Utama Blog Halaman 183

Bukan semua yang dikatakan “hadits” benar-benar berasal daripada Rasulullah ﷺ

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

Panel: Ustaz Adli Khalim

Tajuk: Bukan semua yang dikatakan “hadits” benar-benar berasal daripada Rasulullah ﷺ

= = = = = = = = = =

Daripada `Abdullah bin `Amru radhiyallahu `anhuma, sabda Rasulullah ﷺ:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، وَلَا حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Dan riwayatkanlah daripada Bani Isra’il, itu tidak mengapa. Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, siapkanlah tempat duduknya dalam neraka.”
[HR Al-Bukhari, no 3461]

= = = = = = = = = =

Ulasan:

1. Sering kali kita lihat di penghujung mesej atau email, biasanya dituliskan: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” Tidak dapat dinafikan bahawa ayat tersebut merupakan satu petikan daripada hadits yang shahih, dan kata-kata Rasulullah tersebut memberikan satu motivasi kepada umat Islam untuk terus menyampaikan mesej agama.

2. Namun, penghantar mesej atau email tersebut kadang-kadang tidak tahu atau lupa tentang sambungan hadits tersebut. Di samping kata-kata yang menjadi motivasi untuk menyampaikan mesej agama, Rasulullah ﷺ juga telah menyebutkan satu ancaman berat (ancaman tempat duduk dalam neraka) bagi sesiapa yang berdusta atas namanya.

3. Berdusta atas nama Rasulullah ﷺ adalah dengan mengatakan bahawa Rasulullah bersabda sedemikian atau Rasulullah melakukan sedemikian, sedangkan baginda tidak bersabda atau melakukan seperti yang didakwa. Inilah yang dinamakan sebagai hadits palsu (maudhu`).

4. Para sahabat sangat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kata-kata atau perbuatan kepada Rasulullah ﷺ. Contohnya Az-Zubair radhiyallahu `anhu, ketika ditanya oleh anaknya (`Abdullah bin Az-Zubair radhiyallahu `anhuma): Aku tidak pernah mendengar ayah menyebutkan sesuatu daripada Rasulullah ﷺ seperti orang lain? Jawab Az-Zubair: Sesungguhnya aku tidak pernah berpisah daripada baginda, namun aku pernah mendengar baginda bersabda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, siapkanlah tempat duduknya di neraka.” [HR Al-Bukhari, no 107]

5. Sebahagian umat Islam mungkin akan berkata: “Kami bukannya sengaja berdusta, kami cuma menyampaikan sahaja apa yang kami dengar.” Jawapannya adalah:

(a) Ibn Hibban[1] dalam kitab shahihnya telah membuat satu bab: Fasal tentang menyebutkan ketetapan memasuki neraka bagi sesiapa yang menisbahkan sesuatu kepada Al-Mushthafa ﷺ, sedangkan dia tidak mengetahui keshahihan riwayat tersebut.

(b) Hadits ancaman berdusta atas nama Rasulullah ﷺ telah datang dalam pelbagai riwayat, sebahagiannya memang menyebutkan “berdusta atas namaku dengan sengaja…”, namun sebahagian yang lain hanya menyebutkan “berdusta atas namaku…”

6. Sebahagian umat Islam pula mungkin akan berkata: “Kami berdusta atas nama kebaikan, bukannya untuk membuat keburukan atau kejahatan.” Jawapannya adalah:

(a) Menurut An-Nawawi[2], tiada beza dalam pengharaman berdusta atas nama Rasulullah ﷺ, sama ada dalam bab hukum, atau bab targhib dan tarhib, atau nasihat, dan sebagainya. Semuanya haram hukumnya, dan merupakan sebesar-besar dosa.

(b) Al-Hafiz Ibn Hajar[3] telah mengkritik sebahagian pihak yang mengatakan dibolehkan berdusta atas nama Nabi ﷺ sekiranya untuk menguatkan syari`at baginda dan dalam bab targhib wa tarhib (ganjaran dan ancaman). Menurut beliau, ini adalah dakwaan yang batil kerana ancaman tempat duduk di neraka terkena kepada semua orang, dan agama Allah telah lengkap dan tidak perlu dikuatkan dengan sebarang pendustaaan.

= = = = = = = = = =

Footnote:
[1] Ibn Hibban, Shahih Ibn Hibban, hadits no 28.
[2] An-Nawawi, Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, Muqaddimah Shahih Muslim.
[3] Ibn Hajar Al-`Asqalani, Fath Al-Bari (syarah Shahih Al-Bukhari), hadits no 3461.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #kenalquransunnah

NILAI MASA

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

Nilai masa
WAKTU… sesuatu yg paling berharga… tapi paling disia-siakan.

Syeikh Utsaimin -rahimahullah- mengatakan:

Waktu adalah sesuatu yg paling berharga, tapi dia sekarang ini menjadi sesuatu yang paling murah di tengah-tengah kita.

Kita biasa melewati waktu demi waktu tanpa ada faedah apapun, bahkan kita biasa menghabiskan waktu demi waktu dalam perkara yg mendatangkan mudharat.

Dan aku tidak sedang membicarakan satu orang saja, tapi aku sedang membicarakan kaum muslimin secara umum. Sekarang ini -sangat disayangkan sekali- mereka dalam keadaan lengah, terlena dan lupa.

Mereka tidak bersungguh-sungguh dalam perkara agama mereka. Kebanyakan mereka dalam keadaan lengah dan bermewah-mewahan. Yang mereka lihat adalah apa yg bisa memanjakan badan mereka, walaupun harus merusak agama mereka.

[Kitab: Syarah Riyadhus Sholihin, 1/345].

———

Untukmu wahai saudaraku yg sedang membaca pesan ini… bila keadaan di atas menimpamu, maka cepatlah berubah, sebelum semuanya tinggal kenangan dan penyesalan… Ingatlah selalu firman Allah ta’ala (yang artinya):

“… hingga ketika KEMATIAN mendatangi salah seorang dari mereka, dia mengatakan:

‘Ya Rabb, kembalikan aku (ke dunia lagi), sehingga aku bisa beramal shaleh pada apa yg dulu kutinggalkan’.

Tentu itu tidak mungkin, tapi sungguh kalimat itu akan dia katakan”. [QS. Almukminun: 99-100].

HUKUM PEREMPUAN HAID MELAKUKAN TAWAF [AL-KAFI LI AL-FATAWI]

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

HUKUM PEREMPUAN HAID MELAKUKAN TAWAF
[AL-KAFI LI AL-FATAWI]
http://goo.gl/uf9pxN

Assalamualaikum Ustaz. Apakah hukum perempuan yang didatangi haid melakukan tawaf? Terima kasih

JAWAPAN
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Imam-imam empat mazhab berpendapat bahawa perempuan yang didatangi haid dilarang melakukan tawaf berdasarkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah R.Anha ketika beliau kedatangan haid:

افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

Maksudnya: “Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di Baitullah melainkan setelah engkau suci.” Riwayat al-Bukhari (290) & Muslim (1211)

Jika perempuan haid itu mengingkari lalu melakukan tawaf, maka tawafnya tidak sah dan dia hendaklah membayar dam. Ulama Mazhab Hanafi mengatakan tawafnya sah dan dia dikenakan seekor unta. Begitu juga perempuan yang bernifas dan orang yang berjunub, kedua-duanya dikenakan seekor unta.

Al-Mughirah menyatakan: “Tidak disyaratkan bersuci untuk tawaf malah ia sunat sahaja. Jika dia tawaf dalam keadaan berhadas maka dia dikenakan bayaran seekor kambing dan jika dalam keadaan berjunub maka dia dikenakan bayaran seekor unta.”

Wallahuaʿlam

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-8 dan Ke-9

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-8

Doa para malaikat meliputi hingga kepada kaum kerabat, pasangan, datuk nenek, zuriat sekaliannya supaya dimasukkan ke dalam Syurga Adnin.

رَبَّنا وَأَدخِلهُم جَنّاتِ عَدنٍ الَّتي وَعَدتَهُم وَمَن صَلَحَ مِن آبائِهِم وَأَزواجِهِم وَذُرِّيّاتِهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ

“Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, masukkanlah mereka semua ke dalam syurga Adnin”

Mereka bukan sahaja mendoakan untuk kebaikan dunia sahaja untuk orang-orang yang beriman seperti dalam ayat sebelum ini; tetapi dalam ayat ini, mereka juga mendoakan kebaikan akhirat untuk orang-orang yang beriman, bertaubat dan berada dalam jalan Allah SWT . Mereka berdoa kepada Allah SWT untuk memasukkan orang-orang yang beriman yang berakidah tauhid itu ke dalam syurga.

Adnin bermaksud tempat yang kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, ia digelar ‘Eden’.

Dalam ayat sebelum ini, para malaikat itu berdoa supaya diselamatkan mereka yang beriman itu dari neraka. Tidaklah selamat dari neraka sahaja, tetapi tidak masuk syurga pula, bukan? Maka, mereka tidak lupa untuk doa kepada Allah SWT untuk memasukkan orang-orang yang telah disebut sebelum ini ke dalam syurga. Itulah tempat kembali yang paling baik.

الَّتِي وَعَدتَّهُمْ

“yang Kau telah janjikan kepada mereka”

Janji untuk memasukkan mereka yang beriman ke dalam syurga adalah janji dari Allah SWT sendiri. Dan tentunya Allah SWT tidak memungkiri janji-Nya, seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat yang lain.

وَمَن صَلَحَ

“Dan sesiapa yang soleh”

Dan bukan sahaja memasukkan mereka yang mengamalkan tauhid sahaja, tetapi memasukkan juga ahli keluarga mereka. Namun, ahli keluarga itu kenalah mereka yang soleh sahaja.

Jadi ini adalah syarat utama. Yang masuk syurga adalah orang soleh sahaja.

مِنْ آبَائِهِمْ

“Daripada bapa-bapa mereka”

Dari bapa mereka ke atas. Iaitu termasuk datuk juga. Termasuk juga ibu dan ke atas. Iaitu mereka yang soleh.

وَأَزْوَاجِهِمْ

“Dan isteri-isteri mereka”.

Isteri yang solehah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi kena cerita tentang tauhid dan agama yang benar kepada isteri kita. Jangan kita sahaja yang faham agama, tetapi anak dan isteri tidak tahu. Adalah menjadi tanggungjawab seorang suami dan ayah untuk menyampaikan ajaran agama kepada anak dan isteri.

Tentu kita sayang kepada pasangan kita, bukan? Maka ini adalah peluang untuk bersama dengan pasangan kita walaupun telah mati nanti. Akan bertemu dalam syurga.

وَذُرِّيَّاتِهِمْ

“Dan zuriat-zuriat mereka.”

Anak-anak mereka yang mana beriman dan beramal soleh sahaja yang boleh masuk ke dalam syurga. Jadi kena jaga agama zuriat-zuriat kita. Daripada masa mengandung lagi, ibu kena sentiasa baca Al-Quran. Dan ikut semua sunnah yang benar. Jangan buat amalan-amalan mengarut yang bukan dari ajaran Islam.

Lihatlah bagaimana malaikat-malaikat itu bukan sahaja mendoakan kepada orang-orang yang beriman sahaja, tetapi mendoakan juga kepada keluarga mereka. Kerana kita bukan hanya mahukan kebaikan untuk diri kita, tetapi untuk ahli keluarga kita juga.

Kalau kita masuk syurga pun, kita hendak sangat supaya kita dimasukkan sekali dengan ahli keluarga kita. Kita rapat dengan mereka semasa di dunia, maka tentunya kita mahu bersama dengan mereka di syurga juga.

Keluarga boleh duduk bersama dalam syurga kalau mereka semuanya ahli syurga. Katakanlah seorang anak sudah dapat masuk syurga, tetapi di kedudukan yang rendah dari ayahnya. Ayahnya itu boleh minta supaya dinaikkan kedudukan anaknya itu sama dengannya supaya mereka boleh duduk bersama. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain – semua boleh duduk berkumpul di tingkatan syurga yang sama.

Inilah rahmat Allah SWT. Rahmat ini amat besar, kerana kalau di dunia, belum tentu ahli keluarga dapat duduk sekali kerana masing-masing ada keluarga masing-masing dan duduk pun jauh-jauh. Kadang-kadang hanya berjumpa masa hari raya sahaja. Jadi Allah SWT boleh kumpulkan mereka itu duduk sekali dalam syurga dalam tempat yang sama. Maka, kenalah masuk syurga dahulu. Kerana kalau keturunan mereka itu sudah masuk ke dalam neraka, tidaklah boleh hendak dikeluarkan mereka dari neraka.

Tidakkah ini menarik? Bayangkan kalau orang yang bukan Islam. Mereka juga ada anak yang mereka sayangi, bukan? Tetapi akhirnya mereka tetap akan berpisah – sama ada mereka mati dahulu atau anak mereka mati dahulu. Selepas kematian itu, mereka tidak akan dapat berjumpa anak atau ibu bapa mereka sampai bila-bila. Berlainan dengan kita orang Islam berpeluang untuk jumpa lagi anak-anak kita di akhirat kelak – iaitu apabila dimasukkan dan duduk di dalam tingkatan syurga yang sama!

Oleh itu, apabila kita berdoa, jangan hanya mendoakan untuk diri kita sahaja, tetapi doakan juga kepada ahli keluarga kita sekali. Belajarlah dari malaikat-malaikat ini, bagaimana cara doa mereka.

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Sesungguhnya Engkau Maha Gagah dan Maha Bijaksana”.

Allah Maha Berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja.

Namun, Allah Maha Bijaksana untuk menangguhkan hukuman dan tidak terus memberi azab kepada manusia, supaya mereka ada peluang untuk bertaubat.

Tafsir Ayat Ke-9:

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ ۚ وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَومَئِذٍ فَقَد رَحِمتَهُ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

“Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)”.

وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ

“Dan jauhilah/jagalah mereka daripada segala kejahatan dosa”.

Malaikat berdoa semoga orang beriman itu tidak buat dosa atau tidak cenderung berbuat dosa. Jenis bukan orang yang buat dosa.

Atau, mereka mendoakan supaya mereka yang berdoa itu tidak menerima kesan yang buruk dari dosa-dosa yang mereka lakukan. Setiap dosa ada kesannya yang buruk – di dunia dan juga di akhirat.

Atau, kalau mereka buat dosa pun, mereka tidak buat dosa itu berkekalan. Minta Allah ampunkan dosa mereka. Dan minta Allah beri taufik kepada mereka untuk meminta ampun. Kadang-kadang manusia pun sudah lupa apakah dosa-dosa yang mereka lakukan sampai mereka tidak minta ampun. Tetapi jika Allah SWT beri taufik kepada mereka, mereka akan teringat untuk minta ampun. Tengah bawa kereta, teringat dosa kita, maka waktu itu teruslah minta ampun. Allah sengaja ingatkan dosa kita supaya kita terus minta ampun dan kerana Dia yang ingatkan, maksudnya Dia hendak ampunkan kerana kalau sudah diberi taufik itu meminta ampun, itu tandanya Allah sudah hendak memberi ampun. Maka, semoga dosa-dosa itu diampunkan semua sekali supaya boleh terus masuk ke dalam syurga dan tidak perlu masuk neraka dahulu.

وَمَن تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ

“Dan sesiapa yang dijaga dari dosa, pada hari ini mereka telah dapat banyak rahmat”.

Mereka yang diselamatkan dari kesan buruk dosa itu adalah mereka yang mendapat rahmat yang amat besar. ‘Hari’ dalam ayat ini, boleh jadi semasa di dunia dan juga di akhirat kelak. Boleh merangkumi kedua-duanya.

وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Dan sesiapa yang dapat demikian itu, ialah mereka yang mendapat kejayaan agung”.

Kejayaan yang agung sebenarnya adalah yang selamat di Mahsyar dan di akhirat. Bukanlah kejayaan di dunia. Yang penting sekali adalah kejayaan di akhirat kelak.

Begitu sekali panjang doa para malaikat itu. Maka beruntunglah mereka yang mengamalkan tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

 

Allahu a’lam.

Al-Quran Akan Menjadi Syafaat

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:
♡Bicara Kalamullah 21♡

Ketika ahli Quran memasuki syurga, mereka membaca Quran dan setiap ayat yang dibaca akan ditambah satu darjat, sebagaimana tersebut dalam hadis:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِى الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada ahli Quran: Bacalah, dan naiklah (ke darjat-darjat syurga). Dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membacanya dengar tartil di dunia. Maka sesungguhnya kedudukan kamu ialah di akhir ayat yang kamu baca” [Direkod oleh Abu Daud, Tirmizi. Katanya: “Hadis Hasan Sahih”]

#Perkahabaran ini menunjukkan, Al-Quran akan menjadi syafaat kepada ahli Quran, iaitu mereka yang membacanya dengan baik, menghafalnya, dan beramal dengannya. Dan mereka juga membaca Al-Quran di dalam Syurga, dan bacaan mereka umpama zikir bagi para Malaikat, iaitu yang tidak menyibukkan mereka daripada kelazatan nikmat syurga. (Aunul Ma’bud)

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link👆dan klik join)


Pengumuman rasmi UiTO

UiTO: Universiti Islam Telegram Online
https://telegram.me/UniversitiIslamTelegramOnline


# Hina Menjadi Mulia #

Jika hamba mengubah maksiatnya menjadi taat, Allah pun mengubah hukuman menjadi ganjaran, hina menjadi mulia.

~Ibnul Qayyim~

Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-5 dan Ke-6

0

Tafsir Surah At-Tiin

Tafsir Ayat Ke-5

Ayat ke-4 telah menceritakan perihal kejadian manusia yang sempurna. Maka ayat seterusnya membincangkan bagaimana manusia boleh terjebak dalam keburukan atau diturunkan ke tempat yang rendah (neraka).

Dalam ayat ke-4 sebelum ini, Allah beritahu yang manusia itu dicipta dalam sebaik-baik kejadian. Tetapi nanti ada yang akan dijatuhkan.

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.” [At-Tiin 95:5].

Sebelum ini Allah telah memberitahu yang Dia telah mencipta manusia dalam sebaik-baik kejadian. Akan tetapi, kerana kejahatan dan kesalahan orang itu sendiri, Allahlah yang telah merendahkan orang itu.

Oleh itu, ayat ini tidaklah memperkatakan tentang kesilapan Allah dalam mencipta (kerana seolah-olah berlawanan dengan ayat sebelum ini) tetapi mereka yang direndahkan itu adalah atas kesalahan di pihak manusia itu sendiri.

Asfala: Paling bawah

Seperti mana dalam firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. [An-Nisaa’ 4:145].

Dalam ayat ini menunjukkan orang munafik akan berada di tempat “paling bawah” di dalam neraka.

Apakah maksud أَسفَلَ سافِلينَ? (pada dalam ayat At-Tiin ini)

Ada beberapa pendapat:

PERTAMA: Daripada muda/kuat > Kembali tua/nyanyuk.

Apabila manusia sudah tua, dia sudah tidak boleh buat macam apa yang dia boleh buat semasa dia muda. Dulu kuat, tapi bila sudah tua, sudah lemah tidak boleh buat apa-apa, termasuk dalam melakukan perkara ibadat. Waktu ini, manusia memerlukan orang lain untuk menjaganya.

Tetapi pendapat pertama ini tidaklah berapa kuat kerana kebanyakan Mufassir berpandangan, kerendahan yang dimaksudkan bukanlah kerendahan dari segi fizikal, tetapi dari segi moral.

Adakah bermaksud semakin tua semakin tidak bermoral? Bukanlah begitu. Ia bermaksud kembali kepada keadaan bawah (lemah kerana tua). Ia berkaitan dengan keadaan fizikal.

KEDUA: Daripada mulia > kembali kepada kehinaan.

Manusia sendiri telah menjatuhkan maruah diri mereka. Sedangkan Allah sudah mencipta manusia dalam penciptaan yang mulia dan sebaik-baik kejadian.

Bagaimana? Dengan mengkufuri nikmat Allah SWT dengan tidak mengendahkan ayat-ayat-Nya (peringatan dari Allah).

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَٰنِهِمْ ثُمَّ ٱزْدَادُوا۟ كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلضَّآلُّونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.” [Ali ‘Imran: 90].

Kita ada membincangkan hal ini dalam ayat sebelumnya.

Sekiranya manusia tidak mengambil peringatan, jadilah ia seperti binatang. Bahkan lebih buruk (iaitu binatang ternak!)

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A’raaf 7:179]

KETIGA: Daripada seorang yang taat > kembali ke neraka (akibat keingkaran)

Ada juga yang kata ayat ini hendak menceritakan tentang mereka yang tidak taat yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Digunakan perkataan ثُمَّ yang menunjukkan masa yang lama (jarak antara manusia yang merendahkan dirinya dan keputusan memasukkan ke neraka).

Bermakna, tidaklah Allah terus memasukkan manusia yang telah merosakkan dirinya itu ke dalam neraka. Jarak masa yang lama itu kerana Allah berikan peluang kepada manusia untuk bertaubat.

Beberapa pendapat tentang Asfala Safilin. Semuanya tentang “jatuh” ke bawah.

Bagaimana untuk mengelakkan daripada jatuh hina ke tempat terbawah?

Tafsir Ayat ke-6:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. [At-Tiin 95: 6]

Perkataan “illa” di sini adalah bermaksud pengecualian. Tidak kurang kitab tafsir yang membahaskan bab pengecualian ini (istisna muttasil/munqati’). Tetapi saya berpendapat, kita ambil perbahasan secara umum.

Maka, hendaklah pelihara dua elemen, “dalaman dan luaran”.

Pertama: Elemen DALAMAN ( Iman )

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا

“Kecuali orang-orang yang beriman”. (At-Tiin: 6)

Iman mestilah diperbaiki kerana ia akan memberi kesan kepada luaran kita. Kita melakukan sesuatu kerana ada dorongan dari dalaman. Oleh itu, kalau kita bersihkan dalaman kita, perbetulkan niat kita, perbuatan kita pun akan jadi baik juga.

Jadi ubat pertama untuk penyakit telah diberikan dalam ayat ini ialah memperbaiki iman.

Ada terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan mengenai ciri-ciri orang yang benar-benar beriman.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [Al-Anfaal: 2]

– Orang beriman miliki hati yang lunak/lembut dan terkesan apabila disebut nama Allah

– Orang beriman sentiasa bertambah iman apabila dibacakan ayat Allah

– Kepada Allah mereka berserah/meminta segalanya

Dalam ayat yang lain:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [Al-Hujuraat: 15]

– Orang beriman benar-benar percayakan Allah dan Rasul, kemudian tidak ragu-ragu

– Berjuang dengan harta benda

– Sanggup berjuang dengan jiwa

Maka langkah pertama untuk menjaga diri agar tidak jatuh ke lembah hina, ialah dengan memelihara Iman.

Pandangan lain, maksud ikut Allah dan Rasul itu bermakna ikuti “Al-Quran dan Sunnah”.

Namun dalam pendekatan melalui media secara umum ini, saya akan ikut prosedur “penerbangan” yg umum, iaitu pemahaman secara terbuka. Maka, untuk menghayatinya, saya serahkan pada kefahaman dan ilmu masing-masing.

Bagaimana cara untuk kita memelihara iman yang sentiasa ada turun naiknya? Sabar dan berdoa kepada Allah. Antara doa yg kita selalu buat tetapi tanpa sedar iaitu solat! Maka, kena jaga solat dengan sebaik-baiknya.

Perkara kedua ialah elemen luaran: Amal Soleh.

Ia merupakan perkara yang tidak boleh ditinggalkan bagi seseorang yg mengaku beriman. Oleh kerana itu, kita boleh lihat ayat dalam Al-Quran “Iman dan Amal Soleh” selalu berpasangan. Menunjukkan kepada kita akan keperluan yang penting terhadap keduanya.

Atau ringkasan:

  1. a) Seseorang yang mulia boleh jatuh hina
  2. b) Melainkan dia menjaga iman (urusan dalaman dirinya)
  3. c) Dan melakukan amal soleh (perbuatan/tindakan luaran)

Lebih dari itu Allah nyatakan balasan: UPAH dan BONUS

فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

“maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus” [At-Tiin: 6].

أَجرٌ

Bayaran upah yang diberikan kepada seseorang selepas dia melaksanakan kerjanya. Mereka yang telah melakukan amal kebaikan, ibarat Allah akan beri “upah” kepada mereka (pahala).

غَيرُ مَمنونٍ

Tanpa diputuskan. Pahala yang diberikan kepada mereka tidak akan diputuskan. Kerana itulah, ada orang yang buat amal sedikit sahaja, tetapi balasan kepada mereka adalah banyak. Mereka yang dimasukkan ke dalam syurga, akan terus tinggal di dalam syurga itu dan nikmat kepada mereka tidak akan diputuskan.

Jika bos bagi bonus, ia adalah kerana suatu penghargaan agar dapat memberi galakan lebih kepada pekerja untuk taat setia melakukan pekerjaan.

Dalam ayat ini, Allah bukan sekadar mengatakan balasan baik. TETAPI juga balasan yg berterusan. Seumpama suatu bonus dari Allah SWT yang memberi galakan.

Manakan tidaknya, kebiasaan manusia memang suka mendapat sesuatu yg berterusan tanpa bekerja lebih. Contohnya seperti dalam perniagaan MLM “upline” akan dapat sagu hati berterusan. Itu yang membuatkan ramai yang suka turut serta dan berusaha mencari orang di bawahnya.

Contoh lain, seperti dividen dalam Tabung Haji. Buka akaun, simpan duit, duit berkembang.

Tuan/puan, ini keuntungan yang lebih besar! Pahala yang tidak putus-putus. Bekalan yang sangat diperlukan untuk melalui hari yang kekal abadi (akhirat). Bukan setakat dividen/bonus di atas dunia sahaja.

Semoga ayat ini mendorong kita untuk berusaha menjaga iman dan beramal soleh dalam kehidupan sementara di atas dunia ini

Ibrah dan Kesimpulan:

1.Allah telah menciptakan manusia sebaik kejadian, Maha Penyayang Allah yang juga Penjaga kita dari segala kehinaan. Perihal orang yang jadi hina, kerana merekalah yang “keluar” dari jagaan Allah SWT.

2. Iman dan amal soleh mestilah selari, seiring dan sejalan. Tidak membuat salah satu, maka jatuh semula ke lembah kehinaan.

3.  Balasan yang sangat baik bagi orang yang menjaga iman dan amal soleh, bahkan bonus yg berterusan dari Allah SWT.

Semoga ia menjadi motivasi bagi kita untuk menjaga iman dan amal

وَالَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِالْكِتَابِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُصْلِحِينَ

“Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).” (Al-‘A`rāf:170)

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-7

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ghafir Ayat Ke-7

Ayat ini adalah tentang orang yang sanggup menerima dan mengamalkan amalan dan fahaman tauhid dalam setiap keadaan. Ini sebenarnya bukanlah mudah kerana tentu ada ujian dan tentangan dari manusia. Menjadi orang ‘pelik’ kerana tegar di jalan sunnah dalam masyarakat yang mengamalkan budaya atok-nenek memang mencabar. Mereka yang menerima ujian itu adalah mereka yang menjalankan kerja menyampaikan wahyu Allah kepada manusia yang lain.

Jika duduk senyap tidak buat sesuatu, memang tidak akan kena ganggu, kena keji dan sebagainya. Maka, jika buat seperti yang sepatutnya, memang akan ada ujian. Duduk senyap memang senang, tetapi kita tidak buat kerjalah maknanya.

Kepada mereka yang berjaya melepasi ujian itu, mereka akan dapat doa malaikat. Allah SWT menceritakan tentang doa para malaikat ini sebagai penawar hati dan penyejuk hati kepada penyebar tauhid. Maknanya, tidak mengapalah kalau menerima ujian, kerana mendapat doa dari para malaikat.

Malaikat itu mendoakan kepada manusia yang beriman sempurna kerana apabila Allah SWT sayang kepada hamba-Nya, maka malaikat pun kena sayang juga kepada hamba itu. Mari kita baca doa malaikat untuk orang-orang mukmin:

الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka”.

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ

“Malaikat-malaikat yang memikul Arash”.

Arash Allah SWT adalah makhluk Allah SWT yang paling besar. Tidak ada sesiapa yang tahu apakah hakikat Arash itu kecuali Allah SWT. Yang kita dapat tahu daripada ayat ini, ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Mereka dikenali sebagai Hamalatul Arsh. Ada lapan malaikat yang ditugaskan untuk memikul Arash itu. Dalam [Al-Haqqah: 17], Allah SWT berfirman,

وَالمَلَكُ عَلىٰ أَرجائِها ۚ وَيَحمِلُ عَرشَ رَبِّكَ فَوقَهُم يَومَئِذٍ ثَمانِيَةٌ

“Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhan-mu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu”.

Dalam ayat ni, disebut bagaimana pada Hari Mahsyar, ada lapan malaikat yang memikul Arash itu. Arash itu adalah ciptaan Allah SWT yang paling dekat dengan Allah SWT. Jadi, malaikat-malaikat yang memikulnya tentulah malaikat-malaikat yang hebat-hebat kerana diberikan dengan kelebihan tugas itu.

وَمَنْ حَوْلَهُ

“Dan malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash”.

Allah SWT memperkatakan bukan sahaja tentang malaikat-malaikat yang memikul Arash tapi malaikat-malaikat yang di sekeliling Arash itu. Maknanya kita dapat tahu yang ada malaikat-malaikat yang berada berdekatan dengan Arash.

Jadi, ini semua adalah malaikat-malaikat yang terpilih. Malaikat muqarraboon. Apakah yang mereka lakukan?

يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

“mereka senantiasa bertasbih memuji Tuhan mereka”.

Mereka berterusan bertasbih dan meninggikan Allah SWT dari kata-kata makhluk yang tidak patut tentang Allah SWT. Maknanya, mereka pun berfahaman tauhid juga. Kerana mereka menidakkan segala fahaman-fahaman syirik yang dikatakan oleh makhluk yang musyrik. Mereka terus-menerus mengatakan yang Allah SWT tidak seperti sangkaan salah makhluk yang ada fahaman syirik. Mereka menegaskan yang Allah SWT tidak seperti yang disyirikkan oleh makhluk-Nya.

وَيُؤْمِنُونَ بِهِ

“dan mereka itu beriman dengan Allah SWT Taala”.

Mereka beriman benar-benar dengan Allah SWT. Mereka juga mengamalkan tauhid. Jadi, kalau makhluk-Nya yang lain tidak beriman, ada Allah SWT kisah? Tidak langsung. Kerana Allah SWT tidak memerlukan keimanan manusia. Tidak berkurang kehebatan Allah SWT kalau manusia dan jin tidak beriman. Terdapat malaikat-malaikat yang bertugas dan beribadat dan beriman kepada Allah SWT dengan tidak ada rasa lemah dan bosan.

Oleh itu, amalkanlah tauhid kerana kalau kita pun mengamalkan tauhid, kita pun akan termasuk dalam kalangan mereka kerana tauhid yang kita kena terima dan yang malaikat kena terima, sama sahaja.

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا

“Dan sentiasa meminta ampun bagi orang-orang yang beriman”.

Inilah kelebihan mereka yang beriman kepada Allah SWT. Malaikat-malaikat itu meminta ampun bagi pihak mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu adalah malaikat-malaikat yang rapat dengan Allah SWT dan mereka meminta ampun untuk pihak orang yang beriman! Alangkah hebatnya kedudukan mereka yang beriman.

Apakah kata-kata mereka?

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا

Mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu”.

Tidak ada yang di luar dari rahmat dan ilmu Allah SWT. Apakah maksud ini? Sebagai contoh, kerana rahmat Allah SWTlah orang yang kufur dapat makan, dapat harta, boleh buat macam-macam. Kalau tidak kerana rahmat Allah SWT, mereka tidak akan dapat apa-apa dari dunia ini. Allah SWT Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu apa pun, sampaikan kalau Allah SWT mahu memberikan rahmat-Nya kepada sesiapa jua, tidak ada sesiapa yang boleh halang.

Tidak ada apa yang di luar dari ilmu Allah SWT. Tidak ada apa-apa perkara pun yang Allah SWT tidak tahu. Malaikat mengaku yang hanya Allah SWT sahaja yang tahu segala-galanya. Allah SWT sahaja yang tahu siapakah yang layak mendapat rahmat atau tidak, kerana ilmu Allah SWT itu luas. Mereka mengaku mereka tidak tahu sebagaimana Allah SWT.

Apakah ini? Malaikat mula berdoa dengan memuji-muji Allah SWT. Maka kita hendak doa pun begitulah juga.

فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا

“Maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat”.

Mereka memohon kepada Allah SWT supaya memberi ampun kepada mereka yang bertaubat.

Taubat apakah yang dimaksudkan? Oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam doa, maka taubat yang dimaksudkan adalah taubat dari melakukan kesalahan dalam berdoa – sebelum itu mungkin mereka tidak terus berdoa kepada Allah SWT, tetapi menggunakan perantaraan dalam berdoa. Dan apabila mereka sudah tahu bahawa itu adalah salah setelah mempelajari wahyu Allah SWT, baru mereka tahu dan mereka telah bertaubat dari kesilapan itu. Kalau tidak belajar wahyu, bagaimanalah agaknya manusia hendak tahu bahawa salah kalau mengamalkan perantara dalam doa?

وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ

“Dan orang-orang yang mengikuti jalan-Mu”.

Setelah mereka bertaubat, mereka menerima tauhid dan mempunyai fahaman tauhid. Mereka sudah mula ikut jalan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT sebagaimana yang disampaikan di dalam wahyu-Nya. Ini juga memerlukan pembelajaran tafsir dan sunnah untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang perlu ditinggalkan. Maka, yang dimaksudkan adalah mereka telah mula belajar dan mengamalkan syariat seperti yang sepatutnya.

وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

“Dan jauhilah mereka dari azab neraka jahanam”.

Mereka juga berdoa kepada Allah SWT untuk menyelamatkan orang-orang mukmin itu dari neraka. Oleh kerana malaikat-malaikat itu adalah malaikat yang rapat dengan Allah SWT, maka tentunya doa mereka makbul.

Sebenarnya Allah SWT hendak beritahu bahawa mereka yang ikut jalan tauhid adalah selamat. Doa malaikat sebagai isyarat sahaja. Kalau para malaikat itu tidak berdoa untuk mereka pun, mereka akan selamat.

Kenapa agaknya para malaikat itu mendoakan untuk orang yang beriman itu? Apakah yang mereka akan dapat? Tidak ada apa. Namun, mereka ikhlas berdoa kepada mereka yang beriman, bertaubat, ikut jalan Allah SWT. Ini juga menunjukkan kelebihan mereka yang melakukan ketiga-tiga perkara itu. Apabila manusia dan jin melakukan ketiga-tiga perkara itu, makhluk-makhluk lain pun sayang kepada mereka. Iman yang ada dalam hati adalah pengikat kasih antara makhluk.

Ini juga mengajar kita supaya mendoakan juga kepada orang-orang lain yang beriman kerana tautan kasih antara yang beriman itu memang telah ada. Doakanlah kebaikan untuk ahli keluarga dan kawan-kawan kita.

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan amalan tauhid?

Jawapan: Tauhid kita dan para malaikat adalah sama sahaja. Bila ada fahaman tauhid, maka tentu ada amalannya. contohnya, hanya sembah Allah SWT sahaja, hanya doa kepada Allah SWT sahaja – ini sudah termasuk ‘amalan’.

Allahu a’lam.

BILA KENA SABAR?

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

BILA KENA SABAR?

Anas ibn Malik radhiyalLaahu ‘anhu menceritakan,

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ تَبْكِي عِنْدَ قَبْرٍ

Pernah suatu hari, Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam melewati seorang wanita yang sedang menangis di sisi sebuah kubur.

فَقَالَ: اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي

Baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam pun berkata kepadanya: Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah.

قَالَتْ: إِلَيْكَ عَنِّي، فَإِنَّكَ لَمْ تُصَبْ بِمُصِيبَتِي وَلَمْ تَعْرِفْهُ

Wanita itu membalas: Pergi jauh dariku, sungguh engkau tidak ditimpa dengan musibahku ini! Dan wanita itu tidak mengenalinya.

، فَقِيلَ لَهَا: إِنَّهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

(Selepas itu) Disebut kepada wanita itu: Dia itu tadi adalah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

فَأَتَتْ بَابَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ تَجِدْ عِنْدَهُ بَوَّابِينَ

Lalu, (kerana terkejut) dia terus ke rumah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dan dia tidak mendapati sebarang pengawal di depan rumahnya.

فَقَالَتْ: لَمْ أَعْرِفْكَ

Dia terus berkata: Aku tidak mengenalimu (tadi).

فَقَالَ: إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَالصَّدْمَةِ الأُولَى

Baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam pun menjawab: Sebenarnya apa yang dikatakan sebagai sabar itu bermula dari hentakan yang pertama.

[HR al-Bukhari & Muslim]

#BSS Pengajaran:

01 Sabar adalah dari permulaan ditimpanya musibah, baru ia dinilai lengkap sebagai sabar. Tenang, boleh menangis tanpa berlebihan (wanita itu menangis sehingga menunggu di tepi kubur), tidak menyalahkan takdir, dll.

02 Sabar tiada had. Tetapi sabar tidak bermaksud diam sepanjang masa. Sabar membantu kita berfikir secara rasional apakah tindakan atau respon yang Allah redha.

03 Sabar meredam kemarahan, membantutkan hasutan Syaitan, sehingga kita tak melakukan apa-apa yang menyebabkan kita menyesal seperti mana wanita itu menyesal kerana telah memarahi Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

04 Setelah menasihati, penegur juga hendaklah bersabar dengan respon dan tindak balas dari orang yang ditegur. Lihat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, selepas dimarahi, baginda terus berlalu. Dia tidak menggunakan kedudukannya sebagai Rasul untuk menekan wanita itu untuk menerima nasihatnya.

05 Nasihat yang baik adalah yang sesuai dengan keadaan penerima nasihat. Jika tak dikenali dan yang ditegur sedang emosi memadai ianya pendek dan jelas. Jika kenal dan diyakini mendengar kata, bolehlah menyesuaikan kadar nasihat tersebut.

06 Nasihat dan teguran adalah untuk semua. Tidak ada istilah ‘Jangan menyibuk’, ‘Jaga tepi kain’, ‘MYOB’ dan sebagainya. Berusahalah untuk positif dalam menerima nasihat dan teguran, apapun keadaannya.

07 Jangan mengharap nasihat dan teguran pasti akan diterima. Tanggungjawab menyampaikan perlu diselesaikan, adapun diterima atau tidak, hidayah adalah milik Allah.

08 Jika respon dan tindak balas agak melampau dan tidak seperti disangka, perhatikan kembali cara nasihat dan teguran, kerana boleh jadi cara teguran itu tersilap. Usaha untuk perbaiki dan tambahbaik.

WalLaahu a’lam.
___
@BroSyariefShares << KLIK & SERTAI


♡Bicara Kalamullah 20♡

“Kebenaran tidak ditentukan oleh kumpulan yang paling banyak pengikutnya. Ukuran kebenaran adalah kitab al-Quran yang diturunkan Allah sebagai pedoman bagi umat manusia seluruhnya. Barangsiapa yang mengikuti al-Quran insyaallah dia akan selamat. Barangsiapa yang menentang al-Quran nescaya dia akan celaka dan termasuk kumpulan orang yg rugi didunia dan di akhirat”

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link 👆 dan klik join)


UiTO Channel: Tazkirah Harian

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُه

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِه فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله💚💚💚
صباح الخير

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَاجْتِنَابَهُ،
بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2197.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak, “Mana orang-orang yang saling mencinta kerana keagunganKu? Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naunganKu.”

TAKUT MELANGGAR PERINTAH ALLAH

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:
~Tadabbur Kalamullah 14 Safar 1437H~

الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا

“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka)”[Surah al-Ahzab 39]

#Salah satu sifat yang perlu dimiliki oleh seorang muslim adalah takut kepada Allah. Pentingnya sifat ini ialah akan menjaga pemiliknya utk tidak berbuat dosa dan maksiat kepadaNya.

#Daripada Syaddad b Aus r.a, telah berkata Rasulullah saw bahawa Allah swt berfirman:..

“Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tidak akan menghimpun pada diri hamba-hambaKu dua rasa aman dan dua rasa takut. Jika dia merasa aman dariKu di dunia, maka Aku akan beri rasa takut pada hari Aku menghimpun hamba-hambaKu. Dan jika dia takut kepada-Ku di dunia maka Aku akan berikan rasa aman pada hari Aku menghimpun hamba-hambaKu” (HR Abu Nu’aim dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani)

#Suatu ketika, ada seseorang yang berkata kepada as-Sya’bi:

“Wahai sang alim/ahli ilmu.” Maka beliau menjawab: “Kami ini bukan ulama. Sebenarnya orang yang alim itu adalah orang yang senantiasa merasa takut kepada Allah swt” (Dinukil dari adh-Dhau’ al-Munir ‘ala at-Tafsir)

#Bermaharaja gilanya segala syirik, khurafat, kesesatan, maksiat, mungkar dan segala macam lagi jahat di bumi ini adalah disebabkan kebanyakan manusia hidup dalam keadaan tidak takutkan Alah, tidak takutkan azab Allah dan tidak memikirkan kehidupan yang akan dilaluinya selepas kematian.

♡Takut pada Allah adalah ketakutan yang sebenar iaitu dengan sentiasa berusaha mendekati dan berdamping dgnNya dengan cara melaksanakan segala perintahNya♡

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link 👆 dan klik join)

Istilah Tafsir Al-Quran – Khotmul Qalbi dan Robtul Qalbi

0

Istilah Tafsir Al-Quran

Istilah Ke-15 – Khotmul Qalbi – ختم القلب

‘Kunci mati mata hati’. Istilah ini berkenaan ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Allah SWT akan ‘kunci mati mata hati’. Khatm: penutupan (macam khatam Al-Quran) dan Qalbi: hati.

Ia adalah ayat-ayat yang didatangkan sebagai keputusan terakhir kepada penentang Dakwa. Setelah diberi peluang berkali-kali bagi mereka untuk menerima dakwah.

Setelah diberikan kepadanya akal, pancaindera dan telah dibawakan pembawa Dakwa, dari kalangan Nabi dan pengikutnya, mereka masih juga menolak. Semua dalil dan bukti serta contoh tauladan dan nasihat berguna telah diberikan. Semua itu dibawa supaya mereka menerima dakwa namun mereka masih berdegil.

Maka Allah SWT, pada satu waktu akan menarik balik peluang untuk mereka mengikut hikmah-Nya dan takdir-Nya. Setelah peluang itu tidak ada lagi, akan dikunci mati hati mereka.

Waktu itu tidak ada jalan yang boleh menyampaikan mereka kepada haq. Penarikan peluang itulah yang dinamakan Khotmul Qalbi.

Ini adalah kufur tahap keempat. Maknanya, sebelum terjadi perkara ini, ada tiga peringkat kufur sebelum itu. Maka kena beringat-ingat takut kita pun terkena juga. Peringkat-peringkat itu adalah:

1.Syak atau was-was terhadap ugama. Tolak tidak, terima pun tidak. Ini pun sudah dikira sesat kerana kita sepatutnya kena terima kebenaran. Ini pun sudah ada masalah sebenarnya. Mereka ada syak terhadap Al-Quran dan agama. Oleh kerana syak, maka mereka tunggu dan lihat apa yang terjadi, tanpa buat apa-apa. Itulah mereka yang kalau kita ajak mereka belajar, mereka tidak mahu hendak ikut. Mereka hendak tunggu dan lihat.

2. Kalau tidak diubat penyakit pada tahap pertama di atas, ia boleh melarat ke peringkat kedua pula. Ini apabila sudah berada di atas kesesatan (dolalah), iaitu apabila dia terima fahaman yang salah. Setelah ajaran yang betul dibacakan, mereka masih tidak terima dan pakai pula fahaman yang salah. Ini terjadi kalau masalah dalam peringkat 1 tidak diselesaikan dan diperbaiki.

3. Sentiasa mujadalah (membantah dan melawan). Melawan kebenaran setelah dibacakan kebenaran kepadanya. Peringkat 1 dan 2, mereka duduk diam sahaja, tidak membantah. Tetapi dalam peringat 3 ini, mereka mula bantah. Mula hendak lawan. Mula hendak kata tidak baik terhadap ajaran sunnah.

4. Akhirnya kalau tidak berhenti juga, tidak ambil peluang untuk kembali kepada kebenaran, Allah SWT akan kunci mati mata hati dia. Sampai bila-bila dia tidak akan terima Islam.

Orang yang Allah SWT telah tutup hatinya dari menerima hidayah, tidak akan terima hidayah sampai bila-bila. Walaupun segala hujah diberikan kepadanya, walaupun semua orang telah berdakwah kepadanya, walau datang pendakwah yang paling baik pun, tidak akan mengubah dirinya kerana Allah SWT telah buat keputusan yang orang itu adalah ahli neraka. Allah SWT telah tarik peluang untuk beriman dari dirinya.

Namun, kita kena berhati-hati dengan pengetahuan ini. Kita kena sedar yang mengunci mati hati manusia bukan kerja kita. Kita pun tidak boleh kata seseorang itu telah dikunci mati hatinya. Kita jangan ambil kerja Tuhan pula dengan mengatakan seseorang itu tidak ada harapan lagi untuk terima iman. Kita kena seru dakwah dan ajak kepada agama Islam ini kepada semua orang.

Kita baca ayat ini untuk kita sendiri beringat, bukannya hendak hukum orang lain. Dan supaya kita dapat ingatkan kepada orang lain kerana ramai yang tidak tahu langsung perkara ini.

Soalan: Adakah konteks tutup mata hati dan disesatkan oleh Allah SWT ini cuma untuk orang-orang kafir atau termasuk juga orang-orang muslim?

Jawapan: Tidak kira sama ada dia bukan Islam atau namanya muslim jika dia menentang Islam, termasuklah juga. Cuma jika orang itu malas beribadat, tidak semestinya Khotmul qalbi kerana dia tidak menentang Islam kerana itu ada yang akhirnya berubah.

Tiga perkara berkenaan Khotmul Qalbi ini disebut dalam Al-Quran.

1.Apakah makna Khatmul Qalbi itu. Setelah kita mengetahui apakah Khatmul Qalbi itu, maka kita kena doa kepada Allah SWT supaya kita dijauhkan darinya kerana kalau kita mati dalam keadaan itu, ia adalah su’ul khatimah dan perkara yang amat malang sekali. Maka kita kena minta berlindung darinya.

