Utama Blog Halaman 49

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-223 hingga Ayat Ke-225

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-223

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat sebelum ini yang kita boleh mendatangi isteri kita mengikut jalan yang telah diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menyambung dalam ayat ini mengenainya.

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu,

Allah ‎ﷻ beritahu kita bahawa isteri-isteri itu seolah-olah ladang untuk suaminya iaitu tempat yang suami itu boleh usaha untuk mendapatkan hasil. Kalau ladang dapat tanaman, maka dengan isteri, boleh dapat anak.

فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم

oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai

Oleh kerana ladang itu kepunyaan kita, maka kita boleh datangi ladang itu mengikut cara yang kita suka. Lafaz أنّى boleh menjadi dua makna daripada segi bahasa: كيف (bagaimana) atau أين (dari mana). Tetapi dalam ayat ini hanya boleh diterjemahkan sebagai كيف sahaja kerana terdapat larangan daripada Nabi ﷺ untuk mendatangi isteri dari lubang dubur.

Ini kerana kalau kita pakai juga maksud أين, maksudnya suami boleh bersetubuh pula dengan isteri melalui laluan dubur. Itu adalah dilarang kerana menurut hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ جَاءَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ وَمَا الَّذِي أَهْلَكَكَ قَالَ حَوَّلْتُ رَحْلِيَ الْبَارِحَةَ قَالَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ شَيْئًا قَالَ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَى رَسُولِهِ هَذِهِ الْآيَةَ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ } أَقْبِلْ وَأَدْبِرْ وَاتَّقِ الدُّبُرَ وَالْحَيْضَةَ

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata; Umar bin Khathab رضي الله عنه datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata; “Wahai Rasulullah, aku telah binasa.” Baginda bertanya: “Apa yang membinasakanmu?” Umar رضي الله عنه menjawab; “Aku membalik tungganganku (yakni isteriku) tadi malam.” Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata; Baginda tidak mengatakan apa-apa mengenai itu. Ibnu Abbas رضي الله عنهما melanjutkan; Lalu Allah ‎ﷻ mewahyukan kepada Rasul-Nya ayat ini: (Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu apa sahaja cara kamu kehendaki) (lalu baginda mengatakan): “Bagaimana sahaja kamu kehendaki, dari hadapan atau belakang tetapi hindarilah Dubur dan haid.” (Musnad Ahmad hadith no 2569)

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَتْ الْيَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الْوَلَدُ أَحْوَلَ فَنَزَلَتْ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ }

Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنه berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” [Al-Baqarah: 223] (Hadith Bukhari no 4164)

Maknanya, buatlah macam mana pun cara untuk memuaskan nafsu dengan isteri, asalkan bukan masuk ikut dubur. Atas, bawah, depan dan belakang, semua boleh.

وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم

dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita dalam ayat ini, walau sibuk dengan ladang, tetapi kena juga utamakan amalan akhirat untuk diri. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita, walaupun kita berada di dalam kemuncak kehidupan dunia, kena ingat kepada Allah ‎ﷻ juga.

Kemuncak kehidupan adalah ketika bersama dengan isteri semasa jimak. Tidak ada yang lebih hebat daripada kenikmatan itu. Jadi kena pastikan ada amalan baik yang kita buat sebagai bekalan akhirat. Jangan sampai leka dengan isteri sampai lupa untuk membuat amalan kebaikan.

Atau maksud ayat ini, kita kena ada keinginan untuk mendapatkan anak dan membina keluarga. Bukannya semata-mata hanya kerana seks sahaja.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertaqwalah kepada Allah

Kena ada taqwa dalam perhubungan suami isteri. Taqwa itu maksudnya menjaga hukum, maka hendaklah kita menjaga hukum tentang perhubungan suami isteri. Nanti akan datang banyak lagi ayat-ayat yang menyentuh tentang perhubungan suami isteri – nikah dan cerai.

Amalkanlah yang sunnah di dalam hubungan persetubuhan suami dan isteri. Jangan buat perkara yang dilarang dan bacalah doa seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Telah disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

«لو أن أحدكم إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْتِيَ أَهْلَهُ، قَالَ:بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذلك، لن يضره الشيطان أبدا» .

Seandainya seseorang daripada kalian di saat hendak mendatangi isterinya mengucapkan, “Dengan menyebut nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah daripada kami syaitan dan jauhkanlah pula daripada syaitan apa (anak) yang Engkau rezekikan kepada kami”, maka sesungguhnya jika ditakdirkan bagi kedua-duanya memperolehi anak daripada hubungannya tersebut, nescaya syaitan tidak dapat menimpakan mudarat terhadap si anak selama-lamanya. (HR Bukhari no 6388 dan Muslim no 1434)

وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ

serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya

Kena ingat yang kita tidak hidup selamanya di dunia ini. Sampai masa kita akan mati dan menemui-Nya dan kita akan ditanya tentang bagaimana kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia dan sama ada kita menjaga hukum-hukum-Nya.

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang beriman dan menjaga hukum daripada Allah ‎ﷻ, akan diberikan dengan balasan syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Tafsir Ayat Ke-224

Ayat ini adalah jenis umur munazimah (hukum berkaitan hubungan dengan makhluk). Kena jaga perkara-perkara umur munazimah supaya hubungan dalam masyarakat jadi baik dan apabila baik, barulah boleh hendak berdakwah kepada manusia. Kalau kehidupan kita pun kucar kacir, bagaimana hendak berdakwah kepada orang lain?

Ayat ini adalah tentang sumpah yang dilafazkan oleh manusia.

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم

Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai penghalang dalam sumpah kamu

Orang Arab selalu bersumpah. Sikit-sikit mereka akan kata: “wallahi (demi Allah)… aku nak makan…” dan macam-macam lagi. Kadang-kadang ada yang sumpah dengan cara salah dan bodoh.

Untuk bersumpah tidaklah salah (apabila perlu), tetapi jangan gunakan sumpah sebagai alasan.

أَن تَبَرّوا

daripada berbuat baik

Ayat ini adalah teguran kepada manusia kerana ada yang menggunakan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak membuat ibadat atau kebaikan. Sebagai contoh, ada yang bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ untuk tidak datang ke masjid. Kalau kita ajak mereka ke masjid, mereka kata kalau pergi juga, mereka sudah langgar sumpah kepada Allah ‎ﷻ.

Arab Jahiliyyah yang selalu buat begini kerana mereka dibisikkan oleh syaitan untuk bersumpah begitu. Sebagai contoh, mereka ada yang bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ untuk kekal atas agama tok nenek mereka. Jadi mereka tidak masuk Islam sebab takut melanggar sumpah.

Orang Arab dahulu bila sebut nama Allah ‎ﷻ, mereka akan jaga betul-betul. Tidak seperti orang kita sekarang, senang sahaja hendak sumpah pakai nama Allah ‎ﷻ. Tetapi itu adalah cara sumpah yang salah dan hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini.

Maka Allah ‎ﷻ hendak kata, jangan jadikan nama Dia sebagai penghalang untuk membuat kebaikan dan pahala.

وَتَتَّقوا

dan bertaqwa,

Jangan jadikan sumpah sebagai penghalang daripada menjaga hukum yang lain. Taqwa adalah menjaga hukum, tetapi ada di antara mereka yang menggunakan sumpah sebagai alasan untuk tidak menjaga hukum.

وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ

serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia

Ada yang menggunakan sumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak berbuat baik dengan manusia. Mungkin ada yang apabila dinasihati untuk berbaik dengan musuh dia, dia jawab dia sudah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ yang tidak akan berbaik dengan orang itu; atau ada yang kata dia telah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak bercakap dengan orang itu sampai bila-bila. Ini adalah cara sumpah yang salah.

Mereka sebut nama Allah ‎ﷻ itu dengan cara yang salah kerana tidak mahu buat kebaikan. Jangan buat macam itu. Ia adalah salah dan tidak menepati syari’at.

Lalu apakah yang harus dilakukan kalau sudah buat begitu? Jawapannya: kena batalkan sumpah itu. Permasalahan ini banyak dibincangkan dalam hadith. Salah satu hadith seperti berikut:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى شَيْخًا يُهَادَى بَيْنَ ابْنَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ هَذَا قَالُوا نَذَرَ أَنْ يَمْشِيَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَنْ تَعْذِيبِ هَذَا نَفْسَهُ لَغَنِيٌّ وَأَمَرَهُ أَنْ يَرْكَبَ

Daripada Anas رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ melihat seorang lelaki tua berjalan dengan dipapah oleh dua orang anaknya, lantas baginda bersabda: “Kenapa orang tua ini?” Mereka menjawab, “Dia bernazar (bersumpah untuk beribadah haji) dengan berjalan kaki.” Baginda lalu bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak berkehendakan penyeksaan orang ini ke atas dirinya (sendiri).’ Kemudian baginda memerintahkannya supaya menaiki kenderaan.” (Sahih Muslim no 3100)

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar sumpah yang kita lakukan. Allah‎ ﷻ tahu apa yang dalam hati kita semasa mengucapkan sumpah itu. Allah‎ ﷻ juga tahu sama ada kita betul-betul bersumpah atau cakap-cakap kosong sahaja.

Tafisr Ayat Ke-225

Sambungan tentang hukum bersumpah.

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan

Ada orang yang tersasul dalam bersumpah. Kalau seseorang itu tersasul dalam bersumpah dengan tidak ada niat, tidak ada apa-apa. Maknanya, di akhirat nanti tidak ada hukuman ke atas orang itu.

Bangsa kita mungkin jarang kita dengar. Tetapi kalau bangsa Arab, mereka memang senang sahaja melafazkan sumpah.

Sebagai contoh, mereka ada yang berkata: “Wallahi, kalau aku jumpa dia, aku akan bunuh dia”, “wallahi, laparnya aku, kalau aku dapat makanan nanti, aku nak makan lima pinggan terus!”

Semua sumpah itu adalah menggunakan nama Allah ‎ﷻ, tetapi bukanlah dia sebenarnya bermaksud berbuat seperti yang dikatakannya itu. Ia cuma kata-kata kosong sahaja. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia.

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم

tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu

Tetapi, kalau seseorang itu bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ dengan niat dan kemudian dia melanggar sumpah itu, dia berdosa dan akan dihukum kerana dosanya itu. Kalau dia tidak langgar sampai dia mati, tidak mengapa. Yang menjadi kesalahan adalah kalau dia melanggar sumpah itu.

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun kesalahan hamba-Nya yang tidak berniat dalam sumpah mereka.

Allah ‎ﷻ juga adalah seorang yang penyabar, tidak cepat dalam bertindak menghukum. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum. Sifat حَليمٌ itu adalah seperti kasih seorang ibu kepada anak. Walaupun dia marah tetapi masih sayang.

Sabar dia dengan kerenah anak dia. Walaupun ibu itu marah kepada perangai anaknya tetapi dalam masa yang sama dia masih nampak anaknya itu comel lagi.

Begitulah sedikit penerangan tentang maksud sifat ini dan tentunya sifat Allah ‎ﷻ itu berkali-kali ganda lagi yang kita tidak tahu.

Allahu a’lam.

SIRI LA TAHZAN: Bab 198 – Tuhan Yang Tidak Pernah Zalim Dan Berbuat Aniaya (ربٌّ لا يظْلِمُ ولا يَهْضِمُ)

0

La Tahzan 198: Tuhan yang Tidak Pernah Zalim dan Berbuat Aniaya (ربٌّ لا يظْلِمُ ولا يَهْضِمُ)

ألا يحقُّ لك أنْ تَسْعَدَ ، وأنْ تهدأ وأنْ تسكن إلى موعودِ اللهِ ، إذا علمت أنَّ في السماء ربّاً عادلاً ، وحكماً مُنصفاً ، أدخل امرأةُ الجنة في كلبٍ ، وأدخل امرأةً النار في هِرَّة.

Seharusnya anda berbahagia, tenang dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ, sekiranya anda tahu bahawa di langit bersemayam Tuhan Yang Maha Adil dan Penguasa yang Maha Bijaksana. Bahkan Dia memasukkan seorang wanita ke dalam syurga kerana seekor anjing dan memasukkan wanita ke dalam Neraka kerana seekor kucing.

Kisah Allah ‎ﷻ memasukkan wanita Bani Israil ke syurga lantaran seekor anjing

فتلك امرأةٌ بغيٌّ منْ بني إسرائيل ، سقتْ كلباً على ظمأٍ ، فغفر اللهُ لها وأدخلها الجنة ، لمِا قام في قلبِها منْ إخلاصِ العملِ للهِ

Perihal seorang wanita Bani Israil yang memberi minum seekor anjing yang kehausan. Maka, Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa-dosa pelacurannya dan memasukkannya ke syurga kerana perbuatannya itu ikhlas kerana Allah ‎ﷻ.

✍️ Takhrij:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ “.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda: Seorang wanita pelacur diampuni oleh Allah‎ ﷻ. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni kerana hal tersebut. (HR al-Bukhari, Kitab Bad’i al-Khalqi, Bab Iza Waqa’a az-Zubab Fi Syarab, hadith no: 3321).

Kisah Allah ‎ﷻ memasukkan seorang wanita Bani Israil kerana menyeksa kucingnya

وهذهِ حبست قطَّةً في غُرفةٍ ، لا هي أطعمتْها ، ولا سقتْها ، ولا تركتْها تأكلُ منْ خشاشِ الأرضِ ، فأدخلها اللهُ النار

Ada seorang wanita Bani Israil yang mengurung kucingnya di dalam sangkar dan tidak memberi makan dan minum atau melepaskan ia untuk mencari makanan sendiri. Oleh kerana perbuatan (kejam) itu maka Allah ‎ﷻ memasukkannya ke dalam Neraka.

✍️ Takhrij:

4278 حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ أَسْمَاءَ الضُّبَعِيُّ ، حَدَّثَنَا جُوَيْرِيَةُ بْنُ أَسْمَاءَ ، عَنْ نَافِعٍ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ ، لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا ، إِذْ حَبَسَتْهَا ، وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ

“Sungguh Rasulullah ﷺ telah bersabda, “Ada seorang wanita yang diazab kerana seekor kucing. Dia mengurung kucingnya sehingga mati, lalu dia masuk neraka kerananya. Dia tidak memberikan makan dan minum kucingnya. Bahkan dia mengurungnya. Dia tidak meninggalkan makanan untuknya, sehingga dia memakan apa yang keluar dari bumi.” (HR. Muslim no 4278)

 

أنه سبحانه وتعالى يجزي على القليلِ ، ويُثيبُ على العملِ الصغيرِ ، ويُكافئُ عبدهُ على الحقيرِ .

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ pasti akan membalas setiap perbuatan baik walau seremeh apa pun (kebaikan itu) dan memberi balasan kepada hamba-Nya atas kebaikan sekecil mana pun. Firman Allah ‎ﷻ:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)

Barang siapa berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah (atom), akan melihat (balasannya) (7). Barang siapa berbuat keburukan meskipun sebesar zarah maka dia akan melihat balasannya juga(8) ” [Az-Zalzalah: 7-8]

 

وعند البخاريِّ مرفوعاً : (( أربعون خصْلةً ، أعلاها منِحةُ العنزِ ما من عاملٍ يعملُ بخصلةٍ منها رجاء موعودِها وتصديق ثوابِها إلا أدخله اللهُ الجنة )) البخاري في ” صحيحه ” (رقم/2631)

Dikeluarkan oleh Imam al Bukhari رحمه الله marfu’ daripada Abdullah bin Amr رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ:

“Ada 40 kebaikan, yang paling besar di antaranya adalah meminjamkan kambing perahan kepada orang lain (untuk diambil susunya). Tidak ada seorang pun yang melakukan salah satu daripada semua kebaikan tersebut kerana mengharap janji Allah ‎ﷻ dan meyakini balasannya, kecuali Allah ‎ﷻ akan memasukkannya ke dalam Syurga”. (HR Bukhari no. 2631)

Siri Tahqiq Al-Mathurat Syeikh Hassan Al-Banna: Zikir 14 – Wirid Pagi Dan Petang

0

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 14/18 (Sayyidu al-Istighfar)

Sahih.

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

“Ya Allah, Engkau adalah Rabb-ku, tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu, dan aku dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuan-ku, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan, aku mengakui nikmat-Mu kepada-ku, dan aku mengakui dosa-ku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Engkau.”

عن شداد بن أوس رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “سيد الاستغفار اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت، خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت، أعوذ بك من شر ما صنعت، أبوء لك بنعمتك علي وأبوء بذنبي، فاغفر لي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت
من قالها موقناً بها حين يمسي فمات من ليلته دخل الجنة، ومن قالها موقناً بها حين يصبح فمات من يومه دخل الجنة” رواه البخاري وغيره  .

Daripada Syaddad bin Aus رضى الله عنه, daripada Nabi ﷺ bahawa baginda bersabda, “Sayyidu al-Istighfar adalah Engkau membaca, (اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي…). Barangsiapa yang membacanya pada pagi hari, dan dia meninggal pada hari tersebut sebelum petang hari, maka dia termasuk ahli syurga. Barangsiapa yang membacanya pada awal malam dengan yakin kepadanya dan dia meninggal pada malam tersebut sebelum subuh, maka dia termasuk ahli syurga.” (HR Bukhari, bab Afdhalu al-Istighfar, no. 6306)

 

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 15/18

Sahih.

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

“Aku memohon ampun kepada Allah ﷻ yang tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Hidup dan selalu terjaga, dan aku bertaubat kepada-Nya” (dibaca 3 kali)

Fadilat:

عن زيد مولى النبي صلى الله عليه وسلم قال: سمعت أبي يحدثنيه عن جدي أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “من قال أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه غفر له وإن كان فر من الزحف” رواه أبو داود والترمذي والحاكم، وقال صحيح على شرط البخاري ومسلم

Hadith Zaid bin Harithah رضي الله عنه, pembantu Nabi ﷺ : “Sesiapa yang membaca (أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ) maka akan diampuni dosanya walaupun dia pernah lari dari medan perang.” (HR. Abu Dawud, At-Tirmizi, Al-Hakim, dia mensahihkannya dan Ibnu Abi Syaibah)

Tahqiq:

قال أبو عيسى هذا حديث غريب لا نعرفه إلا من هذا الوجه.

Komen Abu Isa, hadith gharib dengan tambahan ‘al-Adzim’. Maka yang sahih cuma Astagfirullah, tanpa ‘al-Adzim’.

 

 

Oleh: Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)

Soal Jawab: Tentang Kematian Dan Jenazah

0

🔴 Saya ingin bertanya berkenaan dengan jenis-jenis mati syahid.
1. Syahid dunia dan akhirat
2. Syahid akhirat
3. Syahid dunia
Saya kurang faham mengenai jenis mati syahid yang no. 3. No. 1 dan 2 saya sudah faham.

🔷 Nampak seperti mati syahid tetapi di akhirat tidak dapat apa-apa. Contoh: Mujahidin yang berjihad kerana ada ‘self- interest’ (kepentingan peribadi).

 

🔴 Adakah seseorang meninggal dunia dalam bulan Ramadhan akan terlepas seksa kubur sehingga kiamat?
🔴 Adakah hanya orang-orang yang dipilih oleh Allah ﷻ sahaja yang akan meninggal dunia pada bulan Ramadhan?
🔴 Adakah orang yang meninggal dunia pada hari Juma’at dalam bulan Ramadhan juga akan mendapat balasan yang sama?

🔷 Tidak lepas seksa kubur. Mati sememangya tidak mengira hari atau bulan. Nabi ﷺ wafat pada hari Isnin bukan hari Juma’at dan dalam bulan Rabiul Awal bukan bulan Ramadhan.

 

🔴 Jikalau kita menerima berita kematian daripada kalangan keluarga yang bukan Islam, bolehkah diucapkan sepertimana yang biasa kita ucapkan untuk orang muslim?

🔷 R.I.P (Rest In Peace) tidak boleh. Hanya ‘condolence’ (ucapan takziah).

 

🔴 Adakah jenazah wajib disegerakan pengurusannya? Apakah hukumnya jika jenazah ditangguhkan sehingga dua hari?

🔷 Boleh ditangguhkan jika ada sebab. Contohnya: Jenazah Nabi ﷺ ditunda tiga hari iaitu wafat pada hari Isnin dan dikebumikan pada hari Rabu. Urusan pengebumian ditunda disebabkan oleh para sahabat berada dalam keadaan keliru dan gawat untuk urusan perlantikan ketua kerajaan yang baru dan di mana harus dimakamkan jenazah baginda.

 

🔴 Jikalau jenazah raja/ sultan bolehkah ditunda beberapa hari untuk memberi masa kepada orang lain untuk melihat jenazah?

🔷 Boleh. Mufti negeri telah ‘endorsed’ (mengesahkan). Urusan jenazah raja/ sultan diuruskan oleh mufti dan Majlis Raja-Raja. Kita tidak boleh menegur urusan golongan elit ini. Ia dibawah kawalan Akta Hasutan.

 

🔴 Sementara menunggu pengurusan jenazah apakah yang patut dilakukan oleh waris-waris atau orang-orang yang datang menziarahi keluarga si mati kerana tahlilan ditiadakan?

🔷 ‘Mostly technical’ (kebanyakannya urusan teknikal):
i.Urusan menggali kubur
ii.Melaporkan kematian kepada pihak polis
iii.‘Contact’ (hubungi) pihak pengurusan masjid- urusan mandi dan salat jenazah
iv.Mendapatkan kereta jenazah
v.Urusan membeli nasi bungkus
vi.Urusan ke bank untuk sediakan ‘cash’ (wang tunai)
vii.Urusan memaklumkan/ berita kematian kepada sanak saudara dan sahabat handai

 

🔴 Benarkah selepas seorang anak yang memandikan jenazah ayahnya perlu mandi hadas besar terlebih dahulu sebelum salat jenazah?

🔷

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ أَبِي الشَّوَارِبِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ الْمُخْتَارِ عَنْ سُهَيْلِ بْنِ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ غُسْلِهِ الْغُسْلُ وَمِنْ حَمْلِهِ الْوُضُوءُ يَعْنِي الْمَيِّتَ قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عَلِيٍّ وَعَائِشَةَ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ وَقَدْ رُوِيَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ مَوْقُوفًا وَقَدْ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي الَّذِي يُغَسِّلُ الْمَيِّتَ فَقَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَغَيْرِهِمْ إِذَا غَسَّلَ مَيِّتًا فَعَلَيْهِ الْغُسْلُ و قَالَ بَعْضُهُمْ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ و قَالَ مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ أَسْتَحِبُّ الْغُسْلَ مِنْ غُسْلِ الْمَيِّتِ وَلَا أَرَى ذَلِكَ وَاجِبًا وَهَكَذَا قَالَ الشَّافِعِيُّ و قَالَ أَحْمَدُ مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا أَرْجُو أَنْ لَا يَجِبَ عَلَيْهِ الْغُسْلُ وَأَمَّا الْوُضُوءُ فَأَقَلُّ مَا قِيلَ فِيهِ و قَالَ إِسْحَقُ لَا بُدَّ مِنْ الْوُضُوءِ قَالَ وَقَدْ رُوِيَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْمُبَارَكِ أَنَّهُ قَالَ لَا يَغْتَسِلُ وَلَا يَتَوَضَّأُ مَنْ غَسَّلَ الْمَيِّتَ

Daripada Abu Hurairah: Nabi ﷺ bersabda, ” Setelah memandikan mayat, maka dia wajib mandi dan setelah mengangkatnya dia harus berwudhu “. (Abu Isa At-Tirmizi) berkata; Hadith semakna diriwayatkan daripada Ali dan ‘Aisyah. Abu ‘Isa berkata; Hadith Abu Hurairah merupakan hadith hasan. Hadith ini juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah secara mauquf. Para ulama berselisih pendapat mengenai orang yang memandikan mayat. Sebahagian mereka daripada kalangan sahabat Nabi ﷺ yang lainnya berpendapat; ‘ Jika dia memandikan mayat maka dia wajib mandi ‘. Dan sebahagian daripada mereka berpendapat; ‘ Dia hanya wajib berwudhu’ ‘. Malik bin Anas berkata; ” Saya lebih suka mandi setelah memandikan mayat, namun tidak menganggapnya wajib “. Demikian juga, pendapat Asy-Syafi’iy dan Ahmad berkata; ” Seseorang yang telah memandikan mayat, aku berharap dia tidak wajib untuk mandi, namun minima dia berwudhu’ “. Ishaq berkata; ” Dia wajib berwudhu’ “. (Abu Isa At-Tirmizi) berkata; Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mubarak berkata; ” Seseorang yang memandikan mayat tidak wajib baginya untuk mandi atau juga berwudhu ’ “. (At-Tirmizi No.914)

Status hadith:

عن حديث الباب بأنه ضعيف ، قال علي بن المديني ، وأحمد بن حنبل : لا يصح في الباب شيء ،

Mutaqaddimin seperti Ibn al-Madini dan Imam Ahmad, hadith-hadith dalam isu ini semuanya tidak sahih dan daif semuanya.

Isu yang anda kemukakan soalan itu terbalik, isu yang diperselisihkan ialah hukum mandi selepas memandikan jenazah dan mengusungnya bukan sebelum memandikan/ salat jenazah. Mandi selepas menguruskan jenazah hukumnya sunat. Tidak mandi pun tidak mengapa kerana hadithnya tidak sahih.

 

🔴 Benarkah air mata orang yang mencium jenazah apabila terkena kepada jenazah itu akan menyakiti jasad jenazah? Adakah sebarang riwayat berkenaan perkara ini?

🔷 Tiada.

 

🔴 Adakah khairat kematian itu bid’ah?

🔷 Khairat kematian itu adalah takaful (Insuran islamik).

 

🔴 Untuk orang yang tidak mampu bagaimana? Adakah keluarga si mati perlu membayar kos pengurusan jenazah tersebut atau pihak masjid yang sepatutnya menggunakan dana daripada tabung masjid untuk tujuan tersebut?

🔷 InsyaAllah. Adalah caranya nanti.

 

🔴 Perlukah membayar upah kepada orang yang membaca talkin?

🔷 Bayar. Lebai sekarang tiada yang ‘free’ (percuma).

 

🔴 Bukankah jika dibayar upah bermakna dia tidak ikhlas?

🔷 Memang boleh menerima upah. Dikiaskan dengan guru yang mengajar Al-Qur’an atau KAFA (Kelas Al-Qur’an Dan Fardhu Ain). Boleh mengambil upah untuk memandikan mayat. Di Kelantan, salat jenazah pun diupah RM10 seorang.

 

🔴 Adakah pernah diajar tentang pengurusan jenazah dari awal hingga akhir yang mematuhi sunnah di dalam bilik ini? Talkin susah hendak dielakkan. Jika dapat mengelak tahlilan sudah memadai.

🔷 Belum pernah kerana bab pengurusan jenazah ini tajuk satu kitab. Kitab terbaik adalah Ahkam al Janaiz oleh Syeikh al-Albani. Talkin dan tahlilan itu satu pakej yang standard kecuali anda mempunyai ‘power’ (kuasa) dalam ‘family’ (keluarga) anda untuk mencegahnya. Paling kurang anda kenalah setaraf ustaz untuk berdepan dengan tuan imam masjid kariah anda kerana dia sudah bersiap sedia untuk membaca talkin dan hendak makan kenduri arwah.

 

🔴 Apakah status hadith ini?
“ Daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada ‘Aisyah bahawa beliau telah menyuruh agar talbinah disediakan kepada orang yang sakit dan orang yang bersedih atas kematian seseorang. Beliau berkata: ” Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ” Sesungguhnya talbinah dapat menenangkan hati pesakit dan menghilangkan sebahagian kesedihan “. ”

🔷 Bukhari memang paling sahih.

فإني سمعتُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يقول :التلبينةُ مُجمةٌ لفؤادِ المريضِ، تذهب ببعضِ الحزنِ

“Sesungguhnya aku (‘Aisyah) pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Talbinah dapat menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian rasa sedih.” ” (HR Bukhari-Muslim)

Ini dinamakan sunnah Jibliyah. Sunnah yang berkaitan dengan budaya Arab 1400 tahun dahulu. Sunnah Jibliyah ini berubah mengikut tempat dan masa. Maksudnya, bubur talbinah (bubur gandum) adalah makanan yang dapat memberi kesukaan dan ketenangan kepada orang Arab yang telah ditimpa musibah.

Ia mungkin tidak sesuai dengan budaya Melayu. Jika ada ‘family’ (keluarga) kita yang kematian perlulah disesuaikan dengan budaya kita. Apakah makanan yang dapat mengurangkan kesedihan mereka? Mungkin laksa, mungkin ‘spaghetti’ (sejenis mi dari Itali), mungkin serawa durian atau mee soto. Amalan di Malaysia, ‘tok lebai’ telah mentakwil bubur talbinah ini supaya diganti dengan kenduri doa selamat untuk arwah. Antara sebab utama kenduri dan jamuan ialah untuk menyukakan/ mengembirakan keluarga si mati. Daripada sunnah Jibliyah bertukar menjadi bid’ah pula.

 

🔴 Merujuk semula kepada hadith di atas, adakah penyediaan bubur talbinah disebabkan oleh budaya masyarakat setempat atau kerana khasiat talbinah itu sendiri dapat mengurangkan rasa sedih?

Jika sekarang ditanyakan kepada orang Arab Saudi, mereka tidak tahu apakah bubur talbinah. Resepi juga telah tiada. Begitu juga dengan khasiat habbatus sauda mereka pun tidak tahu. Ini isu Jibliyah atau budaya. Kita perlu mengkaji apakah makanan yang sesuai untuk orang yang sedang sakit dan orang yang menghadapi kematian anggota keluarga. Apakah makanan pesakit itu suka, apakah makanan yang digemari oleh ‘family’ tersebut. Contoh: Pesakit A jika sakit dia suka makan bubur nasi dengan ikan bilis. Ada ‘family’ A, makanan kesukaan mereka ialah laksa utara. Oleh itu, jika ada kematian dalam ‘family’ A, maka ada jiran yang akan membuat laksa dan mengirimkan kepada mereka.

Talbinah itu bubur gandum beserta madu yang ‘famous’ (terkenal) pada zaman Nabi ﷺ. Jika orang Arab mendapat bubur talbinah ini mereka berasa sangat suka. Satu perkara lagi, orang Arab paling suka air sejuk mineral di dalam botol jika musim panas mencecah 44℃.

Orang yang menjual agama pula akan mengambil kesempatan atas nama “makanan sunnah”. Mereka akan memasarkan bubur talbinah dengan ‘tagline’ (slogan iklan) “MAKANAN SUNNAH-UNTUK MENGHILANGKAN SAKIT DAN KESEDIHAN”. Ini tidak boleh. Ia adalah kes “menjual agama”.

Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمه الله menjelaskan;

طعام يتخذ من دقيق أو نخالة ، وربما جُعل فيها عسل ، سميت بذلك لشبهها باللبن في البياض والرقة ، والنافع منه ما كان رقيقاً نضيجاً ، لا غليظاً نيئاً ”

“Makanan yang dibuat daripada tepung (gandum) atau dedak tepung terkadang ditambahkan dengan madu. Dinamakan talbinah kerana mirip dengan susu, warnanya putih dan lembut. Bermanfaat bagi tubuh dan lembut serta matang, tidak keras lagi mentah.“

Menurut Ibn Hajar pula ia adalah daripada tepung gandum.

Yang penting ia adalah ‘porridge’ atau bubur. Di Malaysia, berkaitan dengan makanan orang sakit ini biasanya bubur nasi, bubur ‘oat’ (gandum), ada juga bubur pulut hitam. Perlu dilihat budaya juga. Jika bulan Ramadhan ada pula bubur lambuk.

Oleh kerana itulah dinamakan sunnah Jibliyah. Ia ‘relevan’ (terkait) untuk suatu zaman, untuk kabilah dan untuk orang Arab.

 

 

Jawapan daripada
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

Soal Jawab: TENTANG SADAQAH PAHALA DAN DOA UNTUK ARWAH

0

🔴 Setelah kita bersadaqah, adakah sampai pahala yang diniatkan untuk mak, ayah, anak dan suami atau atas nama ramai orang sama ada untuk orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia?

🔷 Secara umumnya, pahala ini diperolehi ketika kita hidup sahaja. Dalilnya:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya. ” [An-Najm: 39]

Fiqh ayat, semasa masih hidup, seseorang perlu bersadaqah sebanyak-banyaknya. Setelah mati, hartanya akan kembali kepada ‘family’ (keluarga). Pengecualian hanya untuk anak si mati:

إِنَّ أَطْـيَبَ مَـا أَكَـلَ الرَّجُلُ مِـنْ كَـسْبِهِ ، وَإِنَّ وَلَـدَهُ مِنْ كَسْبِـهِ.

“Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah daripada hasil usahanya sendiri, dan sesungguhnya anaknya adalah hasil usahanya.” (HR Tirmizi: 1358, hasan sahih)

Maka, yang ‘valid’ (sah) hanyalah pahala sadaqah si anak kepada si mati iaitu ibubapanya sahaja. Justeru itu, sadaqah pahala isteri kepada suami atau sadaqah pahala si fulan kepada orang lain yang bukan keluarganya adalah tidak sampai. Demikianlah kata Imam al Syaukani di dalam kitab Nail al-Authar.

 

🔴 Bolehkah kita berdoa supaya dimurahkan lagi rezeki selepas bersadaqah?

🔷 Tidak perlu berdoa kerana sadaqah tidak mengurangkan harta.

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّه

“Daripada Rasulullah ﷺ bersabda: “Sadaqah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah ﷻ, melainkan Allahﷻ akan mengangkat darjatnya.” (HR Muslim: 4689)

Fiqh hadith, harta tidak berkurang selepas disadaqahkan, malah ia menjadi simpanan di akhirat, baki harta yang ada akan menjadi berkat.

 

🔴 Bagaimana pula jika kita berdoa untuk orang lain? Adakah doanya sampai?

🔷 Doanya sampai. Sila rujuk hadith yang saya selalu berikan.

“Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara; sadaqah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال: قال رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ”.

رواه مسلم

“Daripada Abu Darda’ رضي الله عنه bahawa dia mendengar Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Tidaklah berdoa seorang Muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim)

 

🔴 Jika orang tua bersadaqah dan meniatkan pahala tersebut untuk anaknya yang sudah meninggal dunia, apakah pahalanya sampai?

🔷 Isu ini terbalik. Fiqh membincangkan anak yang bersadaqah kepada arwah ‘parents’ (ibubapa). Jika ‘parents’ usia panjang, boleh sahaja jika dia hendak bersadaqah untuk anaknya yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Perkara ini akan berkait dengan bab hibah pula.

 

🔴 Bolehkah kita mewaqafkan Al-Qur’an untuk arwah keluarga? Kita waqafkan kepada individu yang mengajar mengaji dan anak-anak yang belajar Al-Qur’an.

🔷 Bersadaqah atas nama si mati memang boleh. Dalil:

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها :

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ أُمّـِيْ افْـتُـلِـتَتْ نَـفْسُهَا (وَلَـمْ تُوْصِ) فَـأَظُنَّـهَا لَوْ تَـكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَـهَلْ لَـهَا أَجْـرٌ إِنْ تَـصَدَّقْتُ عَنْهَا (وَلِـيْ أَجْـرٌ)؟ قَالَ: «نَعَمْ» (فَـتَـصَدَّقَ عَـنْـهَا).

“Bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ, “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (dan tidak memberikan wasiat), dan aku mengira jika dia boleh berbicara maka dia akan bersadaqah, apakah dia memperoleh pahala jika aku bersadaqah atas namanya (dan aku pun mendapatkan pahala)? Baginda menjawab, “Ya, (maka bersadaqahlah untuknya).” (Bukhari Muslim)

 

 

Jawapan daripada
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-221 dan Ke-222

0

Tafsir Ayat Ke-221

Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah disebutkan tentang tiga perkara yang mempunyai kesan dua hala (boleh jadi baik dan boleh jadi buruk) – Arak dan Judi, berapa yang perlu diinfaqkan dan ketiga, tentang penjagaan anak yatim.

Ini pula adalah ayat tentang institusi perkahwinan. Ia amat penting dalam masyarakat Islam. Ia diturunkan pada ketika komuniti Islam di Madinah sedang mula baru berkembang. Institusi keluarga yang baik akan menyebabkan masyarakat dalam keadaan baik. Persoalan yang ditimbulkan dalam ayat ini adalah: siapakah yang boleh dikahwini?

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekali pun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekali pun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman

Masalah yang mempunyai situasi ‘dua hala’ yang ke-empat adalah tentang perkahwinan. Ada wanita yang mempunyai rupa paras yang elok, budi bahasa yang baik dan daripada keluarga yang baik dan kaya pula, tetapi mereka tidak beriman. Daripada satu sudut, memang mereka itu menarik untuk dikahwini tetapi bagaimana pula dengan iman mereka?

Allah ‎ﷻ memberitahu dalam ayat ini supaya jangan berkahwin dengan mereka itu walaupun mereka mempunyai kelebihan-kelebihan yang banyak kerana kita mahu menjaga agama kita. Amat bahaya kalau mengahwini mereka kerana kita boleh terjebak dengan kesyirikan yang mereka lakukan.

Ini kerana walaupun kita tidaklah mengikut mereka 100 peratus dalam fahaman mereka, tetapi kalau sudah berkahwin dengan mereka, tentulah akan ada sedikit sebanyak yang kita ikut mereka kerana mereka isteri kita dan tentunya kita rapat dengan mereka. Kita takut perkara yang kita ikut itu adalah dalam perkara syirik. Jadi apabila ada pilihan antara dunia dan agama, maka hendaklah kita memilih untuk memelihara agama kita.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘musyrikin’. Jumhur ulama’ mengatakan yang ahli kitab tidak termasuk dalam ayat ini dan kerana itu hukum mengahwini perempuan daripada ahli kitab dibenarkan. Cuma ada yang kata termasuk sekali kerana tentulah ahli kitab itu ada juga melakukan syirik juga.

Tetapi pendapat jumhur tidak begitu kerana nampak seperti Allah ‎ﷻ membezakan antara Musyrikin dan Ahli Kitab. Memang Ahli Kitab pun ada juga yang melakukan syirik, tetapi daripada dalil yang ada, Allah ‎ﷻ membezakan Musyrikin dan Ahli Kitab dan tidak meletakkan mereka di dalam golongan yang sama.

Janganlah mengahwini golongan Musyrikin sehinggalah mereka masuk Islam. Apabila mereka sudah benar-benar menjadi Muslim, maka jangan kata buruk tentang mereka. Kalau dahulu mereka kafir, itu hal terdahulu. Kadang-kadang kita selalu pandang serong kepada mereka yang sudah masuk Islam. Kita rasa mereka masuk Islam kerana sebab-sebab tertentu – antaranya kerana hendak kahwin dengan orang Islam.

Tetapi kalau mereka masuk Islam sebab mereka hendak berkahwin pun, bukan hak kita untuk mempersoalkan keislaman mereka. Walaupun kita nampak cara masuk Islam itu macam tidak kena, namun kita hanya boleh menilai manusia daripada sudut zahir sahaja.

Ingatlah kisah Usamah bin Zaid رضي الله عنه yang telah membunuh musuh yang mengucap syahadah di medan perang. Beliau hampir membunuh lelaki itu, tetapi semasa beliau hendak bunuh sahaja, lelaki itu telah mengucap syahadah. Pada beliau, tentulah lelaki itu mengucap syahadah kerana hendak menyelamatkan dirinya sahaja. Jadi, beliau terus membunuh lelaki tersebut.

Tetapi apabila diketahui oleh Nabi ﷺ, baginda telah memarahi Usamah رضي الله عنه dengan teruk sekali – Nabi ﷺ tanya: “Adakah kamu telah membelah dadanya sehingga kamu tahu isi hatinya?”

Maka jangan sangsi terhadap mereka yang masuk Islam walau apa cara pun. Dari pengalaman, kita boleh ketahui yang kadang-kadang ada orang yang masuk Islam kerana hendak berkahwin tetapi lama-kelamaan mereka telah mengamalkan Islam dengan sebenar kerana mereka telah dekat dengan Islam. Kadangkala mereka lebih baik daripada pasangan yang mereka kahwini itu.

وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم

dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Islam mementingkan keislaman dan keimanan seseorang itu. Tidak kira walaupun perempuan itu adalah seorang hamba. Kalau seorang hamba, tentulah kedudukan dia adalah rendah dalam masyarakat. Namun pada sisi Allah ‎ﷻ, bukan kedudukan dalam masyarakat yang penting, tetapi iman mereka.

وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا

Dan janganlah kamu kahwinkan (perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman

Ayat yang pertama adalah larangan kepada lelaki Muslim untuk mengahwini perempuan yang musyrik. Dalam ayat ini, khitabnya bukan kepada perempuan, tetapi kepada wali perempuan itu. Ada penggunaan sorof yang berbeza dalam ayat ini kerana mereka yang bertanggungjawab menentukan siapakah yang boleh dikahwini oleh perempuan di bawah jagaannya.

Allah ‎ﷻ melarang wali seseorang perempuan itu untuk mengahwinkan perempuan Muslim mereka kepada lelaki musyrik. Maka mereka kena periksa sama ada lelaki yang akan dikahwini itu Muslim ataupun tidak.

وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم

dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Hamba lelaki yang rendah kedudukan dalam masyarakat itu lebih baik daripada lelaki yang hebat tetapi tidak beriman.

أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ

Mereka itu mengajak ke neraka

Kenapa Allah ‎ﷻ larang? Kerana hendak menjaga agama kita. Kerana apabila kita sudah bersama dengan mereka, tentulah sedikit sebanyak kita akan terikut dengan cara-cara mereka. Kehidupan dan fahaman mereka mengajak kepada neraka. Maka hendaklah kita menyelamatkan diri kita daripada mereka.

وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ

sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya.

Sedangkan Allah ‎ﷻ hendak kita masuk ke syurga. Kita kena kejar akhirat yang lebih utama. Maka jangan tengok keindahan dunia sahaja.

Ayat ini mengingatkan kita yang kita hanya boleh masuk ke dalam syurga dengan dua syarat:

  1. Allah ‎ﷻ ampunkan semua dosa kita.
  2. Dengan izin atau dengan rahmat-Nya sahaja.

وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran.

Allah ‎ﷻ mengajar kita cara mencari pasangan hidup dalam ayat ini. Hendaklah kita mengambil perhatian dan ambil peringatan tentang perkara ini kerana lafaz zikir juga bermaksud ‘ingat’.

Memang sekarang seperti tidak kena dengan kita, tetapi apabila perlu, ia akan berguna, maka kita kena ingat tentang hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang macam tidak kena dengan kita sebab kita tidak amalkan arak, berjudi dan sebagainya. Tetapi akan sampai masa di mana kita memerlukan ilmu tentang perkara-perkara itu.

Tafsir Ayat ke-222

Masalah dua hala yang kelima dan terakhir yang para sahabat tanya kepada Nabi ﷺ adalah tentang pergaulan dengan wanita yang dalam haid. Seperti yang kita tahu, Islam amat mementingkan kebersihan. Maka banyak hukum-hukum dalam agama Islam adalah ke arah menjaga kebersihan luar dan dalam.

Hukum agama Islam tidak sama dengan hukum agama lain. Dalam agama Nasara, seorang lelaki boleh bersetubuh dengan perempuan yang dalam haid. Tetapi untuk agama Yahudi, tidak boleh langsung duduk bersama dengan wanita yang dalam haid sampaikan makan sekali pun tidak boleh.

Itu adalah dua ekstrim yang tidak ada dalam Islam. Dalam Islam, apabila seseorang wanita itu dalam haid, mereka hanya tidak boleh disetubuhi sahaja, tetapi dalam perkara-perkara lain tidak ada masalah, buat macam biasa sahaja. Jadi agama Islam berada di tengah-tengah antara Nasara dan Yahudi. Itulah sebabnya kita katakan yang agama Islam adalah agama yang praktikal.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.

Para sahabat bertanya tentang perempuan yang dalam haid kerana pada adat resam Arab Jahiliyyah pun, kalau seseorang perempuan itu dalam haid, maka dia hendaklah menjauhkan dirinya daripada orang lain sampaikan kena duduk dalam bilik yang gelap pun ada.

قُل هُوَ أَذًى

Katakanlah: “Darah haid itu kotoran”

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, darah haid itu memang satu kekotoran yang membahayakan. Ia adalah sesuatu yang kotor maka kerana itu diajar cara-cara untuk membersihkannya dalam bab Thaharah (Bab Suci).

فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan dalam haid itu

Oleh kerana darah haid itu kotor dan membahayakan kesihatan, persetubuhan sama sekali tidak dibenarkan. Kalimat ‘jauhkan diri kamu’ itu maksudnya jangan hampiri daripada segi persetubuhan. Bukanlah bermaksud jangan dekati daripada segi fizikal. Jangan sampai halau perempuan pula jauh daripada kita.

Jangan baca secara literal. Bahasa Al-Qur’an memang beradab dan kalau melibatkan seks, tidak disebut secara terang. Ia diberi sebagai isyarat sahaja dan kerana itu tidak malu kalau Al-Qur’an dibaca di khalayak ramai dan juga dibaca oleh kanak-kanak pun.

Satu hikmah kepada wanita, apabila tidak ada jimak, ia memberi kelegaan kepada mereka. Ini kerana waktu haid adalah waktu yang memenatkan dan kalau waktu itu pun kena layan suami, letih juga.

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتْ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى { وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ

Daripada Anas رضي الله عنه bahawa kaum Yahudi dahulu apabila kaum wanita mereka mengalami haid, mereka tidak memberinya makan dan tidak mempergaulinya di rumah. Maka para sahabat Nabi ﷺ bertanya kepada Nabi ﷺ. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, ‘Haid itu adalah suatu kotoran’. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ‎ﷻ kepadamu. Allah ‎ﷻ menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” [al-Baqarah: 222 ] maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Perbuatlah segala sesuatu kecuali nikah (bersetubuh)”. (Sahih Muslim no 455)

وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ

dan janganlah kamu hampiri mereka sebelum mereka suci.

Jangan bersetubuh dengan mereka selagi mereka tidak suci daripada haid itu. Maka, ‘jangan hampiri’ itu bukanlah bermaksud jangan dekati langsung, tetapi ia bermaksud tidak boleh jimak sahaja. Ada perkara yang lain yang boleh dilakukan.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا فَأَرَادَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَاشِرَهَا أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا ثُمَّ يُبَاشِرُهَا قَالَتْ وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ تَابَعَهُ خَالِدٌ وَجَرِيرٌ عَنْ الشَّيْبَانِيِّ

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu beliau pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.” (Hadith Bukhari no 291)

Begitu juga, Siti Aisyah رضي الله عنها pernah menceritakan hadith berikut:

قَبِيصَةُ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ الْأَسْوَدِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ كِلَانَا جُنُبٌ وَكَانَ يَأْمُرُنِي فَأَتَّزِرُ فَيُبَاشِرُنِي وَأَنَا حَائِضٌ وَكَانَ يُخْرِجُ رَأْسَهُ إِلَيَّ وَهُوَ مُعْتَكِفٌ فَأَغْسِلُهُ وَأَنَا حَائِضٌ

Telah menceritakan kepada kami Qabishah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Manshur daripada Ibrahim daripada Al Aswad daripada ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Aku dan Nabi ﷺ pernah mandi bersama daripada satu bejana. Saat itu kami berdua sedang junub. Baginda juga pernah memerintahkan aku mengenakan kain, lalu baginda mencumbuiku sementara aku sedang haid. Baginda juga pernah mendekatkan kepalanya kepadaku saat baginda iktikaf, aku lalu membasuh kepalanya padahal saat itu aku sedang haid.” (Hadith Bukhari no 290)

Di dalam kitab Sunan Abu Daud disebutkan sebuah hadith daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَعَرَّقُ الْعَظْمَ وَأَنَا حَائِضٌ فَأُعْطِيهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي فِيهِ وَضَعْتُهُ وَأَشْرَبُ الشَّرَابَ فَأُنَاوِلُهُ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي كُنْتُ أَشْرَبُ مِنْهُ

Daripada Aisyah رضي الله عنها beliau berkata; Aku pernah menggigit daging, sementara aku sedang haid, lalu daging itu aku berikan kepada Nabi ﷺ, maka baginda menggigitnya pada bahagian daging yang aku gigit dan aku minum, lalu aku berikan minuman itu kepada baginda, maka baginda meminumnya pada bahagian yang aku minum. (Sunan Abu Daud no 226)

Maksudnya wanita yang di dalam haid bukanlah najis sampaikan apa yang mereka sentuh pun tidak boleh disentuh. Itu adalah perbuatan ekstrim yang direka dalam agama Yahudi.

فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

Wanita-wanita dalam haid itu dikira suci apabila darah haid telah kering dan apabila mereka telah mandi. Bukan setakat darah haid sudah kering sahaja, tetapi kena mandi junub dahulu. Jadi, kena ada dua peringkat: darah sudah kering, kemudian mandi.

Maklumat lanjut tentang perkara ini dan hukum haid boleh dipelajari dalam kitab hadith dan kitab feqah.

Dengan cara yang diizinkan Allah ‎ﷻ bermaksud: melalui farajnya. Boleh untuk berjimak dengan isteri kita daripada hadapan, belakang, tepi dan sebagainya, tetapi hendaklah zakar memasuki lubang yang sama, iaitu faraj sahaja. Oleh itu, tidak boleh langsung mendatangi isteri dari lubang dubur. Ini amat dilarang.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ

Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

Kalau dahulu pernah mendatangi isteri dari dubur, maka bertaubatlah. Atau kalau pernah melakukan apa-apa kesalahan yang telah disebut di atas (mendatangi isteri dalam haid), maka bertaubatlah dan berhenti daripada melakukannya lagi.

Orang yang selalu bertaubat dikasihi oleh Allah ‎ﷻ. Mereka melakukan pembersihan dan penyucian diri mereka dari dalam. Apabila seseorang itu selalu bertaubat, itu bermakna mereka selalu memikirkan dosa-dosa mereka yang banyak. Apabila kita sedar kita ini banyak dosa, maka tentulah kita tidak menjadi orang yang meninggi diri.

وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Iaitu mereka yang berusaha membersihkan diri daripada segi fizikal.

Islam adalah satu-satunya agama yang menekankan kepentingan kebersihan dalam kehidupan. Zaman sekarang memanglah sudah tidak nampak lagi kerana orang-orang daripada agama lain pun ada yang mementingkan kebersihan, malah lebih baik lagi daripada orang Islam pun.

Tetapi sebenarnya dalam agama mereka tidak menekankan perkara ini. Agama Islamlah yang mula-mula menekannya. Lihatlah bagaimana banyak ayat-ayat dan hukum-hukum yang dikeluarkan yang mengajar umat Islam untuk menjaga kebersihan. Perkara-perkara itu tidak ada dalam agama lain.

Bukan sahaja pembersihan fizikal yang dimaksudkan, tetapi termasuk juga pembersihan hati dan jiwa.

Allahu a’lam.

Siri Tahqiq Al-Mathurat Syeikh Hassan Al-Banna: Zikir 14 – Wirid Pagi Dan Petang

0

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 10/18

 

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Fadilatnya :

 حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُوسَى أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ حَسَّانَ عَنْ سُهَيْلِ بْنِ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَالَ حِينَ يُمْسِي ثَلَاثَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ يَضُرَّهُ حُمَةٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

Berkata kepada kami Yahya bin Musa, telah menyampaikan kepada kami Yazid bin Harun, telah menyampaikan kepada kami Hisyam bin Hassan, daripada Suhail bin Abi Shalih, daripada ayahnya, daripada Abu Hurairah رحمه الله, daripada Nabi ﷺ, beliau bersabda: “Barang siapa yang mengatakan pada petang hari sebanyak 3 kali : “Aku berlindung dengan kalimat Allah ﷻ yang sempurna daripada keburukan apa-apa yang Dia ciptakan.” Maka dia tidak akan di celakakan oleh gigitan beracun pada malam itu.” (HR Muslim: 2709; At-Tirmizi: 3605, Imam At-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan. Syeikh Al-Albani mensahihkan. (Sahihul Jami’: 6427); No: 2708; Imam Ahmad di dalam Musnadnya: 15709). Disahihkan oleh Ahmad Syakir dan al-Arnaout. Hisnul Muslim: 82).

 

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 11/18

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada resah dan gelisah, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada sikap pengecut dan kikir, dan aku berlindung kepada-Mu daripada lilitan hutang dan tekanan orang.” (HR Bukhari)

Fadilatnya:

عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : لأَبِي طَلْحَةَ الْتَمِسْ غُلاَمًا مِنْ غِلْمَانِكُمْ يَخْدُمُنِي حَتَّى أَخْرُجَ إِلَى خَيْبَرَ فَخَرَجَ بِي أَبُو طَلْحَةَ مُرْدِفِي وَأَنَا غُلاَمٌ رَاهَقْتُ الْحُلُمَ فَكُنْتُ أَخْدُمُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا نَزَلَ فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ كَثِيرًا يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi ﷺ bersabda kepada Abu Thalhah,” Mintalah seorang anak daripada anak-anak kalian untuk berkhidmat kepadaku sehingga aku keluar menuju Khaibar, maka Abu Thalhah mengikutiku dan saat itu aku masih anak-anak, sejak saat itu aku melayani Nabi ﷺ sehingga aku baligh, jika dia turun daripada kenderaannya, saya mendengar beliau banyak membaca,” “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada resah dan gelisah, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada sikap pengecut dan kikir, dan aku berlindung kepada-Mu daripada lilitan hutang dan tekanan orang.”

Takhrij:

البخاري، كتاب الدعوات، باب التعوذ من غلبة الرجال، برقم 6363

Sahih Bukhari, kitab ad-Daawaat: 6363. (Hisnul Muslim: 117)

 

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 12/18

 

اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى بَدَنِى اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى سَمْعِى اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى بَصَرِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah, sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku, tidak ada Tuhan selain Engkau.

 

Zikir 14: Wirid pagi dan petang 13/18

 

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ وأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekafiran dan kefakiran, dan aku berlindung pula kepada-Mu daripada azab kubur, tidak ada Tuhan selain Engkau.

 

Fadilat kedua-dua zikir ini termuat dalam hadith yang satu.

حَدَّثَنَا الْعَبَّاسُ بْنُ عَبْدِ الْعَظِيمِ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالاَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عَمْرٍو عَنْ عَبْدِ الْجَلِيلِ بْنِ عَطِيَّةَ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ مَيْمُونٍ قَالَ حَدَّثَنِى عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِى بَكْرَةَ أَنَّهُ قَالَ لأَبِيهِ يَا أَبَةِ إِنِّى أَسْمَعُكَ تَدْعُو كُلَّ غَدَاةٍ اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى بَدَنِى اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى سَمْعِى اللَّهُمَّ عَافِنِى فِى بَصَرِى لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ تُعِيدُهَا ثَلاَثًا حِينَ تُصْبِحُ وَثَلاَثًا حِينَ تُمْسِى. فَقَالَ إِنِّى سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَدْعُو بِهِنَّ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ. قَالَ عَبَّاسٌ فِيهِ وَتَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ تُعِيدُهَا ثَلاَثًا حِينَ تُصْبِحُ وَثَلاَثًا حِينَ تُمْسِى فَتَدْعُو بِهِنَّ فَأُحِبُّ أَنْ أَسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ.

Menceritakan kepada kami Al-Abbas bin Abdul Azhim, dan Muhammad bin Al-Mutsanna, mereka berdua berkata, menceritakan kepada kami Abdul Malik bin Amru, daripada Abdul Jalil bin Athiyah, daripada Jaafar bin Maimun, beliau berkata, menceritakan kepadaku Abdur Rahman bin Abi Bakrah, bahawa beliau pernah berkata kepada bapanya,”Hai Ayahku, aku mendengar Engkau selalu membaca; Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah, sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkau membacanya tiga kali ketika pagi dan petang.” Maka ayahnya berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ berdoa dengannya, dan aku cinta melakukan sunnahnya.” Abbas meriwayatkan lanjutan hadith ini; “Dan Engkau juga membaca; Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekafiran dan kefakiran, dan aku berlindung pula kepada-Mu daripada azab kubur, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkau membacanya tiga kali ketika pagi dan petang hari.” Ayahnya berkata, “Berdoalah kalian dengannya, kerana aku mencintai melakukan sunnahnya.”

Takhrij:

فالحديث أخرجه أبو داود (5090) بالجمل الثلاث، وأخرجه النسائي في “الكبرى” (6/9-10/برقم9850)، (6/147/برقم 10407) وفي “عمل اليوم والليلة” (ص146/برقم 22)، (ص382/برقم 572) مقتصرًا على الجملتين الأوليين، ومن طريقه ابن السني في “عمل اليوم والليلة” برقم (69)، وأخرجه الطيالسي في “مسنده” (ص117/ برقم 868) بدون الثالثة، ومن طريقه البيهقي في “الشعب” برقم (23) وكذا الحافظ في “نتائج الأفكار” (2/389)، وأخرجه الطبراني في “الدعاء” (2/954-955/برقم 345) مقتصرًا على الجملة الأولى، وأخرجه أحمد في “مسنده” (34/74-75/برقم 20430) تامًّا بالجمل الثلاث، وأخرجه ابن أبي شيبة في “المصنف” (6/24/برقم 29175) مقتصرًا على الجملة الأولى، وأخرجه البخاري في “الأدب المفرد” (1/368/برقم 70)

(HR Ahmad: 5090, an Nasa’iy sunan al-Kubra: 9850, amal al-Yaum wa lailah: 22, Ibn sunni, amal al-Yaum wa lailah: 69. Thayalisi, Musnad: 868, al-Baihaqi, al-Syu’ab, Ibn Hajar, Nataij al-Afkar, Tabrani, ad-Du’a, Imam Ahmad, Musnad: 20430, Ibn abi-Syaibah, al-Musyanaf: 29, 175, al-Bukhari, adab al-Mufrad: 70.

Tahqiq al-Albani:

وحسَّن شيخنا الألباني – رحمه الله- سنده في “صحيح الأدب المفرد” وفي “صحيح سنن أبي داود” (3/959/برقم 4245) لكنه قال في “تمام المنة” (ص232): فالإسناد حَسَنٌ، أو قريب من الحسن

Status hadith hasan sahih, adab al- Mufrad, sahih Sunan Abu Daud: 4245, Tamam al-Minnah muka surat 232.

Tahqiq Dr Said Ali bin Wahaf, Hisnul Muslim, hasan, zikir no: 80.

 

Oleh: Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)

SIRI LA TAHZAN: Bab 197 – Kenangan Nan Indah Umur Yang Panjang (الذِّكْرُ الجميلُ عمرٌ طويلٌ)

0

La Tahzan 197: Kenangan Nan Indah Umur Yang Panjang (الذِّكْرُ الجميلُ عمرٌ طويلٌ)

منْ سعادِة العبدِ المسلمِ أنْ يكون لهُ عمرٌ ثانٍ ، وهو الذِّكْرُ الحسنُ ، وعجباً لمنْ وجد الذكْر الحسنَ رخيصاً ، ولمْ يشترِهِ بمالِه وجاهِه وسعيِه وعملِه .
وقدْ سبق معنا أنَّ إبراهيم عليهِ السلامُ طلب منْ ربِّه لسان صدْقٍ في الآخرِين ، وهو : الثَّناءُ الحسنُ ، والدعاءُ له

Antara yang membahagiakan ialah bila seorang hamba Muslim mempunyai umur yang kedua. Jasanya dikenang walaupun sudah tiada. Amat menghairankan, orang yang ingin dikenang jasanya tetapi tidak pernah berusaha baik dengan harta, kedudukan ataupun amalannya.

Renungilah bahawa Ibrahim عليه السلام memohon kepada Tuhannya agar dikurniakan “lisan sidqin”, لسان صدْقٍ kepada umat sesudahnya maksudnya Ibrahim dikenangi oleh generasi selepasnya dan diberi ucap selawat (Ibrahimiyah).

وعجبْتُ لأُناسٍ خلَّدوا ثناءً حسناً في العالمِ بحُسْنِ صنيعهِم وبكرمهِم وبذْلِهم ، حتى إنَّ عُمَرَ سأل أبناء هرِم بنِ سنانٍ : ماذا أعطاكمْ زهيرٌ ، وماذا أعطيتُموهُ ؟ قالوا : مَدَحَنا ، وأعطيناهُ مالاً . قال عمرُ : ذهب واللهِ ما أعطيتموهُ ، وبقي ما أعطاكمْ . يعني : الثناءُ والمديحُ بقي لهمْ أبد الدّهرِ

Amat mengagumkan perihal tokoh yang dikenang akan kebaikan, kemuliaan dan pengorbanannya. Sehingga Umar al Khattab رضي الله عنه pernah bertanyakan anak-anak Harim bin Sinan (tokoh Quraish era jahiliyyah) tentang Zuhair (Zuhair bin Abi Sulma, tokoh penyair arab era jahiliyyah), “Apa yang telah diberikan Zuhair kepada kamu dan apa yang kamu telah berikan kepada Zuhair?” Anak-anak Harim menjawab, “Zuhair telah memuji kami (dengan syairnya) dan kami memberikannya harta.”

Umar رضي الله عنه berkata,” Demi Allah ‎ﷻ, apa yang kamu berikan kepadanya (Zuhair) akan lenyap, sedangkan pujiannya kepada kamu akan kekal abadi.”

👁‍🗨 Maksudnya pujian dan sanjungan manusia akan kekal sepanjang masa.

SIRI LA TAHZAN: Bab 196 – Kebahagiaan Anugerah Tuhan (السعادةُ موهبةٌ ربَّانيَّة)

0

La Tahzan 196: Kebahagiaan Anugerah Tuhan (السعادةُ موهبةٌ ربَّانيَّة)

ليس عجباً أنْ يكون هناك نفرٌ من الناسِ يجلسون على الأرصفةِ ، وهم عُمَّالٌ لا يجدُ احدُهم إلا ما يكفي يومه وليلته ، ومع ذلك يبتسمون للحياةِ ، صدورُهم منشرِحةٌ وأجسامُهم قويةٌ ، وقلوبُهم مطمئنَّةٌ ، وما ذلك إلا لأنَّهم عَرَفوا أنَّ الحياة إنما هي اليومُ ، ولم يشتغلوا بتذكُّرِ الماضي ولا بالمستقبلِ وإنما أفنوْا أعمارهم في أعمالِهم .

Bukan suatu yang pelik jika ada orang-orang yang berpendapatan kecil seperti buruh boleh santai duduk dan tidur di atas lantai simen. Walaupun pendapatan kais pagi makan pagi, mereka terus senyum, dada yang lapang, tubuh yang kuat serta hati yang tenang. Ini kerana mereka hidup untuk hari ini dan tidak terlalu memikirkan masa lalu dan masa hadapan. Mereka menyibukkan diri dengan pekerjaan mereka saja.

🎵 Sebuah syair Arab:

وما أُبالي إذا نفسي تطاوعُني
على النَّجاةِ بمنْ قدْ عاش أو هلكا

“Aku tidak peduli jika nafsuku selalu menuntunku kepada kesejahteraan;
aku juga tidak peduli dengan mereka sama ada yang hidup atau sudah mati.”

 

وقارِنْ بين هؤلاء وبين أناسٍ يسكنون القصور والدُّور الفاخرة ، ولكنَّهمْ بَقُوا في فراغٍ وهواجس ووساوس ، فشتتهُمُ الهمُّ ، وذهب بهم كلَّ مذهبِ

Bandingkan pula dengan orang kaya yang tinggal di istana dan vila mewah. Mereka diselubungi kegelisahan, kekhuatiran dan kebimbangan. Kesudahannya mereka terumbang-ambing dalam pelbagai keinginan yang tidak tercapai.

🎵 Sebuah syair Arab:

لحا اللهُ ذي الدِّنيا مُناخاً لراكِبٍ فكُلُّ بعيدٍ الهمِّ فيها مُعذَّبُ

Allah melaknat dunia ini sebagai tempat rehat sementara untuk semua orang; siapa yang tidak pernah kecukupan di dalamnya, pasti akan terseksa.

SIRI LA TAHZAN: Bab 195 – Semoga Kamu Menjadi Lebih Baik (عسى أن يكون خيراً)

0

La Tahzan 195: Semoga Kamu Menjadi Lebih Baik (عسى أن يكون خيراً)

للسيوطي كتابٌ بعنوان ( الأرجُ في الفرج ) : ذَكَرَ منْ كلامِ أهلِ العلمِ ما مجموعُه يُفيدُنا أنَّ المحَابَّ كثيرةٌ في المكارهِ ، وأنَّ المصائب تُسفرُ عن عجائب وعن رغائب لا يُدركُها العبدُ ، إلا بعد تكشُّفِها وانجلائِها

Imam Jalaludin al Syuyuthi رحمه الله (asyut, Egypt, w.911H), di dalam kitabnya al Aruj Fi al Farj (Semerbak dalam Kebahagiaan): “Di sebalik apa yang disukai akan ada sesuatu yang pahit; di sebalik musibah-musibah akan ada keajaiban dan kemudahan di sebaliknya yang tidak disedari kecuali setelah tersingkap dengan jelas.”

🎵 Syair Arab:

لعَمْرُك ما يدري الفتى كيف يتَّقي نوائب هذا الدَّهرِ أمْ كيف يحْذرُ
يرى الشيء ممَّا يُتَّقى فيخافُه وما لا يرى مما يقِي اللهُ أَكْبَرُ

Demi umurmu,
Bagaimana kau harus berlindung atau menjauhi daripada hambatan zaman,
Dia melihat sesuatu yang dihindarinya dan merasa takut,
Padahal perlindungan Allah yang tidak terlihat jauh lebih besar.

Popular

Iklan

Iklan