Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-143 hingga Ke-146

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-143 hingga Ke-146

282
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran

Tafsir Ayat Ke-143

Apabila para sahabat mendengar ayat-ayat jihad, mereka terdorong sangat untuk menjalankannya kerana diberitahu kalau mati syahid, masuk syurga terus.

Memang semua hendak berjihad, tetapi masa hendak mengamalkannya, ada yang menghadapi masalah. Sudah tentu ada keberatan kerana jiwa tidak suka kepada kesusahan. Sahabat pun begitu juga.

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati

Yang dimaksudkan mati dalam ayat ini adalah ‘Mati Syahid’. Para sahabat pernah bercita-cita untuk mati syahid, kerana mereka sudah tahu, dengan cara mati syahid boleh masuk syurga terus.

Kalimah تَمَنَّونَ daripada kata dasar منو yang bermaksud ‘mahukan sesuatu yang kita tidak pasti apakah ia’. Iaitu apabila kita tidak tahu apakah kesan daripada kemahuan itu. Bukan mereka sahaja teringin, kita yang telah membaca ayat-ayat jihad ini pun, rasa terbangkit untuk berjihad (dan mati syahid), namun adakah kita tahu apakah hakikat jihad itu?

مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ

sebelum kamu menghadapinya.

Itu sebelum mereka menghadapi kematian, mereka amat teringin hendak mati syahid dan terus melakukan jihad. Itu sebelum mereka tengok dengan mata mereka sendiri, kematian yang banyak di medan jihad. Bila mereka sudah lihat suasana sebenarnya, tentu mereka ada yang sudah takut mati.

فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang merenungnya

Sekarang kamu sudah nampak sebab untuk mati syahid itu sudah ada di hadapan mata (hendak mati syahid, kena sanggup berperang). Bukankah sebelum ini kamu sudah mahukannya? Allah ‎ﷻ berfirman dalam ayat ini, kerana para sahabat ada yang terkejut dan merenung lama suasana perang itu kerana terkejut.

Itulah maksud dibandingkan نظر dengan رأي. Kalau kalimah رأي sahaja yang digunakan, ia hanya merujuk kepada perbuatan melihat biasa sahaja. Perkataanنظر bermaksud ‘staring’ atau ‘merenung’ lama dan jauh.

Ini adalah tentang para sahabat yang masih muda dan tidak menyertai Perang Badr dahulu. Mereka telah mendengar kisah kemenangan semasa di Perang Badr itu. Apabila datang berita akan berlaku lagi peperangan dengan puak Musyrikin Mekah lagi, mereka sudah bersemangat untuk berperang. Mereka sangka tentu mereka akan menang besar lagi.

Semasa sampai berita yang tentera musyrikin Mekah akan menyerang Madinah, Nabi ﷺ telah bertanya kepada sahabat sama ada mereka akan keluar bertemu tentera musuh di luar kota atau mempertahankan di dalam kota sahaja. Abu Bakr رضي الله عنه adalah antara yang berpendapat mereka patut bertahan sahaja di kota. Nabi ﷺ pun rasa begitu juga. Termasuk yang mahu mereka bertahan di kota sahaja adalah puak munafik.

Namun begitu, mereka yang muda merasakan mereka kuat sebab tentera Islam baru sahaja menang besar di Badr, dan mereka bersemangat untuk mati syahid kononnya. Mereka kata kalau bertahan di kota, akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula. Nabi ﷺ telah mengikut pendapat mereka walaupun baginda lebih suka untuk bertahan di kota sahaja. Ini kerana mereka nampak bersemangat sekali.

Namun begitu, apabila mereka nampak peperangan di hadapan mata mereka yang sedang benar-benar terjadi, baru mereka terkejut melihatnya. Baru mereka sedar apa yang mereka ingin-inginkan dahulu bukannya semudah yang mereka sangkakan.

Selalunya kita kalau kata hendak jihad, atau buat sesuatu yang besar, kita mulanya semangat membara tetapi apabila sudah tahu apakah yang harus dibuat, mulalah kita fikir balik. Begitulah yang selalu terjadi kepada golongan muda itu. Kalau orang yang ada pengalaman, mereka lain sedikit, kerana mereka sudah tahu hakikat perang yang sebenar.

Tafsir Ayat Ke-144

Semasa dalam Perang Uhud itu, ada sampai berita kepada para sahabat yang sedang berperang itu bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Begitulah, dari dulu lagi sudah ada berita palsu yang disampaikan manusia. Jadi jangan terus gelabah kalau dengar berita dalam media sosial terutamanya. Kebanyakan berita adalah tidak benar.

Namun orang kita kebanyakannya kelam kabut, terus sahaja hendak ‘forward mesej’ sehingga menyebabkan kecoh dalam masyarakat. Sedangkan itu adalah perkara dosa (menyampaikan perkara yang belum pasti). Apabila kita tanya dan tegur mereka yang bodoh akan jawab: “Aku forward jer.. kot-kot betul….”. Semua ingin menjadi ‘Raja Forward’.

Apabila mereka dengar yang Nabi ﷺ sudah wafat, maka peritlah rasa hati para sahabat. Ia lebih perit daripada kalah dalam peperangan sehinggakan ada dalam kalangan orang Islam yang munafik berkata: “Sudah habislah agama Islam”. Mereka sebenarnya suka kerana mereka hendak kembali keadaan asal sebelum kedatangan Islam. Sehinggalah Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, kalau Nabi ﷺ wafat pun, ingatlah yang baginda itu pun manusia (yang tetap akan mati akhirnya). Allah ‎ﷻ mengingatkan yang agama Islam ini hak Allah ‎ﷻ, bukan hak Nabi. Tuan kepada agama ini tidak mati pun. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka. Takkan kalau Nabi ﷺ‎ wafat, kamu mahu menjadi murtad pula?

Walaupun berita Nabi ﷺ‎ wafat itu tidak benar, tetapi Allah ‎ﷻ turunkan juga ayat ini kerana berita itu telah menggugat hati para sahabat. Ingatlah yang dalam agama Islam ini, kita tidak bergantung kepada sesiapa, tetapi kita bergantung hanya kepada Allah ‎ﷻ.

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم ۚ وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا ۗ وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ itu hanyalah seorang Rasul, bukannya Tuhan. Memang baginda pasti akan mati sebab baginda merupakan seorang manusia.

Ini juga tempelak kepada golongan yang menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai tuhan. Jangan terkejut kerana memang ada golongan ini di dalam masyarakat Muslim di Malaysia dan negara-negara lain. Sebagaimana umat dahulu menjadikan Rasul dan Nabi mereka sebagai Tuhan, dalam kalangan umat Islam pun ada juga begitu, iaitu mereka yang jauh daripada wahyu.

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul

Telah ada sebelum ini rasul-rasul lain. Mereka pun wafat juga. Kalau namanya manusia, memang akan tetap mati. Nabi Khidr عليه السلام pun wafat juga dan inilah pandangan yang rajih. Golongan yang termakan dengan diayah Syiah sahaja yang mengatakan Nabi Khidr عليه السلام masih hidup.

أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

kalau ia mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik atas tumit kamu?

Kalau Nabi wafat biasa (ماتَ) atau wafat dibunuh (قُتِلَ), adakah kamu akan murtad daripada agama Allah ‎ﷻ dan kembali kepada agama kamu dahulu? Kalau begitu, amat bodoh sekali kamu.

وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا

Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun;

Sesiapa yang murtad, tidak akan membahayakan Allah ‎ﷻ sedikit pun kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman dan amal kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ menjadi lemah kalau sedikit sahaja yang menyembah-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman kita pun. Namun mereka kena tahu bahawa mereka telah membahayakan diri mereka sendiri.

وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur

Allah ‎ﷻ akan membalas sesiapa yang bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Antaranya, bersyukur dengan nikmat dimasukkan ke dalam agama Islam – ini adalah nikmat yang tidak ada tandingannya.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila tersebar berita yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat dalam Perang Uhud, Saidina Umar رضي الله عنه telah terduduk kerana beliau sangat terkesan dengan berita itu dan beliau tidak boleh meneruskan lagi untuk berperang.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ benar-benar telah wafat, sekali lagi Saidina Umar رضي الله عنه tidak dapat menerima kenyataan itu dan menghunuskan pedang dan hendak memenggal sesiapa yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه telah membacakan ayat ini kepada beliau dan barulah beliau redha. Beliau berkata apabila Saidina Abu Bakr رضي الله عنه membacakan ayat ini, ia seolah-olah seperti baru pertama kali mendengarnya. Ini adalah kerana Saidina Umar رضي الله عنه sangat cintakan baginda.

Tafsir Ayat Ke-145

Memang kematian itu akan ditempuh oleh semua orang. Kalau tidak mati semasa berjihad, boleh mati dengan cara yang lain. Yang kita kena fikirkan adalah bagaimana untuk menggunakan nyawa ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ kerana mati memang tetap akan mati, hanya menunggu masa sahaja.

Kalau kita gunakan masa hidup kita ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, semoga kita akan dapat mati syahid. Sebab itulah para sahabat menghabiskan harta dan nyawa untuk agama kerana mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang agama. Mereka takut mati mereka sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, kalau manusia mati semasa dalam jihad, itu adalah mati yang terbaik sekali. Jadi jangan takut mati dalam jihad. Hati kita kena ada harap kepada jihad.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها ۚ وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah,

Mati itu terjadi hanya dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ yang menentukan bilakah seseorang itu mati. Kalau semua orang hendak membunuh satu-satu makhluk, tetapi tidak akan terjadi jika Allah ‎ﷻ tidak izinkan. Ramai yang hendak bunuh diri pun tidak mati-mati sebab bukan masa yang Allah ‎ﷻ tentukan.

كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا

iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya

Bilakah terjadinya kematian itu adalah keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Bila sampai masa, akan mati juga, tidak akan tertangguh lagi walau sesaat. Kita tidak boleh hendak tahu, jadi kena bersedia sahaja. Ada orang pergi melawat orang sedang nazak di hospital, tetapi bukan orang yang nazak itu yang mati, namun dia pula yang mati.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها

Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari dunia itu

Sesiapa yang hendak pulangan dunia sahaja, Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri. Kalau orang yang berusaha gigih hanya kepada dunia, Allah ‎ﷻ akan beri berdasarkan usahanya. Sebab itu kita lihat orang kafir banyak yang kaya raya, kerana mereka memang berusaha untuk dunia sahaja, mereka tidak memikirkan akhirat. Segala usaha dan fikiran mereka untuk dunia, mereka menggunakan segala jenis teknik, maka Allah ‎ﷻ berikan kekayaan kepada mereka.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها

dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu;

Namun bagi sesiapa yang hendakkan pulangan di akhirat, Allah ‎ﷻ akan beri juga iaitu yang berusaha dan beramal untuk mendapat pulangan di akhirat. Fikiran mereka sentiasa ingatkan akhirat. Inilah yang paling bagus untuk difikirkan kerana untuk menjadi kaya belum tentu, tetapi jumpa akhirat sudah tentu.

وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Allah ‎ﷻ akan beri balasan tambahan kepada mereka yang pandai bersyukur atas nikmat Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita ada pilihan sama ada hanya hendakkan dunia sahaja atau hendakkan akhirat sekali. Allah ‎ﷻ suka kepada mereka yang mahu kepada akhirat. Janganlah kita hanya hendakkan kepada dunia sahaja.

Namun harus diingatkan, kita bukannya menolak terus dunia, tetapi kita sebagai mukmin, harus melebihkan akhirat daripada dunia. Dunia ini tempat kita hidup dan mencari pahala, maka tentulah kita kena kisah juga. Namun apa sahaja yang buat di dunia ini, kena timbang dengan kesannya di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-146

Kalau tidak berjuang bersama Nabi Muhammad ﷺ, tidak ada Nabi lain lagi yang akan datang selepas itu. Maka, kenalah ambil peluang untuk berjuang bersama-sama dengan baginda kerana penyokong-penyokong Nabi terdahulu, mereka berjuang bersama dengan Nabi mereka.

Allah ‎ﷻ sebut sifat-sifat mereka dalam ayat ini. Maka kita pun kenalah ikut mereka juga dengan mempunyai sifat-sifat sebegini.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ وَما ضَعُفوا وَمَا استَكانوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan berapa banyak daripada Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang-orang Mukmin, entah berapa banyak Nabi dahulu yang berjuang bersama mereka itu penyokong-penyokong mereka yang ramai yang berhubungan dengan Allah ‎ﷻ – mereka digelar Rabbaniyyun. Mereka itu semua berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Nabi mereka telah ditugaskan untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, dan mereka membantu nabi-nabi mereka. Mereka tidak melarikan diri, mereka tidak berpeluk tubuh. Mereka tidak seperti orang-orang Munafik yang meninggalkan medan peperangan seperti yang berlaku semasa Perang Uhud itu.

فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah

Mereka tidak berasa lemah semangat atas musibah yang menimpa mereka ketika mereka berjuang di jalan Allah ‎ﷻ. Musibah dan kesusahan adalah perkara biasa, kerana perjuangan adalah ujian. Kalau sudah dinamakan ujian, tentunya perkara yang susah. Mereka terima segala kesusahan dan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

Malangnya kita yang dituduh Wahabi pun sudah mula takut untuk buka mulut untuk menyampaikan dakwah. Bila dakwah orang tidak terima pun, patah semangat. Sedangkan bukannya ancaman nyawa pun diberikan kepada kita sekarang.

وَما ضَعُفوا

dan mereka juga tidak lemah tenaga

Dan tubuh badan mereka tidak berasa lemah semasa berjuang. Tidaklah mereka mengadu sakit badan, tidak jadi hendak pergi berperang. Tidaklah mengadu demam, asthma dan sebagainya. Tidaklah penat dan hendak berehat bersama anak bini sahaja.

وَمَا استَكانوا

dan tidak pula mahu tunduk

Dan tidak sekali-kali tunduk kepada orang kafir. Maksudnya mereka tidak biarkan sahaja orang kafir hendak berbuat apa yang mereka suka. Ini kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah orang kafir itu akan menjadi lebih zalim, sebab mereka sudah rasa kalau mereka buat apa-apa sahaja, mereka tidak akan dapat kesan apa-apa pun. Maka mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Orang-orang Mukmin itu tidak takut dengan ancaman daripada orang kafir kerana mereka lebih takut dengan ancaman Allah ‎ﷻ. Tidaklah seperti kita sekarang, hendak tegur negara luar pun takut kalau mereka tidak beri bisnes kepada kita.

Dalam masyarakat pula, takut sangat hendak tegur kerana takut dipulau. Kalau ada majlis bid’ah seperti majlis tahlil, bila tidak pergi pun rasa berpeluh satu badan. Padahal tidak pergi sahaja pun, bukannya menegur. Sepatutnya kena tegur, tetapi tegur tidak, hendak tahan diri daripada pergi pun takut.

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba-hamba yang ada sifat sabar seperti ini. Sifat sabar amat penting. Sabar itu hanya ada pada mereka yang redha sahaja dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Ini bagi mereka yang sedar, bahawa diri ini hanya hamba sahaja, dan Allah ‎ﷻ itu Rabb kita, tuan kita, Tuhan kita. Dia boleh buat apa-apa sahaja kepada kita. Kita tidak layak untuk mempersoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak kita buat.

Sabar itu maksudnya sabar dalam taat. Ini kerana untuk terus taat, memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana ia tentu tidak senang. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perlu menempuh ranjau sepanjang jalan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan