Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 78: “Baginda Berwuduk Dengan Memakai Selipar”

Hadis 78: “Baginda Berwuduk Dengan Memakai Selipar”

226
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 78, Dari Jerudong, Brunei

March 26, 2019 by Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

78 – حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ مُوسَى الْأَنْصَارِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا مَعْنٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا مَالِكٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ الْمَقْبُرِيُّ، عَنْ عُبَيْدِ بْنِ جُرَيْجٍ، أَنَّهُ قَالَ لِابْنِ عُمَرَ: رَأَيْتُكَ تَلْبَسُ النِّعَالَ السِّبْتِيَّةَ، قَالَ: إِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَيْسَ فِيهَا شَعَرٌ، وَيَتَوَضَّأُ فِيهَا، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَلْبَسَهَا.

78- Telah bercerita kepada kami Ishaq bin Musa Al-Ansariy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Ma`n, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Malik, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Sa`id bin Abi Sa`id Al-Maqburiy, daripada `Ubayd bin Jurayj, bahawasanya dia berkata kepada Ibni `Umar: Saya telah melihat kamu memakai selipar tanpa bulu. Dia berkata: Sesungguhnya saya telah melihat Rasula Llah memakai selipar yang tiada padanya bulu, dan dia berwudhu’ dengan memakainya. Maka saya suka untuk memakainya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini secara amnya menunjukkan kecintaan Ibnu `Umar, iaitu anak lelaki `Umar bin Al-Khattab yang bernama `Abdu Llah, terhadap sunnah Nabi. Kerana kecintaan itu, Ibnu `Umar telah memakai sesuatu yang dia lihat Nabi telah memakainya. Melihatkan hal itu, `Ubayd bin Jurayj telah bertanya kepada Ibna `Umar, dan ini barangkali disebabkan memakai (النِّعَالَ السِّبْتِيَّةَ) selipar tanpa bulu merupakan sesuatu yang ganjil dan tidak meluas pemakaiannya ketika itu. Untuk memudahkan kita memahami keadaan ini, bayangkan seseorang memakai baju Melayu lengkap dengan samping dan tengkolok. Pasti kita akan terasa pelik dan bertanya, “Kenapa?”. Begitu juga hal keadaan `Ubayd bin Jurayj apabila dia melihat Ibna `Umar memakai selipar tanpa bulu tersebut.

Mendengar soalan itu, `Abdu Llah Ibnu `Umar menjawab dengan ringkas bahawa dia telah melihat Rasula Llah memakai selipar yang tidak mempunyaï bulu, kemudian Nabi berwudhu’ dengan memakai selipar itu. Ibnu `Umar menambah bahawa kerana itu, dia suka untuk memakai selipar tanpa bulu.
Jika kita menganggap bahawa Ibna `Umar memakai selipar tanpa bulu kerana dia mengikut fesyen Nabi, maka kita telah tersalah faham dan telah menurut panduan hawa nafsu dalam mentafsir hadis ini. Tiada para sahabat yang mengikut Nabi pada fesyennya! Tiada para sahabat yang mengikut Nabi melainkan mereka mahu menuruti sunnah Nabi dan menjadi lebih ta`at kepada perintah Allah.

Adalah menjadi kebiasaan orang `Arab, mereka memakai selipar yang mempunyaï bulu, iaitu kulit yang tidak diproses dengan didibagh atau disamak. Ini kerana proses dibagh (دِبَاغ) atau samak adalah proses yang sukar serta memakan masa, dan kulit yang tiada bulu – iaitu yang telah didibagh dan disamak – hanya dipakai oleh orang yang kaya dan mewah.

Justeru, dalam hal ini, Ibnu `Umar sedang memakai selipar tanpa bulu, iaitu selipar yang telah didibagh dan disamak, iaitu selipar yang dipakai oleh orang yang kaya dan mewah, dan disebabkan itu, `Ubayd bin Jurayj bertanya kepada `Abdi Llah Ibni `Umar. Dalam hal ini, walaupun apa yang dilakukan oleh Ibni `Umar ketika itu tidak sama dengan apa yang dilakukan masyarakat, tetapi dia tekal di atas apa yang dipilih dan dilakukannya.

Ibnu `Umar menjelaskan bahawa dia memilih dan melakukan apa yang dilakukannya adalah disebabkan dia melihat bahawa Nabi telah memakai selipar tanpa bulu, justeru, memakai selipar tanpa bulu – yang menunjukkan kemewahan – itu telah dilakukan oleh Nabi, dan ia menjadi satu sunnah, bukan lagi kemewahan, walaupun ramai yang tidak melakukannya.
Tidak cukup dengan itu, Ibnu `Umar menjelaskan bahawa dengan memakai selipar tanpa bulu itu, dia dapat mengikut satu lagi sunnah iaitu berwudhu’ dengan memakai selipar. Justeru, kerana dengan memakai selipar tanpa bulu ini, dia akan dapat melakukan dua sunnah yang tidak dapat dilakukan kecuali dengan memakainya, maka dia memilih pilihan tersebut, dan suka untuk memakai selipar tanpa bulu.
Lihatlah orang yang memakai tudung, dan tanya kepada hati dengan ikhlas, adakah tudung itu dipakai kerana ta`atkan Tuhan, atau untuk bergaya? Lihatlah, ada wanita yang tidak mahu memakai tudung tertentu, kerana tidak selesa, atau tidak bergaya, atau tidak padan warnanya dengan baju, atau pelbagai alasan lagi. Lihatlah bezanya apabila Ibnu `Umar mengetepikan semua itu, dan hanya memilih sunnah Nabi!

Sunnah Nabi dalam memakai tudung ialah ia menutup dada dan menjauhkan pandangan manusia, kerana wanita adalah `awrat. Justeru, jika dilihat kepada senario wanita bertudung sekarang, ada banyak ruang yang perlu dinilai semula. Barangkali kita boleh membuat uji kaji dengan memberikan seseorang wanita tudung yang hitam tanpa jenama, tanpa sebarang corak, manik, atau batu berkilau, tetapi cukup syaratnya iaitu menutup dada. Lihatlah adakah dia akan memakai tudung itu, ikhlas kerana mengikut ajaran syara`, atau dia akan menolak dengan berkata, “Tidak cantik”, “Takkan tudung hitam sahaja?”, dan lain-lain penolakan yang menunjukkan dan menggambarkan hawa nafsu.

Menjadi seorang muslim yang ta`at, itu adalah kemuncak keimanan dan kemuncak kemanisan iman. Ia tidak akan dapat dicapai melainkan kita memahami syara` dan tujuan syara`, serta mengetepikan hawa nafsu dan kehendak peribadi.

Komen dan Soalan