Utama Fikih Asma'ul Husna BAB 4: PENGARUH NAMA-NAMA ALLAH ‎ﷻ DALAM PENGABDIAN (SAMBUNGAN)

BAB 4: PENGARUH NAMA-NAMA ALLAH ‎ﷻ DALAM PENGABDIAN (SAMBUNGAN)

191
0
Iklan

Allah Ta’ala berfirman dalam hadits qudsi,

“Wahai hamba-hamba-Ku sesungguhnya kalian tidak bisa memberikan manfaat kepada-Ku atau untuk memudharatkan diri-Ku.” (HR. Muslim) no. 2577

[Allah ‎ﷻ memberikan rahmat-Nya kepada kita kerana belas ihsan-Nya kepada kita sahaja, bukan kerana Dia memerlukan kita]

Apabila seorang hamba mengetahui akan hal ini, maka akan membuahkan dalam dirinya, rasa harap kepada Allah dan tamak terhadap apa yang ada di sisi-Nya, meminta semua keperluan kepada-Nya, merasa selalu memerlukan kepada-Nya,

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.”

(Fathir: 15)

[Lihatlah kesan kepada diri insan itu kalau dia kenal sifat Allah ‎ﷻ. Bukannya setakat tahu sahaja, tetapi ada kesannya iaitu timbul rasa berharap kepada Allah ‎ﷻ.

Bayangkan kalau kita dengar ada seorang kaya di tempat tinggal kita yang sentiasa menolong orang; hendakkan rumah, dia beri; hendakkan kereta dia bayarkan; rumah terbakar, dia ganti….etc. Tiba-tiba ada dikenakan musibah… tidakkah anda teringat kepada lelaki itu? Tentu kerana kita sudah kenal dia dan tahu dia memang sentiasa membantu. Sepatutnya dengan Allah ‎ﷻ lagilah kena dahsyat kita berharap kepada-Nya kerana semua keperluan kita, kita dapat daripada Dia. Adakah ada benda yang bukan Dia yang beri?]

Rasa harap ini membuahkan banyak sekali macam peribadahan yang lahir maupun yang batin sesuai dengan ilmu dan pengenalan bila seorang hamba mengetahui keadilan Allah, kemurkaan, siksa, kemarahan dan azab-Nya, maka hal ini membuahkan rasa takut, berhati-hati dan-menjauhkan diri dari kemurkaan-Nya.

[Semakin banyak seorang hamba itu tahu dan kenal Allah ‎ﷻ, maka semakin tinggi rasa pengharapan kepada Allah‎ ﷻ.

Namun begitu jangan dilihat terhadap yang sedap dan lembut sahaja. Kena juga tahu yang Allah ‎ﷻ boleh membalas dosa yang dilakukan oleh manusia. Jangan ingat yang Allah ‎ﷻ pemurah sahaja.

Kena ingat yang Allah ‎ﷻ Maha Adil. Maka pasti Allah ‎ﷻ akan memberikan pengadilan yang pasti akan ditegakkan. Maka kalau kita terima hal ini, tidaklah kita gelisah sangat kalau ada hak-hak kita yang diambil kerana kita tahu yang Allah ‎ﷻ pasti akan tegakkan keadilan nanti. Kalau tidak di dunia, di akhirat kelak. Sebesar-besarnya dan sekecil-kecilnya. ]

Allah Ta’ala berfirman,

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Dan bertaqwalah kepada Alah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksaNya

(Al-Baqarah: 196)

[Kenang-kenanglah azab yang Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada kita kalau kita ada dosa. Azab paling ringan adalah memakai kasut yang panasnya mampu mencairkan otak. Ketahuilah yang kita tidak akan sanggup untuk menghadapinya. Timbulkanlah rasa takut dalam diri kita. Azab di neraka itu akan meningkat semakin teruk dan semakin teruk.

Puak Muktazilah mengatakan kalau lama-lama dalam neraka, akan rasa biasa (rasa tegal biasa) dengan azab dalam neraka. Ini adalah pendapat yang karut. Ada ayat dalam Al-Qur’an menyebut yang Allah ‎ﷻ akan menggantikan kulit kita yang sudah terbakar untuk terus memberikan rasa sakit kepada ahli neraka. Rujuk ayat Nisa:36]

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّڪُمۡ إِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ

“Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya.”

(Al-Baqarah: 203)

[Tidak akan ada sesiapa yang akan terlepas daripada keadilan Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada yang dapat melarikan diri.]

فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡڪُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ

“Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepada kamu bukti-bukti kebenaran maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Baqarah: 209)

[Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pun untuk kita dakwah agama-Nya, kerana Dia Maha Perkasa. Jadi kalau kita tidak jalankan dakwah, Allah ‎ﷻ boleh sahaja menggantikan umat yang lain yang akan menjalankan kerja dakwah. Allah al-Hakeem bermaksud Dia akan menghukum kita di atas kesalahan kita. Maka kalau kita dapat sematkan ini ke dalam diri kita, maka kita akan takut untuk membuat dosa.]

Apabila seorang hamba mengetahui kemuliaan, keagungan, dan ketinggian Allah di atas makhluk-Nya serta kekuasaan dan kemuliaanNya, maka ini akan membuahkan rasa ketundukan, ketenangan, kecintaan, dan semua bentuk ibadah. Allah Ta’ala berfirman,

ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلۡبَـٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡڪَبِيرُ

“(Kuasa Allah) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Rabb) yang Haq dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

(Al-Hajj: 62)

[Mesti sedar kedudukan kita sebagai hamba. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh, kita kena tunduk dan mesti buat. Malangnya ada manusia yang tidak sedar dan degil dengan arahan Allah ‎ﷻ. Sebagaimana kita dengan ayah kita, jika kita tidak kenal siapa ayah kita, apa kedudukan dia, maka kita tidak hormati dia. Begitulah juga kalau kita tidak kenal Allah ‎ﷻ.

Ada yang anggap Allah ‎ﷻ sebagai kekasih. Ini pun salah juga walaupun nampak seperti bagus asalnya kerana hubungan kita dengan kekasih lain, hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ lain. Kalau dengan kekasih, kedudukan sama rata, ada “give and take” (tolak ansur). Kita dengan Allah‎ ﷻ tidak boleh begitu. Memang Allah ‎ﷻ sayangkan kita, namun tidaklah seperti seorang kekasih pula. Jika dengan seorang kekasih, dia tidak akan menghukum kita. Jadi jika menganggap Allah ‎ﷻ sebagai kekasih, sudah tidak ada takut dengan Allah ‎ﷻ, ada harap sahaja.

Jika kita dengan ayah kita, apabila dia cakap tidak boleh, maka kita kena taat. Kerana dia bapa dan kita tahu kedudukan kita sebagai anak. Maka apatah lagi kalau kita sebagai hamba kepada Allah ‎ﷻ tentulah kena lebih lagi.]

وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ

Dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

(Al-Baqarah: 255)

[Akhir ayat Kursi. Kena harap dapat tunduk kepada Allah ‎ﷻ setelah mengenali sifat-sifat Allah ‎ﷻ ini. Mungkin sebab kita tidak diajar tentang perkara ini. Jika kita dengar ada orang yang pemurah, kelam kabutnya kita mencarinya. Tetapi lupakah kita betapa pemurahnya Allah ‎ﷻ?]

وَمَا قَدَرُواْ ٱللَّهَ حَقَّ قَدۡرِهِۦ وَٱلۡأَرۡضُ جَمِيعً۬ا قَبۡضَتُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَٱلسَّمَـٰوَٲتُ مَطۡوِيَّـٰتُۢ بِيَمِينِهِۦ‌ۚ سُبۡحَـٰنَهُ ۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya pada hal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

(Az-Zumar: 67)

[Apabila telah salah anggap dengan Allah ‎ﷻ, maka manusia tidak berharap dan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Mulalah mencari pada tempat lain.

Bayangkan apa perasaan Nabi Zakaria عليه السلام apabila melihat Maryam رضي الله عنها mendapat pemberian daripada Allah ‎ﷻ terus dengan makanan. Maka timbul kembali perasaan percayanya baginda terhadap Allah ‎ﷻ. Maka baginda terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ meminta anak. Baginda minta di situ juga.

Begitulah apabila kita apabila melihat kesan pemakbulan doa.

Ada yang reka salah faham dengan Allah ‎ﷻ. Ada kononnya kata Allah ‎ﷻ itu sepert kekasih. Sedangkan mana ada persamaan kekasih dengan Allah ‎ﷻ. Tidak akan sama kerana Allah ‎ﷻ lebih mulia dan tinggi daripada itu. Lihat ayat Allah ‎ﷻ ini di mana maha berkuasa-Nya Dia kerana langit pun Dia akan genggam nanti. ]

Apabila seorang hamba mengetahui kesempurnaan dan keindahanNya, maka hal ini akan menimbulkan kecintaan yang khusus kepadaNya, kerinduan yang besar untuk bertemu dengan-Nya, Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah cinta untuk bertemu dengannya.” (HR. Bukhari dan Muslim) no 6508 dan no 2686

[Tidak mahukah kita bertemu dengan Allah ‎ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita? Katakanlah ada seseorang yang telah menanggung pembelajaran kita di universiti secara rahsia. Dan kemudian kita ada peluang untuk bertemu dengan dia, tidakkah kita mahu berjumpa dengannya, bukan? Apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kita segala-galanya?

Allah ‎ﷻ bukan sahaja telah berjasa kepada kita, ditambah pula Dia adalah Maha Cantik! Takkan tidak mahu berjumpa dengan-Nya? Perasaan ini hanya akan timbul kalau ada pemahaman dengan sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Kalau hanya ada “surface knowledge” sahaja, maka perasaan ini tidak akan timbul.

Dan ada balasan daripada Allah ‎ﷻ. Hadith Nabi ﷺ memberitahu kepada kita yang kalau ada perasaan rindu hendak berjumpa Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ pun hendak berjumpa dengan kita. Maknanya ada balasan baik daripada Allah ‎ﷻ. Sebab itulah ada doa orang yang sudah mati, jika dia adalah seorang mukmin, maka dia akan segera minta dia dikuburkan kerana dia sudah berharap mendapat nikmat dalam kubur. Dan di syurga nanti akan mendapat nikmat “ultimate” iaitu bertemu dengan Allah ‎ﷻ.]

Dan tidak diragukan lagi hal ini dapat memberi banyak pengaruh kepada hamba dalam amalan-amalan ibadah. Sehingga Allah ta’ala berfirman:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا

“Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

(Al-Kahfi: 110)

[Jika ingin bertemu Allah ‎ﷻ, maka kenalah jaga bab ibadah dan iman. Maka seseorang itu akan banyak berbuat amal kebaikan. Dia akan membuat persediaan.]

Dari sinilah kita mengetahui bahawa semua bentuk peribadahan itu kembali kepada pengaruh nama dan sifat Allah. Oleh kerana itu, hal ini lebih menekankan kepada setiap muslim untuk mengenal Rabbnya, nama dan sifat-Nya dengan pengenalan yang sebenarnya dan mengenal konsekuensi dan pengaruhnya. Dengan inilah, seorang hamba akan lebih banyak mendapatkan kebaikan.

[Kena kenal Allah‎ ﷻ dengan benar. Jika tidak tahu, mungkin ada salah faham dengan Allah ‎ﷻ, buruk sangka dengan Allah ‎ﷻ pula. Ada hadith yang menyatakan Allah ‎ﷻ ikut sangkaan hamba-Nya. Contohnya ada buruk sangka Allah ‎ﷻ tidak dengar doa dia, Allah‎ ﷻ tidak adil dan sebagainya. Sedangkan ada sebab-sebab yang kita tidak tahu kenapa Allah ‎ﷻ tidak makbulkan. Ini kerana mesti ada kebaikan sebenarnya dalam Allah‎ ﷻ tidak memberi. Ada benda lain yang Allah‎ ﷻ hendak berikan. Kita sahaja tidak nampak perancangan Allah ‎ﷻ.]

Sesungguhnya seorang mukmin yang bertauhid, dia mendapatkan dengan keimanan dan keyakinannya terhadap nama dan sifat Rabbnya yang baik, yang menunjukkan akan keagungan Allah, kebesaran dan keesaan-Nva dalam kemuliaan dan keindahan yang dapat menariknya untuk selalu memfokuskan semua cita-cita dan harapannya kepada Allah dengan penuh kecintaan, pengagungan, kekhusyukan, merendahkan diri, berharap dan takut, dan dia selalu mencari ridhaNya dengan mengerahkan semua daya dan upaya mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan hal yang disunnah setelah menjalankan yang diwajibkan.

[Maka ringanlah seseorang itu untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ dengan melakukan ibadah-ibadah sunat dan sebagainya.]

Semua taufik dan petunjuk di tangan Allah, tidak ada yang dapat mencegah apa yang Dia beri dan tidak ada dapat memberi apa yang Dia cegah. Tidak ada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah.

[Harus sentiasa mengingat diri sendiri bahawa semuanya dalam tangan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menentukan. Kita kena usaha sebaik mungkin untuk mengenali-Nya. Namun begitu kejayaan itu hanya mengikut kehendak Allah ‎ﷻ.]

 

Komen dan Soalan