Utama Blog Halaman 78

Tablis Iblis: Talbis

0

Talbis Iblis yang Kelapan: Talbis

Tentunya salah satu senjata adalah Talbis. Dari ل ب س yang bermaksud ‘pakai‘ macam pakai baju.

Maksud talbis adalah menampakkan yang bathil dengan pakaian haq. Yang tidak benar tetapi dinampakkan sebagai benar.

Maka ramai tertipu kerana kejahilan tentang agama. Ini banyak terjadi, macam amalan-amalan bidaah yang banyak dilakukan sekarang. Ia bidaah dan berdosa, tetapi dinampakkan sebagai benar.

Kemudian Iblis gunakan tazyeen (mencantikkan). Maka teruslah manusia dalam tertipu.

Apakah dalil Talbis Iblis?

عَنْ صَفِيَّةَ ابْنَةِ حُيَىٍّ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – مُعْتَكِفًا ، فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلاً فَحَدَّثْتُهُ ثُمَّ قُمْتُ ، فَانْقَلَبْتُ فَقَامَ مَعِى لِيَقْلِبَنِى . وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِى دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ ، فَمَرَّ رَجُلاَنِ مِنَ الأَنْصَارِ ، فَلَمَّا رَأَيَا النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – أَسْرَعَا ، فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَىٍّ » . فَقَالاَ سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِى مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ ، وَإِنِّى خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِى قُلُوبِكُمَا سُوءًا – أَوْ قَالَ – شَيْئًا »

Dari Shofiyah binti Huyay, beliau berkata, “Pernah Rasulullah ﷺ sedang beri’tikaf, lalu aku mendatangi baginda. Aku mengunjunginya di malam hari. Aku pun bercakap-cakap dengannya. Kemudian aku ingin pulang dan baginda berdiri lalu menghantarku. Kala itu rumah Shofiyah di tempat Usamah bin Zaid. Tiba-tiba ada dua orang Ansar lewat. Ketika keduanya melihat Rasulullah ﷺ, mereka mempercepatkan langkah kakinya. Nabi ﷺ lantas mengatakan, “Perlahan-lahanlah, sesungguhnya wanita itu adalah Shofiyah binti Huyay.” Keduanya berkata, “Subhanallah, wahai Rasulullah.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. Aku khuatir sekiranya syaitan itu menyusupkan kejelekan dalam hati kalian berdua.”

(Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 3281 dan Muslim no. 2175).

Syaitan boleh bisikkan ke dalam hati manusia untuk memberikan was-was kepada manusia. Nabi Muhammad ﷺ tahu perkara itu. Jadi baginda tutup perkara itu daripada berlaku dengan cepat-cepat menjelaskan bahawa wanita yang mereka nampak itu adalah isteri baginda sendiri.

Baginda takut mereka akan dibisikkan oleh syaitan: “Eh.. siapa lah agaknya dengan Nabi itu tadi kan? mesra jer nampak… entah-entah….eh eh….”

Maka ini mengajar kita yang kita kena kenal bagaimana cara syaitan bekerja.

Kemudian kenalah tutup daripada berlaku. Ambil jalan selamat, hilangkan keraguan.

Dari Aisyah رضي الله عنها, bahawa Rasulullah ﷺ keluar dari rumahnya pada suatu malam. Aisyah رضي الله عنها menuturkan, “Maka aku pun menjadi cemburu kepada baginda sekiranya baginda mendatangi isteri yang lain. Kemudian baginda kembali lagi dan melihat apa yang terjadi pada diriku.

“Apakah engkau sedang cemburu?” tanya baginda.

“Apakah orang semacam aku ini tidak layak cemburu terhadap orang seperti engkau ?”

“Rupanya syaitan telah datang kepadamu”, sabda baginda.

“Apakah ada syaitan bersertaku?’ tanyaku.

“Tak seorangpun melainkan bersamanya ada syaitan” jawab baginda.

“Bersertamu pula?” tanyaku.

“Ya, hanya saja Allah ‎ﷻ menolongku untuk mengalahkannya sehingga aku selamat”, jawab baginda.

(ditakrij Muslim dan Nasa’i)

Dari Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang pandai masak seperti halnya Shafiyah. Suatu hari beliau membuatkan makanan bagi Rasulullah ﷺ, yang ketika itu baginda berada di rumahku. Seketika itu badanku gementar kerana rasa cemburu yang menggelegak. Lalu aku memecahkan bejana Shafiyah. Akupun menjadi menyesal sendiri.

Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apa tebusan atas apa yang aku lakukan ini?”

Baginda menjawab, “Bejana harus diganti dengan bejana yang sama, makanan harus diganti dengan makanan yang sama”,

(Ditakhrij Abu Daud dan An-Nasa’i)

Lihat kata Nabi ﷺ: Rupanya syaitan telah datang kepadamu.

Ini dalil bahawa syaitan itu akan sentiasa cuba menghasut kita dan kerana itu kita kena sedar perkara ini. Jangan terus ikut sahaja. Jangan kita jadi mainan syaitan.

💭💭

Soal Jawab


Soalan:
Adakah semua jenis cemburu datang daripada syaitan?

Jawapan:
Mungkin semua. Tetapi janganlah kita kata semua mungkin ada yang tidak begitu.

Sebagai contoh, seorang lelaki memang patut cemburu kalau anak isterinya dipegang oleh lelaki lain. Ini cemburu yang betul.


Soalan:
Maksudnya boleh lah kalau seorang perempuan itu cemburukan suaminya yang ada teman wanita lain? Sebab benda itu tidak sepatutnya berlaku?

Jawapan:
Boleh. Memang tidak salah.


 

 

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-72 hingga Ke-74

0

Tafsir Ayat Ke-72

Ayat ini hendak memberitahu satu lagi perangai buruk Yahudi: dia yang buat silap tetapi suka menuduh orang lain. Dalam ayat ini dikisahkan bagaimana seorang lelaki membunuh lelaki lain, tetapi dituduh orang lain pula yang membunuhnya.

Dia membuat kesalahan itu adalah kerana mahukan perkara keduniaan dan dia menuduh orang lain untuk menyorok kebenaran dan kerana itu dia telah memecahbelahkan manusia. Inilah satu sifat Yahudi kerana mereka tidak ada sifat takut kepada Tuhan namun sebaliknya mereka ada sifat tamak kepada dunia.

Mereka tamakkan dunia sampai sanggup membunuh orang. Dan untuk melepaskan diri, mereka sanggup menuduh orang lain. Kalau ia masih berlaku lagi, tidaklah menghairankan kerana ia memang sifat mereka. Jiks ada dalam kalangan kita yang membuat perkara sebegini juga, maka ini adalah sifat Yahudi dan kita tidak banyak bezanya dengan mereka sebenarnya.

Ayat ini banyak penafsir yang mengaitkannya dengan lembu yang disembelih sebelum ini. Tetapi sebenarnya tidak kerana kisah itu adalah dari Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan. Jadi, walaupun ia adalah kisah yang masyhur, tetapi kita kena tinggalkannya.

وَإِذ قَتَلتُم نَفسًا فَادّارَأتُم فيها ۖ وَاللَّهُ مُخرِجٌ ما كُنتُم تَكتُمونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا

Iaitu ketika kamu bunuh satu jiwa

Seorang anak saudara telah membunuh pakciknya kerana mahukan harta pakciknya itu. Dia memang akan mendapat harta itu bila pakciknya itu mati, tetapi oleh kerana dia tidak sanggup untuk menunggu lama, jadi dia terus bunuh sahaja pakciknya itu.

فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا

dan kamu saling tuduh-menuduh;

Kerana kejadian pembunuhan itu, manusia telah berselisih dan tuduh menuduh. Dalam kisah ini hanya seorang sahaja yang membunuh dan yang dibunuh adalah seorang sahaja. Tetapi ayat ini menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Ini adalah kerana ada saksi yang tidak menceritakan hal yang sebenar. Jadi mereka telah bersubahat dalam hal pembunuhan itu. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang terlibat akan bertanggungjawab sekali. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Seperti yang kita telah sebut, kerana kisah ini datang selepas kisah lembu warna kuning itu, maka banyak penafsir mengaitkan dua cerita ini berasal dari kisah yang sama. Tetapi dalam penafsiran kita, kita memberikan makna yang lain.

Begini kisahnya yang selalu diceritakan, termasuk dalam kitab-kitab tafsir pun: Seorang lelaki yang telah tua tidak ada waris. Orang yang jenis ini dinamakan kalalah. Dia pula adalah seorang yang kaya. Dia hanya ada seorang anak saudara lelaki. Anak saudara lelaki itulah sahaja warisnya. Bila dia mati, hartanya akan dapat kepada anak saudara itu. Dan memang dia hendak berikan kepada anak saudaranya pun.

Tetapi anak saudara itu tidak sabar untuk menunggu lelaki itu mati untuk mendapatkan harta itu. Lalu dia membunuh bapa saudaranya kerana dia hendakkan harta itu dengan segera. Dalam Tafsir Jalalain, disebut ada dua orang anak saudara. Untuk mengelakkan dia ditangkap, maka dia telah meletakkan mayat itu di kampung orang yang bermusuhan dengan bapa saudaranya.

Esoknya, apabila mayat bapa saudaranya dijumpai, dia telah menuduh orang di kampung itulah yang membunuh bapa saudaranya. Jadi telah berlaku tuduh menuduh di antara mereka. Hampir terjadi peperangan disebabkan oleh kes ini.

وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan Allah akan mengeluarkan apa yang kamu semua sembunyikan;

Allah ‎ﷻ akan menceritakan balik apa yang dia sembunyikan. Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan keputusan tentang perkara yang mereka sembunyikan itu. Allah ‎ﷻ akan beritahu.

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah anak saudara yang membunuh itu.

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun siapakah lelaki yang membunuh itu. Maka, ayat ini boleh digunakan sebagai merujuk kepada sesiapa sahaja. Ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan membuka rahsia sesiapa sahaja yang menyorok maklumat yang disimpan kerana ayat yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present-future tense’ – maknanya, boleh digunakan untuk setiap masa.

1. Bangsa Yahudi – Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan rahsia tentang kedatangan Nabi yang ada dalam kitab mereka tetapi mereka telah menyembunyikannya. Sebagaimana dalam kisah di atas, memang ada yang sudah tahu siapakah yang membunuh lelaki itu, tetapi mereka merahsiakannya.

2. Orang munafik yang menyorok kekafiran mereka.

3. Orang Islam yang mungkin ada niat jahat dalam hati mereka. Itu pun Allah ‎ﷻ akan dedahkan.

Ia juga merujuk kepada kita yang sedang membaca al-Qur’an ini sekarang. Jangan sangka kita terlepas. Kalau kita ada sembunyi kebenaran, maka Allah ‎ﷻ akan keluarkan dan kita akan malu nanti. Maka kita kena jujur dengan diri kita.

Tafsir Ayat Ke-73

Banyak tafsir mengaitkan kisah dalam ayat ini dengan kisah lembu betina warna kuning yang disuruh Bani Israil sembelih itu. Mereka berkata tafsir ayat di bawah ini adalah: “Maka pukullah mayat ini dengan bahagian lembu yang disembelih itu tadi.”

Tetapi kalau tafsir sebegini, ada masalah dari segi masa kerana hendak menunggu lembu kuning itu dijumpai, dikatakan telah mengambil masa 40 tahun. Sedangkan mana mungkin masa diambil sehingga 40 tahun baru dapat diselesaikan kes itu? Lagi pun, ini adalah kisah Israiliyat yang tidak boleh dijadikan hujah. Kisah Israiliyatlah yang mengaitkan lembu yang disembelih itu dengan kisah lelaki yang membunuh bapa saudaranya ini.

Oleh itu, kita kena pisahkan dua kisah ini, kerana ia tidak ada kaitan di antara satu sama lain.

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم آياتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

فَقُلْنَا اضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا

Pukullah mayat itu dengan bahagian anggota mayat itu;

Pukul dengan bahagian tubuh si mati itu sendiri. Contohnya, pukullah mayat itu dengan tangan dia. Inilah pendapat yang kita kena pegang, iaitu kisah dalam ayat ini tidak ada kena mengena dengan kisah lembu betina dalam ayat-ayat sebelum ini. Ia bermaksud pukullah mayat itu dengan anggota mayat itu sendiri, dan bukannya sebahagian dari anggota lembu yang telah disembelih itu.

Maka selepas dibuat begitu, tiba-tiba mayat itu bangun hidup semula. Selepas dia hidup balik itu, dialah yang memberitahu bahawa anak saudaranyalah yang telah membunuhnya dan dia telah mati balik selepas dia cakap begitu. Ini adalah antara mukjizat Nabi Musa عليه السلام.

Tetapi tidaklah lelaki itu terus hidup. Selepas diberitahu siapa yang membunuhnya, dia telah mati semula.

كَذَٰلِكَ يُحْيِي اللَّهُ الْمَوْتَىٰ

Demikianlah Allah menghidupkan orang yang sudah mati;

Ini adalah satu dalil hujah kepada kita: kalau Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dengan cara begitu, Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh menghidupkan sesiapa yang telah mati. Yang ditunjukkan dalam ayat ini adalah salah satu cara untuk Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia yang telah mati.

Bukanlah itu sahaja cara yang ada. Macam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh gunakan untuk menghidupkan yang mati. Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa. Jadi apabila Allah ‎ﷻ menghidupkan semua makhluk-Nya nanti apabila akhirat bermula, tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Allah tidak tertakluk dengan hukum alam.

وَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ

Dan Allah memperlihatkan dalil-dalil tanda kekuasanNya

Begitulah mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Tidak ada masalah langsung bagi Allah ‎ﷻ. Maka tidak perlu hairan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menghidupkan semula manusia yang telah mati.

Allah ‎ﷻ boleh lakukan perkara mustahil yang mengatasi segala adat kebiasaan dalam dunia.

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat berfikir;

Iaitu berfikir mengenai hakikat Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Hakikat yang Allah ‎ﷻ itu berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja dan Allah ‎ﷻ akan bongkarkan kebenaran yang disorok oleh manusia.

Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini yang boleh ditadabbur.

Tafsir Ayat Ke-74

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهارُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ

Kemudian tetap keras juga hati-hati kamu;

Segala peristiwa yang telah disebutkan dalam ayat-ayat tadi, sepatutnya menakutkan manusia tetapi tidak begitu yang terjadi kepada puak Yahudi. Sebaliknya hati mereka lebih keras lagi.

Allah ceritakan hal ini kepada bangsa Arab Madinah, Wahai bangsa Arab Madinah, dengarlah bagaimana keras kepalanya tok nenek bangsa Yahudi yang sekarang duduk di Madinah itu. Kalau tok nenek mereka berperangai begitu, jangan terkejut kalau anak cucu mereka yang duduk di Madinah waktu itu pun berperangai begitu juga.

Hati yang dimaksudkan dalam ayat ini, iaitu hati-hati orang Yahudi. Mereka tak dapat terima hidayah yang diberi. Yang tidak mahu terima itu adalah hati, bukan akal. Akal akan tetap berkembang daripada sejak kita kecil dan akan meningkat ke usia tua. Namun, hati itu akan sentiasa berbolak balik. Kadang-kadang hati yang membuat keputusan walaupun akal kita tahu yang ia adalah salah.

Contohnya, orang-orang yang hisap rokok itu tahu yang merokok itu bahaya dan tidak elok tetapi mereka masih juga hisap rokok. Itu adalah kerana hati yang mahu.

Kadang kita dengar ceramah dan akan ada ilmu kita sudah tahu kerana sudah banyak kali dengar. Namun, tetap kena dengar juga kerana hati yang perlu dicanai dan sentiasa diberi ingatan. Maka, kita kena jaga hati kita. Kena belajar didik hati. Tidak boleh ikut hati kerana ikut hati akan mati. Akal kena lebih kuat dari hati.

مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas yang demikian;

Selepas mereka melihat semua yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka masih tidak percaya dan taat kepada Allah. Mereka masih lagi tidak mahu beriman. Padahal mereka adalah jenis bangsa yang telah diberikan ilmu pengetahuan yang banyak.

Mereka telah lihat sendiri bagaimana orang yang mati dihidupkan kembali dan macam-macam lagi perkara ajaib yang terjadi kepada mereka. Jadi akal mereka telah terima sebenarnya tetapi hati mereka yang degil tidak mahu terima juga. Begitulah kadang-kadang dengan manusia: apa yang akal tahu tidak semestinya sampai ke hati.

فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ

Hati kamu itu umpama batu;

Allah umpamakan hati mereka keras seperti batu. Sekarang kita akan masuk kepada satu perumpamaan yang hebat daripada Allah yang diletakkan dalam Qur’an berkenaan hati.

أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

ataupun lebih keras daripada batu;

Malahan, hati mereka lebih keras lagi daripada batu, sebenarnya kerana batu pun tidak sekeras hati mereka. Batu-batu itu ada juga yang berjenis-jenis. Ini akan diterangkan dalam bahagian ayat-ayat yang seterusnya nanti.

Ada batu yang boleh keluar sungai dari celahnya, ada batu yang pecah dan keluar air dari dalamnya, dan ada batu yang jatuh kerana takutkan Allah ﷻ. Batu yang keras pun, boleh jadi begitu, tetapi hati mereka sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang telah diperlihatkan kepada mereka.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ beri perumpamaan tentang hati-hati manusia yang berbagai jenis:

وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ

Ada di antara batu itu mengalir darinya anak-anak sungai;

Ada batu yang boleh mengeluarkan air. Kalau mereka yang selalu mengembara pergi ke kawasan hutan dan berbukit, mereka boleh nampak ada batu yang merekah dan sungai keluar dari batu yang merekah itu.

Allah ﷻ hati sebagai ‘batu’ dan manakala ‘air’ pula adalah perumpamaan bagi iman. Ada orang yang ada potensi iman yang kuat di dalamnya. Jadi, apabila disampaikan dakwah Islam kepada mereka, senang untuk mereka terima. Mereka ini adalah jenis orang yang memang mencari-cari apakah agama yang sebenar.

Hati mereka memang mencari-cari kebenaran. Jadi, apabila mereka diceritakan dengan Islam, mereka dengan mudah terima. Mereka ini adalah orang-orang seperti Saidina Abu Bakr. Mereka yang jenis macam ini, senang sahaja kita hendak dakwah kepada mereka sebab mereka senang hendak terima.

Kita cerita sedikit sahaja kelebihan belajar tafsir dan di mana ada kelas pengajian, mereka terus hendak datang dan belajar dan terus belajar. Mereka kata: “memang sudah lama saya mencari ilmu ini”.

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ

Dan ada diantara batu itu yang pecah terbelah lalu keluar air daripadanya;

Mungkin kita jarang lihat perkara ini. Tetapi ada kawasan hutan di dunia ini yang memang ada batu yang pecah dan air keluar darinya. Air itu adalah air mineral. Tidak dapat dijelaskan dengan akal.

Batu ini kurang sikit dari batu sebelum ini. Air yang keluar dari batu jenis kedua ini tidaklah sederas air dari batu pertama. Jadi ini adalah perumpamaan bagi hati jenis kedua. Kurang hebat sikit dari hati yang pertama.

Dan ada orang pula yang susah sikit hendak dakwah kepada mereka kerana hati mereka ada sedikit keras. Kena ada kerja sikit untuk memecahkan batu itu. Iman dia ada, cuma tertutup dalam hatinya. Dia akan berubah setelah dia dapat terima hujah yang mungkin hasil daripada dakwah kita atau dari kejadian yang besar padanya yang menyebabkan dia terfikir tentang Islam.

Orang yang sebegini kena cari cara untuk dakwah kepada mereka kerana lain orang, lain cara untuk mereka boleh terima. Orang yang sebegini adalah seperti Saidina Umar. Dia tidak terus menerima Islam tetapi apabila didakwahkan kepadanya, dia boleh terima. Kena ada usaha untuk berdakwah kepada mereka dan adakalanya, susah sedikit tetapi apabila mereka sudah terima, mereka akan terima selama-lamanya.

Ayat ini juga sebagai satu isyarat kepada kita untuk menangis kerana Allah ﷻ hati yang keras, langsung tidak menangis kerana Allah ﷻ tetapi hati yang lembut, mereka akan senang untuk menangis kerana Allah .ﷻ

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Dan ada diantara batu itu yang tergolek jatuh kerana takut kepada Allah;

Dan ada batu yang jatuh bergolek kerana takut kepada Allah ﷻ . Begitulah, kalau kita duduk di hutan, dan nampak batu tiba-tiba jatuh dari atas, ia adalah kerana batu-batu itu takut kepada Allah ﷻ . Sebab tidak nampak apa sebab yang menyebabkan ia jatuh, tetapi ia tiba-tiba jatuh sahaja. Orang-orang yang selalu ke hutan akan tahu perkara ini.

Beginilah hati yang ada sedikit iman dalam dirinya. Apabila disampaikan ayat-ayat al-Qur’an, ada bergetar sedikit hati mereka dan mereka tersentuh dan mereka tunduk. Namun, manusia ramai yang tidak takut dengan Allah. Bila dibacakan ayat-ayat al-Qur’an, mereka selamba sahaja macam tidak ada apa-apa.

Ada orang yang tahap mereka hanya Muslim sahaja (bukan Mukmin). Mereka sudah terima Islam, tetapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Mereka ini adalah orang yang jenis macam orang Badwi semasa zaman Nabi. Mereka adalah orang baik juga, tidak menentang Islam tetapi keimanan penuh belum masuk ke dalam hati mereka. Sekurang-kurangnya mereka telah terima Islam. Itu adalah langkah pertama.

Ini juga adalah isyarat kepada kita untuk sujud kepada Allah ﷻ kerana takut dan takjub kepada-Nya. Tunduk sujud dalam solat. Dan apabila sampai kepada ayat-ayat Sajdah, kita sujud.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi perumpamaan menggunakan subjek air dan batu. Ingatlah bahawa perumpamaan ini diberikan kepada Bani Israil pada zaman Nabi. Dan perumpamaan ini amat sesuai sekali diberikan kepada Bani Israil kerana mereka sudah biasa belajar dalam sejarah mereka tentang tok nenek mereka dahulu pernah minum air yang terpancar dari batu selepas dipukul oleh Nabi Musa.

Jadi tidak pelik sebenarnya kepada mereka tentang batu yang keluar air. Begitulah, kita apabila memberi contoh, mestilah memberi contoh yang boleh difahami oleh orang yang mendengarnya. Barulah mereka senang faham.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai dengan apa yang kamu lakukan;

Maksud Allah ﷻ tidak lupa dan lalai itu adalah, Allah ﷻ pasti akan balas nanti. Allah ﷻ tahu apa yang kita telah lakukan dan Allah ﷻ  simpan dalam rekod tentang apa sahaja yang kita lakukan. Jangan sangka Allah ﷻ tidak perasan dan Allah tidak simpan rekod. Allah ﷻ akan balas: Sama ada balas baik dengan diberikan syurga, atau balas dengan diberikan neraka.

Ia juga memberi isyarat kepada kita: kalau hati sudah keras, maka seseorang itu akan menjadi غَافِلٍ (lalai) iaitu sudah tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Seperti lembu yang tidak kisah dengan apa yang terjadi. Begitulah orang-orang yang keras hatinya dan tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya.

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Tas’ib

0

Talbis Iblis yang Ketujuh: Tas’ib

Senjata seterusnya: Tas’ib. Disusahkan.

Iblis akan bagi kita fikir yang sesuatu perkara itu akan menyusahkan kita.

“Kalau aku belajar, nanti jadi pandai. Nanti aku kena ajar orang. Nanti orang pandang aku lain macam…” dan seterusnya.

“Kalau aku bagi sedekah ni, nanti ada orang akan minta lagi. Nanti orang akan asyik minta kat aku jer.”

Maka orang yang termakan dengan senjata itu akan memikirkan perkara yang menyebabkan dia susah buat kebaikan. Padahal itu fikiran dia sahaja.

“Kalau aku pakai tudung, nanti susah aku nak kerja.”

 

Presuposisi 13: Every Behavior Has a Positive Intent

0

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq

13. Every behaviour has a positive intent.

Setiap sikap ada niat tersendiri yang positif.

Seperti yang kita ketahui, setiap perbuatan kita ada niat. Ada sesuatu yang kita hendak cakap. Begitu juga dengan sikap kita. Ada sesuatu yang kita hendak capai.

Dalam NLP, kita bezakan antara niat dan perbuatan atau sikap itu. Sebagai contoh, ada orang yang memarahi anaknya. Kita pecahkan:

Perbuatan: marah anak
Niat: untuk anaknya mandi

Jadi, kalau kita tengok niatnya, memang niat dia bagus iaitu hendakkan anaknya mandi. Tetapi adakah perbuatannya itu resourceful atau tidak? Adakah itu cara terbaik atau tidak? Itu kita bincangkan di waktu lain.

Tajuk hari ini adalah kita lihat ‘niat’ itu. Apabila kita tahu niat seseorang itu sebenarnya positif, tidaklah kita marah dia sangat. Tidaklah kita pandang serong kepadanya. Mungkin cara dia salah.

Banyak sekali boleh diaplikasikan di dalam keadaan ini.

1. Ada orang kita lihat pemarah. Ini adalah kerana pada dia, itulah sahaja cara dia untuk bagi orang hormat dan ikut cakap dia.

2. Ada orang suka menipu. Mungkin pada dia, itulah sahaja cara yang dia boleh dapat apa yang dia hendak.

3. Ada orang pemalu dan senyap, mungkin kerana dia hormat orang lain dan tidak mahu mengusik hati sesiapa.

4. Ada pasangan yang sabotaj hubungan dia. Baru beberapa bulan di dalam hubungan, dia mencari pasal dengan pasangannya menyebabkan mereka “break up”. Mungkin ini kerana dia sudah pernah kena “dump” dan ia sangat pedih pada dia. Jadi dia tidak mahu terjadi lagi pada dirinya, maka dia sendiri sabotaj hubungan itu supaya dia yang dump orang, bukan orang yang dump dia.

5. Ada orang yang dalam group cakap merepek, tanya soalan tidak patut atau beri cadangan yang tidak sesuai. Mungkin kerana dalam kehidupan dia yang sebenar, dia tidak ada keluarga dan kawan. Dia cuma ada kawan dalam medsos sahaja. Maka dia hendakkan perhatian. Maka cara yang dia tahu hanyalah dengan cakap banyak, “being boisterous” (ceria, riuh rendah) supaya orang lain beri perhatian kepadanya.

Dalam setiap kes yang saya berikan di atas, saya harap anda dapat faham bagaimana cara kita bezakan antara niat dan tindakan. Dalam sesi NLP, kita akan cuba cari apakah intent orang itu buat apa yang dia buat. Selalunya kita akan dapat tangkap, “Oh… rupanya dia buat begini kerana dia nak begitu…..”. Maka kita akan faham apakah tujuan dia terlebih dahulu.

Kemudian baru kita boleh betulkan cara dia. Kita bersama-sama cari jalan bagaimana hendak mencapai tujuan, tetapi dengan cara yang lebih resourceful. Kita soal balik dirinya:

1. Anda rasa dengan marah anda maki-maki selalu, dia akan ikut cakap anda untuk mandi? Laratkah hendak menjerit setiap kali? Adakah anda rasa ada cara lain yang lebih efektif?