2. Cara ia berlaku dan kenapa berlaku?3

3. Siapa yang melakukan Khatmul Qalbi itu. Tentulah yang menentukannya hanyalah Allah SWT. Hanya Allah SWT yang menentukan siapa yang akan dikunci mati hati mereka. Ia dilakukan mengikut ‘hikmah ilahiah’. Allah SWT sahaja yang tahu kenapa hati mereka dikunci mati.

Lihat [A’raf: 179]

لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah SWT), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah SWT) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Ayat ini menceritakan apakah Khatmul Qalbi. Iaitu mereka yang ada mata, telinga dan hati tetapi kebenaran tidak akan masuk. Sesiapa datang dakwah kepada mereka pun mereka tidak akan terima.

Bagaimana pula cara ia berlaku? Allah SWT sebut dalam [Mutaffifin: 14]

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”.

Allah SWT telah menutup hati mereka sampaikan mereka tidak boleh hendak lihat kebenaran kerana mereka telah menentang agama Allah SWT. Mereka bukan sahaja tidak beriman, malah mereka menentang. Mereka cari kesalahan-kesalahan dalam agama, mereka halang orang lain dari beriman, mereka tulis blog menentang ajaran agama dan sebagainya. Setiap kali mereka melakukan penentangan itu, semakin tinggi kebarangkalian mereka akan ditutup hati.

Siapakah yang melakukan Khatmul Qalbi itu? Allah SWTlah yang melakukannya, bukan kita. Seperti Allah SWT sebut dalam [Baqarah: 7]

خَتَمَ اللَهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah SWT mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar”.

Lihat ayat ini – Allah SWT memberitahu yang Dia yang memateri hati mereka itu. Jadi jangan kita memandai hendak mengatakan: “ahhh, orang itu dah kena Khatmul qalbi ”. Jangan sekali-kali.

Istilah Tafsir Ke-16 – Robtul Qalbi – ربط القلب

‘Peneguhan Hati’. Ia adalah lawan kepada Khotmul Qalbi di mana ia adalah peneguhan hati atau keyakinan yang sejati. Maksudnya, seseorang itu diberikan iman yang sempurna yang membawa kepada kejayaan. Ia akan diberikan kepada hamba yang berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan beramal dengan amalan yang benar.

Iman yang tidak sempurna akan sentiasa melanggar hukum Allah SWT. Iman mereka memang ada, tetapi tidak sempurna. Ini boleh menyebabkan seseorang itu diazab beberapa lama di neraka sedangkan mereka yang beriman sempurna tidak akan masuk neraka langsung.

Ayat-ayat Robtul Qalbi adalah ayat-ayat yang menceritakan tentang hati Pembawa Dakwa. Iaitu mereka yang belajar dan menerima ajaran Al-Quran. Mereka istiqamah dalam pendirian mereka. Mereka akan menegakkan hukum dalam segala ujian kehidupan mereka. Mereka tetap teguh atas iman walaupun mereka diuji dengan berbagai-bagai ujian. Hati mereka telah sampai ke satu peringkat yang amat sukar kembali kepada kesesatan. Oleh kerana itu mereka tidak akan sesat kerana mereka telah memiliki Robtul Qalbi. Jika orang yang belum capai tahap ini, ada lagi kemungkinan boleh jatuh ke lembah kesesatan.

Ini pun ada tahap juga iaitu tahap iman yang keempat. Maksudnya, ada tahap-tahap lain sebelumnya. Inilah tahap yang kita mahu. Semua tahap-tahap itu disebut dalam Al-Quran. Peringkat-peringkat itu adalah:

1.Sifat inabah. Iaitu mereka yang ada keinginan kepada kebenaran, mereka mencari-cari kebenaran, ingin belajar dan sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak buat lagi, tetapi ia adalah permulaan kepada hidayah. Mereka sanggup dengar dahulu apa yang hendak diberitahu dalam agama. Hati mereka terbuka kerana mereka mahu kepada kebenaran. Mereka hendak mencari kebenaran, tidak kisah dari mana datangnya.

2. Selepas mereka menerima hidayah, mereka mula duduk di atas jalan hidayah. Sudah menerima kebenaran. Mereka sudah masuk Islam dan sudah mula tahu tentang hukum-hukum agama yang mereka perlu belajar dari taat. Mereka sudah mula ikut sedikit demi sedikit.

3. Istiqomah dan tetap atas jalan agama. Setelah diduga dengan berbagai ujian ditentang oleh pihak yang menghalang, namun mereka masih tetap di atas jalan hidayah. Oleh itu Allah SWT akan angkat lagi kedudukan manusia itu kerana mereka dapat melepasi ujian yang Allah SWT berikan. Mereka sabar dengan ujian dan tidak meninggalkan agama. Kenalah kita ingat yang ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita dan menambah pahala kita sebenarnya.

4. Jika ia dia dapat melepasi tiga peringkat itu, maka dia akan diteguhkan hatinya di atas aqidah tauhid. Setelah melalui berbagai-bagai dugaan dan tentangan namun dia masih tetap tidak gugur dan tidak terkesan dengan mana-mana dugaan. Maka, mereka akan tetap terus beriman dan akan mati dalam Husnul Khotimah.

Para Nabi dan para sahabat telah sampai ke tahap keempat ini. Sebab itu mereka boleh dijadikan sebagai contoh tauladan. Selain dari mereka, tidak boleh lagi dijadikan contoh kerana belum tentu mereka itu telah selamat. Kerana kita tidak tahu di mana tahap mereka. Seperti Nabi dan para sahabat, telah diberitahu oleh Allah SWT yang mereka telah sampai ke tahap keempat. Semua sahabat dikira sebagai ‘adil’. Merekalah neraca syariat yang kita kena ikut. Sebab itu kita selalu katakan: ikut amalan Nabi dan sahabat.

Contoh Robtul Qalbi: [Kahfi: 14]

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Semua pemuda Kahfi itu telah mendapat Robtul Qalbi. Mereka sanggup berdiri menegakkan hujah berdepan dengan raja yang zalim. Maka Allah SWT telah berikan Robtul Qalbi kepada mereka.

Kerana itu mereka telah dilindungi dalam gua untuk menjaga akidah mereka. Para wali, seperti Pemuda Kahfi ini, ada sifat ini. Oleh kerana mereka telah dijadikan sebagai contoh, maka kita kena jadikan mereka juga sebagai contoh. Iaitu kita kena cakap tentang kebenaran walaupun kita berdepan dengan orang yang bahaya, yang boleh memudharatkan kita. Oleh itu, kita boleh mendapat Robtul Qalbi ini kalau kita sampaikan kepada mereka yang menentang.

Kita mungkin tidak sampai lagi peringkat ini kerana bila tidak pergi ke Majlis Tahlil pun sudah segan dengan ahli keluarga, belum hendak berdakwah kepada raja lagi!

Allahu a’lam.

 

Popular

Iklan

Iklan