Utama Blog Halaman 144

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-47 dan Ke-48

0

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-47

Ini adalah dalil Aqli Ilmi – hanya Allah SWT sahaja yang tahu segala perkara ghaib, maka kenalah kita sembah dan seru Dia sahaja.

Seperti telah disebut sebelum ini, Surah Fussilat ini mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia. Dalam kita berdakwah itu, akan ada sahaja yang akan bertanya bilakah akan terjadinya hari Kiamat? Maka, Allah SWT ajar kita bagaimana hendak menjawab soalan sebegitu.

۞ إِلَيهِ يُرَدُّ عِلمُ السّاعَةِ ۚ وَما تَخرُجُ مِن ثَمَراتٍ مِن أَكمامِها وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ ۚ وَيَومَ يُناديهِم أَينَ شُرَكائي قالوا آذَنّاكَ ما مِنّا مِن شَهيدٍ

Kepada (ilmu pengetahuan) Allah SWT jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku, kerana) sebiji buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya, dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah SWT. Dan pada hari Tuhan menyeru mereka (yang musyrik, dengan bertanya kepada mereka): “Mana dia makhluk-makhluk yang kamu sifatkan menjadi sekutu-sekutu-Ku?” Mereka menjawab: “Kami mengakui kepada-Mu (wahai Tuhan kami), bahawa tidak ada di antara kami seorang pun yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan kami dahulu telah nyata salahnya)!”

إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ

Kepada Allah SWT sahaja kembalinya semua ilmu tentang Kiamat;

Apabila susunan perkataan dalam Al-Quran itu dalam bentuk yang abnormal, seperti dalam ayat ini, ia hendak membawa maksud eksklusif – bermakna, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Maksudnya, tidak ada sesiapa lagi yang tahu bilakah akan terjadinya hari kiamat itu. Susunan yang normal dalam bahasa Arab adalah begini: يُرَدُّ إِلَيْهِ عِلْمُ السَّاعَةِ. Tetapi Allah SWT susun ayat ini begini: إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ.

Itulah maksudnya, susunan ayat ini adalah dalam bentuk yang abnormal. Apabila susunan dalam bentuk yang abnormal, bermaksud ada makna yang hendak disampaikan seperti yang kita telah sebut di atas.

Bilakah terjadinya hari kiamat itu tidak diberitahu kepada Nabi Muhammad SAW, Jibrail atau sesiapa pun. Yang pasti, ia akan berlaku, cuma tidak diketahui bilakah ia akan terjadi.

Kalau orang tanya kepada kita bila kiamat, kita kena jawab, ‘hanya Allah SWT yang tahu’ kerana ia adalah dalam ilmu Allah SWT. Dan begitulah juga jawapan Nabi Muhammad SAW kalau ditanya tentang perkara ini.

Maksudnya, ilmu yang penuh tentang Hari Kiamat itu, Allah SWT sahaja yang tahu, kita hanya tahu sedikit sahaja. Cukup buat pengetahuan kita sahaja dan apa yang Allah SWT hendak kita tahu dan tidak lebih dari itu kerana perkara ini adalah perkara ghaib, maka apa-apa sahaja maklumat tentangnya, memerlukan dalil dari nas yang sahih.

Jangan malu untuk mengaku kita tidak tahu. Mungkin kita rasa segan kalau kita tidak dapat jawab. Kita juga jangan rasa ini adalah sebagai lari dari menjawab soalan yang diberikan kepada kita. Allah SWT beri kita alasan kenapakah tidak salah kalau kita jawab begitu.

وَمَا تَخْرُجُ مِنْ ثَمَرَاتٍ مِنْ أَكْمَامِهَا

dan tidak keluar dari buah-buah dari kelopaknya

Ini adalah kerana memang banyak benda dalam dunia ini yang kita tidak tahu. Bukan tentang hari kiamat sahaja kita tidak tahu.

Sebagai contoh, tentang buah-buahan yang membesar dalam kelopaknya. Tidaklah yang tahu berapa banyak dan apa yang keluar dari kelopak tanaman itu melainkan Allah SWT sahaja.

Berapa banyak buah yang akan keluar, kita tidak tahu. Kita hanya boleh agak-agak sahaja dan tidak ada maklumat yang tepat dan penuh tentangnya. Jadi, tidak boleh kita kata buah akan banyak keluar dari pemerhatian kita.

Kita tidak tahu bilangan buah yang akan keluar itu. Bunga dari buah itu mungkin nampak banyak. Tetapi berapa banyak buah yang akan keluar itu ditentukan oleh Allah SWT dan Dia sahaja yang tahu berapa banyak akan keluar. Walaupun kita nampak banyak dan kita sangka akan banyak buah.

Kita juga tidak tahu apakah buah yang kita beli di pasar itu manis atau tidak. Kita ketuklah buah itu macam mana pun, kita cuma boleh agak sahaja sebab pengetahuan kita terhad. Yang pasti tahu hanyalah Allah SWT sahaja.

Kita tidak perlu tahu pun. Jadi tidak perlu malu kalau kita tidak tahu. Petani yang menanam buah-buahan itu pun tidak tahu apakah buah yang mereka tanam itu akan jadi baik atau tidak, manis atau masam. Namun, mereka terus tanam juga.

وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَىٰ

dan apa yang dikandung oleh betina

Seorang perempuan tidak tahu hal kedudukan anak yang dikandungnya itu. Ibu itu tidak tahu bagaimanakah keadaan anaknya itu. Anak yang akan lahir itu, kita tidak tahu akan jadi macam mana. Cantikkah, sihatkah, pandaikah dan sebagainya, kita tidak tahu.

Allah SWT sahaja yang tahu. Bila akan lahir pun hanya Allah SWT yang tahu. Doktor cuma boleh agak sahaja dengan menggunakan segala mesin dan pengetahuan serta pengalamannya.

Disebut dalam ayat ini perkataan أُنْثَىٰ yang bermaksud ‘betina’, kerana bukanlah yang mengandung itu dari jenis manusia sahaja, tetapi dari semua jenis betina. Kambing betina, lembu betina dan sebagainya yang sedang mengandung. Itu pun kita tidak tahu juga bagaimana anak-anak itu akan lahir.

وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِ

dan tidak dilahirkan, melainkan dengan pengetahuan-Nya;

Kita pun tidak tahu sama ada anak yang akan dilahirkan itu lelaki atau perempuan kecuali doktor telah ‘scan’, dia boleh nampak anggota, dia boleh agak lelaki atau perempuan yang akan keluar dari kandungan itu. Masa mula mengandung, doktor sendiri pun tidak tahu. Bila telah besar sedikit kandungan itu, baru doktor boleh cuba agak.

Boleh jadi syirik kalau kita kata kita tahu. Kita tidak boleh kata: ‘dalam firasat saya, akan keluar anak lelaki ini’, dan kata-kata sebegitu. Dia tidak boleh kata ‘mesti’. Kalau dia kata ‘Insya Allah’, boleh lagi.

Walhal, doktor dengan segala peralatan pun boleh agak sahaja. Berapa banyak perempuan mengandung yang diberitahu oleh doktor bahawa anaknya itu nanti adalah anak lelaki, tetapi apabila lahir, rupanya anak perempuan.

Ini semua adalah hendak memberitahu tentang ilmu Allah SWT. Allah SWT sahaja yang maha tahu dengan sempurna. Kita sebagai manusia tidak tahu tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang Allah SWT telah beritahu sahaja.

Siapa yang kata dia tahu perkara-perkara ini, dia telah melakukan ‘syirik dalam ilmu’ kerana dia seperti mengatakan dia ada kuasa Allah SWT pula. Itu adalah syirik kerana menduakan sifat Allah SWT.

Allah SWT sahaja yang ada sifat itu tetapi kita pula kata ada makhluk lain yang tahu. Jadi, kena berhati-hati dalam kata-kata kita. Jangan kita sampai kata perkara yang boleh menyebabkan syirik pula.

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ

Dan pada hari diseru (orang-orang musyrikin) itu;

Ini adalah Takhwif Ukhrawi (ancaman akhirat). Ini adalah kejadian di Mahsyar.

Mereka akan diseru dengan kuat, di khalayak ramai supaya semua orang boleh dengar. Apakah seruan itu?

أَيْنَ شُرَكَائِي

Mana dia sekutu-sekutu Aku?

Allah SWT tanya itu kerana hendak menghina.

Kalau orang Kristian, Tuhan tanya: mana dia Nabi Isa?

Kepada orang Hindu, mana dia berhala-berhala kamu dulu? Mana dia?

Huraian ayat ini duduk di dalam surah [ Yunus: 28 ].

Maknanya, sekutu-sekutu itu adalah Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat.

Ada yang mengadakan majlis-majlis tertentu, amalan beri salam kepada mereka, seru mereka, sedekah Al-Fatihah kepada mereka. Itulah seruan yang syirik.

Bila belajar tafsir Al-Quran, baru tahu bahawa setiap satu yang diseru itu adalah jin belaka.

Kerana nabi, wali malaikat tidak terima pun salam atau seruan yang manusia beri kepada mereka.

Rupanya kita berikan salam kepada jin-jin selama hari ini. Belajar tafsir baru tahu.

Apakah jawapan puak musyrikin itu?

قَالُوا آذَنَّاكَ مَا مِنَّا مِنْ شَهِيدٍ

Mereka berkata: kami memperdengarkan kepada Kamu bahawa tidak ada antara kami ini yang akan menjadi saksi

Mereka telah mula bohong kepada Allah SWT. Mereka tidak mahu mengaku. Sekarang mereka tidak mengaku yang mereka dulu buat syirik, seru selain dari Allah SWT. Mereka kata, tidak akan ada saksi yang akan kata mereka pernah buat. Mereka sangka mereka boleh tipu Allah SWT.

Ataupun, boleh jadi ayat ini bermaksud: mereka yang diseru oleh musyrikin itu tidak akan menjadi saksi bahawa mereka dulu suruh puak-puak musyrik itu puja mereka dahulu. Mereka tidak pernah suruh dan mereka tidak pernah dapat pujaan dari mereka dulu.

Sia-sia sahaja amalan syirik seperti beri salam, hadiah Al-Fatihah, seruan dalam qasidah dan sebagainya itu.

Pernahkah Nabi suruh buat qasidah untuk baginda? Tentu tidak. Baginda suruh selawat sahaja. Apa tidak cukupkah dengan selawat itu sampai hendak ‘Ya Hanana’ pula?

Ataupun bermaksud, mereka pada hari itu tidak bersaksi, tidak mengaku yang Allah SWT ada sekutu.

Waktu itu telah jelas nyata bahawa kekuasaan penuh hanya ada pada Allah SWT sahaja, mana mungkin ada yang berani mengaku ada sekutu bagi Allah SWT?

Ataupun kita boleh kata, pada hari itu tidak nampak pun sembahan-sembahan mereka itu, pujaan-pujaan mereka itu.

Mereka yang telah buat salah semasa di dunia mengharap semoga mereka diberi bantuan tetapi mereka yang diharapkan tidak nampak pun batang hidung mereka.

Jadi kita boleh lihat ada beberapa tafsir tentang perkara ini. Semua makna-makna yang disebut di atas boleh digunakan.

Tafsir Ayat Ke-48

Ayat ini adalah penolakan kepada fahaman adanya Syafaat Qahriyah. Syafaat Kasih Sayang iaitu kalau kita seru roh yang Allah SWT sayang, maka kita akan selamat.

Fahaman ini adalah salah kerana percaya yang Allah SWT akan memberi pengampunan kerana gerun atau malu pada seseorang.

Oleh kerana ada fahaman salah ini, ada yang memuja dan menyeru kepada Ilah seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka sangka kalau mereka baik dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah SWT segan hendak kenakan azab kepada mereka.

وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَدعونَ مِن قَبلُ ۖ وَظَنّوا ما لَهُم مِن مَحيصٍ

Dan (pada saat itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka sembah dahulu (yang diharapkan pertolongannya), dan yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri (dari azab seksa).

وَضَلَّ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَدْعُونَ مِنْ قَبْلُ

Hilang dari mereka apa yang dulu mereka seru kepadanya;

Dulu Nabi-nabi, wali-wali, malaikat yang pernah mereka seru tidak mengaku belaka yang mereka pernah suruh mereka disembah.

Yang menyeru sangka kan bahawa entiti-entiti yang mereka seru itu akan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat kelak, tetapi tidak.

Mereka tidak ada yang akan menolong. Tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Hilang lenyap dari mereka.

وَظَنُّوا مَا لَهُمْ مِنْ مَحِيصٍ

Maka yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri

مَحِيصٍ bermaksud satu tempat yang menyelamatkan kita dari bahaya. Dalam dunia, kalau kita kena kejar, mungkin ada tempat untuk lari dan berlindung. Tetapi di akhirat tidak akan ada tempat seperti itu.

Mereka tidak akan dapat melepaskan diri lagi. Mereka sendiri telah nampak. Mereka sendiri telah tahu nasib mereka.

Kalau di dunia, manusia boleh cari jalan keluar untuk melarikan diri. Macam kita tengok filem aksi, ada sahaja jalan keluar walaupun musuh telah kepung keliling mereka. Tidak ada jalan keluar apabila di akhirat kelak.

Apabila tidak ada sembahan mereka yang membantu mereka di akhirat itu, mereka tahu mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka.

Ini kerana akidah mereka yang salah. Kalau mereka hanya melakukan amalan salah, masih ada harapan lagi untuk keluar dari neraka. Hatta kalau salah bunuh orang pun, ada harapan hendak masuk syurga lagi. Tetapi kalau akidah salah, buat amalan yang syirik, maka tidak akan ada harapan lagi.

Allahu a’lam.

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-46 hingga Ke-51

0

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-46

Berakhlak baik

Akhlak adalah kebiasaan atau tindakan yang kita lakukan tanpa ada niat dan perancangan.

Misalnya kita senyum, kita bertegur sapa, kita memberikan pujian. Tindakan-tindakan ini pada asalnya bagi yang tiada akhlak baik, suatu yang luar dari kebiasaan. Sebaliknya seorang yang berakhlak baik ianya dilakukan secara kebiasaan.

Cabang Iman Ke-47

Bertaubat

Manusia tidak terlepas dari dosa dosa. Tasdiqkanlah bahawa Allah Maha Menerima Taubat.

Sampaikanlah akan taubatnya Nabi Adam a.s dan bagaimana sifat RASULALLAH SAW dalam hal beristighfar.

Amallah dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan dan azam untuk tidak mengulangi kemungkaran, maksiat bahkan perkara makruh.

Cabang Iman Ke-48

Mentaati Pemerintah

Rujuk surah [ An-Nisaa’ : 59 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.(An-Nisa’ – 59)

Taat pemerintah hanya dalam hal makruf (kebaikan).

Umumnya setiap individu adalah pemimpin dalam lingkungan kepimpinannya.

Ayah anak, abang adik, ketua taman / kampung, datuk bandar, menteri-menteri, Agung (Sultan) dan Pengerusi PBB.

Maka segala perintah yang baik dari pemerintah itu adalah amal kebaikan.

Tasdiqkan lah akan perintah taat pemerintah ini adalah cabang dan ia berkait dengan hal iman

Sampaikanlah akan kepentingan pemerintah yang adil dan rakyat yang taat.

Amallah dengan mengikuti dan akur akan perintah-perintah yang baik dari pemerintah dan pemimpin kita baik dari skop keluarga hingga ke skop yang luas di peringkat negara dan antarabangsa.

Cabang Iman Ke-50

Membuat keputusan dengan adil

Setiap hari kita akan berhadapan dengan proses membuat keputusan sama ada keputusan yang kecil impaknya sehingga yang besar dan berisiko tinggi.

Membuat keputusan seperti mahu bersolat di surau yang hampir atau masjid yang ramai

Membuat keputusan berbuka puasa di rumah ibu sendiri atau rumah ibu mentua tahun ini.

Membuat keputusan untuk mendahulukan permohonan orang Islam atau bukan Islam dalam urusan pejabat dan pentadbiran.

Situasi-situasi seperti ini kita mungkin pernah hadapi dalam kehidupan hari-hari kita.

Maka sebagai orang yang beriman dengan Allah SWT dan Rasul-Nya, hari Akhirat dan Kitab-kitab-Nya, apa yang kita dahulukan dalam membuat keputusan ?

Menimbang dengan ilmu KEADILAN. Ilmu KEADILAN adalah meletakkan suatu perkara ini pada tempat yang sepatutnya.

Al-Quran 6236 ayat mengajar dan memberi contoh yang sangat banyak hal keadilan ini.

Tasdiqkan lah di dalam hati Allah SWT Maha Adil dan telah mengajar hal keadilan kepada manusia melalui kalam-Nya dan Rasul-Nya.

Sampaikanlah akan pentingnya keadilan dalam setiap keputusan kita sehingga disebutkan mafhum hadisnya di yaumul Masyhar binatang yang bergaduh juga akan di adili.

Amallah dengan mengetahui hal keadilan dan menjadikan keadilan perkara pertama ketika membuat keputusan walaupun ia sekadar keputusan yang kecil implikasinya pada pandangan kita.

Cabang Iman yang Ke-51

Amar Makruf Nahi Mungkar

Amar (menyuruh/menggalakkan/mendorong) kepada Makruf (yang disuruh / di perintah).

Nahi (menidakkan/ mencegah / menjauhkan) segala Munkar (perkara yang mengingkari perintah Allah.)

Tasdiqkanlah akan perintah ini dalam hati kita dengan merasakan bahawa ia tanggungjawab yang ditaklifkan kepada kita.

Tablighkanlah akan kepentingan amalan ini.

Amallah dengan menggalakkan segala jenis kebaikan yang diturunkan melalui Al-Quran dan As Sunah serta cuba sedaya upaya menghidupkan amalan Sunnah dari bangun tidur sehingga kita tidur kembali.

Isilah masa dengan segala perkara yang makruf.

Lihatlah kemungkaran dengan rasa benci di hati akan perkara mungkar tersebut. Jika kita mampu sebutkan dan beritahu kepada pelaku akan kemungkaran yang telah dilakukannya dan ancamlah amalan mungkar tersebut dengan berita-berita ancaman dan Azab dari Allah azza wajalla . Jika mampu dengan kekuatan tangan (kuasa) cegahlah ia.

Allahu a’lam.

ERTI MASA : Tazkirah Sempena Tahun Baru

0

Apabila masa semakin suntuk, wajarkah kita meraikannya dengan gembira? Bagaimana kita perlu menghargai masa. Saya bawakan artikel dari Channel Tazkirah Harian UiTO untuk tatapan bersama…

UiTO Channel: Tazkirah Harian

[86:17] فَمَهِّلِ الْكَافِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًا

Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa. [86:17]

Hidup di dunia ini hanyalah sebentar. [46:35]

Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat (SEKETIKA) sahaja dari siang hari. Apakah yang dimaksudkan dengan seketika sahaja pada siang hari? [79:46]

Cuba bayangkan satu hari di sisi Allah bersamaan 1000 tahun pada kiraan dunia. [32:5]

Kalau kita hidup 100 tahun di dunia ini, tempohnya baru 2.4 jam pada kira hari di sisi Allah. Baru berapa minit?

Kalau hidup 100 tahun baru lebih kurang 144 minit sahaja. Sedikit ujian yang kita lalui hendaklah dihadapi dengan sabar [46:35]

Maka bersabarlah kamu seperti para rasul ulu al-‘azmi bersabar

Teruskan perjuangan untuk mengembangkan al-Qur’an ke tengah masyarakat. Justeru ganjaran bagi orang yang sabar itu tanpa batas. [39:10]

Jangan cepat melatah. Jangan suka merajuk. Jangan cepat putus asa. Jangan cepat melenting. Sikit-sikit hendak doakan kebinasaan ke atas orang lain. [46:35]

dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Justeru azab yang akan mereka terima akan tiba sebentar sahaja lagi. Allah timpakan istidraj untuk mereka dalam keadaan mereka tidak sedar. [68:44-45]

Mereka leka dalam kesenangan, sedangkan perancangan Allah hendak mengepung mereka supaya menjadi penghuni neraka yang kekal kerana kelekaan mereka mengejar dunia. [6:44]

Kalau mereka berniaga, maka perniagaannya bukanlah untuk mengembangkan ajaran al-Qur’an tetapi lebih tertumpu kpd mencari kesenangan duniawi [24:37]

Apa makna rijal (رجال)? Apa istimewanya lelaki?

Rijal: Manusia yang berjiwa besar, iaitu yang boleh memimpin orang ke jalan yang benar, [4:34] sanggup berkorban dan tetap pendirian. [33:23] Itulah kualiti orang yang tidak akan mengabaikan zikrulLah kerana sibuk dengan aktiviti jual beli.

Bersetujukah inilah kualiti lelaki yang sepatutnya, wahai kaum wanita? Apakah bekalan yang patut ada pada diri mereka untuk beroleh kualiti sedemikian?

Mereka mesti menguasai zikrulLah. Apakah yang dimaksudkan dengan zikrulLah?

ZikrulLah: Peringatan daripada Allah, iaitu al-Qur’an.

Demikian dalam menguruskan anak-anak supaya mereka menjadi anak-anak yang berkualiti. Allah mengingatkan kita supaya tidak melupai zikrulLah. [63:9]

Kalimah ZikrulLah, mengingati Allah (abstrak). Kalau sebut al-Qur’an baru konkrit dan spesifik. Setuju?

Kalau orang itu ada harta banyak tetapi tidak peduli al-Qur’an, kita patut terpesona ke dengan harta benda mereka?

Apabila seseorang anak itu dapat AAAAA dlm peperiksaan, tetapi tidak mempedulikan al-Qur’an, baca tidak faham, patutkan kita rasa kagum terhadapnya?

Inilah yang al-Qur’an hendak beritahu kita (istidraj). [9:55]

Kesimpulan: Binalah diri supaya berjiwa besar menerusi penguasaan al-Qur’an supaya apa sahaja yang dimiliki, isteri-isteri, anak-anak, harta benda, masa dan tenaga, kesemuanya dapat dimanfaatkan ke jalan Allah supaya beroleh syurga-Nya. [28:77]

#tadabburalquran
#amalquran
#akhirat
#sematquran

@NorM99

|| Takutlah Bila Tak Faham Agama ||

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

|| Takutlah Bila Tak Faham Agama ||

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Nabi pernah berkata:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan buatnya, Allah akan berikan kefaqihan agama kepadanya.”

Kata ulama’ perkataan “faqaha” dalam hadith ini bermaksud al-fahmu yakni kefahaman dalam agama Islam dan ajaranNya.

Zahir hadith ini jelas menyebutkan bahawa orang yang Allah nak beri dia kebaikan, Allah akan jadikan dia baik dengan cara memberikan kefahaman kepadanya dalam bab agama. Kefahaman itu diraih dengan ilmu dan ilmu adalah jalan menuju kepada hidayah. Ilmu dan hidayah itu saling berkait dan itulah yang membawa kepada kefahaman dalam agama.

Jika difahami dengan mafhum mukhalafah dalam ilmu usul fiqh, hadith ini juga boleh membawa makna;

“Jika Allah tak menginginkan kebaikan atau petunjuk kepada seseorang, dia tak akan berikan kefahaman agama kepadanya.”

Subhanallah.

Cuba kita lihat diri kita dan muhasabah. Adakah kita dekat dengan agama dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan seharian kita?

Takutlah wahai saudaraku jika kita tak faham ajaran Islam dan jauh dari agama dalam hidup kita seharian, mungkin saja Allah tak menginginkan kebaikan buat diri kita!

Takutlah, jika kita tak faham Islam dalam hidup kita.

Allah lebih Mengetahui.

_________________
@Ad-Dien Abdul Kadir
telegram.me/addien90

Sabtu 12/12/2015

Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-2

0

Tafsir Surah Quraisy

Pada sesi sebelum ini, kita telah membincangkan mengenai :

1.  Kesinambungan nikmat Allah SWT kepada Mekah dan kaum Quraisy

2.  Kekuasaan Allah SWT yang tidak terbatas dalam memberikan kelebihan kepada Mekah

Maka seterusnya, perbincangan kita masih lagi nikmat atau kelebihan kepada kaum Quraisy.

Tafsir Ayat Ke-2:

 إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ

(Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Inilah kebiasaan mereka. Mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu kerana Ka’bah.

Ada pengulangan kalimah :

إيلافِ

Ini kerana Allah SWT hendak memberi penekanan (taukid) kepada kalimah tersebut.

Di sini Allah SWT hendak menekankan perkara yang telah DIA lakukan untuk melembutkan hati mereka antaranya:

1. Allah SWT memusnahkan Tentera Abrahah.

2. Allah SWT memberikan mereka Ka’bah dan diberi kelebihan menjadi penjaganya.

3.  Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.

4.  Allah SWT bangkitkan Rasul terakhir (Nabi Muhammad SAW) dari kalangan mereka.

إيلافِ

Terdapat dua kategori kalimah ini dalam surah Quraisy :

1. Dalam bentuk umum : Belum lagi melembutkan hati mereka lagi.

2. Dalam bentuk lebih spesifik : Untuk melembutkan hati mereka. Oleh itu, Allah SWT menyebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka.

Kalimah “perjalanan perniagaan tersebut dipanggil :

رِحلَةَ

(Ianya dalam bentuk “mansub” kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka)

Saya jelaskan di sini bermaksud :

1. Quraisy ini ahli perniagaan yg tenang. Mereka ‘outstation’ seumpama “rihlah” (jalan-jalan)

2. Ini adalah satu pemberian nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.

3. Kerana tidak dinafikan, ramai juga ‘businessman’ yang kalut. Padahal sama sahaja, rezeki dari Allah SWT juga. Usahakan yang terbaik, tetapi tetap bertenang..

Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan untuk menunjukkan “perjalanan?

Safar سفر : untuk perjalanan yang jauh.

Saaha ساحة : untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancong.

Nafara نفر : perjalanan untuk berperang.

Namun kalimah :

رِحلَةَ

Bermaksud perjalanan yang membawa barang (seperti beg). Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka.

Oleh itu kalimah ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.

Masih mengenai kalimah rihlah..

Kalimah :

رِحلَةَ

Dalam bentuk mufrad (satu/singular)

Walaupun sebenarnya perjalanan Quraisy tersebut ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). TETAPI ia disebut dalam bentuk “mufrad” kerana seolah-olah ia HANYA satu perjalanan yang panjang

Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian menyambung perjalanan ke Syria. Ini lah “rihlah” iaitu : satu perjalanan yang panjang.

الشِّتاءِ

musim sejuk

الصَّيفِ

musim panas

Allah SWT sebutkan (musim sejuk) sebelum menyebut (musim panas)

Maklumat ini adalah penting. Ini kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah manakala masa menuai adalah pada musim panas.

Tetapi Allah SWT sebutkan dahulu tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim tersebut.

Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang.

Ini kerana mereka telah lama berkurung di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.

Oleh itu, boleh kita fahami :

1. Musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi.

2. Musim panas adalah masalah keselamatan.

Allah SWT sebut tentang ekonomi / makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan ekonomi yang mereka dapat.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Suatu pesanan baru, agar orang beriman perlu sentiasa doa dan mengharap panduan dan redha Allah SWT agar urusan yang dilakukan mendapat bantuan Allah SWT serta berjalan dalam keadaan tenang.

Kedua :

Ayat ini bukan sahaja menceritakan kisah Quraisy, tetapi secara tidak langsung mengangkat kelebihan Nabi Muhammad SAW . Ia merupakan petunjuk / clue kepada kaum yang mahu berfikir.

Ketiga :

Perbanyakkan mohon redha dan pertolongan Allah SWT kerana tiada yang mustahil di sisi Allah SWT sekiranya ingin memberikan rezeki dan manfaat kepada hamba-Nya.

Allahu a’lam.

 

 

 

 

VIDEO KONVENSYEN UITO 2017 SESI PETANG

0

KONVENSYEN UITO KE-3 2017

TENTATIF PROGRAM SESI PETANG

2.00 ptg – 2.45 ptg
Kertas Kerja 5
Kesihatan Sistem Pencernaan Demi Kesejahteraan Mental
Dr Hafiz Sulaiman
Panelis Bilik (50), Diskusi Bersama Doktor
Doktor Klinik Swasta

2.45 ptg – 3.30 ptg
Kertas Kerja 6
Dakwah Melalui Penulisan: Membina Pengisian Berpengaruh Dalam Media Baharu
Dr Zahiruddin Zabidi
Penceramah Bebas

3.30 ptg – 4.30 ptg:
Rumusan dan Sesi Soal Jawab
Tuan Hasan Tuan Lah@THTL & Ustaz Mohd Adlan@Adou

4.30 ptg – 5.00 ptg:
Penyerahan Sijil/Sesi Bergambar/Minum Petang
Bersurai

VIDEO KONVENSYEN UITO 2017 SESI PAGI

0

KONVENSYEN UITO KE-3 2017

TENTATIF PROGRAM SESI PAGI

9.00 pagi – 9.30 pagi
Aluan MC
Muqadimmah Rektor UiTO
Che Ab Rahim Mahmood @Cikgu Rahim

9.30 pagi- 10.15 pagi
Ucaptama Tetamu Kehormat
Kertas Kerja 1
Islam Rahmat Buat Wanita
Ustaz Kamilin Jamilin Hafizahullah
Ahli Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

10.15 pagi -11.00 pagi
Kertas Kerja 2 – Jemputan Khas
Dakwah Santai Bil Lisan: Teknik & Kaedah
Ustaz Nor Hamizi Jamaluddin@PU Mizi
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Pahang

11.00 pagi – 11.45 pagi
Kertas Kerja 3
Iktibar Peristiwa Kiamat Dalam Kehidupan Semasa
(Kajian Juzuk 30)
Ustaz Noh Fariq Omar Al-Hafiz@Ibnu Omar
Panelis Bilik (123), Tafsir, Tadabbur & Tazakkur
Penasihat Syarie & Pendakwah Al-Quran

11.45 pagi -12.30 tgh
Kertas Kerja 4
Keindahan Islam Dalam Merawat Ideologi Pengganas
Ustaz Mohd Fikri Che Hussain@Fikri Alamghiri
Panelis Bilik (01), Fiqh As-Sunah
Guru Bahasa Arab

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-45 dan Ke-46

0

Tafsir Surat Fussilat

Tafsir Ayat Ke-45

Ini adalah satu lagi kesamaran yang asalnya datang dari Yahudi dan mungkin mereka telah ajar kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata tidak sama cara Al-Quran diturunkan dengan cara Taurat yang turun lengkap.

Mereka kata, kalau betul Al-Quran itu kitab dari Tuhan, mestilah turun terus lengkap macam Taurat itu. Mereka kata, entah-entah sebab Nabi Muhammad SAW keluarkan sikit-sikit itu sebab Nabi Muhammad SAW yang buat sikit-sikit ikut kemampuan dia.

Allah SWT jawab juga hujah dan tohmahan ini sebab bernas juga. Allah SWT tempelak mereka, yang Taurat diturunkan sekali gus pun mereka tidak guna juga, mereka tolak dan ubah, maka jangan salahkan kitab.

Kalau sudah degil, pun tidak akan terima juga walaupun turun sedikit demi sedikit atau turun lengkap. Memang akan ada yang beriman dan akan ada yang tolak wahyu. Al-Quran pun begitu juga, pasti ada yang tolak kerana memang akan ada jenis yang tidak mahu beriman.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَاختُلِفَ فيهِ ۗ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhan mu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaum mu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Quran) itu.

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa kitab,

Iaitu Kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa a.s. Ia telah diturunkan kepada Nabi Musa a.s. lengkap bertulis.

فَاخْتُلِفَ فِيهِ

Mereka pun berselisih tentangnya;

Bani Israil yang telah diberikan dengan Taurat itu pun tidak beriman dengan Taurat itu. Bukan dengan Al-Quran sahaja manusia berselisih, Taurat dulu pun mereka berselisih juga. Perkara yang sama terjadi kepada Nabi Muhammad SAW sepertimana yang terjadi kepada Nabi Musa a.s dan Nabi-nabi lain pun.

Akan ada sahaja yang menentang kebenaran. Tidaklah perlu hairan. Penolakan manusia dengan wahyu Allah SWT itu bukanlah kerana ia diturunkan sedikit demi sedikit atau sekali gus. Itu semua alasan sahaja.

Ayat ini sekali lagi hendak memujuk Nabi dan para sahabat yang menjalankan dakwah. Mereka diberitahu, bukan sekarang sahaja mereka kena bantah, umat-umat yang dahulu pun telah membantah Rasul dan Nabi mereka.

Ia juga adalah pujukan kepada kita. Memang kita pun selalu dibantah apabila bawa tafsir Al-Quran kepada manusia. Namun, ini perkara biasa sahaja.

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu kalimah yang telah terdahulu daripada Tuhan kamu;

Ini ada satu soalan lagi. Mereka yang menentang wahyu itu berhujah: azab tidak datang pun kepada mereka walaupun mereka dikatakan menolak wahyu itu. Sedangkan berkali-kali Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa kalau tolak, Allah SWT boleh kenakan azab di dunia lagi. Mereka kata: mana dia azab yang kau janjikan itu?

Allah SWT jawab dalam ayat ini: kalau bukan kerana Allah SWT telah tetapkan mereka akan kena azab pada waktu tertentu, tentu mereka akan kena azab terus waktu itu juga. Maknanya, azab kepada mereka ditangguhkan sahaja, bukan tidak akan kena. Kena tangguh sahaja.

Sebenarnya mereka tidak terus kena azab kerana Allah SWT telah tentukan bila masa mereka akan kena azab. Jangan sangka tidak kena langsung sebab tidak kena azab lagi.

Apakah ‘kalimah’ itu? Itulah janji Allah SWT kepada diri-Nya untuk melewat-lewatkan azab iaitu Allah SWT akan menangguhkan azab sampai kita mati, baru Dia azab kita.

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentu Allah SWT akan beri keputusan kepada mereka.

Kalau Allah SWT tidak beri tangguh, tentu mereka telah kena azab lama.

Semasa dalam dunia, Allah SWT akan beri kita buat apa yang kita hendak buat. Allah SWT tidak terus turunkan azab kalau kita buat syirik, kalau kita buat dosa. Walaupun Allah SWT mampu untuk beri azab sekarang pun. Tetapi Allah SWT biarkan sahaja orang kafir duduk dalam kesesatan.

Tunggulah nanti di akhirat kelak. Kadang-kadang orang yang buat syirik dan buat dosa, mereka sangka mereka tidak salah. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, tentulah Allah SWT telah beri azab kepada mereka. Jatuh sakit kah, kena panah petir kah dan sebagainya. Tetapi Allah SWT tidak buat begitu, kerana Allah SWT telah janji kepada diri-Nya yang Dia akan lewatkan azab itu.

Oleh kerana mereka tidak kena azab semasa di dunia, mereka sangka mereka dalam kebenaran. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Oleh itu, kita fahamlah kenapa ramai sangat yang buat syirik tetapi tidak takut apa. Kerana mereka sangka mereka tidak kena apa-apa bala, mereka sangka Allah SWT redha dengan perbuatan mereka.

Pemahaman kedua, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa di akhirat kelak, Allah SWT akan buat penghakiman antara yang salah dan yang benar.

Ini adalah kerana kalimah قضى juga bermaksud ‘keputusan’. Dalam dunia, mereka kata kita yang salah. Mereka beri hujah macam-macam asalkan mereka tidak perlu terima ajaran Al-Quran itu. Mereka beri hujah akal, hujah tok guru mereka dan macam-macam lagi hujah batil dari mereka. Kadang-kadang mereka lagi pandai berhujah dari kita.

Mereka pun selalunya lagi banyak pengikut yang mengiringi mereka. Pendapat mereka adalah pendapat popular, kerana memang ramai yang pegang fahaman macam mereka juga. Yang betul-betul beriman bukannya ramai.

Kita kena ingat, Islam ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, tentu yang ramai akan menang. Tetapi Islam tidak begitu. Kalau seluruh dunia umat buat perkara salah, tidaklah perkara salah itu jadi benar. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jadi, dari luarannya, mereka nampak macam berada di pihak yang benar. Tetapi, siapakah yang benar sebenar-benarnya? Allah SWT akan beritahu kelak di akhirat. Namun, waktu itu sudah terlambat. Kalau waktu itu baru mereka nampak mereka di pihak yang salah, mereka tidak ada peluang untuk kembali ke dunia untuk memperbetulkan keadaan lagi. Mereka kena terima hukuman yang akan diberikan kepada mereka.

وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ

Sesungguhnya mereka duduk dalam syak wasangka tentangnya

Iaitu mereka syak wasangka dengan ajakan kepada mengesakan Allah SWT sahaja. Mereka tolak untuk ibadat hanya kepada Allah SWT. Bila kita hujah, mereka rasa macam boleh faham, tetapi mereka ragu-ragu. Antaranya sebab ada pendapat yang kata boleh.

Maka itu adalah bahaya. Tidak boleh ragu-ragu dalam hal agama. Kalau ragu-ragu, kena dapatkan maklumat yang benar. Jangan terus berada dalam keraguan. Kena cari kelas tafsir Al-Quran supaya keputusan yang tepat dapat diperolehi.

Tafsir kedua: Mereka tanya-tanya tentang azab yang tidak turun itu pun, mereka sebenarnya dalam ragu-ragu. Dalam hati mereka takut juga jikalau mereka betul-betul akan dikenakan dengan azab kerana mereka telah dengar kisah kaum terdahulu yang telah kena azab dan mereka pun telah ada rasa yang mereka pun akan kena azab juga. Mereka tidak pernah yakin yang mereka tidak akan kena azab itu. Maknanya, mereka kecut perut juga tu.