2. Anda rasa dengan anda menipu dan dapat apa yang anda mahukan, Tuhan sukakah? Anda tidak rasa nanti Tuhan akan mengambil semuanya balik apa yang Dia telah beri?

3. Memang anda ada tidak mahu mengguriskan hati sesiapa, tetapi bagaimana kalau maklumat yang anda ada itu penting dan semua orang perlu tahu? Adakah terdapat cara-cara yang anda boleh fikirkan untuk sampaikan maklumat itu?

4. Kenapa anda rasa setiap kali anda ada hubungan dengan orang lain, anda rasa anda akan dikecewakan lagi? Betulkah semua lelaki/wanita tidak boleh dipercayai?

5. Adakah anda rasa dengan anda menarik perhatian dengan cara itu, orang lain akan menghormati anda?

Kalau anda dapat cuba selami niat seseorang itu, maka anda pun tidaklah terus memandang negatif terhadapnya. Malah kita akan timbul rasa belas kasihan terhadap dirinya. Ini penting kerana kalau kita tidak ada rasa kasihan, sebaliknya kita sudah benci kepadanya, kita tidak akan menolongnya. Inilah yang dinamakan sifat toleransi.

Dan kalau kita sudah memahami konsep ini, kita sendiri boleh menilai tindakan kita. Mungkin ada tindakan kita yang buruk yang kita sendiri pun tidak suka. Tetapi cuba kita selami dengan lebih mendalam:
Kenapa aku buat perkara ini?
Apa tujuan yang aku hendak capai?
Kalau cara yang aku sedang buat ini tidak sesuai dan resourceful, apa lagi yang aku boleh lakukan untuk mencapai tujuan yang sama, tetapi dengan cara yang berbeza dan lebih baik?

Otak kita memang sangat “powerful”. Kalau kita beri arahan kepadanya, dia bagaikan supercomputer yang akan cari jalan bagaimana untuk mencapai kehendak ‘boss’ dia (kita lah tu!) Mungkin maklumat itu sudah ada di dalam diri kita tetapi tersorok (entah semasa baca majalah di mana-mana) atau dia bagi idea untuk tanya kepada orang yang tahu.

Dengan cara inilah juga NLP telah berjaya menghilangkan fobia ramai orang. Fobia terjadi kerana kejadian masa lampau. Sebagai contoh, semasa dia kecil dia telah hampir kelemasan. Jadi sebagai perlindungan kepada dirinya, otaknya telah menjadikan dia fobia terhadap air. Nampak air sahaja dia terus menjadi takut. Lalu atas jambatan pun tidak berani. Dia pun tidak tahu sebab apa. Tetapi dengan menyelami sejarah hidupnya, selalunya kita akan dapat tahu puncanya. Puncanya adalah otak ingin melindungi dirinya.

Jadi, kalau kita sudah tahu apakah niat positif kita melakukan sesuatu, maka kita akan cari jalan bagaimana untuk mencapai niat itu tetapi dengan cara yang produktif. Contoh: “Dulu memang awak susah nak jaga diri sebab awak kecil lagi tak boleh berenang dan lemah… tapi sekarang anda boleh belajar berenang, boleh pakai pelampung. Jadi air tidak perlu ditakuti sekarang kerana air ada di mana-mana. Anda pun kena mandi dengan air, bukan? Tidak ada apa-apa masalah pun. Bagaimana awak rasa selepas mandi? Segar, bukan?”

Presuposisi ini bukanlah bermakna kita terima kesalahan orang lain. Kalau dia memukul orang lain, buli orang lain dan kesalahan-kesalahan lain, kita tidaklah kata apa yang dia buat itu benar. Tidak, tidak. Kita cuma tahu tentu ada sebab kenapa dia lakukan apa yang dia lakukan. Maka kita akan cuba cari jalan penyelesaian kepada masalah dia.

Begitulah juga dengan perbezaan firqah agama. Kadangkala kita berjumpa dengan orang yang kasar dalam pegangan agama. Masih juga hendak mempertahankan pegangan agamanya yang dia telah pelajari. Walaupun kita tahu yang apa yang dia pegang itu salah.

Dengan mengetahui presuposisi ini, kita lebih toleran dengan orang lain. Tidaklah kita terus membenci dirinya. Tidaklah kita terus kutuk dia, hina dia kerana kita tahu tentu ada sebab positif kenapa dia kuat sangat mempertahankan firqah dia.

Mungkin kerana dia telah lama belajar; mungkin kerana itu adalah punca pendapat dia; mungkin kerana ayah dia yang ajar firqah itu; mungkin kerana dia tinggal dalam masyarakat yang berpegangan sebegitu dan dia takut hendak berlaga angin dengan masyarakat dia; dan macam-macam lagi sebab.

Kita tidak semestinya tahu apakah sebab positif dia itu. Ini memerlukan untuk duduk bersama dengannya dan melakukan soal jawab dengan dia untuk mendalami minda dia. Kita mungkin tidak ada peluang itu. Tetapi cukuplah kita yakin yang dia mesti ada sebab tersendiri kenapa dia kuat sangat berpegang dengan firqah dia.

Apabila kita ada sifat toleran dengan orang lain, maka perbincangan tidak sama kalau dibandingkan dengan orang yang ada sifat benci membenci. Kalau hati sudah benci, maka adab sudah tidak dijaga lagi, bukan? Maka kerana itu kita lihat yang keluar dari mulut kebanyakan manusia adalah caci maka semata-mata. Jangan kita jadi seperti mereka.

 

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Waktu Salat Maghrib, Isyak dan Subuh

0

Bahagian:
Waktu-waktu Salat.
Tajuk:
3. Waktu Salat Maghrib
4. Waktu Salat Isyak
5. Waktu Salat Subuh

E. Hukum Mendapat Satu Rakaat daripada Salat Subuh dan ‘Asar

3. Waktu Maghrib

Waktu Maghrib bermula apabila matahari telah terbenam sepenuhnya iaitu cakera/sfera matahari yang bulat itu telah terbenam sepenuhnya di ufuk.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ سَعْدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ، قَالَ قَدِمَ الْحَجَّاجُ فَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الظُّهْرَ بِالْهَاجِرَةِ، وَالْعَصْرَ وَالشَّمْسُ نَقِيَّةٌ، وَالْمَغْرِبَ إِذَا وَجَبَ‏.‏

527. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja’far berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah daripada Sa’ad bin Ibrahim daripada Muhammad bin ‘Amru bin Al Hasan bin ‘Ali berkata, “Al Hajjaj datang, lalu kami bertanya kepada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه (tentang waktu-waktu sembahyang). Maka beliau menjawab, “Nabi ﷺ selalu melaksanakan salat Zuhur ketika betul-betul tengahari, salat ‘Asar pada ketika matahari masih suci bersih, salat Maghrib ketika matahari telah terbenam
(Sahih Bukhari no 527).

Waktu Maghrib masih ada selagi terdapat warna mega merah. 

✍🏻Dalilnya: 

وَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَ

“..Waktu Maghrib ialah selagi tidak hilang syafa’ ahmar (mega merah)..”. 
(HR Muslim no 612).

Oleh kerana waktu mega ini tidak lama, maka salat Maghrib memang perlu disegerakan. Ia tidak seperti salat-salat yang lain yang lebih panjang waktunya.

4. Waktu Isyak

Waktu Isyak adalah dari mula habisnya mega merah itu (malam gelap) hingga ke pertengahan malam. Sebenarnya waktu berakhirnya Salat Isyak ini terdapat tiga pandangan dalam kalangan ulama’:

🔘Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Asy-Syafi’iy رحم الله dan Imam Ahmad رحم الله serta segolongan ulama’ yang lain.

🔘Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah رحم الله.

🔘Ketiga; sehingga terbit fajar sadiq (nanti akan diterangkan apakah fajar ini).

Pandangan pertama (sepertiga malam)

✍🏻Berdalilkan hadith daripada Buraidah رضي الله عنه yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah ﷺ tentang waktu salat. Mengenai salat Isyak, Buraidah رضي الله عنه menceritakan:

“Pada malam pertama Rasulullah ﷺ melakukan salat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Pada malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya… Kemudian, baginda menjelaskan”; “Waktu salat ialah di antara dua waktu tersebut”. 
(Riwayat Imam at-Tirmizi رحم الله. Kata beliau; hadith ini hasan gharib sahih).

Pandangan kedua (separuh malam)

✍🏻Berdalilkan sabda Nabi ﷺ:

“Waktu salat Isyak ialah hingga separuh malam” 
(Riwayat Imam Muslim رحم الله, Abu Daud رحم الله dan an-Nasai daripada Ibnu ‘Umar رضي الله عنه).

✍🏻Imam Ibnu Qudamah رحم الله dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan:

“Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan salat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” 
(al-Mughni, 1/275).

Pandangan ketiga

✍🏻Berdasarkan hadith ini: 

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan salat (dengan sengaja) hingga masuk waktu salat yang lain” 
(Riwayat Imam Muslim رحم الله).

Syarah:
Akan tetapi pandangan ini agak lemah kerana kalau kita katakan waktu salat itu sehingga ke waktu salat yang seterusnya, maka tentulah salat Subuh pun boleh sampailah ke waktu Zuhur. Adakah kita pernah lihat orang salat Subuh pada pukul 11? Tentu tidak ada, bukan?

Hadith Riwayat Muslim itu hanya memberitahu tentang dosa kalau melewatkan salat sampai terkeluar dari waktunya. Namun, memang ada pendapat mazhab yang mengharuskan salat Isyak selepas tengah malam antaranya pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy. 

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafi’iy, keseluruhan waktu salat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, adalah pada awal waktu.

Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu salat yang lain kecuali Subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh salat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat salat. Salat jika sempat ditunaikan dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhannya dikira qadha’.

5. Waktu Subuh

Waktu Subuh adalah dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbitnya matahari. Fajar Sadiq ini juga disebut ‘fajar kedua’. Maksudnya fajar yang benar. Cahayanya menyebar di ufuk. Fajar yang pertama disebut Fajar Kaazib (Fajar Tipu).

📍Boleh rujuk gambar di bawah.

A. Ini adalah fajar kaazib. Belum masuk waktu subuh lagi. Kalau kita perhatikan, cahaya sudah keluar tetapi ia menaik ke atas.

B. Ini barulah Fajar Sadiq. Kalau kita lihat cahayanya pun sudah lain. Cahayanya lebih menyebar dan tidak naik ke atas.

E. Hukum mendapat satu rakaat daripada Subuh dan ‘Asar

Seseorang salat Subuh baru mendapatkan satu rakaat ternyata matahari sudah terbit maka salatnya tetap sah dan boleh menyempurnakan salatnya, begitu juga ketika seseorang yang salat ‘Asar baru mendapatkan satu rakaat ternyata matahari sudah terbenam maka hukum salatnya juga sah dan salatnya boleh disempurnakan.

Maksud daripada satu rakaat di sini adalah ia melakukannya dengan memperhatikan syarat dan rukunnya, fatihah, serta sempurna rukuk dan sujudnya (iaitu sujud setelah duduk antara dua sujud atau sujud kedua).

📍Contoh, Ali salat ‘Asar pada akhir waktu. Dia takbir, membaca Fatihah, surah, rukuk, sujud dan seterusnya. Kemudian dia bangkit untuk rakaat kedua. Baru sahaja mahu membaca Fatihah, waktu Maghrib telah pun masuk. Salat Ali dianggap sebagai salat tunai kerana dia telah memperoleh satu rakaat dalam waktu ‘Asar.

✍🏻Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: 

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ، وَمَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الْعَصْرِ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْعَصْرَ

“Barangsiapa mendapatkan satu rakaat salat Subuh sebelum terbitnya matahari maka dia mendapat salat Subuh. Dan barangsiapa mendapatkan satu rakaat salat ‘Asar sebelum matahari terbenam maka ia mendapat salat ‘Asar.” 
(HR. Al-Bukhari no. 579 dan Muslim)

Walaupun demikian hukumnya, bukanlah bererti dibolehkan sengaja melewatkan atau mengakhirkan waktu salat apatah lagi dijadikan sebagai kebiasaan. Hal ini perbuatan yang tercela dan mengundang ancaman api neraka, juga merupakan salah satu ciri orang munafik.

✍🏻Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang amal apakah yang paling dicintai oleh Allah ‎ﷻ. Baginda ﷺ menjawab:

“Salat pada waktunya”. Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Lalu apa?” Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada kedua orang tua”. Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Lalu apa?” Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah ‎ﷻ”. 
(HR. Al-Bukhari)

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Kewajipan Salat, Jumlah Salat, Penentuan Waktu Salat Zuhur dan ‘Asar

0

Bahagian:
C. Siapa yang Wajib Salat? (sambungan dari https://staging-01.uito.org/2019/08/25/fiqh-asasi-sunnah-kitab-salat-dan-kedudukannya-dalam-islam/)
Tajuk:
2. Jumlah Salat yang Difardhukan

D. Waktu-waktu Salat.
Tajuk:
1. Waktu Salat Zuhur
2. Waktu Salat ‘Asar

2. Jumlah salat yang difardhukan

✍🏻Seperti yang kita tahu, salat Fardhu ada 5 waktu. Dalilnya:

“Salat lima waktu Allah ‎ﷻ wajibkan ke atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang mengerjakannya tanpa mensia-siakan di antara kelima-lima salat tersebut kerana meremehkan keberadaannya maka dia mendapatkan janji di sisi Allah ‎ﷻ untuk Allah ‎ﷻ masukkan ke syurga. Namun siapa yang tidak mengerjakannya maka tidak ada baginya janji di sisi Allah ‎ﷻ, jika Allah ‎ﷻ menghendaki Allah ‎ﷻ akan mengazabnya, dan jika Allah ‎ﷻ menghendaki maka Allah ‎ﷻ akan mengampuninya.”
(HR Abu Dawud رحم الله no. 1420 disahihkan Asy-Syaikh Al-Albani رحم الله dalam Sahih Abu Dawud)

✍🏻Daripada Talhah bin Ubaidillah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

                                     خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي اليَوْمِ وَاللَّيْلَةِ

“Ada lima salat (yang wajib didirikan) pada siang malam.”
(Hadith riwayat al-Bukhari no. 46 dan Muslim no. 11)

✍🏻Dalam hadith lain Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ ، يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا ، مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ » . قَالُوا لاَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا . قَالَ « فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ، يَمْحُو اللَّهُ بِهَا الْخَطَايَا »

“Tahukah kalian, seandainya terdapat sebatang sungai berhampiran pintu salah seorang di antara kalian, lalu dia mandi dari air sungai itu setiap hari sebanyak lima kali, apakah akan tersisa kotorannya walau sedikit?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan tersisa sedikit pun kotorannya.” Baginda berkata, “Maka begitulah perumpamaan salat lima waktu, dengannya Allah ‎ﷻ menghapuskan dosa.”
(HR. Bukhari no. 528 dan Muslim no. 667)

Cuma ada satu perbincangan tentang bilangan waktu salat ini yang saya rasa perlu disentuh. Ini kerana ada fahaman sesat yang mengatakan dalam al-Qur’an, hanya disebut 3 kali salat sahaja.

Mereka ini adalah golongan yang menolak hadith. Kita yang berpegang kepada hadith ini, tidak ada masalah sangat kerana sudah jelas bahawa hadith juga adalah wahyu yang kita mesti taat juga.

Oleh kerana ada kemungkinan anda juga ada terdengar perbincangan ini, maka saya jelaskan juga di sini supaya boleh dijawab kalau ada yang bawa hujah ini kepada anda.

✍🏻Ayat al-Quran yang digunakan oleh golongan Anti-hadith itu adalah [ Nur: 58 ]

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِيَستَأذِنكُمُ الَّذينَ مَلَكَت أَيمٰنُكُم وَالَّذينَ لَم يَبلُغُوا الحُلُمَ مِنكُم ثَلٰثَ مَرّٰتٍ ۚ مِّن قَبلِ صَلَوٰةِ الفَجرِ وَحينَ تَضَعونَ ثِيابَكُم مِّنَ الظَّهيرَةِ وَمِن بَعدِ صَلَوٰةِ العِشاءِ ۚ ثَلٰثُ عَورٰتٍ لَّكُم ۚ لَيسَ عَلَيكُم وَلا عَلَيهِم جُناحٌ بَعدَهُنَّ ۚ طَوّٰفونَ عَلَيكُم بَعضُكُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الآيٰتِ ۗ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari (Zuhur) dan sesudah sembahyang Isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa ke atasmu dan tidak (pula) ke atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu. Mereka di sekeliling kamu, sebahagian kamu ke atas sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah ‎ﷻ menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Berdasarkan ayat di atas, golongan anti-hadith mengatakan salat hanya ada tiga waktu sahaja. Namun begitu, ayat ini bukanlah hendak menceritakan waktu salat, tetapi hendak mengajar yang anak-anak perlu meminta izin dalam tiga waktu ini sebelum memasuki bilik ibu bapa.

Al-Qur’an bukanlah buku teks sekolah yang menyebut satu persatu perkara (tidak disebut salat ada lima, waktunya sekian-sekian…). Waktu-waktu salat telah disentuh dalam al-Qur’an pada ayat-ayat tertentu:

الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتٰبًا مَّوْقُوتًا

✍🏻“Sesungguhnya salat itu diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”. [ An-Nisa’: 103 ]

Syarah:
Waktu salat telah ditentukan waktunya. Perkara ini diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ dengan jelas seperti disebut dalam banyak hadith serta melalui perbuatan sahabat dan orang Islam (yang berakal normal) sejak zaman berzaman.

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

“Dan dirikanlah salat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk, itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat“. [ Hud: 114 ]

Syarah:
Menurut para mufassirin, ayat ini disebutkan waktu salat, iaitu kedua tepi siang, iaitu Subuh dan ‘Asar. Pada bahagian permulaan malam, iaitu Maghrib dan Isyak.

أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْءَانَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْءَانَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

“Dirikanlah salat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikanlah) salat Subuh sesungguhnya salat Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)”. [ Al-Isra’: 78 ]

Tafsir:
Menurut para mufassrin, ayat ini disebutkan waktu salat iaitu sesudah matahari tergelincir, iaitu salat Zuhur dan ‘Asar. Sedangkan gelap malam adalah salat Maghrib dan Isyak dan Qur`anal Fajri iaitu salat Subuh.

Maka waktu-waktu salat sebenarnya telah disentuh dalam al-Qur’an dan bagi mereka yang cuba mempelajari dan memahami tafsir al-Qur’an sudah tentu tidak mempunyai isu dengan perkara ini.

D. Waktu-waktu salat

Zaman kini kita selalunya melihat jam sahaja untuk menentukan bila masuknya waktu salat. Tetapi sebenarnya waktu itu ditentukan oleh keadaan alam pada waktu itu. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu pun bilakah masuk waktu salat kalau tidak ada jam. Maka sekarang kita belajar perkara ini, untuk kita tahu bilakah masuk waktu itu.

Secara umumnya, Islam adalah agama yang menggunakan alam sebagai penanda aras dan waktu untuk melakukan ibadat. Kita mungkin sudah tahu tentang Hilal (anak bulan) Ramadhan dan Hari Raya.

Sekurang-kurangnya tentu semua orang tahu tentang anak bulan ini sebab sudah tentu ramai yang menunggu sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-raja umumnya ketika bulan Ramadhan dan yang lebih penting, ketika tibanya Hari Raya.

Begitu juga dengan waktu salat. Waktu salat juga ditentukan dengan melihat kepada alam. Maka, tiada masalah jika tidak ada jam.

1. Waktu Zuhur

Waktu Zuhur adalah apabila matahari telah ‘tergelincir’. Apakah maksud tergelincir ini? Tergelincir di sini bermaksud bergerak sedikit sahaja dari kedudukan di tengah-tengah langit.

507 حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ

507. Telah menceritakan kepada kami Abu Al-Yaman berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Syu’aib daripada Az-Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepadaku Anas bin Malik, bahawa Rasulullah ﷺ keluar rumah untuk melaksanakan salat Zuhur sebaik sahaja matahari tergelincir.
(Sahih Bukhari no. 507).

Untuk menentukan waktu Zuhur adalah dengan melihat habis bayang di sebelah barat dan timbul bayangan di sebelah timur. Kalau matahari betul-betul tegak di atas kepala kita, dan kita pacakkan sebatang kayu di atas tanah, tiada bayang-bayang, bukan?

Namun, apabila matahari itu bergerak sahaja sedikit, bayang-bayang akan menjelma. Maka, inilah tandanya waktu Zuhur telah masuk.

Cuma di negara kita, matahari tidak berada tegak di atas kepala kita. Maka kalau kita pacakkan sebatang kayu lurus, maka akan terus ada bayang. Maka kenalah perhatikan bayang itu.

Sampai satu masa, tidak bergerak bayangnya (mungkin berterusan 2cm sahaja). Kemudian bila bayang itu bergerak sahaja (menjadi 2.1cm), maka itu tandanya telah gelincir matahari dan waktu Zuhur sudah masuk.

Sampai bilakah waktu Zuhur itu? Harus dilihat juga kepada bayang-bayang kayu itu. Selagi bayang-bayangnya belum sama panjang dengan panjang kayu itu, maka masih lagi dalam waktu Zuhur.

2. Waktu ‘Asar

Waktu ‘Asar masuk apabila bayang-bayang kayu telah sama panjang dengan batang kayu itu.

Kalau kita gunakan contoh kayu yang panjangnya 1 meter, maka bayangnya pun 1 meter juga. Kalau bayangnya memang telah ada sepanjang 2cm (seperti contoh di atas tadi), maka waktu ‘Asar masuk apabila bayang menjadi 1.2 meter.

Nabi ﷺ bersabda:

‏ أَمَّنِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ عِنْدَ الْبَيْتِ مَرَّتَيْنِ فَصَلَّى الظُّهْرَ فِي الأُولَى مِنْهُمَا حِينَ كَانَ الْفَىْءُ مِثْلَ الشِّرَاكِ ثُمَّ صَلَّى الْعَصْرَ حِينَ كَانَ كُلُّ شَيْءٍ مِثْلَ ظِلِّهِ

“Jibril عليه السلام telah mengimamiku di rumah sebanyak dua kali. Dia telah salat Zuhur pertama apabila panjang bayang sepanjang satu tali kasut. Kemudian dia telah salat ‘Asar apabila panjang bayang sama panjang dengan barangnya.”
(Sahih daripada Sunan Tirmizi no 149).

Masa salat ‘Asar dari waktu mulanya sampailah terbenam matahari.

✍🏻Salat ‘Asar adalah salat yang penting sampaikan ada ancaman khusus bagi mereka yang meninggalkannya:

520 – حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا هِشَامٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ أَبِي قِلاَبَةَ، عَنْ أَبِي المَلِيحِ، قَالَ: كُنَّا مَعَ بُرَيْدَةَ فِي غَزْوَةٍ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، فَقَالَ: بَكِّرُوا بِصَلاَةِ العَصْرِ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ»

520. Telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Abu Katsir daripada Abu Qilabah daripada Al-Malih berkata, “Kami pernah bersama Buraidah pada suatu peperangan pada hari mendung, lalu dia berkata, “Segeralah laksanakan salat ‘Asar! Kerana Nabi ﷺ pernah bersabda: “Barangsiapa meninggalkan salat ‘Asar sesungguhnya terhapuslah amalnya.”
(Sahih Bukhari no 520).

Syarah:
Apakah maksud ‘terhapus amalan’? Dalam mentakwil hadith ini, ulama’ berbeza pendapat:

1. Yang dikatakan terhapus amalnya itu adalah kalau dia tidak salat kerana dia berpendapat ‘tidak perlu salat’. Maksudnya iaitu dia menganggap salat adalah tidak fardhu. Bukan sebab dia malas untuk salat.

Kalau menganggap salat tidak fardhu, maka dia telah jatuh murtad.Kalau dia cuma malas sahaja, maka imannya tidak sempurna, tetapi bukanlah sampai tidak beriman langsung.

2. Apakah yang terhapus? Semua amalan atau salat itu sahaja?

Ada yang berpendapat:
– majaz (seolah-olah) sahaja, atau;
– hampir-hampir, atau;
– amalan itu tidak sempurna, atau;
– amalan itu tidak dapat menyelamatkannya daripada neraka. Dia akan dimasukkan ke neraka dahulu, barulah dipakai pahala daripada amalannya itu, atau;
– pahala yang terhapus adalah salat hari itu sahaja;
– dia tidak mendapat keseluruhan pahala salat kerana dia tidak buat di awal waktu. Hanya akan mendapat pahala yang penuh kalau dia buat di awal waktu;
– amalan kebajikan lainnya akan terhapus. Sebagai contoh, kalau dia lewat salat itu kerana perniagaannya, keuntungan perniagaannya itu tiada keberkatan.

Ringkasnya, janganlah tinggalkan salat ‘Asar. Itu sahaja yang kita perlu ingat kerana salat ‘Asar ini bahaya kerana ia waktu yang kita sedang sibuk dengan kehidupan seharian kita. Sibuk untuk menyiapkan kerja, kemudian sibuk untuk balik ke rumah. Ini kerana sibuk dengan dunia, maka ada yang sampai terlupa salat ‘Asar.

✍🏻Salat ‘Asar itu sangat penting sampaikan Allah ‎ﷻ menyebut khusus salat ini di dalam al-Qur’an:

حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang ‘Asar)”
[ Al-Baqarah: 238 ]

Tafsir:
Ulama’ mengatakan bahawa Salat Wusta yang disebut dalam ayat ini adalah Salat ‘Asar berdasarkan hadith:

✍🏻Nabi ﷺ menjelaskan melalui Ali رضي الله عنه bahawa ketika perang Ahzab, dikatakan oleh baginda:

”Kami dilalaikan (oleh musuh) daripada salat Wusta, iaitu salat ‘Asar. Semoga Allah ‎ﷻ memenuhi rumah-rumah dan kuburan mereka dengan api neraka.”
(HR. Muslim, I/205, 437 dan 627).

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-69 hingga Ke-71

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-69

Mereka masih tidak berpuas hati dengan penerangan yang telah diberikan. Sebenarnya, mereka hendak mempersendakan Nabi Musa عليه السلام‎ sahaja kerana baginda suruh mereka sembelih lembu. Maka mereka tanya lagi. Sekarang, mereka tanya tentang warna pula.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما لَونُها ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ صَفراءُ فاقِعٌ لَونُها تَسُرُّ النّاظِرينَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Lihatlah, mereka masih lagi kata: “Tuhan kamu”. Sekarang kita akan baca soalan karut mereka lagi. Soalan ini akan lebih menyusahkan mereka lagi.

يُبَيِّنْ لَنَا مَا لَوْنُهَا

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah warna lembu itu?”;

Sekarang mereka sudah bertanyakan warna pula. Maka, sekali lagi Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Tuhan untuk menjelaskan. Sekali lagi, Nabi Musa عليه السلام terpaksa mendaki Bukit Thur untuk bertanya Allah ‎ﷻ tentang soalan lagi.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ

Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu”

Nabi Musa عليه السلام masih menekankan yang Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bukan daripada baginda sendiri.

صَفْرَاءُ

“berwarna kuning emas”;

Warna kuning emas adalah warna lembu yang amat sukar dicari. Ia juga adalah warna yang lain dari biasa. Oleh itu ulama’ ada melarang untuk menggunakan warna kuning keemasan pada pakaian dan sebagainya demi untuk mengelakkan dari dikaitkan dengan warna kegemaran Yahudi ini.

Malangnya, kalau kita lihat mereka yang ada urusan dengan perbomohan tentu akan menggunakan warna kuning ini pada kain mereka.

فَاقِعٌ لَوْنُهَا

terang warnanya

Maksudnya, warna itu memang cantik terang benderang. Memang jelas warna itu.

تَسُرُّ النَّاظِرِينَ

yang menyenangkan sesiapa yang memandang

Maknanya ia adalah lembu yang cantik. Orang akan suka tengok kerana tidak pernah tengok lembu yang berwarna seperti itu. Tetapi harus diingatkan, tidak ada kelebihan kepada lembu yang berwarna seperti itu. Allah ‎ﷻ cuma hendak menyusahkan mereka sahaja. Jangan pula kita selepas ini kita mencari lembu berwarna kuning emas pula. Sebenarnya, sehingga sekarang orang Yahudi mencari lembu berwarna kuning keemasan ini dan apabila tidak ada mereka telah membuatnya secara genetik.

Susah untuk mencari lembu seperti itu. Bukan senang untuk mencari yang berwarna kuning keemasan. Itulah keburukan mereka yang banyak bertanya. Ini lagi menyusahkan mereka. Kalau mereka buat sahaja dari awal lagi, mereka hanya perlu mencari lembu betina sahaja.

Bukanlah kita hendak berkata bahawa tidak elok bertanya. Ada pertanyaan yang digalakkan untuk bertanya. Ada beza kalau kita hendak mendalami ilmu. Contohnya, kalau orang bertanya: “Bagaimanakah caranya hendak membayar zakat?” Itu adalah soalan untuk mendalami agama.

Tetapi kalau ada orang bertanya begini: “Kenapa kena bayar zakat?” Itu bukan soalan, tetapi itu ada tanda kemungkinan orang itu yang tidak mahu membayar zakat.

Tafsir Ayat Ke-70

Mereka masih tidak berpuas hati lagi. Mereka masih ingin bertanya lagi.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشابَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Sekali lagi mereka bertanyakan soalan yang menyusahkan diri mereka sendiri. Dan sekali lagi mereka mengatakan itu ‘Tuhan Musa’.

يُبَيِّنْ لَنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah hakikat sebenar lembu betina itu?”

Mereka sudah mula merasakan bahawa kalau mereka tidak cari lembu itu kelak mereka akan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Maka, mereka telah berusaha untuk mencari lembu itu. Sekarang mereka ingin tahu ‘hakikat’ lembu itu pula. Ingin benar-benar tahu kerana mereka sudah rasa ini adalah lembu yang istimewa. Padahal asalnya ia adalah mana-mana lembu sahaja.

إِنَّ الْبَقَرَ تَشَابَهَ عَلَيْنَا

“Sesungguhnya lembu betina itu masih samar kepada kami”;

Mereka masih lagi merasa keliru kerana pada mereka, sama sahaja lembu yang dijelaskan oleh Allah ‎ﷻ itu dengan lembu-lembu yang lain. Dari bahasa yang digunakan, kita boleh tahu bahawa mereka telah mencari tetapi mereka tidak jumpa.

Mereka tidak jumpa kerana mereka telah menyusahkan diri mereka dengan banyak bertanya dan kerana itu kebarangkalian untuk menjumpai lembu betina yang memenuhi kriteria yang telah disebut itu amat payah. Padahal, kalau dari mula lagi mereka buat, mereka hanya perlu sembelih mana-mana lembu betina sahaja.

وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

“Dan kami mudah-mudahan dengan izin Allah lepas ini akan terpimpin.”;

Iaitu semoga mereka terpimpin untuk mencari lembu yang benar. Oleh kerana mereka ada tambah perkataan ‘in sha Allah’ inilah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ t‎olong mereka akhirnya untuk menjumpai lembu betina itu kemudiannya kerana lafaz itu telah meredakan kemarahan Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu, memang kita sentiasa kena gunakan lafaz ‘in sha Allah’ ini. Maknanya kita meletakkan segala qadha dan qadar kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata esok kita akan pergi ke mana-mana, tanpa sebut in sha Allah, itu tidak patut sekali kerana kita tidak pasti sama ada kita boleh pergi atau tidak.

Malangnya, dalam masyarakat kita sekarang sudah jadi lain pula. Kalau ada orang yang kata ‘in sha Allah’, automatik kita akan sangka yang orang itu sebenarnya tidak mahu pergi. Bukankah begitu? Lihatlah bagaimana syaitan telah menukar satu makna yang baik kepada makna yang buruk pula.

Lihat bagaimana mereka sudah bertanyakan tentang ‘hakikat’ lembu betina itu. Macam orang tasawuf sekarang, mereka hendak tahu ‘hakikat’ Tuhan pula. Macam-macam perkara mereka hendak tahu ‘hakikat’nya. Contohnya, bila dengan al-Qur’an, mereka hendak tahu ‘hakikat’ al-Qur’an itu apa. ‘Alif’ makna apa, ‘Lam’ makna apa, ‘sabdu’ atas Allah ‎ﷻ makna apa dan sebagainya.

Mereka hendak mencari ‘hakikat’ belaka. Samalah dengan kaum Yahudi ini yang hendak mengetahui apakah hakikat lembu itu, puak tasawuf kita hendak tahu hakikat macam-macam pula. Padahal benda itu tidak perlu tahu pun tidak mengapa. Kita tidak akan dapat untuk mencapai hakikat sebenar sesuatu perkara itu.

Sama sahaja antara mereka itu. Tetapi orang tasawuf itu menyangka yang mereka itu dapat ilmu yang lebih daripada orang lain. Dan mereka rasa mereka terpimpin lebih dari orang lain. Ini adalah kerana syaitan yang sama yang kempen kepada mereka dan yang kempen kepada orang Yahudi itu.

Tafsir Ayat Ke-71:

قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لا ذَلولٌ تُثيرُ الأَرضَ وَلا تَسقِي الحَرثَ مُسَلَّمَةٌ لا شِيَةَ فيها ۚ قالُوا الآنَ جِئتَ بِالحَقِّ ۚ فَذَبَحوها وَما كادوا يَفعَلونَ

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَا ذَلُولٌ تُثِيرُ الْأَرْضَ

Lalu Nabi Musa berkata bahawasanya Allah berkata bahawa lembu betina itu tidak pernah diajar untuk membajak tanah;

Lembu itu bukan tidak buat kerja membajak tanah, diajar pun tidak pernah untuk membajak tanah. Ini memang jenis lembu yang duduk sahaja. Tidak seperti lembu-lembu yang lain. Ini memang lembu yang kerjanya hanya makan dan tidur sahaja.

وَلَا تَسْقِي الْحَرْثَ

dan tidak diguna untuk siram tanaman;

Menyiram tanaman pun tidak pernah. Maknanya, lembu ini dibela sahaja sebab ia cantik sangat. Maka, bukan senang untuk mencari lembu yang jenis ini. Sudahlah lembu yang cantik, tidak diguna untuk membuat kerja pula.

مُسَلَّمَةٌ

Sihat tubuh badan dia;

Ini lembu yang sihat lagi cantik bukan yang jenis kurus, bukan gemuk.

لَا شِيَةَ فِيهَا

Tidak ada jalur;

Maknanya, badan dia tidak ada jalur, tidak ada tanda. Warna kekuningan keseluruhan badannya. Kerana kalau ada jalur atau tompok-tompok, sudah dikira cacat.

قَالُوا الْآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ

Mereka berkata: Sekarang ini baru engkau menjelaskan sifat-sifat lembu itu dengan sebenarnya;

Apabila Nabi Musa عليه السلام menjelaskan sifat lembu itu, mereka sudah rasa takjub dengan lembu itu pula. Mereka pun segera merata-rata mencari lembu itu. Mengikut satu cerita Israiliyat, mereka mengambil masa 40 tahun untuk bertemu dengan lembu itu. Allah ‎ﷻ telah membiarkan mereka mencari lembu itu dalam masa yang lama. Macam-macam jenis mereka cari, namun ada sahaja kecacatan pada lembu itu.

Akhirnya mereka telah berjaya menjumpai lembu itu. Tuan lembu itu pula hanya mahu menjual dengan harga yang mahal. Akhirnya mereka telah membeli lembu itu dengan emas seberat lembu itu. Mereka kena kongsi wang yang banyak untuk membeli lembu itu.

Sampai sekarang pun, kalau lembu yang warna kuning ini memang mahal harganya sebab ia adalah cantik; tetapi cerita ini adalah Kisah Israiliyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber tafsir. Jadi, walaupun kisah ini masyhur dan ada juga dalam kitab-kitab tafsir kita kena tinggalkan juga kerana kalau sampai 40 tahun kena cari lembu itu, sudah lama sangat.

فَذَبَحُوهَا

Maka mereka menyembelih lembu itu;

Akhirnya mereka dapat juga menjumpai lembu itu dan mereka menyembelihnya. Mereka cari sapi tersebut dan kebetulan ditemukan pada seorang anak muda yang berbakti kepada ibunya, lalu mereka beli dengan emas sepenuh bungkusan yang terbuat dari kulit sapi itu. Atau dikatakan dibeli dengan emas seberat lembu itu.

وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ

dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah itu;

Mereka hampir tidak dapat menyembelihnya kerana timbul rasa sayang kepada lembu itu. Mereka rasa sayang untuk menyembelih lembu itu sebab lembu itu cantik sangat. Dan mereka pula memang jenis kaum yang suka memuja lembu. Mulanya mereka memang tidak mahu sembelih tetapi oleh kerana mereka telah dipaksa untuk menyembelih lembu itu, barulah mereka sembelih.

Maknanya, pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, bila sudah diperintah, ikut sahaja. Jangan soal dan tanya banyak. Bangsa Yahudi memang banyak soal. Kita pun ada yang jenis macam itu juga. Macam-macam soalan orang kita akan tanya bila disampaikan ilmu agama kepada mereka.

Soalan yang mereka tanya itu adalah soalan yang tidak perlu mereka tanya sebenarnya. Kalau tanya banyak tetapi hendak buat, tidak mengapalah juga, tetapi terdapat juga jenis yang sengaja suka bertanya hanya kerana ingin bertanya, tanpa ada keinginan untuk buat pun. Kadang-kadang susah kita hendak jawab soalan dari pelajar kerana soalan itu tidak pernah ditanya oleh orang dahulu dan ulama’ pun tidak jawab.

Warna kuning ini memang ada masalah besar. Banyak yang menganggap keramat kalau warna kuning. Sebab itu ada ‘Pulut Kuning’, balut nisan dengan warna kuning dan sebagainya.

Kita pun biasa lihat ada kubur yang berbalut nisannya dengan warna kuning. Terdapat juga keris keramat yang dibalut kain kuning termasuklah dengan penggunaan pulut kuning dan sebagainya. Ia adalah tanda kepada pemujaan.

Sekarang kita sudah tahu bahawa perkara yang berkenaan dengan kuning itu telah diceritakan di dalam Surah al-Baqarah. Raja-raja selalunya akan menggunakan warna kuning. Tidak kira raja negara mana. Kuning adalah warna diraja.

Ini termasuklah yang bukan raja pun, ada yang gemar memakai warna kuning sebagai tanda keramat. Ada di kalangan masyarakat kita, yang kalau hendak bersalin pun mesti ada kain warna kuning juga. Kadang-kadang apabila yang ada pangkat sikit sahaja pun sudah mula hendak memakai warna kuning. Ini semua adalah kesan-kesan peninggalan kepada pemujaan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah lama masuk Islam, masih lagi tidak boleh ditinggalkan sepenuhnya.

Ada yang rasa susah untuk meninggalkannya. Sebagai contoh, sudah biasa sangat makan pulut kuning, apabila ada majlis sahaja, kena ada pulut kuning. Pulut hijau mereka tidak buat. Maka, selalu juga kita makan. Tetapi seeloknya kita tinggalkan kesan-kesan dari pemujaan ini. Namun begitulah, kalau kita tegur mereka ini, nanti kita pula yang akan kena balik.

Allahu a’lam.

Soal Jawab Bersama Doktor: Sakit Kepala, Migrain dan Vertigo

0

Soalan:
Apakah perbezaan sakit kepala, migrain dan vertigo?

Jawapan:
Sakit kepala adalah salah satu daripada tanda-tanda penyakit darah tinggi. Migrain adalah sakit kepala yang teruk dan berlaku berulang-ulang kali.  Vertigo pula adalah keadaan di mana penderitanya merasa seolah-olah keadaan di sekitarnya berputar atau melayang.

 

Soalan:

Apakah punca penyakit tersebut?

Jawapan:

Punca-punca sakit kepala:

  • Stress / tekanan
  • Masalah mata atau cermin mata yang perlu ditukar dengan segera
  • Masalah hormon wanita / kedatangan haid
  • Tekanan darah tinggi meningkat

Punca-punca migrain:

  • Perubahan hormone (sebagai contoh ketika datang haid)
  • Tekanan
  • Kekurangan tidur
  • Merokok
  • Bau yang kuat (Pewangi, bau busuk)
  • Mabuk laut
  • Makan tidak ikut masa

 

Punca-punca vertigo:

  • Gangguan pada telinga bahagian dalam yang berfungsi untuk keseimbangan. Ini boleh berlaku disebabkan kekurangan darah sampai ke situ atau ada ketumbuhan di bahagian tersebut.
  • Gangguan di serebelum bahagian otak belakang.

 

Soalan:

Adakah penyakit tersebut boleh dikawal atau dielakkan?

Jawapan:

Sakit kepala, migrain dan  vertigo boleh dikawal dengan cara berikut:

 

  • Kerap bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal
  • Mengurangkan minuman yang menganduingi kafein (kopi, nescafe, coklat)
  • Mengawal tekanan/stress
  • Banyakkan minum air kosong
  • Mengambil ubatan yang disyorkan oleh doktor perubatan
  • Mengurangkan tekanan darah tinggi

 

Soalan:

Apakah ubatan yang sesuai untuk penyakit tersebut?

Jawapan:

  • Ubat tahan sakit seperti nSAIDS (mefenemic acid, diclofenac dan sebagainya)
  • Ubat untuk migrain itu sendiri: Triptans dan ergot alkaloids (Sumatriptan, Rizatriptan dan pelbagai lagi)
  • Ubat Tahan muntah seperti Chlorperazine dan promethazine
  • Benzodiazepines: Diazepam, lorezepam
  • Antiemetics: Prochloperazine, metoclopramide

 

Fiqh Asasi Sunnah: Soal Jawab

0

1. Adakah memadai jika kita membersihkan faraj hanya menggunakan kapas?

🔵 Janji ada bau yang wangi.

2. Adakah benar kefahaman saya bahawa pada masa kini, seeloknya kita menggunakan pembersih wanita “feminine wash” sahaja untuk menghilangkan bau darah?

🔵 Ya, benar.

3. Adakah sah wudhu’ sekiranya membasuh tangan lebih daripada siku?

🔵 Ya, benar. Lebih sedikit dari siku. Kalau terlebih banyak pun tidak mengapa.

Wajib sampai siku. Jika terlebih itu lebih elok.

Wajib tahu, ini adalah ilmu fardhu Ain. Limit adalah siku. Lebihkan supaya langkah berhati-hati.

4. Apabila mengambil air wudhu’ di kawasan muka. Adakah wajib membasuh anak-anak rambut di tepi muka?

🔵 Disebabkan ‘wajah bertemu rambut’. Maka, hendak selamat kena basuh sekali. Apabila membasuh muka memang rambut akan terkena. Jadi tidak perlu risau.

Tidak perlu hendak tepat mengikut sampai milimiter apa semua. Islam bukan begitu. Islam tidak akan memberatkan. Semuanya normal sahaja dan senang dilakukan.

Sampai ke tepi muka itu tambahan sahaja. Kawasan yang wajib dibasuh adalah bahagian muka yang boleh dilihat dari depan. Maka, bila kita membasuh bahagian tepi sekali, itu sudah tambahan.

5. Adakah wanita yang istihadah hanya berwudhu’ sahaja tanpa perlu mandi wajib setiap kali hendak salat?

🔵 Ya, berwudhu’ adalah wajib, tetapi mandi adalah sunat.

6. Jika seseorang berwudhu’ kemudian salat di awal waktu Maghrib, adakah boleh gunakan wudhu’ yang sama kemudian teruskan dengan salat Isyak?

🔵 Jika salat Maghrib di awal waktu, maka apabila salat Isyak, perlu memperbaharui wudhu’nya.

Jika salat Maghrib di akhir waktu, boleh disekalikan dengan salat Isyak di awal waktu (jama’ shuri).

7. Adakah wanita yang beranak dengan kaedah pembedahan tidak mengeluarkan nifas?

🔵 Ia bergantung. Kebiasaannya ada tetapi tidak banyak.

8. Adakah wanita bersalin secara pembedahan perlu berpuasa dan salat seperti biasa jika darahnya keluar sedikit sahaja?

🔵 Jika keluar sahaja darah sikit atau banyak dikira nifas. Tidak boleh salat dan berpuasa.

9. Adakah wanita hamil yang keluar darah perlu mandi wajib dahulu sebelum salat?

🔵 Ia bukan darah haidh, maka tiada kewajiban mandi wajib. Cukup sekadar membersihkan dan berwudhu’. Sunat untuk mandi.

Allahu a’lam

Kesalahan Di dalam Salat / 22

0

Soalan:

Bolehkah salat jenazah di kubur kerana terlewat salat di masjid dan jenazah pula sudah dikebumikan?

Jawapan:

Boleh, jika ia tidak dijadikan rutin.

Dalil hadith:
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه,

فأتى قبره، فصلى عليه، قال: فأمّنا،وصفّنا خلفه، وأنا فيهم، وكبّر أربعا

Terjemahan:
Lalu Nabi ﷺ mendatangi kuburannya, dan mensalatinya. Kami menjadi makmum dan membentuk saf di belakang Nabi ﷺ. Saya termasuk antara mereka dan baginda ﷺ bertakbir 3 kali.
(HR. Ibnu Majah 1530, Al-Baihaqi di dalam As-Sunan, dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani di dalam kitab Irwa’ al-Ghalil).

Popular

Iklan

Iklan