Utama Bilik (49) Tanda-tanda Kiamat 10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu Tebal atau Kabut (خروج...

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu Tebal atau Kabut (خروج الدخان)

697
0
Iklan

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu Tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.1 Mukadimah Tanda Jerebu

ومنها ما يتعلق بالسماء والفلك , ومنه الدخان…

* فما المقصود بالدخان؟
* وهل وقعت هذه العلامة؟
* وما الحكمة منها؟

الأصل في هذه العلامة من علامات الساعة قولة عزو جل

Antara Tanda Besar Kiamat yang ada kaitan dengan langit dan cakerawala ialah Jerebu atau asap atau kabut. Isunya di sini adalah:

💬 Apakah maksud jerebu?
💬 Apakah tandanya sudah muncul?
💬 Apakah hikmah di sebalik munculnya jerebu?

Asalnya isu dukhan ini menjadi tanda kiamat daripada ayat berikut:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ. يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ . رَبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

“Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.

[Ad-Dukhan: 10 – 12]

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.2 Tafsir ayat Ad-Dukhan (Bahagian 1)

🔏 Dukhan bermaksud kabut, kabus, asap tebal atau jerebu

اختلاف العلماء في المراد بالدخان الوارد في الآية على قولين’

Menurut Al Areefi, terdapat khilaf perselisihan ulama’ tentang maksud Ad Dukhan pada ayat tersebut yang menjadi dua pendapat utama:

🔐 Pertama: Aliran Ibn Mas’ud رضي الله عنه (Kabut bukan tanda kiamat yang besar)

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Maka tunggulah hari ketika langit membawa dukhan (kabut) yang nyata. yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.”

[QS. Ad Dukhan ayat 10 – 11].

ذهب قولهم إلى أن هذا الدخان هو ما أصاب قريشا من الشدة والجوع عندما دعا عليهم النبي صلى الله عليه وسلم حين لم يستجيبوا له, وجعلوا يرفعون أبصارهم إلى السماء فلا يرون إلا مثل الدخان من شدة البلاء , وإلى هذها القول ذهب عبد الله ين مسعود رضي الله عنه وتبعه جماعة من السلف ورجحه ابن جرير الطبري رحمه الله

Mereka berpendapat kabut atau jerebu ialah suatu yang pernah menimpa kaum Quraisy kerana ditimpa bala disebabkan doa Nabi ﷺ kerana menolak dakwah baginda. Ia berlaku ketika para sahabat sudah berhijrah ke Madinah. Ini merupakan pendapat Ibn Mas’ud dan sebahagian kaum salaf.

Berikut pula merupakan kenyataan Imam al Qurthubi رحمه الله:

أن الدخان هو ما أصاب قريشا من الجوع بدعاء النبي صلى الله عليه وسلم . حتى كان الرجل يرى بين السماء والأرض دخانا .قاله ابن مسعود

Ad dukhan adalah khayalan yang menimpa kaum Quraisy ketika mereka mengalami kelaparan ekstrim atas doa Nabi ﷺ sehingga orang-orang ketika itu seperti melihat dukhan (asap) di antara langit dan bumi. Ini adalah pendapat Ibnu Mas’ud. (Tafsir Surah Ad Dukhan)

🖋 Ini merupakan pilihan mufassir Ibn Jarir at Tobari.

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.2 Tafsir ayat Ad-Dukhan (Bahagian 2)

Hadith Ibn Mas’ud رضي الله عنه menjadikan dalil Dukhan itu sudah pun berlaku:

كُنَّا عِنْدَ عبدِ اللهِ جُلُوسًا، وَهو مُضْطَجِعٌ بيْنَنَا، فأتَاهُ رَجُلٌ فَقالَ: يا أَبَا عبدِ الرَّحْمَنِ إنَّ قَاصًّا عِنْدَ أَبْوَابِ كِنْدَةَ يَقُصُّ وَيَزْعُمُ، أنَّ آيَةَ الدُّخَانِ تَجِيءُ فَتَأْخُذُ بأَنْفَاسِ الكُفَّارِ، وَيَأْخُذُ المُؤْمِنِينَ منه كَهَيْئَةِ الزُّكَامِ، فَقالَ عبدُ اللهِ: وَجَلَسَ وَهو غَضْبَانُ: يا أَيَّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ، مَن عَلِمَ مِنكُم شيئًا، فَلْيَقُلْ بما يَعْلَمُ، وَمَن لَمْ يَعْلَمْ فَلْيَقُلْ: اللَّهُ أَعْلَمُ، فإنَّه أَعْلَمُ لأَحَدِكُمْ أَنْ يَقُولَ: لِما لا يَعْلَمُ: اللَّهُ أَعْلَمُ، فإنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قالَ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: {قُلْ ما أَسْأَلُكُمْ عليه مِن أَجْرٍ وَما أَنَا مِنَ المُتَكَلِّفِينَ} إنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ لَمَّا رَأَى مِنَ النَّاسِ إدْبَارًا، فَقالَ: اللَّهُمَّ سَبْعٌ كَسَبْعِ يُوسُفَ قالَ: فأخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَصَّتْ كُلَّ شيءٍ، حتَّى أَكَلُوا الجُلُودَ وَالْمَيْتَةَ مِنَ الجُوعِ، وَيَنْظُرُ إلى السَّمَاءِ أَحَدُهُمْ فَيَرَى كَهَيْئَةِ الدُّخَانِ

Daripada Masruq bin Al Ajda’ yang mengatakan bahawa kami memasuki masjid Kufah yang terletak berdekatan pintu gerbang masuk ke Kindah. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang sedang menceritakan kepada teman-temannya tentang makna firman-Nya: “Hari ketika langit membawa kabut yang nyata. [Ad-Dukhan: 10] Tahukah kalian apakah yang dimaksudkan dengan dukhan (kabut) itu? Kabut itu akan datang menjelang hari kiamat, lalu menimpa pendengaran dan penglihatan orang-orang munafik, sedangkan orang-orang mukmin hanya mengalami hal yang seperti pelik saja akibat kabut tersebut.

Masruq melanjutkan kisahnya, bahawa lalu beliau menemui Ibnu Mas’ud رضي الله عنه dan menceritakan kepadanya perkataan lelaki itu. Saat itu Ibnu Mas’ud رضي الله عنه dalam keadaan berbaring, lalu beliau terkejut dan duduk, kemudian berkata bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah berfirman kepada Nabi kalian: Katakanlah (hai Muhammad), “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” [ Shad: 86 ].

Sesungguhnya termasuk pengetahuan itu ialah bila seseorang mengatakan terhadap apa yang tidak diketahuinya, bahawa hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Aku akan menceritakan hal tersebut kepada kalian. Sesungguhnya orang-orang Quraisy itu ketika menghambat agama Islam dan derhaka kepada Rasulullah ﷺ, maka Rasulullah ﷺ berdoa untuk memberi pelajaran kepada mereka agar mereka ditimpa kemarau seperti kemarau yang terjadi di masa Nabi Yusuf عليه السلام. Maka mereka pun tertimpa kepayahan dan kelaparan sehingga terpaksa mereka memakan tulang belulang dan bangkai. Dan mereka menengadahkan pandangannya ke langit, maka tiada yang mereka lihat kecuali hanya kabut.

🔏 Takhrij:

التخريج : أخرجه البخاي (1007)، ومسلم (2798)، والترمذي (3254) واللفظ له، وأحمد (4206)، والنسائي في ((السنن الكبرى)) (11483)

Muttafaq Alaih Bukhari (1007), Muslim (2798)

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.2 Tafsir ayat Ad-Dukhan (Bahagian 3)

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه juga pernah mengatakan,

خَمْسٌ قَدْ مَضَيْنَ اللِّزَامُ وَالرُّومُ وَالْبَطْشَةُ وَالْقَمَرُ وَالدُّخَانُ

Ada lima (5) tanda kiamat yang sudah terjadi: peristiwa al-Lizam, peristiwa perang romawi, al-Bathsyah, terbelahnya bulan, dan Dukhan.”

(HR. Bukhari 4825, Muslim 2798).

🔐 Penjelasan istilah hadith:

1⃣ Lizam bermaksud semua hukuman atau azab telah ditimpakan kepada orang kafir Mekah khususnya di medan Badar. Dalil:

قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلَا دُعَاؤُكُمْ ۖ فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَامًا

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu).”

[Al Furqan: 77]

2⃣ Ar Rum
Kekalahan Rum di tangan Farsi. Dalil:

{الم (1) غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الأرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3)

Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi).

[Ar Rum: 1 — 3]

3⃣ Bathshah iaitu hentaman keras atau kekalahan teruk puak Quraish di Perang Badar. Dalil:

يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَىٰ إِنَّا مُنْتَقِمُونَ

(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras. Sesungguhnya Kami adalah Pemberi balasan

[Al Dukhan: 16]

*⃣ Hentaman adalah pukulan maut, balaghah

4⃣ Al Qamar (Bulan terbelah). Dalil:

اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ

Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.

[Al Qamar: 1]

Ini merupakan Tanda Kiamat Kecil No. 3 (lihat kitab kami 131 Tanda kecil Kiamat, terbitan Ukhuwah/UiTO, 2020)

6⃣ Ad Dukhan
Kabut yang telah menimpa kaum Quraish

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.2 Tafsir ayat Ad-Dukhan (Bahagian 4)

وذهب كثير من العلماء إلى أن الدخان من الآيات المنتظرة التي لم تأت بعد, وسيقع قرب يوم القيامة , وإلى هذا ذهب علي بن أبي طالب وابن عباس وأبو سعيد الخدري رضي الله عنهم

وقد رجح الحافظ ابن كثير – رحمه الله – هذا الآثار ,بأن قالوا هما دخانان ظهر أحدهما وبقي الآخر الذي سيقع في آخر الزمان ,فأما الآية الأولى التي ظهرت فهي ما كانت قريش تراه كهيئة الدخان ,وهذا الدخان غير الدخان الحقيقي الذي يكون عند ظهور الآيات , التي هي من أشراط الساعة

🔐 Pendapat kedua:
Sebahagian besar (jumhur) ulama’ berpendapat Jerebu atau Kabut adalah tanda Kiamat yang belum terjadi dan akan muncul saat dekatnya Hari Kiamat. Ini pendapat pilihan Ali bin Abi Thalib, Ibn Abbas, Abu Sa’id Al Khudry رضي الله عنه.
Ia dirajihkan (diperkuatkan) oleh al Hafidz Ibn Kathir رحمه الله.

Sebahagian lagi ulama’ berpendapat Kabut itu terjadi dua kali: Kabut pertama yang menimpa kaum Quraisy, kabut kedua akan tiba menjelang Kiamat. Kabut yang menimpa Quraisy bukanlah tanda Kiamat yang besar.

وكان ابن مسعود رضي الله عنه يقول:[ هما دخانان قد مضى أحدهما (10) والذي بقي يملأ ما بين السماء والأرض , ولا يجد المؤمن إلا كالزكمة,وأما الكافر فتثقب مسامعه]

Al Qurthubi رحمه الله menukil pendapat Ibn Mas’ud رضي الله عنه, Kabut ada dua jenis: yang telah berlalu (yang menimpa kaum Quraisy) dan yang akan tiba (di akhir zaman) yang akan memenuhi langit dan bumi, orang mukmin yang terkena kabut akan mendapat selsema, manakala orang kafir seperti telinga ditusuk. (Al Qurthubi, ms 655)

🔏 Rumusan Al Areefi:

والراجح أن الدخان من الآيات المنتظرة التي لم تقع بعد, وهذا هو المفهوم من القرآن , قال الله تعالى :{فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ } أي :يظهر في السماء دخان بين واضح ويراه كل أحد

Pendapat yang rajih (paling kuat) ad-dukhan atau kabut adalah tanda Kiamat yang mendatang (belum terjadi) sesuai dengan firman Allah ‎ﷻ:

{فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ }

“Maka tunggulah hari ketika langit membawa dukhan (kabut) yang nyata.”

[Ad Dukhan: 10]

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.2 Tafsir ayat Ad-Dukhan (Bahagian 5)

🔐 Pendapat Ketiga:
Manakala ada pendapat ketiga mengenai Ad Dukhan. Ia merupakan pendapat Abdul Rahman Al A’raj رحمه الله, menurut Ibn Kathir رحمه الله (tafsir surah Ad Dukhan ayat 11):

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبي ، حدثنا جعفر بن مسافر ، حدثنا يحيى بن حسان ، حدثنا ابن لهيعة ، حدثنا عبد الرحمن الأعرج في قوله : ( يوم تأتي السماء بدخان مبين ) قال : كان يوم فتح مكة

Berkata Ibn Abi Hatim, khabar daripada ayahku, daripada Ja’afar bin Musafir, daripada Yahya bin Hasan daripada Ibn Lahi’ah, daripada Abdul Rahman bin Al A’raj, beliau berkata, “Jerebu yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah debu yang meliputi Mekah ketika Fathul Mekah.” (tanda kejayaan Nabi ﷺ dan debu meliputi bandar Mekah kerana ramainya tentera berkuda yang tiba dari Madinah)

Abdul Rahman Al A’raj ialah Abdul Rahman bin Hurmuz Al A’raj, wafat 117H, di Madinah, beliau meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al Khudri, yang mengambil hadith daripadanya ialah Abu Syihab Az Zuhri, Abu Zinad, Saleh bin Kaisan, dll.

💬 Komen Ibn Kathir رحمه الله:

(وهذا القول غريب جدا بل منكر )

Kata-kata ini adalah aneh (gharib) bahkan mungkar.

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.3 Hadith-hadith Ad Dukhan

Hadith pertama: Hadith Huzaifah رضي الله عنه

عن حذيفة رضي الله عنه قال:[ اطلع النبي صلى الله عليه وسلم علينا ونحن نتذاكر. فقال<<ما تذاكرون؟>>قالوا: نذكر الساعة . قال:<<إنها لن تقوم حتى ترون قبلها عشر آيات فذكر: الدخان والدجال…الحديث>>]

Takhrij:

2901 حدثنا أبو خيثمة زهير بن حرب وإسحق بن إبراهيم وابن أبي عمر المكي واللفظ لزهير قال إسحق أخبرنا وقال الآخران حدثنا سفيان بن عيينة عن فرات القزاز عن أبي الطفيل عن حذيفة بن أسيد الغفاري قال اطلع النبي صلى الله عليه وسلم علينا ونحن نتذاكر فقال ما تذاكرون قالوا نذكر الساعة قال إنها لن تقوم حتى ترون قبلها عشر آيات فذكر الدخان والدجال والدابة وطلوع الشمس من مغربها ونزول عيسى ابن مريم صلى الله عليه وسلم ويأجوج ومأجوج وثلاثة خسوف خسف بالمشرق وخسف بالمغرب وخسف بجزيرة العرب وآخر ذلك نار تخرج من اليمن تطرد الناس إلى محشرهم

Daripada Hudzaifah bin Usaid Al Ghifari رضي الله عنه, beliau berkata, ‘Rasulullah ﷺ memperhatikan kami sewaktu kami saling berbincang. Baginda bertanya, ‘Apa yang sedang kalian perbincangkan?’ Mereka menjawab, ‘Kami menyebutkan hari kiamat.’ Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu melihat sepuluh tanda.’ Lalu baginda menyebut asap, Dajal, binatang, terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya (sebelah Barat), turunnya Isa bin Maryam عليه السلام, Ya’juj dan Ma’juj, tiga pemendapan besar, Mendap di Timur, di Barat, dan di semenanjung Arab. Yang akhir yang demikian itu adalah keluarnya api yang keluar dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpulnya mereka.’

(HR. Muslim No. 2901)

✳️ Hadith ini menjadi dalil 10 Tanda Besar Kiamat dan Imam Mahdi tidak tersenarai sebagai tanda besar. Turutan ini menurut Ibn Hajar Asqolani (Al Fath,10/353)

Tanda pertama ialah Dajjal, ia dinamakan perubahan sosiopolitik atau sosiobudaya, kemudian tanda kedua adalah kewafatan Nabi Isa عليه السلام tanda ketiga ialah terbitnya matahari dari Barat indikasi perubahan jagat raya (kosmos), pintu taubat ditutup dan, keluarnya binatang dan munculnya api dari Yaman.

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.3 Hadith-hadith Ad Dukhan

Hadith kedua: Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (sahih)

* وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال :[ بادروا بالأعمال ستا: طلوع الشمس من مغربها, أة الدخان ,أو الدجال ,أو الدابة, أو خاصة أحدكم, أو أمر العامة

Bersegeralah kalian dalam beramal (sebelum datang) enam perkara: terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, binatang, sesuatu yang khusus untuk kalian (kematian), atau masalah yang umum (hari Kiamat).

(HR Muslim)

Takhrij:
HR Muslim 5375

🔏 Fiqh hadith:
Ia mengenai nasihat Nabi ﷺ untuk segera beramal sebelum datang 6 peristiwa besar iaitu:
1⃣ Terbit matahari dari barat
2⃣ Keluarnya asap/jerebu
3⃣ Keluarnya Al Masih Al Dajjal di Palestin
4⃣ Keluarnya dabbah (haiwan ganjil)
5⃣ Kematian seseorang (khassah)
6⃣ Berlakunya ammah (kiamat)

Hadith ini walaupun tidak dinyatakan kesemua 10 tanda besar kiamat, cuma ingin ditekankan di sini tentang Ad Dukhan sebagai tanda akhir kiamat.

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.3 Hadith-hadith Ad Dukhan

Hadith ketiga: Atsar Ibn Abbas رضي الله عنهما

* وعن عبدالله بن أبي مليكة قال:[ غدوت على ابن عباس رضي الله عنه ذات يوم فقال: ما نمت الليلة حتى أصبحت ,قلت: لم؟ قال: قالوا طلع الكوكب ذو الذئب فخشيت أن يكون الدخان قد طرق, فما نمت حتى أصبحت]

Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah (murid Ibn Abbas, tabi’in Mekah, w. 117H di Thaif.) berkata, “Suatu hari aku mengunjungi Ibn Abbas رضي الله عنهما di waktu pagi. Beliau berkata, “Aku tidak tidur sepanjang malam sehingga Subuh.” Aku bertanya, “Mengapa?” Beliau bercerita, “Bintang berekor (meteor) telah terbit. Aku khuatir dukhan telah muncul. Ini yang membuatku tidak boleh tidur hingga ke Subuh.”

Tahqiq:
HR At Tobary (tafsirnya 17/22) Al Haakim, 4/506, beliau kata sahih atas syarat Bukhari Muslim, dipersetujui oleh Az Zahabu.

رواه الطبري في تفسيره (22/17)، والحاكم (4/506). وقال: هذا حديث صحيح على شرط الشيخين ولم يخرجاه، ووافقه الذهبي

والشاهد من الأثر خوف ابن عباس من الدخان ؛على أنه علامة من علامات الساعة

Kegelisahan Ibn Abbas رضي الله عنهما tentang kemunculan Ad Dukhan (jerebu) yang menyebabkan beliau tidak boleh tidur menunjukkan Ad Dukhan adalah salah satu tanda kiamat yang besar.

💭💭💭💭

10.7 Tanda Kiamat Besar No. 7: Munculnya Jerebu tebal atau Kabut (خروج الدخان)

10.7.4 Rumusan Dr Muhammad Al Mubayyadh (Al Mausu’ah Fi Al Fitan Wal Malahim, Mu’asassah Al Mukhtar, Cairo)

1⃣ Apakah Ad Dukhan sudah berlaku atau belum?
Dr al Mubayyad berpendapat, Ad Dukhan yang pernah berlaku di Mekah ketika Nabi ﷺ mendoakan bala agar menimpa kaum Quraish, maka ia adalah Ad Dukhan dalam bentuk Majaz (kiasan) bukan hakikat sebenar Ad Dukhan. Ad Dukhan hakiki adalah tanda besar kiamat dan tidak boleh dibandingkan dengan Ad Dukhan yang menimpa penduduk Mekah.

2⃣ Imam Al Qurthubi رحمه الله berkata, Ibn Mas’ud رضي الله عنه memiliki dua pendapat sebenarnya, Ad Dukhan yang menimpa penduduk Mekah dan Ad Dukhan sebagai tanda besar Kiamat.

3⃣ Pendapat yang mengatakan Ad Dukhan adalah asap yang menimpa penduduk Mekah dulu adalah dhaif.

4⃣ Pendapat yang mengatakan Ad Dukhan bukan tanda kiamat kubra juga pendapat yang dhaif.

5⃣ Ad Dukhan adalah tanda besar kiamat dan itulah hakikat daripada Surah Ad Dukhan.

 

Komen dan Soalan