Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-170 hingga Ke-175

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-170 hingga Ke-175

384
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran 
Tafsir Ayat Ke-170

Allah ‎ﷻ berikan sedikit penerangan tentang apakah yang para syuhada’ itu dapat.

فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ

mereka bersukacita dengan kurniaan Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka,

Kita tidak tahu dengan pasti apakah yang diberikan kepada mereka, tetapi yang pasti, mereka gembira dengan pemberian Allah itu. Lafaz فَضلِ adalah apabila kita dapat sesuatu yang lebih daripada apa yang kita harapkan dan yang kita layak dapat. Kalau sama dengan apa yang patut kita dapat, itu dinamakan ajrun – upah – آجر.

وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم

dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai orang-orang yang belum menyertai mereka, yang masih tinggal di belakang,

Dan mereka tumpang gembira dengan sahabat-sahabat yang belum mati, tetapi akan menyusuli mereka. Mereka bergembira menunggu sahabat-sahabat mereka itu. Mereka tahu sahabat-sahabat mereka itu akan menyertai mereka tidak lama lagi, dan sahabat-sahabat mereka itu juga akan merasai nikmat-nikmat yang mereka sedang rasai itu.

Begitulah kalau kita dapat sesuatu yang bagus, tentu kita tidak sabar-sabar hendak lihat bagaimana perasaan sahabat kita dapat benda yang sama, bukan? Begitulah mereka nanti.

أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan bimbang untuk menghadapi akhirat kerana apa yang menanti mereka itu amat baik.

Dan mereka tidak akan berdukacita meninggalkan dunia kerana mereka tahu yang mereka akan menuju ke tempat yang lebih baik dari dunia.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang mereka tidak mati begitu sahaja seperti sangkaan orang munafik.

Tafsir Ayat Ke-171

Masih lagi tentang penjelasan tentang kegembiraan para syuhada’ itu.

۞ يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ

Mereka bergembira dengan balasan nikmat daripada Allah dan limpah kurnia-Nya;

Gembira dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah beri kepada mereka. Mereka amat gembira kerana mereka diberi peluang mati syahid, bukannya mati dengan cara lain. Ini kerana semua makhluk akan tetap mati, namun Allah ‎ﷻ pilih mereka untuk mati syahid. Itu adalah nikmat yang amat besar.

Seperti yang kita telah sebut, lafaz فَضلِ bermaksud ia adalah sesuatu pemberian yang lebih daripada yang sepatutnya dan selayaknya kita dapat. Ada pendapat yang mengatakan, فَضلِ yang dimaksudkan adalah, Allah ‎ﷻ tambah dengan nikmat lain, iaitu keredhaan daripada-Nya.

وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ

dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ tidak akan sia-siakan balasan kepada orang beriman. Allah ‎ﷻ akan balas dengan lebih lagi daripada yang sepatutnya mereka terima. Bayangkan, kita hidup berapa tahun sahaja di dunia, dengan amal yang tidaklah berapa banyak. Namun Allah ‎ﷻ balas dengan nikmat yang tidak terhingga sampai bila-bila, kekal abadi.

Tafsir Ayat Ke-172

Ayat tabshir (berita gembira). Ada kisah yang perlu disebut di sini (Asbabun Nuzul) untuk memahami ayat ini.

Semasa puak musyrikin Mekah dalam perjalanan pulang dari medan pertempuran, mereka terfikir, apa kata kalau mereka musnahkan terus penduduk Islam di Madinah? Ini adalah kerana mereka rasa mereka telah menang dan tengah kuat masa itu, jadi mereka terfikir untuk ambil kesempatan itu. Sebab kalau mereka biarkan lagi, tahun depan hendak dilawan lagi.

Oleh kerana itu, mereka telah mengadakan mesyuarat sesama mereka sebelum sempat sampai ke Mekah lagi. Hasil daripada mesyuarat itu, mereka buat keputusan untuk patah balik dan serang lagi puak Muslimin sampai habis hancur mereka semua sekali.

Allah ‎ﷻ memberi wahyu kepada Nabi ﷺ tentang perkara itu. Nabi ﷺ disuruh untuk mengajak para sahabat untuk bersedia untuk melawan semula tentera Musyrikin Mekah itu, walaupun mereka waktu itu dalam keadaan lemah dan sakit. Apabila Allah ‎ﷻ suruh, itu bermakna yang Allah ‎ﷻ akan bantu mereka.

Bila Nabi ﷺ beritahu mereka, mereka semua bersetuju tanpa soal. Apabila ada kesanggupan dalam diri umat Islam walaupun dalam keadaan yang amat payah kerana baru lepas kalah, ramai yang cedera dan sebagainya, Allah ‎ﷻ terus campakkan perasaan takut ke dalam hati orang kafir. Mereka takut sungguh sampai tidak berani untuk datang ke kawasan Madinah.

Oleh kerana mereka takut, tetapi mereka tidak mahu malu, mereka telah mengupah satu rombongan daripada bani Abdul Qais untuk pergi ke Madinah dan beri diayah (hasutan) kepada puak Islam supaya jangan berlawan lagi puak Musyrikin Mekah dengan alasan kerana puak Mekah itu kuat.

Puak Musyrikin Mekah itu menawarkan upah unta yang banyak. Tujuan dilakukan itu adalah supaya umat Islam takut dan tidak keluar mempertahankan diri mereka. Sedangkan yang sebenarnya, mereka yang takut.

Sedangkan para sahabat sudah siap menunggu di satu kawasan, menunggu tentera kafir yang dikatakan akan datang dan datanglah rombongan Abdul Qais itu. Mereka pun mereka-reka cerita untuk menakutkan umat Islam. Namun tentera Islam berkata, mereka tidak takut dan gentar. Datanglah banyak mana sekalipun, mereka akan lawan kerana mereka hanya takut kepada Allah‎ ﷻ sahaja. Maka sia-sia sahaja apa nasihat yang diberikan oleh rombongan Abdul Qais itu.

الَّذينَ استَجابوا لِلَّهِ وَالرَّسولِ مِن بَعدِ ما أَصابَهُمُ القَرحُ ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا مِنهُم وَاتَّقَوا أَجرٌ عَظيمٌ

Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.

الَّذينَ استَجابوا لِلَّهِ وَالرَّسولِ

Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya

Allah ‎ﷻ memberikan berita gembira kepada para sahabat yang sanggup menyahut semula panggilan Allah ‎ﷻ dan Rasul. Apabila mereka taat kepada ajakan Nabi ﷺ, itu bermaksud mereka sahut kepada Allah‎ ﷻ juga. Apabila baginda memberikan arahan untuk untuk pergi semula berperang, mereka terus pergi.

مِن بَعدِ ما أَصابَهُمُ القَرحُ

sesudah mereka mendapat luka

Kesanggupan mereka itu bukan kesanggupan biasa. Ini kerana mereka sanggup berjuang itu, walaupun setelah mereka ditimpa kecederaan luka di Perang Uhud. Lafaz القَرحُ bermaksud luka yang sedikit. Allah ‎ﷻ hendak kata apa yang mereka kena itu tidak banyak sebenarnya.

لِلَّذينَ أَحسَنوا مِنهُم وَاتَّقَوا أَجرٌ عَظيمٌ

Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.

Mereka menjaga diri mereka daripada derhaka. Yang buat ihsan – melakukan sesuatu yang lebih baik.

Dan mereka itu juga bertaqwa. Mereka sanggup sahut seruan Nabi ﷺ ‎itu kerana mereka itu bertaqwa. Mereka taat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka juga taat kepada Allah ‎ﷻ.

Lalu apa yang terjadi? Para sahabat hanya menunggu sahaja. Sebab Abu Sufyan pula takut dan telah membatalkan rancangan mereka untuk menyerang Madinah. Allah‎ ﷻ menjanjikan pahala upah yang amat besar kepada mereka. Walaupun mereka tidak jadi berperang, namun oleh kerana mereka telah menyatakan kesanggupan mereka, maka itu sudah dikirakan sebagai nilai yang amat besar dan Allah ‎ﷻ akan membalas kesanggupan mereka itu.

Tafsir Ayat Ke-173

Allah ‎ﷻ teruskan dengan menyebut tentang rombongan yang berniat jahat itu dan apakah yang dikatakan oleh para sahabat kepada mereka.

الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم فَزادَهُم إِيمَٰنًا وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم

Mereka itu adalah mereka yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepada mereka

Lafaz النّاسُ yang pertama merujuk kepada rombongan Abdul Qais yang diupah oleh Abu Sufyan untuk menakutkan puak Muslimin.

Lafaz النّاسُ yang kedua merujuk kepada Puak Musyrikin Mekah. Rombongan Abdul Qais itu diupah untuk menakutkan puak Muslimin. Mereka beritahu kepada puak Muslimin, bahawa puak Mekah itu sedang kumpul senjata dan tentera untuk menyerang Madinah semula.

Ini mengajar kita, bahawa akan sentiasa sahaja ada golongan manusia yang hendak menakutkan umat Islam. Mereka akan memberikan pelbagai maklumat supaya kita menjadi gelabah. Itu semua akan membuang masa kita sahaja. Fikirkanlah, kalau kita tahu pun, bukan boleh buat apa, malah hanya menambah rasa takut kepada kita sahaja.

Yang sepatutnya, kalau kita diberitahu tentang perkara sebegitu, kita serah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam masa yang sama, kita tingkatkan amal ibadat kita. Oleh itu, kita jangan terpedaya dengan Teori Konspirasi yang berbagai-bagai. Itu semua buang masa sahaja. Masalah ini memang banyak terjadi zaman sekarang, tambahan pula manusia sudah semakin senang hendak menyebarkan diayah.

فَزادَهُم إِيمَٰنًا

Maka berita itu makin menambahkan iman mereka

Berita yang disampaikan oleh rombongan Abdul Qais itu tidak menyebabkan ketakutan kepada golongan mukmin, tetapi sebaliknya menambah keimanan mereka.

Bagaimana ia telah meningkatkan iman mereka? Sebab apa yang Allah ‎ﷻ katakan akan terjadi, benar-benar terjadi di hadapan mata mereka. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu yang tentera Musyrikin Mekah akan menyerang mereka, dan sekarang rombongan Abdul Qais pun mengatakan perkara yang sama. Maka, memang betul apa yang Nabi ﷺ kata.

Kebenaran telah terserlah dan janji Allah ‎ﷻ itu benar. Mereka semakin yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang akan memberi bantuan kepada mereka.

وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ

lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus

Mereka rasa cukup dengan bantuan Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu benar dan Allah ‎ﷻ telah berjanji akan membantu mereka. Maka, mereka tidak takut apa-apa pun. ini kerana mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan mengurus dengan sebaiknya apa yang berlaku. Mereka telah meletakkan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada Allah ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-174

Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan kisah bagaimana tentera mukmin telah sanggup untuk kembali ke barisan perang, walaupun mereka telah mengalami kecederaan.

Mereka menunggu tentera Musyrikin Mekah yang dikatakan akan menyerang kembali Madinah tetapi tentera Musyrikin Mekah itu ketakutan dan tidak jadi untuk meneruskan niat mereka untuk menyerang umat Islam.

فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ لَّم يَمسَسهُم سوءٌ وَاتَّبَعوا رِضوٰنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ

Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

فَانقَلَبوا بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ

mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah,

Apabila tentera Musyrikin Mekah tidak jadi datang, maka tentera Muslimin kembali ke Madinah dengan mendapat نِعمَةٍ (iaitu pahala) daripada Allah ‎ﷻ. Dan bukan itu sahaja, mereka juga mendapat فَضلٍ, iaitu keuntungan perniagaan.

Lafaz فَضلٍ dalam ayat ini bermaksud ‘keuntungan perniagaan’. Ini adalah kerana, apabila penduduk sekitar mendengar berita bahawa akan ada perang semula, ramai yang datang untuk menyaksikan peperangan itu dan ada yang datang untuk berniaga.

Ini kerana kalau berlakunya peperangan, maka akan ada keperluan daripada kedua-dua belah pihak yang berperang kerana dua-dua hendak makan. Mereka selalunya akan mengambil kesempatan (macam pesta pula jadinya). Namun oleh kerana tidak ada Musyrikin Mekah yang muncul, peperangan tidak berlaku, maka mereka hanya berjual beli dengan para sahabat sahaja. Itulah yang dimaksudkan mereka mendapat untung.

لَّم يَمسَسهُم سوءٌ

mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun,

Mereka tidak ditimpa bencana kerana tidak ada peperangan. Pahala dapat badan pun tidak sakit dan penat. Malah, keuntungan pula yang dapat.

وَاتَّبَعوا رِضوٰنَ اللَّهِ

serta mereka pula menurut keredhaan Allah.

Mereka mendapat keredhaan Allah ‎ﷻ kerana mereka taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak perlu menjadikan peperangan berlaku barulah diberikan pahala. Asalkan taat sahaja akan dapat pahala.

Sebagaimana kita berdakwah sahaja akan terus mendapat pahala. Tidaklah perlu orang yang kita dakwah itu terima dakwah kita itu baru kita mendapat pahala. Dalam hal para sahabat dalam ayat ini, ketaatan mereka telah dibalas dengan pahala dan redha Allah ‎ﷻ.

وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَظيمٍ

Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

Allah ‎ﷻ boleh berikan sebanyak mana pun kurnia yang hendak diberikan-Nya kepada makhluk-Nya yang taat. Masih banyak lagi yang Allah ‎ﷻ boleh beri tanpa hadnya.

Tafsir Ayat ke-175

Sebelum ini telah disebut rancangan Abu Sufyan yang menggunakan rombongan Abdul Qais untuk menakutkan tentera Muslimin.

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطٰنُ يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ فَلا تَخافوهُم وَخافونِ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.

إِنَّما ذٰلِكُمُ الشَّيطٰنُ

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan

Golongan Abdul Qais adalah puak syaitan kerana mereka hendak menakutkan puak Islam. Bukanlah mereka itu jelmaan syaitan pula tetapi mereka itu sifatnya syaitan.

Ini kerana ‘syaitan’ itu adalah sifat, bukannya sejenis makhluk selain jin dan manusia. Ramai juga yang tidak faham hal ini. Mereka sangka ada manusia, ada jin dan ada pula satu jenis makhluk yang dikenali sebagai syaitan. Sedangkan jin boleh menjadi syaitan dan manusia pun boleh menjadi syaitan.

يُخَوِّفُ أَولِياءَهُ

yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) kawan rapat mereka

Kita telah sebut bagaimana tujuan rombongan Abdul Qais itu datang adalah untuk hendak menakutkan tentera Muslimin kepada kumpulan yang sama dengan mereka (أَولِياءَهُ), iaitu Musyrikin Mekah. Maka sifat inilah yang menjadikan mereka itu syaitan.

فَلا تَخافوهُم وَخافونِ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan kepada orang Mukmin, supaya jangan takut kepada mereka tetapi takut kepada Dia sahaja.

Begitulah kita, sebagai seorang Islam, jangan takut kepada musuh kita, tetapi hendaklah kita takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ akan membantu kita kalau kita taat kepada-Nya. Kalau takut kita lebih kepada Allah ‎ﷻ, maka takut kepada makhluk akan berkurangan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan