Utama Bilik Motivasi Presuposisi 13: Every Behavior Has a Positive Intent

Presuposisi 13: Every Behavior Has a Positive Intent

118
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq

13. Every behaviour has a positive intent.

Setiap sikap ada niat tersendiri yang positif.

Seperti yang kita ketahui, setiap perbuatan kita ada niat. Ada sesuatu yang kita hendak cakap. Begitu juga dengan sikap kita. Ada sesuatu yang kita hendak capai.

Dalam NLP, kita bezakan antara niat dan perbuatan atau sikap itu. Sebagai contoh, ada orang yang memarahi anaknya. Kita pecahkan:

Perbuatan: marah anak
Niat: untuk anaknya mandi

Jadi, kalau kita tengok niatnya, memang niat dia bagus iaitu hendakkan anaknya mandi. Tetapi adakah perbuatannya itu resourceful atau tidak? Adakah itu cara terbaik atau tidak? Itu kita bincangkan di waktu lain.

Tajuk hari ini adalah kita lihat ‘niat’ itu. Apabila kita tahu niat seseorang itu sebenarnya positif, tidaklah kita marah dia sangat. Tidaklah kita pandang serong kepadanya. Mungkin cara dia salah.

Banyak sekali boleh diaplikasikan di dalam keadaan ini.

1. Ada orang kita lihat pemarah. Ini adalah kerana pada dia, itulah sahaja cara dia untuk bagi orang hormat dan ikut cakap dia.

2. Ada orang suka menipu. Mungkin pada dia, itulah sahaja cara yang dia boleh dapat apa yang dia hendak.

3. Ada orang pemalu dan senyap, mungkin kerana dia hormat orang lain dan tidak mahu mengusik hati sesiapa.

4. Ada pasangan yang sabotaj hubungan dia. Baru beberapa bulan di dalam hubungan, dia mencari pasal dengan pasangannya menyebabkan mereka “break up”. Mungkin ini kerana dia sudah pernah kena “dump” dan ia sangat pedih pada dia. Jadi dia tidak mahu terjadi lagi pada dirinya, maka dia sendiri sabotaj hubungan itu supaya dia yang dump orang, bukan orang yang dump dia.

5. Ada orang yang dalam group cakap merepek, tanya soalan tidak patut atau beri cadangan yang tidak sesuai. Mungkin kerana dalam kehidupan dia yang sebenar, dia tidak ada keluarga dan kawan. Dia cuma ada kawan dalam medsos sahaja. Maka dia hendakkan perhatian. Maka cara yang dia tahu hanyalah dengan cakap banyak, “being boisterous” (ceria, riuh rendah) supaya orang lain beri perhatian kepadanya.

Dalam setiap kes yang saya berikan di atas, saya harap anda dapat faham bagaimana cara kita bezakan antara niat dan tindakan. Dalam sesi NLP, kita akan cuba cari apakah intent orang itu buat apa yang dia buat. Selalunya kita akan dapat tangkap, “Oh… rupanya dia buat begini kerana dia nak begitu…..”. Maka kita akan faham apakah tujuan dia terlebih dahulu.

Kemudian baru kita boleh betulkan cara dia. Kita bersama-sama cari jalan bagaimana hendak mencapai tujuan, tetapi dengan cara yang lebih resourceful. Kita soal balik dirinya:

1. Anda rasa dengan marah anda maki-maki selalu, dia akan ikut cakap anda untuk mandi? Laratkah hendak menjerit setiap kali? Adakah anda rasa ada cara lain yang lebih efektif?

2. Anda rasa dengan anda menipu dan dapat apa yang anda mahukan, Tuhan sukakah? Anda tidak rasa nanti Tuhan akan mengambil semuanya balik apa yang Dia telah beri?

3. Memang anda ada tidak mahu mengguriskan hati sesiapa, tetapi bagaimana kalau maklumat yang anda ada itu penting dan semua orang perlu tahu? Adakah terdapat cara-cara yang anda boleh fikirkan untuk sampaikan maklumat itu?

4. Kenapa anda rasa setiap kali anda ada hubungan dengan orang lain, anda rasa anda akan dikecewakan lagi? Betulkah semua lelaki/wanita tidak boleh dipercayai?

5. Adakah anda rasa dengan anda menarik perhatian dengan cara itu, orang lain akan menghormati anda?

Kalau anda dapat cuba selami niat seseorang itu, maka anda pun tidaklah terus memandang negatif terhadapnya. Malah kita akan timbul rasa belas kasihan terhadap dirinya. Ini penting kerana kalau kita tidak ada rasa kasihan, sebaliknya kita sudah benci kepadanya, kita tidak akan menolongnya. Inilah yang dinamakan sifat toleransi.

Dan kalau kita sudah memahami konsep ini, kita sendiri boleh menilai tindakan kita. Mungkin ada tindakan kita yang buruk yang kita sendiri pun tidak suka. Tetapi cuba kita selami dengan lebih mendalam:
Kenapa aku buat perkara ini?
Apa tujuan yang aku hendak capai?
Kalau cara yang aku sedang buat ini tidak sesuai dan resourceful, apa lagi yang aku boleh lakukan untuk mencapai tujuan yang sama, tetapi dengan cara yang berbeza dan lebih baik?

Otak kita memang sangat “powerful”. Kalau kita beri arahan kepadanya, dia bagaikan supercomputer yang akan cari jalan bagaimana untuk mencapai kehendak ‘boss’ dia (kita lah tu!) Mungkin maklumat itu sudah ada di dalam diri kita tetapi tersorok (entah semasa baca majalah di mana-mana) atau dia bagi idea untuk tanya kepada orang yang tahu.

Dengan cara inilah juga NLP telah berjaya menghilangkan fobia ramai orang. Fobia terjadi kerana kejadian masa lampau. Sebagai contoh, semasa dia kecil dia telah hampir kelemasan. Jadi sebagai perlindungan kepada dirinya, otaknya telah menjadikan dia fobia terhadap air. Nampak air sahaja dia terus menjadi takut. Lalu atas jambatan pun tidak berani. Dia pun tidak tahu sebab apa. Tetapi dengan menyelami sejarah hidupnya, selalunya kita akan dapat tahu puncanya. Puncanya adalah otak ingin melindungi dirinya.

Jadi, kalau kita sudah tahu apakah niat positif kita melakukan sesuatu, maka kita akan cari jalan bagaimana untuk mencapai niat itu tetapi dengan cara yang produktif. Contoh: “Dulu memang awak susah nak jaga diri sebab awak kecil lagi tak boleh berenang dan lemah… tapi sekarang anda boleh belajar berenang, boleh pakai pelampung. Jadi air tidak perlu ditakuti sekarang kerana air ada di mana-mana. Anda pun kena mandi dengan air, bukan? Tidak ada apa-apa masalah pun. Bagaimana awak rasa selepas mandi? Segar, bukan?”

Presuposisi ini bukanlah bermakna kita terima kesalahan orang lain. Kalau dia memukul orang lain, buli orang lain dan kesalahan-kesalahan lain, kita tidaklah kata apa yang dia buat itu benar. Tidak, tidak. Kita cuma tahu tentu ada sebab kenapa dia lakukan apa yang dia lakukan. Maka kita akan cuba cari jalan penyelesaian kepada masalah dia.

Begitulah juga dengan perbezaan firqah agama. Kadangkala kita berjumpa dengan orang yang kasar dalam pegangan agama. Masih juga hendak mempertahankan pegangan agamanya yang dia telah pelajari. Walaupun kita tahu yang apa yang dia pegang itu salah.

Dengan mengetahui presuposisi ini, kita lebih toleran dengan orang lain. Tidaklah kita terus membenci dirinya. Tidaklah kita terus kutuk dia, hina dia kerana kita tahu tentu ada sebab positif kenapa dia kuat sangat mempertahankan firqah dia.

Mungkin kerana dia telah lama belajar; mungkin kerana itu adalah punca pendapat dia; mungkin kerana ayah dia yang ajar firqah itu; mungkin kerana dia tinggal dalam masyarakat yang berpegangan sebegitu dan dia takut hendak berlaga angin dengan masyarakat dia; dan macam-macam lagi sebab.

Kita tidak semestinya tahu apakah sebab positif dia itu. Ini memerlukan untuk duduk bersama dengannya dan melakukan soal jawab dengan dia untuk mendalami minda dia. Kita mungkin tidak ada peluang itu. Tetapi cukuplah kita yakin yang dia mesti ada sebab tersendiri kenapa dia kuat sangat berpegang dengan firqah dia.

Apabila kita ada sifat toleran dengan orang lain, maka perbincangan tidak sama kalau dibandingkan dengan orang yang ada sifat benci membenci. Kalau hati sudah benci, maka adab sudah tidak dijaga lagi, bukan? Maka kerana itu kita lihat yang keluar dari mulut kebanyakan manusia adalah caci maka semata-mata. Jangan kita jadi seperti mereka.

 

Komen dan Soalan