Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-221 dan Ke-222

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-221 dan Ke-222

419
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-221

Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah disebutkan tentang tiga perkara yang mempunyai kesan dua hala (boleh jadi baik dan boleh jadi buruk) – Arak dan Judi, berapa yang perlu diinfaqkan dan ketiga, tentang penjagaan anak yatim.

Ini pula adalah ayat tentang institusi perkahwinan. Ia amat penting dalam masyarakat Islam. Ia diturunkan pada ketika komuniti Islam di Madinah sedang mula baru berkembang. Institusi keluarga yang baik akan menyebabkan masyarakat dalam keadaan baik. Persoalan yang ditimbulkan dalam ayat ini adalah: siapakah yang boleh dikahwini?

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekali pun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekali pun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman

Masalah yang mempunyai situasi ‘dua hala’ yang ke-empat adalah tentang perkahwinan. Ada wanita yang mempunyai rupa paras yang elok, budi bahasa yang baik dan daripada keluarga yang baik dan kaya pula, tetapi mereka tidak beriman. Daripada satu sudut, memang mereka itu menarik untuk dikahwini tetapi bagaimana pula dengan iman mereka?

Allah ‎ﷻ memberitahu dalam ayat ini supaya jangan berkahwin dengan mereka itu walaupun mereka mempunyai kelebihan-kelebihan yang banyak kerana kita mahu menjaga agama kita. Amat bahaya kalau mengahwini mereka kerana kita boleh terjebak dengan kesyirikan yang mereka lakukan.

Ini kerana walaupun kita tidaklah mengikut mereka 100 peratus dalam fahaman mereka, tetapi kalau sudah berkahwin dengan mereka, tentulah akan ada sedikit sebanyak yang kita ikut mereka kerana mereka isteri kita dan tentunya kita rapat dengan mereka. Kita takut perkara yang kita ikut itu adalah dalam perkara syirik. Jadi apabila ada pilihan antara dunia dan agama, maka hendaklah kita memilih untuk memelihara agama kita.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘musyrikin’. Jumhur ulama’ mengatakan yang ahli kitab tidak termasuk dalam ayat ini dan kerana itu hukum mengahwini perempuan daripada ahli kitab dibenarkan. Cuma ada yang kata termasuk sekali kerana tentulah ahli kitab itu ada juga melakukan syirik juga.

Tetapi pendapat jumhur tidak begitu kerana nampak seperti Allah ‎ﷻ membezakan antara Musyrikin dan Ahli Kitab. Memang Ahli Kitab pun ada juga yang melakukan syirik, tetapi daripada dalil yang ada, Allah ‎ﷻ membezakan Musyrikin dan Ahli Kitab dan tidak meletakkan mereka di dalam golongan yang sama.

Janganlah mengahwini golongan Musyrikin sehinggalah mereka masuk Islam. Apabila mereka sudah benar-benar menjadi Muslim, maka jangan kata buruk tentang mereka. Kalau dahulu mereka kafir, itu hal terdahulu. Kadang-kadang kita selalu pandang serong kepada mereka yang sudah masuk Islam. Kita rasa mereka masuk Islam kerana sebab-sebab tertentu – antaranya kerana hendak kahwin dengan orang Islam.

Tetapi kalau mereka masuk Islam sebab mereka hendak berkahwin pun, bukan hak kita untuk mempersoalkan keislaman mereka. Walaupun kita nampak cara masuk Islam itu macam tidak kena, namun kita hanya boleh menilai manusia daripada sudut zahir sahaja.

Ingatlah kisah Usamah bin Zaid رضي الله عنه yang telah membunuh musuh yang mengucap syahadah di medan perang. Beliau hampir membunuh lelaki itu, tetapi semasa beliau hendak bunuh sahaja, lelaki itu telah mengucap syahadah. Pada beliau, tentulah lelaki itu mengucap syahadah kerana hendak menyelamatkan dirinya sahaja. Jadi, beliau terus membunuh lelaki tersebut.

Tetapi apabila diketahui oleh Nabi ﷺ, baginda telah memarahi Usamah رضي الله عنه dengan teruk sekali – Nabi ﷺ tanya: “Adakah kamu telah membelah dadanya sehingga kamu tahu isi hatinya?”

Maka jangan sangsi terhadap mereka yang masuk Islam walau apa cara pun. Dari pengalaman, kita boleh ketahui yang kadang-kadang ada orang yang masuk Islam kerana hendak berkahwin tetapi lama-kelamaan mereka telah mengamalkan Islam dengan sebenar kerana mereka telah dekat dengan Islam. Kadangkala mereka lebih baik daripada pasangan yang mereka kahwini itu.

وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم

dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Islam mementingkan keislaman dan keimanan seseorang itu. Tidak kira walaupun perempuan itu adalah seorang hamba. Kalau seorang hamba, tentulah kedudukan dia adalah rendah dalam masyarakat. Namun pada sisi Allah ‎ﷻ, bukan kedudukan dalam masyarakat yang penting, tetapi iman mereka.

وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا

Dan janganlah kamu kahwinkan (perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman

Ayat yang pertama adalah larangan kepada lelaki Muslim untuk mengahwini perempuan yang musyrik. Dalam ayat ini, khitabnya bukan kepada perempuan, tetapi kepada wali perempuan itu. Ada penggunaan sorof yang berbeza dalam ayat ini kerana mereka yang bertanggungjawab menentukan siapakah yang boleh dikahwini oleh perempuan di bawah jagaannya.

Allah ‎ﷻ melarang wali seseorang perempuan itu untuk mengahwinkan perempuan Muslim mereka kepada lelaki musyrik. Maka mereka kena periksa sama ada lelaki yang akan dikahwini itu Muslim ataupun tidak.

وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم

dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Hamba lelaki yang rendah kedudukan dalam masyarakat itu lebih baik daripada lelaki yang hebat tetapi tidak beriman.

أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ

Mereka itu mengajak ke neraka

Kenapa Allah ‎ﷻ larang? Kerana hendak menjaga agama kita. Kerana apabila kita sudah bersama dengan mereka, tentulah sedikit sebanyak kita akan terikut dengan cara-cara mereka. Kehidupan dan fahaman mereka mengajak kepada neraka. Maka hendaklah kita menyelamatkan diri kita daripada mereka.

وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ

sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya.

Sedangkan Allah ‎ﷻ hendak kita masuk ke syurga. Kita kena kejar akhirat yang lebih utama. Maka jangan tengok keindahan dunia sahaja.

Ayat ini mengingatkan kita yang kita hanya boleh masuk ke dalam syurga dengan dua syarat:

  1. Allah ‎ﷻ ampunkan semua dosa kita.
  2. Dengan izin atau dengan rahmat-Nya sahaja.

وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran.

Allah ‎ﷻ mengajar kita cara mencari pasangan hidup dalam ayat ini. Hendaklah kita mengambil perhatian dan ambil peringatan tentang perkara ini kerana lafaz zikir juga bermaksud ‘ingat’.

Memang sekarang seperti tidak kena dengan kita, tetapi apabila perlu, ia akan berguna, maka kita kena ingat tentang hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang macam tidak kena dengan kita sebab kita tidak amalkan arak, berjudi dan sebagainya. Tetapi akan sampai masa di mana kita memerlukan ilmu tentang perkara-perkara itu.

Tafsir Ayat ke-222

Masalah dua hala yang kelima dan terakhir yang para sahabat tanya kepada Nabi ﷺ adalah tentang pergaulan dengan wanita yang dalam haid. Seperti yang kita tahu, Islam amat mementingkan kebersihan. Maka banyak hukum-hukum dalam agama Islam adalah ke arah menjaga kebersihan luar dan dalam.

Hukum agama Islam tidak sama dengan hukum agama lain. Dalam agama Nasara, seorang lelaki boleh bersetubuh dengan perempuan yang dalam haid. Tetapi untuk agama Yahudi, tidak boleh langsung duduk bersama dengan wanita yang dalam haid sampaikan makan sekali pun tidak boleh.

Itu adalah dua ekstrim yang tidak ada dalam Islam. Dalam Islam, apabila seseorang wanita itu dalam haid, mereka hanya tidak boleh disetubuhi sahaja, tetapi dalam perkara-perkara lain tidak ada masalah, buat macam biasa sahaja. Jadi agama Islam berada di tengah-tengah antara Nasara dan Yahudi. Itulah sebabnya kita katakan yang agama Islam adalah agama yang praktikal.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.

Para sahabat bertanya tentang perempuan yang dalam haid kerana pada adat resam Arab Jahiliyyah pun, kalau seseorang perempuan itu dalam haid, maka dia hendaklah menjauhkan dirinya daripada orang lain sampaikan kena duduk dalam bilik yang gelap pun ada.

قُل هُوَ أَذًى

Katakanlah: “Darah haid itu kotoran”

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, darah haid itu memang satu kekotoran yang membahayakan. Ia adalah sesuatu yang kotor maka kerana itu diajar cara-cara untuk membersihkannya dalam bab Thaharah (Bab Suci).

فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan dalam haid itu

Oleh kerana darah haid itu kotor dan membahayakan kesihatan, persetubuhan sama sekali tidak dibenarkan. Kalimat ‘jauhkan diri kamu’ itu maksudnya jangan hampiri daripada segi persetubuhan. Bukanlah bermaksud jangan dekati daripada segi fizikal. Jangan sampai halau perempuan pula jauh daripada kita.

Jangan baca secara literal. Bahasa Al-Qur’an memang beradab dan kalau melibatkan seks, tidak disebut secara terang. Ia diberi sebagai isyarat sahaja dan kerana itu tidak malu kalau Al-Qur’an dibaca di khalayak ramai dan juga dibaca oleh kanak-kanak pun.

Satu hikmah kepada wanita, apabila tidak ada jimak, ia memberi kelegaan kepada mereka. Ini kerana waktu haid adalah waktu yang memenatkan dan kalau waktu itu pun kena layan suami, letih juga.

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتْ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى { وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ

Daripada Anas رضي الله عنه bahawa kaum Yahudi dahulu apabila kaum wanita mereka mengalami haid, mereka tidak memberinya makan dan tidak mempergaulinya di rumah. Maka para sahabat Nabi ﷺ bertanya kepada Nabi ﷺ. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, ‘Haid itu adalah suatu kotoran’. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ‎ﷻ kepadamu. Allah ‎ﷻ menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” [al-Baqarah: 222 ] maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Perbuatlah segala sesuatu kecuali nikah (bersetubuh)”. (Sahih Muslim no 455)

وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ

dan janganlah kamu hampiri mereka sebelum mereka suci.

Jangan bersetubuh dengan mereka selagi mereka tidak suci daripada haid itu. Maka, ‘jangan hampiri’ itu bukanlah bermaksud jangan dekati langsung, tetapi ia bermaksud tidak boleh jimak sahaja. Ada perkara yang lain yang boleh dilakukan.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا فَأَرَادَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَاشِرَهَا أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا ثُمَّ يُبَاشِرُهَا قَالَتْ وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ تَابَعَهُ خَالِدٌ وَجَرِيرٌ عَنْ الشَّيْبَانِيِّ

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu beliau pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.” (Hadith Bukhari no 291)

Begitu juga, Siti Aisyah رضي الله عنها pernah menceritakan hadith berikut:

قَبِيصَةُ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ الْأَسْوَدِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ كِلَانَا جُنُبٌ وَكَانَ يَأْمُرُنِي فَأَتَّزِرُ فَيُبَاشِرُنِي وَأَنَا حَائِضٌ وَكَانَ يُخْرِجُ رَأْسَهُ إِلَيَّ وَهُوَ مُعْتَكِفٌ فَأَغْسِلُهُ وَأَنَا حَائِضٌ

Telah menceritakan kepada kami Qabishah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Manshur daripada Ibrahim daripada Al Aswad daripada ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Aku dan Nabi ﷺ pernah mandi bersama daripada satu bejana. Saat itu kami berdua sedang junub. Baginda juga pernah memerintahkan aku mengenakan kain, lalu baginda mencumbuiku sementara aku sedang haid. Baginda juga pernah mendekatkan kepalanya kepadaku saat baginda iktikaf, aku lalu membasuh kepalanya padahal saat itu aku sedang haid.” (Hadith Bukhari no 290)

Di dalam kitab Sunan Abu Daud disebutkan sebuah hadith daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَعَرَّقُ الْعَظْمَ وَأَنَا حَائِضٌ فَأُعْطِيهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي فِيهِ وَضَعْتُهُ وَأَشْرَبُ الشَّرَابَ فَأُنَاوِلُهُ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي كُنْتُ أَشْرَبُ مِنْهُ

Daripada Aisyah رضي الله عنها beliau berkata; Aku pernah menggigit daging, sementara aku sedang haid, lalu daging itu aku berikan kepada Nabi ﷺ, maka baginda menggigitnya pada bahagian daging yang aku gigit dan aku minum, lalu aku berikan minuman itu kepada baginda, maka baginda meminumnya pada bahagian yang aku minum. (Sunan Abu Daud no 226)

Maksudnya wanita yang di dalam haid bukanlah najis sampaikan apa yang mereka sentuh pun tidak boleh disentuh. Itu adalah perbuatan ekstrim yang direka dalam agama Yahudi.

فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

Wanita-wanita dalam haid itu dikira suci apabila darah haid telah kering dan apabila mereka telah mandi. Bukan setakat darah haid sudah kering sahaja, tetapi kena mandi junub dahulu. Jadi, kena ada dua peringkat: darah sudah kering, kemudian mandi.

Maklumat lanjut tentang perkara ini dan hukum haid boleh dipelajari dalam kitab hadith dan kitab feqah.

Dengan cara yang diizinkan Allah ‎ﷻ bermaksud: melalui farajnya. Boleh untuk berjimak dengan isteri kita daripada hadapan, belakang, tepi dan sebagainya, tetapi hendaklah zakar memasuki lubang yang sama, iaitu faraj sahaja. Oleh itu, tidak boleh langsung mendatangi isteri dari lubang dubur. Ini amat dilarang.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ

Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

Kalau dahulu pernah mendatangi isteri dari dubur, maka bertaubatlah. Atau kalau pernah melakukan apa-apa kesalahan yang telah disebut di atas (mendatangi isteri dalam haid), maka bertaubatlah dan berhenti daripada melakukannya lagi.

Orang yang selalu bertaubat dikasihi oleh Allah ‎ﷻ. Mereka melakukan pembersihan dan penyucian diri mereka dari dalam. Apabila seseorang itu selalu bertaubat, itu bermakna mereka selalu memikirkan dosa-dosa mereka yang banyak. Apabila kita sedar kita ini banyak dosa, maka tentulah kita tidak menjadi orang yang meninggi diri.

وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Iaitu mereka yang berusaha membersihkan diri daripada segi fizikal.

Islam adalah satu-satunya agama yang menekankan kepentingan kebersihan dalam kehidupan. Zaman sekarang memanglah sudah tidak nampak lagi kerana orang-orang daripada agama lain pun ada yang mementingkan kebersihan, malah lebih baik lagi daripada orang Islam pun.

Tetapi sebenarnya dalam agama mereka tidak menekankan perkara ini. Agama Islamlah yang mula-mula menekannya. Lihatlah bagaimana banyak ayat-ayat dan hukum-hukum yang dikeluarkan yang mengajar umat Islam untuk menjaga kebersihan. Perkara-perkara itu tidak ada dalam agama lain.

Bukan sahaja pembersihan fizikal yang dimaksudkan, tetapi termasuk juga pembersihan hati dan jiwa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan