Utama Blog Halaman 63

At- Tazkirah Qurthubi: Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan Dunia: Metod Melembutkan Hati yang Keras (2)

0

At-Tazkirah Qurthubi (w671H)
Kod 4.0 Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan dunia (باب ما يذكر الموت والآخرة ويزهد فى الدنيا)

4.6: Empat Metod melembutkan hati yang keras 3

الثالث : مشاهدة المحتضرين ، فإن في النظر إلى الميت و مشاهدة سكراته ، و نزعاته ، و تأمل صورته بعد مماته ، ما يقطع عن النفوس لذاتها ، و يطرد عن القلوب مسراتها ، و يمنع الأجفان من النوم ، و الأبدان من الراحة ، ويبعث على العمل ، و يزيد في الاجتهاد و التعب

Ketiga: Menyaksikan orang yang sedang sakarat, menyaksikan sendiri orang sedang mambuk hendak mati (sakarat) yakni saat nyawanya sedang dicabut. Ia akan memberi implikasi yang besar terhadap jiwanya, sentiasa teringat dan memberi motivasi kepadanya untuk beramal.

يروى أن الحسن البصري دخل على مريض يعوده فوجده في سكرات الموت فنظر إلى كربه ، و شدة ما نزل به ، فرجع إلى أهله ، بغير اللون الذي خرج به من عندهم فقالوا له : الطعام يرحمك الله فقال : يا أهلاه عليكم بطعامكم و شرابكم . فو الله لقد رأيت مصرعاً لا أزال أعمل له حتى ألقاه .

Diriwayatkan bahawa al Hasan al Basri (w.110 Basrah). Beliau mengunjungi orang yang sakaratul maut dan melihat kesulitan yang dihadapinya. Apabila beliau kembali kepada keluarganya dan mereka melihat perubahan pada dirinya, lantas mereka menghidangkan makanan kepadanya. Beliau menjawab, “Makan dan minumlah kamu…aku baru saja menyaksikan kematian dan aku akan beramal sehingga aku menemuinya (kematian).” (Atsar riwayat Imam Ahmad dalam az Zuhd, 383; Ibn Jauzi, alHadaiq, 3:435)

4.6: Empat metod melembutkan hati yang keras 4

فهذه ثلاثة أمور ينبغي لمن قسا قلبه ، و لزمه ذنبه ، أن يستعين بها على دواء دائه ، و يستصرخ بها على فتن الشيطان و إغوائه ، فإن انتفع بها فذاك ، و إن عظم عليه ران القلب ، و استحكمت فيه دواعي الذنب ، فزيارة قبور الموتى تبلغ في دفع ذلك مالا يبلغه الأول ، و الثاني ، و الثالث . و لذلك قال عليه السلام زوروا القبور فإنها تذكر الموت و الآخرة ، و تزهد في الدنيا

Keempat: “Itulah tiga cara yang perlu dilaksanakan oleh orang yang keras hatinya supaya:

1. Sering melazimi majlis ilmu
2. Sentiasa memikirkan akan kematian
3. Menyaksikan orang sedang sakaratul maut

Jika masih belum berkesan, yang keempatnya ialah menziarahi kubur boleh merawat apa yang tidak tercapai dalam metod 1, 2 dan 3. Sebagaimana sabda baginda: “Sekarang ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkan kamu akan mati, akhirat dan kamu menjadi zuhud di dunia” (زوروا القبور فإنها تذكر الموت و الآخرة ، و تزهد في الدنيا [ HR Muslim no 976 daripada Abu Hurayrah ]

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-153 hingga Ke-155

0

Tafsir Surah Al-Baqarah 

Tafsir Ayat Ke-153

Ayat 153 – 158 adalah Perenggan Makro berkenaan Syariat Haji dan Umrah. Mengerjakan Haji dan Umrah ada unsur-unsur infaq dan jihad iaitu menyediakan bekalan, korban masa, tenaga, harta. Lebih-lebih lagi zaman dahulu kalau pergi belum tentu akan pulang.

Latihan tazkiyah yang telah disebutkan adalah dengan berzikir kepada Allah ‎ﷻ dan yang kedua adalah bersyukur. Latihan tazkiyah yang ketiga adalah dengan sabar. Sabar ini adalah amalan hati dan sabar ini banyak peringkat dan sebab itu Allah ‎ﷻ sebut banyak kali dalam Al-Qur’an supaya dapat dijelaskan semua peringkat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar tentang sabar dalam doa kerana ada hubungan yang amat rapat antara sabar dan doa. Ini kerana sabar tanpa doa tidak akan tahan lama.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّابِرينَ

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang ‘beriman sempurna’, iaitu mereka yang tidak berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar;

Pemahaman daripada ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan kepada Allah ‎ﷻ dengan cara menahan diri daripada memberitahu kepada makhluk apakah masalah yang kita hadapi.

Antara perkara yang kita kena sabar adalah sabar terhadap segala ujian untuk menempuh perjalanan berpegang dengan sunnah. Contohnya, kena sabar untuk tidak pergi ke majlis sanding. Bukan senang untuk berlawan dengan kebiasaan masyarakat kita yang telah rosak.

Namun janganlah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang sabar jikalau waktu itu tidak ada apa-apa cubaan untuk kita. Ini kerana pernah Nabi ﷺ dengar seorang sahabat minta supaya Allah ‎ﷻ jadikan dia seorang yang penyabar, maka Nabi ﷺ tanya dia: “Kamu hendak minta balakah?”

Ini kerana untuk mendapatkan sabar, kena datang bala dahulu, barulah boleh kita jadi sabar, bukan? Maka, dalam keadaan biasa, jangan kita minta sabar kerana itu mengundang bala datang kepada kita. Elok-elok tidak ada kesusahan, kita minta kesusahan pula diturunkan kepada kita. Sebenarnya, kalau sudah kena ujian, barulah minta sabar.

وَالصَّلَاةِ

dan bersolat.

Seperti telah disebutkan, kita dituntut untuk bersabar daripada mengeluh dan menceritakan kepada orang lain masalah kita. Sebaliknya kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah ‎ﷻ. Dengan mengerjakan salat, kita memberitahu hal itu kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam salat itu, doalah dan mengadulah kepada Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya.

Salat adalah muqaddimah kepada doa. Sembahyang itu sendiri adalah doa. Nabi ﷺ telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tasyahhud. Selain dari itu, Nabi ﷺ telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi ﷺ akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat.

Oleh itu, kita kena jadikan ini sebagai salah satu cara untuk berdoa. Banyak sekali dalil yang mengajar kita untuk berdoa selepas mengerjakan amal soleh. Sebagai contoh, dalam surah Fatihah sendiri:

Iyyaka na’budu – isyarat kepada amalan.
Iyyaka nastain – isyarat kepada doa. Maknanya, selepas mengerjakan amalan, barulah kita berdoa.

Ada empat amalan yang kalau manusia buat dan doa selepasnya, doa itu akan makbul:
1. Mengajak manusia kepada agama tauhid
2. Ketika mengajar
3. Ketika melakukan ibadat
4. Kerja amal secara sukarela sebagaimana kisah Nabi Musa عليه السلام yang menolong anak Nabi Syuaib عليه السلام dalam [ Qasas:24m].

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan salat. Ingatlah bahawa nasihat yang sama telah diberikan kepada Ahli Kitab sebelum ini dalam surah Baqarah ini juga dalam ayat ke-45. Sekarang nasihat yang sama diberikan kepada kita orang Islam pula.

Dahulu, merekalah umat terpilih – Allah ‎ﷻ kata mereka adalah umat terpilih dalam ayat ke-47. Mereka telah diberikan tanggungjawab dan mereka tidak menunaikannya atau telah meninggalkan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sekarang, kita sebagai umat Islam pula yang telah diberikan kelebihan menjadi ‘umat pertengahan’. Kita juga telah diberi tanggungjawab oleh Allah ‎ﷻ. Masa mereka telah berlalu, masa kita sekarang pula.

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Sesungguhnya Allah akan bersama orang yang bersabar.

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersama orang yang bersabar. Maka, ini adalah satu motivasi yang amat tinggi kepada kita. Walaupun kita sedang susah waktu itu, tetapi kalau kita sabar, kita cuba rasakan yang Allah ‎ﷻ bersama dengan kita. Allah ‎ﷻ beri ujian kepada kita untuk tambah pahala kita kerana apabila kita sabar, maka kita akan dapat pahala yang banyak.

Tafsir Ayat Ke-154

Ayat yang menyentuh tentang jihad fi sabilillah. Kemuncak perbincangan jihad ada dalam Surah Tawbah. Permulaan tentang jihad itu dimulakan di dalam Surah Baqarah ini.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mula menyentuh bab Sabar. Oleh kerana sabar adalah perkara yang besar dan banyak peringkatnya, maka akan diterangkan dengan banyak dalam ayat-ayat seterusnya. Pertamanya, dalam ayat ini Allah ‎ﷻ terangkan sabar peringkat tertinggi.

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَمواتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لا تَشعُرونَ

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

وَلَا تَقُولُوا

Jangan sekali-kali kamu berkata,

Janganlah kamu salah sangka dengan mengatakan perkara yang silap dalam pandangan kamu. Kena belajar untuk melihat dengan ilmu, bukan dengan pandangan sendiri sahaja.

لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ

kepada sesiapa yang terbunuh atau dibunuh di jalan Allah itu benar-benar mati;

Mereka tidak mati hidup sebenarnya. Cara bagaimana, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah ‎ﷻ. Ini disebut dalam hadith.

Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang mereka yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ mereka tidak mati biasa. Mereka sebenarnya hidup di alam barzakh. Ia adalah Kehidupan Khas. Mereka terus dihantar ke syurga untuk menikmati nikmat di dalam syurga itu. Sebelum Pembicaraan di Mahsyar lagi mereka telah dapat nikmat. Ini adalah kelebihan bagi orang yang Mati Syahid.

Oleh itu, sabar dalam ayat ini adalah sabar atas kematian. Lebih-lebih lagi kalau kematian itu melibatkan orang yang kita kasihi. Sebaik-baik kasih adalah kasih seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada seorang mukmin yang lain, maka sabar padanya adalah sabar yang paling tinggi.

Sahabat paling sedih apabila Nabi ﷺ wafat. Begitu juga, apabila ada kematian daripada kalangan sahabat, Allah ‎ﷻ mengajar mereka untuk bersabar kerana mereka amat bersedih. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

بَلْ أَحْيَاءٌ

Bahkan mereka itu hidup

Pada waktu ayat ini diturunkan, orang-orang Islam belum lagi berperang dengan orang kafir. Belum Perang Badr lagi pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah mengingatkan mereka bahawa kalau mereka mati, mereka akan dapat kelebihan yang amat banyak. Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka untuk bersedia.

“Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kalian inginkan sesuatu?”. Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?” Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Rabb kami! Kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”. [Riwayat Muslim (1887)]

Namun pada waktu itu, telah ada orang Islam yang mati semasa mereka berada di Mekah. Ada yang diseksa dan mereka telah mati di tangan orang Musyrik. Itu pun dikira sebagai mati di jalan Allah ‎ﷻ.

Apabila dikatakan mereka itu hidup, bukanlah hidup mereka itu seperti yang kita faham. Kehidupan itu banyak jenis. Contohnya, bayi yang dalam perut ibu itu sudah hidup, tetapi adakah hidup mereka sama dengan hidup kita? Tentu tidak, bukan? Maka jangan kita sangka hidupnya mereka yang mati syahid itu seperti hidup kita sekarang.

Ada yang buat andaian salah bahawa wali-wali yang telah mati itu boleh hidup semula dan menolong mereka yang di dunia. Oleh kerana salah faham tentang ayat ini, ada yang melakukan perkara yang syirik. Seperti pengikut ajaran Arqam yang masih bergerak lagi sekarang – mereka mengatakan bahawa Abuya Asyaari masih hidup lagi dan boleh memberi bantuan kepada mereka. Mereka dikatakan sampai meminta pertolongan kepada beliau untuk memberikan rezeki kepada mereka. Ini dan banyak lagi fahaman Sufi Tarekat yang mengarut kerana mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an ikut kehendak akal mereka.

وَلَٰكِنْ لَا تَشْعُرُونَ

sedangkan kamu tidak tahu bahawa mereka itu hidup.

Kita tidak sedar bahawa mereka itu hidup kerana mereka telah dibawa terus ke syurga. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak hidup di alam barzakh.

Orang-orang yang mati syahid itu, sebelum darah mereka menitis jatuh ke tanah, dosa mereka semua sekali telah diampunkan. Mereka akan dimasukkan ke syurga terus. Mereka hanya keluar balik apabila telah kiamat dan makhluk akan dibicarakan. Mereka akan dipanggil oleh malaikat untuk keluar sekejap untuk dibacakan amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian, mereka akan dimasukkan balik ke syurga untuk menyambung nikmat di syurga.

Daripada Ka’ab bin Malik رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Nasa’ie (2073)]

Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan itu. Semasa dipanggil itu, mereka rasa mereka duduk di syurga sekadar waktu salat sunat Subuh dua rakaat sahaja. Itu adalah salat paling ringkas yang Nabi ﷺ lakukan. Maknanya, nikmat yang terlalu banyak yang mereka terima, sampaikan mereka rasa sekejap sahaja mereka nikmati. Padahal, mungkin mereka telah duduk di syurga itu selama beberapa ribu tahun. Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana kalau kita sedang menikmati keadaan yang menggembirakan, kita selalu rasa sekejap sahaja, bukan?

Tafsir Ayat ke-155

Ini pula adalah sabar peringkat biasa.

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّابِرينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ

Dan Kami akan menguji kamu

Pasti Allah ‎ﷻ akan beri ujian. Jangan hairan apabila ujian datang kerana ia adalah pasti. Dunia ini memang tempat ujian. Jadi tidak perlu hendak mengadu sangat kepada orang lain kalau ada banyak dugaan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian.

بِشَيْءٍ

dengan segala sesuatu;

Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan apa sahaja cara untuk membezakan mana hamba yang ada sifat sabar dan tidak. Begitulah, macam-macam ujian akan Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia. Sebagai contoh, ada niat sahaja hendak mengikut sunnah, hendak dakwah kepada orang lain, maka akan terus diberikan ujian.

Macam-macam lagi cara manusia diuji. Ada yang ringan sahaja, dan ada yang agak teruk. Ini adalah rezeki masing-masing. Kalau kita bersabar dengan ujian itu, kita akan mendapat pahala.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut tentang ujian kematian. Kali ini, ujian yang kurang sedikit. Namun masih lagi banyak. Antaranya adalah seperti di bawah ini.

مِنَ الْخَوْفِ

dari jenis ketakutan;

Antaranya dengan situasi takut. Seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai.

Dalam situasi kita yang tidak berperang ini, ia boleh bermaksud takut hendak memberitahu kepada orang tentang tauhid ini. Takut orang kata kita gila, kata kita sesat, tidak mahu terima dan sebagainya.

Padahal, bukan boleh menyebabkan kematian pun. Kadangkala orang gelar kita Wahabi pun sudah kelam kabut, padahal itu kata-kata sahaja. Buat apa hendak kisahkan dengan kata-kata orang jahil? Namun begitulah, hendak cerita dan tegur amalan bid’ah orang pun susah dan berat sangat mulut. Maka rasa hendak mati pun ada.

وَالْجُوعِ

dan kelaparan;

Keduanya ujian dengan lapar. Kadang-kadang kita takut tidak cukup makan. Kalau duduk kampung tempat kita tinggal, memang jarang lapar sebab makanan sentiasa ada. Namun kalau dalam musafir akan selalu bertemu dengan kelaparan. Lebih-lebih kepada para pejuang dan penyebar dakwah.

Kita zaman sekarang takut hendak sebut tentang kesalahan yang manusia lakukan. Kalau ustaz yang mengajar, takut sungguh hendak beritahu amalan salah anak murid. Takut anak murid tidak panggil mengajar lagi, hilang punca pendapat (sampul putih). Maka kesilapan dan bid’ah anak murid masyarakat, disenyapkan sahaja.

وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ

dan kekurangan dari harta benda;

Kalau hendak berjihad zaman dahulu para sahabat kena mengeluarkan duit sendiri. Bukan kerajaan Islam bagi duit untuk mereka berjihad. Mereka bukan kena cari duit untuk pergi berjihad sahaja, tetapi mereka juga kena tinggalkan sedikit duit untuk anak isteri sebagai bekalan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Apabila sudah mula pergi berjihad, hendak berniaga pun sudah tidak boleh. Kalau yang bercucuk tanam, sudah tidak boleh menjaga hasil tanaman lagi sebab kena tumpukan kepada peperangan. Ingatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat رضي الله عنهم dahulu.

Kadang-kadang kita diuji dengan ujian infak harta. Infak harta memang dituntut dalam agama. Hendak bina masjid, berdakwah, jihad, musafir, tolong orang lain dan macam-macam lagi memerlukan infak. Tentu berlaku kekurangan harta. Namun kerana ujian ini, ramai yang gagal dan simpan duit kerana syaitan akan menakut-nakutkan kita dengan ancaman jatuh miskin kalau infak.

وَالْأَنْفُسِ

dan dari jiwa-jiwa;

Maksudnya adalah kematian. Ada sahabat yang mati terbunuh. Saudara mara ada yang mati terbunuh dan macam-macam lagi. Ini adalah biasa apabila berlaku kematian. Maknanya, para sahabat رضي الله عنهم dahulu berhadapan dengan ancaman mati dalam menegakkan agama Islam ini. Amat malu kalau kita pula takut hendak sebut kesalahan masyarakat hanya kerana takut dikata macam-macam. Padahal, bukan boleh mengancam nyawa pun.

Boleh juga merujuk kepada mereka yang lari daripada peperangan. Meninggalkan medan pertempuran. Ada yang takut semasa bertempur sampai ada yang lari daripada medan peperangan.

وَالثَّمَرَاتِ

dan buah-buahan;

Ia bermaksud penyakit. Sebagai contoh, penyakit hama kepada pokok-pokok. Mereka takut pokok yang mereka tanam itu akan sakit dan musnah apabila mereka tidak ada dalam berjihad. Madinah waktu itu adalah umat yang berasaskan pertanian.

Pernah semasa Perang Tabuk, mereka diduga dengan buah-buahan yang sudah hampir boleh dituai apabila panggilan peperangan sampai. Mereka telah menerima arahan untuk perang dan ia adalah wajib kepada mereka kecuali orang tua, anak kecil dan wanita. Ia amat menduga kepada mereka kerana kalau mereka keluar berperang, sudah tentu apabila mereka pulang nanti, buah-buahan itu sudah jadi busuk kerana tidak dipetik. Kalau diharap kepada anak isteri pun tidak boleh kerana hanya lelaki sahaja yang boleh menuainya kerana ia adalah kerja berat.

Boleh jadi juga ia bermaksud ‘anak-anak’ – kerana ada yang akan kehilangan anak. Anak-anak yang telah dibela sejak kecil dan menjadi pengarang jantung terpaksa dilepaskan untuk menyertai peperangan jihad. Ini bukan kerja yang senang.

Kalau zaman sekarang, ini bermaksud melepaskan anak-anak untuk belajar agama. Ada yang takut kalau anak belajar agama kerana tidak tahu nanti hendak kerja apa. Kalau lepas untuk belajar ilmu keduniaan, ada kemungkinan akan dapat kerja, bukan? Maka kena berkorban anak juga supaya ada kalangan kita yang pandai agama dan dapat teruskan usaha mendidik masyarakat.

Kemungkinan juga buah-buahan itu adalah isyarat kepada hasil daripada pelaburan mereka. Ini adalah dugaan dari sudut ekonomi. Ini bagi orang yang berniaga.

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar itu.