مُرِيبٍ

menjadikan orang lain pun syak juga.

Sudahlah mereka tidak percaya kepada tauhid, mereka pun buat orang lain syak dan tidak percaya juga. Tadi mereka yang ragu, sekarang mereka buat orang lain pula yang ragu-ragu supaya jadi macam mereka kerana mereka hendak juga cari geng.

Mereka akan beri hujah mereka yang batil, sampaikan orang yang tidak ada ilmu pun akan percaya kepada mereka juga. Kadangkala mereka pandai berhujah menggunakan logik. Dan memang ramai dalam negara ini dan masyarakat kita yang tidak berilmu.

Dan ini juga satu masalah yang kita kena berhati-hati kerana ada orang yang pandai berkata-kata dengan kata-kata mereka itu dapat mempengaruhi orang lain. Sehinggakan Rasulullah pernah bersabda bahawa ada ucapan yang seperti ‘sihir’.

5325 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

  1. Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengkhabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar radiallahu ‘anhuma bahawa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berucap maka orang ramai kagum dengan ucapannya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam ucapan itu ada yang betul-betul memukau (seperti sihir), atau sesungguhnya sebahagian dari ucapan itu adalah sihir.” Sahih Bukhari.

Jadi ramailah orang yang sudah tertipu dengan percakapan orang sahaja. Perkara agama ini hanya ikut-ikutan sahaja kepada mereka. Mereka akan terima sahaja apa yang disampaikan kepada mereka kerana yang menyampaikannya orang besar, nampak alim, nampak banyak pengikut, pandai bercakap dan sebagainya.

Tafsir Ayat Ke-46:

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhan mu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.

مَّنْ عَمِلَ صٰلِحًا

Sesiapa yang buat amal soleh

Ingatlah bahawa amal soleh adalah amal ibadat yang diajar oleh Nabi SAW iaitu ada contoh bagaimana Nabi SAW sendiri ada ajar amalan tersebut. Bukan amal ibadat yang direka oleh manusia.

Amal yang direka oleh manusia dinamakan ‘bidaah’. Itu bukan amal soleh, tetapi amal bidaah. Amal bidaah tidak diterima, tidak mendapat pahala, malah memberi dosa. Antara yang kita boleh sebut adalah Majlis Tahlil, Maulidur Rasul, Kenduri Arwah dan sebagainya lagi. Banyak sangat amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang.

فَلِنَفْسِهِ

ianya untuk dirinya sahaja.

Segala faedah dari amal ibadat itu adalah untuk pembuatnya, bukan untuk Allah SWT. Allah SWT tidak memerlukan ibadah kita. Kita buat ibadat atau tidak, Allah SWT tetap dengan kemuliaan-Nya. Maka jangan kita sangka Allah SWT memerlukan ibadah kita. Ibadah itu Allah SWT suruh kita buat, untuk kebaikan kita sebenarnya.

Sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, dia akan mendapat pahala. Namun, kalau amalan itu tidak soleh, ia adalah amalan bidaah, tidak dapat pahala langsung dari Allah SWT. Bukan sahaja tidak dapat pahala, dia akan dapat dosa pula dari perbuatannya itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu, sesiapa yang buat amal ibadat, dia sahaja yang akan dapat pahala itu. Bukan orang lain pula yang boleh dapat dari usaha orang itu. Kena buat sendiri amal itu, baru dapat. Tidak boleh buat ibadat untuk dikirimkan pahala kepada orang lain.

Maknanya, tidak betullah perbuatan ‘tahlil arwah’ yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Kemudian ada pula Majlis Tahlil yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang iaitu majlis di mana ramai-ramai akan baca Al-Quran, baca zikir dan mereka niatkan supaya pahala dari amalan mereka dalam majlis itu ‘dihadiahkan’ kepada si mati. Ini tidak ada.

Tetapi, kita boleh lihat dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, pahalanya kepada dirinya sahaja. Tidak ada konsep ‘sedekah pahala’ kepada orang lain. Kalau seseorang itu sudah mati, dia tidak boleh buat amal ibadat lagi, maka dia tidak dapat pahala lagi. Ada pengecualian yang telah disebut oleh Nabi – seperti sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak kepada ibu bapanya. Itu sahaja.

Untuk lebih mudah faham, katakanlah esok kita ada peperiksaan. Takkan kita kata kepada kawan kita: “tidak mengapa, malam ini aku akan baca buku, esok kau boleh jawab soalan punya….” Kalau kita hendak faham dan senang hendak jawab soalan peperiksaan, kita kena baca sendirilah buku itu, bukan kawan kita yang baca.

Paling menyedihkan, ramai manusia yang menjadikan perbuatan ‘sedekah pahala’ ini sebagai sumber pendapatan pula. Mereka akan beri borang dan edarkan kepada masyarakat terutama bulan Ramadhan. Mereka akan tawarkan khidmat untuk baca Al-Quran yang akan disedekahkan kepada si mati bagi pihak kita. Kita cuma perlu bayar wang sahaja kepada mereka. Paling kurang yang saya tengok sekarang, RM10 untuk satu kepala. Modalnya, cuma air liur dan masa sahaja.

Kalaulah agama begitu mudah, maka orang-orang kaya, tidak perlu buat amal ibadat semasa mereka hidup. Selepas mereka mati, mereka wasiatkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk upah orang membaca Al-Quran untuk diri mereka.

Adakah agama begitu? Kasihan kepada mereka yang miskin, tentunya tempat mereka di neraka kerana mereka tidak ada wang untuk upah orang sedekah pahala kepada mereka. Teruk sekali mereka meletakkan agama Islam ini kepada mata masyarakat – hanya orang kaya sahaja yang boleh lepas, yang miskin, pandai-pandailah buat sendiri.

Begitu juga mereka yang setiap kali dengar ada orang yang baru mati, mereka akan kata: “Al-Fatihah” kerana mereka hendak sedekah pahala kepada orang mati itu. Entah dari mana mereka dapat ajaran itu, kita pun tidak pasti.

Perkara ini tidak pernah diajar oleh Nabi SAW, tidak pernah diajar dan dibuat oleh para sahabat. Berhentilah dari buat amalan-amalan yang bukan dari Nabi SAW. Nanti akan ada sahaja benda-benda pelik yang manusia akan reka dan sandarkan kepada agama, lalu apa akan jadi kepada agama kita ini?

Kalimat لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ – pahala angan-angan. Buat ini dapat pahala ini, buat itu dapat pahala itu padahal tidak ada dalil. Ini orang tarekat selalu buat.

Kalimah وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ – berangan jadi insan terpilih. Ahli kitab berangan mereka akan masuk syurga kerana umat pilihan. Orang kita? Habib sahaja terus sanjung padahal ajar benda bidaah. Berangan selamat.

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

Dan sesiapa buat dosa, untuk dirinya sahaja;

Kalau sesiapa yang buat dosa, dia sendirilah yang tanggung. Bukanlah kita buat dosa, orang lain pula yang tanggung.

Namun, ada pengecualian juga dalam hal ini. Kita akan tanggung dosa orang lain, jikalau kita yang ajar dia buat dosa itu. Sebagai contoh, kita ajar dia main judi. Setiap kali dia berjudi, orang itu akan dapat dosa berjudi, dan orang yang ajar dia berjudi itu pun akan dapat dosa juga. Maka, walaupun dia sudah mati, tetapi dosanya akan bertambah-tambah selagi orang yang diajarnya itu masih lagi melakukan dosa itu. Bayangkan kalau orang itu ajar pula orang lain? Tentu beranak pinak dosa orang yang mula-mula mengajar itu.

Bagaimana pula kalau kita ajar seseorang untuk buat amalan bidaah? Orang yang buat amalan bidaah itu akan dapat dosa, dan kita yang ajar dia pun akan dapat dosa juga.

Begitu juga, kalau kita telah ajar anak kita untuk buat baik, contohnya suruh dia pakai tudung, tetapi dia tidak pakai juga, kita tidak tanggung dosa dia kerana kita sudah suruh dia pakai tudung. Dia sahaja yang akan tanggung dosa itu. Lainlah kalau kita yang suruh dia buka tudung, itu memang kita yang akan tanggung dosa bersama dengan dia.

وَمَا رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Dan tidaklah Tuhan kamu itu ingin menzalimi hamba-hamba-Nya.

Apa sahaja hukuman yang Allah SWT berikan kepada seseorang hamba, orang itu memang patut terima azab itu. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya. Jika orang itu tidak layak terima azab itu, tetapi Allah SWT azab juga, tentulah Allah SWT zalim kalau begitu.

Allah SWT juga tidak menghukum seseorang melainkan setelah diberikan dakwah kepada mereka. Telah sampai kepada mereka Rasul, Nabi atau pendakwah yang mengajarkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang buruk. Jadi, dari sini kita tahu yang jika ada manusia yang duduk di pendalaman dunia ini yang tidak pernah sampai dakwah kepada mereka, Allah SWT tidak akan mengazab mereka.

Maka, jangan salahkan Allah SWT. Allah SWT telah berikan ajaran agama kepada manusia. Manusia sahaja yang tidak mahu ikut. Allah SWT azab pun bukan kerana Allah SWT zalim. Sikit pun Allah SWT tidak berlaku zalim. Walaupun azab itu bunyi berat sungguh. Sebab Allah SWT sudah bagi segala dalil dan hendak ubah pun senang sahaja sebenarnya, bukan Allah SWT suruh buat kerja susah. Kalau kita belajar agama ini dengan saksama, kita akan lihat bahawa agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak payah. Tidaklah agama ini suruh buat benda yang tidak patut-patut.

Allahu a’lam.

Bitcoin: Halal ke Haram?

0

Bitcoin: Halal ke Haram?

Berdasarkan pandangan Dr Ustaz Mohd Daud Bakar dan ulama dari Indonesia Bitcoin adalah halal.

Hukum Bitcoin Dalam Islam

Sebelum berbahas mengenai hukum Bitcoin, kita akan memahami hakikat dari Bitcoin kerana dengan memahami hakikat perkara yang menjadi objek kajian, kita boleh melakukan takyif fiqh (pendekatan fiqh) dalam memahami persoalan tersebut.

Ada kaedah fiqh yang menyatakan:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Hukum terhadap suatu perkara, adalah turunan dari bagaimana seseorang melihatnya. (Majmu’ Fatawa, 6/295)

Dari sekian yang menjelaskan Bitcoin, ada satu perkara yang memberi penjelasan paling mudah difahami sebagai berikut:

Bitcoin adalah sebuah mata wang digital yang tersebar dalam jaringan peer-to-peer yang tersebar di seluruh dunia. Jaringan ini memiliki sebuah buku akuntansi besar bernama Blockchain yang dapat diakses oleh orang ramai, di mana di dalamnya tercatat semua transaksi yang pernah dilakukan oleh seluruh pengguna Bitcoin, termasuk saldo yang dimiliki oleh tiap pengguna. (forumbitcoin.co.id)

* Peer to Peer adalah adalah suatu teknologi “sharing resource” dan “service” antara satu komputer dan komputer yang lain.

Sejauh mana jangkauan Bitcoin?

Ada banyak bisnes dan individu yang menggunakan Bitcoin. Termasuk bisnes fizikal di dunia nyata seperti restoran, apartmen, firma hukum, dan juga layanan online terkenal seperti Namecheap, WordPress, Reddit, dan Flattr. Meskipun Bitcoin termasuk fenomena baru, namun berkembang sangat pesat. Pada akhir Ogos 2013, nilai total semua Bitcoin yang beredar melebihi 1,5 juta dolar AS, dengan transaksi pertukaran Bitcoin senilai jutaan dolar dilakukan setiap harinya. (bitcoin.org)

Dengan memperhatikan jangkauannya, Bitcoin telah disepakati para ahli perniagaan di dunia maya sebagai alat tukar. Dengan kata lain, Bitcoin telah menjadi mata wang di dunia maya.

Batasan Mata Wang dalam Fiqh

Selanjutnya kita akan melihat, apakah Bitcoin boleh disebut mata wang secara fiqh atau tidak?

Dalam hadis dari Ubadah bin Shamit radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

“Jika emas ditukar dengan emas, perak ditukar dengan perak, gandum bur (gandum halus) ditukar dengan gandum bur, gandum syair (kasar) ditukar dengan gandum syair, kurma ditukar dengan kurma, garam ditukar dengan garam, maka takarannya harus sama dan tunai. Jika benda yang ditukarkan berbeza maka takarannya boleh sesuka hati kalian asalkan tunai” (HR. Muslim 4147).

Dari keenam benda ribawi di atas, ulama sepakat, barang ribawi dibagi 2 kelompok:

[1] Kelompok 1: Emas dan Perak

[2] Kelompok 2: al-qut al-muddakhar (bahan makanan yang boleh disimpan), Bur, Sya’ir, Kurma, & Garam.

Kita lebih fokuskan melihat emas dan perak, kerana ini yang ada kaitannya dengan mata wang.

Menurut majoriti ulama, Maliki, Syafie dan Hambali, menegaskan bahawa alasan berlakunya riba pada emas dan perak kerana keduanya berstatus sebagai alat tukar (tsamaniyah), dan sebagai alat ukur nilai harta benda lainnya (qawam al-Amwal). Dengan demikian, kegunaan emas dan perak (dinar dan dirham) terletak pada fungsi ini, tidak hanya pada nilai intrinsik bendanya. (al-Mughi, Ibnu Qudamah, 4/135; as-Syarhul Kabir, Ibnu Qudamah, 4/126).

Oleh itu, diqiyaskan dengan emas dan perak, semua benda yang disepakati berlaku sebagai mata wang dan alat tukar. Meskipun bahannya bukan emas dan perak. Dalam Tarikh al-Baladziri disebutkan,

وقد همَ عمر بن الخطاب -رضي الله عنه- باتخاذ النقود من جلد البعير. وما منعه من ذلك إلا خشية على البعير من الانقراض

Bahawa Umar bin Khattab berkeinginan membuat wang dari kulit unta. Namun rencana ini diurungkan kerana khawatir, unta akan punah. (Futuh al-Buldan, al-Baladziri)

Sekalipun keputusan ini tidak dilaksanakan, tetapi kita boleh melihat bahawa para sahabat mengakui bolehnya memproduksi mata wang dengan bahan dari selain emas dan perak. Rencana ini dibatalkan, kerana mengancam boleh pupusnya unta. Boleh saja, ada orang yang menyembelih unta, hanya untuk diambil kulitnya. Sementara dagingnya boleh jadi tidak dimanfaatkan. Andai bukan kebijakan masalah kelestarian unta, akan diterbitkan mata wang berbahan kulit unta.

Inilah yang menjadi dasar para ulama, bahawa mata wang tidak harus berbahan emas dan perak. Imam Malik pernah mengatakan,

لو أن الناس أجازوا بينهم الجلود حتى تكون لهم سكة وعين لكرهتها أن تباع بالذهب والورق نظرة

“Andaikan orang-orang membuat wang dari kulit dan dijadikan alat tukar oleh mereka, maka saya melarang wang kulit itu ditukar dengan emas dan perak dengan cara tidak tunai”. (Al-Mudawwanah Al-Kubra, 3/90).

Kerana itu, Syaikhul Islam mengatakan,

Sebahagian ulama berkata, “Wang adalah suatu benda yang disepakati oleh para penggunanya sebagai (alat tukar), sekalipun terbuat dari sepotong batu atau kayu”. (Majmu’ Fatawa, 19/251).

Kesimpulannya, hingga titik ini, penggunaan Bitcoin secara hukum syariah dibolehkan, tidak ada sisi pelanggarannya, selama itu dimiliki secara legal dan bukan melalui pembajakan atau penipuan.

Dalam Fatawa Islam dinyatakan,

النقود الإلكترونية هي نقود عادية متطورة ، وهي وإن كانت لا تتشابه معها في الشكل ، فإنها تتفق معها في المضمون. وهذه النقود الإلكترونية تأخذ حكم العملة التي تم تخزينها بها

Mata Wang elektronik adalah mata wang di dunia digital. Mata wang ini meskipun bentuknya tidak sama dengan mata wang lainnya, namun dilihat dari sisi nilai yang dipertanggungkan statusnya sama. Sehingga wang elektronik ini dihukumi sebagai ‘umlah (mata wang) yang boleh disimpan. (Fatawa Islam, no. 219328)

Fatwa bolehnya menggunakan Bitcoin juga disampaikan lembaga Fatwa Syabakah Islamiyah – Qatar,

فالعملة الرقمية، أو النقود الإكترونية عملات في شكل إلكتروني غير الشكل الورقي، أو المعدني المعتاد. وعلى ذلك فشراؤها بعملة مختلفة معها في الجنس أو متفقة يعد صرفًا

Mata wang elektronik adalah mata wang dalam bentuk digital, tidak seperti mata wang kertas atau mata wang berbahan logam tambang, seperti yang umumnya beredar. Oleh itu, membeli mata wang digital dengan mata wang lain yang berbeza, termasuk transaksi sharf (transaksi mata wang). (Fatawa Syabakah Islamiyah no. 191641)

Di fatwa yang lain ditegaskan,

فمن ملك شيئًا من تلك النقود الإلكترونية بوسيلة مشروعة، فلا حرج عليه في الانتفاع بها فيما هو مباح

Siapa yang memiliki mata wang digital itu dengan cara yang disyariatkan (mubah), maka tidak masalah untuk dimanfaatkan, untuk keperluan yang mubah. (Fatawa Syabakah Islamiyah no. 251170)

Aturan Pembelian Bitcoin

Bitcoin statusnya mata wang. Oleh itu, membeli Bitcoin, hakikatnya menukar wang dengan wang. Orang yang membeli Bitcoin dengan Ringgit, hakikatnya dia menukar Ringgit dengan Bitcoin. Menurut informasi, saat ini, harga 1 Bitcoin (BTC) = RM 59,416.06 atau 1 BTC = USD 14,854.01

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memberi aturan untuk transaksi wang dengan wang,

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ … مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ…فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Jika emas ditukar dengan emas, perak ditukar dengan perak, kuantitinya harus sama dan tunai. Jika benda yang ditukarkan berbeza maka takarannya boleh sesuka hati kalian asalkan tunai. (HR. Muslim 4147)

Dalam hadis ini ada 2 aturan cara penukaran mata wang,

[1] Jika tukar menukar itu dilakukan untuk barang yang sejenis, wajib sama kuantiti dan tunai. Misalnya: emas dengan emas, ringgit dengan ringgit qiyasnya BTC dengan BTC.

[2] Jika tukaran dilakukan antara barang yang berbeza, namun masih satu kelompok, syaratnya wajib tunai. Misal: Emas dengan perak, ringgit dengan dolar. Termasuk ringgit dengan BTC.

Oleh itu, ketika ada orang yang beli Bitcoin, atau jual Bitcoin, di tempat transaksi keduanya harus ada. Wang ada, Bitcoin ada. Tidak boleh ada yang tertunda. Jika tertunda, melanggar larangan riba nasiah. Begitu konsumen transfer ringgit, di saat yang sama penyedia Bitcoin harus mengirim BTC untuknya.

Dalam Fatawa Syabakah Islamiyah, aturan ini disebutkan,

ولا بد في الصرف من التقابض، والتماثل عند اتحاد الجنس، والتقابض دون التماثل عند اختلاف الجنس، والقبض قد يكون حقيقيًا، وقد يكون حكميًا

Dalam transaksi mata wang, harus ada serah terima (taqabudh) dan sama kuantiti jika jenisnya sama. Dan disyaratkan harus taqabudh, meskipun boleh tidak sama kuantiti, jika beza jenis. Dan taqabudh boleh dilakukan secara haqiqi (ada wang, ada Bitcoin yang boleh dipegang), boleh juga secara status (hukmi). (Fatawa Syabakah Islamiyah no. 251170)

Transaksi Bitcoin, jika dilakukan sekali waktu di tempat, termasuk taqabudh secara hukmi.

Wallahu a’lam.

Dijawab oleh Ustaz Ammi Nur Baits (Dari Konsultasi Syariah)

MAQLUB Bhg. 02

0

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum semua. Nota seterusnya siap..

#190517 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.14.02 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

MAQLUB (المقلوب) Bhg. 02

2. Adapun bentuk maqlub pada matan seperti yang berlaku pada hadits Unaytsah – radhiyalLaahu ‘anha – secara marfu menyebutkan:

إِذَا أَذَّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا، وَإِذَا أَذَّنَ بِلَالٌ فَلَا تَأْكُلُوا وَلَا تَشْرَبُوا

“Sekiranya Ibn Ummi Maktum melaungkan azan (sebagai peringatan), maka (teruskan bersahur) makan dan minum, dan apabila Bilal melaungkan azan (menandakan masuknya waktu), maka janganlah kalian makan dan minum”

[HR Ahmad, dan selainnya]

Berlaku pertukaran nama, pada riwayat di atas, di mana yang sahih adalah sebagaimana yang diriwayatkan Ibn ‘Umar dan selainnya,

إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

“Bilal melaungkan azan di waktu (lewat) malam (yakni: di awal pagi, sebagai peringatan untuk sahur), maka makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum pula yang melaungkan azan (menandakan telah masuk waktu Subuh)”

[HR al-Bukhari & Muslim]

Begitu juga seperti apa yang berlaku pada riwayat berikut mengenai 7 golongan yang berada di bawah naungan Allah di hari kiamat nanti, di mana disebutkan pada salah satu sifat mereka:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ يَمِينُهُ مَا تُنْفِقُ شِمَالُهُ

“..dan seseorang yang bersedekah dengan sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kirinya.”

Berlaku pertukaran pada lafaz tangan kanan dan tangan kiri, kerana yang sahih mengikut lafaz sebenarnya adalah:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ

“..dan seseorang yang bersedekah dengan sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”

[HR al-Bukhari]

Hukum al-Qalb:

a) Sekiranya ia berlaku kerana tersilap atau terlupa, maka pelakunya dimaafkan, maka hadits tersebut dihukum lemah hanya kerana sebab tertukar tersebut. Namun begitu, jika ia berlaku berulang kali dengan banyak, maka periwayat itu dihukum sebagai lemah (ضعيف).

b) Adapun sekiranya ia sengaja dilakukan, maka terdapat dua bentuk:

i – Ia dilakukan untuk menggalakkan orang ramai meriwayatkan hadits-haditsnya, maka ini dilarang.

ii – Ia dilakukan untuk menguji, seperti yang berlaku kepada al-Bukhari, maka ianya dibenarkan, dengan syarat dijelaskan riwayat yang sebenar sebelum selesai majlis.

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Siapa dah siap baca, bagi 👌.. nak tengok group ni hidup lagi ke tak sebenarnya. He

Popular

Iklan

Iklan