Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-A’diyat – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

Tafsir Surah Al-A’diyat – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

570
0
Iklan

Tafsir Surah Al-A’diyat

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan gaya bahasa Allah SWT. Dengan bersumpah makhluk yang bernama kuda, Allah SWT:

1. Menyuruh kita mengambil iktibar.

2. Permulaan surah yang dramatik, untuk menarik minat pembaca untuk mengetahui mesej dari Allah SWT.

3. Kisah antara binatang yang hebat, menjadi pembakar semangat kepada Muslim untuk mengambil manfaat.

4. Ayat terdahulu kita melihat satu persatu kisah yang hebat dari binatang yang bernama kuda. Namun apakah yang perlu diberi perhatian terhadap nikmat Allah SWT seumpama ini?

Sambungan nanti dalam firman Allah SWT yang seterusnya :

Tafsir Ayat Ke-6

إِنَّ الإِنسانَ لِرَبِّهِ لَكَنودٌ

Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

إِنَّ الإِنسانَ

Sesungguhnya manusia itu.

Apakah yang Allah hendak sampaikan tentang manusia itu?

Ada dua perkara yang mungkin iktibar yang boleh diambil dari perihal sumpahan Allah SWT pada ayat pertama hingga ke-5 :

Pertama:

Allah memulakan surah ini dengan qasm ( sumpah ) tentang kuda kerana Allah hendak memberi isyarat, “lihatlah bagaimana kuda itu taat kepada tuan dia, sanggup buat apa sahaja termasuk membahayakan nyawa mereka”.

Tetapi sebaliknya manusia ( yang lebih sempurna kejadian ), tidak taat kepada Tuhannya.

Jika kita fikirkan, apa sangatlah pemberian yang tuan kuda itu berikan kepada kuda sehingga kuda itu taat? Jika dibandingkan dengan apa Allah beri kepada manusia. Namun, walaupun telah mendapat segala nikmat yang hebat-hebat, kebanyakan manusia tetap derhaka.

Kebanyakan manusia tetap derhaka, agaknya berapa peratus?

Jika mengikut perbandingan zaman Nabi Nuh as, yang naik ke atas kapal ( ikut pesan wahyu ) hanya 0.001%. Ahli sejarah tafsirkan manusia zaman tu sekitar 800,000 orang. Naik atas kapal 83 orang = jadi lebih kurang 0.001% sahaja!!.

Kedua:

Ayat ke-6 ini memberi gambaran kepada manusia yang mempunyai sedikit nikmat Allah SWT, tetapi sanggup melampaui batas dan derhaka kepada Allah SWT.

Sebagai contoh jika kita bawakan erti nikmat kenderaan hari ini, berapa ramai yang mampu mendapatkan kenderaan TETAPI “tidak mampu” untuk kembali manfaatkan ke jalan Allah SWT.

Tidak kiralah sama ada dengan cara menggunakan ia untuk mencari ilmu Allah SWT atau menggunakan ia sebagai perantaraan mendekati rumah Allah ( pergi masjid ).

Sebaliknya hari ni, lebih ramai yang terpesona dengan nikmat itu, dicuci, dibelek, dikilatkan “kuda di rumah” sehingga tidak mengenang panggilan azan ( contoh umum).

Melakukan/melaksanakan perintah Allah tidaklah semudah seperti yang diucapkan. Oleh itu Allah bersabarlah:

Sabar : Persediaan dalaman ( memujuk hati untuk jadi hamba Allah ).

Solat : Usaha untuk mengambil tindakan / zahirkan ( bukan sekadar cakap dan tunggu ).

Kerana itu kita belajar Al-Quran, supaya membentuk naluri yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat. Jika tidak, “naluri” itu akan ikut akal dan kebiasaan manusia biasa.

Huruf ل dalam لَكَنودٌ adalah sebagai penekanan.

كَنودٌ

Ada persamaan dengan kalimah كفور iaitu tidak menghargai kepada segala nikmat yang telah diterima.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan kalimah كَنودٌ itu bermaksud ‘memisahkan diri dari Tuhan’

( manusia, tidak hiraukan Tuhan ).

Meskipun dua perkataan Kanud / Kufur ini hampir sama, saya berpandangan bahawa kalimah Kanud lebih dahsyat. Kerana hanya pada ayat ini Allah SWT gunakan dalam Al Quran.

Kalimah ingkar ( menggunakan Kanud ) hanya terdapat dalam ayat ini.

Kenapa agaknya Allah SWT terlalu murka kepada golongan ini sehingga menggunakan perkataan yang asing? ( Kanud ).

Maka sambungan ayat seterusnya :

Tafsir Ayat Ke-7:

وَإِنَّهُ عَلىٰ ذٰلِكَ لَشَهيدٌ

“Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya”,

Yang boleh difahami, sebenarnya manusia itu memang tahu yang mereka sedang melawan / derhaka kepada Allah.

Kalau kita lihat kalimah شَهيدٌ yang digunakan, tetapi kenapa tidak digunakan kalimah شاهِد ( isim fa’il)?

Ini adalah kerana:

شاهِد – ism faa’il – hanya berlaku sekali sahaja.

شَهيدٌ – Sentiasa melihat apa yang dia sedang lakukan.

Datangnya kalimah syahid dalam sighah mubalaghah.

Menyatakan bahawa dia sendiri menjadi saksi atas segala perbuatannya. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Surah [ Al Qiyamah ( 75 ) : 14 ].

بَلِ الإِنسانُ عَلىٰ نَفسِهِ بَصيرَةٌ

“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri”

Oleh itu pada ayat ini, Allah SWT menjelaskan sifat keingkaran yang dahsyat ( Kanud ), iaitu mereka yang berada dalam kesedaran.

Bererti gambaran orang yang berada dalam suasana yang baik (banyak nikmat), ada ilmu pengetahuan, telah sampai penjelasan semua itu dikatakan golongan yang melampau kederhakaan mereka.

Jika digambarkan dengan nikmat Al-Quran pula, terdapat dalam ayat yang lain, penjelasan Allah SWT mengenai sifat manusia sebegini :

Surah [ Al Kahfi (18) : 54 ]

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا

“Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya”.

Kanud : golongan yang melampau. Secara tidak langsung, itulah sifat menzalimi diri mereka sendiri.

Ibrah dan kesimpulan :

1. Sambungan ayat ini dari kisah sumpahan ( Kuda Perang ) Allah SWT pada permulaan surah ini, secara tidak langsung memberikan peringatan kepada kita agar berhati-hati agar tidak terpesona dengan nikmat-nikmat pemberian Allah SWT.

2. Sepatutnya orang yang berada dalam kebaikan, perlu menjadi hamba Allah SWT yang terbaik. Namun Allah SWT memberikan peringatan jika berlaku sebaliknya ( ingkar / derhaka ), maka itu satu natijah yang sangat buruk.

3. Kita perlu menjadi seorang yang seimbang pengetahuan dengan amal yang baik. Menyaksikan diri melakukan perbuatan derhaka, tetapi tiada tindakan memperbaiki diri adalah satu jenayah yang besar di sisi Allah SWT.

Beriman pada Al-Quran tetapi gagal mentadabbur ayat-ayatnya juga merupakan sikap ingkar pada Allah. Maka kembali kepada tujuan kita belajar Al-Quran atau sunnah iaitu untuk menjadi hamba Allah yang diredhai. Semoga lebih ramai daripada kita yang mendapat redha Allah SWT, Insya Allah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan