Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-42 hingga Ke-44

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-42 hingga Ke-44

199
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-42

Ayat ini adalah dalam bentuk jumlah badaliah – menjelaskan tentang perkara yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ أَكّٰلونَ لِلسُّحتِ ۚ فَإِن جاءوكَ فَاحكُم بَينَهُم أَو أَعرِض عَنهُم ۖ وَإِن تُعرِض عَنهُم فَلَن يَضُرّوكَ شَيئًا ۖ وَإِن حَكَمتَ فَاحكُم بَينَهُم بِالقِسطِ ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan hukum), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberi mudharat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.

سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ

Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong,

Golongan Yahudi itu suka mendengar kebatilan. Mereka tetap juga menerima kata-kata ahli agama mereka walaupun berlawanan dengan Kitab Taurat mereka sendiri. Ini adalah pengajaran bagi umat Islam supaya jangan jadi seperti mereka. Kita memang kena dengar kata-kata ahli agama, tetapi kenalah proses apa yang didengar itu supaya tidak tersalah pilih.

Dalam kalangan masyarakat kita pun ada masalah ini. Mereka sangat suka mendengar perkara khurafat, kisah yang karut marut dari meja penceramah. Oleh itu, kita boleh lihat, Al-Qur’an bukan setakat melarang cakap yang dusta sahaja, malah terdapat larangan mendengar kepada perkara dusta. Mendengar perkara dusta amat bahaya kerana ia akan mengganggu hati kita. Lama-kelamaan kita akan termakan juga, termasuk dalam akal kita, sehingga kita terfikir-fikir juga mengenainya.

Apakah yang kita tidak boleh dengar? – perkara tidak tsabit dalam hal agama, dan tidak ada dalil. Oleh itu, janganlah kita mudah menerima kata-kata orang tentang agama, sepatutnya kita kena belajar sendiri. Belajarlah sampai kita menjadi orang yang alim, jangan bergantung kepada orang lain sahaja.

Kalau kita orang yang mengikut-ikut sahaja tanpa periksa, kita akan ada masalah nanti. Banyak ayat dalam Al-Qur’an berkenaan mereka yang menyesal di akhirat kelak kerana mereka mengikut kata pemimpin mereka atau guru mereka yang salah. Mereka hanya terima sahaja tanpa memeriksa sama ada apa yang disampaikan itu benar ataupun tidak.

Belajarlah agama sampai pandai kerana hal agama ini bukannya susah sangat hendak belajar. Kita hendaklah berusaha untuk belajar sendiri dan kemudian kita kenalah ajar ahli keluarga kita. Kita ajar agama kepada keluarga kita, terutama sekali tentang akidah.

Malangnya masyarakat kita ramai yang jahil, maka mereka senang mempercayai kepada kisah-kisah yang tidak sahih dalam agama dan syaitan amat suka perkara ini kerana jika mereka jahil, senanglah dia hendak menipu dan menyesatkan manusia.

أَكّٰلونَ لِلسُّحتِ

mereka banyak memakan yang haram

Keduanya, mereka sanggup memakan harta haram yang mereka dapat daripada hasil mengajar perkara yang salah. Mereka itu yang berada dalam kedudukan sebagai guru dan apabila mereka mengajar, orang yang belajar dengan mereka membayar banyak wang kepada mereka.

Lafaz سُحتِ (suhut) adalah nama lain bagi ‘haram’, tetapi ia adalah khusus haram yang berkenaan dengan wang. Atau dalam erti kata lain, memakan duit haram. Haram jenis ini lebih haram daripada memakan riba. Ia adalah jenis makan haram yang boleh menyebabkan gelap hati. Sebab itu kebanyakan orang Yahudi tidak dapat kelebihan agama kerana mereka telah lama mengamalkan سُحتِ ini.

Orang Muslim jenis inilah yang melariskan amalan bid’ah dalam masyarakat. Juga yang sekarang menyampaikan kisah-kisah yang mengarut dan tidak masuk akal. Malangnya, ada juga orang yang mengupah mereka bila mengajar benda yang tidak sahih dalam agama ini. Mereka ini adalah qussas (tukang cerita). Ternganga mulut orang kita apabila mendengar cerita daripada mereka jenis ini.

Suhut itu juga bermaksud ‘rasuah’. Pemuka agama Yahudi sanggup menerima rasuah daripada pengikut mereka untuk mengeluarkan hukum yang kena dengan nafsu mereka. Kalau ada yang bayar mereka, ketua agama akan beri hukum mengikut apa sahaja kehendak penanya. Mereka sanggup memakan duit untuk mengubah hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Dalam kalangan orang Muslim, merekalah jenis ustaz yang memberi hukum mengikut apa yang selesa dengan masyarakat. Mereka selalunya akan membiarkan sahaja kebiasaan yang telah dilakukan oleh masyarakat walaupun ia telah tersasar daripada kehendak Allah ‎ﷻ.

فَإِن جاءوكَ فَاحكُم بَينَهُم

Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan hukum), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka,

Dan sekarang Allah ‎ﷻ berfirman kepada Nabi ﷺ, “Kalau mereka datang mengadap engkau wahai Nabi, untuk apa-apa perkara, kamu bebas untuk memberi keputusan atas mereka, atau biarkan sahaja mereka”. Tidak salah untuk Nabi ﷺ membiarkan sahaja mereka kerana mereka sudah ada kitab mereka sendiri.

Dan kalau baginda hendak layan untuk memberikan hukum sama ada halal atau haram sesuatu perkara itu pun boleh, tetapi mereka itu sendiri akidah sudah tidak betul, memang akan masuk neraka pun.

Kenapa pula golongan Yahudi itu bertanya hukum kepada baginda? Mereka bukan setuju dan terima baginda sebagai Nabi pun. Dan mereka tidak wajib mengikut keputusan baginda. Mereka tinggal di Madinah tetapi mereka sudah ada hukum sendiri. Perjanjian mereka dengan Rasulullah ﷺ adalah tentang pertahanan di Madinah di mana mereka bersetuju mempertahankan Madinah bersama-sama. Jadi Rasulullah ﷺ ada pilihan sama ada untuk menjadi hakim bagi mereka, ataupun tidak.

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang hukum rompakan dan mencuri. Itu adalah undang-undang negara yang digunapakai bagi satu negara. Jika diamalkan, maka ia digunapakai bagi umat Islam dan sesiapa sahaja penduduk negara itu. Akan tetapi kalau ia adalah hal peribadi, undang-undang Islam tidak digunapakai. Sebagai contoh, prosedur perkahwinan non-Muslim di dalam negara Islam tidaklah harus mengikut prosedur perkahwinan Muslim. Mereka terbuka untuk mengikut cara agama mereka.

أَو أَعرِض عَنهُم

atau berpalinglah daripada mereka;

Dan segala amalan mereka tidak diterima dan tidak akan menyelamatkan mereka. Dalam masa yang sama, mereka tidak menerima pun Nabi dan wahyu Al-Qur’an. Maka, kerana sebab-sebab itu, tidak ada guna memberikan hukum kepada mereka. Jadi, terpulang kepada baginda untuk melayan mereka atau tidak.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang golongan Yahudi itu bukan ikhlas pun hendak mendengar keputusan hukum daripada Rasulullah ﷺ. Mereka hendak mendengar sahaja dahulu; kalau kena dengan kehendak mereka, barulah mereka ikut; kalau tidak kena, mereka tolak sahaja.

Ini memang kebiasaan mereka dari dahulu lagi. Mereka akan beri hukum mengikut kedudukan orang yang bertanya. Jika orang kaya yang bertanya, lain jawapannya; kalau yang miskin, lain pula.

Yang bertanya pula akan pergi kepada pendita yang memberi hukum mengikut kehendak mereka. Jika yang memberi hukum bukan seperti yang mereka kehendaki, maka mereka akan pergi kepada pendita yang lain. Dan pendita itulah yang mereka akan berikan upah.

Jadi mereka bukan ikhlas hendak tahu hukum pun. Dan dalam kalangan masyarakat kita pun ada masalah ini. Ada yang bertanya, kerana hendak justifikasi sahaja. Bila diberi jawapan yang sebenar, mereka marah pula. Atau banyak pula ‘cikadak’ mereka, dengan komen itu dan ini. Kemudian mereka pergi bertanya kepada ustaz lain pula sehingga berjumpalah ustaz yang bersetuju dengan akal mereka. Ini dinamakan ‘shopping for fatwa’.

وَإِن تُعرِض عَنهُم فَلَن يَضُرّوكَ شَيئًا

jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberi mudharat kepadamu sedikit pun.

Dan jika Nabi ﷺ membuat keputusan untuk berpaling daripada mereka, tidak layan mereka dalam memberi hukuman halal haram kepada mereka, maka mereka tidaklah akan dapat membahayakan Nabi ﷺ walau sedikitpun. Oleh itu, jangan takut dengan mereka. Jangan bebankan diri kamu, wahai Nabi Muhammad ﷺ.

وَإِن حَكَمتَ فَاحكُم بَينَهُم بِالقِسطِ

Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil,

Namun, jikalau Nabi ﷺ mahu memberi keputusan di antara mereka, hendaklah Nabi ﷺ hukum mereka dengan berpandukan syariat, dengan adil. Walaupun mereka itu orang yang zalim dan telah meninggalkan agama yang benar; iaitu hendaklah Nabi ﷺ berhukum dengan menggunakan hukum daripada wahyu Allah ‎ﷻ.

Maknanya, ini bukanlah keadilan biasa, tetapi yang diambil daripada wahyu. Maknanya, Nabi ﷺ bukanlah harus menggunakan Kitab Taurat dan Injil dalam memberi hukum, tetapi hendaklah baginda menggunakan Al-Qur’an. Ini kerana hukum dalam Al-Qur’an lah yang adil.

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.

Hendaklah berlaku adil dalam memberi hukum. Jangan kerana kita tidak suka kepada sesuatu kaum itu, maka kita tidak berlaku adil pula. Ini bukan arahan kepada Nabi ﷺ sahaja, tetapi kepada mereka yang berada dalam kedudukan untuk memberi hukum di antara manusia juga, contohnya seperti hakim di mahkamah. Mungkin ada yang kita tidak suka dengan seseorang, tetapi kenalah ditahan emosi kita dan hendaklah berlaku adil dalam memberi hukum.

Tafsir Ayat ke-43

وَكَيفَ يُحَكِّمونَكَ وَعِندَهُمُ التَّورٰةُ فيها حُكمُ اللهِ ثُمَّ يَتَوَلَّونَ مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۚ وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ

Dan bagaimanakah mereka mengangkatmu menjadi hakim mereka, padahal mereka mempunyai Taurat yang di dalamnya (ada) hukum Allah, kemudian mereka berpaling sesudah itu. Dan mereka sungguh-sungguh bukan orang yang beriman.

وَكَيفَ يُحَكِّمونَكَ وَعِندَهُمُ التَّورٰةُ

Dan bagaimanakah mereka mengangkatmu menjadi hakim mereka, padahal mereka mempunyai Taurat

Allah ‎ﷻ memberitahu, bagaimana mereka sanggup hendak jadikan Nabi ﷺ sebagai hakim, sedangkan sudah ada Kitab Taurat di sisi mereka.

فيها حُكمُ اللهِ

yang di dalamnya (ada) hukum Allah,

Di dalam Kitab Taurat itu pun sudah ada hukum Allah ‎ﷻ. Sepatutnya mereka ikut sahaja hukum-hukum yang ada dalam kitab mereka itu. Mereka pun selalu berbangga dengan Kitab Taurat yang ada pada mereka itu.

ثُمَّ يَتَوَلَّونَ مِن بَعدِ ذٰلِكَ

kemudian mereka berpaling sesudah itu.

Mereka memang sudah ada Kitab, tetapi mereka sahaja tidak mahu beramal. Mereka itu memang degil, sudah ada kitab, tetapi tidak menggunakannya. Tidak jauh beza seperti orang Melayu kita juga, ada Al-Qur’an, tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan pun. Ramai suka baca sahaja tanpa memahami pun apa yang dibaca.

Puak Yahudi itu, mereka tanya tentang hukum kepada Nabi ﷺ hanya kerana hendak lihat sahaja kalau-kalau ada hukuman yang ringan sikit. Bukannya mereka hendak ikut sangat pun.

Sebagai contoh, mereka hendak lihat adakah hukum lain selain daripada hukum rejam kepada penzina yang sudah berkahwin. Mereka tahu (bagi yang mempelajari kitab Taurat) yang memang ada hukum itu dalam Taurat. Tetapi apabila mereka baca Taurat, mereka tutup bahagian rejam. Oleh itu, mereka sebenarnya hendakkan kelonggaran yang terkini kerana dalam kitab mereka berat.

Dan mereka juga hendak mencari-cari keputusan yang kena dengan hawa nafsu mereka sahaja. Kalau Nabi ﷺ beri keputusan yang tidak sesuai dengan nafsu mereka pun, mereka tidak akan menggunakan keputusan daripada Nabi ﷺ pun. Jadi, tidak perlulah Nabi Muhammad ﷺ hendak membuang masa dengan mereka.

وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ

Dan mereka sungguh-sungguh bukan orang yang beriman

Allah ‎ﷻ beritahu kita yang mereka itu bukan beriman. Mereka sahaja yang mengaku mereka beriman, akan tetapi sebenarnya tidak. Mereka bangga dipanggil sebagai ‘Ahli Kitab’, tetapi mereka tidak mengamalkan pun ajaran dan hukum di dalam kitab mereka itu.

Tafsir Ayat Ke-44

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita, semua kitab itu ada zamannya. Zaman Taurat sudah berlalu. Sekarang, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Taurat kepada kita.

إِنّا أَنزَلنَا التَّورٰةَ فيها هُدًى وَنورٌ ۚ يَحكُمُ بِهَا النَّبِيّونَ الَّذينَ أَسلَموا لِلَّذينَ هادوا وَالرَّبّٰنِيّونَ وَالأَحبارُ بِمَا استُحفِظوا مِن كِتٰبِ اللهِ وَكانوا عَلَيهِ شُهَداءَ ۚ فَلا تَخشَوُا النّاسَ وَاخشَونِ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الكٰفِرونَ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.

إِنّا أَنزَلنَا التَّورٰةَ فيها هُدًى وَنورٌ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa Dialah yang menurunkan kitab Taurat itu, dan juga wahyu-wahyu yang lain. Oleh kerana itu, kenalah hormat dan ikut hukum-hukum yang disampaikan di dalamnya. Dalam Taurat itu ada penjelasan tentang akidah dan sepatutnya menjadi petunjuk bagi penganutnya.

Dan ia juga mengandung ‘cahaya’ tentang amalan yang perlu dilakukan oleh Ahli Kitab. Namun sekarang, semua manusia hendaklah mengikuti Al-Qur’an untuk berhukum kerana Al-Qur’an itu diturunkan untuk semua manusia dan ia telah memansukhkan hukum yang ada dalam kitab-kitab sebelumnya.

يَحكُمُ بِهَا النَّبِيّونَ الَّذينَ أَسلَموا لِلَّذينَ هادوا

yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah,

Para Nabi daripada Bani Israel telah membuat keputusan dan telah berhukum dengan menggunakan Taurat itu. Para Nabi itu adalah orang-orang yang betul-betul tunduk menerima akidah dan amalan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka memberi hukum dan undang-undang bagi golongan Yahudi pada zaman mereka.

Sudah ada banyak Nabi dalam kalangan mereka yang menggunakannya, maka sepatutnya puak Yahudi itu sudah tahu sangat tentang apa yang ada dalam Taurat itu.

Ayat ini juga mengajar kita yang para Nabi terdahulu ada syariat mereka. Syariat mereka tidak sama dengan syariat Nabi Muhammad ﷺ. Namun begitu ia sesuai bagi mereka untuk zaman itu. Mereka taat dengan syariat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan ke atas mereka.

وَالرَّبّٰنِيّونَ وَالأَحبارُ

oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka,

Bukan Nabi mereka sahaja yang berhukum dengan Taurat, tetapi golongan rabbaniyyun mereka juga – iaitu ulama’-ulama’ dan ahli ibadat mereka. Golongan itu sekarang digunakan lafaz rabbi – ‘godly person’. Dalam Islam, dipanggil muhsinoon.

Lafaz ahbar itu diambil daripada kalimah yang bermaksud ‘dakwat’. Maksudnya mereka itu adalah ‘people of the pen’ – yang membuat kajian tentang agama mereka. Itulah golongan ulama’ mereka. Seperti kita pun ada golongan yang membuat kajian tentang agama.

Ini mengajar kita tentang kepentingan ilmu dan kedudukan orang berilmu dalam agama. Mereka itu adalah golongan yang mengkaji agama dan mengajar agama dan cara-cara mengamalkan agama kepada masyarakat. Ini kena ada di dalam masyarakat kerana diperlukan. Ya, kita perlu peguam, hakim, jurutera, doktor dan sebagainya. Akan tetapi kena ada orang yang belajar dan mengajar agama.

Oleh itu, mereka sudah ada semua – Nabi, rabbi dan ulama’ dan sepatutnya itu sudah cukup untuk mereka faham agama mereka. Tidak ada alasan lagi untuk mereka kata mereka tidak faham agama mereka dan tidak kenal kitab Taurat itu.

بِمَا استُحفِظوا مِن كِتٰبِ اللهِ

disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah

Mereka semua yang menjadi golongan agama itu telah menggunakan kitab Taurat untuk berhukum kerana mereka telah diarahkan untuk menjaga kitab itu. Allah ‎ﷻ telah suruh mereka jaga dan mereka telah menjalankan amanah dan tanggungjawab itu.

Ini adalah teguran kepada Yahudi yang tidak menggunakan hukum daripada Taurat. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut kisah Bani Nadhir yang meminta bayaran diyat yang tidak sepatutnya daripada Bani Quraizah, bukan? Mereka reka sendiri hukum yang sebegitu yang tidak bertepatan dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan ke atas mereka.

Ini menjadi pengajaran bagi umat Islam daripada terjatuh kepada sikap yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi itu. Ambillah kisah mereka sebagai pengajaran bagi kita.

وَكانوا عَلَيهِ شُهَداءَ

dan mereka menjadi saksi terhadapnya

Maksudnya mereka belajar dan mengajar. Itulah maksud syuhada’ dalam ayat ini. Maknanya, mereka bukan sahaja belajar makna yang ada dalam kitab wahyu itu, tetapi mereka juga kena mengajar. Begitu juga dalam kalangan kita, ada yang mengajar kitab Al-Qur’an. Yang belajar, mestilah semua orang.

فَلا تَخشَوُا النّاسَ وَاخشَونِ

Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku.

Mereka semua diberitahu supaya jangan takut kepada orang ramai untuk menzahirkan isi kitab. Penting untuk mereka sampaikan maksud dalam Kitab itu kerana asal kitab itu adalah untuk membaiki manusia. Mereka yang pandai kitab itu kenalah mengajar dan menyampaikan kepada manusia, bukan untuk ikut kata manusia pula. Ini kerana kalau ikut kata dan kehendak orang ramai, punahlah agama. Tidak mungkin manusia pula diberikan kelebihan untuk membaiki kitab pula?

Jangan takut kepada manusia yang ramai, tetapi takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ini penting untuk diingatkan kerana kadang-kadang apabila kita menyatakan kebenaran, orang akan marah. Seperti juga sekarang, apabila kita kata sesuatu perkara yang selalu diamalkan oleh manusia itu haram atau bid’ah, ramai yang akan marah.

Itu biasalah, manusia tidak suka apabila mereka dikata sebagai salah. Kalau yang kalah dalam mahkamah pun akan marah juga apabila keputusan tidak berpihak kepada mereka. Samalah seperti orang yang banyak mengamalkan bid’ah yang marah dengan kita apabila kita tegur mereka.

Apabila ada ayat yang kita disuruh jangan takut dengan manusia, maka, menunjukkan memang ada perasaan takut dalam hati kita. Entah berapa ramai ulama’ dan ustaz yang tahu tentang agama, tetapi tidak berani hendak menyatakan kebenaran kepada masyarakat, kerana tidak sanggup hendak terima penolakan daripada masyarakat. Begitulah, hendak kata Majlis Tahlil yang ramai amalkan itu sebagai salah pun susah; hendak menegur amalan bersanding dalam masyarakat pun berat mulut.

Kita pun tahu sebenarnya, kalau mahukan orang senang dengan kita, tidak ada yang benci dengan kita, kita boleh sahaja buat helah untuk menyelamatkan diri kita. Ini adalah kerana ayat-ayat Qur’an itu boleh ditafsir dengan cara yang tidak menyebabkan orang marah – semua boleh disusun.

Maksudnya kita boleh cakap tentang ayat Al-Qur’an secara umum sahaja. Tidak perlu sentuh tentang perkara yang boleh menyebabkan orang ramai sentap. Begitulah, ramai yang mengajar juga tafsir Al-Qur’an, tetapi mereka meninggalkan banyak perkara yang mereka takut hendak beritahu kepada masyarakat. Jadi masyarakat pun rasa mereka sudah belajar tafsir Al-Qur’an, tetapi sebenarnya tidak semua mereka diajar. Ada ayat-ayat yang dibaca sahaja, diterjemah sahaja, tetapi tidak dijelaskan dengan penuh.

Al-Qur’an itu amat luas, sampaikan kita boleh bercakap tentang Al-Qur’an, tanpa menyakitkan hati manusia yang lain. Namun itu bermakna kita tidak jujur dengan agama. Hasilnya, manusia akan terus melakukan kesalahan. Memang kita bukannya kita hendak menyalahkan orang, melabel orang sebagai salah, atau mengkafirkan orang lain, tidak begitu.

Tetapi kebenaran haruslah tetap diberitahu kerana itu merupakan tugas kita sebagai yang tahu tentang Al-Qur’an ini. Malangnya ramai yang menyembunyikan kebenaran itu kerana mereka tidak mahu anak murid mereka lari daripada mereka. Mereka mahu anak murid itu belajar dengan mereka sahaja.

وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا

Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit.

Sekarang kita tahu kenapa ada daripada golongan Yahudi yang tidak berhukum dengan menggunakan wahyu yang ada dalam kitab Taurat. Sebabnya adalah alasan keduniaan sahaja. Golongan agamawan Yahudi dahulu memang mengambil upah untuk memberi fatwa kepada masyarakat.

Mereka akan mengambil wang untuk memberikan fatwa sepertimana yang dikehendaki oleh masyarakat (ikut nafsu masyarakat). Itulah maksud asal mereka menukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan upah yang sedikit. Namun bukan golongan Yahudi sahaja yang terbabit, golongan agamawan Islam sekarang pun ada masalah itu juga.

Memang kalau mengajar tafsir Al-Qur’an dengan sebenarnya, kita akan dapat masalah kerana ramai akan marah. Tetapi kita kena ingat, kalau tidak mengajar ajaran yang sebenar, maka ini bermaksud kita telah menukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ dengan memutar belit fakta bagi mendapatkan upah daripada masyarakat. Ini kerana ramai dalam kalangan ustaz yang menjadikan agama sebagai sumber pendapatan mereka.

Jadi mereka memerlukan untuk terus dipanggil untuk mengajar. Jadi mereka akan mengajar benda-benda biasa sahaja, yang tidak menyebabkan masyarakat marah kepada mereka. Mereka takut untuk beritahu perkara yang benar kerana takut tidak dipanggil untuk mengajar lagi di tempat itu. Nanti kalau itu terjadi, habislah punca pendapatan mereka dan mereka takut mereka tidak dapat makan.

Begitulah manusia, kalau kita ajar mengikut yang mereka suka, mereka sanggup membayar berapa banyak sahaja yang kita kehendaki. Tetapi kalau ajar yang lain dengan yang mereka faham dan yang biasa diamalkan, maka esok mereka sudah tidak mengajak kita datang mengajar lagi.

Pelbagai alasan mereka akan berikan untuk tidak panggil kita datang mengajar. Oleh kerana itu, banyaklah yang tidak berani untuk mengajar ajaran yang sebenar kepada masyarakat. Oleh kerana itu, ramailah masyarakat yang terus hanyut dalam kesesatan dan amalan yang salah kerana masyarakat akan ikut sahaja apa yang diajar oleh ustaz yang mengajar.

Namun begitu, masyarakat tidaklah terlepas daripada azab kerana mereka kena belajar sendiri kalau tidak diajar dengan betul. Mereka nanti tidak boleh menggunakan alasan ustaz mereka mengajar salah. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan mereka akal dan pancaindera untuk mencari kebenaran.

Jadi mereka kena berhati-hati dengan apa yang diajar oleh guru mereka, kerana kalau mereka mengamalkan yang salah, mereka tidak boleh menggunakan alasan yang mereka diajar begitu.

وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الكٰفِرونَ

Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir

Ayat ini memberitahu kita dan mengingatkan kita, kalau kita mengajar tidak sepertimana yang Allah‎ ﷻ suruh, itu adalah perbuatan golongan kafir. Dan kalau mereka mengubahsuai wahyu Allah ‎ﷻ, mereka juga dikira sebagai golongan kafir.

Maksud ayat ini juga, sesiapa yang tidak mempercayai wahyu yang diturunkan kepadanya, maka mereka itu adalah kafir. Jadi ayat ini memperkatakan tentang segi iktikad. Sebagai contoh, kalau ada manusia yang kata ayat-ayat Al-Qur’an tidak boleh digunapakai, itu adalah kufur.

Sebagai contoh, ayat ini selalu dikaitkan dengan hukum Hudud. Memang ada ayat-ayat Hudud dalam Al-Qur’an ini. Jika ada manusia yang kata ayat-ayat hukum itu tidak terpakai lagi, mungkin mereka kata ia tidak sesuai untuk diamalkan pada zaman sekarang, maka kata-kata itu adalah kufur.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan