Utama Blog Halaman 297

Fiqhud Dalil : Ceramah sarat hadis palsu dan dhaif, wajarkah untuk keluar?

0

Wajarkah keluar sekiranya ceramah dipenuhi dengan hadis palsu dan dhaif

 

S: Hadis syurga di bawah telapak kaki ibu tu memang palsu kan?

Jawapan Utz Fathi: Lafaz “syurga di bawah tapak kaki para ibu” hadith batil namun maknanya benar. Manakala hadith dengan lafaz “tetaplah bersamanya (ibu), kerana syurga berada di bawah kedua kakinya” hadith Sahih, dikeluarkan al-Nasaie dan didiamkannya.

 

S: Macam mana dengan kisah Nabi suka makan tembikai? Dan Nabi akan mula makan dari belah kanan.

 

Jawapan Ustaz Adli Khalim:

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Setiap wanita hamil yang makan buah tembikai, maka anaknya akan cantik wajahnya dan baik akhlaknya.”

Kata Ibn Al-Jauzi dalam kitabnya, Al-Maudhu’at:

“Tiada satu pun fadhilat tembikai yang Shahih. Melainkan Rasulullah s.a.w pernah memakannya.”

Ibn Al-Jauzi tak sebut Nabi suka makan, beliau cuma sebut Nabi pernah makan. Wallahu a`lam.

 

S: Kisah (hadis) Nabi s.a.w tidak berkongsi makan limau kerana masam tu; Apa statusnya?

Jawapan Utz Adli Khalim: Tak benar. Pernah discuss dalam AFN.

 

S: Saya dengar ustaz ceramah di masjid. Dan saya rasa banyak sangat rekaan-rekaan dalam ceramahnya. Wajarkah saya tinggalkan ceramah itu? .

S2: Saya pun nak minta pandangan semua adakah perlu kita hadir kuliah ustaz tu, dia suka baca hadis dhaif dan palsu dalam kuliahnya?

Jawapan Utz Adli Khalim: Baik tinggalkan. Isi masa yang kosong tu untuk cari kuliah ustaz-ustaz yang boleh mendekatkan kita kepada sunnah.

 

Reda Dan Damaikan Pertelingkahan: Cabang Iman Ke-76

0

Oleh: Ustaz Azril Ismail

 

Assalamu’alaikum Bismillahi walhamdulillah wa solatu wasalamu ala Rosulillah

Kita reverse ke cabang iman ke 76 yakni mendamaikan dan meredakan pertelingkahan.

Ianya seperti yang disebut dalam As Sahihain dari hadis Umm Kalsum

ولحديث ام كلثوم بنت عقبة بن ابي معيط رضي الله عنها في 

الصحيحين ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس فيقول خيرا وينمي خيرا قالت ولم اسمعه يرخص في شيء مما يقول الناس كذبا الا في ثلاث الحرب والاصلاح بين الناس وحديث الرجل امراته وحديث المراة زوجها

Yang mafhum maksudnya “tidaklah menipu seseorang yang mendamaikan sesama manusia,,”

Bagaimanakah Rasulallah saw mendamaikan manusia.. ianya telah ditunjukkan dengan sunnah baginda dalam sirah apabila Aus dan Khazraj di damaikan dari peperangan yang telah menjadi tradisi ratusan tahun.

Banyak lagi contoh ditunjukkan oleh Rasulallah saw.. dalam hal mendamaikan.. antara lain mendamaikan dalam kes parit dan saliran air untuk tanaman kurma

Insya Allah saya dapatkan perincian untuk perkara ini

04.03 Makki & Madani – Cara Mengenal Pasti dan Perbezaan

0

Kita sambung perbincangan tentang topik Makki dan Madani dari bahagian yang kita tinggalkan sebelum ini.

#180615 Bilik (09) Ulum al-Quran

 

04.03 Makki & Madani – Cara Mengenal Pasti dan Perbezaan

Para ‘ulama menggunakan dua kaedah untuk mengenal pasti Makki dan Madani:

 

1) Kaedah al-Simaa’i al-Naqli (النهج السماعي النقلي), di mana mereka akan merujuk kepada periwayatan-periwayatan yang sahih yang bersambung sanadnya kepada para sahabat yang menyaksikan sendiri penurunan wahyu, atau kepada tabi’in yang bertemu dan mengambil manfaat ilmu dari para sahabat yang memberikan cara penurunan, lokasi-lokasinya dan peristiwa-peristiwanya. Dan majoriti Makki Madani dikenal pasti melalui kaedah ini yang mana ianya banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab berkaitan tafsir, sebab nuzul dan lain-lain

2) Kaedah al-Qiyasi al-Ijtihaadi (المنهج القياسي الإجتهادي), di mana para ulama akan melihat kepada karakteristik dan keunikan mesej-mesek Makki dan Madani. Mereka mendapati bahawa surah atau ayat Makki, mempunyai tema dan fokus yang tertentu, berbeza dari surat atau ayat Madani. Boleh jadi dalam satu surah, yang dikenal-pasti sebagai Makki, di dalamnya pula ada ayat yang memiliki mesej yang menyerupai Madani, dan sebaliknya. Contoh yang lain, adalah apabila keseluruhan surah menceritakan kisah para nabi dan umat-umat yang terdahulu, ianya Makkia, dan surah yang di dalamnya ada penetapan kefardhuan dan hukuman, ianya Madani.

 

Adapun perbezaan Makki dan Madani, dibincangkan kepada tiga pendapat:

i- Perspektif Masa Penurunan: Surah atau ayat Makki turun sebelum Hijrah, walaupun bukan di Mekah. Manakala surah atau ayat Madani turun selepas Hijrah, walaupun bukan turun di Madinah. Pendapat ini adalah lebih utama dipilih berbanding dua pendapat selepas ini.

ii- Perspektif Lokasi Penurunan: Surah atau ayat Makki adalah yang turun di Mekah dan lokasi-lokasi berhampiran seperti Mina, ‘Arafah dan Hudaibiyah. Manakalaha surah atau ayah Madani turun di Madinah dan kawasan persekitarannya seperti Uhud, Quba’ dan Sila’.

 

Dan pendapat ini mempunyai kelemahan kerana terdapat ayat-ayat yang turun selain dari tempat-tempat yang telah disebutkan, seperti di Tabuk, Baitul Maqdis, dan lain-lain.

iii- Perspektif Sasaran Pendengar: Surah atau ayat Makki adalah yang ditujukan kepada orang-orang Mekah. Adapun, surah atau ayat Madani ditujukan kepada orang-orang Madinah.

Dan pendapat ini diasaskan dari pembahagian ayat yang bermula dengan “Wahai manusia..” (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) sebagai Makki, dan ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman..” (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) sebagai Madani.

Dan didapati pula, bahawa majoriti ayat al-Quran tidaklah bermula dengan ayat-ayat di atas. Malah ada surah yang sebenarnya Madani, tetapi di dalamnya ada ayat yang bermula dengan “Wahai manusia..” (يَا أَيُّهَا النَّاسُ), seperti dalam surah alBaqarah, ayat 21.

 

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan

 

#BroSyariefShares

Q&A Bersama Dr. Fathi Al-Sakandary Siri #6

0

S57: Apakah status hadith Barakah (pembantu Ummu Salamah dan Ummu Aiman yg minum air kencing nabi?
ِ
J57: Ianya hadith Dha’if bahkan tiada satupun hadith yang Sahih dalam bab ini. Hadith Barakah Umm
Yusuf meminum air urin Nabi datang dari jalur Ibn Juraij dari Hukaimah bint Umaimah dari Ibunya, ianya
adalah hadith Dha’if. Baginya beberapa penyakit:

  1. Jahalahnya Hukaimah, berkata al-Zahabi tentangnya “معروفة رٌغ – tidak dikenali” (Mizan al-‘Itidal, 1/587)
  2. Matan hadith baginya ittirab dengan ittirab yang berat.

Ketahuilah bahawa urin Nabi SAW adalah seperti urin manusia lainnya dan baginya hukum najis yang sama, ini kerana telah thabit Sahih bahawa Nabi SAW melakukan istinja’ selepas membuang urin, ini menunjukkan ia najis. Tidak Sahih walaupun dari seorang Sahabat bahawa mereka meminum air urin Nabi SAW, dan tiada yang Sahih dalam ini walaupun satu. Allah Maha Mengetahui. Nota: air urin = air kencing, english : urine

 

S58: Apakah status hadis ini: Rasulullah SAW bersabda:Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia maka tubuhnya tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para Malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (HR Qurthuby).

J58: Hadith Palsu, mengi’lalkan hadith ini oleh al-Qurtubi sendiri apabila dia berkata. Ianya Gharib. Isnad hadith ini baginya beberapa penyakit; Nasr bin Hammad seorang pendusta hadith, sebagaimana kata al-Imam Ibn Ma’in dan lainnya. Bersama-sama itu, Nasr juga tafarrud bagi hadith ini. Ini qarain menguatkan bahawa ia palsu. Matannya bercirikan hadith Palsu, ini qarain menguatkan palsunya ia. Jahalahnya Malik bin Abdullah al-Azdi serta al-‘Abbas al-Qurasyi. Allah Maha Mengetahui.

 

S59: Sabda Nabi SAW : Barangsiapa mendengar ia akan bang maka mengucup ia akan dua ibu tangannya maka menghantar ia yakni akan keduanya atas 2 matanya dan berkata ia ‘‘Marhaban bizikrillahi ta’ala qurrotu a’yunina bika ya Rosulallah’’ maka akulah yang mensyafa’atkan akan dia pada Hari Qiamat dan yang menolong akan dia kepada syurga (faedah). Ada yang menyatakan hadis diatas daif dan diamalkan dalam fadhil a’ mal.. mashyur dalam kitab thurah jawi. Saya juga selalu nampak beberapa orang di tempat saya mengamalkan amalan ni. Soalan saya adakah benar ia daif ?

J59: Munkar, tiada yang Sahih dalam bab. Allah Maha Mengetahui

 

S60: Mohon pencerahan status hadis ni. (حسن الظن من حسن العبادة) Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, beliau bersabda “Baik sangka itu termasuk baiknya ibadah”

J60: Hadith Dhaif, dikeluarkan antaranya oleh Ahmad dan lafaz dalam soalan adalah lafaz Ahmad, juga dikeluarkan al-Tirmizi dengan lafaz “bersangka baik dengan Allah…”, hadith diDha’ifkan oleh al-Tirmizi sendiri dengan katanya “Gharib”, juga oleh al-Daraquthni dalam al-‘Ilal. Hadith ini walaupun Dhaif isnadnya, namun intipati maknanya benar. Allah Maha Mengetahui.

 

S61: Bagaimana berinteraksi dengan kisah gharib dalam kitab tarajim seperti tazkiratul huffaz, hilyatul awlia dan lain-lain?

J61: Semak kesahihannya, dan melihat penjelasan ulama baginya. Allah Maha Mengetahui.

 

S62: Apakah panduan beramal hadits-hadits dhaif yg meriwayatkan doa?

J62: Boleh beramal dengan hadith-hadith Dha’if berkait doa, perlu diketahui bahawa manhaj para huffaz salaf dalam berinteraksi dengan hadith-hadith doa secara khusus ialah: hadith-hadith doa walaupun ia tidak thabit dari segi naqal, iaitu samada ia dha`if khafif, atau dha`if jiddan, atau maudhu’ (palsu) sekalipun, hukum beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan), selagimana isi kandungan doa itu tidak bertentangan dengan asas-asas umum agama, dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. Al-Imam Ibn Khuzaimah (311H) dalam kitab beliau Mukhtasarul Mukhtasar, dalam bab al-Manasik, telah menerangkan kecacatan (‘illah) satu hadith yang mengandungi doa. Namun , sejurus selepas itu beliau berkata hadith doa ini sekalipun tidak ‘thabit’ dari segi naqal (iaitu rantaian periwayatan samada dhaif khafif, atau dhaif jiddan, atau maudhu’ (palsu) sekalipun) namun ia mubah (boleh) diamalkan. Isyarat yang sama dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi, Imam `Abdulrahman ibn Mahdi dan lain-lain. Antara sebab bolehnya beramal dengan hadith-hadith doa yang dha`if ini ialah kerana lafaz doa adalah bersifat bebas dan tidak terikat sepertimana lafaz zikir yang ma’thur dari Nabi SAW. Maka berdoa dengan menggunakan lafaz hadith-hadith doa yang dha`if adalah lebih utama daripada menggunakan lafaz doa yang bersifat bebas, bahkan tanpa sanad langsung.

Walaubagaimanapun, sekiranya dalam sesuatu perkara itu telah mempunyai hadith doa yang sahih, maka beramal dengan hadith doa yang sahih itu sudah tentu lebih utama daripada beramal dengan hadith doa yang dha`if atau palsu. Hal ini berbeza dengan hadith-hadith dalam fadha`il `amal yang lain (selain daripada jenis doa) dimana syaratnya agak ketat sedikit berbandiang hadith-hadith doa, iaitu ia boleh diamalkan dengan beberapa syarat antaranya ia bukan hadith yang dha`if jiddan, tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. Allah Maha Mengetahui.

 

S63: Berkenaan hadis “tuntut ilmu ke negeri china”.. telah saya baca di blog Dr Fathi.. cuma ingin tahu adakah ada pendapat lain mengenai hadis ini ?

J63: Ianya hadith Batil. Sebahagian silap menilainya Hasan, dan telah saya bantah hujah mereka yang cuba menguatkan hadith ini dalam risalah saya bertajuk “Penjelasan Status Hadith: Anjuran menuntut ilmu ke negara Cina”. Allah Maha Mengetahui.

 

S64: adakah hadis sahih yang menceritakan kelebihan (menyentuh/melihat/apa2 sahaja yg berkaitan) kaabah?

J64: Terdapat riwayat yang menyatakan melihat ka’bah adalah ibadah, namun tiada satupun hadith marfu’ yang Sahih dalam bab. Namun ada athar, Ahmad bin Hanbal menyatakan melihat baitullah adalah ibadah, yang dimaksudkan di sini ialah bukan semata-mata melihat itu menjadi ibadah, dan tidaklah boleh seseorang beribadah dengan melihat ka’bah, kerana ibadah memerlukan dalil Sahih, yang dimaksudkan oleh Ahmad bin Hanbal dengan ungkapannya itu ialah secara sastera, iaitu jika seseorang melihat ka’bah sambil mengingat kebesaran Allah, dan sambil berdoa atau berzikir yang disyariatkan, maka baginya pahala. Allah Maha Mengetahui.

 

S65: adakah ada mana-mana hadis sahih yang menceritakan berzikir sambil menari ?

J65: Tiada yang Sahih. Terdapat satu riwayat yang suka digunakan para sufi, seingat saya dalam Musnad al-Imam Ahmad, dan ianya adalah hadith Munkar. Allah Maha Mengetahui.

 

Pengajian 8 : Qawai’d Fiqh

0

Kaedah keempat

الضرر يزال

Kemudharatan dihilangkan.

 

وأصلها قول النبى لا ضرر # ولا ضرار حسبما قد استقر

قالوا وينبنى عليها ما لا # يحصر أبوابا فع المقالا

Asalnya adalah sabda nabi صلى الله عليه وسلم tiada kemudharatan. Dan tiada memudharatkan mengikut yang sudah ditetapkan. Mereka berkata: diasaskan atasnya sesuatu yang tidak. Terbatas bab-babnya, maka ingatlah kata-kata
itu.

Asas kepada kaedah ini ialah hadis riwayat Malik, Hakim, Baihaqi dan lain-lain.

 

لا ضرر ولا ضرار فى الاسلام

Tiada kemudharatan dan memudharatkan dalam Islam.

 

Maksudnya Islam memerintahkan supaya mengelakkan diri daripada mudharat dan memudharatkan org lain.Di bawah kaedah ini terletak pelbagai masalah agama merangkumi masalah ibadat, mu’amalah, jenayah dan sebagainya.

 

ثم بها قواعد تعتلق # كما حكى المؤلف المحقق

منها الضرورات تبيح المحتظر # بشرطها الذى له الاصل اعتبر

Kemudian berkait dengannya kaedah-kaedah. Sebagaimana yang dihikayatkan oleh pengarang yang mentahkikkan. Antaranya mudharat mengharuskan suatu yang terlarang. Dengan syarat yang telah diambilkira asalnya.

 

Kaedah utama di bawahnya terdapat kaedah-kaedah yang lain. Antaranya:

 

الضرورات تبيح المحظورات

Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

 

Kaedah tersebut berkait juga dengan syarat-syarat yang mengharuskan perkara yang dilarang itu. Dan ia terdapat didalam kaedah-kaedah selepas ini. Antara contoh, orang yang hampir mati, tiada makanan atau minuman kecuali yang haram. Kalau tidak makan berat sangka akan mati. Maka dalam keadaan itu makanan yang haram diharuskan.

 

وما ابيح للضرورة قدر # بقدرها حتما كاكل المضطرر

لكنه خرج عن ذا صور # منها العرايا واللعان يذكر

Sesuatu yang diharuskan kerana dharurat dianggarkan (keharusan itu). Dengan kadarnya (dharurat) secara pasti seperti makan bagi orang yang terpaksa. Tetapi dikecualikan dari syarat ini beberapa masalah. Antaranya yang disebutkan ialah ‘araya dan li’aan.

 

Sya’ir ini isyarat kepada kaedah cabangan kepada kaedah ke-4 iaitu:

 

ما ابيح للضرورة قدر بقدرها يعنى بقدر الضرورة

Suatu yang diharuskan kerana dharurat ditentukan / diharuskan mengikut qadar yang dharurat sahaja.

 

Contohnya jika seorang dalam keadaan dharurat hampir mati jika tidak minum, lalu yang ada hanyalah arak sahaja, memadai untuknya meneruskan hidup dengan 2 teguk arak sahaja, maka dibenarkan untuknya kadar itu sahaja. Tidak boleh dia minum sampai sebotol. Kecuali dia memang memerlukan kepada hilang dahaga seperti akan merentasi perjalanan yang masih jauh dan perlu minum banyak pada ketika itu.

Yang dikecualikan dari kaedah di atas antaranya jual beli ‘araya. Jual beli itu ialah jual beli ruthob iaitu kurma yang masih segar dan basah atas pokok dengan kurma kering. Jual beli tersebut termasuk dalam jual beli yang dilarang kerana terdapat unsur riba.

Nabi صلى الله عليه وسلم melarang dari pertukaran tamar dengan tamar. Tetapi baginda memberikan kelonggaran pada ‘araya kerana keperluan kepada orang yang memerlukannya. Orang miskin yang tidak mempunyai wang umpamanya, mempunyai tamar kering tetapi memerlukan tamar basah iaitu ruthob. Maka baginda memberikan rukhsah jual beli @ pertukaran tersebut dengan beberapa syarat.

  1. Pembeli memerlukan kurma basah,samaada utk makan atau beri kepada org lain.
  2. Pembeli tidak mempunyai duit tapi cuma ada kurma kering.
  3. Dibolehkan setakat 5 wasaq atau kurang.
  4. Kiraan timbangan adalah ikut timbangan kurma kering.

 

Berkaitan dengan kaedah di atas,jika perkara dharurat yang lain dibenarkan setakat menghilangkan dharurat, tetapi yang ini dibolehkan walaupun lebih dari keperluan. Antara lain yang dikecualikan dari kaedah ini ialah dalam masalah li’aan. Iaitu suami menuduh isterinya berlaku curang dengan orang lain. Asal hukum, menuduh orang melakukan zina tidak boleh tanpa dibawa 4 saksi.Tapi dalam masalah ini diharuskan atas dasar suami terdesak untuk menafikan anak darinya. Dan keharusan itu dengan sumpah dirinya sendiri dengan 4 kali sumpah. Tapi ramai ulama tidak bersetuju dengan 2 contoh yang dikemukakan dalam pengecualian daripada kaedah ini kerana tidak didapati mudharat didalam kedua-duanya.

 

فائدة ثم المراتب هنا # تعد خمسة كما قد زكنا

ضرورة وحاجة ومنفعة # وزينة ثم فضول تبعه

Satu faedah / point kemudian peringkat-peringkat di sini (kaedah ini). Dibilang lima sebagaimana yang sudah diketahui. Dharurat, hajat dan manfaat. Perhiasan kemudian lebihan menyusulinya.

 

Dalam kaedah ini dibincangkan tentang tahap sesuatu masalah itu sama ia dalam keadaan dharurat atau keperluan dan mengganggu atau tidak dan sebagainya. 5 tahap keperluan manusia,yang boleh dikaitkan dengan kaedah ini hanya 1 sahaja.

  1. Dharurat. AzZarkasyi berkata iaitu sampai satu tahap jika seseorang tidak mengambil sesuatu yang haram dia akan binasa, mati atau hampir dengan keduaduanya atau binasa mana-mana anggota. Orang yang terpaksa makan atau pakai yang haram di mana jika dia tidak melakukan sedemikian dia akan mati.Kalau sampai tahap ini, maka dia boleh ambil yang haram kerana dharurat.
  2. Hajat. Iaitu seseorang berada di satu tahap dia berhajat kepada sesuatu, tapi tidak sampai peringkat kalau tak mengambilnya dia akan mati. Seperti makan suatu yang haram, jika tidak makan pun tidak mengapa. Tahap ini tidak mengharuskan suatu yang haram.
  3. Manfaat. Iaitu seseorang memperolehi sesuatu disebabkan condong keinginannya kepada perkara tersebut. Yang ini juga tidak menghalalkan yang haram. Dia inginkan sesuatu itu kerana baginya ada manfaat.
  4. Perhiasan. Iaitu maksud seseorang mendapatkan suatu dengan maksud bermewah-mewah, seperti makan buah-buahan, pakaian yang ditenun dari sutera dan kapas. Ini juga tidak menghalalkan yang haram.

 

Pembahagian di atas bagi sesetengah ulama adalah tidak perlu bagi kaedah ini. *Saya hanya kemukakan kerana sya’ir dari kitab ini merangkumi juga pembahagian tersebut.

 

وكل ما جاز لعذر بطلا # عند زواله كما تاصلا

Setiap yang harus kerana uzur menjadi batal. Ketika hilangnya keuzuran itu sebagaimana mengikut asal @ kaedah.

 

Dalam sya’ir tersebut terdapat kaedah cabangan iaitu

 

كل ما جاز لعذر او الضرورة بطل الجواز او الرخصة عند زوال العذر أو الضرورة

Setiap perkara yang menjadi harus kerana sesuatu keuzuran atau suatu  mudharat, batal rukhsah atau keharusan itu bila hilangnya keuzuran atau dharurat tersebut.

 

Contoh; Orang yang dalam keadaan mudharat nak mati kerana tiada makanan, dibenarkan makan @ minum yang haram. Bila sudah hilang rasa perit nak mati tu maka keharusan tadi hilang. Atau bila sudah ada makanan @ minuman yang halal maka keharusan makan yang haram itu terangkat. Begitu juga orang yang sakit anggota tidak boleh kena air, maka dibenarkan tayammum. Bila sudah hilang sakit itu maka keharusan tayammum tiada lagi.

 

وعد من تلك القواعد الضرر # على الدوام لا يزال بالضرر

لكنه استثنى مهما يكن # فردهما اعظم ضرا فافطن

فانه يرتكب الذى يخف # كذا فى المفسدتين قد وصف

Dan dikira termasuk dalam kaedah ini ialah kemudharatan. Berterusan tidak hilang dengan sebab kemudharatan (yang berlaku pada org lain). Tetapi dikecualikan bilamana. Salah satu darinya lebih besar mudharat. Fahamilah Kerana boleh dilakukan yang lebih ringan daripada kedua-duanya. Begitulah pada dua perkara yang merosakkan yang telah disifatkan.

 

Sya’ir di atas merujuk kpd kaedah cabang iaitu;

 

الضرر لا يزال بالضرر

Kemudharatan tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang lain.

 

  1. Menghilangkan mudharat pada seseorang dengan mengenakan mudharat yang lain.
  2. Menghilangkan mudharat pada seseorang dengan memudharatkan orang lain.

 

Kedua-duanya tidak dibenarkan kerana jika dihilangkan mudharat dengan mudharat maka tiada sebarang makna mudharat dihilangkan dan tidak menepati maksudnya. Merangkumi pelbagai masalah:

Contoh; Seseorang yang tersepit dengan bebanan hutang, tidak mampu membayar hutang kereta, lalu untuk menghilangkan kemudharatan kereta ditarik, dia mengambil hutang yang lain yang mana kemudharatannya adalah sama sahaja.

Seseorang yang sakit,mengalami satu penyakit yang memudharatkan lalu dihilangkan mudharat penyakit tersebut dengan sejenis ubat tapi ia memberikan kesan sampingan mudharat yang lain yang tidak kurang mudharatnya dari yang pertama.

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda

 

لا تعذبوا صبيانكم بالغمز

Jangan kamu mengazab anak-anak kamu dengan picit iaitu picit tonsil di leher lalu keluar darah melalui hidung. Tujuannya untuk menghilangkan sakit tonsil tapi jadi sakit lain.

 

Contoh; Seseorang dahaga nak mati, yang ada hanya segelas arak, ketika tu harus dia minum arak. Tiba-tiba datang seseorang lagi keadaan sama, maka kemudharatan orang kedua tak boleh dihilangkan dengan memudharatkan orang pertama iaitu beri minum kepada orang kedua. Dalam makna lain tidak boleh dihilangkan mudharat pada seseorang dengan berlaku mudharat kepada yang lain.

Contoh; Seseorang hampir jatuh dari bangunan, untuk mengelak dia mati, maka seorang yang lain menahan tubuhnya yang boleh menyebabkan yang ke-2 pula mati. Kaedah ni boleh dipakai terutamanya dalam masalah perubatan. Untuk menyelamatkan anak dalam kandungan tapi memudharatkan ibu atau sebaliknya. Sepertimana kes yang berlaku akhir-akhir ini, kononnya untuk mengelakkan kesakitan semasa bersalin, menyuntik ubat tahan sakit tetapi kesannya sakit lebih teruk.

Dikecualikan dari kaedah tadi apabila salah satu mudharat lebih besar dari yang satu lagi.

 

Kaedah cabang seterusnya.

 

ارتكاب أخف الضررين

Mengambil / melakukan mudharat yang lebih ringan.

 

Contoh; Seseorang berhutang kereta tidak boleh bayar dan kereta akan kena tarik. Mudharat yang dia hadapi menanggung hutang dan kereta akan ditarik, lalu ia mengambil hutang satu lagi untuk melunaskan hutang kereta tersebut. Maka di sini dia mengambil mudharat yang lebih ringan iaitu semata-mata menanggung hutang dengan menolak hutang dan ditarik kereta. Jadi tidak salah menanggung mudharat untuk menolak mudharat yang lebih besar.

Ia boleh merangkumi pelbagai masalah. Umpamanya memudharatkan seorang ibu dengan membelah perutnya untuk keluarkan anak dalam keadaan hidup.

 

كذاك فى المفسدتين قد وصف

Begitu juga dengan 2 mafsadah / yang merosakkan.

 

Elakkan dari yang lebih besar kerosakannya. Antara contoh yang dikemukakan ulama ialah kisah a’rabi yang kencing didalam masjid. Sahabat mengherdik dan cuba menghalang tapi nabi صلى الله عليه وسلم menghalang dan membiarkan a’rabi itu kencing. Nabi صلى الله عليه وسلم menghalang dari mafsadah yang lebih besar kerana kalau disergah lalu dia lari atau bergerak dari tempat itu mungkin akan berterabur air kencing merata-rata. Jadi biarkan air kencing di satu tempat lebih baik dari meratarata.

Mungkin juga akan jadi mudharat yang lebih besar jika disergah kerana mungkin akan jadi dia tertahan kencing dan jadi penyakit lebih berat.

 

ورجحوا درء المفاسد على # جلب مصالح كما تاصلا

فحيثما مصلحة ومفسدة # تعارضا قدم دفع المفسدة

Mereka (ulama) mentarjihkan menolak kerosakankerosakan daripada. Mengambil kemaslahatan sebagaimana yang telah dijadikan sebagai asal. Maka bila maslahah dan mafsadah. Bertembung didahulukan menolak mafsadah.

 

Sya’ir ini isyarat kpd satu lg kaedah cabang iaitu

 

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Menolak kemafsadah / kerosakan diutamakan dari menarik kemaslahatan / kebaikan.

 

Sebahagian ulama menjadikan antara sokongan kepada kaedah ini ialah Sabda nabi صلى الله عليه وسلم

 

اذا امرتكم بشئ فأتوا منه ما استطعتم واذا نهيتكم عن شئ فاجتنبوه

Bila aku menyuruh kamu sesuatu maka lakukan mengikut yang kamu mampu dan bila aku larang sesuatu maka jauhilah.

 

Di sini nabi صلى الله عليه وسلم kaitkan buat setakat yang mampu tapi tinggalkan yang dilarang secara sepenuhnya. Jadi, di sini nabi صلى الله عليه وسلم menguatkan larangan berbanding perintah. Walaubagaimanapun jika tiada hadis inipun kaedah ini tetap diguna berdasarkan kaedah utama yang telah dikeluarkan.

Antara contoh kaedah ini yang boleh diambil berdasarkan hadis nabi صلى الله عليه وسلم Solat merupakan satu perintah dan mendirikan solat merupakan satu kebaikan dan perintah. Tetapi jika terdapat mudharat dalam mendirikan solat, maka menolak mudharat lebih utama.

Kerana itu nabi صلى الله عليه وسلم bersabda.

 

اقتلوا الاسودين فى الصلاة

Bunuhlah dua benda hitam iaitu kala dan ular dalam solat.

 

Maknanya ketika solat tiba-tiba datang binatang yang boleh membahayakan, maka kena bunuh binatang itu terlebih dahulu. Di sini menyelesaikan solat adalah suatu kebaikan dan manfaat. Ada binatang tu ada mudharat. Maka tolak mudharat itu mesti didahulukan dari ambil manfaat tersebut.

 

خاتمة والحاجة المشهورة # قد نزلت منزلة الضرورة

لا فرق بين ان تعم أو تخصا # عندهم كما عليه نصا

Penutup dan keperluan yang masyhur. Dianggap sebagai dharurat. Tiada beza antara yang umum atau khusus. Di sisi mereka sebagaimana yang telah dinaskan.

Sya’ir ini adalah isyarat kepada Satu kaedah fiqh iaitu;

 

الحاجة قد تنزل منزلة الضرورة

Hajat (umum) ada yang menepati dharurat.

 

Iaitu sesuatu hajat bila umum kepada manusia atau khusus kepada seseorang maka ia menepati dharurat dari sudut memperolehi kelonggaran padanya.

Contoh; Sewa kerana asalnya tidak harus kerana ia adalah bayaran kepada suatu yang tiada. Begitu juga bayaran tempahan. Asalnya juga tidak harus kerana membayar terhadap suatu yang tiada. Ianya diharuskan kerana hajat yang umum di kalangan masyarakat kerana kadang-kadang yang akan menyediakan tempahan perlu kepada modal dan untuk juga untuk mengelakkan berlaku tempahan tidak diambil.

 

02.05.02#210415: SAHIH LIZAATIHI (صحيح لذاته)

0

Nota 02.05.02 Pembahagian Hadits al-Maqbul (المقبول) Bhg. 01

Susunan: BroSyarief

SAHIH LIZAATIHI (صحيح لذاته)

 

Secara bahasa, perkataan as-Sahih (الصحيح) menyerupai perkataan as-Sihhatu (الصحة) yang bermaksud selamat dari penyakit.

 

Adapun secara teknikal, ia merujuk kepada:

ما اتصل سنده بنقل العدل، تام الضبط، عن مثله من اول السند إلى آخره، من غير شذوذ، ولا علة قادحة

Bermaksud: “Apa-apa (hadits) yang bersambung sanadnya (al-Ittishal), dengan nukilan berkredibiliti dari sudut personaliti (al-‘Adalah), sempurna kredibiliti intelek (ad-Dhobt), (dan) diambil dari yang sama sepertinya dari permulaan sanad sehingga ke hujungnya, tanpa ada keraguan (al-Syuzuz) dan tanpa kecacatan yang buruk (Illah al-Qadihah)”

Dan ia disebut Lizaatihi, kerana sifat-sifat di atas dinilai dari faktor dalaman, merujuk kepada Sanad dan Matan hadits itu sendiri, tanpa dipengaruhi oleh faktor luaran. Ini membezakan antara Sahih Lizaatihi dengan kategori seterusnya iaitu Sahih Lighayrihi.

 

Nota seterus akan membincangkan setiap syarat bagi penetapan hukum Sahih secara umum.

WalLaahu a’lam

 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Note 66 : Mas Kahwin

0

Bismillah…
Note 66 : ruj Fiqh Manhaji 2

MAS KAHWIN

1. Pengertian :

Sadaq ialah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab akad nikah.

2. Hal Berkaitan Mas Kahwin :

2.1. Hukum mas kahwin.

2.2. Dalil wajib :

Allah SWT berfirman :
“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.”
Surah Al Nisa : 4

Ijma : para ulamak bersepakat mengatakan bahawa mas kahwin adalah wajib tanpa seorang pun menafikannya.

2.3. Hikmah Pensyariatan Mahar :

  Disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia.

2.4. Menyebut Mas Kahwin :

  Sunat hukumnya menyebut mas kahwin semasa akad nikah.

2.5. Pemilikan Mas Kahwin :

  Mas kahwin adalah hak milik mutlak bagi isteri. Wali tidak berhak.

2.6. Kadar Mas Kahwin :

  Mas kahwin tidak mempunyai kadar minimum dan maksimumnya.

2.7. Menyegerakan dan Menangguhkan Pemberian Mas Kahwin :

  Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan kesemuanya sebelum peesetubuhan.

2.8. Hukum Mengekalkan Nilai Mas Kahwin atau Mendapat Setengah Daripadanya atau tidak Mendapatkannya:

i. Kekal mendapat semua mas kahwin
  Apabila suami telah menyetubuhi isterinya sama ada persetubuhan tersebut berlaku dalam keadaan yang dihalalkan atau dalam keadaan yang diharamkan.

ii. Mendapat setengah mas kahwin
  Suami tetap memberi setengah mas kahwin dalam keadaan berikut :
– isteri telah diceraikan selepas akad nikah yang sahih dan mas kahwin tersebut telah dinyatakan dlm majlis akad nikah, peceraian itu berlaku sebelum suami menyetubuhi isteri.

iii. Mas kahwin gugur sepenuhnya apabila isteri meninggalkan suami sebelum bersetubuh.

2.9. Mas kahwin  Berdasarkan Taraf:

  Mas kahwin ialah harta yang dituntut dalam perkahwinan yang biasanya berdasarkan taraf isteri.

2.10. Sebab yang Mewajibkan Mas Kahwin Mithli :

i. Akad nikah batal kerana meninggalkan syarat sah nikah, seperti perempuan yang berkahwin tanpa saksi atau wali dan berlaku persetubuhan selepas akad tersebut.

ii. Mas kahwin dibatalkan lantaran perselisihan faham suamisteri tentang kadarnya atau sama ada mas kahwin disebut atau tidak dalam akad nikah.

iii. Menyebut mas kahwin yang tidak sah.

– bukan harta yang menurut syarak, babi, arak dan seumpamanya.

– harta yang sebut mas kahwin bukan miliknya seperti sejadah yang dirampas dijadikan mas kahwin.

– mengahwini dua perempuan atau lebih dengan satu mas kahwin.

– wali mengahwinkan seorang kanak-kanak lelaki dengan kadar mas kahwin yang lebih daripada mas kahwin mithli, yang diambil dari harta milik kanak-kanak itu.

– perempuan yang menyerahkan perkahwinannya tanpa mas kahwin.
– mas kahwin diisyaratkan dalam akad, sebahagiannya diberikan kepada bukan isteri seperti bapa dan saudaranya.

Note 65 : Rukun Akad Nikah

0

Bismillah…
Note 65 : ruj fiqh manhaji 2

RUKUN AKAD NIKAH

Mempunyai lima rukun iaitu lafaz nikah, isteri, suami, wali dan dua saksi.

1. Rukun Nikah : Lafaz Akad Nikah

2. Hikmah Disyariatkan Lafaz Akad Nikah :

  Disyariatkan lafaz akad nikah adalah kerana akad mesti dengan kerelaan kedua-dua belah pihak.

2.1. Syarat Lafaz Akad Nikah :

i. Hendaklah menggunakan lafaz kahwin atau nikah atau perkataan terbitan daripada kedua-duannya.

ii. Lafaz akad nikah atau kahwi  dalam ijab dan qabul hendaklah jelas.

iii. Ijab dan qabul hendaklah berturutan.

iv. Kelayakan kedua-dua yang berakad masih lagi kekal sehingga lafaz akad nikah.

v. Lafaz akad nikah hendaklah lafaz yang memberi kesan serta merta.

vi. Lafaz akad hendaklah mutlak.

3. Rukun kedua : isteri

i. Tiada sebarang halangan untuk bernikah.

ii. Bakal isteri seorang yang telah ditentukan jika wali telah berkata kepada pengantin lelaki :  aku kahwinkan engkau dengan seorang daripada anak prempuanku.

iii. Bakal isteri bukan dalam ihram haji atau umrah.

4. Rukun Ketiga : Suami

i. Bakal suami halal memgahwini bakal isteri sekiranya dia bukan mahram kepada pengantin isteri tersebut.

ii. Bakal suami seorang yang telah ditentukan. Jika wali berkata : Aku kahwinkan anak perempuanku dengan seorang dari kamu berdua.

iii. Bakal suami bukan dalam ihram haji atau umrah.

5. Rukun keempat : Wali

5.1. Pengertian waliyah bermaksud kasih sayang dan pertolongan.

5.2. Hikmah persyariatan wali atas kanak- kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar.

5.3. Kewujudan wali adalah wajib semasa akad.

5.4. Hikmah disyariatkan  Wali dalam Perkahwinan adalah mengikut kebiasaan adat yang sebaiknya. Tidak wajar seorang perempuan melakukan akad nikahnya sendiri.

Hadith daripada Abu Musa Al Ashari :
“Tidak sah perkahwinan melainkan ada wali.”
Riwayat Abu Daud : 2085

5.5. Perkahwinan tanpa wali kesannya adalah batal dan kedua-duanya wajib dipisahkan.

5.6 Wali Perkahwinan Mengikut Turutan :

i. Bapa
ii. Datuk atau bapa kepada ayah
iii. Saudara lelaki seibu sebapa
iv. Saudara lelaki sebapa
v. Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa.

5.7. Syarat Wali :

i. Islam
ii. Adil
iii. Baligh
iv. Berakal
v. Tiada penyakit mencacatkan fikiran
vi. Tidak terhalang menguruskan hartanya kerana boros.
vii. Tidak berihram

5.8. Bahagian Wali

i. Wali Ijbar : ayah atau datuk sebelah ayah sahaja.

Galakan meminta izin dari anak gadis.

ii. Wali Ikhtiyar : semua wali menurut tertib yang dinyatakan hanya berlaku bagi mengahwinkan seorang janda.

Rasulullah SAW bersabda :
” Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya sendiri daripada walinya.”
Riwayat Muslim : 1431

iii. Hikmah mendapat persetujuan janda kerana dia lebih jauh memahami tujuan perkahwinan. Pengalaman daripada perkahwinan terdahulu menyebabkan dia tidak malu memberi persetujuan.

6. Rukun Kelima : dua saksi

i. Islam
ii. Lelaki
iii. Berakal dan baligh
iv. Adil sekalipun pada zahirnya
v. Pendengaran yang baik
vi. Penglihatan yang baik

6.1. Penyaksian persetujuan pengambilan perempuan.

6.2. Menjaga maruah bapa atau datuk.

Kewajipan ini tertaluk kepada 3 syarat:
i. Anak itu mampu menyediakan mas kahwin.
ii. Bapa atau datuk tidak mampu menyediakan mas kahwin.
iii. Bapa atau datuk itu berkeinginan untuk berkahwin.

7. Nikah orang kafir sebelum masuk Islam.

“Rasulullah SAW telah mengembalikan anak perempuannya Zainab kepada Abu Al as bin Al Rabi dengan mas kahwin dan akad nikah yang baru.”

Riwayat Al Tarmizi : 1142

Note 64 : Muqaddimmah Perkahwinan

0

Bismillah…
Note 64 : ruj fiqh Manhaji 2

MUQADDIMAH PERKAHWINAN

  Sesungguhnya kebahagiaan rumahtangga, anak-anak yang cerdik dan kelangsungan kehidupan suamisteri bergantung kepada pemilihan pasangan masing-masing. Dilakukan dengan sedar dan tidak dipengaruhi oleh perasaan melulu. Pemilihan ini berdasarkan asas yang kekal dan sentiasa kukuh ssepanjang masa.

1. Cara Menyampaikan Matlamat Perkahwinan:

a. Mencari sifat-sifat yang dikehendaki pada setiap diri pasangan.

b. Penghayatan agama yang betul dan akhlak yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda :
“Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu : kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya.”
Riwayat Al Bukhari : 4802
Muslim : 1466

c. Hikmah Melebihkan yang Mempunyai Agama dan Akhlak:

d. Mengetahui keturunan pasangan.

e. Memilih pasangan yang bukan kaum kerabat.

f. Memilih pasangan yang kufu’ : bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari pelbagai aspek.

i. Agama dan akhlak
ii. Pekerjaan
iii. Tidak cacat

g. Mengahwini anak dara

h. Mengahwini perempuan yang subur. Melihat pasangan yang hendak dipinang. Perkara ini adalah sunat.

Rasulullah SAW bersabda :
“Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”
Riwayat Al Tarmizi : 1087

2. Had Pandangan :

  Lelaki yang meminang tidak boleh melihat bakal tunangnya kecuali muka serta kedua tapak tangannya, termasuk tapak tangan, depan dan belakang.

3. Hukum Melihat Perempuan yang Bukan Mahram :

  Seorang lelaki baligh, berakal, bukan dipaksa walaupun tua atau yang lemah syahwat, begitu juga lelaki yang hampir baligh, haram melihat mana-mana anggota tubuh badan perempuan dewasa bukan mahram.

4. Hukum Melihat Mahram :

  Harus melihat mahramnya melainkan anggota yang terdapat di antara pusat dan lutut.

5. Bilakah Boleh Melihat Perempuan yang Ajnabiah?

5.1. Untuk tujuan rawatan perubatan.

5.2. Ketika proses jual beli.

5.3. Ketika menjadi saksi atau bukti kesaksian.

5.4. Ketika belajar.

6. Bila Masa yang Dibolehkan dan Diharamkan Meminang?

6.1. Peminangan boleh dilakukan secara berterus terang. Perempuan yang bakal dipinang itu tidak bersuami atau tidak dalam iddah.

6.2. Apabila perempuan itu masih dalam iddah sama ada kerana bercerai mati ataupun bain,
Peminangan hendaklah dilakukan secara kiasan sahaja.

6.3. Haram meminang secara kiasan atau berterus terang kepada perempuan-perempuan selain dinyatakan tadi. Haram meminang perempuan yang masih dalam kekuasaan suaminya.

6.4. Pinangan atas pinangan. Bermaksud perempuan itu tunangan orang.

6.5. Memberi pandangan tentang calon suami atau isteri.

6.6. Wali mengesyorkan perempuan dalam perliharaannya kepada lelaki soleh dan bertakwa.

Kelas #8 | Ulum Hadith

0

Bismillah, Alhamdulillah, wa ba’d.

InsyaAllah hari ini kita akan menyambung kelas ulum hadith kita. Pada minggu lepas kita telah berbincang berkenaan syarat pertama hadith Sahih iaitu al-Ittisal, dan kita telah melihat serba sedikit berkenaan al-tahammul wa al-Adaa, dan jenis-jenisnya.

Baik, apakah tujuan mengetahui dan memahami al-Tahammul dan al-Adaa ini?

  • Pertama: mengetahui dan mengenalpasti cara perawi mengambil hadith dari gurunya, sebagaimana yang telah kita bincangkan pada minggu lepas.
  • Kedua: sebagai indikasi awal mengenal sama ada sanad itu bersambung (mausul) atau putus (munqathi’). Kita dapat mengenal secara awal sama ada sesuatu sanad itu bersambung atau putus dengan melihat siyagh al-adaa (sebutan al-adaa). Siyagh al-Adaa seseorang rawi secara umumnya terbahagi kepada dua jenis: Pertama: al-siyagh al-sarihah iaitu siyagh al-adaa yang jelas menunjukkan sanad hadith bersambung. Kedua: siyagh ghair sarihah, iaitu siyagh al-adaa yang mungkin bersambung atau tidak.

Baik, kita akan berbincang jenis yang pertama dahulu insyaAllah, iaitu al-siyagh al-sarihah. Al-Siyagh al-Sarihah ialah cara sebutan perawi ketika meriwayatkan hadith dengan cara sebutan yang jelas menunjukkan sanad hadith itu bersambung, iaitu dia mendengar dari gurunya.

Misal seseorang rawi berkata: “sami’tu fulanan yaqul – aku mendengar fulan berkata” atau “haddathana fulan – telah menceritakan kami fulan” atau “akhbarana fulan – telah mengkhabarkan kami fulan” atau “haddathani fulan telah menceritakanku fulan” atau “ra-ay-tu fulanan fa qala kaza – daku melihat fulan dia berkata sekian sekian” dan lainnya ibarat yang semisal.

Contohnya kita ambil satu hadith dalam al-Jami’ al-Bukhari,

Qala al-Bukhari qala haddathana al-Humaidi ‘Abdullah bin al-Zubair qala haddathana Sufyan qala haddathana Yahya bin Said al-Ansari qala akhbarani Muhammad bin Ibrahim al-Taimi annahu sami’a ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi yaqul qala sami’tu ‘Umar bin al-Khattab ‘ala al-Mimbar qala sami’tu Rasul SAW yaqul: “Innamal ‘amali binniyat …”

Terjemahan: Berkata al-Bukhari berkata telah menceritakan kami al-Humaidi ‘Abdullah bin al-Zubair berkata telah menceritakan kami Sufyan berkata telah menceritakan kami Yahya bin Said al-Ansari berkata telah mengkhabarkan kami Muhammad bin Ibrahim al-Taimi bahawa dia mendengar ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi berkata, berkata dalu mendengar ‘Umar bin al-Khattab di atas mimbar, berkata daku mendengar Rasul SAW berkata: “Setiap amal adalah dengan niat…”

Perhatikan sanad hadith ini, semuanya menyebut haddathana atau akhbarana atau sami’tu atau sami’a, kesemua ini adalah cara sebutan rawi (siyagh al-adaa) yang sarih (jelas) menunjukkan perawi mendengar dari gurunya, maka sanad ini bersambung, bersambung.

Satu perkara, jika kita melihat kitab al-Bukhari, al-Bukhari menulis “haddathana al-Humaidi haddathana Sufyan” dan seterusnya, tapi tapi saya menyebut “qala haddathana al-Humaidi qala haddathana Sufyan..”. Ini adalah cara menyebut sanad, cara menyebut sanad, setiap haddathana atau akhbarana semisal perlulah dimulakan dengan qala ketika kita menyebutnya, namun ini tidak ditulis, tidak ditulis. Apabila kita hendak membaca sanad, dalam kitab ditulis “haddathana fulan”, tapi mulut kita perlu sebut “qala haddathana fulan”. Ini adalah adab dan tatacara ahli hadith zaman berzaman meriwayat hadith, perkara sebegini tiada disebut dalam buku, tiada disebut dalam buku. Saya mengetahuinya ketika belajar talaqqi bersama guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary. Bahkan jika kami terlupa sebut qala, kami akan dimarahi syaikh al-Alfy, sebab telah salah menyebut sanad.

Baik, berbalik kepada siyagh al-adaa tadi, Siyagh al-adaa yang sarih seperti haddathana atau akhbarana atau sami’tu dan semisal seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, ia menunjukkan sanad itu bersambung, namun ia bukanlah mutlak, bukanlah mutlak. Sebaliknya ia adalah gambaran awal, bahawa ia bersambung. Apabila seseorang pengkaji hadith mengkaji status sesuatu hadith, dan dia melihat sanad hadith itu menyebut siyagh adaa secara sarih, maka penilaian awal pengkaji itu ialah: sanad hadith itu bersambung. Maka hukuman awal pengkaji hadith itu bagi sanad itu ialah: ia bersambung.

Perlu diketahui, semata-mata dengan siyagh al-adaa yang sarih menunjukkan bersambung tidak mencukupi untuk betul-betul memastikan bahawa ia bersambung, namun ia sebagai indikasi awal atau hukuman awal secara zahir saja. Sekiranya seseorang pengkaji itu melihat dengan lebih lanjut, penilaiannya mungkin berubah apabila jelas padanya bahawa sanad hadith itu sebenarnya putus tidak bersambung.

Kenapa?

Kenapa kita tidak boleh bergantung secara muktamad dengan siyagh al-adaa yang sarih bagi menentukan sanad itu bersambung atau putus? Bukankah perawi itu jelas menyebut “aku mendengar fulan berkata”, tidakkah dia mendengar? Dan apabila mendengar maka ia bersambung?

Kenapa?

Ini kerana, wujud beberapa situasi di mana siyagh al-adaa adalah sarih (jelas) menunjukkan bersambung, namun sanad hadith itu sebenarnya putus, sebenarnya putus.

Iaitu:

  • Pertama: perawi itu berdusta! Terdapat tidak sedikit perawi hadith daripada kalangan pendusta (al-kazibin) mendakwa bahawa dia mendengar dari fulan dan fulan, dan apabila dia meriwayatkan hadith maka dia menyebut siyagh al-adaa secara sarih, sedangkan dia tidak mendengar pun, sebaliknya dia berdusta! Bahkan wujud pengakuan mereka sendiri, bahawa mereka berdusta.
  • Kedua: sebahagian perawi menggunakan siyagh al-adaa yang seolah menunjukkan dia mendengar, sedangkan bukan itu yang dia maksudnya. Misalnya, mereka menyebut “khatabana fulan – telah berucap kepada kami akan fulan” atau “ja-a-na fulan – telah datang fulan kepada kami” atau “haddathana fulan – telah menceritakan kami fulan”, mereka menggunakan cara sebutan ini sebagai maksud fulan telah berkata kepada kaum mereka atau penduduk negara mereka. Cara sebegini banyak dalam kalangan perawi dari Mesir. Ianya sama seperti yang kita biasa sebut pada zaman moden ini, misalnya kita berkata “Barrack Obama telah datang melawat kami”. Atau “Raja Faisal telah datang kepada kami”. Sedangkan Barrack Obama atau Raja Faisal hanya datang melawat negara Malaysia!
  • Ketiga: kesilapan perawi. Tidak sedikit kes di mana riwayat itu bukanlah datang dengan siyagh yang sarih, namun perawi telah silap menyebut ia sebagai siyagh sarih. Dia terkeliru, dan tersilap. Berkata Ibn Rajab al-Hanbali “kebanyakan apa yang diinginkan dengan tasrih (siyagh adaa sarih) adalah sama’ (mendengar, bersambung sanad), namun ia juga boleh jadi satu kesilapan (iaitu perawi silap), al-Imam Ahmad ada mengingkari memasukkan tahdis (iaitu siyagh al-adaa yang sarih) dalam banyak sanad-sanad, katanya “ini silap! Iaitu menyebut lafaz sama’ (siyagh al-adaa sarih, tahdis)”. Saya ada menjelaskan hal ini secara rinci dalam buku saya “Hadith-hadith fadhilat pengkhususan surah al-Kahfi pada hari Jumaat: satu kajian terperinci”, halaman 51 hingga 57, ketika menjelaskan berkenaan periwayatan Husyaim. Seterusnya,
  • Keempat: kesilapan pada manuskrip. Perlu diketahui setiap buku para ulama terdahulu yang sampai kepada kita adalah berbentuk manuskrip tulisan tangan. Bagi sesebuah kitab, biasanya terdapat banyak manuskrip yang ditulis oleh mereka yang berbeza-beza, dan terdapat manuskrip yang silap, riwayat yang sepatutnya tiada siyagh sarih tetapi ditulis dengan siyagh sarih.
  • Kelima: kesilapan cetakan. Tidak sedikit buku-buku yang tersilap cetak, dalam edisi bercetak ditulis siyagh sarih, sedangkan dalam manuskrip asal tiadapun begitu. Bagi mengelakkan kesilapan keempat dan kelima ini, maka wajib kita membaca buku-buku dengan tahqiq yang bagus. Tahqiq, ialah proses membandingkan tulisan dalam manuskrip-manuskrip yang berbeza-beza bagi sesebuah buku, dibandingkan dan dikenalpasti apa yang silap dan apa yang betul, kemudian menulis semula tulisan tangan itu dengan tulisan komputer, untuk dicetak. Itu proses tahqiq. Seorang pentahqiq yang mentahqiq sesebuah buku, tidak diwajibkan mengkaji status hadith itu dan tidak diwajibkan menyatakan statusnya. Perlu dibezakan antara tahqiq manuskrip dengan penilaian hadith. Siyagh al-adaa yang sarih ini disebut juga sighah tahdis.

Seterusnya ialah siyagh al-adaa yang tidak jelas menunjukkan bersbung, ia mungkin bersambung dan mungkin putus. Disebut juga sebagai siyagh muhtamalah, atau ghair tahdis. Antara contohnya yang masyhur ialah seseorang rawi berkata: ” ‘an fulan – dari fulan”. Iaitu perawi berkata “haddathana fulan ‘an fulan – telah menceritakan kami fulan dari fulan”. Misalnya berkata Yahya bin Said al-Qatthan “haddathana Syu’bah ‘an qatadah”. Perlu diketahui perkataan (‘an – dari) ini bukanlah sebutan perawi sebelumnya, tetapi sebelum-sebelum nya. Misalnya sanad menyebut “qala haddathana al-Qatthan qala haddathana syu’bah ‘an Qatadah”. Perkataan ‘an itu bukanlah kata-kata Syu’bah, tetapi kata-kata al-Qatthan ataupun di bawah al-Qatthan.

InsyaAllah kita akan berbincang berkenaan ‘an ini dengan lebih rinci pada kelas seterusnya. Satu perkata yang ingin saya sebutkan, perlu dibezakan antara periwayatan seseorang rawi dari seseorang individu (gurunya), dengan periwayatan seseorang rawi akan kisah atau cerita.

Contoh, berkata seorang tabi’i katanya: “telah masuk Ibn Abbas bertemu fulan dan berkata sekian-sekian”. Adakah sanad hadith ini bersambung atau tidak? Jika dilihat secara tidak teliti, ia mungkin dianggap bersambung kerana seorang tabi’in meriwayat dari seorang sahabat. Namun ia sebenarnya putus! Kerana apa? Kerana ia adalah riwayat kisah saja, iaitu tabi’i itu berkata “ibn abbas telah masuk berjumpa fulan”, dia tidak berkata aku melihat ibn abbas masuk berjumpa fulan.

Sama juga apabila seorang tabi’i berkata “telah mengkhabarkan kami dari kalangan ansar”. Adakah ia bersambung? Tidak. Kerana ansar ini bukan hanya merujuk para sahabat dari kalangan ansar, namun ia merujuk semua anak-cucu dan keturunan ansar, bukan mesti sahabat.

 

Popular

Iklan

Iklan