Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Gejala Pneumonia atau Radang Paru-Paru

Soal Jawab Bersama Doktor: Gejala Pneumonia atau Radang Paru-Paru

282
0
Iklan

Soalan:

Apakah itu penyakit Pneumonia atau Radang Paru-paru?

Jawapan:
Pneumonia adalah radang atau inflamasi pada paru-paru. Ia adalah keadaan di mana alveoli dipenuhi dengan sel-sel inflamasi. Pneumonia biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi kadang-kadang boleh disebabkan kulat atau parasit. Ia juga boleh terjadi akibat daripada tindakbalas kimia atau fizikal.

 Soalan:

Apakah tanda-tanda penyakit Pneumonia?

Jawapan:

Pesakit yang menghidap pneumonia akan mengadu batuk berkahak berwarna kuning atau hijau dan demam panas dan ini boleh disertai dengan menggigil. Kahak bagi mereka yang dijangkiti Streptococcus pneumoniae berwarna ‘berkarat’ (rusty coloured sputum). Sesak nafas adalah aduan yang biasa. Sakit dada semasa menarik nafas atau ‘pleuritic chest pain’ adalah sakit yang dialami seperti ditusuk sesuatu yang tajam. Batuk berdarah adalah salah satu simptom pneumonia.

Tanda-tanda atau simptom lain adalah kurang selera makan, sakit kepala, berpeluh, sakit-sakit sendi dan otot. Pneumonia yang disebabkan oleh kuman Legionella boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit sementara pneumonia yang disebabkan kuman tibi atau Pneumocystis boleh menyebabkan kurang berat badan dan berpeluh pada waktu malam. Di kalangan mereka yang lanjut usia, manifestasi pneumonia selalunya tidak tipikal.  Mereka mungkin boleh kelihatan keliru, hilang keseimbangan badan yang boleh menyebabkannya jatuh.

 Soalan:

Bagaimana pneumonia dirawat?

Jawapan:

Pneumonia boleh didiagnos melalui kaedah x-ray dan pemeriksaan kahak. Rawatan bergantung kepada penyebab pneumonia yang disebabkan oleh bakteria dirawat dengan antibiotik. Terdapat vaksin untuk pneumonia yang disebabkan oleh pneumococcus. Prognosis pneumonia bergantung kepada jenis, rawatan, komplikasi dan keadaan ko-morbid seseorang.

Soalan:

Siapakah yang mudah dijangkiti penyakit tersebut?

Jawapan:

Pneumonia boleh terjadi kepada semua golongan umur dan ia adalah salah satu penyebab utama kematian dalam golongan pesakit kronik. Jangkitan yang mampu membawa maut ini lebih sering menyerang kanak-kanak bawah umur lima tahun dan bayi kerana sistem imunisasi golongan ini yang belum cukup kuat. Warga emas dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas biasa menghidapinya kerana kebanyakan mereka mempunyai penyakit berkaitan paru-paru yang memudahkan pneumonia berlaku.

Bagaimanapun, penyakit ini boleh berlaku pada pelbagai peringkat umur yang tidak hanya membabitkan dua golongan itu sahaja, disebabkan itu amalan hidup sihat penting bagi mengelakkan kita daripada diserang pelbagai penyakit termasuk pneumonia

 

Komen dan Soalan