Ucapan tahniah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang dapat melepasi ujian-ujian itu. Telah disebut ujian yang berat-berat di atas. Allah ‎ﷻ berikan motivasi dan ucapan tahniah kalau sanggup melepasi ujian-ujian itu. Ini adalah ucapan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Tidakkah kita suka kalau dapat pujian dari Allah ‎ﷻ?

Allahu a’lam. 

Soal Jawab Bersama Doktor: Keperluan Minum Air Yang Secukupnya

0

Soalan:
Apa kepentingan air dalam badan manusia?
Jawapan:
Air memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama badan seperti melaraskan suhu badan, menghapuskan sisa yang tidak diperlukan, membawa nutrien dan oksigen ke sel serta mengawal keseimbangan elektrolit tubuh. Kekurangan air dalam badan walaupun pada kadar sedikit boleh mengakibatkan seseorang jadi tidak bermaya. Kekurangan air akan menyebabkan sistem dalam badan berfungsi tidak seimbang yang membawa kepada pelbagai penyakit.

Soalan:
Berapa banyak air diperlukan dalam badan manusia?
Jawapan:
Secara amnya, pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari amat penting demi memastikan tubuh kekal sihat dan cukup hidrat. Tidak perlu obses dengan berapa banyak jumlah air yang telah diminum, malah lebih merumitkan lagi, mengira setiap gelas yang telah diminum dan berbagai cara lagi. Permudahkan hidup anda. Apabila terasa dahaga, minum. Tidak perlu memaksa diri untuk melengkapkan rutin 8 gelas sehari.

Minum air secara berlebihan daripada keperluan badan boleh memudaratkan dan membahayakan kerana ia juga boleh menyebabkan berlakunya kegagalan organ. Air dalam tubuh boleh menjadi terlalu banyak melalui pengambilan berlebihan atau apabila organ tubuh gagal mengeluarkannya terutamanya bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik yang membabitkan jantung dan buah pinggang.

Soalan:
Apakah tanda-tanda sesorang itu kekurangan atau terlebih air dalam badan?
Jawapan:
Sekiranya kekurangan air, badan akan menghantar isyarat haus dan memekatkan air kencing. Badan akan lemah dan aktiviti organ diperlahankan bagi menyimpan isi padu air yang hilang. Sekiranya berlebihan pula, badan akan cuba mengeluarkannya melalui air kencing.

Manusia akan membuang air berlebihan majoritinya melalui air kencing, tetapi boleh juga melalui perpeluhan, pernafasan dan perkumuhan. Bagi yang aktif dan sentiasa berpeluh, minumlah secukupnya sejajar dengan isyarat yang diberi oleh tubuh iaitu haus dan air kencing kita tidak terlampau pekat.

SOAL JAWAB : FIQH BERADA DI LUAR NEGARA

0

1. Adakah dibolehkan kaedah bersuci bagi orang Islam yang menetap di luar negara seperti Australia, Amerika atau Jepun, jika membuang air kecil, bersuci dengan hanya menggunakan tisu basah sahaja tanpa menggunakan air mengalir dan sekiranya membuang air besar pula, najis di hilangkan dengan penggunaan air dari sebotol air.

Membersihkan najis dengan penggunaan tisu tandas bagi orang Islam yang menetap di luar negara.

Ianya termasuk di dalam fiqh thaharah, yang terdiri dua istilah iaitu  istijmar atau istinja’ membersihkan najis dengan menggunakan air, kertas, batu dan pasir.

Pada zaman dahulu larangan penggunaan kertas kerana kertas adalah terhad dan hanya digunakan untuk penulisan di kitab sahaja.

Akan tetapi zaman moden sudah ada pembuatan tisu tandas daripada pokok pulpa yang khusus untuk membuat kertas tandas moden. Tandas moden tanpa air menjadikan tandas di Jepun, Australia atau Eropah bersih dan kemas.

Maka, hukum menggunakan kertas tandas adalah harus. Lebih baik daripada batu dan kayu yang diamalkan oleh para sahabat Nabi  ﷺ .

Rujukan dari Fatwa Lajnah Arab Saudi dan Dr Yusof al Qardhawi dalam Fiqh Thaharah.

2. Adakah boleh bertanya kepada pengusaha restoran yang menyediakan makanan daripada daging khinzir berkaitan peralatan memasak yang mereka gunakan?

Situasi:  

Berada di negara Denmark dan makan di restoran tempatan.

Apabila berada di luar negara atau menziarahi negara orang, perlu dapatkan maklumat di Internet terlebih dahulu.

Selidiki:

I. Status restoran yang halal di kawasan sekitar.

II. Jika tiada maklumat, maka kita baca menu sepintas lalu. Jika mereka menghidangkan babi (serve pork), maka sebaiknya kita elakkan makan di situ.

III. Jika tiada menu, boleh bertanya dengan pelayan (waiter atau waitress) sama ada restoran tersebut menghidangkan babi. Jika kita memasuki restoran yang menghidangkan babi, maka tidak perlu bertanya lagi apakah peralatan dan bejana dikongsi atau tidak, ini kerana sudah pasti ia dikongsi.

Maka langkah selamat, apabila kita sudah mengetahui yang babi memang dihidangkan di restoran tersebut, maka jauhi sahaja.

 3. Adakah perlu selidiki penggunaan minyak masak dari lemak babi?

Jika sesebuah restoran tidak menghidangkan babi, maka tidak lagi perlu bertanya secara terperinci seperti minyak apa yang digunakan.

Jika anda hanya berpegang dengan mazhab Syafi’iy, maka akhirnya anda hanya boleh makan di premis yang ada sijil halal (halal certificate) sahaja, sedangkan anda sepatutnya berpegang dengan jumhur ulama’ di mana makanan orang Kristian adalah halal.

4. Apakah hukum bekerja di kilang yang memproses baja yang dikhuatiri dari bangkai khinzir?

Ia bermaksud apabila bekerja di negara bukan Islam, maka perlu beramal dengan surah Al-Baqarah, Firman Allah ﷻ,

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ  ١٧٣

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[Al-Baqarah: 173]

Mengenai kilang tersebut, ia adalah kilang baja bukan kilang arak. Baja adalah benda yang harus untuk tanaman. Maka, anda tidak perlu risau dengan peralatannya ini kerana ia adalah mengikut ketetapan kilang tersebut dan ia adalah kilang milik orang bukan Islam. Anda juga menetap di negara bukan Islam sebagai minoriti.

5. Apakah solusi, jika hanya seorang sahaja pekerja Muslim yang bekerja di atas kapal carigali milik syarikat luar dan beroperasi di negara luar?

Situasi:

i. Selama beberapa bulan di atas kapal di tengah laut, hanya makan makanan yang disediakan (kecuali daging babi)

ii. Meninggalkan salat Juma’at sepanjang berada di atas kapal carigali.

Cari pekerjaan lain.  Jangan mencampakkan diri dalam kebinasaan, wang masuk akan tetapi agama hanyut.

Firman Allah ﷻ,

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ

أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةً فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَٰئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا  ٩٧

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?”. Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)”. Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?”. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali,”

[An-Nisa’: 97]

6. Adakah dibolehkan makan makanan segera seperti KFC di luar negara seperti negara Denmark.

Boleh. Firman Allah ﷻ,

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَط-َعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan orang-orang yang diberi al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.”

[Al-Maidah: 5]

Kata Ibnu Abbas رضي الله عنهما makanlah makanan ahli kitab termasuk daging mereka.

7. Adakah orang yang berkerja di luar negara selama sebulan semasa Ramadhan perlu membayar zakat fitrah di negara tersebut?

Ya, bayar.

Amaun zakat amat kecil. Nisbah amaun di Malaysia cuma Rm 7.00 sahaja, maka perlu lakukan semakan dengan pejabat agama di tempat berkerja di negara tersebut.

8. Isu bersalaman antara muslim, lelaki dan perempuan dengan bukan muslim. Bersalaman sudah menjadi suatu amalan, adab dan budaya di negara luar(barat) dan adalah bersikap kurang ajar atau keterlaluan sekiranya menolak untuk bersalam.Bagaimana solusi terbaik untuk menangani isu ini?

Adab bersalam di negara luar , barat terutamanya.

Bersalaman di negara luar (barat) adalah budaya mereka dalam bermuamalat. Maka, orang Islam boleh bersalaman kerana status minoriti dalam negara bukan Islam dengan beberapa syarat:

 i.Ianya suatu keperluan adat setempat.

ii.Kita tidak memulakannya.

iii. Tidak mengapa jika wanita itu sudah berusia, pemimpin masyarakat dan ia berlaku di majlis terbuka.

iv. Sentiasa mengelak merasa nikmat dari bersalaman.

Fatwa Yusof al Qardhawi.

9. Bagaimanakah cara dan adab yang sesuai ketika berwudhuk semasa berada di negara barat yang rakyatnya sentiasa memastikan keadaan toilet sentiasa didalam keadaan bersih dan kering?

Etika berwudhuk di tandas negara Barat.

Solusi yang terbaik, apabila melancong ke negara barat, berkunjunglah  di Pusat Kegiatan Islam (Islamic centre).

Jika ketiadaan pusat Kegiatan Islam (Islamic centre), sentiasalah bawa sebotol air dan berwuduk di luar bilik rehat.

Jika ada air pancuran di tandas,  berwudhuklah di situ.Umat Islam perlu menjaga adab negara luar, iaitu sentiasa memastikan tandas negara luar dalam keadaan kering, bersih dan tanpa air.

10. Sejauh mana kita perlu mengetahui bahan dalam produk hygiene dan kosmetik kalau tiada tanda halal jakim (terutamanya produk dari negara luar) bahan yang dalam nama saintifik dan bahan macam glycerol yang tidak dinyatakan sumbernya.

Kena usaha email kilang tersebut atau bagaimana?

Halal dan haram ni asas fiqh kepenggunaan harian kita. Makanan, minuman bahkan kosmetik pun kena peka dgn isu halal & haram.

  1.  Langkah pertama logo halal JAKIM yang sah
  2.  Jika tidak ada logo halal, kena membaca label dgn teliti
  3. Juga e-mail kepada kilang atau membuat panggilan talian bebas tol (toll-free no).
  4. Guna Fiqh Istihalah, yakni berubahnya dzat, maka glycerol itu kalau pun datang dari punca haiwan, ia sudah berubah zatnya

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-151 dan Ke-152

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-151

Ini ayat panduan bagi mereka yang mengajar. Kena faham dan huraikan balik kepada manusia tentang agama.

كَما أَرسَلنا فيكُم رَسولًا مِنكُم يَتلو عَلَيكُم آياتِنا وَيُزَكّيكُم وَيُعَلِّمُكُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُعَلِّمُكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ

Sebagaimana Kami utuskan kepada kamu

Sepertimana Nabi ﷺ diutuskan untuk menyempurnakan ajaran agama kepada umat Islam, begitu jugalah penukaran arah kiblat itu juga untuk menyempurnakan agama Islam. Atau, sepertimana arahan menghadap kiblat ke Mekah adalah penyempurnaan nikmat kepada umat Islam, begitu juga Allah ‎ﷻ memilih Rasul akhir zaman daripada kalangan kamu.

رَسُولًا مِنْكُمْ

Rasul dalam kalangan kamu juga;

Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul akhir zaman daripada bangsa Arab. Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul untuk mereka daripada bangsa yang sama supaya mereka senang terima apa yang disampaikan oleh baginda. Kalau diberikan Rasul daripada bangsa yang lain, tentu mereka ada hujah untuk tidak terima kerana mereka boleh kata Rasul itu tidak faham apakah yang mereka lalui sebagai bangsa Arab.

Ayat-ayat ini adalah hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام yang kita telah belajar sebelum ini [ayat Baqarah: 129]. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan Rasul kepada mereka, membacakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, mengajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan hati mereka.

Ayat ini hampir sama dengan ayat itu, tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyempurnakan susunan doa itu kerana semasa Nabi Ibrahim ‎ عليه السلام berdoa itu, anak baginda adalah Nabi Ismail عليه السلام ‎- seorang yang sudah berakhlak mulia. Namun begitu bagi umat-umat yang lain, belum tentu lagi. Jadi ada keperluan lain yang diperlukan oleh manusia lain.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut ‘pembersihan’ dahulu sebelum mengajar kitab dan hikmah. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ tahu bahawa pembersihan jiwa daripada kefahaman syirik perlu dilakukan dahulu sebelum diberi pengajaran Al-Qur’an dan hikmah. Ini adalah kerana kalau anak murid itu tidak dibersihkan daripada fahaman syirik, mereka tidak dapat menerima pengajaran Al-Qur’an dan Hadith. Jiwa mereka tidak dapat terima. Bukan sahaja tidak dapat terima, mereka pun tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk belajar.

يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا

Yang membacakan ke atas kamu ayat-ayat Kami;

Allah ‎ﷻ menjelaskan kerja Rasul dalam ayat ini. Ini adalah susunan yang berbeza daripada apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام minta dahulu.

Ayat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya guru mesti bacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Begitu juga jika hendak berdakwah kepada mereka. Kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka untuk ajak mereka beriman.

وَيُزَكِّيكُمْ

dan menyucikan kamu;

Kemudian baca lagi ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, bagi menyucikan hati mereka daripara syirik. Selagi hati tidak suci daripada syirik, syariat tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna. Ini dinamakan Tazkiyah.

Selepas itu, barulah ajar kitab kepada mereka – iaitu asas-asas syariat, dan hikmah sebagai cara mengerjakan amalan iaitu mengikut sunnah. ‘Hikmah’ maksudnya ‘sunnah’. Inilah sahaja bahagian tasawuf yang ada dalam ayat ini. Makna ‘menyucikan’ itu, ada tiga perkara:

1- Menyucikan manusia daripada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ada banyak jenis syirik sebenarnya.

Pertama, dari segi perbuatan, seperti menyembah berhala dan lain-lain makhluk.

Kedua, ada syirik yang berkenaan hati. Seperti percaya kalau burung hantu berbunyi, bermakna ada orang hendak mati. Kalau kita percaya seperti itu, walaupun kita tidak buat lagi sebab tidak ada burung hantu di bandar, itu sudah menunjukkan akidah kita ada masalah.

Atau ada yang minta izin kepada penunggu pokok sebelum hendak kencing. Ada ulama’ yang kata sudah syirik kalau kata begitu dan ada yang kata hanya berdosa besar. Namun berdosa besar itu pun sudah besar.

2- Kena beritahu manusia tentang ‘syirik khafi‘ – ‘syirik kecil’. Mengajar manusia untuk menjauhkan diri daripada mempunyai sifat-sifat buruk seperti: riak, ujub, takabbur dan sebagainya iaitu sifat-sifat mazmumah.

3- Membersihkan manusia daripada sifat-sifat nifak iaitu sifat munafik. Guru kena beritahu supaya tidak ada sifat munafik dalam diri anak murid. Ini kita amat takut kerana kita pun tidak pasti entah-entah kita ada sifat nifak dalam diri kita tanpa kita sedari. Maka kena belajar apakah sifat-sifat nifak itu dan bandingkan dengan diri kita.

Dalam bahasa Al-Qur’an, semua ini dinamakan tazkiyah, iaitu menyucikan jiwa manusia. Selagi ada syirik dalam hati, manusia itu bukan seorang yang beragama Islam lagi. Walaupun dia tidak pernah tinggal salat atau puasa dan selalu melakukan segala perbuatan baik.

Orang tasawuf mengambil berat bahagian syirik khafi dan mereka hurai dengan panjang lebar mengenai syirik kecil sampai tidak diberitahu tentang syirik yang besar. Tertipu juga mereka dengan syaitan yang menyebabkan mereka hanya lihat satu perkara sahaja. Bukan kita hendak mengatakan bahawa tasawuf itu salah, tetapi mereka tidak menceritakan tentang syirik yang sepatutnya mereka cerita juga. Padahal syirik yang besar itu lebih penting daripada syirik khafi yang mereka selalu sentuh itu.

Selain daripada membersihkan jiwa daripada segala sifat di atas, kita juga perlu membersihkan akal kita daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Zaman sekarang, banyak sangat media-media yang telah direka oleh manusia untuk mengisi masa lapang kita dengan perkara yang tidak berfaedah. Kita sudah ada Twitter, Facebook, YouTube dan sebagainya yang memenuhi akal fikiran kita dengan maklumat yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Ia juga merosakkan fikiran kita kerana di dalamnya ada berbagai-bagai tohmah dan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan agama. Sebaliknya, kita perlu isikan masa lapang kita dengan perkara yang berfaedah supaya kita boleh memikirkan perkara yang bermanfaat tentang agama. Kalau kita memasukkan akal kita dengan perkara yang baik, tetapi dalam masa yang sama kita juga memasukkan perkara yang tidak elok, itu pun tidak baik juga.

Apabila otak kita telah bersih daripada kekotoran, maka barulah kita dapat berfikir dengan jelas dan senang untuk ilmu agama masuk ke dalam akal kita. Barulah kita akan dapat maklumat yang benar tentang agama.

وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ

dan ajar kepada kamu tentang Kitab Al-Qur’an;

Yang dimaksudkan adalah belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan hanya setakat ‘baca’ sahaja, tetapi kena diajarkan tafsir Al-Qur’an itu kepada manusia, kerana kalau tidak, manusia tidak akan faham apa yang hendak disampaikan. Kerana setakat baca sahaja, kita tidak akan faham bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an ini kerana itulah kita kena belajar sunnah Nabi ﷺ.

وَالْحِكْمَةَ

dan hikmah;

Yang dimaksudkan adalah hadith Nabi ﷺ tetapi kena pastikan hadith itu adalah sahih.

وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

dan mengajar kamu apa yang sebelum ini kamu tidak tahu;

Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang agama lebih-lebih lagi tentang perkara-perkara seperti tentang syurga dan neraka, tentang halal dan haram dan macam-macam lagi. Sebelum kita belajar, kita tidak tahu tentang semua itu. Kalau tidak diberitahu kepada kita, kita tidak akan dapat tahu kerana ia adalah perkara-perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui wahyu, sama ada disampaikan dalam Al-Qur’an atau daripada Hadith Nabi ﷺ.

Perkara-perkara tentang agama itu, manusia tidak akan langsung dapat tahu kalau tidak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Bagaimana pandai pun otak dan akal manusia, kita tidak akan dapat mencapainya sendiri kerana itulah kita perlukan ilmu yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Jadi, kita kenalah berhati-hati dengan maklumat agama yang disampaikan yang tidak didasari daripada wahyu kerana kalau bukan daripada wahyu, bagaimana lagi ilmu itu boleh disampaikan kepada kita?

Tafsir Ayat Ke-152

Sebelum ini ayat tentang tugas Rasul dan umat baginda kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman, maka tugas Nabi ﷺ terbeban di atas bahu umat baginda. Jadi ada tiga tugas yang disebut dalam ayat sebelum ini:

1. Baca ayat Allah ‎ﷻ kepada hamba Allah ‎ﷻ untuk mengajak hamba Allah ‎ﷻ kenal Allah ‎ﷻ dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini melibatkan interaksi dengan orang lain.

2. Menyucikan hati manusia. Nabi ﷺ telah ajar cara untuk melakukannya dan masing-masing kena ikhtiar sebab Nabi ﷺ tidak boleh menyucikan hati orang lain. Nabi ﷺ cuma boleh ajar dan beritahu kelebihan melakukannya. Inilah amalan yang dinamakan ‘tazkiyah’. Ini jenis amalan berseorangan.

3. Mengajar kitab Al-Qur’an dan Sunnah. Sunnah adalah cara pelaksanaan. Ini juga amalan yang kena berhubung dengan orang lain. Nabi ﷺ kena ‘ajar’ dan maksud ‘ajar’ itu adalah sehingga orang itu pandai. Namun berkenaan tazkiyah, oleh kerana kena buat sendiri, maka Nabi ﷺ tidak dapat memastikan orang itu pandai, maka Allah ‎ﷻ terangkan lagi dalam ayat seterusnya ini.

Secara ringkas, menyucikan hati dan akhlak ada lima (5) cabang. Apabila cukup lima cabang ini, barulah dikira hati manusia itu bersih dan jiwanya telah terdidik. Barulah boleh hati itu menerima hukum dan amalkan sunnah dengan mudah. Kalau tidak, memang payah sebab hati liar, tidak jinak. Lima cabang itu adalah:

1. Zikir kepada Allah ‎ﷻ.
2. Syukur
3. Sabar
4. Doa
5. Ta’zim

فَاذكُروني أَذكُركُم وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

فَاذْكُرُونِي

Maka kamu ingatlah Aku banyak-banyak;

Latihlah diri kita supaya sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ. Zikir di sini bukanlah zikir lidah biasa tetapi zikir orang yang ada akidah tauhid. Apabila seseorang itu sudah ada akidah tauhid yang kemas dalam diri, barulah zikir itu memberi kesan kepada diri dia sebab semua ayat zikir dalam Al-Qur’an bermaksud ‘zikir tauhid’.

Kalau seseorang itu ada fahaman syirik, zikir itu tidak memberi kesan kepada dirinya. Sebab itu kita boleh tengok bagaimana ada orang yang banyak lafaz zikir dia, tetapi dia ada juga akidah tauhid kerana zikirnya itu tidak memberi kesan kepada jiwanya.

Zikir ada jenisnya. Yang pertama adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ seperti membaca Al-Qur’an.

Yang kedua adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ pada waktu-waktu tertentu atau tempat-tempat tertentu. Ini dinamakan ‘Zikir Masnun’. Sebagai contoh, telah diajar apakah doa yang perlu dibaca sebelum masuk tandas, keluar rumah dan sebagainya. Nabi ﷺ sudah ajar supaya umat setiap waktu akan ingat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama, ingat tauhid.

Ini adalah latihan tazkiyah kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu supaya apabila hamba berada dalam keadaan dan suasana yang boleh merosakkan akidah, dia diajar untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, setiap waktu kena serah diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini akan menjalinkan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan zikir ini di waktu manusia lain lalai dengan Allah ‎ﷻ.

Ketiga, ada juga zikir yang tidak ditetapkan masa, terpulang kepada hamba itu bila-bila masa sahaja dia hendak buat. Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran mengikut betapa banyak amalannya.

Kena jelaskan lagi tentang hal zikir ini. Inilah sahaja yang puak tasawuf banyak buat. Iaitu, mereka banyak mengajar dan menyarankan kepada anak murid mereka untuk berzikir sahaja. Maka, amalan berzikir itulah sahaja yang banyak diamalkan oleh pengikut tarekat. Sampai beribu malah berjuta kali mereka akan buat.

Sedangkan membaca Al-Qur’an lagi banyak pahala. Imam Syafi’iy khatam Al-Qur’an sehari semalam dalam salat. Kalau dalam Ramadhan, beliau khatam dua kali Al-Qur’an sehari semalam. Namun malangnya, orang kita tidak banyak membaca Al-Qur’an, tetapi banyak baca wirid.

Ayat ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang kata bahawa ayat ini menyuruh manusia berzikir kepada Allah ‎ﷻ beramai-ramai kerana mereka melihat perkataan فَاذْكُرُونِي dalam bentuk jamak (plural). Bukan itu maksud ayat ini. Itu adalah tafsiran pemahaman yang salah. Ia hendak memberitahu bahawa kita semua kena berzikir, tetapi bukanlah berzikir beramai-ramai. Berzikir beramai-ramai adalah satu perbuatan bid’ah. Kita digalakkan berzikir, tetapi buat sendiri-sendiri.

Huruf فَ dalam perkataan فَاذْكُرُونِي ini bersambung daripada ayat sebelum itu. Ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan Rasul kepada kita, mengajar kita tentang Al-Qur’an dan Hikmah dan telah membersihkan kita. Bermakna, selepas kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah banyak melakukan kebaikan untuk kita, maka kita sepatutnya senang untuk mengingati Allah ‎ﷻ.

Mengingati Allah ‎ﷻ bukan hanya dengan berzikir meratib sahaja. Kalau kita membaca Al-Qur’an, itu pun sudah dikira mengingati Allah ‎ﷻ. Begitu juga kalau kita pergi ke majlis ilmu. Atau kita bercakap kepada manusia tentang Allah ‎ﷻ dalam percakapan kita, itu juga berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Jangan sempitkan maksud zikir itu. Kekeliruan tentang perkara inilah yang menyebabkan banyak yang keliru sampaikan mereka melebihkan majlis zikir meratib sehingga mereka telah melakukannya ke tahap bid’ah.

Begitu penting untuk kita ingat kepada Allah ‎ﷻ sampaikan kalau kita lupa kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan menyebabkan kita lupa kepada diri kita.

أَذْكُرْكُمْ

Maka Aku akan ingat kepada kamu;

Kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan balas dengan ingat kepada kita. Bandingkan kalau kita ingat kepada manusia – sebanyak mana pun kita ingat kepada mereka, belum tentu mereka akan ingat kepada kita. Namun dalam ayat ini menyebutkan bahawa Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita kalau kita ingat kepada Dia.

Dalam sebuah hadith qudsi diketengahkan firman Allah ‎ﷻ, “Barangsiapa yang mengingat-Ku dalam dirinya nescaya Aku akan ingat dia dalam diri-Ku dan barang siapa mengingat-Ku di hadapan khalayak ramai, maka Aku akan mengingatnya di hadapan khalayak yang lebih baik!”

Ada ketikanya, kita sentiasa ingat kepada orang-orang yang penting, sama ada pemimpin atau guru agama yang kita sayang – kita ingat mereka sentiasa, namun mereka tidak ingat kepada kita langsung. Itu adalah orang-orang yang penting dan besar daripada kita, tetapi siapakah lagi yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ? Tentulah lebih penting lagi kepada kita kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Kalau orang yang kita sayang ingat kepada kita pun kita sudah suka. Tambahan pula kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Tentulah itu adalah satu nikmat yang amat besar.

Masa sedang berzikir itu, kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ sedang ingat kepada kita. Inilah kelebihan utama dari perlakuan zikir kita itu. Inilah yang kita hendak dan rasa puas dengannya. Kita rasa puas sebab Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Apabila hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ kuat, ia memberi kekuatan kepada kita untuk buat kerja Allah ‎ﷻ.

Jadi kena luangkan masa untuk zikir. Inilah yang banyak dilakukan oleh ulama Salafussoleh. Mereka akan meluangkan masa dalam sehari suntuk mereka untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah mereka hanya meluangkan masa dengan mengajar dan menulis kitab sahaja, tetapi mereka akan meluangkan masa tertentu untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kuatkan tautan antara hati mereka dengan Allah ‎ﷻ.

وَاشْكُرُوا لِي

dan bersyukurlah kamu kepadaKu;

Jadi, cabang tazkiyah yang pertama adalah berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Yang kedua, berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala pemberian-Nya. Pertama, dengan ucap lafaz syukur. Kedua, dengan menggunakan nikmat yang telah diberikan itu seperti kehendak Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buat begitu, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat itu. Nikmat yang telah diberikan itu tidak akan berkurangan. Jadi kalau mahu nikmat ditambah, maka kena bersyukur di atas nikmat yang kita telah dapat. Kalau ada berlaku keadaan di mana ada nikmat yang berkurangan, itu adalah tanda hamba itu lupa bersyukur.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan untuk memenuhi syarat syukur kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini memerlukan pedoman daripada Allah ‎ﷻ juga, kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengajar kepada kita, kita pun tidak akan tahu bagaimanakah cara untuk bersyukur kepada-Nya. Taat kepada Allah ‎ﷻ boleh dilakukan dengan melakukan ibadat kepada-Nya dan ibadat yang paling penting untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada-Nya adalah dengan mengerjakan salat.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut, kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita. Oleh itu, salah satu perkara yang kita kena bersyukur adalah Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Itu pun sudah satu nikmat yang besar.

وَلَا تَكْفُرُونِ

dan jangan kamu kufur;

Apabila ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut ‘jangan kufur’, itu bermaksud jangan kufur nikmat Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dengan tidak mensyukuri-Nya. Kalau kufur kepada Allah ‎ﷻ, ayat Al-Qur’an akan menambah perkataan ‘dengan-Ku’ dalam ayat itu – la takfuruu bi.

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersyukur dan kemudian ditambah lagi dengan perkataan jangan jadi kufur (tidak mensyukuri-Nya), maka itu adalah satu penekanan kepada kita supaya berterusan mensyukuri kepada Allah ‎ﷻ sebab kalau Al-Qur’an hanya suruh bersyukur kepada-Nya sahaja, mungkin itu boleh dikatakan hanya sementara atau beberapa kali sahaja. Namun apabila sudah ada penekanan sebegini, maka ia adalah supaya kita berterusan mensyukuri Allah ‎ﷻ.

Alhamdulillah Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita amalan salat untuk memenuhi tuntutan mensyukuri-Nya. Jadi kita kena jaga salat. Maka, cubalah berusaha untuk salat dengan khusyuk dan kita kena tambah dengan amalan-amalan ibadat yang lain.

Allahu a’lam. 

TBK 10.2.6 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2.6 Penyaliban.

Misteri Penyaliban nabi Isa dan siapa yang diangkat ke langit.
(رفع عيسى عليه السلام إلى السماء, وماقتلوا عيسى عليه السلام ولكن شبه لهم.)

Bahagian 1:

1. Isu siapa yang disalib sehingga salib menjadi simbol kesucian dalam agama Kristian. Isu matinya Jesus di tiang salib ni telah melahirkan 3 jenis aqidah:

◾️ Aqidah Yahudi:
Orang yang disalib adalah Jesus atau Yeshua atau nabi Isa bin Maryam, dia mati dalam keadaan kufur kepada agama asal Yahudi kerana menyebarkan kesesatan.

◾️ Aqidah Nasrani (Umat kristian): yang disalib adalah Jesus Christ atau nabi Isa al masih kerana menebus dosa semua manusia. Siapa yang beriman dengan Jesus, akan selamat.

◾️ Aqidah Islam:
Yang disalib adalah salah seorang murid baginda dan nabi Isa al Masih diangkat ke langit dan akan turun semula.
[Tafsir Ibnu Katsir, 2:449]

Firman Allah ﷻ,

وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا

Ucapan Yahudi: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa.
[An-Nisa’: 157]


Bahagian 2:
Siapakah sebenarnya yang dibunuh?

Dalam perbahasan ulama’ AhlusSunnah Wal Jamaah (ASWJ) ada tiga pendapat mengenai siapa yang disalib sebenarnya. menurut Imam Ibnu Katsir dalam Qisas al Anbiya’ atau tafsirnya, ada tiga pendapat terkuat:

1. Ibnu Abbas رضي الله عنهما,

وهذا إسناد صحيح إلى ابن عباس ، وكذا ذكر غير واحد من السلف أنه قال لهم : أيكم يلقى إليه شبهي فيقتل مكاني وهو رفيقي في الجنة

Sanadnya sahih sampai Ibnu Abbas. Demikian pula yang dijelaskan beberapa ulama’ salaf, bahawa nabi Isa عليه السلام berkata kepada mereka, “Siapa yang bersedia wajahnya diserupakan dengan wajahku, lalu dia dibunuh menggantikanku dan balasannya dia akan menemaniku di syurga.”
[Tafsir Ibnu Katsir, 2/450]

Nabi Isa عليه السلام memberi tawaran kepada 12 orang Hawariyin (murid setianya) siapa yang sanggup mengganti tempatnya dengan wajahnya diubah menjadi rupa nabi Isa عليه السلام dan akan dibunuh. Manakala dia akan dijamin masuk syurga tanpa hisab.

2. Pendapat Ibnu Jarir رحمه الله‎ dalam tafsirnya.
Ketika tentera Romawi dan Yahudi mengepung kediaman nabi Isa عليه السلام, maka 12 orang Hawariyun ketakutan. Tentera mengugut akan membunuh kesemua 12 orang, jika tidak menunjukkan di mana nabi Isa bersembunyi. Maka salah seorang murid nabi Isa عليه السلام menceritakan, maka dialah yang kemudian diubah menjadi wajah nabi Isa عليه السلام dan disalib. Imam Ibnu katsir رحمه الله‎ mendhaifkan kisah ini.

3. Pengkhianatan Yudas eskariot.

وبعض النصارى يزعم أن يودس زكريا يوطا ـ وهو الذي دل اليهود على عيسى ـ هو الذي شبه لهم فصلبوه ، وهو يقول : إني لست بصاحبكم أنا الذي دللتكم عليه

Sebahagian Nasrani menyangka bahawa Yudas – yang berkhianat memberi tahu di mana nabi Isa عليه السلام– dialah yang diserupakan dengan nabi Isa, lalu dia disalib. Dia mengatakan, “Saya bukan orang yang kalian cari, justeru saya yang menunjukkan kalian posisi orang yang kalian cari.”
[Tafsir Ibnu Katsir, 2/452]

Rumusan Ibnu Katsir رحمه الله‎:
Mengetahui siapa yang sebenarnya disalib bukanlah isu yang mendesak untuk diketahui oleh kita, yang paling mendesak untuk diketahui oleh kita ialah Nabi Isa عليه السلام tidak disalib. Orang lain yang disalib.
Mencari siapa orang yang sebenarnya disalib, bukanlah satu perkara yang mendesak untuk diketahui atau terlalu kritikal.

@tanda2kiamat 

TBK 10.2.5 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2.5 Bicara Nabi Isa عليه السلام semasa bayi.

Nabi Isa عليه السلام berbicara ketika masih dalam buaian (bayi). (عيسى عليه السلام يتكلم في المهد)

Bahagian 1:
فلما ضاق الحال على مريم واشتد عليها قومها ..قال الله :{فأشارت إليه} أي خاطبوه وكلموه
فعند ذلك قالوا:{ كيف نكلم من كان في المهد صبيا } أي تحيلين الجواب لصبي رضيع في مهده لا يميو

عندها أنطق الله عيسى عليه السلام :{ قال إنى عبد الله ءاتانى الكتاب وجعلنى نبيا(30) وجعلنى مباركا أين ماكنت وأوصانى بالصلاة والزكاة ما دمت حيا(31) وبرا بوالدتى ولم يجعلنى جبارا شقيا (32) واللام على يوم ولدت ويوم أموت ويوم أبعث حيا}.هذا أول كلام تفوة به عيسى بن مريم:{ قال إنى عبد الله } ولم يقل إني ابن الله !!لأن الله عز وجل واحد لا شريك له لم يتخذ صاحبة ولاولدا

فسبحان من خلق الخليقة وبراها وأعطى كل نفس هداها

Ringkasan:
Jika umat Kristian mengkaji Al-Qur’an, surah Maryam, maka status Isa anak Tuhan (Jesus son of God) akan terlerai.
Apabila Maryam membawa pulang bayi, Isa عليه السلام kepada kaumnya dan kaumnya mencercanya, maka Maryam hanya memberi isyarat supaya Bani Israil bertanyakan terus kepada nabi Isa عليه السلام. Oleh kerana ia sesuatu yang tidak masuk akal, maka ketika itulah mukjizat berlaku. Mukjizat pertama nabi Isa عليه السلام, di mana baginda boleh berbicara sejak bayi.
Ayat 30, nabi Isa عليه السلام menjelaskan aqidah batil Kristian yakni Isa anak Tuhan (Jesus son of God).
Nabi Isa عليه السلام menjelaskan statusnya: bahawa “Aku adalah hamba Allah”, Rasul-Nya dan diberi kitab samawi, Injil (Bible).

Bahagian 2:
Nabi Isa عليه السلام adalah rasul terakhir Bani Israil.

شارة عيسى بمحمد-عليهما الصلاة والسلام- :قال عز وجل”{ وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ (٦)} (4) غعيسى عليه السلام هو خاتم أنبياء بني إسرائيل وقد بشر قومه بخاتم الأنبياء جميعا ونوه باسمهوذكر لهم صفته ليعرفوه ويتابعوه إذا شاهدوه إقامه للحجة عليهم وإحسانا من الله إليهم

Kemudian dalam surah Al-Shaff ayat 6, nabi Isa عليه السلام dengan jelas menyatakan dirinya adalah Pesuruh Allah ﷻ, rasul penamat dari Bani Israil, membenarkan semua kitab samawi sebelumnya dan menyebut dengan jelas nama pengganti baginda dengan sifat-sifatnya yakni nabi Muhammad ﷺ.

{ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ

Sifat-sifat nabi Muhammad ﷺ jelas dikhabarkan dalam Taurat dan Injil, yakni nabi yang buta huruf.

Dalil hadith:

قد قال أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم :يا رسول الله أخبرنا عن نفسك ,قال :<< دعوة أبي إبراهيم وبشرى عيسى ورأت أمي حين حملت بي كأنه خرج منها نور أضاءت قصور بصرى من أرض الشام
Sahabat bertanya akan perihal biodatanya: Nabi ﷺ menjelaskan, “Akulah berkat doa nabi Ibrahim, akulah berita gembira dari saudaraku nabi Isa, ketika ibuku mengandung dia bermimpi melihat cahaya yang keluar dari kandungannya menerangi kota Basrah dari negara Syam”

Tahqiq hadith:

رواه ابن إسحاق بسنده (1/ 166 سيرة ابن هشام)
ومن طريقه أخرجه الطبري في تفسيره (1/ 566)،والحاكم في مستدركه (2/ 600) وقال: صحيح الإسناد ولم يخرجاه، ووافقه الذهبي، وفى السلسلة الصحيحة (1545).

HR Ibnu Ishaq رحمه الله (sirah Ibnu Hisyam, 1:166), juga dari jalur lain dikeluarkan oleh Ibnu Jarir dan Tabary رحمه الله dalam tafsirnya, Al-Hakim dalam al-Mustadrak, 2:600, dia mensahihkannya, dipersetujui oleh Imam Adz-Dzahabi رحمه الله dan dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله dalam Silsilah al Sahihah, no. 1545.
Dhaif menurut mutaqaddimin kerana perawi Ibnu Ishaq رحمه الله.

  • @tanda2kiamat

FIQH ADAB MELAWAT ORANG SAKIT

0

Adab-adab menziarahi pesakit

  1. Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut Sunnah Rasulullah ﷺ.
  2. Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
  3. Bertanyakan tentang ibadatnya, salat dan lain-lain. Sekiranya pesakit tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.
  4. Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.
  5. Pendek dan jarakkan waktu ziarah. Jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya.
  6. Mendoakan pesakit agar cepat sembuh.

Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ agar si fulan cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;

((أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا ))

“Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”.

[HR. Bukhari]

لاَ بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ الله

“Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”.

[HR. Bukhari]

Rasulullah ﷺ bersabda:

“Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

“Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau” (tujuh Kali).

[HR At-Tirmidzi dan Abu Daud]

Doa Jibrail kepada Nabi ﷺ ketika baginda sakit:

. . .بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ

“Dengan Nama Allah, aku menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…”

[HR. Ibnu Majah]

  1. Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit;

“Letak tangan di tempat sakit kemudian baca:  بِسْمِ اللهِ

“Bismillah” tiga kali, dan baca tujuh kali:

أَعُوْذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ، مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وأُحَاذِرُ

“Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti”

[HR. Muslim]

    8. Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang menghadapi nazak,            maka berdoalah kepadanya;

اللَّهُمَّ أَعِنهُ عَلَى سَكَرَاتِ الْمَوْتِ

“Ya Allah, bantulah dia di atas sakarat al-maut”.

  1. Ajaran kepada orang yang sedang nazak;

La ilaha illallah!

“Sesiapa yang akhir ucapannya: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat masuk syurga”.

[HR. Abu Daud 3/190. Lihat: Sahih Al-Jami’ 5/432]

Sumber web Abu Anas al Madani

Hadith tambahan menziarahi pesakit

Hadith Ummu Salamah رضي الله عنها :

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا حَضَرْتُمْ الْمَرِيْضَ أَوِ الْمَيِّتَ فَقُوْلُوْا: خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَّمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ

“Dari Ummu Salamah رضي الله عنها , dia berkata:

“Rasulullah ﷺ bersabda:  “Apabila kamu menjenguk orang sakit atau berada di sisi mayat yang baru meninggal, maka katakanlah yang baik (doa) karena sesungguhnya para malaikat mengaminkan (doa) yang kamu ucapkan.”

[ HR Muslim no. 919 ]

Imam An Nawawi رحمه الله  mengatakan:

“Di dalam hadith ini terdapat anjuran untuk mengucapkan ucapan yang baik seperti doa , istighfar,meminta kelembutan dan rahmat Allah ﷻ  untuknya dan yang semisalnya”

[ Syarah Sahih Muslim, jilid 6 ]

Hukum membaca Surah Yasin kepada pesakit yang kritikal

Hukumnya harus bukan bid’ah, ini kerana Imam Ahmad Ibnu Hanbal رحمه الله‎ tidak mencegahnya.

Bacaan surah Yasin kepada orang yang sakit kuat ini adalah amalan kaum salaf.

Atsar Musnad Ahmad (4/105):

عن صَفْوَان قال : حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ (صحابي) حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ ، فَقَالَ : هَلْ مِنْكُمْ أَحَدٌ يَقْرَأُ يس ؟ قَالَ : فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ . قَالَ : فَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ : إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا . قَالَ صَفْوَانُ : وَقَرَأَهَا عِيسَى بْنُ الْمُعْتَمِرِ عِنْدَ ابْنِ مَعْبَد

“Safwan berkata: Syaikh memberitahuku bahawa sesungguhnya mereka telah hadir bersama Ghudaif Ibnu Al-Haarith Al-Thumaali (seorang sahabat) ketika kematiannya memuncak. Dia berkata : Adakah salah seorang dalam kalangan kamu boleh membaca Yasin? Saalih Ibnu Shuraih Al-Sakuuni membacanya dan tatkala sampai pada ayat 40, dia telah meninggal dunia. Syaikh pernah berkata: jika dibaca di sisi orang yang sedang nazak, maka nazaknya diringankan (iaitu rohnya dimudahkan untuk keluar). Berkata Safwan: Isa Ibnu Al-Mu’tamari membacanya di sisi Ibnu Ma’bad”

Ibnu Hajar menilai riwayat ini sebagai hasan.

[Rujuk: al-Isaabah,5/190], dan Syaikh Syu’aib Al-Arnauth juga menilainya hasan dalam tahqiq Musnad Ahmad no. 16970]

Soal jawab menjampi atau meruqyah pesakit

  1. Mohon penjelasan berkaitan menjampi pesakit. Saya pernah melihat ada waris pesakit memberi air penawar kepada pesakit.

Fiqh ruqyah atau menjampi pesakit. Menjampi atau meruqyah pesakit, menurut Ahlul Sunnah, memang boleh melakukan ruqyah jika pelawat adalah seorang yang mengetahui cara atau kaifiatnya.

  1. Apakah hukum meruqyah dengan air penawar?

Ia isu khilaf.

Ada Ahlul-Sunnah Wal Jama’ah yang mengatakan boleh meruqyah, ada ulama’ yang menolak untuk ruqyah. Terima rawatan di hospital sahaja.

(Maklumat tambahan) Soal jawab menziarahi pesakit :

  1. Adakah saya masih mendapat pahala seperti yang dimaksudkan di dalam hadith di bawah apabila saya menziarahi orang sakit dirumahnya tetapi saya dimaklumkan oleh ibunya bahawa pesakit tiada dirumah dan sedang dirawat di hospital?

Dalil hadith:

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا

Terjemahan:

Daripada Abu Asma’ Ar Rahabi daripada Tsauban (hamba) Rasulullah ﷺ,

Baginda ﷺ bersabda:

“Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya sesama muslim yang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ﷺ ditanya, bagaimana taman syurga itu? Baginda ﷺ menjawab: ‘Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.’

[ HR Muslim No: 4660 ]

Di dalam Islam, niat itu penting. Sekiranya sudah berniat, maka pahalanya sudah diberi.

Dalil hadith:

فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ،فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا، فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشَرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ

Terjemahan:

“Barang siapa yang berniat untuk berbuat kebaikan kemudian dia tidak buat, Allah ﷻ mencatat baginya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat melakukan kebaikan kemudian dia buat, Allah ﷻ mencatat untuknya 10-700 kali lipat kebaikan sampai tidak terhingga”

[ Muttafaq Alaih ]

Justeru itu, terpulang kepada Allah untuk mencatat berapa markah dari 10-700 markah.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-148 hingga Ayat Ke-150

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-148

Hikmah menghadap kiblat adalah untuk melatih kita untuk mengikut arahan tanpa soal. Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia siapakah yang ikut arahan. Lihatlah bagaimana Muslim yang beriman sempurna akan ikut arahan – apabila disuruh menghadap ke Baitul Maqdis, mereka ikut dan apabila disuruh menghadap ke Mekah, mereka ikut juga.

Keduanya, tidak ada rugi pun kalau ikut mana-mana arah. Yang pentingnya adalah ibadat yang dikaitkan dengannya – iaitu ibadah salat. Hadap ke mana tidak penting, yang penting adalah menghadap ke arah Kiblat kerana ia adalah arahan DARIPADA ALLAH.

وَلِكُلٍّ وِجهَةٌ هُوَ مُوَلّيها ۖ فَاستَبِقُوا الخَيراتِ ۚ أَينَ ما تَكونوا يَأتِ بِكُمُ اللَّهُ جَميعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا

Dan bagi setiap umat, ada arah kiblat masing-masing dan dia menghadap ke arah kiblatnya;

Bagi setiap umat ada kiblat masing-masing. Umat Musa عليه السلام ada kiblat dia, dan Nabi Isa عليه السلام ada kiblatnya. Tetapi ayat ini bukan berkenaan kiblat dalam salat sahaja.

Kiblat itu juga boleh dimaksudkan ‘tujuan hidup’. Kerana kata ayat di atas adalah sebagai satu pepatah. Dalam Allah ‎ﷻ menyebut tentang hal kiblat, Allah ‎ﷻ tiba-tiba masuk menyebut tentang perkara yang umum tentang kehidupan.

Setiap orang daripada kita ada tujuan hidup kita yang kita luangkan masa kita setiap hari ke arahnya. Mungkin ada yang hendak jadi ahli sukan yang berjaya, jadi dia akan berlatih bersungguh berhari-hari. Mungkin orang lain tujuannya adalah untuk mendapatkan rumah idamannya, jadi mereka akan memikirkan bagaimanakah mereka boleh mendapatkannya. Soalan sekarang kepada kita: Apakah tujuan hidup kita?

Dalam zaman sekarang, malangnya ada manusia yang langsung tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hanya berehat dan membuang masa sahaja. Antaranya mereka akan membuang masa di hadapan tv dan menonton apa sahaja yang ada di tv. Mereka tidak mahu berfikir dan menggunakan akal mereka untuk kebaikan.

Mereka tentunya tidak melazimi majlis ilmu. Mereka tidak membuat benda yang berfaedah, seperti membaca, menolong orang lain dan sebagainya. Orang Islam sekarang pun banyak macam ini sekarang. Ini amat menyedihkan sekali. Allah ‎ﷻ tegur mereka dalam ayat ini.

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maka berlumba-lumbalah kamu kepada ketaatan;

Yang penting bukannya arah kiblat itu, tetapi amalan yang baik yang kena diamalkan. Maka berlumbalah pada melakukan sebanyak-banyak amalan kebaikan. Kalau ada orang yang buat amal kebaikan, kita kena buat lebih lagi kerana hendak menandingi dia. Inilah perlumbaan yang tidak ada orang yang akan kalah.

Tujuan hidup kita adalah untuk mentaati Allah ‎ﷻ untuk sampai ke syurga akhirnya. Maka kita kena berlumba-lumba ke arahnya. Inilah perlumbaan yang mulia. Setiap orang tidak sama pencapaian mereka. Akan sampai satu masa, perlumbaan ini akan tamat iaitu apabila kita menemui maut dan apabila telah kiamat. Waktu itu, keputusan akan diberikan. Apakah pencapaian kita? Adakah kita sudah puas dengan usaha kita setakat ini?

‘Ketaatan’ yang dimaksudkan itu boleh jadi macam-macam. Secara spesifik dalam ayat ini adalah tentang mengerjakan Haji dan Umrah kerana kita sedang membicarakan tentang Masjidil Haram. Tetapi, ia boleh juga digunakan untuk apa-apa sahaja amalan agama dan kerja-kerja kebaikan yang kita boleh lakukan. Kita lakukan semua itu atas dasar ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا

Di mana sahaja kamu berada, Allah akan kumpul kamu semua sekali di akhirat kelak;

Allah ‎ﷻ boleh menghimpunkan kamu sekali gus. Jauh mana pun kamu berada, Allah ‎ﷻ akan himpun semua sekali. Jadi ini mengingatkan kita kepada kematian kita yang pasti datang. Kita tentunya tidak akan kekal hidup.

Sampai satu masa, perlumbaan itu akan tamat dan Allah ‎ﷻ akan menjalankan perhitungan untuk menilai di manakah tahap seseorang itu dalam pencapaian mereka. Yang penting waktu itu adalah kita telah banyak melakukan amalan yang baik.

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak Dia. Salah satunya, mematikan kita. Ini hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maka kena sentiasa ingat kepada mati.

Dan satu lagi, Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menentukan bila Kiamat akan berlaku. Itu dalam kuasa penuh Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-149

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ وَإِنَّهُ لَلحَقُّ مِن رَبِّكَ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari mana arah sahaja kamu keluar;

Arahan ini diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu jika dalam musafir kerana nanti baginda juga akan keluar musafir ke banyak tempat.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah Masjidil Haram;

Di mana sahaja berada, kena menghadap Masjidil Haram dalam salat. Ada sahabat yang sangka mereka kena menghadap Masjidil Haram apabila mereka berada di Masjid Nabi sahaja. Ayat ini Allah ‎ﷻ menekankan bahawa walau di mana sahaja berada, termasuk apabila keluar dari Madinah, mereka kena menghadap ke Masjidil Haram. Kena cari arah kiblat.

وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Dan sesungguhnya perintah itu adalah benar daripada Tuhanmu;

Hukum menghadap ke kiblat semasa musafir itu benar daripada Allah ‎ﷻ. Maka kena taat. Jangan culas dalam hal ini. Kena tahu cara hendak mencari arah kiblat. Kita dimudahkan pada zaman moden ini untuk menggunakan kompas dan telefon pintar bagi cari arah. Tetapi kalau semua itu tidak ada, tetap kena belajar cara lain untuk mencari arah kiblat.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dengan apa sahaja yang kamu lakukan.

Allah ‎ﷻ akan mengambil kira segala perbuatan kita dan akan membalas segala perbuatan kita itu. Tidak ada yang terlepas daripada pandangan Allah ‎ﷻ.

Arahan ini memang senang kepada kita sekarang kerana kita memang dari mula salat pun sudah mula menghadap ke Baitullah. Namun bayangkan apakah yang perlu dihadapi oleh para sahabat pada waktu itu. Bukan semua dalam keluarga mereka menganut agama Islam. Ada ahli keluarga mereka yang beragama Yahudi dan ada yang Kristian. Jadi hati mereka sebenarnya hendakkan kalau satu keluarga menghadap kepada satu kiblat yang sama. Jadi amat payah untuk mereka mengubah kiblat. Tetapi mereka terpaksa juga melakukan seperti yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ada juga orang munafik yang menghadap juga ke Baitul Maqdis apabila tidak ada orang yang melihat. Itu sebabnya Allah ‎ﷻ kata Dia tahu apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.

Tafsir Ayat Ke-150

Ayat ini ditujukan untuk keseluruhan umat Islam.

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَيكُم حُجَّةٌ إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم فَلا تَخشَوهُم وَاخشَوني وَلِأُتِمَّ نِعمَتي عَلَيكُم وَلَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari arah mana sahaja kamu keluar,

Walau di mana sahaja Nabi Muhammad ﷺ berada, walaupun bukan berada di Masjid Nabi.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah Masjidil Haram;

Baginda kena menghadap ke arah Masjidil Haram dalam salat walau di mana sahaja berada. Kena usaha cari lokasi Kaabah.

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ

Dan di mana sahaja kamu semua berada,

Arahan ini dalam bentuk jamak pula, iaitu diberikan kepada semua umat Islam. Maknanya, arahan menghadap kiblat ini bukanlah kepada Nabi ﷺ sahaja, tetapi kepada seluruh umat Islam, sepanjang zaman.

فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

hadaplah wajah kamu ke arahnya;

Ini adalah arahan yang jelas, kena menghadap ke arah Kiblat. Jangan takut untuk menghadapkan wajahmu ke arah kiblat. Jangan takut dengan kata-kata daripada golongan yang ragu-ragu dengan arah kiblat itu.

لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ

Agar tidak lagi menjadi alasan lagi kepada manusia yang ramai-ramai itu,

Supaya ahli-ahli Kitab tidak ada alasan untuk menidakkan kiblat ke Masjidil Haram itu kerana ia telah ada dalam kitab-kitab mereka sendiri yang umat Islam akan menghadap ke Masjidil Haram.

Namun kalau kita tukar kiblat kita balik ke Baitul Maqdis, maka mereka tentu akan mengejek kita. Mereka akan kata kita tidak tetap pendirian. Kalau umat Islam tidak berkiblat ke arah Kaabah, memang mereka yang mengaji kitab mereka akan tertanya-tanya dan timbul persoalan pada mereka (dengan mengatakan ini bukanlah umat Islam yang sebenar).

Dengan kata lain, kita telah memberikan satu hujah yang kuat kepada mereka. Maka kita kena tetap di atas kiblat yang baru ini. Jangan ditukar-tukar lagi.

إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

melainkan kepada orang-orang yang zalim di antara mereka;

Lafaz zalim dalam ayat ini bermakna: degil. Degil tidak mahu ikut. Maka jangan layan mereka yang sebegitu.

Mereka sudah tidak ada hujah untuk menidakkan kiblat ke Masjidil Haram itu. Kalau ada yang berhujah juga, itu adalah kerana mereka itu adalah orang yang zalim iaitu mereka yang masih lagi hendak berhujah walaupun mereka tidak ada hujah yang benar. Terbukti mereka hanya mahu berdebat sahaja.

Ada dua golongan: Sama ada yang zalim tidak pakai kitab mereka dan tidak tahu kandungan kitab mereka dan hanya suka mencari salah dengan agama Islam. Atau yang tahu tetapi mereka sembunyikan maklumat.

فَلَا تَخْشَوْهُمْ

Maka janganlah kamu takut kepada mereka;

Jangan hiraukan kepada mereka. Bukan mereka yang kena mengiktiraf agama Islam. Jadi walaupun mereka tidak mengiktiraf agama Islam, kita tidak perlu hiraukan. Mereka melihat Islam sebagai satu agama serpihan daripada agama Yahudi dan Nasrani sahaja. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada kita supaya jangan hiraukan mereka.

وَاخْشَوْنِي

Dan takutlah kamu kepada Aku sahaja.

Sebaliknya, hendaklah kita takut dan taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam soal agama jangan takut kepada manusia tetapi takut kepada Allah ‎ﷻ. Jangan hirau apa kata manusia.

وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ

agar aku sempurnakan nikmat-Ku ke atas kamu;

Iaitu nikmat syariat agama Islam kerana dapat menghadap ke arah Kiblat yang sebenarnya (Kaabah). Barulah sempurna syariat salat.

Ini juga adalah sebagai langkah pertama untuk mengambil kembali Kaabah yang pada waktu itu berada dalam tangan Musyrikin Mekah. Apabila kiblat telah ditukar kepada Kaabah, waktu itu Kaabah masih lagi dipenuhi dengan berhala-berhala. Tentulah orang Islam tidak sedap hati menghadap kepada sesuatu yang masih lagi ada berhala padanya.

Maka, orang Islam bertanggungjawab untuk membersihkan Kaabah itu. Maka ia adalah sebagai satu isyarat bahawa orang Islam akan memasuki Mekah dan membersihkan kembali Kaabah. Namun hendak bersihkan bagaimana kalau tidak dikuasai Kaabah itu? Maka setiap kali menghadap Kaabah dalam salat, orang Islam pada zaman Nabi ﷺ itu akan teringat tentang tugas mereka untuk membersihkan Mekah daripada amalan syirik. Maka di sini sudah ada bayang-bayang kepada arahan untuk jihad.

وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.

Dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dalam hal kiblat itu, Allah ‎ﷻ akan beri lagi hidayah dan petunjuk-petunjuk yang lain. Begitulah dengan ilmu agama ini, kena taat dahulu dan kemudian ilmu akan datang.

Allahu a’lam. 

Soal Jawab Bersama Doktor: Sindrom Pra Menopaus

0

Soalan:
Apakah gejala sindrom pra menopaus?
Jawapan:
Menopaus merupakan suatu gejala normal yang akan dialami oleh setiap wanita sebagai satu petanda usia semakin tua. Menopaus terjadi kerana seorang wanita itu dikatakan telah putus haid dan tiada lagi pengeluaran telur yang menghasilkan hormon estrogen. Gejala selalunya terjadi di kalangan wanita yang berusia lewat 40-an atau awal 50-an, dan ia menandakan bahawa berakhirlah fasa kesuburan dalam hidup wanita tersebut.

Soalan:
Apakah tanda-tanda wanita itu mengalami sindrom pra menopaus?
Jawapan:
Tanda-tanda wanita itu mulai mengalami gejala pra menopaus:
 Haid yang tidak teratur
 Vagina kering dan menyebabkan rasa sakit ketika bersama suami
 Rasa panas
 Sakit kepala
 Berpeluh waktu malam
 Masalah sukar tidur
 Perubahan mood
 Pertambahan berat badan
 Kulit kering
 Rambut menipis
 Kerapuhan tulang (osteoporosis)

Soalan:
Apakah rawatan yang sesuai untuk penyakit tersebut?
Jawapan:
Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan simptom menopaus seperti:
1) Sentiasa berada dalam keadaan sejuk
Anda boleh menggunakan pakaian yang longgar terutamanya waktu malam untuk mengelakkan rasa panas. Elakkan penggunakan selimut tebal supaya anda tidak berasa panas ataupun berpeluh dengan banyak. Gunakan pendingin hawa untuk memastikan bilik anda sentiasa sejuk.

2) Bersenam dan uruskan berat badan anda
Kurangkan pengambilan kalori untuk mengelakkan berat badan anda meningkat. Jika boleh, bersenamlah 20-30 minit dalam sehari untuk meningkatkan penggunaan tenaga, membantu untuk lebih mudah tidur, menyebabkan mood menjadi baik.

3) Sentiasa Berkomunikasi dengan orang lain
Jika anda menghadapi tekanan ataupun kemurungan, sila kongsikan perkara tersebut kapada orang yang terdekat. Minta pertolongan doktor jika ia menjadi semakin teruk.

4) Menjaga kulit
Penggunaa krim pelembap untuk mengelakkan kulit menjadi kering.

5) Pengambilan ubat-ubat horman dengan pantauan doktor.

Popular

Iklan

Iklan