Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 04.03 Makki & Madani – Cara Mengenal Pasti dan Perbezaan

04.03 Makki & Madani – Cara Mengenal Pasti dan Perbezaan

2021
0
Iklan

Kita sambung perbincangan tentang topik Makki dan Madani dari bahagian yang kita tinggalkan sebelum ini.

#180615 Bilik (09) Ulum al-Quran

 

04.03 Makki & Madani – Cara Mengenal Pasti dan Perbezaan

Para ‘ulama menggunakan dua kaedah untuk mengenal pasti Makki dan Madani:

 

1) Kaedah al-Simaa’i al-Naqli (النهج السماعي النقلي), di mana mereka akan merujuk kepada periwayatan-periwayatan yang sahih yang bersambung sanadnya kepada para sahabat yang menyaksikan sendiri penurunan wahyu, atau kepada tabi’in yang bertemu dan mengambil manfaat ilmu dari para sahabat yang memberikan cara penurunan, lokasi-lokasinya dan peristiwa-peristiwanya. Dan majoriti Makki Madani dikenal pasti melalui kaedah ini yang mana ianya banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab berkaitan tafsir, sebab nuzul dan lain-lain

2) Kaedah al-Qiyasi al-Ijtihaadi (المنهج القياسي الإجتهادي), di mana para ulama akan melihat kepada karakteristik dan keunikan mesej-mesek Makki dan Madani. Mereka mendapati bahawa surah atau ayat Makki, mempunyai tema dan fokus yang tertentu, berbeza dari surat atau ayat Madani. Boleh jadi dalam satu surah, yang dikenal-pasti sebagai Makki, di dalamnya pula ada ayat yang memiliki mesej yang menyerupai Madani, dan sebaliknya. Contoh yang lain, adalah apabila keseluruhan surah menceritakan kisah para nabi dan umat-umat yang terdahulu, ianya Makkia, dan surah yang di dalamnya ada penetapan kefardhuan dan hukuman, ianya Madani.

 

Adapun perbezaan Makki dan Madani, dibincangkan kepada tiga pendapat:

i- Perspektif Masa Penurunan: Surah atau ayat Makki turun sebelum Hijrah, walaupun bukan di Mekah. Manakala surah atau ayat Madani turun selepas Hijrah, walaupun bukan turun di Madinah. Pendapat ini adalah lebih utama dipilih berbanding dua pendapat selepas ini.

ii- Perspektif Lokasi Penurunan: Surah atau ayat Makki adalah yang turun di Mekah dan lokasi-lokasi berhampiran seperti Mina, ‘Arafah dan Hudaibiyah. Manakalaha surah atau ayah Madani turun di Madinah dan kawasan persekitarannya seperti Uhud, Quba’ dan Sila’.

 

Dan pendapat ini mempunyai kelemahan kerana terdapat ayat-ayat yang turun selain dari tempat-tempat yang telah disebutkan, seperti di Tabuk, Baitul Maqdis, dan lain-lain.

iii- Perspektif Sasaran Pendengar: Surah atau ayat Makki adalah yang ditujukan kepada orang-orang Mekah. Adapun, surah atau ayat Madani ditujukan kepada orang-orang Madinah.

Dan pendapat ini diasaskan dari pembahagian ayat yang bermula dengan “Wahai manusia..” (يَا أَيُّهَا النَّاسُ) sebagai Makki, dan ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman..” (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) sebagai Madani.

Dan didapati pula, bahawa majoriti ayat al-Quran tidaklah bermula dengan ayat-ayat di atas. Malah ada surah yang sebenarnya Madani, tetapi di dalamnya ada ayat yang bermula dengan “Wahai manusia..” (يَا أَيُّهَا النَّاسُ), seperti dalam surah alBaqarah, ayat 21.

 

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan

 

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan