Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Waktu Salat Maghrib, Isyak dan Subuh

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Waktu Salat Maghrib, Isyak dan Subuh

706
0
Iklan

Bahagian:
Waktu-waktu Salat.
Tajuk:
3. Waktu Salat Maghrib
4. Waktu Salat Isyak
5. Waktu Salat Subuh

E. Hukum Mendapat Satu Rakaat daripada Salat Subuh dan ‘Asar

3. Waktu Maghrib

Waktu Maghrib bermula apabila matahari telah terbenam sepenuhnya iaitu cakera/sfera matahari yang bulat itu telah terbenam sepenuhnya di ufuk.

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ سَعْدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ، قَالَ قَدِمَ الْحَجَّاجُ فَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الظُّهْرَ بِالْهَاجِرَةِ، وَالْعَصْرَ وَالشَّمْسُ نَقِيَّةٌ، وَالْمَغْرِبَ إِذَا وَجَبَ‏.‏

527. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja’far berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah daripada Sa’ad bin Ibrahim daripada Muhammad bin ‘Amru bin Al Hasan bin ‘Ali berkata, “Al Hajjaj datang, lalu kami bertanya kepada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه (tentang waktu-waktu sembahyang). Maka beliau menjawab, “Nabi ﷺ selalu melaksanakan salat Zuhur ketika betul-betul tengahari, salat ‘Asar pada ketika matahari masih suci bersih, salat Maghrib ketika matahari telah terbenam
(Sahih Bukhari no 527).

Waktu Maghrib masih ada selagi terdapat warna mega merah. 

✍🏻Dalilnya: 

وَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَ

“..Waktu Maghrib ialah selagi tidak hilang syafa’ ahmar (mega merah)..”. 
(HR Muslim no 612).

Oleh kerana waktu mega ini tidak lama, maka salat Maghrib memang perlu disegerakan. Ia tidak seperti salat-salat yang lain yang lebih panjang waktunya.

4. Waktu Isyak

Waktu Isyak adalah dari mula habisnya mega merah itu (malam gelap) hingga ke pertengahan malam. Sebenarnya waktu berakhirnya Salat Isyak ini terdapat tiga pandangan dalam kalangan ulama’:

🔘Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Asy-Syafi’iy رحم الله dan Imam Ahmad رحم الله serta segolongan ulama’ yang lain.

🔘Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah رحم الله.

🔘Ketiga; sehingga terbit fajar sadiq (nanti akan diterangkan apakah fajar ini).

Pandangan pertama (sepertiga malam)

✍🏻Berdalilkan hadith daripada Buraidah رضي الله عنه yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah ﷺ tentang waktu salat. Mengenai salat Isyak, Buraidah رضي الله عنه menceritakan:

“Pada malam pertama Rasulullah ﷺ melakukan salat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Pada malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya… Kemudian, baginda menjelaskan”; “Waktu salat ialah di antara dua waktu tersebut”. 
(Riwayat Imam at-Tirmizi رحم الله. Kata beliau; hadith ini hasan gharib sahih).

Pandangan kedua (separuh malam)

✍🏻Berdalilkan sabda Nabi ﷺ:

“Waktu salat Isyak ialah hingga separuh malam” 
(Riwayat Imam Muslim رحم الله, Abu Daud رحم الله dan an-Nasai daripada Ibnu ‘Umar رضي الله عنه).

✍🏻Imam Ibnu Qudamah رحم الله dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan:

“Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan salat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” 
(al-Mughni, 1/275).

Pandangan ketiga

✍🏻Berdasarkan hadith ini: 

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan salat (dengan sengaja) hingga masuk waktu salat yang lain” 
(Riwayat Imam Muslim رحم الله).

Syarah:
Akan tetapi pandangan ini agak lemah kerana kalau kita katakan waktu salat itu sehingga ke waktu salat yang seterusnya, maka tentulah salat Subuh pun boleh sampailah ke waktu Zuhur. Adakah kita pernah lihat orang salat Subuh pada pukul 11? Tentu tidak ada, bukan?

Hadith Riwayat Muslim itu hanya memberitahu tentang dosa kalau melewatkan salat sampai terkeluar dari waktunya. Namun, memang ada pendapat mazhab yang mengharuskan salat Isyak selepas tengah malam antaranya pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy. 

Secara ringkasnya dalam Mazhab Syafi’iy, keseluruhan waktu salat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, adalah pada awal waktu.

Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu salat yang lain kecuali Subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh salat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat salat. Salat jika sempat ditunaikan dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhannya dikira qadha’.

5. Waktu Subuh

Waktu Subuh adalah dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbitnya matahari. Fajar Sadiq ini juga disebut ‘fajar kedua’. Maksudnya fajar yang benar. Cahayanya menyebar di ufuk. Fajar yang pertama disebut Fajar Kaazib (Fajar Tipu).

📍Boleh rujuk gambar di bawah.

A. Ini adalah fajar kaazib. Belum masuk waktu subuh lagi. Kalau kita perhatikan, cahaya sudah keluar tetapi ia menaik ke atas.

B. Ini barulah Fajar Sadiq. Kalau kita lihat cahayanya pun sudah lain. Cahayanya lebih menyebar dan tidak naik ke atas.

E. Hukum mendapat satu rakaat daripada Subuh dan ‘Asar

Seseorang salat Subuh baru mendapatkan satu rakaat ternyata matahari sudah terbit maka salatnya tetap sah dan boleh menyempurnakan salatnya, begitu juga ketika seseorang yang salat ‘Asar baru mendapatkan satu rakaat ternyata matahari sudah terbenam maka hukum salatnya juga sah dan salatnya boleh disempurnakan.

Maksud daripada satu rakaat di sini adalah ia melakukannya dengan memperhatikan syarat dan rukunnya, fatihah, serta sempurna rukuk dan sujudnya (iaitu sujud setelah duduk antara dua sujud atau sujud kedua).

📍Contoh, Ali salat ‘Asar pada akhir waktu. Dia takbir, membaca Fatihah, surah, rukuk, sujud dan seterusnya. Kemudian dia bangkit untuk rakaat kedua. Baru sahaja mahu membaca Fatihah, waktu Maghrib telah pun masuk. Salat Ali dianggap sebagai salat tunai kerana dia telah memperoleh satu rakaat dalam waktu ‘Asar.

✍🏻Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: 

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ، وَمَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الْعَصْرِ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْعَصْرَ

“Barangsiapa mendapatkan satu rakaat salat Subuh sebelum terbitnya matahari maka dia mendapat salat Subuh. Dan barangsiapa mendapatkan satu rakaat salat ‘Asar sebelum matahari terbenam maka ia mendapat salat ‘Asar.” 
(HR. Al-Bukhari no. 579 dan Muslim)

Walaupun demikian hukumnya, bukanlah bererti dibolehkan sengaja melewatkan atau mengakhirkan waktu salat apatah lagi dijadikan sebagai kebiasaan. Hal ini perbuatan yang tercela dan mengundang ancaman api neraka, juga merupakan salah satu ciri orang munafik.

✍🏻Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang amal apakah yang paling dicintai oleh Allah ‎ﷻ. Baginda ﷺ menjawab:

“Salat pada waktunya”. Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Lalu apa?” Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada kedua orang tua”. Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata: “Lalu apa?” Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah ‎ﷻ”. 
(HR. Al-Bukhari)

Komen dan Soalan