Utama Blog Halaman 118

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-63 hingga Ke-66

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-63

Dalil Naqli Tafsili (kerana ada disebut nama Nabi). Kisah Nabi Isa a.s.

وَلَمّا جاءَ عيسىٰ بِالبَيِّنٰتِ قالَ قَد جِئتُكُم بِالحِكمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعضَ الَّذي تَختَلِفونَ فيهِ ۖ فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطيعونِ

Dan ketika Nabi Isa a.s datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

وَلَمَّا جَاءَ عِيسَىٰ بِالْبَيِّنٰتِ

Dan ketika Nabi Isa datang dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Ini ketika Nabi Isa datang kepada kaumnya: Bani Israil. Nabi Isa a.s datang dengan membawa berbagai-bagai keterangan yang diberikan oleh Allah SWT bagi membuktikan kenabian baginda.

قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِالْحِكْمَةِ

berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat,

Hikmah itu boleh diterjemahkan dalam banyak maksud:

▪️Hikmah kebijaksanaan.

▪️Hukum dalam Injil yang mengandungi ajaran akidah dan syariat.

Terdapat hukum yang tidak sama dengan Kitab Taurat. Maknanya dari dulu lagi sudah ada pembatalan hukum dan ini biasa sahaja.

Jadi jangan hairanlah kalau ada pembatalan hukum dengan datangnya al-Quran. Oleh itu, bila datang al-Quran, Bani Israil kena terimalah pembatalan hukum yang ada dalam Taurat dan Injil itu.

📍Pati agama. Mengingatkan kaumnya kembali kepada agama. Ini kerana Bani Israil sudah ada Taurat tetapi mereka sudah lupa. Maka mereka kena diingatkan.

وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ

dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya.

Nabi Isa a.s. telah diturunkan di waktu Bani Israil berpecah belah antara mereka kerana berbagai-bagai pendapat yang berbeza. Perbezaan mereka itu termasuklah dalam perkara aqidah.

Maka Nabi Isa a.s diturunkan untuk memperjelaskan manakah akidah dan amalan mereka yang salah itu. Walaupun mereka ada Kitab Taurat tetapi mereka bertelagah tentangnya kerana telah ada penukaran dan penyembunyian dalam kitab itu oleh pendita-pendita mereka.

فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطِيعُونِ

Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Maka, hendaklah bertaqwa iaitu menjaga hukum dalam setiap amalan dalam kehidupan. Maka dalam setiap perkara, kena perhatikan apakah yang Allah SWT kehendaki.

Hendaklah mereka taat kepada Nabi Isa a.s. Macam kita juga, kena taat dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Tidak ada makna kalau hendak ikut kepada Kitab Wahyu, tetapi tidak ikut kepada Rasul yang menyampaikan.

Tafsir Ayat ke-64

Nabi Isa tidak pernah suruh manusia sembah dia. Maka orang Kristian sembah baginda, siapa yang suruh?

إِنَّ اللهَ هُوَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu,

Allah SWT menekankan lagi kedudukan Nabi Isa a.s di dalam ayat ini di mana Nabi Isa a.s sendiri mengaku yang Allah SWT itu adalah Rabbnya. Lalu bagaimana ada manusia yang kata yang baginda itu adalah Tuhan, Anak Tuhan, atau sebahagian dari Tuhan?

Itu semua adalah pembohongan sahaja. Malah, kalau dilihat dalam Bible, tidak ada di mana-mana ayat yang mengatakan dengan jelas bahawa Nabi Isa a.s itu adalah Tuhan atau anak Tuhan.

Perkara yang difahami oleh penganut Kristian sekarang adalah hanya kata-kata pendita dan ketua mereka yang telah menipu mereka.

فَاعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

Nabi Isa a.s suruh umatnya menyembah Allah SWT, bukan menyembah dirinya. Itulah jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah ‘menyembah Allah SWT’ dan hanya menyembah Allah SWT sahaja tanpa ada disembah entiti yang lain.

Kita selalu memohon supaya ‘diberikan kita jalan yang lurus’ dalam bacaan Fatihah kita, sekurang-kurangnya dalam solat kita. Ayat ini memberitahu kepada kita, ‘Jalan yang Lurus’ adalah ‘Menyembah Allah SWT’ sahaja.

Kalau beginilah kata-kata Nabi Isa a.s, maka penganut Kristian yang sekarang mengaku mengikut Nabi Isa a.s kenalah ikut juga sebegini. Penjelasan dari Nabi Isa a.s itu sudah jelas.

Namun masih ada yang tidak mahu ikut. Jadi kalau sekarang sudah jelas tetapi masih ada yang tidak ikut juga, itu adalah perkara biasa.

Tafsir Ayat ke-65

Takhwif Duniawi

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ ظَلَموا مِن عَذابِ يَومٍ أَليمٍ

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan berselisihan sesama sendiri.

Kumpulan yang timbul selepas Nabi Isa a.s diangkat ke langit telah berselisih tentang Nabi Isa a.s. Ada yang kata baginda itu seorang Rasul dan manusia sahaja, ada yang kata dia sebahagian daripada Tuhan, ada yang kata dia Tuhan, ada yang kata dia ahli sihir, ada yang kata dia adalah seorang Nabi dan macam-macam lagi.

Sampai sekarang masih lagi terdapat perbezaan pendapat yang berbagai-bagai itu dalam kalangan manusia. Maka kitalah sebagai umat Islam yang kena sampaikan kebenaran kepada mereka kerana kasihan mereka dalam keraguan.

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu,

‘Kezaliman’ yang dimaksudkan adalah pendapat mengatakan yang Nabi Isa a.s bukan seorang Rasul tetapi anak Tuhan atau sebahagian daripada Tuhan, atau Tuhan sendiri.

Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan terhadap Allah SWT.

مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ

dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

Ini bermaksud pada hari Kiamat. Mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih.

Padahal orang Nasrani ini ramai yang baik-baik, suka menolong orang tetapi kerana salah faham dalam bab agama ini, mereka dikenakan dengan azab yang pedih, amat pedih. Tidak kasihan kah kepada mereka?

Lihatlah yang kena azab seksa itu adalah mereka yang berbuat kezaliman iaitu kerana kufur dan syirik. Mereka yang disembah seperti Nabi Isa a.s tidak bersalah dan mereka tidak akan dikenakan dengan azab.

📍Oleh itu jikalau manusia yang mengaku beragama Islam juga menyembah Nabi, wali dan malaikat, mereka turut akan dikenakan dengan azab neraka. Tidaklah Nabi, wali dan malaikat itu bersalah kerana mereka tidak pernah suruh mereka dipuja.

Tafsir Ayat ke-66

Takhwif Ukhrawi.

هَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan.

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ

tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat

Mereka yang tidak mahu beriman itu tidaklah ada yang mereka tunggu melainkan kematian sahaja. Walaupun banyak kali Nabi Muhammad SAW telah berdakwah dan berhujah dengan mereka tetapi mereka masih tidak mahu menerima iman, hanya mahu berdebat sahaja.

Ini kerana kehidupan mereka mungkin senang sahaja tidak ada masalah, jadi mereka tidak mahu beringat-ingat. Namun kena ingat, di akhirat nanti mereka tidak akan lepas.

Begitu juga dengan ramai orang. Mereka tidak mahu menerima Islam. Sampailah mereka mati tidak beriman. Kalau dalil dari al-Quran turut mereka tidak terima, maka tidak ada dalil lain lagi. Mereka hanya menunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

📍Bagaimana dalam kalangan kita yang sudah Islam? Ada ramai dari kalangan mereka yang hanya Islam pada nama sahaja. Tidak ambil kisah tentang agama, tentang amalan dan ilmu tentang agama. Mereka juga tidak kisah tentang al-Quran.

Kalau diajak untuk belajar agama, belajar tafsir, mereka akan ada sahaja alasan – sibuk, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen. Mereka kata bila mereka senang, mereka akan datang. Sampai bila? Sampai mereka mati tidak belajar.

أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً

yang akan datang kepada mereka secara mengejut,

Sampai mereka mati, mereka masih tidak beriman dan tidak belajar. Ini kerana mati itu adalah ‘Kiamat Kecil’. Setiap manusia akan mati dan mati itu akan datang mengejut.

Mati datang tanpa memberitahu kepada kita bilakah ia akan datang. Mengejut kerana tidak sempat hendak perbaiki akidah dan amalan. Sedar-sedar sudah dalam kubur.

وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

dan mereka tidak menyedarinya.

Mereka tidak sedar bilakah kematian mereka akan datang. Kita juga tidak tahu. Tidak ada sesiapa yang tahu. Keluar dari rumah, entah-entah dilanggar motor atau kereta, terus mati. Sedar-sedar sahaja Malaikat Maut sudah hadir dan kita sudah berada di alam barzakh.

Maka kenalah kita beringat-ingat tentang kematian. Apabila kita lihat orang lain setiap hari ada sahaja yang mati, ingatlah bahawa kita juga akan sampai masa kita.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zukhruf

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir ayat ke-60

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi dan jawapan bagi soalan musyrikin Mekah: Kenapa Allah SWT tidak lantik malaikat sebagai rasul untuk sampaikan wahyu kepada mereka bagi pihak Allah SWT.

Mereka kata begitu kerana pada mereka Nabi itu manusia biasa sahaja jadi tidak sesuai pada pandangan mereka menjadi Nabi. Sebelum ini ada ayat yang mengatakan Firaun tanya kenapa Nabi Musa tidak ada malaikat yang mengiringi Nabi Musa?

Adakah Firaun tahu atau tidak tentang malaikat? Mungkin dia tahu atau dia baru tahu dari apa yang diberitahu oleh Nabi Musa. Masyarakat Arab pula berhujah, kenapa malaikat tidak diturunkan kepada mereka sebagai Rasul?

Maka Allah SWT jawab dalam ayat ini.

‎وَلَو نَشاءُ لَجَعَلنا مِنكُم مَّلائِكَةً فِي الأَرضِ يَخلُفونَ

Dan kalaulah Kami kehendaki, Kami berkuasa melahirkan daripada kamu (wahai kaum lelaki): malaikat mengganti kamu (menjalankan urusan) di muka bumi.

‎وَلَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَا مِنكُم مَّلَائِكَةً فِي الْأَرْضِ

Dan kalaulah kami kehendaki, Kami tentunya melahirkan dari kalangan kamu, malaikat di muka bumi.

Selain Allah SWT menjadikan manusia, Allah SWT boleh menjadikan malaikat untuk mengganti kita di muka bumi ini. Allah SWT boleh tidak menjadikan manusia, tetapi jadikan malaikat belaka yang duduk di permukaan bumi ini kerana Allah SWT berkuasa untuk melakukannya.

Kalau Allah SWT boleh menjadikan Nabi Isa tanpa bapa, Allah SWT boleh gantikan kita semua dengan malaikat. Tiada hal bagi Allah SWT kerana Allah SWT memang mampu.

Perkataan مِنكُم juga boleh diertikan, ‘dari keturunan kamu’, Allah SWT boleh menjadikan manusia melahirkan malaikat. Maknanya, keturunan manusia melahirkan malaikat pula. Ini boleh terjadi kalau Allah SWT mahu dan Allah SWT berkuasa untuk melakukannya.

Kalau itu terjadi, bermakna keturunan manusia akan digantikan dengan keturunan malaikat pula. Sudah tiada manusia di atas muka bumi, hanya tinggal malaikat sahaja.

‎يَخْلُفُونَ

silih berganti

Allah SWT boleh menjadikan malaikat-malaikat itu bersilih ganti iaitu menjadi khalifah di bumi gantikan kita, macam kita sekarang, satu generasi mati, diganti dengan generasi yang lain. Ini bermaksud, Allah SWT boleh ganti malaikat menjadi khalifah di muka bumi ini menggantikan kita.

Sekarang memang kita adalah khalifah di muka bumi, tetapi Allah SWT boleh sahaja hendak gantikan kita dengan malaikat sebagai khalifah. Mudah sahaja bagi Allah SWT untuk melakukan begitu.

📍Kenapa ini disebut dalam ayat ini?

Ini kerana Musyrikin Mekah telah memberikan contoh Nabi Isa a.s dan juga malaikat untuk berhujah dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka memang memandang tinggi kepada malaikat kerana malaikat hidup di langit tetapi Allah SWT beritahu kepada mereka, Dia boleh sahaja menurunkan malaikat-malaikat itu untuk hidup di bumi.

Maknanya, yang hidup di langit bukanlah untuk dipuja dan disembah kerana yang hidup di langit pun makhluk Allah SWT juga. Walaupun mereka tinggal di langit, mereka tidaklah layak disembah.

Begitu juga dengan Nabi Isa a.s, ataupun Nabi-nabi lain, walaupun mereka itu memang mulia dan mempunyai kelebihan, tidaklah mereka boleh disembah kerana kononnya mereka dekat dengan Allah SWT. Mereka itu tetap makhluk Allah SWT dan tidak layak disembah.

Begitu juga dengan kita, jangan kita sembah, puja, sedekah Fatihah dan beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat hanya kerana mereka itu ‘rapat’ dengan Allah SWT. Juga anggap kononnya boleh mendekatkan kita dengan Allah SWT dan menyampaikan doa kita kepada Allah SWT.

Itu adalah perbuatan yang salah dan syirik! Ini adalah amalan tawassul yang salah dan sudah banyak kali kita bincangkan dalam kelas kita ini dari surah Ghafir lagi. Namun berapa ramai dari kalangan kita yang buat begitu?

Allah SWT boleh jadikan malaikat yang duduk di bumi, atau malaikat yang jadi rasul, tetapi Allah SWT telah takdirkan manusia juga yang jadi rasul kepada golongan manusia. Ini kerana seorang rasul itu mestilah sama dengan mereka yang didakwahkan sebab kalau tidak sama, akan ada masalah.

Kalau malaikat yang menjadi rasul, umat yang diajak kepada agama akan ada alasan untuk tidak mengikuti rasul yang lain dengan mereka. Jika malaikat yang bagi nasihat kepada mereka, mereka akan kata pula: memanglah malaikat boleh jadi taat, kerana mereka malaikat, tetapi mereka itu manusia.

Untuk menolak hujah mereka itu, maka Allah SWT telah siap jadikan rasul dari kalangan manusia juga. Sama-sama ada nafsu, sama-sama ada keperluan makan pakai dan sebagainya.

📍Maka kalau para rasul boleh taat walaupun ada nafsu dan segala keperluan lain, apa lagi alasan kamu wahai manusia?

Tafsir Ayat ke-61

Kembali kepada kisah Nabi Isa a.s. Penurunan baginda adalah tanda dekatnya Hari Kiamat.

وَإِنَّهُ لَعِلمٌ لِلسّاعَةِ فَلا تَمتَرُنَّ بِها وَاتَّبِعونِ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

Dan sesungguhnya kedatangan Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat,

Seperti yang kita tahu, Nabi Isa a.s telah diangkat ke langit dan baginda akan diturunkan kembali nanti. Ayat ini sebagai isyarat dan maklumat lebih lanjut tentang penurunan kedua Nabi Isa a.s. yang ada dalam riwayat hadis.

Penurunan baginda itu adalah sebagai tanda yang Hari Kiamat sudah hampir. Inilah satu lagi kelebihan Nabi Isa a.s iaitu sebagai maklumat yang Hari Kiamat sudah dekat. Ketika itu semua Nasara akan masuk Islam dan akan bergabung dengan orang Islam yang lain untuk menentang Yahudi yang diketuai oleh Dajjal. Ini seperti yang diberitahu dalam hadis.

Terjemahan kedua ayat ini, dhomir إِنَّهُ dalam ayat ini merujuk kepada al-Quran. Ini adalah kerana al-Quran ada ilmu tentang kiamat. Sesiapa yang mahu tahu tentang akhirat, maka silalah baca al-Quran dan tentu akan percaya adanya Hari Akhirat kerana al-Quran ada ilmu yang sempurna tentang kiamat.

فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا

maka janganlah kamu ragu-ragu tentangnya,

Janganlah kita ragu-ragu tentang datangnya Hari Kiamat itu kerana ia pasti akan datang.

وَاتَّبِعُونِ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

dan turutlah Aku; inilah jalan yang lurus.

Nabi Muhammad SAW disuruh untuk mengajak kaumnya untuk mengikuti jalan yang dibawanya itu – Jalan Tauhid. Itulah jalan yang lurus – ikut dan taat kepada Allah SWT.

Kita selalu berdoa dalam surah al-Fatihah dalam solat kita setiap hari supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Maka, inilah dia jalan yang lurus! Jalan yang lurus itu adalah dengan mengikuti jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu Jalan Tauhid.

Kita mengikut jejak langkah Nabi mentauhidkan Allah SWT. Untuk mengetahuinya, hendaklah kita belajar Tafsir al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Tafsir ayat ke-62

وَلا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيطانُ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطَانُ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu

Jangan biarkan syaitan menghalang kita daripada menurut jalan yang lurus; Juga jangan biarkan syaitan menghalangi kita dari bersedia untuk menghadapi hari kebangkitan.

Jangan biarkan syaitan menghalang kita dari Tauhid. Syaitan akan sentiasa membisikkan kita perkara-perkara yang tidak baik antaranya syaitan akan mengindahkan kehidupan dunia ini sampaikan kita lupa untuk bersedia menghadapi akhirat.

Kita sibuk menikmati kehidupan kita sampaikan kita lupa untuk beramal ibadat sebagai persediaan kita di akhirat.

Syaitan juga akan membisikkan perkara-perkara yang bidaah dan syirik supaya kita amalkan, kerana kalau buat syirik, akan kekal dalam neraka dan itulah yang mereka mahu.

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan kita. Mereka tidak mahu kita masuk syurga. Syaitan mahu kita bersama-sama mereka dalam neraka. Maka, kita kenalah berhati-hati. Kita kena ingat yang Syaitan tidak akan melupakan kita. Mereka tidak ada kerja lain lagi dari menyesatkan kita.

Mereka musuh yang nyata kerana mereka sendiri mengaku musuh kita seperti yang disebut dalam al-Quran. Selalunya kita ada musuh tetapi musuh itu tidak mengaku tetapi syaitan mengaku dengan terang.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-59

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf
Tafsir Ayat ke-57

Sekarang kita lihat apakah hujah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad SAW. Ini adalah Dalil Naqli tentang Nabi Isa a.s yang ditujukan kepada orang Mekah.

Ayat ini ada hubungan rapat dengan ayat ke-45 kerana manusia keliru dengan perkara luar biasa, ia menyebabkan manusia boleh jadi syirik. Masyarakat kita juga banyak keliru kerana mereka tidak belajar agama dengan benar.

Orang kita sangka ilah-ilah itu hanya patung atau berhala sahaja. Mereka tidak faham bahawa yang dipuja itu adalah yang di sebalik patung dan berhala itu, iaitu Nabi, wali dan malaikat. Jadi ayat ini ada kaitan dengan penghuraian maksud ‘ilah’.

۞ وَلَمّا ضُرِبَ ابنُ مَريَمَ مَثَلًا إِذا قَومُكَ مِنهُ يَصِدّو

Dan ketika (Nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang)

وَلَمَّا ضُرِبَ ابْنُ مَرْيَمَ مَثَلً

Dan ketika anak Maryam (Nabi Isa) dikemukakan sebagai satu contoh

Apabila diberi contoh golongan yang memuja Nabi. Ini adalah kisah bagaimana beberapa lelaki dari kalangan Musyrikin Mekah telah berhujah dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka mengemukakan kedudukan Nabi Isa a.s sebagai hujah untuk membantah Nabi Muhammad SAW.

Sebelum itu, Nabi Muhammad SAW telah memberitahu kepada Musyrikin Mekah bahawa tidak ada sembahan yang baik selain Allah SWT. Maka mereka telah berhujah, bagaimana pula dengan Nabi Isa a.s? Nabi Isa a.s juga disembah oleh ramai orang yang beragama Kristian.

Kalau benar kata Nabi SAW, maka Nabi Isa a.s itu tidaklah baik kerana dia bukan Allah SWT. Padahal, sebelum-sebelum ini, Nabi Muhammad SAW telah mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah seorang yang baik, seorang Rasul. Jadi macam tidak selari dan tidak kena dengan apa yang dikatakan oleh Nabi dalam dua perkara itu?

Itulah hujah yang mereka kemukakan kepada Nabi Muhammad SAW. Apabila tidak ada hujah, mereka akan pakai apa-apa hujah yang ada. Sampai hujah mengarut turut akan dikeluarkan juga. Begitulah juga dengan ahli-ahli bidaah di negara kita. Macam-macam hujah akal yang mereka akan gunakan.

Ada juga riwayat yang mengatakan pada satu ketika, semasa Nabi SAW berdakwah kepada Musyrikin Mekah, baginda membaca ayat [ Anbiya: 98 ]:

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُون

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang selain dari Allah, akan menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.

Maksudnya, Musyrikin Mekah dan berhala -berhala yang mereka sembah itu akan dimasukkan dalam neraka dan dijadikan sebagai bahan bakarnya. Mendengar baginda SAW membaca ayat itu, mereka bertanya adakah ayat ini merujuk kepada sembahan mereka di Tanah Arab sahaja atau seluruh dunia? Nabi SAW jawab di mana-mana sahaja.

Mendengar jawapan baginda SAW, mereka berkata, kalau begitu, maka Nabi Isa yang disembah, Nabi Uzair yang disembah dan malaikat-malaikat yang disembah juga akan masuk neraka dan dijadikan bahan bakar juga.

Mereka telah pusing kata-kata Nabi Muhammad SAW. Selepas itu mereka bersorak gembira dengan bising-bising. Kenapa? Mereka sangka mereka telah berjaya membungkam mulut Nabi Muhammad SAW. Rasa sudah menang hujah. Begini juga dilakukan pada zaman sekarang – pusing kata-kata orang lain dan buat bising sampai orang yang dipusing itu tidak dapat membalas balik.

Maka, Allah SWT telah menurunkan ayat 101 dan 102 dari surah Anbiya untuk lebih menjelaskan lagi:

إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَىٰ أُولَٰئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.

لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا وَهُمْ فِي مَا اشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَالِدُونَ

Mereka tidak mendengar suara api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Maknanya, mereka yang disembah tetapi telah mati itu tidaklah termasuk dalam golongan sembahan yang akan dibakar dalam api neraka. Perkataan ‘memperoleh kebaikan’ yang digunakan dalam ayat 101 itu bermaksud mereka yang telah dijanjikan dengan syurga.

Mereka akan dijauhkan dari neraka. Mereka dulu semasa hidup tidak pernah menyuruh supaya mereka disembah sebaliknya mengajar umat mereka untuk hanya menyembah Allah SWT sahaja. Hanya mereka yang selepas itu sahaja yang memandai-mandai menyembah mereka.

Tambahan pula, lihatlah perkataan yang digunakan dalam ayat 98 itu – وَمَا تَعْبُدُونَ – perkataan مَا itu merujuk kepada benda yang tidak bernyawa. Jadi, Nabi Isa, Nabi Uzair dan para malaikat itu tidak termasuk dalam ayat itu kerana mereka itu makhluk yang bernyawa.

Maka yang menjadi bahan bakar itu adalah berhala-berhala dan benda yang tidak bernyawa. Bukanlah Nabi, wali dan malaikat yang dihumbankan tetapi syaitan yang mengarahkan mereka memuja Nabi, wali dan malaikat itu.

Orang Mekah yang silap faham – mereka sangka yang dipuja itu yang akan dihumbankan ke dalam neraka. Mereka tidak faham kerana telah ada syirik dalam hati mereka. Kenapa Allah SWT masukkan sekali berhala-berhala dan sembahan mereka dalam neraka bersama dengan mereka yang menyembah?

Mereka akan dimasukkan bersama-sama sebagai tekanan jiwa kepada ahli neraka itu. Mereka akan lihat sendiri benda yang mereka puja dulu pun dibakar sekali dengan mereka. Setiap kali mereka tengok, mereka akan menyesal dan berkata kepada diri mereka: kenapalah benda ini yang aku puja dulu?

Jadi ia sentiasa menjadi peringatan kepada mereka tentang apakah yang menyebabkan mereka masuk neraka.

إِذَا قَوْمُكَ مِنْهُ يَصِدُّونَ

dengan tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya

Selepas mereka memberikan hujah seperti di atas kepada Nabi Muhammad SAW, mereka bersorak keriangan kerana menyangka bahawa mereka telah menang. Seolah-olah mereka berkata: “Owh bukan kami sahaja masuk neraka rupanya, tetapi Nabi juga boleh masuk neraka….”

Mereka mengejek apa yang Nabi Muhammad SAW sampaikan dan ia samalah seperti pengamal bidaah di negara ini. Apabila mereka berhujah, mereka berhujah tanpa ilmu tetapi yang kasihannya, mereka sangka mereka pandai.

Apabila diberitahu kepada mereka apakah maksud ‘bidaah’, mereka dengan cepat akan berkata: “Kalau macam itu, jangan pakai kereta lah, pakai untalah kamu semua! Sebab Nabi tidak pakai kereta, pakai unta sahaja..”. Mereka juga selepas bercakap begitu, mereka rasa bangga kerana ingat hujah mereka itu kuat benar.

Mereka sangka mereka telah membungkam pengamal sunnah dan pengamal sunnah tidak dapat menjawab hujah begitu. Mereka gelak sesama sendiri – “ha, tengok hujah kita, kita tengok macam mana mereka hendak jawab!”

Hujah sebegitu amatlah bodoh dan keluar dari mulut dan akal yang jahil sekali tentang agama. Ini kerana dengan terang menunjukkan yang mereka itu tidak tahu apa-apa pasal bidaah.

Mereka tidak tahu bahawa walaupun dari segi bahasa, ‘bidaah’ itu adalah ‘perkara yang baru’, tetapi yang dilarang dalam agama adalah perkara baru ‘dalam agama’. Bukanlah semua perkara kehidupan.

Namun, bagaimana lagi kita hendak memberitahu mereka, sedangkan mereka belajar juga tidak mahu, tetapi menyokong amalan bidaah dengan membabi buta sahaja. Jawabnya, kena tetap berdakwah lagi kepada mereka.

Kalimah يَصِدُّونَ adalah jenis kegembiraan apabila melihat orang lain jatuh. Macam kanak-kanak yang kalau mereka lihat kawannya jatuh, mereka bukan hendak tolong, tetapi mereka akan gelak dahulu terhadap kawan mereka itu.

Musyrikin Mekah sangka yang mereka telah menang hujah dengan hujah Nabi Isa a.s itu dan mereka gelak dengan mengejek baginda. Lihatlah bagaimana Allah SWT menggunakan perkataan قَوْمُكَ (kaummu) dalam ayat ini. Maknanya, Allah SWT masih menyebut yang penduduk Mekah itu kaum Nabi Muhammad SAW lagi.

Ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW belum lagi boleh meninggalkan mereka. Oleh itu kena terus berdakwah kepada mereka. Hanya apabila diturunkan Surah Kaafiruun, barulah mereka sudah tidak dikira sebagai kaumnya lagi kerana Nabi sudah disuruh memanggil mereka dengan gelaran ‘Orang Kafir’. Itulah masanya baginda disuruh meninggalkan mereka dan berhijrah.

Tafsir Ayat ke-58

Musyrikin Mekah sangka yang penyembahan Kristian kepada Nabi Isa a.s adalah sama seperti penyembahan mereka yang memuja perantaraan lain – Nabi, wali atau malaikat. Ini kerana mereka sangka ia sama lah yang menyebabkan mereka melakukan perbandingan dengan agama Kristian itu.

وَقالوا ءأٰلِهَتُنا خَيرٌ أَم هُوَ ۚ ما ضَرَبوهُ لَكَ إِلّا جَدَلًا ۚ بَل هُم قَومٌ خَصِمونَ

Dan mereka berkata lagi: “Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?” Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.

وَقَالُوا ءأٰلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ

Dan mereka berkata lagi: “Ilah yang kami sembah lebih baikkah atau Isa?”

Mereka sangka yang sembahan-sembahan mereka itu lebih baik lagi kerana penganut Nasrani menyembah seorang anak Tuhan sahaja tetapi mereka puja lagi ramai, iaitu malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Tuhan. Tentulah malaikat lagi ramai, maka mereka sangka sembahan mereka lagi bagus sebab lebih ramai.

‎مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا

Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata;

Mereka ada sifat jadal – suka membantah dan berdebat. Mereka hanya mereka-reka perkara untuk berbantah sahaja. Mereka bukannya berhujah kerana hendak mencari kebenaran. Ramai manusia yang begini, amatlah malangnya. Mereka belum apa-apa lagi terus membantah dan mengajak untuk berdebat.

Bukannya kita melarang berdebat dan berhujah, tetapi berdebat lah kerana hendak mencari kebenaran, bukan kerana berdebat semata-mata dan hendak diri menang.

‎بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali berdebat.

Mereka suka berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi kerana hendak menang sahaja. Mereka suka mencari salah orang dan mencari-cari sebab untuk berdebat. Mereka akan jadi amat bangga kalau mereka menang dalam perdebatan itu.

Allah SWT mengajar kita untuk tidak buang masa untuk berdebat dengan mereka. Jangan debat dalam perkara yang membuang masa.

Tafsir Ayat ke-59

Dalam ayat ini, Allah SWT memperjelaskan kedudukan Nabi Isa a.s. Allah SWT beritahu yang Nabi Isa a.s yang dipuja itu adalah dari fahaman syirik puak Nasara, bukannya agama yang sebenar.

Nabi Isa tidak pernah suruh umatnya puja baginda. Ini adalah ajaran ulama sesat mereka. Seperti ajaran sebenar Nabi Ibrahim bukan macam yang dibuat oleh musyrikin Mekah.

‎إِن هُوَ إِلّا عَبدٌ أَنعَمنا عَلَيهِ وَجَعَلنٰهُ مَثَلًا لِّبَني إِسرٰءيلَ

Nabi Isa a.s itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan Kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.

‎إِنْ هُوَ إِلَّا عَبْدٌ

Nabi Isa itu tidak lain melainkan hanyalah seorang hamba

Allah SWT menegaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Isa a.s itu adalah ‘hamba’ sahaja, jadi kenapa mereka memasukkan baginda ke dalam kategori ‘tuhan’ atau ‘anak tuhan’? Baginda tidak pernah menjadi tuhan dan baginda juga tidak pernah mengatakan yang baginda adalah tuhan ataupun anak tuhan.

‘Hamba’ itu apabila dinisbahkan dengan Allah SWT, ia adalah kedudukan tertinggi. Tidak sama kalau hamba dinisbahkan sesama manusia, waktu itu hamba itu adalah kedudukan yang rendah, bukan? Jadi apabila dikatakan Nabi Isa a.s. itu seorang ‘hamba’, ia bukanlah merendahkan kedudukan baginda, sebaliknya meninggikan kedudukannya.

Allah SWT telah berfirman dalam [ Maidah: 116-117 ] tentang perkara ini mengenai dialog antara Allah SWT dan Nabi Isa a.s:

‎وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِن دُونِ اللَّهِ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ إِن كُنتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Ambillah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?’ “Nabi Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

‎مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَا أَمَرْتَنِي بِهِ أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنتَ أَنتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu’ dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau wafatkan aku, Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.

‎أَنْعَمْنَا عَلَيْهِ

yang telah Kami kurniakan nikmat ke atasnya

Sebelum ini, telah disebut yang Nabi Isa a.s adalah ‘hamba Allah’ tetapi, walaupun baginda adalah hamba Allah SWT, baginda juga telah diberikan dengan banyak kelebihan. Banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda. Baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan manusia termasuk penyakit yang tidak boleh disembuhkan dengan cara biasa.

Baginda juga boleh menghidupkan yang telah mati, membuat patung burung dari tanah liat dan dengan menghembus patung itu, burung itu dapat hidup. Semua itu dilakukan dengan izin Allah SWT semata-mata, bukannya kuasa mutlak dari Nabi Isa a.s.

‎Dalam surah [ Maidah: 110 ] telah disebutkan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada baginda.

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي وَتُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ بِإِذْنِي وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِي وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu al-Kitab, dan hikmat pengetahuan, Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinKu; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”

Oleh itu, ayat ini menyenaraikan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi Isa a.s.

1️. Baginda ditemani dengan ‘Ruhul Qudus’ (Roh Suci) iaitu Malaikat Jibrail. Bermula dari waktu baginda belum lahir lagi, ibunya Maryam telah ditolong oleh Jibrail. Jibrail lah yang mengajar Maryam untuk pergi ke mana, buat apa dan sebagainya semasa hendak melahirkan Nabi Isa a.s.

Selepas lahir juga, Nabi Isa a.s telah ditemani banyak kali oleh Jibrail, antaranya, Jibrail lah yang menasihati baginda untuk pergi ke mana-mana kerana ada pakatan untuk membunuhnya. Jibrail juga membantu baginda dalam menyampaikan dakwah kepada manusia. Ada yang mengatakan, Jibrail sentiasa menemani baginda.

2️.  Nabi Isa a.s. dapat berkata-kata dari kecil lagi. Tidak ada lagi manusia yang boleh bercakap semasa bayi tetapi Nabi Isa sudah berdakwah kepada manusia semasa bayi lagi.

3️.  Baginda diberikan dengan ilmu pengetahuan Kitab dan Hikmah, iaitu ilmu dari Kitab Taurat dan Injil. Juga akan diberikan dengan ilmu al-Quran dan hadis Nabi SAW.

4️.  Baginda dapat membentuk patung burung-burung dari tanah liat dan apabila baginda menghembus kepadanya, patung itu hidup bernyawa.

5️.  Menyembuh orang buta dan berpenyakit sopak.

6️.  Menghidupkan orang mati.

7️.  Menyelamatkan baginda dari dibunuh oleh Bani Israil. Mereka sangka mereka telah menyalib dan membunuh baginda, tetapi sebenarnya yang dibunuh adalah orang lain.

📍Perkara yang paling penting sekali, baginda telah dikurniakan dengan pangkat kenabian.

‎وَجَعَلْنٰهُ مَثَلًا لِّإِسْرٰءيلَ

dan Kami jadikan dia satu contoh bagi kaum Bani Israil

Ini sebagai tanda kekuasaan Allah SWT yang boleh menghidupkan manusia tanpa bapa seperti Nabi Isa a.s. Kalau Allah SWT boleh menghidupkan manusia tanpa bapa, tentu Allah SWT boleh menjadikan apa sahaja, antaranya Allah SWT boleh menghidupkan manusia yang telah mati.

Waktu itu, Bani Israil telah lemah akidah mereka walaupun sepatutnya mereka ada agama kerana ramai Nabi-nabi telah dilahirkan dari kalangan mereka. Maka, Allah SWT memberikan Nabi Isa a.s sebagai penguat akidah mereka.

Wallahu a’lam.

Himpunan Nasihat 1

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُه

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِه فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله💚💚💚
صباح الخير

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَاجْتِنَابَهُ،
بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Hadis Sunan Abu-Daud Jilid 1. Hadis Nombor 0436.

Dari Abu Humaid atau Abi Usaid Al Anshari R.A. dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila seseorang masuk masjid, maka bacalah selawat dan salam atas Nabi S.A.W., kemudian ucapkanlah:’ Allaahummaftah lii abwaaba rahmatika – Wahai Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu”. Apabila dia keluar, maka ucapkanlah: “Allaahumma innii as-aluka min fadhlika – Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon kurnia dariMu”.

 

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

Kematian sebagai nasihat 

Ammar bin Yasir radhiyallahu ‘anhu pernah berkata, “Cukuplah kematian sebagai nasihat untukmu, keyakinan sebagai kekayaan bagimu, dan ibadah sebagai kesibukan dirimu”.

(Untaian Hikmah Pelembut Jiwa, Syaikh Shalih Ahmad Asy Syami Hal 104)

 

Oleh: Mutiara Risalah Islam

 

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

{ Siapa Mayat Hidup Itu? }

Hudzaifah ibnul Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya tentang mayat hidup, lalu ia menjawab, “Yaitu orang yang tidak mengingkari kemungkaran dengan tangannya,juga tidak dengan lisannya, dan tidak pula dengan hatinya”.

(Untaian Hikmah Pelembut Jiwa, Syaikh Shalih Ahmad Asy Syami Hal 116)

 

Oleh: Mutiara Risalah Islam

Puasa Qadha digabungkan dengan Puasa Sunat Syawal

0

Puasa Qadha Di Gabungkan Dengan Puasa Sunat Syawal.

Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.

Pendapat pertama:

Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardu ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun”. (HR Muslim)

Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperoleh pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]

Pendapat kedua:

Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding dengan seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]

Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun As Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus mengerjakan solat fardu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid).

Timbul persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? Dalam persoalan ini terdapat dua pendapat.

Pendapat pertama:

Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah r.a yang menyatakan bahawa:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )

Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban” kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah r.a tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.

Pendapat kedua:

Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.

“Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu.” [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa’imah lil Buhuuth wal Ifta’, 10/392]

Sekiranya diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aishah r.ha

Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:

“Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih setelah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. … dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah.”

[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa’imah lil Buhuuth wal Ifta’, 10/391]

Imam An-Nawawi RH berkata:

“Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud.” [Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab]

Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran ayat 133]

Pendapat Ulama besar dalam mazhab Syafie Imam an-Nawawi, dua niat untuk satu puasa ( puasa sunat Syawal dan puasa wajib ( qadha Ramadan) tidak sah dan tidak dapat pahala sunat atau wajib di mana Imam an-Nawawi menyatakan: “Jika diniatkan akan kedua-duanya (yakni niat puasa qadha dan puasa sunat), tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya (yakni kedua-dua puasa yang diniatkannya itu tidak sah dan tidak memperolehi ganjaran).

Allahu a’lam.

Syawal: Do’akan Mereka yang Sakit

0

Do‘akan Mereka Yang Sakit

Ketika banyak rumah yang diziarahi sempena cuti Syawal ini, mungkin ada di antara mereka itu ahlinya sedang diuji dengan sakit. Doakan mereka dan ucaplah kata-kata yang positif supaya mereka bersemangat dan sentiasa mengharap kepada Allah SWT. Antaranya:

شَفَاكَ الله

“Semoga Allah sembuhkan engkau.”

••••••

لَا بَأْسَ طَهُوْرٌ إِنْ شَاءَ الله

“Tidak mengapa, sembuh insya-Allah/penyakit ini membersihkan dosamu insya-Allah.”
(Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy) (https://sunnah.com/bukhari/75/17)

••••••

أَسْأَلُ الله العَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشفِيَك

“Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Pemilik ‘Arasy yang agung supaya menyembuhkan engkau.”
(Sunan Abu Dāwud) (https://sunnah.com/abudawud/21/18)

••••••

اللَّهُمّ رَبَّ النَّاسِ، أَذْهِبِ الْبَأسَ، وَاشْفِ، أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا

“Ya Allah, Tuhan bagi manusia, lenyapkanlah kesengsaraan, sembuhkanlah, Engkau adalah Dzat yang menyembuhkan, tiada sebarang kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit.”
(Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy) (https://sunnah.com/bukhari/76/65)

Puasa 6 Hari dalam bulan Syawal

0

PUASA 6 HARI DALAM BULAN SYAWAL

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam” :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti puasa satu tahun” [HR Muslim, dalam ash Shiyam, bab Istihbabish-Shaumi Sittati Ayyam min Syawwal, 1164.]

Maka kita digalakkan berpuasa 6 hari di dalam bulan Syawal sama ada berturutan atau tidak. Wallahualam.

Page Kempen Semak Hadith Sebelum Sebar

Sedeqah – Usah bertangguh

0

Satu hari Rasulullah s.a.w bersegera keluar selepas solat Asar, sehingga melalui di celah-celah makmum sahabat, baginda pulang ke rumah. Kemudian apabila baginda kembali, dijelaskan ” aku teringat ada satu barang sedeqah di rumahku, lalu aku tidak suka ia dibiarkan lalu aku segera ingin menyerahkannya (kepada yang berhak)”. (Al-Bukhari).

Antara pengajarannya, JANGAN BERTANGGUH dalam melaksanakan perkara kebaikan, segerakan :-
a. Pembersihan wang haram & syubhah,
b. Zakat yang sudah masuk tempoh,
c. Bayar hutang yang sudah sampai tempoh kena bayar.
d. Sedeqah yang sudah lama diniatkan
e. Semua amal ibadah seperti solat bila masuk waktu, memohon maaf ke atas mangsa dan sebagainya.

Moga Ramadan dan Syawwal kita lebih berkat dan beroleh keampunan Ilahi.

#DrZaharuddinAbdRahman

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-56

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-52

Inilah taktik yang digunakan oleh orang yang berkuasa untuk menjatuhkan mereka yang hendak membawa kebenaran. Firaun berusaha untuk jatuhkan martabat Nabi Musa a.s. Ini dinamakan ‘Character Assassination’.

أَم أَناْ خَيرٌ مِّن هٰذَا الَّذي هُوَ مَهينٌ وَلا يَكادُ يُبينُ

“Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِّنْ هَٰذَا

Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang ini,

Firaun membuat perbandingan antara dirinya dan Nabi Musa sebab hendak tunjukkan kelebihan dirinya dan kekurangan yang ada Nabi Musa.

الَّذِي هُوَ مَهِينٌ

yang hina keadaannya,

Sekarang Firaun membandingkan dirinya dengan Nabi Musa. مَهِينٌ dari kata dasar هون yang bermaksud ‘lemah’, ‘hina’, ‘tidak penting’, ‘tidak bernilai’. Tentulah keadaan Nabi Musa tidak dikenali (glamour) macam Firaun.

Kalau dari segi kebendaan, kekuatan dan kekayaan, awal-awal lagi Nabi Musa sudah kalah. Firaun kata Nabi Musa itu dari golongan hina yang bukan dari bangsa mereka kerana Nabi Musa dari pendatang luar, maka dia dikira sebagai golongan bawahan.

وَلَا يَكَادُ يُبِينُ

dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

Sekarang dia menghina lagi Nabi Musa dan daripada sirah, kita dapat tahu bahawa Nabi Musa ada masalah gagap. Percakapannya tidak lancar. Ini dijelaskan dengan panjang lebar dalam [ Taha: 27]. Firaun tidak melepaskan peluang itu untuk menjatuhkan lagi kedudukan Nabi Musa.

Tafsir Ayat ke-53

Sekarang Firaun gunakan sebab kekayaan pula kerana itulah neraca manusia.

فَلَولا أُلقِيَ عَلَيهِ أَسوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ أَو جاءَ مَعَهُ المَلائِكَةُ مُقتَرِنينَ

 “(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?”

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ

Kenapa dia tidak dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang dari emas?

Firaun menghina Nabi Musa kerana baginda nampak biasa sahaja, tidak nampak kekayaan dia yang melimpah sampai ada gelang-gelang dari emas. Kalau kita lihat gambar-gambar Mesir Kuno, kita boleh lihat bagaimana lelaki-lelaki zaman itu dipakaikan dengan gelang-gelang emas.

Ini adalah tanda kekayaan dan kedudukan yang tinggi kepada mereka. Oleh kerana itulah, Firaun mempersoalkan Kerasulan Nabi Musa kerana pada mereka, kalau baginda adalah seorang Rasul, maka tentulah Allah SWT akan memberikan gelang-gelang emas kepada baginda.

أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

atau datang malaikat bersama-sama dengannya?”

Firaun juga kata kenapa tidak ada malaikat yang melekat sahaja dengan baginda seperti ‘Qarin’ ke mana-mana baginda pergi? Ini kerana begitulah keadaannya jikalau orang-orang besar,ke mana-mana sahaja orang besar itu pergi, ada sahaja pengikut-pengikutnya yang akan mengekor di belakang dan di kiri kanannya.

Begitulah juga Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada orang-orang yang kaya dan berpengaruh dari bandar Mekah dan Taif? Mereka juga mempersoalkan kenapa tidak ada malaikat yang iring bersama-sama Nabi Muhammad SAW.

Maka Nabi Muhammad SAW dipujuk di dalam ayat ini, dengan Allah SWT memberi tahu baginda SAW bahawa bukan baginda sahaja yang diejek dan dicemuh sebegitu. Nabi Musa turut sudah di persoalkan begitu juga.

Begitu jugalah yang terjadi pada zaman sekarang. Ramai yang mempersoalkan kedudukan keduniaan guru-guru yang mengajar sunnah. Mereka kata guru-guru itu tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Anak murid juga tidak ramai.

Mereka tidak kaya, tidak pernah masuk televisyen macam ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu. Selalunya, guru-guru sunnah ini nampak biasa sahaja, tidak pakai serban selalunya.

Ada masyarakat yang jahil, yang kadang-kadang akan kutuk peribadi ustaz-ustaz sunnah itu. Ada yang kata ustaz-ustaz sunnah itu ‘buta’, ‘tidak ada seri’, ‘tiada cahaya iman’ dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah cara menilai kedudukan seseorang yang salah. Kelebihan seseorang dalam agama bukan dilihat dari sudut kebendaan dan kemewahan dunia orang itu. Perkara yang Allah SWT pandang adalah taqwa dan kita juga sepatutnya begitu. Itulah yang diajar dalam surah Zukhruf ini.

Apakah penerimaan penduduk Mesir dengan kempen Firaun ini? Kita lihat nanti dalam ayat seterusnya.

Tafsir Ayat ke-54

Kaum Firaun yang memandang kekayaan dunia, memang termakan dengan hujah-hujah Firaun itu. Jiwa mereka memang puja dunia dan mereka takut kalau keduniaan mereka tergugat.

Mereka melihat kekayaan sebagai neraca kebenaran, maka mereka lebih suka mengikut sahaja sesiapa yang berkuasa. Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat kita.

‎فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

‎فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ

Maka Firaun memperbodohkan kaumnya,

Kalimah فَاسْتَخَفَّ dari kata dasar خ ف ف yang bermaksud ‘ringan’. Firaun nampak kaumnya pandang ringan sahaja tentang perkara-perkara yang melibatkan kehidupan mereka dari sudut dunia dan akhirat. Apa sahaja yang disebut kepada mereka olehnya, mereka akan ikuti.

Selain itu, ia bermaksud, Firaun ‘meringankan’ pemikiran rakyatnya, yang bermaksud memperbodohkan kaumnya. Senang ditolak ke sana dan ke sini. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan strategi terancang supaya rakyatnya tidak pandai berfikir.

Dia dengan sengaja menjadikan kaumnya jahil supaya mereka ikut sahaja. Kaumnya tidak pandai berfikir sendiri maka senanglah mereka dikawal. Begitulah kesannya kalau akal jahil tidak berilmu, antaranya Firaun telah menggunakan kempen besar-besaran.

Macam manusia juga, apabila dikenakan dengan propaganda media massa, mereka terus percaya apa yang disampaikan. Pada mereka, kalau keluar di surat khabar dan televisyen, ia tentunya benar. Manusia sudah malas hendak fikir, mereka terima sahaja apa yang pemerintah berikan. Inilah yang terjadi dari zaman Firaun sendiri.

Masha Allah! dari zaman itu lagi sudah ada, dan sekarang ia diamalkan oleh pemerintah zaman ini juga. Pemerintah akan senang memerintah rakyat yang bodoh yang tidak boleh berfikir sendiri.

Oleh itu, ada kerajaan yang menghalang rakyat mereka dari menggunakan akal kritis mereka. Mereka hanya diberikan dengan pendidikan yang membolehkan mereka membaca dan mengira sahaja. Mereka hendak rakyat mereka berfikiran ‘ringan’ sahaja.

Begitu jugalah dengan mereka yang memegang tampuk agama negara ini iaitu mereka yang dipandang sebagai orang alim, yang menguruskan hal agama di negara kita. Mereka akan kata kepada masyarakat, tidak perlu tukar lah apa yang telah lama diamalkan itu.

Mereka beri macam-macam hujah, yang kalau diberikan kepada mereka yang jahil, mudah untuk mereka terima.

فَأَطَاعُوهُ

lalu mereka mematuhinya;

Sepatutnya golongan Bani Israil itu mengikut Nabi Musa tetapi mereka telah mengikuti kata-kata Firaun. Mereka taat kepada Firaun dan tidak taat kepada Nabi Musa. Mereka lebih percaya kepada Firaun lagi dari mereka percaya kepada Nabi Musa.

Sebenarnya mereka takut kepada Firaun. Padahal Nabi Musa datang dengan bawa dalil-dalil dan hujah dari wahyu. Padahal kaumnya semua nampak yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa tetapi bila Firaun bagi ucapan besar-besaran itu, mereka ikut apa kata Firaun pula.

Macam zaman sekarang, kalau ada pemimpin yang pandai bercakap, manusia akan terpesona dan akan mengikut kata-kata pemimpin itu. Seperti juga orang kita yang ikut sahaja yang pemimpin mereka katakan tanpa usul periksa.

Lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu adalah pemimpin politik mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin mereka semuanya benar belaka, dan apa yang dilakukan oleh pemimpin politik lawan, semuanya salah.

Manusia ramai yang tidak tahu membezakan mana yang benar dan salah lagi. Begitu juga dalam hal agama. Mereka hanya memilih guru dan ustaz yang terkenal sahaja, yang ada nama, pernah masuk televisyen, radio dan surat khabar sahaja.

Apa sahaja yang diberitahu oleh mereka, diterima bulat-bulat. Tidak lagi diperiksa dengan al-Quran dan Hadis. Ini mungkin kerana masyarakat Islam negara kita telah diajar dari kecil lagi untuk tidak mempersoalkan apa yang diajar oleh ‘ustaz’.

Apa yang mereka beritahu, ‘tentunya benar’, ‘takkan mereka salah’ dan macam-macam lagi. Maka, berterusanlah manusia berada dalam kejahilan. Seolah-olah percambahan ilmu dan pencarian ilmu telah ditutup oleh mereka.

‎إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فٰسِقِينَ

sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.

Oleh kerana mereka tidak taat kepada Rasul tetapi taat kepada Firaun, maka Allah SWT menggelar mereka sebagai kaum yang fasik.

Dalam tafsir disebut ‘fasik’ dalam ayat ini dalam bentuk musyrik. Memang ada syirik dalam hati mereka. Memang kalau tegar syirik susah hendak terima kebenaran tetapi bukankah Firaun yang bersalah dalam hal ini kerana dialah yang memperbodohkan mereka?

Memanglah Firaun telah mengambil kesempatan ke atas mereka tetapi Allah SWT telah memberi setiap manusia dengan akal fikiran untuk menimbang manakah yang benar dan manakah yang salah. Oleh kerana mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka, maka mereka telah menjadi kaum yang fasik.

Maka, tidaklah boleh kalau kita hendak menggunakan alasan: “Saya tidak tahu, saya ikut sahaja”. Ini adalah kerana kita kena menggunakan akal yang kritis. Kena pandai tanya kepada guru yang mengajar: “Ustaz, tumpang tanya, Ustaz dapat maklumat ini dari mana?”

Jangan biarkan guru-guru agama ‘memperbodohkan’ kita dengan kata-kata dan ajaran mereka yang tidak ada dalil yang sah. Cukuplah sudah mereka mengambil kesempatan dari kejahilan kita selama ini.

Marilah belajar al-Quran dan Hadis yang sahih supaya kita dapat membezakan manakah yang benar dan manakah yang hanya rekaan sahaja. Relevan sungguh ayat ini dengan keadaan semasa. Menjelaskan banyak perkara, bukan?

Tafsir Ayat ke-55

Setelah mereka mengambil keputusan untuk mengusir Nabi Musa, maka Allah SWT telah mengambil tindakan keras.

فَلَمّا ءآسَفونَا انتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم أَجمَعينَ

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).

فَلَمَّا ءآسَفُونَا

Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami,

Mereka telah menyebabkan Allah SWT marah dengan perbuatan derhaka mereka itu. Mereka bukan sahaja tolak tetapi mereka hendak menyakiti Nabi Musa dan hendak menghalau baginda.

Perkataan آسَفُونَا diambil dari kata dasar أسف yang boleh bermaksud ‘menyesal’ ataupun ‘kemarahan’. أسف adalah perasaan marah yang bercampur dengan perasaan sedih disebabkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lain dan ia lebih berat lagi daripada perkataan marah, َغَضَب.

انتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Kami ambil balasan dari mereka,

Allah SWT balas dendam kepada mereka. Allah SWT membalas kesalahan yang mereka lakukan semasa mereka di dunia lagi.

فَأَغْرَقْنٰهُمْ أَجْمَعِينَ

iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut.

Firaun, keluarganya, pembesarnya dan tenteranya semuanya dimusnahkan dalam laut itu. Tidak ada seorang pun yang diselamatkan. Semua sekali dimatikan dalam Laut. Kekayaan mereka di Mesir ditinggalkan begitu sahaja.

Allah SWT bawa mereka semua ke satu tempat dan tenggelamkan semua sekali supaya tidak kacau tempat tinggal mereka. Ini kerana tempat itu hendak diberi balik kepada Bani Israil. Allah SWT buang yang tidak diperlukan sahaja. Begitulah hebatnya perancangan Allah SWT. Lihatlah bagaimana kesalahan mereka dibalas semasa di dunia lagi.

Apabila manusia yang ingkar berbuat zalim kepada penyebar tauhid, Allah SWT akan membalas kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Namun jangan kita doa untuk disegerakan azab kepada mereka yang menolak dakwah kita kerana kita kasihan kepada mereka. Memang doa itu akan makbul.

📍Kisah-kisah azab dan bala yang diberikan kepada umat-umat terdahulu itu bukan hanya sebagai sejarah sahaja, tetapi ia masih boleh terjadi lagi. Maka beringat-ingatlah.

Tafsir Ayat ke-56

Apakah tujuan Allah menceritakan kisah mereka kepada kita?

فَجَعَلناهُم سَلَفًا وَمَثَلًا لِلآخِرينَ

Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

Kita sepatutnya menjadikan mereka yang sebelum kita sebagai pengajaran buat kita. Dari dahulu sampai sekarang, ramai yang mengkaji tentang Firaun, tentang kehidupannya, tetapi tiada yang kaji tentang kekufurannya dan kenapa dia dimusnahkan.

Kalau golongan arkeologis, mereka kaji kesan peninggalan Firaun, bahasa yang digunakan, pakaian dan adat mereka, malah apa-apa sahaja, tetapi lihatlah bagaimana tidak disebut kenapa mereka dimusnahkan begitu sahaja. Kalimah سَلَفًا bermaksud mereka yang ada dulu sebelum kita. Mereka yang lebih awal dari kita.

Mereka hidup sebelum kita dan mereka sekarang sudah tiada. Mereka menjadi sebahagian daripada sejarah dan kita perlu mempelajari sejarah mereka supaya kita boleh belajar dari kebaikan dan kesilapan mereka yang lampau.

Sejarah akan berulang-ulang kerana kita tidak mengambil pengajaran darinya. Firaun, pembesarnya dan kaumnya yang kufur menjadi pengajaran untuk kita yang datang terkemudian dari mereka.

Mereka bukanlah menjadi contoh yang baik yang perlu diikuti sebaliknya mereka adalah contoh yang perlu dijauhi. Lihatlah bagaimana mereka begitu kaya dan kuat, tetapi kekayaan dan kekuatan mereka itu hanya sementara sahaja.

Hanya di dunia sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan kekuatan dan kekayaan yang melimpah ruah. Perkara ini juga mengajar kepada kita bahawa dengan kuasa dan kekayaan yang ada pada manusia, manusia boleh mempengaruhi manusia lain untuk melakukan kesalahan.

Memang ramai yang terpengaruh dengan kekayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh orang lain. Maka kita kenalah berhati-hati dengan mereka yang nampaknya ada kekuatan dan ada kuasa, kerana tidak semestinya mereka itu benar.

📍Kita kena berhati-hati dengan mereka yang kita ikut. Jangan kita ikut sahaja tanpa periksa kerana kalau mereka salah dan kita ikut mereka, kita turut salah juga dan akan dipersoalkan. Kita tidak boleh jawab nanti di hadapan Allah SWT: “Saya ikut sahaja”.

Allahu a’lam.

Syawal – Hari Kegembiraan

0

Hari Kegembiraan

1 Syawal merupakan Hari Raya bagi umat Islam. Disambut dengan kegembiraan. Menjadi adat masyarakat kita menyambutnya dengan pulang ke kampung halaman, menziarahi keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, menjamu makan dan memberi duit raya. Peluang cuti yang diberikan digunakan sebaiknya untuk berkumpul.

Ini semua antara buah syukur daripada tarbiyah Ramaḍan. Jika pertemuan di Hari Raya ini pun sudah cukup menggembirakan, ada yang gembira sehingga keluar air matanya, cubalah kita bayangkan bagaimana pula jika Allah SWT kumpulkan kita bersama ibu bapa kita, nenek moyang yang telah dahulu pergi meninggalkan dunia, isteri-isteri, anak cucu keturunan kita di syurga. Syurga ’Adn; kediaman di akhirat bagi orang yang soleh. Para malaikat masuk di setiap pintu mengucapkan Salam. Di dalamnya penuh kesenangan dan sentiasa terhibur. [Ar-Rad: 20-24 ]:

الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلَا يَنْقُضُونَ الْمِيثَاقَ

(yaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,[ Ar-Ra’d: 20 ].

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk. [ Ar-Ra’d: 21 ];

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ

Dan orang-orang yang sabar karena mencari keredaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),[ Ar-Ra’d: 22 ];

جَنَّتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّتِهِمْ ۖ وَٱلْمَلَٰئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ

(yaitu) syurga ´Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; [Ar-Ra’d: 23 ];

سَلَٰمٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى ٱلدَّارِ

(sambil mengucapkan): “Salamun ´alaikum bima shabartum”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu. [ Ar-Ra’d: 24 ].

Ini adalah habuan bagi yang memenuhi janji kepada Allah “Hanya kepada Engkau Kami mengabdikan diri…” (Al-Fatihah: 1-5), menghubungkan apa yang diperintahkan Allah, yang sentiasa takut kepada Rabb-Nya, sabar dalam mencari redha-Nya, yang solat, menginfaqkan hartanya serta menolak kejahatan dengan kebaikan.

“Semoga Allah terima segala amalan kami dan kamu semua.”

Popular

Iklan

Iklan