Utama Blog Halaman 75

Asma’ul Husna: Kedudukan Ilmu Tentang Asma’ Allah dan Sifat-Nya (Bahagian 2)

0

Sambungan — KEDUDUKAN ILMU TENTANG ASMA’ ALLAH ‎ﷻ DAN SIFATNYA:

Apabila asasnya kuat, maka ia akan dapat memikul bangunan dan meninggikannya. Kalau roboh sebahagian daripada bangunan itu, maka mudah untuk memperbaikinya. Jika asas tidak kuat, maka tidak akan tinggi bangunannya dan tidak akan kukuh. Jika roboh sebahagian daripada asas, maka akan jatuh bangunannya atau hampir jatuh.

[Maka untuk belajar dengan lebih tinggi lagi, kena kemaskan dahulu kefahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Orang bijak akan memiliki target iaitu membenarkan asas dan menguatkannya, sedangkan orang jahil adalah orang yang meninggikan bangunan tanpa asas, maka tidak lama kemudian, bangunannya pun akan roboh.

Allah ‎ﷻ berfirman dalam [Tawbah: 109]

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

[Asas untuk belajar ilmu agama adalah dengan mengenali Allah ‎ﷻ. Mengenali Allah ‎ﷻ dengan mempelajari Asma’-Nya. Bukannya setakat hafal dan dinyanyikan di kelas-kelas pengajian. Bukan juga diseru-seru berkali-kali tanpa memahami maksudnya.]

Asas bagi bangunan amal seperti kekuatan bagi tubuh manusia. Jika kuat, maka dia dapat membawa badan dengan baik dan menolak segala penyakit. Jika lemah kekuatannya, maka lemah pula dia dalam membawa badannya serta cepat diserang penyakit. Jadikan bangunanmu di atas asas iman yang kuat dan jika ada bahagian atas atau atapnya yang rosak, maka mudah untuk memperbaikinya daripada kerosakan asasnya.

[Kalau ada asas ilmu tentang Asma’, maka tidaklah senang ditipu orang. Tidaklah senang percaya amal-amal yang datang entah dari mana. Tidaklah senang syaitan tipu dengan pemahaman yang salah tentang Allah ‎ﷻ. Apabila tidak belajar, itulah sebabnya bila syaitan bisikkan Allah ‎ﷻ begitu dan begini, senang sahaja diterima. Memang salah satu cara yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia adalah membisikkan fahaman salah tentang Allah ‎ﷻ.]

🏛 Asas ini ada dua:

Pertama, mengenal Allah ‎ﷻ, perintah, nama, serta sifat-Nya dengan baik.

Kedua, tunduk dan patuh kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Inilah sekuat-kuatnya asas agama yang dibangunkan oleh seorang hamba bagi bangunannya dan sesuai dengan kekuatan asas agama itulah ketinggian suatu bangunan yang dia inginkan.

[Asas pertama perlu didapati dengan belajar Asma’-Nya. Setelah kenal, maka kenalah aplikasikan asas kedua, iaitu taat. Tidaklah kita kata kita taat, tetapi tidak tahu ‘APA yang perlu ditaati’. Ramai yang kata dia beriman, dia seorang yang taat. Namun apabila soal kepadanya: “Apa yang kamu kena taat?” Atau Kamu perasan sahaja kamu taat?”]

Oleh kerana itu, banyak sekali dalil di dalam Al-Qur’an yang menguatkan asas ini, bahkan hampir-hampir semua ayat tidak pernah lepas daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya. Ini semua menunjukkan dengan jelas tentang pentingnya ilmu yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ serta keperluan yang mendesak untuk mengenalnya. Bagaimana ia tidak menempati kedudukan yang tinggi, sedangkan ia adalah tujuan utama diciptakan semua manusia.

[Kalau kita perasan, banyak sangat ayat Al-Qur’an diakhiri dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ. Kalau kita tidak belajar ilmu Asma’ul Husna, maka nama-nama itu setakat kita baca sahaja. Maka ilmu tafsir Al-Qur’an tidak lengkap tanpa kita juga belajar Asma’ul Husna itu.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang terpenting dalam kehidupan kita, maka tidakkah ilmu kenal Allah ‎ﷻ ini penting? Tidak kenal maka tidak cinta. Lalu bagaimana kita dapat mencintai Allah ‎ﷻ kalau kita tidak kenal Dia? Bagaimana hendak kenal Dia kalau tidak melalui sifat-sifat-Nya?]

Asma’ul Husna: Kedudukan Ilmu Tentang Asma’ Allah dan Sifat-Nya (Bahagian 1)

0

Mukaddimah dari Penulis:

Kitab ini adalah kumpulan tulisan yang bermanfaat – dengan seizin AIlah- dalam membahas fikih yang paling mulia dan yang paling bermantaat iaitu fiqih Asmaullah Al-Husna (nama-nama Allah yang terbaik). Di dalamnya saya jelaskan lebih dari seratus nama dari nama-nama Allah yang baik, yang didahului dengan mukaddimah tentang dasar-dasar ilmu dalam pembahasan ini.

Saya pun telah berusaha dalam menyusun kitab ini menggunakan kata-kata yang jelas dan metode yang mudah disertai dengan penyebutan dalil-dalil serta bukti-bukti dari Al-Qur’an dan hadits Rasul dan sekaligus penjelasan dari sisi ibadah serta pengaruh keimanan yang merupakan perwujudan iman terhadap nama-nama Allah.

Saya banyak mengambil manfaat dari ucapan para ulama, khususnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan murid beliau, Imam Ibnu Al-Qayyim serta Syaikh Abdurrahman As-Sa’di – semoga Allah merahmati mereka semua.

Nabi SAW bersabda :

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari

Semoga Allah Ta’ala mengampuni kesalahan, kejahilan, dan berlebih-lebihanku dalam segala urusanku serta memberi hidayah kepadaku ke jalan yang lurus, sesungguhnya Dia merupakan sebaik-baiknya tempat meminta dan semulia-mulianya tempat berharap, cukuplah Dia bagi kita dan Dialah sebaik-baiknya pelindung.

🕸 Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin Al-Badr

1. KEDUDUKAN ILMU TENTANG ASMA’ ALLAH DAN SIFAT-NYA

Sesungguhnya memahami nama Allah ‎ﷻ yang terbaik (Asma’ul Husna) merupakan pintu ilmu yang mulia, bahkan ini termasuk Al-Fiqh Al-Akbar (fiqh yang paling agung) dan paling utama serta pertama kali yang masuk dalam sabda Rasulullah ﷺ,

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan atasnya, maka Dia akan memberikan kefahaman kepadanya dalam masalah agama”. (Muttafaq Alaih)

Mempelajari ilmu ini merupakan usaha termulia yang dilakukan oleh setiap jiwa dan sebaik-baiknya apa yang diraih oleh orang-orang yang memiliki kecerdasan akal dan petunjuk. Bahkan ini merupakan puncak yang direbut oleh manusia.

[Maka fiqh Asma’ul Husna ini amat penting untuk dipelajari oleh umat Islam. Amat tidak patut kalau tidak diambil perhatian. Untuk kenal Allah ‎ﷻ, kenalah belajar Asma’ul Husna.]

Ilmu ini merupakan asas jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ dan jalan masuk yang lurus dalam meraih kecintaan dan keredhaan-Nya serta jalan yang lurus bagi setiap orang yang dicintai dan dipilih-Nya.

Sebagaimana bangunan memiliki asas, maka fondasi agama ini adalah iman kepada Allah ‎ﷻ dan kepada nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Jika asas ini kuat, maka dia akan dapat memikul bangunannya dengan kuat dan kukuh serta selamat daripada goncangan dan kerobohan.

[Ilmu fiqh Asma’ul Husna ini adalah asas. Maka kenalah ada asas yang kukuh sebelum melonjak kepada ilmu-ilmu yang lain. Kita selalu dengar: Kenal Allah ‎ﷻ. Namun bagaimana hendak kenal Allah ‎ﷻ melainkan dengan Asma’-Nya?]

Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Barangsiapa yang menghendaki bangunan yang tinggi, maka diharuskan baginya untuk menguatkan asas dan benar-benar memperhatikannya kerana ketinggian bangunan tergantung pada kokoh dan kuatnya asas. Amal dan darjat adalah bangunan, sedangkan fondasinya adalah iman.

[Semoga ilmu ini dikejar dan cuba difahami oleh semua umat Islam kerana amat penting. Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang mengupas tajuk ini supaya kita dapat memahaminya dengan agak mudah. Asalkan mahu belajar. Tentunya kena belajar ikut jalan Sunnah dan bukan ikut nafsu dan ilmu khayalan.]

📜 Soal Jawab

Soalan:
Memang ada hadith kata terdapat 99 nama Allah tetapi rupa-rupanya dalam pengajian saya di dalam bilik Fiqh Sunnah 01, nama yang sahih tidak sampai 99?

Jawapan:
Nanti akan ada bab khusus tentang hadith ini. Memang hadith yang sebut Allah ada 99 nama itu sahih. Tetapi hadith SENARAI nama-nama itu yang tidak sahih. Kena bezakan antara kedua jenis hadith itu. Ada tiga hadih yang senaraikan nama-nama itu, termasuk nasyid Asmaul Husna yang selalu dinyanyikan di negara ini. Hadith itu tidak sahih.

Walaupun Hadith Allah ada 99 nama itu sahih, tetapi pemahamannya yang keliru di kalangan masyarakat.
🔘 Nama Allah tidak terhad kepada 99 sahaja. Jumlahnya kita tidak tahu, beribu malah berjuta (kita tidak akan dapat tahu di dunia ini).
🔘 Lalu bagaimana hendak mengamalkan hadith yang sebut sesiapa yang ‘mengiranya’ akan masuk syurga? Ini nanti akan dibincangkan.

Tambahan pula senarai 99 nama itu tidak disepakati. Kita akan senaraikan dalam 125 nama-nama nanti.

At-Tazkirah Qurthubi: Islam Merawat Gejala Bunuh Diri – Hadith Dhaif

0

At-Tazkirah Qurthubi (W.671H)
Kod TQ 1:7

Islam Merawat Gejala Bunuh Diri
Hadith dhaif dalam at-Tazkirah Qurthubi #1

و في خبر يروى عن النبي صلى الله عليه و سلم : لو أن البهائم تعلم من الموت ما تعلمون ما أكلت منها سميناً

“Terdapat khabar daripada Nabi SAW, “Jikalau Haiwan-haiwan ternak mengerti mati, sebagaimana manusia, pastilah kalian tidak akan merasakan makan daging haiwan gemuk.”

Takhrij:

البيهقي في الشعب ، والقضاعي من حديث أم صبية الجهنية به مرفوعا ، ورواه الديلمي من حديث أبي سعيد

[ HR al Baihaqi dalam as Syu’ab, al Qudha’iy daripada hadith Ummu Syibyah ],

[ HR ad Dailami daripada hadith Abu Sa’id al Khudry ].

Tahqiq al Albani: Dhaif
Silsilah al Dhaifah no 6738

لو عَلِمَتِ البهائمُ من الموتِ ما تعلمونَ ما أكلْتُمْ منها سمينًا أبدًا
الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الضعيفة
الصفحة أو الرقم: 6738 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف


Kod TQ 1:8

Hadith Dhaif dalam at Tazkirah Qurthubi #2

روى الترمذي الحكيم أبو عبد الله في نوادر الأصول . حدثنا قتيبة بن سعيد و الخطيب بن سالم . عن عبد العزيز الماجشون . عن محمد بن المنكدر قال : مات ابن لآدم عليه السلام فقال يا حواء قد مات ابنك . فقالت : و ما الموت ؟ قال : لا يأكل و لا يشرب . و لا يقوم و لا يقعد . فرنت . فقال آدم عليه السلام : عليك الرنة و على بناتك أنا و بني منها برآء

Daripada Muhammad bin al-Munkadir RA berkata : “Seorang putra Nabi Adam AS telah mati”. Maka Adam pun berkata : “Ya Hawa, telah mati anakmu. Hawa bertanya: Mati itu apa? Adam menjawab: Dia sudah tidak mampu lagi makan, minum, berdiri dan duduk. Mendengar itu, Hawa menangis. Nabi Adam AS bersabda : Tangisan inilah caramu dan semua anak perempuanmu, sedangkan aku dan semua anak lelaki berlepas daripada cara seperti itu“.

[ HR Hakim Turmudzi, Abu Abdillah dalam Nawadhir al Usyul ]

Tahqiq:
HR at-Tabrani, Mu’jam al Awsath no 2232, Abu Nu’aim, Hilyatul Awliya’. Penilaian al Haithami. Hadith dhaif kerana perawi matruk Husin bin al Siyaar. Juga ia merupakan Israeliyat.

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-86 dan Ke-87

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-86 dan Ke-87

Tafsir Ayat Ke-86

Ini adalah penutup kepada kisah Yahudi jenis ketiga ini.

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الحَياةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ

Mereka yang bersifat seperti itu;

Iaitu mereka yang tidak mengambil keseluruhan ajaran daripada kitab wahyu, sama ada Kitab Taurat atau Al-Qur’an. Ia adalah mereka yang memilih-milih manakah hukum yang mereka hendak pakai dan tinggalkan mana yang tidak suka.

اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ

mereka membeli kehidupan dunia ini dengan menjual akhirat;

Maknanya, mereka beli neraka sebenarnya. Mereka hendakkan dunia sahaja dan tidak kisah dengan nasib mereka di akhirat. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka sebagai ketua masyarakat Arab dan harta benda mereka yang ada pada masyarakat Arab.

Ini kerana masyarakat Arab itu adalah kuli mereka dan mempunyai kepentingan dalam urusan keduniaan mereka. Mereka sayangkan kedudukan dan kewangan mereka, sampaikan ada undang-undang dalam Taurat yang mereka sanggup tolak.

Ayat ini selalunya digunakan berkenaan orang kafir – mereka menjual akhirat untuk membeli dunia. Namun dalam ayat ini, ia adalah tentang mereka yang telah diberikan kitab, tetapi tidak mengikut ajaran dalam kitab itu. Maknanya, sama sahaja kita dengan mereka kalau tidak mengikuti keseluruhan kitab Al-Qur’an yang telah diberikan kepada kita.

فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

Maka tidak diringankan sedikit pun azab daripada mereka;

Azab yang akan dikenakan kepada mereka tidak diringankan, walaupun satu hari, satu jam atau satu saat. Tidak akan dikurangkan kekuatan api yang membakar mereka nanti.

Nanti akan disebut dalam ayat-ayat lain ada ahli neraka yang cuba memohon supaya dikurangkan azab neraka, minta ditangguhkan, tetapi semua permintaan mereka tidak dilayan oleh Malaikat Penjaga Neraka nanti.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan;

Tidak diberi pertolongan daripada sesiapa pun. Adakah sesiapa yang berani hendak menolong mereka yang duduk dalam neraka? Tidak akan ada yang berani. Yang sudah memasuki syurga pula tidak akan ingat sesiapa pun yang pernah mereka kenal dahulu semasa di dunia. Sama ada emak atau ayah, adik atau abang, isteri atau suami – mereka tidak akan ingat lagi sebab kalau mereka teringat, mereka akan berasa sedih. Syurga bukanlah tempat untuk bersedih lagi. Oleh itu, tidak ada orang yang akan mendoakan untuk mereka nanti selepas mereka yang telah melakukan kejahatan itu memasuki neraka.

Maka, kita hanya boleh mengharapkan diri kita sahaja untuk melepaskan diri kita sebab kalau kita ada orang yang kita kenal memasuki syurga, mereka pun sudah tidak ingatkan kita lagi.

Tidak ada sesiapa yang akan menolong kita nanti. Apabila kita mengadap Allah ‎ﷻ di Hari Pengadilan, kita akan berseorangan. Kita akan menghadap Allah ‎ﷻ seorang diri. Tidak akan sesiapa yang akan bersama kita yang boleh menolong.

Tafsir Ayat Ke-87

Ini adalah tentang golongan Yahudi yang keempat. Bukan setakat mereka tolak kitab, tetapi Nabi mereka sendiri pun mereka boleh bunuh. Maknanya orang yang mengajar kitab itu sendiri mereka dustai dan ada yang mereka bunuh. Orang beriman yang mengikuti para Nabi pun mereka bunuh. Maknanya jenis ini adalah mereka yang lebih teruk.

وَلَقَد آتَينا موسَى الكِتابَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّناتِ وَأَيَّدناهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Dan sesungguhnya Kami kurniakan kepada Musa kitab;

Nabi Musa عليه السلام telah dikurniakan dengan Kitab Taurat untuk mengajar agama kepada Bani Israil. Nabi-nabi selepas baginda juga menggunakan Kitab Taurat juga sebagai panduan agama. Ini adalah kerana Kitab Taurat adalah panduan syariat bagi Bani Israil.

وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ

dan Kami susuli selepas dia, rasul demi rasul;

Selepas Nabi Musa عليه السلام, telah disambung dengan Nabi-nabi yang lain. Lafaz perkataan قَفَّ bermaksud ‘bertali arus’ – seperti biji butir tasbih dan bersambung-sambung satu demi satu. Keturunan Bani Israil memang dikurniakan dengan banyak sekali Nabi dalam kalangan keturunan mereka.

وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ

Dan Kami berikan kepada Isa bin Maryam;

Salah seorang Nabi yang datang selepas Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi Isa عليه السلام anak kepada Maryam. Hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang berbinkan ibunya. Manusia yang lain semuanya akan dipanggil berbinkan nama ayah mereka. Tidak akan dipanggil manusia nanti dengan nama ibu mereka melainkan Nabi Isa عليه السلام sahaja.

Tetapi puak ajaran sesat yang mengamalkan sihir, apabila hendak menyihir, mereka mesti akan menggunakan nama emak kepada seseorang itu. Sebab itulah kita selalu dengar orang akan bertanya: apa nama emak?

Kalau ada orang yang seperti itu, maka beredarlah daripada bersamanya lagi. Lihatlah juga bagaimana pada waktu membacakan talqin, tekong yang membacakan talqin itu akan membacakan nama ibu si mati itu juga. Datang dari manakah ajaran itu? Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana hadith-hadith talqin semuanya tidak sahih.

Ayat ini dibacakan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام, sedangkan baginda tidak diterima sebagai Nabi oleh mereka. Kenapa begitu? Allah ‎ﷻ sebutkan Nabi Isa عليه السلام dalam ayat ini sebagai teguran kepada mereka kerana mereka tidak menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Nabi mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka sebenarnya kerana baginda juga daripada keturunan Bani Israil. Mereka sahaja yang tidak  menerimanya.

الْبَيِّنَاتِ

dengan bukti-bukti kebenaran;

Baginda diberikan dengan Kitab Injil dan juga mukjizat atau tanda-tanda yang jelas. Antaranya baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan penyakit, menghidupkan orang yang mati dan banyak lagi.

Apabila sampai kepada Nabi Isa عليه السلام, masih lagi pakai Kitab Taurat sebagai sumber syariat. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام tetap daripada Bani Israil dan baginda tetap menegakkan syariat Kitab Taurat.

وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ

dan Kami kuatkan baginda dengan Ruh Qudus;

Ruh Qudus (Roh yang disucikan) yang dimaksudkan adalah Malaikat Jibrail عليه السلام. Allah ‎ﷻ bantu Nabi Isa عليه السلام dengan Jibrail عليه السلام sebagai kekuatan semangat. Ini kerana baginda tidak ada ayah. Ini menandakan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu lemah dari segi kedudukan baginda dalam masyarakat. Pengikut baginda pun tidak ramai.

Ini menunjukkan yang baginda bukanlah ‘Anak Tuhan’, kerana baginda masih memerlukan sokongan. Kalau baginda Anak Tuhan, tidaklah perlu pertolongan sampai begitu.

Jibrail عليه السلام sentiasa mendampingi Nabi Isa عليه السلام seperti yang disebut dalam hadith. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام sahaja. Kepada Nabi Muhammad ﷺ, Jibrail عليه السلام hanya datang semasa membawa wahyu dan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Nabi Muhammad ﷺ pernah mengajak Jibrail عليه السلام untuk datang berjumpa baginda walaupun tanpa membawa wahyu. Jibrail عليه السلام menjawab bahawa malaikat hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka hanya turun selepas diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ. Tetapi, puak-puak silat boleh pula berkata Jibrail عليه السلام menjaga mereka kerana mereka selalu seru Jibrail عليه السلام.

Ingatlah bahawa hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang Jibrail عليه السلام sentiasa dampingi. Dan Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit ketika baginda berumur 33 tahun. Nabi Isa عليه السلام tidak ada rumah kerana baginda sentiasa tabligh menyampaikan dakwah kepada umatnya. Dan baginda hanya berjaya mendapatkan 12 orang pengikut sahaja. Nabi Nuh عليه السلام berdakwah selama 950 tahun, cuma dapat 83 orang sahaja yang mengikutinya semasa dalam bahtera.

Dan nabi-nabi lain, ada yang langsung tidak ada pengikut. Ada yang anya seorang sahaja pengikut. Dalam Surah Yaasin, disebutkan kisah tiga orang Nabi yang diutus kepada satu bandar dan tiga orang itu hanya dapat seorang pengikut sahaja yang bernama Habib bin Najar.

Jadi kalau kita berdakwah tetapi tidak mendapat pengikut, maka janganlah rasa terkilan. Sedangkan ada Nabi yang tidak ada pengikut. Adakah mereka tidak benar kalau tidak ada pengikut?

أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ

Apakah setiap kali rasul-rasul datang kepada kamu;

Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ untuk bertanya kepada mereka untuk berdakwah kepada mereka dan untuk membongkar keburukan mereka dahulu.

بِمَا لَا تَهْوَىٰ أَنْفُسُكُمُ

yang membawa ajaran yang tidak mengikut nafsu kamu;

Ajaran yang benar selalunya akan berlawanan dengan kehendak nafsu, iaitu nafsu mereka yang hendak membuat tawwasul, membuat syirik dan buat itu dan ini yang tidak mengikut ajaran agama. Rasul-rasul itu datang melawan kehendak mereka. Maka apakah mereka buat?

اسْتَكْبَرْتُمْ

Kamu semua sombong;

Maksud ‘sombong’ adalah tidak mahu mengikut jalan yang benar. Sombong adalah satu penyakit yang akan menyebabkan tidak boleh menerima dakwah agama. Kalau kita sombong, maka kita tidak akan dapat menerima ajaran agama.

Apabila ada Nabi yang datang kepada Bani Israil, mereka sombong tidak mahu ikut. Mereka rasa mereka lagi baik daripada nabi-nabi mereka itu.

فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ

Sebahagian daripada rasul itu kamu dustakan mereka;

Kenapa Allah ‎ﷻ kata mereka dustakan nabi-nabi mereka, padahal mereka kata mereka terima nabi Musa عليه السلام dan nabi-nabi yang lain? Ini kerana walaupun mereka kata mereka terima, tetapi mereka tidak mengikut cakap nabi-nabi mereka.

Mereka persoal kata-kata Nabi-nabi mereka sendiri. Mereka kata yang Nabi mereka bawa itu adalah dusta sahaja, sedangkan apa yang mereka bawa itu adalah wahyu.

وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

dan setengah dari rasul-rasul itu, kamu bunuh;

Mereka rasa lebih baik nabi-nabi itu dibunuh kerana mereka kata nabi-nabi itu menipu. Dan walaupun selepas mereka kata yang Nabi itu penipu, masih ada lagi yang mengikuti ajaran Nabi itu, maka mereka mengambil keputusan baik dibunuh sahaja Nabi itu.

Itu sudah sampai tahap yang paling buruk. Sudahlah mereka tidak mahu mengikut ajaran Kitab, kemudian mereka tuduh pula yang Nabi-Nabi yang membawa ajaran Kitab itu menipu, akhirnya mereka sanggup bunuh Nabi-Nabi itu.

Perkataan تَقْتُلُونَ yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk “present tense”. Maknanya, perbuatan membunuh itu masih lagi akan berlaku. Oleh kerana itu, kita pun boleh perasan bagaimana perangai ini pun masih ada dalam masyarakat Islam juga. Kita tidaklah bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun berapa banyak ulama’-ulama’ dalam kalangan kita yang telah dibunuh oleh kerajaan yang tidak dapat menerima mereka?

Maknanya orang Islam pun ada juga mengikut perbuatan buruk Bani Israil. Kita juga tahu bahawa nabi-nabi dalam kalangan Bani Israil telah pernah ditangkap, diseksa dan dibuat macam-macam, bukan?

Begitu juga dengan ulama’-ulama’ kita. Berapa banyak ulama’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah رحمه الله dan banyak lagi telah dilayan dengan buruk oleh ketua negara mereka? Bagaimana pula dengan ulama’-ulama’ zaman moden ini? Tidakkah banyak kisah kita dengar mereka juga telah diperlakukan sebegitu? Kadangkala kerana tidak ada tauliah sahaja sudah ditangkap dan dipenjarakan.

Allahu a’lam. 

 

SnJ: Haid & Istihadhah.

5

HAID DAN ISTIHADHAH.
Soal  Jawab.

Soalan 1:
Kalau berasa was-was sama ada darah haid masih ada lagi ataupun tidak, bolehkah mandi hadas?

 Jawapan.
Fiqh tidak boleh dilaksanakan atas was-was. Fiqh kena bermula dengan yakin. Kena yakin dulu telah bersih, wanita salaf dahulu menggunakan kapas.

Soalan 2:
Mohon jawapan untuk contoh situasi berikut:

Situasi 1:
Suci dalam waktu Subuh tetapi mandi wajib dalam waktu ‘Asar.

Adakah Jama’ salat Subuh, Zuhur dan ‘Asar dalam waktu ‘Asar?

Situasi 2:
Suci hari ini dalam waktu Zuhur tetapi mandi wajib keesokkan harinya, dalam waktu Zuhur.

Apakah Jama’ salat atau qadha’ salat?

Situasi 3:
Dia sangka sudah suci daripada haid sebelum Subuh dan terus mandi junub (mandi wajib) kemudian salat Subuh dan juga qadha’ puasa.
Selepas 2 hari, tiba-tiba keluar haid semula.

Adakah salat dan puasanya sebelum 2 hari itu sah atau tidak? Adakah wajib baginya mengulangi salat itu setelah suci nanti?

● Jawapan.
Situasi 1:
Tidak dibenarkan jama’ salat Subuh, Zuhur dan ‘Asar.
Kita sudah sedia maklum, Zuhur jama’ dengan ‘Asar, dan Maghrib jama’ dengan Isyak sahaja. Tiada jama’ untuk Subuh.

Jika suci dalam waktu Subuh, maka dia hendaklah segera mandi dan salat sebelum syuruq (terbit mentari pagi).

Situasi 2:
Tidak boleh. Apabila sudah suci, kena segera mandi. Maka kena qadha’ salat Zuhur, ‘Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Dia telah meninggalkan 5 waktu salat dengan sengaja.

Situasi 3:
Orang yang tidak ada waktu haid yang konsisten, maka hendaklah mengikuti salah satu pendapat fiqh:

1. Fiqh syafi’iy, maksimakan 15 hari. Selebihnya adalah istihadhah.

2. Fiqh sunnah, jika haid tidak teratur, maka jika yakin suci , mandi serta salat dan puasa, dan kemudian haid, maka salat dan puasa sudah sah sebab dia tidak memiliki waktu haid yang konsisten.

Soalan 3:
Berkenaan orang yang haid tidak tetap, katakan bulan Januari dia datang haid 5 hari.

Pada hari ke-6, waktu Subuh dia mandi setelah kering haidnya. Maka dia salat Subuh, Zuhur dan ‘Asar.
Tetapi waktu Maghrib hari ke-6, haid datang lagi dan dia tidak salat.

Subuh hari ke-7 darahnya kering. Dia mandi dan salat tetapi petang itu ada haid lagi.

Subuh hari ke-8, darahnya kering maka dia mandi dan salat.

Soalan saya:
Kalau setiap bulan corak kedatangan haidnya sama seperti bulan itu adakah dibolehkan untuk bulan seterusnya dia menunggu lebih lama, mungkin sehingga 12 jam, walaupun dia telah suci pada hari ke-6?

● Jawapan.
Seperti sudah dibincangkan sebelum ini, boleh ikut fiqh mazhab syafi’iy, ambil tempoh maksima haid iaitu 15 hari.

Mazhab syafi’iy mudah untuk orang yang keliru. Maksima 15 hari, maka apa yang keluar selepas itu adalah darah istihadhah.

Soalan 4:
Berapa lamakah tempoh darah istihadhah?

● Jawapan.
Darah itu tiada tempoh sebab darah penyakit. Hanya yang ada tempoh cuma haid dan nifas sahaja.

Soalan 5:
Adakah boleh kalau saya berpegang pada pendapat Imam Ibnu Taimiyah iaitu haid tiada had minimum dan tiada had maksimum iaitu haid dikenali pada warna dan sifat-sifatnya.

● Jawapan.
Memang boleh sebab Syaikhul Islam adalah bermanhaj salafiyah dan banyak pendapat beliau adalah di luar fikiran.

Soalan 6:
Seorang wanita ini tangguh mandi hadas sebab dia takut haidnya keluar semula. Oleh sebab dia makan pil perancang keluarga, haid jadi tidak menentu. Kadang-kadang 10 hari, 12 hari atau 15 hari.
Bolehkah kalau dia tangguh lama, satu waktu atau dua waktu atau lebih daripada itu semata-mata untuk pastikan dia benar-benar sudah suci?

● Jawapan.
Jama’ takhir, guna fiqh Hanbali. Sampai haid kembali stabil

Soalan 7:
Jadi boleh dia tunggu seberapa lama untuk pastikan sudah habis. Selepas itu adakah dia perlu salat waktu-waktu yang antara suci dan tempoh untuk pastikan bersih?
Contohnya, dia suci waktu Zuhur tetapi dia tunggu lagi untuk kepastian hingga waktu Maghrib atau Isyak. Lalu dia mandi waktu Isyak dan salat Maghrib Isyak. Adakah dia kena salat Zuhur dan ‘Asar?

● Jawapan.
Kena buat kajian, jangan sampai terlebih tunggu. Zuhur + ‘Asar itu lama, 1:20pm sampai 7:15 pm. Berapa jam tunggu jadi perlu jama’. Jika kering Zuhur, jama’ waktu ‘Asar. Jika kering Maghrib, jama’ waktu Isyak.

Jawapan dari Syeikh THTL
@FiqhWanitaUito

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-84 dan Ke-85

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-84

Untuk memahami ayat ini, kena tahu Asbabun Nuzul ayat. Puak Yahudi di Madinah ada beberapa kumpulan dan ada dua kumpulan yang besar: Bani Nadhir dan Bani Quraizah (selain daripada puak-puak yang lain). Di sini disebutkan kisah mereka secara ringkas kerana akan ada lagi kisah mereka dalam surah yang lain nanti.

Kedua-dua puak Yahudi itu menganut agama yang sama tetapi jadi berpuak kerana kuli mereka berpuak dan berbalah. Kuli mereka itu adalah daripada puak Arab Madinah dan mereka pula tidak mempunyai asas agama. Dua puak itu adalah puak Aus dan puak Khazraj. Bani Nadhir berkawan dengan puak Khazraj dan bani Quraizah berkawan dengan puak Aus.

Puak Aus dipimpin oleh Saad bin Muaz dan puak Khazraj pula dipimpin oleh Saad bin Ubaadah. Mereka itu sentiasa berbalah dan berperang sesama sendiri dan dikatakan mereka telah 40 tahun berperang tanpa henti. Ini kerana keturunan mereka akan mengingatkan kepada anak-anak mereka untuk terus bermusuhan dengan puak musuh mereka.

Apabila mereka berperang, penaung-penaung mereka daripada bani Nadhir dan bani Quraizah itu juga turut sama berperang kerana membantu kuli-kuli mereka.

Ada syariat dalam Kitab Taurat yang menyebut, kalau ada bangsa Yahudi ditawan,  mereka yang tidak ditawan mesti mengumpulkan duit dan menebus mereka yang telah ditawan. Dan diarahkan supaya jangan berperang sesama sendiri. Dan jangan sekali-kali menghalau bangsa mereka dari daerah tempat mereka tinggal. Inilah tiga undang-undang dalam Taurat:

  1. Jangan berperang sesama sendiri.
  2. Kalau ada yang ditawan dalam kalangan mereka, maka mesti ditebus.
  3. Jangan halau keluar dari daerah.

Maka mereka telah melanggar undang-undang ini apabila mereka berperang sesama sendiri dan mengikut peperangan bangsa Arab Yathtib. Dan apabila pihak Yahudi yang lawan itu kalah, mereka menghalau puak yang kalah itu dari tempat tinggal mereka.

Tetapi dalam masa yang sama, apabila ada orang Yahudi yang ditawan oleh pihak lawan bangsa Arab, puak-puak Yahudi yang menjadi musuh, sanggup pula ditebus. Jadi mereka ikut mana yang mereka mahu ikut sahaja. Ada syariat yang mereka ikut dan ada yang mereka tolak begitu sahaja.

Apabila sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang telah lama tinggal di Madinah membaca ayat-ayat ini, barulah mereka tahu perkara ini. Dan mereka boleh faham apa yang dimaksudkan kerana mereka sudah lama kenal dengan Yahudi itu dan mereka tahu bahawa apa yang disebutkan dalam ayat-ayat Al-Quran ini adalah benar seperti yang terjadi.

Jadi Allah ‎ﷻ ulang sebut apakah undang-undang yang ada dalam Taurat.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيارِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدون

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian dengan kamu semua;

Kata مِيثَاقَ bermaksud satu perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ ‎tentang perjanjian yang telah diikat antara Allah ‎ﷻ dan Bani Israil.

لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءَكُمْ

Janganlah kamu menumpahkan darah sesama kamu;

Tidak boleh berbunuhan sesama mereka sebab mereka semua adalah umat dalam satu agama. Ajaran ini juga ada dalam Islam. Nabi ﷺ telah bersabda yang mafhumnya, membunuh seorang Muslim adalah seperti membunuh semua Muslim. Tetapi tidakkah kita lihat bagaimana dari dahulu sampai sekarang, banyak sekali Muslim berbunuhan sesama sendiri?

Dalam ayat sebelum ini, kita telah disuruh berbaik-baik dengan semua orang. Kalau tidak berbaik itulah yang sampai menumpahkan darah. Apabila hak-hak sesama Muslim tidak dijaga, maka hasilnya tidak baik. Mula-mula mereka hanya tidak suka antara satu sama lain. Kemudian telah mula berbantah-bantah. Lama-kelamaan akan ada perang yang kecil. Kemudian, perang yang besar akan berlaku kalau ia tidak dikawal.

وَلَا تُخْرِجُونَ

Dan janganlah kamu keluarkan;

Maksudnya, jangan kamu halau.

أَنْفُسَكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ

diri-diri kamu dari kampung halaman kamu;

Tidak mungkin kita hendak keluarkan ‘diri kita’ pula. Maksudnya, jangan keluarkan sebahagian dari orang Yahudi dari kampung halaman mereka. Allah ‎ﷻ telah melarang mengeluarkan orang Yahudi lain dari kampung halaman mereka.

Dalam Islam juga perkara yang sama telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Tetapi malangnya, dalam banyak kejadian, ada ulama’-ulama’ yang dikeluarkan dari negara mereka kerana tidak sama pendapat dengan pemimpin yang tidak mahu mengikuti nasihat mereka.

Sama ada dikeluarkan dari negara, atau mereka dilayan dengan teruk sampai mereka sendiri terpaksa meninggalkan negara itu. Ada yang dikeluarkan kerana desakan dari negara bukan Islam. Sebab takutkan orang kafir, ada negara Islam yang mengikut telunjuk orang kafir.

Lihatlah bagaimana apa yang terjadi dahulu masih lagi berlaku sekarang. Dan akan berlaku di masa hadapan nanti. Al-Qur’an bukanlah kitab untuk bacaan zaman dahulu sahaja. Apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an akan sentiasa berlaku sampailah ke hari Kiamat nanti. Ia terus menjadi peringatan bagi kita kerana manusia memang mudah lupa.

ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ

Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian itu;

Kamu dan datuk nenek kamu telah berikrar untuk mengikuti ajaran-ajaran yang ada dalam Taurat itu. Apakah kamu sudah lupa?

وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan kamu sendiri menjadi saksi

Kamu sendiri tahu bahawa perjanjian ini ada terdapat dalam Kitab Taurat kamu. Bukannya kamu tidak baca Taurat itu. Kalau bukan semua tahu apa yang ada dalam Taurat, tetapi ahli agama kamu tahu.

Sama juga dengan ajaran dalam Al-Qur’an, walaupun bukan semua orang awam tahu, tetapi ada ulama’ dan ahli agama yang tahu. Kenapa mereka tidak mengingatkan umat? Kenapa mereka berdiam diri sahaja kalau ada kemungkaran yang dilakukan oleh manusia?

Tafsir Ayat Ke-85

Selepas perjanjian yang mereka ambil dengan Allah ﷻ, lihatlah apa yang mereka telah lakukan.

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ تَقتُلونَ أَنفُسَكُم وَتُخرِجونَ فَريقًا مِنكُم مِن دِيارِهِم تَظاهَرونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَالعُدوانِ وَإِن يَأتوكُم أُسارىٰ تُفادوهُم وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيكُم إِخراجُهُم ۚ أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ الكِتابِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ القِيامَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

ثُمَّ أَنْتُمْ

Kemudian kamu, bangsa Yahudi;

Iaitu Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ terus bercakap dengan mereka. Jadi ini adalah sesuatu yang agak keras bila Allah ‎ﷻ terus bercakap kepada mereka.

هَٰؤُلَاءِ

Mereka-mereka ini;

Penggunaan perkataan Allah ‎ﷻ ini menunjukkan ketakjuban dan kehairanan Allah ‎ﷻ terhadap mereka. Orang-orang yang sama juga yang telah mengambil perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi masih lagi tidak mahu ikut.

تَقْتُلُونَ أَنْفُسَكُمْ

berbunuhan juga sesama kamu;

Yang berperang sebenarnya adalah puak Aus dan Khazraj. Kaum Yahudi yang menyokong salah satu daripada puak Aus dan Khazraj itu juga turut berperang bersama mereka.

وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ

Dan kamu menghalau satu puak Yahudi dalam kalangan kamu dari kampung halaman mereka;

Perkataan فَرِيقًا yang digunakan bermaksud ‘kumpulan yang lain’. Kita sangka mereka kumpulan yang lain. Puak Yahudi itu juga melihat itu adalah puak yang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa mereka itu adalah sebahagian dari mereka juga.

تَظاهَرونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَالعُدوانِ

kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan

Iaitu mereka telah menolong Kaum Aus dan Khazraj dalam peperangan mereka. Kamu sanggup bantu puak Arab yang berkawan dengan kamu sampai kamu sanggup tinggalkan ajaran daripada Kitab Taurat, kitab kamu sendiri. Kamu bantu membantu dalam melakukan dosa, dan ini adalah amat buruk sekali.

وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَىٰ

Dan sekiranya Yahudi lawan kamu itu datang sebagai tawanan,

Jadi semasa berlaku peperangan antara mereka, ada orang-orang daripada Kaum Yahudi yang terlibat dengan peperangan itu yang terbunuh dan ada yang tertawan. Apabila berlaku tawanan, lawan mereka daripada golongan Yahudi yang ditawan akan meminta tebusan.

تُفَادُوهُمْ

kamu tebus mereka;

Walaupun yang ditawan itu adalah daripada pihak lawan, tetapi kamu sanggup pula tebus mereka. Ini kerana mereka ingat bahawa itu adalah ajaran daripada Taurat. Mereka sangka mereka telah berbuat baik dengan membayar tebusan mereka itu. Mereka rasa mereka sudah mengikut ajaran Taurat. Tetapi mereka lupa bahawa itu hanyalah sebahagian sahaja daripada arahan Allah ‎ﷻ dalam kitab mereka.

Macam itu jugalah kita orang Islam sekarang. Kadang-kadang memang kita ada buat ibadat yang baik dan mengikut ajaran Al-Qur’an. Kita sangka itu sudah cukup. Kita lupa bahawa banyak lagi yang kita tinggalkan atau kita langgar arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Macam artis-artis kita yang setahun sekali akan pergi buat Umrah sebab mereka hendak ‘cuci’ dosa mereka. Mereka rasa mereka sudah selamat sebab mereka sudah pergi Umrah. Mereka hendak sedapkan hati mereka sahaja. Lepas balik dari Umrah, sambung balik buat ‘show’ dan terus buat perancangan untuk membuat album nyanyian yang baru.

Orang kebanyakan pun macam itu juga. Mereka rasa apabila mereka sudah gantung ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan kat rumah itu sudah cukup Islam. Apabila bersunat, sudah jadi Muslim sejati. Kalau salat tidak pernah tinggal, sudah pasti menjadi ahli syurga. Adakah begitu? Adakah Al-Qur’an itu layak dijadikan perhiasan sahaja?

وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ

sedangkan mengeluarkan mereka itu adalah haram atas kamu;

Ingatlah kembali perjanjian kamu dahulu dengan Allah ‎ﷻ. Pertama, jangan berperang sesama sendiri. Kedua, jangan keluarkan kaum kamu dari kampung halaman. Dan ketiga, kalau ada yang ditawan, mereka mesti ditebus.

Mereka hanya amalkan undang-undang yang ketiga, tetapi mereka lupakan perjanjian yang pertama dan kedua itu.

Kalau ditanya kepada mereka: “Kenapa kamu tebus mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami disuruh untuk berbuat begitu”.

Dan kalau ditanya: “Kenapa perangi mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami tidak sanggup sekutu kami menderita kekalahan!”

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ

Apakah patut kamu percaya setengah daripada Kitab Taurat;

Sekarang Allah ‎ﷻ tegur mereka dengan keras. Adakah kamu beriman separuh-separuh daripada kitab wahyu kamu?

Ada sebahagian ajaran daripada Taurat yang mereka ikut, tetapi ada yang mereka tinggalkan begitu sahaja. Mereka keluarkan kaum mereka dari kampung halaman, tetapi mereka tebus juga golongan mereka yang ditawan. Mereka pilih-pilih mana yang mereka rasa mereka hendak buat. Dalam agama, bukan seperti itu. Kena buat semua sekali.

وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

dan kamu kufur dengan setengah yang lain?

Mereka memang beriman dengan sebahagian ajaran dalam Kitab Taurat itu, tetapi tentang hal bunuh membunuh itu, mereka tidak ikut. Mereka tebus kalau ada kaum mereka yang ditawan, tetapi mereka buat-buat lupa tentang larangan menghalau kaum mereka dari kampung halama. Lihatlah bagaimana mereka amal separuh dan tinggalkan separuh dari ajaran Kitab Taurat mereka.

Adakah kita buat macam itu juga? Memang ada. Kita pun ada buat begitu juga. Kita beriman dalam perkara yang menguntungkan kita, tetapi kalau tidak menguntungkan kita, kita tidak ikut. Sebagai contoh, Hukum Hudud itu adalah sebahagian daripada Islam, tetapi kita tidak ikut. Kita tolak begitu sahaja arahan yang jelas yang ada dalam Al-Qur’an. Padahal, kalau kita hanya beriman separuh sahaja Al-Qur’an itu, kita sudah tidak dikira beriman penuh sebenarnya. Al-Qur’an itu kita kena terima semua sekali, tidak boleh pilih-pilih mana yang kita hendak.

Yang menyedihkan, ada kalangan orang yang belajar agama pun buat begitu juga. Bila ditanyakan kepada mereka kenapa tidak buat semua sekali yang Allah ‎ﷻ suruh, mereka akan berikan pelbagai alasan. Alasan-alasan itu semua daripada pemikiran intelek mereka, bukan daripada nas agama. Mereka cuma beralasan. Kemudiannya, orang awam yang lagi tidak tahu tentang agama, akan terima alasan intelek mereka itu sebagai dalil agama. Maka, akan rosaklah agama mereka.

فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ

Maka tiada lagi balasan atas sesiapa yang melakukan demikian dari kalangan kamu;

Takhwif dalam ayat ini diberikan juga kepada semua agama, sama ada dalamkalangan Yahudi, atau daripada golongan kita yang beragama Islam ini.

إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

melainkan penghinaan dalam kehidupan dunia ini lagi;

Allah ‎ﷻ memberi kehinaan kepada mereka semasa di dunia lagi. Nanti Bani Quraizhah akan dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali; Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti.

Lihatlah bagaimana manusia tidak memandang mereka dalam hal agama. Hanya hal dunia sahaja yang mereka dipandang tinggi kerana orang-orang Yahudi memang jenis kaya-raya dan bijak sekali. Tetapi, walaupun mereka kaya, namun mereka tidak mulia dan dibenci oleh semua orang.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan memberikan kehinaan kepada mereka yang buat seperti itu. Kalau Muslim berbuat begitu, maka, mereka pun akan dikenakan dengan balasan yang sama. Seperti orang Iraq dahulu yang telah menyerang dan memasuki Kuwait. Sampai sekarang, Negara Iraq telah dihina kerana negara mereka telah dimasuki dan dihuni oleh tentera Amerika.

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ

Dan pada hari Akhirat nanti, kamu akan dihumban ke dalam azab yang amat dahsyat;

Ini lagi teruk, terus masuk neraka apabila Kiamat kelak. Lihatlah penggunaan kata-kata oleh Allah ‎ﷻ ini. Banyak jenis azab Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ gunakan perkataan: أَشَدِّ الْعَذَابِ – azab yang paling teruk!

Inilah yang akan dikenakan kepada mereka yang tahu tentang agama, tetapi mereka pilih-pilih mana yang mereka hendak ikut. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini hendaknya. Semoga kita belajar semua sekali arahan Allah ‎ﷻ dan kita ikut semua sekali arahan-Nya.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai terhadap apa yang kamu lakukan;

Maknanya, Allah ‎ﷻ akan membalas kesalahan yang dilakukan itu. Allah ‎ﷻ tidak akan biarkan sahaja. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia melihat apa yang kita buat semuanya. Malangnya, kita tidak perasan ayat ini. Kita berani buat macam-macam kesalahan sebab kita tidak rasa Allah ‎ﷻ melihat.

Allahu a’lam. 

Soal Jawab Bersama Doktor: SAKIT MATA atau MATA MERAH

1

Soalan:
Apakah gejala penyakit mata?

Jawapan:
Sakit mata boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, ia adalah lebih baik jika setiap orang peka terhadap gejala yang berikutan masalah sakit mata ini. Antara gejalanya ialah seperti:
1. Kemerahan (mata)
2. Air mata berlinangan
3. Gatal
4. Pedih
5. Sakit
6. Kabur penglihatan / langsung tidak dapat melihat
7. Sakit kepala
8. Demam
9. Terasa seperti ada sesuatu dalam mata
10. Mata menjadi kering dengan lebih cepat

Soalan:
Apakah penyebab sakit mata?

Jawapan:
Mata membantu kita melihat dan dengan penglihatan ini kita dapat menjalankan rutin seharian dengan lebih mudah. Namun demikian, terdapat juga masalah yang boleh berlaku kepada mata kita seperti sakit mata atau hilang penglihatan dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa penyebab yang boleh membawa kepada masalah sakit mata ini.

• Konjunktivitis, yang dikenali sebagai mata merah atau mata pedih adalah jangkitan atau radang di lapisan luar bebola mata anda. Pembuluh darah yang menyelaputi lapisan luar bebola mata menjadi radang. Keadaan ini boleh berjangkit dengan mudah melalui sentuhan tangan. Antara penyebab berlakunya keadaan ini adalah jika anda terlalu lama berhadapan dengan skrin komputer dan menggosok mata berbanyak kali. Debunga, bahan kimia seperti cat atau klorin yang digunakan untuk pembersihan kolam renang boleh juga menyebabkan radang mata. Sentiasa mencuci tangan dengan air sabun untuk mengelakkan jangkitan ini daripada merebak.

• Selain daripada itu, sakit mata juga boleh diakibatkan oleh glaukoma. Masalah ini boleh terjadi apabila berlakunya peningkatan pada tekanan dalam mata. Ini sekali gus akan menyebabkan ketidakselesaan dalam mata dan menyebabkan berlakunya sakit mata.

• Di samping itu, sakit mata juga boleh berlaku kepada penggunaan kanta sentuh. Kanta sentuh amatlah sensitif dan harus digunakan dengan cara yang baik. Sekiranya berlaku sebarang jangkitan pada kornea akibat kanta sentuh tersebut maka ia boleh menyebabkan sakit mata. Oleh itu, penggunaan kanta sentuh haruslah dengan teknik yang betul serta sentiasa mendapatkan pemeriksaan doktor jika ada sesuatu yang tidak kena apabila memakainya.

• Sehubungan dengan itu, sakit mata juga boleh diundang berikutan sebarang trauma kepada bebola mata. Contohnya, jika bola terkena pada biji mata maka ia akan mengakibatkan pendarahan pada bahagian dalam mata justeru menyebabkan masalah sakit mata. Itulah sebabnya sesetengah orang menggunakan pakaian keselamatan sebelum melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Soalan:
Adakah ketumbit juga sejenis penyakit mata?

Jawapan:
Ketumbit merupakan ketumbuhan pada kelopak mata sama ada melibatkan satu mata sahaja atau kedua-dua belah mata. Biasanya, ketumbit ini melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata. Ketumbit biasanya akan muncul secara tiba-tiba dan akan menyebabkan gejala seperti sakit pada kelopak mata, merah atau bengkak pada kelopak mata.

Kesalahan Di dalam Salat / 24

0

Soalan: Apakah hukum menyingsing kaki seluar ketika salat?

 

Jawapan: 

Menyingsing kaki seluar ketika salat

  1. Keluar daripada khilaf.

Kita perlulah memiliki pakaian salat yang tidak isbal. Ini bermaksud, sekiranya kita pergi ke masjid secara rutin digalakkan memakai pakaian khas yang bebas daripada isbal iaitu hujung pakaian tersebut berada di atas buku lali.

Kebiasaannya jika memakai kain pelikat Cap Mangga atau Gajah Duduk, pastikan kita mengikat hujung kainnya sehingga berada di atas buku lali.

 

  1. Situasi salat Zuhur dan Asar di pejabat ketika bekerja, sedangkan kita memakai seluar panjang Eropah yang berjenama seperti Alain Delon, Padini, Renoma, Valentino, atau Khakis seperti Camel, ia sudah menjadi ‘uruf. Potongan seluar di bawah buku lali itu adalah ‘uruf seluruh dunia dan ia bukan simbol isbal.

Maka, ia bukanlah isbal yang dilarang.

Isbal yang dilarang ialah isbal dan berasa sombong sebagaimana orang bangsawan Arab memakai jubah yang menyapu bumi.

(Rujukan: Kitab Al-Majmu’ Syarah Muhadzab, 3:521)

Talbis Iblis: Jangan Berhukum dengan Syariat

0

Talbis Iblis: Jangan berhukum dengan Syariat.

Syaitan akan membisikkan dan suruh kita jangan berhukum dengan syariat. Pakai selain daripada syariat. Pakai akal, pakai amalan datuk nenek, pakai itu dan ini. Asalkan jangan rujuk dalil yang sahih.

Lihat [Luqman:21]

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”. Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-nyala (neraka)?

Amalan nenek moyang memang amat bahaya. Ramai daripada kalangan kita mengikut amalan nenek moyang sahaja; iaitu orang terdahulu. Arab Jahiliyah pun buat begitu, orang yang sesat zaman berzaman pun buat begitu, malangnya masyarakat kita pun begitu juga.

Kerana itulah lihat sahajalah amalan untuk menyambut anak, urus mayat, pembahagian harta pusaka sudah menjadi bermacam-macam cara. Tidak mengikut cara Islam yang sebenarnya.

Kerana itulah penting untuk kita tanya balik: “Syariat ajar nak buat ni macam mana?”

Jangan pakai alasan: “Orang dulu buat, takkan salah?”

 

At-Tazkirah Qurthubi: Islam Merawat Gejala Bunuh Diri

0

At-Tazkirah Qurthubi (w.671H)
Kod TQ 1:5

Islam merawat gejala bunuh diri:

قال العلماء : الموت ليس بعدم محض و لا فناء صرف و إنما هو انقطاع تعلق الروح بالبدن و مفارقته و حيلولة بينهما ، و تبدل حال و انتقال من دار إلى دار ، و هو من أعظم المصائب ، و قد سماه الله تعالى مصيبة ، و في قوله فأصابتكم مصيبة الموت

Berkata para ulama’, “Mati bukanlah penyelesaian kepada masalah. Akan tetapi kematian adalah pemutus/pemisah antara roh dan jasad, pemindahan alam (alam dunia kepada barzakh), dan Allah memberi istilah musibah kepada kematian. (قوله فأصابتكم مصيبة الموت ) ” Lalu kamu ditimpa dengan bencana kematian” [ 5:106 ]

فالموت هو المصيبة العظمى و الرزية الكبرى .
قال علماؤنا : و أعظم منه الغفلة عنه ، و الإعراض عن ذكره ، و قلة التفكر فيه ، و ترك العمل له ، و إن فيه وحده لعبرة لمن اعتبر و فكرة لمن تفكر

Berkata al Qurthubi:
Adapun kematian adalah suatu musibah dan bencana yang besar. Akan tetapi ulama’-ulama’ kita memberi peringatan: ” Yang lebih besar daripada itu (kematian) ialah (manusia) yang lalai daripada mengingati kematian, enggan mengingatinya, sedikit merenung tentang kematian dan enggan beramal untuk kematian sedangkan kematian adalah pelajaran dan renungan kepada orang yang mahu berfikir.”

Popular

Iklan

Iklan