Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az- Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

Tafsir Surah Az- Zalzalah – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

9267
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zalzalah

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan :

1. Sifat bumi yang “tidak sabar” untuk menzahirkan apa yang kita semua telah lakukan.

2. Hendaklah kita berusaha agar tersenarai dalam banyak kumpulan yang turut berjaya semasa melalui sesi pertemuan dengan Allah SWT.

3. Kita dituntut menjaga kualiti amalan dengan berpandukan wahyu Allah SWT, kerana DIA yang mencipta manusia dan DIA jua yang akan menjadi Hakim penentu amal perbuatan kita di atas dunia ini.

Setelah kita mengetahui bahawa amalan kita akan dipertontonkan oleh Allah SWT, maka ayat yang seterusnya bahawa setiap amalan yang dilakukan akan diperincikan / diperlihatkan oleh Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-7:

فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya”.

Ini adalah pengajaran yang penting yang hendak disampaikan. Ia adalah kesimpulan besar dalam surah ini, kerana ada hurf ف ( Fa ) yang terdapat di awal ayat ini ( فَمَن ) yang membawa maksud, siapa yang buat amal baik, dia akan melihat amalnya itu nanti di akhirat.

مِثقالَ

Dari kalimah ث ق ل yang bermaksud : Sesuatu yang digunakan untuk membandingkan berat antara dua perkara.

Pemberat : مِثقالَ.

Dalam bahasa Arab, apabila “bentuk kalimah” yang digunakan bermula dengan م ( Mim ) dan ada huruf ا ( Alif ), selalunya ianya bermaksud “alat’.

Sebagai contoh : مفتاح ( Miftah : Kunci / Alat Pembuka )

Dari asal kalimah Fataha ( bermaksud : buka )

ذَرَّةٍ

Bermaksud : benda paling kecil yang dapat dibayangkan.

Kepada orang Arab dulu, perkara paling kecil yang mereka tahu adalah telur semut, maka kerana itu mereka panggil telur semut itu sebagai Zarah.

ذَرَّةٍ

Juga boleh juga digunakan untuk debu-debu yang kita lihat berterbangan di ruang bilik kita.

Mungkin pada kita ianya kecil sahaja, tetapi mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Sepatutnya ini memberi semangat untuk kita melakukan apa sahaja kebaikan meskipun dirasakan kecil atau tidak setanding orang lain.

Mereka yang telah melakukan amal kebaikan semasa di dunia, tidak kira sekecil mana pun akan :

يَرَهُ

Melihatnya (melihat amal kebaikan itu).

Apabila digunakan kalimah يَرَهُ dari kata dasar ر أ ي , ia bermaksud benar-benar melihat dengan mata sendiri.

Rujuk surah [ Fussilat ( 41 ): 30 ]

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

  1. Malaikat ulang alik
  2. Tiada sedih / takut
  3. Akhir hayat Allah beri berita gembira dengan Syurga

Semua manusia akan dihisab, meskipun orang yang kafir. Orang kafir akan tetap merasai kedahsyatan mahsyar ( hisab / mizan dan lain ) sebagai penghinaan Allah kepada mereka di mana akhirnya mereka tetap ke neraka.

Orang yang beriman akan bertanya kepada Allah tentang apakah balasan terhadap amal soleh itu dan ini. Menunjukkan nikmat Allah yg sangat luas kpd orang yang berjaya ke dalam Syurga. (mafhum hadis R. Trimidzi – Sahih dengan syawahid ).

Bagaimana pula dengan amal keburukan?

Tafsir Ayat Ke- 8:

وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.

شَرًّا

Kejahatan.

Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu bagaimana kalau seseorang yang buat amal kebaikan sebesar ذَرَّةٍ pun, dia akan ditunjukkan dengan amalnya itu.

Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan lagi bahawa berbuat amal yang buruk pun, walau sebesar zarah, juga akan diperlihatkan. Maka, berusaha lah kita untuk melakukan apa sahaja untuk selamatkan diri daripada perkara buruk yang mengundang azab Allah SWT.

HR Bukhari ( diriwayatkan dari Adiy secara marfu’ ) :

“اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، وَلَوْ بِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ”

Hindarilah neraka, sekalipun dengan (menyedekahkan) separuh buah kurma, dan sekalipun dengan kalimat yang baik.

Logiknya, separuh buah tamar tidak memberi kenyang kepada sesiapa. Namun, itu lah tarbiah Nabi SAW agar kita tetap membuat kebaikan. Soal natijah lebih baik diserahkan kepada Allah. Tugas kita buat yang terbaik sahaja.

Kebajikan yang paling hebat ialah Al-Birr. Seperti dalil yang terdapat dalam Surah [ Ali Imran (3): 92 ]

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.

Maksud : Al Birr ialah kebaikan / kebajikan yang kita lakukan yang terbaik, sehingga melepaskan apa yang kita suka dan sayangi.

Tarbiah Nabi SAW ada macam-macam. Kadangkala susah hendak cuci kolam, lebih baik isikan terus air yang bersih. Lama-kelamaan jernih lah air tersebut. Insya Allah. Yang penting bertindak. Jangan jadi seperti NATO ( No Action, Talk Only ).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! [ As-Saff: 2 ].

Ibrah dan Kesimpulan :

1. Allah memulakan surah ini dengan sesuatu yang amat besar – kejadian gempa dan goncangan bumi untuk “mengejutkan” manusia. Namun penghujung surah, Allah kembali mendidik hati manusia secara halus, dengan pujukan beramal sekali pun kecil.

2. Orang beriman mesti terus bermotivasi melakukan kebaikan, tidak kira kecil atau tidak sehebat pandangan manusia umum. Mesti jalan terus!

3. Buat baik walaupun kecil jangan ditinggalkan, juga buat jahat walaupun kecil jangan dilakukan. kelak, semua akan diperlihatkan

Ikhlas dalam berbuat kebaikan dan hanya harap ganjaran pahala daripada Allah.

Tanda orang peroleh petunjuk Al-Quran, ialah terzahir amalannya, kerana jika sekadar ilmu, Abu Jahal pun tahu apakah wahyu yang turun kepada Nabi SAW.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan