Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-201 dan Ke-202

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-201 dan Ke-202

3578
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-201

Allah ‎ﷻ tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ
Dan ada di antara mereka yang berdoa

Ini adalah cara berdoa yang betul. Doa ini pun kita selalu sangat baca.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;

Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tetapi ‘kebaikan di dunia’. Ada beza antara keduanya.

Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Hasanah di sini adalah: Al-Qur’an dan Hadith iaitu ilmu kefahaman Al-Qur’an dan Hadith.

Ini kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ia bermula dari situ.

Dengan memahami Al-Qur’an dan Hadith, kita akan faham agama keseluruhannya. Tetapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka sangka mereka meminta harta dan kesenangan dunia.

Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadith.

Ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tetapi mereka salah faham tentang makna doa ini.

Ada lagi tafsir lain bagi maksud ayat ini: Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebaikan dunia’?

Ia adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati.

Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai boleh menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada.

Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak.

Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu.

Sebelum mereka mendapat ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka.

Namun kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama dari bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.

Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.

Dan boleh juga bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Al-Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga.

Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan.

Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infaq duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.

وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً
dan kebaikan di akhirat

Kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga. Kena minta dimasukkan ke dalam syurga.

وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
dan selamatkanlah kami dari azab api Neraka;

Kenapa kita minta diselamatkan daripada api neraka sedangkan kita sudah minta dimasukkan ke dalam syurga?

Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tetapi mereka kena masuk neraka terlebih dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka.

Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan daripada api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun.

Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.

Nabi ﷺ tidak pernah lupa untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Tetapi janganlah kita sangka hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tetapi doalah selepas itu.

Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja.

Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Inilah sahaja doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain.

Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Tetapi kalau kita mahu doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ, inilah doa yang baginda baca.

Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf. Tidak perlu buka buku yang agensi bagi sampai berjenis-jenis doa yang hendak dibaca.

Tafsir Ayat Ke-202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

أُولَٰئِكَ

Mereka yang bersifat seperti ini

Iaitu mereka yang meminta kebaikan dunia dan akhirat yang minta kefahaman isi kandungan Al-Qur’an dan hadith. Sebab ada juga yang belajar, tetapi tidak faham-faham. Kadang-kadang ada yang belajar dalam kelas yang sama, tetapi mendapat kefahaman yang berlainan. Ini kerana kefahaman itu Allah ‎ﷻ yang beri, bukan daripada guru atau dari kepandaian kita sendiri.

Maka hendaklah kita selalu berdoa: Rabbi zidni ilma, supaya Allah ‎ﷻ memberikan kefahaman agama kepada kita. Ada yang memang sudah hendakkan kebaikan dalam agama, tetapi sesat juga.

Macam kumpulan Arqam dulu, perempuan mereka sudah pakai purdah, mereka juga selalu berdakwah, sistem ekonomi mereka sudah hebat, namun ibadat mereka tidak diterima kerana syirik kepada Allah ‎ﷻ. Abuya sudah mati pun, mereka berbuat syirik lagi kerana mereka kata Abuya boleh datang menolong mereka lagi dan sebagainya.

Syarat diterima ibadat dan amalan adalah, ibadat itu mesti daripada yang Nabi ﷺ ajar. Kena dapatkan amalan itu dari hadith yang sahih. Hadith yang dhaif pun sudah tidak boleh dipakai. Apatah lagi kalau amalan itu diambil dari pendapat guru sahaja? Lagilah tidak boleh diterima. Itu adalah usul fiqah.

Oleh kerana tidak fahamlah yang menyebabkan banyak amalan bid’ah dibuat. Antaranya, mereka raup muka selepas salat, buat talqin dan tahlil dan sebagainya. Semuanya kerana mengikut kata tok guru-tok guru mereka. Padahal Nabi ﷺ tidak ajar umat Islam buat sebegitu. Padahal dalam dua kalimah syahadah kita, kita kata kita hendak ikut Nabi Muhammad ﷺ. Namun, malang sekali ada yang mereka-reka agama.

Ini semua kerana tidak mahu belajar. Dalam Al-Qur’an dikatakan bahawa neraka Jahannam itu adalah untuk orang-orang yang sombong. Sombong yang bagaimana? Sombong tidak mahu belajar agama. Apabila tidak belajar, maka mereka tidak tahu tentang agama. Apabila tidak tahu, maka mereka akan berbuat kesalahan dan kesilapan yang banyak.

لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا

bagi mereka ada bahagian besar dari apa yang mereka usahakan;

Mereka yang minta dunia dan akhirat sekali, Allah ‎ﷻ boleh beri kepada mereka. Inilah pengharapan yang boleh kita hendak harapkan. Kalau buat perkara bid’ah, jangan angan-angan atau harap boleh dapat pahala.

Namun banyak betul masyarakat kita yang berangan-angan yang amalan yang mereka buat itu tentulah Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran kerana kononnya mereka buat dengan ikhlas. Mereka tidak faham tentang maksud ‘ikhlas’ itu. Tidak semestinya cukup dengan kita ikhlas sahaja. Amalan yang ikhlas itu mestilah amalan yang Nabi ﷺ pernah buat juga.

وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan Allah amat cepat hisab-Nya;

Perhitungan amal manusia sekejap sahaja, iaitu separuh hari sahaja. Di Mahsyar nanti di tempat yang gelap gelita, semua bangkit seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Semuanya dibangkitkan serentak daripada mereka yang mula hidup sampai yang akhir sekali mati. Tidak terbayang ramainya dibangkitkan. Tanah Mahsyar itu terlalu rata sampaikan tidak ada bonggol atau lopak.

Kita akan bergerak dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Yang beriman akan dapat kenderaan yang istimewa. Kemudian ada juga yang dapat kenderaan, tetapi bergantung kepada tahapnya. Akhir sekali ada yang jalan dengan muka.

Bagaimana hendak bayangkan berjalan dengan muka? Tidak menjadi masalah, kerana sekarang di dunia pun kita boleh lihat ular pun Allah ‎ﷻ beri jalan dengan badan dia.

Apabila sampai, semua makhluk duduk bersaf-saf dalam keadaan telanjang bogel. Tidak berani bertegur sapa antara satu sama lain. Semua duduk dalam keadaan senyap, hanya dengar bunyi tapak kaki para malaikat sahaja. Semua senyap menanti perbicaraan.

Oleh itu, kita hendaklah berlindung diri dari azab menunggu yang lama. Ini kerana ada yang dapat tempat perlindungan yang istimewa.

Semua makhluk bicara berseorangan dengan Tuhan. Hanya kita dan Allah ‎ﷻ. Setiap makhluk akan baca amalan mereka sendiri. Malaikat Raqib Atid akan duduk di kiri kanan kita. Ada yang Allah ‎ﷻ akan suruh malaikat campak buku amalan orang itu.

Raqib akan kata dia sebagai saksi mengatakan orang itu buat amalan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ kata Raqib tidak tahu apakah isi hati orang itu semasa melakukan amalan ibadat itu.

Malaikat tidak tahu bahawa semasa melakukan ibadat itu, orang itu tidak ikhlas. Sedangkan malaikat pun tidak tahu isi hati kita, bagaimana pula kita boleh kata ada guru yang tahu isi hati manusia? Itu adalah faham yang sesat.

Mereka kata guru itu boleh dapat ‘ilham’. Itu adalah syirik kerana yang tahu isihati manusia, hanyalah Allah ‎ﷻ. Kalau kita sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ, ingatlah bahawa amal ibadat kita tidak diterima.

Waktu itu mulut tidak berkata-kata, tetapi tubuh badan kita pula berkata-kata sebagai saksi ke atas kita. Kaki, tangan, mata dan sebagainya. Kemudian kita disuruh baca sendiri amalan kita. Kalau Tuhan tanya sahaja, ‘Kenapa?’, itu sudah tanda kena masuk neraka.

Maka, janganlah kita buat amal ibadah yang bukan dari sumber yang sah kerana kita tidak akan dapat hendak jawab kepada Allah ‎ﷻ kalau kita melakukan bid’ah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan