi, Ahmadiah, Syaziliah atau Qadiriah.  Maka dalam fiqh mesti kena ikut kepada Mazhab Syafi’iy. Itu memang dasar akidah di Nusantara.

  1. Fanatik madzhab

Sikap fanatik kepada satu mazhab fiqh ni sudah ditanam sejak abad ke-4 Hijrah lagi. Dua perkara ini menyebabkan perkongsian atau keluasan fiqh atau fiqh muqaran, fiqh rentas mazhab amat perlahan sehingga Al Azhar dan Universi Damsyiq yang memperkenalkan subjek fiqh muqaran atau fiqh rentas mazhab. Sejak ada silabus fiqh muqaran atau fiqh talfiq dan banyaknya kitab fiqh talfiq dalam pasaran sekarang, maka keluasan fiqh sudah semakin berkembang sekarang. Ini kerana masalah manusia yang semakin kompleks, satu mazhab memang tidak mungkin dapat menyelesaikan kompleksiti masalah umat Islam.

Kesimpulan:

Fiqh talfiq zaman kini telah dijadikan sebagai kemudahan dalam urusan agama. Apa yang kita perlu lakukan ialah memperbetulkan cara berfikir dan membuang kepercayaan khurafat(tahyul). Betulkan minda anda dari pemikiran lama satu negara satu mazhab dan khurafat, pecahkan mitos wajib satu mazhab. Golongan mainstream mengatakan puak wahabi, puak sunnah, puak tidak ada mazhab. Ini semua perang psikologi sahaja.

 

Komen dan Soalan